BAB 10
Fauziah memerhatikan tingkah Nur Ain.
Ada sesuatu yang berbeza pada Nur Ain dari sebelum ini. Nur Ain banyak membisu
daripada berkata-kata. Nur Ain banyak menyendiri daripada bergaul dengan
pekerja-pekerja yang lain. Kenapa Nur Ain berubah? Jenuh Fauziah berfikir,
tetapi dia menemui jalan buntu. Apa yang berlaku pada Nur Ain selama dua minggu
ini? Apa yang menghairankan Fauziah, Nur Ain mengambil cuti selama dua minggu.
Dan selama dua minggu itu, Encik Hazrel sekali sekala masuk ke dalam office. Malah Encik Hazrel tidak pernah
sekali pun bertanyakan tentang Nur Ain. Hanya Encik Izzuddin sahaja yang sibuk
bertanyakan tentang Nur Ain. Apa yang berlaku? Ulang Fauziah pada persoalan
yang sama.
“Ain…” panggil Fauziah perlahan.
Nur Ain menoleh sekilas ke arah
Fauziah. Seminit kemudian, dia menjatuhkan wajahnya mengadap fail di hadapannya
itu.
“Kenapa ni Ain? Kak Gie perasan, Ain
dah berubah. Ain ada masalah ke?” tanya Fauziah prihatin.
Nur Ain mengeluh ringan. Matanya
dihalakan ke arah Fauziah semula. Peristiwa dua minggu yang lepas sentiasa
bermain di tubir mata. Mana mungkin dia akan melupakan peristiwa itu seumur
hidupnya nanti. Disebabkan Hazrel, tidak mungkin Faizal bertindak melebihi
batas terhadapnya. Betapa bencinya dia terhadap lelaki bernama Hazrel dan
Faizal itu.
Nur Ain sedar, dia bukanlah seorang
yang pendendam. Malah untuk membenci orang, tidak pernah terlintas di
fikirannya itu. Tetapi, apabila ianya sudah melebihi batasan, sukar untuknya
menerima perkara itu dengan waras. Apa yang menjadi titik utama, apa tujuan
Hazrel menipu serta mempermain-mainkannya. Adakah disebabkan dirinya yang hanya
berketrampilan seperti orang kampung maka dia dinilai dan dipandang rendah oleh
setiap lelaki kaya di dunia ini? Adakah disebabkan dia tidak berharta, maka
orang akan mengambil kesempatan ke atas dirinya itu? Kenapa perkara itu harus
terjadi pada dirinya?
“Ain…” seru Fauziah lembut.
Berterbangan lamunan Nur Ain dek kerana
seruan itu. Entah kenapa matanya mulai berkaca. Terasa sebu dan sebak di
dadanya tiba-tiba.
“Ain ke bilik air sekejap Kak Gie,”
pinta Nur Ain seraya bangun.
Fauziah sekadar mengangguk. Matanya
mengekori langkah Nur Ain hingga hilang di sebalik pintu. Hatinya kurang senang
melihatkan reaksi Nur Ain itu.
Nur Ain segera menuju ke bilik air.
Tidak mahu Fauziah mengesani akan keadaannya itu. Sungguh Nur Ain masih lagi
tidak mampu untuk menerima peristiwa itu sebagai takdir dalam hidupnya. Dia
perlu menghamburkan air matanya ketika itu dan hanya bilik air tempat yang
selesa untuknya menghamburkan segala rasa di dalam hatinya itu.
“Nur Ain!” panggil Hazrel tatkala Nur
Ain melewati bilik Hazrel.
Terhenti langkah Nur Ain. Dia menoleh
sekilas ke dalam bilik Hazrel. Kemudian, dia menyambung langkahnya menuju ke
bilik air. Tidak berminat untuk menatap mesra wajah Hazrel. Betapa bencinya dia
dengan Hazrel di waktu ini.
Hazrel mengerutkan dahi. Rasa tercabar
apabila panggilannya itu tidak bersahut oleh Nur Ain. Bingkas dia bangun dari
duduknya dan menapak keluar bilik. Sengaja dia membuka pintu biliknya untuk
melihat kalau-kalau Nur Ain melalui hadapan biliknya itu. Rasa menyesal dengan
apa yang terjadi dua minggu yang lepas, masih lagi menapak di dalam hatinya.
