BAB 10
NUR
EDLEEN mengusap lembut dadanya. Dapat dirasakan degupan
jantungnya berlari laju mengalahkan kereta lumba FI di Sepang. Entah kenapa
hatinya juga berbunga riang tatkala menatap wajah Edzuary. Seakan ada perasaan
halus yang menusuk masuk terus ke tangkai hati. Adakah dia sudah jatuh hati
pada Edzuary? Oh tidak! Tak mungkin dia jatuh hati pada bos besarnya sendiri.
Tak mungkin dia mudah membuka hatinya buat lelaki tambahan pula buat lelaki di
hadapannya itu.
“Yang
awak tengok muka saya macam nak telan saja tu, kenapa? Ada apa-apa ke kat muka saya
ni?” tegur Edzuary.
“Oii
mak kau jatuh tergolek,” latah Nur Edleen.
Edzuary
tertawa. Dia menggelengkan kepala mendengar latah Nur Edleen.
“Apa
encik ni, main sergah-sergah macam tu. Cuba tegur dengan cara berhemah sikit,”
geram Nur Edleen sambil mengurut dada.
“Hai,
saya pulak yang salah. Dah awak tu memang ada penyakit terkejut, nak salahkan
saya,” bidas Edzuary.
“Yalah,
kalau encik tak…”
“Awak
nak apa datang bilik saya ni?” pintas Edzuary laju. Tidak mahu mendengar
bebelan Nur Edleen.
Nur
Edleen menggaru kepalanya yang bertudung.
“Awak
nak apa, Nur Edleen?” ulang Edzuary, menekan.
“Err…
saya… saya…” sukar untuknya menyuarakan rasa di hati.
“Yang
awak tergagap-gagap ni, kenapa? Takkan baru masuk hospital sehari, otak awak tu
dah jadi tak betul,” sindir Edzuary, selamba.
Nur
Edleen mengerutkan dahi. Tajam matanya ke wajah Edzuary yang beriak selamba.
Ini sudah lebih. Suka hati dia aje nak kata otak aku tak betul. Tak apa… tak
apa… kau nak tengok otak tak betul aku, kan? Tunggu kau, sekejap aje lagi,
tahulah kau siapa aku yang sebenarnya, bebelnya di dalam hati.
“Awak
nak apa, Nur Edleen?” ulang Edzuary dan memandang ke wajah Nur Edleen.
“Err..
kopinya encik,” ujar Nur Edleen. Secawan kopi diletakkan di hadapan Edzuary.
“Kopi?
Saya ada pesan kopi ke?” tanya Edzuary, berkerut.
“Tak
ada ke?”
“Tak
ada!” bidas Edzuary dan menggeleng.
“Ada
la!”
“Mana
ada!”
Nur
Edleen mengangkat kening.
“Saya
tak pesan pun,” kata Edzuary, menegakkan kenyataan.
“Ouh!
Okey! Kiranya syarat tu tak berguna lagi la ya,” balas Nur Edleen dan tersenyum
ceria. “Saya ambil kopi ni balik la kalau dah macam tu.”
Edzuary
berfikir sejenak. Barulah dia tahu akan maksud Nur Edleen itu. Memang dia ada
meletakkan syarat agar Nur Edleen menyediakan secawan kopi buatnya setiap pagi.
Kenapa dia boleh terlupa tentang itu?
“Sorry, saya hampir terlupa tentang itu,”
ujar Edzuary. “Apa-apa pun, terima kasih sebab ikut syarat-syarat saya,”
ucapnya pula. Ingatannya memutarkan kembali pertemuannya dengan Nur Edleen di
pintu lif pagi tadi. Tidak menyangka Nur Edleen masih mematuhi akan
syarat-syarat mengarutnya itu.
“Small matter. Jemput minum, encik,” pelawa
Nur Edleen dan tersenyum kecil.
Edzuary
sekadar mengangguk. Tanpa membuang masa, dicapai cawan yang berisi kopi lalu
meneguk perlahan kopi tersebut. Berkerut-kerut wajah Edzuary tatkala kopi itu
masuk ke dalam mulut. Hampir terhambur kopi tersebut dari mulut Edzuary. Namun,
sempat dia menghalang daripada terhambur keluar.
“La…
kenapa encik? Tak sedap ke kopi yang saya bancuh tu?” tanya Nur Edleen, pelik.
“Awak
ni pandai buat kopi ke tidak?” tanya Edzuary pula.
