Isnin, 3 Ogos 2020

Tiada Dirimu - Bab 7







“ALAMAK! Lambat lagi aku hari ni,” kata Dalia sambil memandang jam di pergelangan tangan. Dia menambah kelajuan motor.

“Mesti mengamuk orang tua tu nanti,” sambung Dalia lagi. Dia segera masuk ke kawasan parkir motor.

Belum sempat dia masuk ke kawasan parkir motor, sebuah kereta memintas laju masuk ke dalam petak parkir kereta dengan tiba-tiba. Terkejut dia dengan tindakan pemandu kereta itu.

“Woi! Kurang ajar!” marah Dalia atas tindakan pemandu kereta tersebut. Mujurlah dia sempat mengelak kereta itu daripada melanggarnya.

Ziqri segera keluar dari dalam perut kereta sebaik sahaja memarkirkan kereta. Bangunan yang tersergam indah di hadapan mata dipandang seketika.

“Woi!” tegur Dalia sebaik sahaja terlihat Ziqri.

Ziqri tersentak. Dia menghalakan mata ke arah yang menegur.

“Kau memang kurang ajar, kan?” bengang Dalia. Dia menongkat motor lalu melangkah menghampiri Ziqri.

Ziqri berkerut dahi. Dia memandang ke arah gadis yang sedang melangkah menghampirinya di situ.

“Pandu kereta macam sial!” marah Dalia lagi. Dia memandang tajam wajah lelaki di hadapannya itu.

“Sial?” ulang Ziqri tatkala perkataan itu menyapa gegendang telinganya.

“Macam mana kau pandu kereta?”

“Kenapa?”

“Suka hati kau saja nak masuk parking. Kau tak nampak ke aku nak lalu tadi?”

“Kau lalu kat mana?” Ziqri bertanya. Dia berpeluk tubuh.

“Hish mamat ni! Memang nak kena betul. Buat-buat bodoh pula.” Dahlia mendengus kasar. Lelaki di hadapannya dipandang tajam.

“Aku tak bodoh. Kau tu yang bodoh,” balas Ziqri bernada sinis.

“Apa kau cakap?” Dalia membesarkan mata.

“Kau memang bodoh!” Selamba Ziqri mengutuk. Setelah itu, dia beredar dari situ menuju ke arah bangunan. Malas untuk bertekak dengan perempuan itu.

Tambahan pula, hari ini merupakan hari pertama dia bekerja. Atas permintaan, dia mahu menguruskan anak syarikat milik mereka. Syarikat yang selama ini diuruskan oleh bapa saudaranya, Encik Zaihan.

“Woi! Kau nak pergi mana?” jerit Dalia tatkala Ziqri beredar dari situ. Dia mendengus kasar melihat tingkah laku lelaki itu.

“Kurang ajar!” bengang Dalia lagi. Digenggam erat tangan menahan kemarahan dalam hati. Jika dia berjumpa dengan lelaki itu lagi, pasti dia akan membuat perhitungan dengannya.

“Alamak! Aku dah lambat. Matilah aku macam ni,” kata Dalia sambil melihat jam di pergelangan tangan. Dia segera berlari masuk ke dalam bangunan selepas memakirkan motor.

“Harap Encik Zaihan tak masuk lagi,” doanya pula.

 

 

“MORNING, Kak Kinah!” tegur Dalia dengan senang hati. Dia menyanyi keriangan.

“Kau lambat lagi Dalia,” balas Sakinah separa berbisik.

Dalia tersengih.

“Dah berapa kali Kak Kinah tegur kau. Jangan lambat.” Sakinah masih berbisik. Dia menjegilkan mata kepada Dalia.

Dalia yang melihat ketawa.

“Hish budak ni! Ketawa pula.” Sakinah membesarkan mata.

“Yang Kak Kinah berbisik ni, kenapa?” Dalia berkerut dahi. Tingkah laku Sakinah dipandang.