Walaupun hatinya masih sakit dengan perbuatan Eddie yang menumbuk mukanya,
setelah ditimbal balik, Hazrel perlu meminta maaf dengan Nur Ain. Jika tidak,
rasa bersalahnya akan menapak kemas di dalam dirinya itu.
“Ain!” panggil Izzuddin pula.
Bingkas Izzuddin bangun dari duduknya
dan menapak ke muka pintu. Nur Ain setia menantinya di muka pintu bilik.
“Ada apa Encik Izz?” tanya Nur Ain.
“Err, tengahari ni, kita makan sama
nak. Saya ada perkara nak bincangkan dengan Ain,” ajak Izzuddin ikhlas.
“Tengahari ni? Saya ada bawa bekal
Encik Izz. Lain kali ajelah ya,” tolak Nur Ain lembut. Matanya menjamah wajah
Izzuddin.
“Saya belanja awak Ain. Bekal tu,
bila-bila pun awak boleh makannya.”
“Tak mengapalah Encik Izz. Membazir
nanti. Lagipun bekal tu, maksu saya yang masak. Nanti apa pulak kata maksu saya
kalau saya tak menjamahnya,” jelas Nur Ain jujur.
Izzuddin menarik nafas dan
melepaskannya lembut. Matanya menatap wajah Nur Ain yang kelihatan muram.
Mungkinkah Nur Ain punya masalah ketika ini?
“Tak mengapalah. Lain kali kalau saya
ajak, awak tak boleh nak menolaknya lagi. Dah dua kali awak tolak pelawaan
saya. So, kali ketiga nanti, saya
harap awak tak tolak Ain.”
“Insya-ALLAH, saya akan cuba. Saya ke bilik
air sekejap,” pamit Nur Ain dan mengatur langkah menuju ke bilik air.
Izzuddin hanya melihat. Rasa hampa
tatkala pelawaannya di tolak oleh Nur Ain. Matanya menghantar langkah Nur Ain.
“Kau sembang apa dengan dia?” tanya
Hazrel tiba-tiba dari arah belakang. Ada nada cemburu dari hujung ayatnya itu.
Terkejut Izzuddin mendengar pertanyaan
itu. Dia menoleh ke belakang seketika dan menapak masuk ke dalam pejabatnya
semula. Hazrel hanya membuntuti sahaja.
“Aku ajak dia makan tengahari, tapi dia
tolak,” jelas Izzuddin dan melabuhkan duduknya di kerusi. Wajah Hazrel ditatap
mesra.
“Kenapa dia tolak?” tanya Hazrel
sekadar ingin tahu sambil melabuhkan duduknya.
“Dia bawa bekal. Maksu dia masak pagi
tadi.”
“Oh!” sahut Hazrel dan mengangguk
kecil.
“Yang kau tetiba tanya pasal dia tu
kenapa? Selalunya tak ada pulak kau tanya pasal dia, kutuk lagi adalah,” sindir
Izzuddin dan tergelak kecil.
Hazrel hanya mendengar. Rasa kesalnya
masih lagi bersisa. Dia perlu berhadapan dengan Nur Ain sendirian. Dia perlu meminta
maaf dari Nur Ain. Adakah Nur Ain akan memaafkannya?
“Tak boleh ke aku tanya pasal dia?
Lagipun aku kan bos kat sini.”
“Memanglah, tapi belum pernah kau
bertanya pasal dia. Muka kau tu, macam orang risaukan dia aje. Kau ada buat
sesuatu pada dia ke Haz?” tebak Izzuddin dan memandang tepat ke wajah Hazrel.
“Eh… mana ada. Kau ni memandai ajelah.
Aku balik bilik dululah,” bidas Hazrel laju seraya bangun. Dia perlu beredar
dari situ. Jika berlama pasti Izzuddin akan bertanya lagi padanya dan dia tidak
mahu cerita mengenainya tersebar di syarikat itu.
Izzuddin hanya memandang. Seperti ada
sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Hazrel darinya. Tetapi apakah dia? Izzuddin
perlu mencari jawapan pada persoalannya itu.
