“BARU balik, Daus?” tegur Mak Jah dari arah
ruang tamu.
“Mak tak tidur lagi ke?” tanya Firdaus sambil melabuhkan
duduk di sofa.
“Mak tunggu Daus balik. Mata ni pun belum mengantuk lagi,”
jawab Mak Jah.
Firdaus mengeluh berat. Diraup sekali wajah dan memandang ke
wajah Mak Jah.
“Kenapa mengeluh ni? Tak baik mengeluh.”
“Daus tahu, mak. Maafkan Daus.”
“Daus ada masalah ke? Tentang syarikat Daus ke?”
Firdaus sekadar menggelengkan kepala.
“Habis tu, masalah apa?”
“Elisya, mak!” ujar Firdaus, perlahan.
“Elisya? Kenapa dengan Elisya?” tanya Mak Jah, kalut.
“Tak ada apa-apa, mak. Mak janganlah risau.”
“Mana mak tak risau, Daus. Dah lama mak tak jumpa dengan
Sya. Rindu sangat-sangat pada dia,” luah Mak Jah, sebak.
“Daus dah jumpa dengan Sya,”
“Apa? Daus dah jumpa Sya? Kat mana Daus? Bawa mak jumpa
dengan dia. Mak teringin sangat nak jumpa dengan dia,” pinta Mak Jah,
mengharap.
“Insya-Allah, mak. Daus akan bawa mak jumpa dengan Sya.”
“Ya Allah, syukur alhamdulillah. Akhirnya, Daus dah jumpa
dengan Elisya. Mak gembira sangat-sangat,” luah Mak Jah, girang.
Firdaus hanya mengangguk. Wajah ceria maknya ditatap mesra.
Perlukah dia memberitahu keadaan Elisya kepada maknya itu?
“Daus bawa Sya ke rumah ni. Mak nak masak special untuk Sya. Ayam masak merah,
makanan kegemaran Sya,” cerita Mak Jah, teruja.
“Insya-Allah, mak. Kalau Daus jumpa dengan Sya lagi, Daus
bawa Sya ke rumah ni.”
“Tak sabarnya mak nak jumpa dengan Elisya.”
“Mak!”
“Kenapa, Daus?”
“Kalau Daus beritahu pada mak sesuatu, mak jangan terkejut.
Daus nak mak tahu keadaan Sya terlebih dahulu. Daus tak nak, bila Daus bawa Sya
ke sini, mak terkejut,” terang Firdaus penuh cermat.
“Apa maksud Daus? Tentang apa?” tanya Mak Jah tidak sabar.
“Sebenarnya… sebenarnya… Sya lumpuh, mak,” tutur Firdaus
menghela nafas berat.
“Lumpuh!” ulang Mak Jah, terkejut.
Firdaus mengangguk lemah.
“Macam mana boleh lumpuh, Daus? Sya alami kemalangan ke?”
tanya Mak Jah, ingin tahu. Tidak semena-mena, air mata mengalir keluar dari
tubir mata. Sebak dan hiba mendengar perkhabaran itu.
“Daus tak tahu. Daus tak sempat nak tanya Sya. Insya-Allah,
kalau Daus jumpa semula dengan Sya, Daus akan tanya sebab dan kenapa Sya
lumpuh,” jelas Firdaus, terang dan nyata. Berharap, Mak Jah mengerti akan
kata-katanya itu.
“Adakah disebabkan kita Sya jadi begitu, Daus?”
“Mak… jangan cakap macam tu. Daus rasa bersalah
sangat-sangat sekarang ni.”
“Mak bukannya apa, Daus. Mak tak tahu kenapa Sya pergi tak
beritahu pada kita dulu. Mak takut, Sya terasa hati dengan kita. Kut-kut la,
layanan kita dulu ada melukakan hati Sya,” terang Mak Jah akan rasa di hati.
Firdaus hanya mendengar. Benarkah apa yang dikatakan oleh
Mak Jah itu? Jika benar, dia yang sepatutnya dipersalahkan. Sehingga ke hari
ini, rasa kesal itu masih membelenggu diri.
“Mak masuk bilik dulu. Jangan tidur lewat sangat,” pesan Mak
Jah bingkas bangun. Bahu anaknya itu ditepuk lembut.
“Baiklah mak!” balas Firdaus lalu tersenyum.
Matanya menghantar langkah Mak Jah sehingga hilang di
sebalik pintu bilik. Tanpa berlengah, dia segera bangun dari duduk lalu menapak
ke bilik di tingkat atas. Seharian menguruskan temuduga begitu memenatkan.
Temuduga dengan beberapa syarikat untuk mendapatkan tender membekalkan
peralatan pejabat di syarikatnya.
“Tapi, Sya buat apa kat office
aku tadi? Takkan dia….”
Kata-kata Firdaus terhenti tatkala terfikirkan sesuatu.
Perlahan-lahan, bibirnya menguntum sebuah senyuman. Senyuman yang penuh makna
sekali. Laju dibawa langkah menuju ke tingkat atas. Dia perlu menelefon Kamil.