“Syhhh!!! Suara tu slow sikit. Kau tu dahlah masuk lambat. Aku tengah cover kau, tahu tak?” Sakinah memberi isyarat pula. Tertinjau-tinjau dia melihat bilik Encik Zaihan.

“Yang Kak Kinah tertinjau-tinjau macam tikus mondok tu dah kenapa?” Makin pelik Dalia melihat tingkah laku Sakinah.

Sakinah menarik tubuh Dalia supaya mengekorinya. Dia perlu memberitahu kepada Dalia dengan apa yang sedang dan bakal berlaku di pejabat mereka.

“Kenapa ni, Kak Kinah?” Semakin pelik Dalia melihat Sakinah. Seperti ada perkara yang ingin diberitahu oleh wanita itu.

“Kau tahu tak Dalia, kita akan dapat bos baru,” beritahu Sakinah setibanya di pantry.

“Bos baru?” Dalia sedikit terkejut.

“A’ah, bos baru. Dia sekarang ada dalam bilik Encik Zaihan.”

“Biar betul, Kak Kinah? Ke Kak Kinah saja nak takut-takutkan saya.”

Sakinah menepuk dahi.

“Bukan syarikat ni milik Encik Zaihan ke?”

“Encik Zaihan mentadbir saja. Syarikat ni milik orang lain.”

Dalia menelan liur sendiri. Kelat!

“Habislah kita Dalia lepas ni.”

“Apa yang habis?”

“Kita kan selalu…” Belum sempat Sakinah menyudahkan ayat, terdengar suara Encik Zaihan memanggil nama Dalia. Serta-merta dia memandang ke wajah Dalia.

Semakin laju air liur yang ditelan oleh Dalia. Suara Encik Zaihan semakin jelas di pendengarannya.

“Pergilah Dalia. Entah apa bos nak daripada kau,” suruh Sakinah, lembut.

Dalia tersenyum kelat. Wajah Sakinah di hadapan meminta kepastian.

“Kak Kinah tak tahu,” kata Sakinah sambil menjungkitkan bahu. Dia segera beredar dari ruangan itu menuju ke meja kerja. Perlu menyambung kerja yang tertangguh sebentar tadi.

“Tak guna punya kakak. Boleh dia blah macam tu saja,” bengang Dalia sebaik sahaja melihat tingkah laku Sakinah.

“Adoi! Macam mana ni?” soal Dalia sendirian. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Mencari jalan untuk melepaskan diri.

 

 

“SENARAI pekerja di syarikat ni, Ziqri,” ujar Encik Zaihan sambil menghulurkan sebuah fail kepada Ziqri.

Ziqri membalas huluran. Dia membuka fail lalu membaca isi dalamnya.

“Maklumat tentang syarikat ada di atas meja,” beritahu Encik Zaihan pula.

Ziqri masih membaca. Satu persatu maklumat yang ada di dalam fail tersebut dibaca. Dia perlu mengenali kesemua staf di syarikat itu.

“Encik Zaihan!” panggil Dalia dengan tiba-tiba dari arah muka pintu bilik.

Encik Zaihan menoleh. Terjengul wajah Dalia di muka pintu bilik. Lantas, dia melangkah jalan menuju ke arah Dalia.

“Ada apa, Encik Zaihan?” tanya Dalia, berdebar. Dia menanti Encik Zaihan menghampirinya di situ. Matanya terpandang susuk tubuh seorang lelaki yang sedang duduk membelakangi mereka berdua. Lagak seperti sedang membaca maklumat dari dalam sebuah fail.

“Awak tolong buatkan kopi, boleh?” pinta Encik Zaihan separa berbisik.

“Kopi? Saya?” Dalia mengunjuk kepada dirinya sendiri.

“Iyalah! Siapa lagi kalau bukan awak?” Encik Zaihan mendengus perlahan. Dia beredar dari situ menghampiri Ziqri semula.

“Err… bos…” Belum sempat Dalia bersuara, Encik Zaihan sudah pun beredar dari situ.