“Eh,
mestilah pandai. Saya pernah bancuh kopi untuk nenek saya, encik. Nenek saya
puji habis kopi saya tu,” cerita Nur Edleen, bersungguh.
“Nenek
awak tu tak pandai rasa ke?”
“Tak
pandai rasa? Maksudnya?”
“Rasa
kopi la!” geram Edzuary. Bengap! Kutuknya di dalam hati.
“Bijaklah
encik ni,” puji Nur Edleen. “Kalau encik nak tahu, memang nenek saya tu tak
pandai nak rasa kopi. Nak tahu sebab apa?”
“Sebab
apa?” tanya Edzuary.
“Sebab
nenek saya tu tak suka kopi. Bila saya bancuh kopi, nenek saya terus bagi
kucing dia minum. So, kucing nenek
saya tu lah yang rasa kopi saya tu,” cerita Nur Edleen, tersengih.
Edzuary
menepuk dahi. Kenapalah dia berjumpa dengan Nur Edleen? Lama-lama aku yang jadi
bengap kalau layan dia lagi, gerutu Edzuary.
“Awak
minum kopi tu!” arah Edzuary, keras.
“Saya?”
tanya Nur Edleen, inginkan kepastian. Jarinya mengunjuk ke dirinya sendiri.
Edzuary
sekadar mengangguk.
Tanpa
membuang masa, Nur Edleen mencapai cawan kopi tersebut lalu meneguknya.
Sepertimana berkerut Edzuary tatkala meminumnya, begitu jugalah Nur Edleen.
Tanpa disengajakan, dia menghamburkan air kopi ke muka Edzuary.
“Nur
Edleen!” jerit Edzuary.
“Alamak
encik, maaf. Saya memang tak sengaja nak semburnya ke muka encik,” ucap Nur
Edleen, takut-takut. Dicapai tisu dari kotak dan mengelap muka Edzuary. Rasa
bersalah kerana berbuat begitu terhadap Edzuary.
“Sudah!
Awak keluar sekarang. Bawa kopi awak yang entah apa-apa ni sekali. Memang tak
layak kahwin betullah awak ni. Buat kopi semudah ini pun tak boleh,” arah
Edzuary, meninggi. Dicapai tisu lalu mengelap wajahnya sendiri.
Nur
Edleen tertunduk. Terasa hati dengan kata-kata Edzuary. Tanpa menjawab, dibawa
langkah keluar dari bilik. Kira bersyukurlah aku nak buatkan untuk kau. Kalau
tidak, tak ingin aku nak buat, rungutnya di dalam hati. “Err.. encik!” panggilnya
dan menapak ke meja Edzuary semula.
Edzuary
tidak membalas. Hanya matanya sahaja mengisyaratkan kepada Nur Edleen.
“Lupa
pulak saya nak bagitau pada encik. Kopi kat pantry
tu dah habis. Karmila kata, encik tak nak minum air lain selain daripada kopi.
Jadi, saya amiklah apa sahaja yang ada di dalam kabinet kat pantry tu. Mungkin sebab itulah rasa
kopi ni jadi tak sedap,” bohong Nur Edleen, seraya mencapai cawan dari atas
meja Edzuary. “Maaf ya encik. Lepas ni saya belajar macam mana nak bancuh
kopi,” katanya pula dan berlalu dari situ.
Berkerut-kerut
dahi Edzuary mendengar penjelasan Nur Edleen. Matanya mengekori langkah Nur
Edleen sehingga ke muka pintu bilik. Panas hatinya ketika itu.
“Encik,
sebenarnya saya tak pandai nak bancuh kopi. Saya pun tak berapa kenal serbuk
kopi tu juga. Encik jangan marah ya. Nanti saya tanya pada ‘Encik Google’, serbuk kopi tu apa,” sambung Nur Edleen dan menutup
pintu bilik. Seminit kemudian, dia mengekek ketawa tatkala mengingati wajah
berkerut Edzuary. Mustahil Nur Edleen tidak mengenali serbuk kopi. Memang Nur
Edleen sengaja hendak mengenakan Edzuary dengan mencampurkan serbuk kopi, teh
dan milo sekali gus dan membancuhnya untuk Edzuary. Malah, dia juga sengaja
menghamburkan air kopi ke muka Edzuary. Sekadar untuk membalas dendam pada
Edzuary atas syarat yang dikenakan oleh Edzuary. Baru padan muka kau! Ejeknya
di dalam hati.