“Cish! Tak guna punya Hazrel. Tergamak
dia pukul aku. Naik bengkak muka aku dibuatkan dia. Siap dia aku kerjakan nanti!”
marah Faizal tidak tertahan.
Rasa sakit hatinya terhadap Hazrel dua
minggu yang lepas, masih lagi bersisa. Disebabkan tumbukan Hazrel, selama dua
minggu dia terpaksa menahan kesakitan di mukanya. Malah untuk keluar dari rumah
pun dia tidak sanggup. Mujurlah dia dapat mengelak dari bersoal jawab dengan
papanya, jika tidak, jawapan apa yang harus diberikan kepada papanya itu.
“Kau pun satu. Yang kau kacau perempuan
tu kenapa? Tak pasal-pasal kena makan penumbuk dari dia,” sindir Mazlan pedas
dan tergelak.
“Dah dia bagi green light kat aku, apa lagi, aku sambarlah. Lagipun bukannya dia
suka sangat kat perempuan tu. Silap dia juga, siapa suruh bawa perempuan tu ke
kelab,” bidas Faizal keras. Sakit telinganya mendengar ketawa Mazlan itu.
“Aku pun tak tahu nak cakap apa Zal.
Salah kau juga. Tak pasal-pasal, kau putus kawan dengan dia. Bukan sehari dua
kau berkawan dengan Hazrel, dah hampir lima tahun. Selama ini pun, Hazrel yang
banyak settlekan masalah kita,” jelas
Mazlan dan masih ketawa.
“Puihh!! Aku tak heranlah. Aku pernah
sekali gaduh dengan dia dulu. Lagipun papa aku pun kaya. Lebih kaya dari dia.
Disebabkan dia anak Dato’, dia boleh sesuka hati nak tumbuk aku. Kalau ikutkan
hati aku masa tu, mahu aje aku balas tumbukan dia. Disebabkan aku fikirkan dia
tu kawan aku, tak tergamak aku nak pukul dia,” bentak Faizal keras.
“Yalah tu. Banyaklah kau punya ‘tak
tergamaknya’. Selama ini pun Hazrel yang selalu menang kalau kau dan dia masuk
apa-apa pertandingan kat universiti dulu,” cebik Mazlan meluat. Geli hati
mendengar kenyataan Faizal itu.
“Itu sebab aku ni bukannya jenis orang
macam Hazrel tu. Berlagak, sombong, ego dan segala macam perangai buruklah. Aku
ni lelaki yang budiman,” bidas Faizal dan tersengih.
“Perasan! Siapa yang tak kenal dengan
kau. Lelaki ‘buaya darat’ kat universiti dulu,” cebik Mazlan pula. “Habis tu,
kau nak buat apa dengan Hazrel?” tanyanya pula.
Faizal tersenyum sinis. Otaknya sudah
merencanakan sesuatu rancangan. Rancangan untuk mengenakan Hazrel. Mungkin
rancangan itu akan mengubah hidup Hazrel. Biar padan dengan muka Hazrel! Biar
Hazrel menerima balasan di atas tindakannya dua minggu lepas. Faizal tersenyum
tatkala memikirkannya.
“Nanti aku bagitau kau. Aku nak minta
tolong kau juga. Aku pasti Hazrel akan tersungkur kali ini dan aku akan menang
buat selama-lamanya,” jawab Faizal dan masih tersenyum. Matanya membuang
pandang ke luar restoran.
“Apa yang kau nak buat Zal? Kalau
perkara libatkan polis, aku tak nak masuk campur. Tak pasal-pasal family aku dapat tahu, mahu di buang
keluarga aku nanti.”
“Kau ingat aku ni sekejam itu ke? Tak
adalah, aku nak bagi pengajaran kat dia aje. Jangan risaulah.”
Mazlan menarik nafas dan melepaskannya.
Pertolongan apa yang dimahukan oleh Faizal itu darinya, dia sendiri tidak
pasti.
“Okey, sebelum aku tolong kau, aku nak
tahu apa rancangan kau tu dulu. Aku pun tak sabar nak tengok Hazrel tu
tersungkur,” sahut Mazlan dan tersenyum sinis.
“Ha… macam tulah kawan aku. Saling tolong-menolong
antara satu sama lain. Nanti aku bagitau kau rancangan baik punya,” balas
Faizal turut tersenyum sinis.