Encik Zaihan memandang ke wajah Dalia lalu memberi isyarat kepada gadis itu. Seminit kemudian, dilihatnya Dalia beredar dari situ.

Dalia segera menuju ke pantry. Dalam kotak fikirannya sarat memikirkan tentang arahan Encik Zaihan.

“Ha… Dalia. Apa yang bos nak daripada kau?” tegur Sakinah tatkala Dalia melalui mejanya.

Dalia mematikan langkah. Dia memandang ke wajah Sakinah sebentar dan beredar menuju ke pantry seminit kemudian. Dia perlu menyediakan kopi buat tetamu Encik Zaihan.

Sakinah yang melihat berkerut dahi. Matanya mengekori langkah Dalia sehingga hilang dari pandangan mata.

“Kena marah kut. Itu yang monyok saja muka dia,” tebak Sakinah. Dia menjungkitkan bahu lalu meneruskan kerja.

 

 

“ZIQ okey. Mama tak perlu risau. Pak ngah kan ada. Dia boleh tolong Ziq,” kata Ziqri sekadar menyedapkan hati Puan Raihan.

“Mama nak Ziq uruskan ZAF Holdings bukannya Cahaya Sdn Bhd,” balas Puan Raihan dalam nada tidak berpuas hati.

“Ziq nak cari mood dulu. Mama kan tahu berapa lama Ziq berhenti dari bekerja?”

“Mama tahu, Ziq. Tapi, mama nak Ziq uruskan syarikat besar. Bukan syarikat kecil tu.”

Ziqri menghela nafas ringan.

“Ziq tahu kan siapa yang uruskan syarikat tu sekarang?”

“Ziq tahu mama. Rafiq!”

“Mama nak Ziq uruskan ZAF Holdings.”

Ziqri menghela nafas ringan. Puan Raihan masih lagi berdegil. Bukannya dia tidak mahu menguruskan ZAF Holdings. Dia perlu mempersiapkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum menguruskan syarikat peninggalan arwah papanya itu.

“Ziq ingat dengan syarat yang mama berikan tempoh hari?” Puan Raihan mengingatkan.

Ziqri hanya mendengar. Syarat Puan Raihan supaya dia menguruskan ZAF Holdings meniti dalam minda. Jika dia tidak bersetuju dengan syarat itu, Puan Raihan tidak bersetuju dengan niatnya untuk bekerja semula memandangkan dia masih dalam proses penyembuhan.

“Ziq! Dengar tak dengan apa yang mama cakapkan ni?” tegur Puan Raihan dari hujung talian tatkala Ziqri membisu.

“Mama, nanti kita bincang. Ziq ada meeting dengan staf,” balas Ziqri lalu mematikan talian. Dia melepaskan nafas lega.

“Ziqri!” tegur Encik Zaihan seminit kemudian.

Ziqri menoleh. Wajah Encik Zaihan menyapa mata.

“Staf dah tunggu dalam bilik meeting,” beritahu Encik Zaihan, ramah.

Ziqri mengangguk. Dia beredar dari ruangan itu menuju ke bilik mesyuarat. Dia perlu berjumpa dengan semua pekerja di syarikat itu.

 

 

“KAK KINAH rasa apa?” tanya Dalia separa berbisik.

“Rasa lapar,” jawab Sakinah berserta sengihan.

“Hish! Kak Kinah ni. Orang tanya lain, dia jawab lain,” tegur Dalia sambil menjegilkan mata. Tingkah laku Sakinah yang sedang mengusap perut dipandang.

“Dah kau tanya apa yang aku rasa sekarang ni mestilah aku cakap aku lapar. Lunch hour, kan?” Sakinah menunjukkan jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul 1.15 petang.

Dalia memandang jam di dinding. Ada betulnya kata-kata Sakinah itu.

“Hish! Apasal pula Encik Zaihan ni nak jumpa dengan kita semua? Bukannya tak pernah jumpa. Hari-hari aku jumpa dia depan pintu masuk tu. Kau pun sama juga kan, Dalia? Hari-hari jumpa dia dalam bilik dia tu,” bebel Sakinah pula. Perutnya sudah berkeroncong.