“Alamak!
Aku terlupa la pulak. Kalau tak tanya, mesti Zura marahkan aku,” kata Nur
Edleen dan berfikir sejenak. “Baik aku tanya dia dulu,” tambahnya pula. Tombol
pintu bilik Edzuary dipulas semula.
Edzuary
mendengus geram. Sakit telinganya mendengar penjelasan Nur Edleen. Mana mungkin
perempuan tidak tahu membancuh kopi? Kalau disuruh budak darjah lima pun, pasti
tahu membancuhnya. Huh! Sengaja nak kenakan aku la ni, duga hatinya.
“Encik
Edzuary!” panggil Nur Edleen. Terjengul kepalanya di sebalik pintu bilik.
“Opocot
mak kau terjatuh!” latah Edzuary dan terlompat.
Nur
Edleen mengerutkan dahi. Seminit kemudian, dia tertawa besar mendengar latah
Edzuary. Kata aku melatah, dia pun sama. Lagi teruk dari aku, bisik Nur Edleen
dan tersengih.
“Awak
nak apa lagi, Nur Edleen?” tekan Edzuary sambil cuba menahan rasa malu.
“Encik
free tak tengahari ni?” tanya Nur
Edleen.
“Kenapa?”
tanya Edzuary, berkerut.
“Nak
ajak encik pergi dating. Nak tak?”
jawab Nur Edleen, selamba dan tersengih.
Edzuary
mengecilkan mata. Wajah sengihan Nur Edleen ditatap penuh curiga. Hatinya
tertanya-tanya sendiri dengan ajakan Nur Edleen. Benar ataupun tidak?
“Saya
tunggu kat pintu utama tengahari nanti ya, encik,” pesan Nur Edleen dan menutup
pintu bilik. Senyuman terbias di wajahnya.
Edzuary
tergamam. Pesanan Nur Edleen bermain-main di kotak fikiran. Perlukah dia
percaya dengan ajakan Nur Edleen itu? Khuatir, Nur Edleen akan mempermain-mainkannya
sekali lagi. Khuatir juga, Nur Edleen sengaja menduga hati dan perasaannya.
“Kalau
dia main-mainkan aku lagi, siaplah dia tu. Aku kerjakan dia cukup-cukup,” bisik
Edzuary sendirian.
“ALA…
aku tak tanya lagi la Zura. Macam mana aku nak tanya kalau muka dia mengalahkan
aku yang terkena sakit senggugut sekarang ni,” beritahu Nur Edleen dan tertawa
kecil. Teringat akan riak di wajah Edzuary sebentar tadi. Tangannya mengurut
kecil perut yang terasa sakit akibat senggugut.
“Habis
tu, macam mana? Tinggal dua bulan saja lagi ni. Kita nak cari tempat, catering dan lain-lain. Perlu masa juga
tu nanti,” jelas Ezzura, serius.
Nur
Edleen menghela nafas ringan. Otaknya ligat memikirkan jalan untuk bercakap
dengan Edzuary tentang sumbangan itu. Baru sahaja dia dibasuh oleh Edzuary dan
tidak mustahil dia akan dibasuh Edzuary lagi. Walaupun hatinya terusik dengan
kompelin Edzuary sebentar tadi, namun dia tidak mengambil peduli itu semula.
Seakan kebal hatinya itu dan tidak pernah terasa hati dengan sesiapa pun.
“Aku
cuba Zura. Kau janganlah berharap sangat dari dia. Kalau dia tak nak bagi
sumbangan, kita carilah orang lain,” beritahu Nur Edleen.
Ezzura
menarik nafas dan melepaskannya lembut. Betul juga apa yang diperkatakan oleh
Nur Edleen. Tidak seharusnya mereka berharap pada Edzuary. Jika Edzuary tidak
dapat menyumbang, mereka terpaksa mencari sumber lain untuk menampung kos
program tersebut.
“Baiklah
Leen. Kalau kita tak berjaya dapatkan sponsor
dari dia, kita cari sumber lain. Tapi, aku tetap berdoa kau akan berjaya
pujuk dia menyumbang untuk program kita tu,” kata Ezzura, penuh harapan.
“Insya-Allah,
aku akan cuba Zura,” balas Nur Edleen.
“Kalau
dia tak setuju, kau buatlah dia jadi setuju. Aku yakin kau boleh buatnya.”
“Err…
nak buat macam mana?”
“Ala
kau ni, buat-buat tak faham pulak. Aku rasa dia dah tangkap lentok dengan kau.”
“Tangkap
lentok? Macam mana tu?” tanya Nur Edleen, lurus.
Ezzura
menepuk dahi. Lurus bendul! “Aku rasa dia dah jatuh cinta dengan kau.”
“Jatuh
cinta!!” jerit Nur Edleen, terkejut.
“Wei,
pekak la telinga aku. Yang kau jerit kuat-kuat tu, kenapa?” tegur Ezzura dari
hujung talian.
“Sorry, aku tak sengaja. Aku terkejut
dengan penerangan kau tadi,” ucap Nur Edleen, serba salah. “Mustahil!” bidasnya
pula.
“Apa
yang mustahilnya? Aku pasti, dia dah jatuh cinta dengan kau. Cuba kau fikir
balik, macam mana dia ambil berat tentang kau?”
“Aku
tak percaya. Salah ke seorang ketua ambil berat pada orang bawahannya?”
“Suka
hati kau la Leen nak percaya ataupun tidak. Aku bercakap ni pun berdasarkan apa
yang aku lihat selama kau jadi orang bawahan dia.”
Nur
Edleen hanya mendengar. Otaknya cuba merencanakan dengan apa yang dijelaskan
oleh Ezzura. Benarkah Edzuary sudah jatuh cinta dengannya? Tak mungkin semudah
itu Edzuary jatuh cinta dengannya.
“Aku
letak dulu la Leen. Bos aku nak jumpa aku. Jangan lupa update aku lepas kau ayat dia,” kata Ezzura berupa pesanan. Seminit
kemudian dia tertawa dengan ayatnya tadi.
Nur
Edleen turut sama tertawa. Dimatikan talian dan berdiri di jendela sambil
membuang pandang di situ. Keluhan berat terlepas dari bibir. Bagaimana untuk
meminta sponsor dari Edzuary? Otaknya
dikerah supaya berfikir akan jalan penyelesaian. Tidak mahu mengecewakan hati
kawan-kawannya. Sungguh, Nur Edleen merasa serba salah ketika ini.
Nur
Edleen mengerling jam di tangan. Masa sudah menginjak ke satu petang. Terlalu
lama dia memikirkan kata-kata Ezzura. Terlalu lama dia mencari jalan penyelesaian.
Tanpa berlengah, dibawa langkah keluar dari bilik untuk ke pintu utama. Dia
perlu memujuk Edzuary agar memberi sponsor
untuk program mereka nanti.
“Jom!”
tegur Edzuary, tiba-tiba sehingga membuatkan Nur Edleen terkejut.
“Encik
ni, cuba jangan main sergah saja. Bagilah salam dulu,” geram Nur Edleen dan
mengurut kecil dadanya yang berombak laju.
“Jangan
banyak bunyi, cepat!” arah Edzuary, serius.
Nur
Edleen mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan arahan Edzuary.
“Kan
awak yang ajak saya pergi dating, so…”
“Okey!”
pintas Nur Edleen, laju. Tidak mahu mendengar bebelan Edzuary.
Edzuary
mendengus kecil. Langkah dilajukan menuju ke pintu utama. Mata-mata yang
memandang, tidak dihiraukan. Otaknya sudah merancang sesuatu. Sebelum Nur
Edleen mengenakan aku, baik aku kenakan dia dulu, bisik hatinya nakal.
“BETUL
ummi, Leen tak ada apa-apa. Leen dah sihat,” beritahu Nur Edleen.
“Leen
tak tipu ummi?” tanya Hajah Norhayati, inginkan kepastian.
“Betul
ummi. Leen tak tipu. Kalau Leen tipu ummi, Leen kena…”
“Jangan
nak mengarut Nur Edleen!” pintas Hajah Norhayati. Dia yakin Nur Edleen akan
cakap yang bukan-bukan demi membuktikan kata-katanya tadi. “Ummi percaya,”
ujarnya pula.
“Ummi
janganlah risau. Leen tak ada apa-apa. Lagi satu, ummi tak perlulah susah-susah
datang jumpa Leen. Kalau ada apa-apa nanti, Leen bagitau pada ummi,” beritahu
Nur Edleen.
Hajah
Norhayati menghela nafas lembut. Hatinya masih khuatir akan keadaan Nur Edleen.
Selepas Haji Marwan mengkhabarkan padanya tentang Nur Edleen, serta merta
hatinya rasa kurang enak dan tidak tenteram. Ditambah dengan mimpi yang Nur
Edleen alami menambahkan kerisauan di hati.
“Ummi…”
panggil Nur Edleen.
“Ummi
risaukan Leen. Ummi nak lawat Leen, abah Leen tak bagi. Kata abah, Leen tak ada
apa-apa. Tapi, ummi tetap risaukan Leen,” adu Hajah Norhayati, sayu.
Nur
Edleen menggaru kepala. Kenapa Hajah Norhayati risau akan dirinya? Baru sekali
dia pengsan, umminya sudah kerisauan sebegitu sekali. Bagaimana jika dia
kemalangan? Sudah tentulah umminya akan bertambah risau, malah mungkin tidak
akan tidur semalaman kerana risau. Kemalangan? Hatinya berbisik, sayu.
“Kalau
ada apa-apa, Leen jangan lupa bagitau ummi. Jangan lupa balik selalu ke rumah
ni,” pesan Hajah Norhayati, tegas.
“Insya-Allah
ummi.” Hanya itu yang mampu diucapkan. Tidak mahu Hajah Norhayati risau akan
dirinya. “Opocot!!” suara Nur Edleen tatkala tubuhnya terlanggar tubuh
seseorang.
“Kenapa
Leen?” tanya Hajah Norhayati bernada risau.
“Awak
ni mata letak kat mana? Yang awak boleh langgar saya ni, kenapa?” geram Edzuary
beriak tegang.
“Ummi,
nanti Leen call ummi balik. Ada kes
langgar lari ni,” ujar Nur Edleen dan tertawa kecil. Matanya menatap wajah
tegang Edzuary.
“Langgar
lari? Leen jangan takut-takutkan ummi,” tekan Hajah Norhayati.
“Ummi,
nanti Leen call balik,” ulang Nur
Edleen dan mematikan talian.
“Leen…
Leen…” panggil Hajah Norhayati. “Hisy budak ni. Kita tak habis tanya, dia dah
letak dulu,” rungutnya pula dan meletakkan telefon di atas meja. Keluhan ringan
terlepas dari bibir. Risau terhadap Nur Edleen, tidak pernah surut dari hatinya
dari dulu sehinggalah sekarang.
Nur
Edleen tersengih. Wajah tegang Edzuary ditatap mesra. Hisy dia ni, cuba la muka
tu dimaniskan, ini tidak, masam mencuka aje. Kalau budak tiga tahun tengok pun,
jadi takut, kutuk Nur Edleen di dalam hati.
“Yang
awak tersengih tu, kenapa?” tanya Edzuary, keras. Sakit matanya menatap wajah
sengihan Nur Edleen.
“Err…
kan saya terlanggar encik tadi. Saya minta maaf ya, encik,” jawab Nur Edleen
dan masih tersengih.
“Sedar
pun yang awak dah langgar saya tadi. Mata awak tu letak kat mana, kat lutut
ke?” geram Edzuary dan mendengus kasar.
“Encik
ni, lutut manalah ada mata. Setahu saya, lutut ada kepala aje,” kata Nur Edleen,
lurus. “Sekejap ya encik, saya nak check lutut
saya ni. Kut-kut betul kata encik, lutut ada mata,” katanya sambil menunduk dan
melihat lututnya sendiri.
Edzuary
hanya memandang. Sakit hatinya melihat tingkah Nur Edleen itu.
“Susah
pulak nak tengoknya, encik. Saya kan pakai seluar. Ha.. jangan-jangan, lutut
encik yang ada mata tak? Meh sini, saya nak tengok lutut encik tu. Penemuan
tergempar ni. ‘Seorang lelaki mempunyai mata di lutut’,” kata Nur Edleen dan
tergelak.
“Nur
Edleen!!” sebut Edzuary sehingga mengejutkan orang ramai yang lalu lalang di
situ.
Gulpp!!
Nur Edleen menelan liur. Wajah tegang dan menyinga Edzuary ditatap berserta
kerutan di dahi. Salah ke apa yang dikatakannya tadi?
“Err...
maaf semua. Kawan saya ni tengah excited sangat
sebab isterinya baru melahirkan anak. Kalau nak ucapkan tahniah pada kawan saya
ni, silakan. Jangan malu-malu dan segan,” terang Nur Edleen sambil tersengih
pada orang ramai yang memandang ke arah mereka berdua. Digaru kepalanya yang bertudung.
Rasa malu turut menumpang di dalam hatinya juga.
“Apa
yang awak merepekkan ni, Nur Edleen?” marah Edzuary, tegang. Darah merah sudah
pun menyerbu ke muka. Menunggu masa untuk menghamburkan kemarahannya pada Nur
Edleen. Kenapa Nur Edleen boleh berkata begitu? Tanpa menunggu balasan, segera
dia beredar dari situ. Jika dilayan, makin sakit hatinya dengan Nur Edleen. Aku
nak kenakan dia, aku balik yang terkena, gerutunya di dalam hati.
Nur
Edleen hanya memandang. Bukan niatnya membuat Edzuary marah. Apa yang
diperkatakan tadi, ikhlas lahir dari hatinya. Dengan malas, langkah diatur
mengekori Edzuary dari belakang. Entah kenapa dapat dirasakan kesakitan di
perut. Mungkinkah senggugut sedang menyerang perutnya ketika itu. Dia
menghentikan langkah dan duduk mencangkung di situ. Tidak peduli dengan
pasang-pasang mata yang sedang memerhatikan tingkahnya.
Edzuary
melangkah laju meninggalkan Nur Edleen. Terasa sakit sungguh hatinya ketika ini.
Tidak menyangka Nur Edleen sanggup memalukan dirinya di khalayak ramai. Belum
pernah lagi dia dimalukan sebegitu.
“Huh!
Sakit hati aku dengan perangai dia tu. Aku nak kenakan dia, dia yang kenakan
aku balik,” rungut Edzuary sendirian. “Nur Edleen!” panggilnya. Namun, tiada
sahutan. Lantas, dia menoleh ke belakang. Alangkah terkejut tatkala kelibat Nur
Edleen tiada di belakang. Matanya meliar mencari Nur Edleen di pasaraya
Carrefour itu. Seminit kemudian, matanya terpahat ke tubuh Nur Edleen yang
sedang mencangkung di sudut tepi pasaraya tersebut. Tanpa berlengah, segera dibawa
langkah menghampiri Nur Edleen.
“Encik!”
seru Nur Edleen, perlahan. Tangannya menekan perut yang terasa sakit. Rasa
ingin berbaring sahaja di waktu itu. “Sakit perut!” adunya, berkerut.
“Sakit
perut? Awak jangan nak tipu saya Nur Edleen. Baru tadi awak main-mainkan saya.
Tak mustahil awak berniat begitu sekarang ni,” kata Edzuary, tidak percaya.
Nur
Edleen menghela nafas ringan. Beginilah Nur Edleen rasa setiap kali dia datang
bulan. Dia akan mengalami senggugut yang teruk sehingga terpaksa mengambil ubat
di klinik.
“Yang
awak mencangkung lagi tu, kenapa? Cepatlah bangun. Awak tahu tak dah pukul
berapa sekarang ni? Tadi, awak yang beria sangat nak ajak dating dengan saya. Bila saya dah setuju, awak buat perangai macam
ni pulak. Perempuan jenis apa awak ni,” luah Edzuary.
Nur
Edleen mengangkat muka. Wajah tegang Edzuary ditatap. Dapat dirasakan matanya
mulai berkaca dan dilarikan pandangan selepas itu. Tidak mahu Edzuary melihat
kelemahannya. Dengan perlahan, bingkas, dia bangun dari duduk mencangkung. Berkerut-kerut
dia menahan kesakitan di perut.
“Terima
kasih kerana sudi keluar dating
dengan saya. Terima kasih juga kerana menghantar saya ke hospital hari tu,”
ucap Nur Edleen, bergetar. Cuba menahan daripada menangis. Sungguh, hatinya
terasa dengan kata-kata Edzuary sebentar tadi. Tidak menyangka begitu sekali
tanggapan Edzuary terhadap dirinya. Adakah selama ini dia suka
mempermain-mainkan orang? Adakah selama ini dia suka mengenakan orang lain?
Jika tidak mengenali dirinya dengan lebih dekat, orang akan menganggapnya
sebegitu. Biarlah. Satu hari nanti dia akan tahu siapa aku yang sebenarnya,
bisik hatinya, sayu.
Jumpa minggu hadapan.. Insya-Allah
Terima kasih kerana membaca
(^___*)