Mazlan hanya mengangguk. Matanya turut
membuang pandang ke luar restoran. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke restoran
untuk menjamu selera pada tengahari itu. Tidak sabar untuk melaksanakan
rancangan Faizal.
“Ma… Haz tahu. Hujung minggu ni Haz
baliklah. Mama janganlah risau,” beritahu Hazrel keras. Letih melayan karenah
Datin Salina.
“Macam mana mama tak risau kalau Haz
acuh tak acuh bila mama cakap. Mama nak Haz balik jugak minggu ni. Dah dua
minggu Haz tak balik rumah. Mama ada perkara nak bincangkan dengan Haz,” pesan
Datin Salina tegas berserta dengusan kasar.
“Yalah mama. Berapa kali Haz nak
bagitau pada mama. Hujung minggu ni Haz baliklah,” bentak Hazrel turut keras.
Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
“Okey, mama tunggu Haz. Kalau Haz tak
muncul-muncul, mama sendiri yang akan ke rumah Haz,” ugut Datin Salina dan
mematikan talian telefon.
“Hisy mama ni. Asyik nak memaksa
ajelah. Ini mesti pasal rancangan mama nak suruh aku berkahwin dengan Qistina
gedik. Itu yang beria-ria sangat suruh aku balik. Kalau ikutkan hati, malas aku
nak balik nak mengadap muka gedik tu,” rungut Hazrel sendirian. Dia menapak
jalan menuju ke muka pintu bilik. Mencari kelibat Nur Ain.
“Aduh!” rengek Nur Ain tatkala
terlanggar Hazrel. Dia mengusap lembut dahinya yang terasa berdenyut tiba-tiba.
“Mata awak tu letak kat mana? Lutut ke?”
marah Hazrel meninggi.
Turut sama mengusap lembut dahinya yang
terasa sakit akibat perlanggaran itu. Matanya merenung tajam ke muka Nur Ain.
“Encik Hazrel yang keluar tiba-tiba,
Encik Hazrel lah yang salah!” balas Nur Ain meninggi. Seminit kemudian, dia
menyambung langkahnya. Malas untuk bertatapan dengan Hazrel. Semakin benci
melihat wajah itu.
Terkedu Hazrel mendengar suara lantang
Nur Ain. Belum pernah sekali pun Nur Ain bersikap sebegitu. Adakah disebabkan
peristiwa dua minggu yang lepas membuatkan Nur Ain berubah sebegitu rupa?
“Eh, apa ni?” marah Nur Ain tatkala
lengannya ditarik Hazrel.
Hazrel tidak mengendahkannya. Dia
menarik Nur Ain masuk ke dalam biliknya dan mengunci pintu bilik. Dia perlu membuat
perhitungan dengan Nur Ain. Dia perlu meminta maaf dengan Nur Ain. Walaupun dia
terpaksa menjatuhkan ego lelakinya, dia sanggup melakukannya asalkan Nur Ain
memaafkan kesalahannya yang lepas. Rasa sesak nafasnya jika tidak meminta maaf
pada Nur Ain.
“Encik Hazrel nak apa dengan saya?”
tanya Nur Ain meninggi. Dia meronta agar lengannya dilepaskan. “Lepaskan saya!”
pinta Nur Ain sedikit merayu.
Hazrel melepaskan pegangannya. Wajah
Nur Ain ditatap berserta kerutan di dahi. Bagaimana untuk meminta maaf dengan
Nur Ain?
“Saya nak serahkan telefon bimbit awak
ni semula,” suara Hazrel seraya mengeluarkan telefon bimbit milik Nur Ain dari
dalam lacinya. Dihulurkan telefon tersebut kepada Nur Ain.
Nur Ain memandang tepat ke telefon
bimbit yang dipegang oleh Hazrel. Hatinya menjadi panas dengan tiba-tiba.
Sungguh dia membenci telefon bimbit itu di saat ini. Jika bukan disebabkan
telefon bimbit itu, mustahil dia akan mengalami peristiwa dua minggu yang
lepas.