“Dia nak bagi bonus pada kita kut.” Dalia serkap jarang. Terbayang-bayang wang ringgit Malaysia yang bakal dia dapat kelak jika berita itu benar.

“Adui!” Dalia mengaduh sakit. Dia mengusap kepalanya yang diduku oleh Sakinah.

“Jangan nak berangan,” kata Sakinah mengingatkan.

“Ala… nak berangan pun tak boleh. Bukan bayar pun,” rungut Dalia masih mengusap kepala. Sakitnya hanya tuhan sahaja yang tahu.

“Ha… jangan-jangan…” Belum sempat Sakinah menyudahkan ayat, suara Encik Zaihan menyapa gegendang telinga. Lantas, dia menghalakan mata ke arah Encik Zaihan.

Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu turut sama menghalakan mata ke arah Encik Zaihan yang baru masuk ke dalam bilik. Di sisi Encik Zaihan, seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Perhatian semua,” suara Encik Zaihan sebaik sahaja masuk ke dalam bilik. Satu persatu wajah pekerjanya dipandang.

Dalia menghalakan mata ke arah Encik Zaihan. Buntang matanya melihat lelaki yang berada di sisi Encik Zaihan. Jika dia tidak silap, lelak itu penyebab dia hampir kemalangan pagi tadi.

“Saya nak perke…”

“Kau!” pintas Dalia, laju seraya bangun dari duduk. Dia segera keluar dari ruangan tempat duduk dan melangkah menghampiri Encik Zaihan dan Ziqri.

“Dalia?” Encik Zaihan menegur.

“Kau yang kurang ajar pagi tadi, kan? Kau yang hampir nak langgar aku, kan?” tanyanya selepas itu. Dia bercekak pinggang di hadapan Ziqri.

“Dalia, kenapa ni?” tanya Encik Zaihan pula. Dia berkerut dahi melihat tingkah laku Dalia ketika ini.

Ziqri cuba mengamati raut wajah Dalia. Seminit kemudian, dia mengangguk sebaik sahaja mengingatinya.

“Hish budak ni. Buat perangai balik. Tak boleh jadi ni. Kena tegah sebelum melarat,” kata Sakinah lantas bangun dari duduk. Dia menarik Dalia supaya duduk.

“Apa Kak Kinah ni? Main tarik-tarik pula?” Dalia merengus. Dia menarik lengannya dari pegangan Sakinah.

“Silakan Encik Zaihan. Dah lewat ni. Perut pun dah berkeroncong,” ujar Sakinah berserta sengihan. Dia mengarahkan Dalia supaya duduk.

“Apa ni Kak…”

“Kau nampak tak muka dia orang semua? Kelaparan!” pintas Sakinah, laju. Jika dia tidak menghalang tingkah laku Dalia sebentar tadi, pasti perjumpaan itu akan berlarutan.

Dalia memandang wajah staf-staf yang lain. Masing-masing memandangnya dengan tajam. Dilemparkan sengihan kepada mereka semua sambil mulut berkata maaf.

“Tujuan saya memanggil kamu semua adalah untuk memperkenalkan seseorang kepada kamu semua. Saya harap, kamu semua dapat memberi kerjasama kepadanya nanti.” Encik Zaihan memulakan bicara. Wajah stafnya dipandang satu persatu.

Dalia yang mendengar berkerut dahi. Matanya tepat ke wajah Ziqri yang sedang berdiri tegak di sisi Encik Zaihan.

“Saya kenalkan, Ziqri Arif bin Zafran. Pengurus besar syarikat ini.” Encik Zaihan memperkenalkan Ziqri. Dia tersenyum kepada semua pekerja di hadapannya itu.

What!?” ujar Dalia dengan tiba-tiba pantas bangun dari duduk. Wajah Ziqri di hadapan dipandang berserta perasaan terkejut.

“Mati aku macam ni,” sambungnya lagi.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan