“SYAHIRAH!”
jerit Zairiel Iqwan.
Nur
Syahirah mematikan langkah seraya menoleh ke belakang. Kelibat Zairiel menyapa
mata. Serta-merta senyuman terbit di bibir. Menanti Zairiel menghampiri.
Zairiel
melajukan langkah. Tercungap-cungap dia akibat berlari. Berharap, Nur Syahirah
tidak meneruskan langkah. Tidak dihiraukan berpasang-pasang mata yang sedang
melihat.
“Syira,
kita dah lambat ni,” beritahu Farhana, lembut.
“Aku
tahu Hana. Kau tunggu aku kat sana. Sekejap lagi aku datang,” arah Nur Syahirah.
Farhana
menghela nafas lembut. Dia mengangguk sebelum membawa langkah menuju ke tempat
berlepas. Matanya memandang kelibat Zairiel yang sudah menghampiri Nur Syahirah.
“Syira!”
panggil Zairiel.
“Zairiel?
Awak buat apa kat sini?” tanya Nur Syahirah.
Zairiel
menstabilkan pernafasan. Peluh sudah membasahi dahi. Matanya memandang wajah
Nur Syahirah yang sedang tersenyum.
“Zairiel,
macam mana awak tahu saya kat sini?” tanya Nur Syahirah inginkan kepastian.
“Aku
yang beritahu pada dia, Syira,” sampuk Maisarah, tiba-tiba.
Nur
Syahirah dan Zairiel serentak menoleh. Wajah Maisarah menyapa mata mereka
berdua. Senyuman diberikan kepada Maisarah.
“Awak
nak pergi, Syira?”
Nur
Syahirah sekadar mengangguk.
“Awak
tak sayangkan saya?”
Nur
Syahirah tersenyum kelat. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zairiel? Selama
mereka berkawan baik, hanya kepada Zairiel tempatnya meluahkan perasaan dan
bersandar. Kini, semuanya tidak seperti dulu.
Semenjak
Zairiel jatuh cinta dengan Maisarah, Zairiel lebih banyak menghabiskan masa
dengan Maisarah. Disebabkan itu, dia cuba menjauhkan diri daripada Zairiel.
Tidak mahu mengganggu hubungan Zairiel dan Maisarah.
“Syira!”
Lembut Zairiel menyeru nama gadis itu.
Nur
Syahirah tersenyum. Tanpa membalas, dibawa langkah beredar dari situ sambil
cuba menahan air mata daripada menitis. Sungguh, dia berasa sedih meninggalkan
Zairiel.
Zairiel
hanya memandang. Mukanya diraup sekali sambil melepaskan keluhan berat. Terasa berat
untuk melepaskan Nur Syahirah pergi. Kenapa Nur Syahirah membuat keputusan
tanpa berbincang terlebih dahulu? Bukankah selama ini hanya dia menjadi penentu
kepada segala keputusan yang dibuat oleh Nur Syahirah?
“Zairiel!”
panggil Maisarah, perlahan.
Zairiel
menoleh. Senyuman hambar diberikan kepada kekasih hatinya itu.
“Jom
kita balik,” ajak Maisarah.
“Kenapa
Syira sanggup tinggalkan I? Selama ni, hanya I yang buat keputusan bagi pihak
dia. Kenapa Syira…” Sukar bagi Zairiel meneruskan kata-kata. Rasa sebak menujah
di hati.
“Mungkin
Syira ada sebabnya sendiri dan kita tak tahu apa masalah Syira yang sebenar?”
“Tapi…”
“Kita
doakan semoga Syira selamat pergi dan pulang.”
Zairiel
menghela nafas berat. Dia beredar dari situ sebaik sahaja kelibat Nur Syahirah
menghilang. Semoga Nur Syahirah selamat pergi dan pulang, doa Zairiel dalam
hati.
Maisarah
mengeluh berat. Sejak dia berkawan dan bercinta dengan Zairiel, Nur Syahirah menjauhkan
diri daripada Zairiel. Adakah disebabkan kehadirannya dalam hidup Zairiel telah
membuatkan sahabat baik itu berjauhan?
“SABARLAH
Syira. Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang berlaku,” pujuk Farhana.
“Aku
bersalah pada dia. Bukan niat aku nak tinggalkan dia,” luah Nur Syahirah,
sebak.
Farhana
menghela nafas ringan. Bagaimana untuk memujuk hati Nur Syahirah ketika ini? Rasa
kasihan dengan apa yang dihadapi oleh Nur Syahirah selama ini.
“Aku
sayangkan dia, Hana.”
“Aku
faham, Syira.”
“Aku
ni tak layak untuk dicintai ke, Hana?”
“Jangan
cakap macam tu. Mungkin Allah nak temukan kau dengan seseorang yang lebih baik
daripada Zairiel.”
“Aku
sanggup berkorban demi cinta aku pada dia. Kalau dengan cara ini dapat menjauhkan
dia dari dihina dan dikutuk, aku rela lakukan.”
“Tapi,
kau tak bersalah dalam hal tu. Kau sepatutnya berterus-terang pada Zairiel.
Mungkin Zairiel ada jalan untuk menyelesaikannya.”
“Aku
tak nak sesakkan fikiran dia. Aku tahu, dia sedang berbahagia dengan Maisarah.
Aku hanya mampu mendoakan kebahagiaan dia dan Sarah.”
“Syira,
aku…”
“Kau
jangan risau. Aku akan jaganya sebaik yang mungkin. Dia tak bersalah dalam hal
ni,” pintas Nur Syahirah, tersenyum hambar.
“KAU pasti dia dah
pergi?” tanya satu suara.
“Dah
bos. Saya pasti dia dah pergi,” balas Karim.
“Bagus!
Aku harap kau tak tipu aku.”
“Tak…
Tak bos. Saya tak tipu. Dengan mata kepala saya sendiri tengok dia masuk ke
balai berlepas tu.”
“Kalau
betul dia dah pergi, bagus. Aku nak kau simpan rahsia ni. Biar pecah di perut,
jangan pecah di mulut. Kalau aku dapat tahu rahsia ni pecah, orang pertama yang
aku cari adalah kau,” kata suara itu memberi amaran.
“Baik
bos! Saya janji takkan beritahu sesiapa pun perkara ni.”
“Aku
pegang pada janji kau.”
“Boleh!
Bos boleh pegang pada janji saya. Bagaimana dengan upah saya, bos?”
Lelaki
itu tersenyum sinis. Tangannya menarik laci dan mengeluarkan sekeping sampul
surat berwarna putih. Dilemparkan sampul surat itu di hadapan Karim.
“Upah
kau! Aku nak kau pergi dari sini. Jangan tunjuk muka kau di kawasan ni lagi.
Karim
yang mendengar sekadar mengangguk. Sampul surat dicapai lalu mengintai isi di
dalamnya. Tanpa membalas, dia segera beredar dari bilik itu.
‘Orang
itu’ hanya memandang. Senyuman puas terbias di wajah. Semoga selepas ini, tidak
ada lagi penghalang kepada keinginannya. Terlalu lama dia menunggu saat ini. Semoga
tidak ada lagi gangguan daripada sesiapa termasuklah gadis yang bernama Nur
Syahirah.
BEST2......
BalasPadamTerima kasih kerana sudi membaca. :)
Padambest.
BalasPadamTerima kasih kerana sudi membaca. :)
Padammenarik...
BalasPadamTerima kasih kerana sudi membaca. :)
Padam