Berharap, Kamil dapat membantu menyelesaikan masalahnya ketika ini.
“Ya Allah, aku harap fail-fail tu semua ada pada Kamil
sekarang ni,” doa Firdaus penuh harapan.
“YA ALLAH…
Berikan aku
kekuatan di saat aku rebah
Berikan aku
ketenangan di saat jiwaku patah
Berikan aku
kedamaian di saat hati dan jiwaku kusut dan terbelah
Berikan aku
seluhur kasih sayangMu
Berikan aku
semurni cintaMu
Berikan aku
semua rasa-rasa itu
Ya Allah Ya
Rahman, Ya Rahim,
Secantik
namaMu Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Yang akan
memenuhi setiap rasa dan doa-doa makhlukMu
Berikan aku
rezeki halal supaya aku sihat
Berikanku
kesihatan yang baik supaya aku dapat beribadat
Berikan aku
kebahagiaan yang berhak aku dapat
Berikan aku
cinta sejati yang menyenangkan
Berikan aku
kasih sayang yang mendamaikan
Tolong sedarkan
aku andainya ada waktu
Aku alpa
dan jauh dariMu
Berikan aku
rasa itu supaya Engkau tidak jauh dariku..
Elisya menarik nafas dan melepaskannya lembut.
Ya Allah,
aku memohon dariMu jiwa yang tenang, yang beriman dengan pertemuan denganMu,
redha dengan ketentuanMu, dan merasa cukup dengan pemberianMu. Kau lapangkanlah
dadaku, mudahkanlah segala urusanku dan lepaskan kekakuan lidahku, agar mereka
mengerti perkataanku. Hanya padaMu aku memohon dan mengadu.
Amin, amin
Ya Rabbal Allamin…
Sehabis sahaja berdoa, Elisya meraup wajah. Dipejamkan mata
sambil cuba menghalau perasaan yang sedang berkecamuk hebat. Hanya kepada
Allah, tempat untuknya mengadu segala keresahan di hati.
“Sya…” seru Dahlia, tiba-tiba.
Elisya menoleh. Wajah Dahlia menyapa mata. Senyuman
diberikan kepada kawan baiknya itu. Ditanggalkan telekung lalu melipatnya.
Menanti butir bicara daripada Dahlia.
“Sya, phone kau
berbunyi banyak kali. Aku tak berani nak angkat,” beritahu Dahlia seraya
menghulurkan telefon bimbit milik Elisya.
“Oh, ya ke. Aidid kut!” tebak Elisya sambil membalas
huluran.
“Tak! Private number!”
balas Dahlia berlalu dari situ.
Elisya berkerut dahi. Private
number! Siapa yang menelefon? Seminit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi
semula. Ditatap skrin telefon bimbit buat seketika.
“Assalamualaikum,” mulai Elisya sebaik sahaja telefon bimbit
dilekapkan ke telinga.
“Waalaikumussalam,” balas Firdaus, lembut.
Semakin berkerut dahi Elisya. Siapa yang berada di hujung
talian? Seakan pernah mendengar suara itu.
“Elisya…” seru Firdaus masih lembut.
“Siapa?” tanya Elisya ingin tahu. Bagaimana suara itu
mengenalinya?
“Firdaus!” jawab Firdaus, sepatah.
Berderau Elisya mendengarnya. Firdaus? Firdaus Hakimi?
Bagaimana Firdaus mengetahui nombor telefonnya? Dari mana Firdaus mendapat nombor
telefonnya? Pelbagai persoalan sedang bermain-main di minda.
“Elisya.. Sya..” panggil Firdaus tatkala tidak mendapat
respon daripada Elisya.
“Ma… ma.. cam mana awak tahu nombor phone saya?” tanya Elisya, bergetar.
“Dari seseorang!” jawab Firdaus, tersenyum.
Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana berjaya
mendapatkan nombor telefon Elisya. Mujur juga Kamil masih berada di office, menyiapkan laporan yang
diberinya tadi.
“Seseorang? Siapa?” desak Elisya. Nama Aidid meniti di benak
hati.
“Awak dah lupa ke? Bukan ke syarikat awak ada memohon tender
syarikat saya? Jadi, saya minta staf saya cari fail syarikat awak dan saya
dapatnya dari situ,” terang Firdaus.
Elisya mengeluh berat. Perlukah dia mematikan talian atau
mendengar bicara daripada Firdaus? Hatinya berbelah bagi ketika ini.
“Sya, saya minta maaf sebab gunakan cara begitu. Kalau saya
tak buat macam tu, sampai bila-bila pun saya takkan tahu di mana awak berada,”
jelas Firdaus pula. Berharap, Elisya memahami akan tindakannya itu.
“Awak nak apa daripada saya, Firdaus Hakimi?” tanya Elisya,
lurus. Tidak mahu berlengah serta membuang masa.
Firdaus mengeluh berat. Sikap dingin Elisya menggigit
tangkai hatinya. Bagaimana untuk meluahkan perasaan jika Elisya bersikap begitu
kepadanya?
“Kalau tak ada apa-apa saya letak dulu,” ujar Elisya.
Bersedia untuk mematikan talian. Namun, ditahan oleh Firdaus.
“Mak dan Farah nak jumpa dengan Sya.”
Elisya tersentak. Mak Jah, Farah! Detik hatinya sayu. Rasa
rindu turut menujah ke dalam hati ketika ini.
“Mereka rindu dan nak jumpa dengan Sya.”
Elisya menghela nafas berat.
“Insya-Allah, kalau ada masa nanti saya jumpa dengan Mak Jah
dan Farah.”
“Baiklah, Sya. Maafkan saya sebab mengganggu awak,” kesal
Firdaus.
“Saya letak dulu,” balas Elisya lalu mematikan talian.
Firdaus mengeluh berat. Diletakkan telefon bimbit di atas
meja dan meraup muka. Elisya masih cuba untuk mengelak darinya.
“Siapa call kau
tadi?” tanya Dahlia, tiba-tiba.
“Haaa…” balas Elisya, terpinga-pinga.
“Siapa call kau?”
ulang Dahlia sambil duduk di birai katil.
“Firdaus Hakimi!”
“Firdaus Hakimi?”
Elisya mengangguk lemah.
“Dia nak apa daripada kau? Mana dia dapat nombor phone kau?” tanya Dahlia, bertubi-tubi.
“Dia dapat dari permohonan aku. Syarikat dia yang tawarkan
tender tu,” jelas Elisya sambil menggerakkan kerusi rodanya ke meja kerja.
Dahlia mengangguk faham. Dia memerhatikan tingkah laku
Elisya.
“Lia, aku nak minta tolong kau sesuatu, boleh?”
“Tolong? Tolong apa?”
“Esok, boleh tak kau hantarkan aku ke kubur? Dah lama aku
tak melawat kubur arwah papa dan mama aku. Rindu pada mereka berdua,” pinta
Elisya bernada sebak.
“Boleh! Esok, aku hantarkan kau ke sana.”
“Terima kasih, Lia. Aku ni banyak menyusahkan kau. Malu dan
segan aku dengan kau.”
“Sya, kan aku dah cakap pada kau dulu. Kau tak pernah
susahkan aku. Aku ikhlas lakukan untuk kau dan aku tak harapkan balasan
daripada kau. Manalah tahu kan suatu hari nanti, aku pulak yang perlukan
pertolongan dari kau,” jelas Dahlia, ikhlas.
Menghalau rasa serba salah di hati Elisya. Selama ini, hanya
Elisya kepentingannya. Selagi Elisya tidak berkahwin, selagi itulah dia akan
setia di sisi kawan baiknya itu.
“Aku tetap rasa begitu, Lia,” ujar Elisya, perlahan.
Dahlia bingkas bangun dari duduk. Bahu Elisya dipegang
kejap. Senyuman diberikan kepada Elisya.
“Selagi kau memerlukan aku, selagi itulah aku akan sentiasa
berada di sisi kau.”
Elisya tersenyum. Tangannya menyentuh lembut tangan Dahlia.
Bersyukur kerana memiliki seorang kawan seperti Dahlia.
Selama dua tahun ini, Dahlia setia berada di sisinya.
Sungguh, dia berasa terharu atas pengorbanan Dahlia. Rasa bersalah turut sama
menumpang di hati.
Sehingga ke hari ini, belum pernah lagi dia melihat Dahlia
keluar dengan mana-mana lelaki. Adakah disebabkan keadaannya, Dahlia tidak mahu
keluar mahupun bercinta dengan lelaki? Adakah Dahlia sama seperti Aidid?
Memikirkan tentang dirinya.
“Aku keluar dulu. Kau jangan tidur lewat sangat,” pesan
Dahlia lalu menapak keluar dari bilik Elisya.
“Yes boss!” balas
Elisya lalu ketawa kecil.
Dahlia turut sama ketawa. Gelengan kecil diberikan kepada
kawannya itu.
Elisya masih lagi ketawa. Matanya menghantar langkah Dahlia
sehingga kelibat itu hilang di sebalik pintu bilik. Lantas, dicapai laptop lalu menghidupkannya. Dia perlu
menyelesaikan beberapa kertas kerja untuk dihantar ke kementerian.
Semenjak dia mengambil alih syarikat membekal peralatan
pejabat milik keluarganya, tidak menang tangan dibuatnya. Walau bagaimana
sekalipun rintangan yang datang, dia akan cuba mengharunginya sebaik mungkin.
Elisya mencapai tetikus lalu menggerakkannya. Folder ‘Personal’ dibuka dan mencari fail bernama ‘Diariku’. Setelah
berjumpa, fail itu dibuka lalu membacanya. Segala mengenai peristiwa yang
berlaku selama ini dicoretkan di dalam fail tersebut.
Hanya pada diari itu, tempatnya meluahkan perasaan. Tatkala
membacanya, serta-merta kenangan lalu terimbas semula. Keluhan terlepas
daripada bibir. Sampai bila dia akan mengingati kisah itu? Kisah yang telah
mengubah seluruh kehidupannya.