“Saya minta maaf Nur Ain. Saya tak
sangka Faizal sanggup bertindak melebihi batasan terhadap awak. Saya pulangkan
telefon bimbit awak semula Nur Ain,” jelas Hazrel ikhlas dan jujur. Tangannya
masih lagi menyuakan telefon bimbit kepada Nur Ain. Namun tidak disambut oleh
Nur Ain. Berkerut dahinya memandang reaksi tidak berperasaan Nur Ain itu.
“Maaf?” ulang Nur Ain mengejek.
Hazrel menganggukkan kepala.
Nur Ain merentap telefon bimbit dari
pegangan Hazrel. Dengan perasaan yang benci, dia melemparkan telefon bimbit itu
ke dinding. Melepaskan kemarahan, kebencian dan rasa menyesalnya terhadap
telefon itu. Walaupun hatinya memberontak agar tidak melakukannya, namun dia
terpaksa. Jika tidak ingatannya akan sentiasa mengingati peristiwa itu
sekiranya dia menatap telefon bimbit itu nanti. Maafkan Ain Hazrul, bisik Nur
Ain sayu sebaik sahaja telefon itu berkecai sehingga menampakkan isi dalamnya.
Setelah berpuas hati, Nur Ain mengatur
langkah untuk beredar dari situ. Tidak mahu berlama di dalam bilik itu. Rasa
sesak nafasnya mengadap wajah Hazrel. Betapa bencinya dia terhadap wajah itu. Jauh
di sudut hati, tidak terlintas langsung untuk membenci sesiapa. Mungkin dengan
cara itu, dirinya tidak mudah dibuli oleh Hazrel atau sesiapa pun lelaki kaya
di dunia ini.
Hazrel yang melihat terkejut dengan
tindakan Nur Ain. Dia terpinga-pinga buat seketika. Kenapa Nur Ain berubah laku?
Kenapa Nur Ain bertindak seperti itu? Adakah disebabkan peristiwa dua minggu
yang lepas membuatkan Nur Ain menjadi seorang yang pembenci.
“Apa masalah awak ni Nur Ain?” tanya
Hazrel meninggi seraya menarik lengan Nur Ain agar tidak keluar dari bilik itu.
Nur Ain mendengus geram. Sakit hatinya
apabila diperlakukan sebegitu. Matanya merenung tajam ke muka Hazrel.
“Bukan ke hari tu awak yang beria sangat
nakkan telefon tu balik. Bila saya dah serahkan, kenapa awak buat macam tu
pulak?” soal Hazrel keras.
“Saya benci! Benci! Disebabkan telefon itu,
maruah saya hampir tergadai. Disebabkan telefon itu, saya diperlakukan seperti
orang yang tidak bermaruah. Disebabkan telefon itu, saya diperbodoh-bodohkan.
Jadi buat apa saya perlukannya lagi,” jerkah Nur Ain meninggi.
Kemudian dia merentap tangannya dari
pegangan Hazrel. Dia perlu beredar dari situ. Tidak mahu berlama di dalam bilik
itu bersama Hazrel.
“Huh! Itulah perempuan. Bila alami
perkara yang menyentapkan hati, mulalah membenci berbagai-bagai,” sindir Hazrel
sengaja membakar hati Nur Ain.
Terhenti langkah Nur Ain mendengar kata
sindiran Hazrel itu. Dia memusingkan badan dan menatap wajah Hazrel yang
selamba. Bibirnya diketap menahan kemarahan.
“Encik Hazrel cakap apa tadi?” Keras
Nur Ain bertanya.
Hazrel menyandarkan badan ke meja
sambil berpeluk tubuh di situ. Senyuman sinis terbias di wajahnya waktu itu.
“Macamlah kau tu baik sangat. Kalau kau
tu baik sangat, kau takkan terlalu mudah ikut aku ke sana. Itu kira bagus aku datang
selamatkan kau. Kalau tidak….”
Pangg!!!
Satu tamparan hinggap di pipi Hazrel
sebelum dia menyudahkan ayatnya. Terkedu Hazrel seketika dengan tindakan Nur
Ain itu. Diusap lembut pipinya yang terasa kebas.
“Saya bukan perempuan seperti apa yang
Encik Hazrel maksudkan. Kenapa Encik Hazrel seksa saya macam ni? Apa salah saya
pada Encik Hazrel?” tanya Nur Ain sebak.
Sebak tatkala Hazrel menuduhnya
sebegitu. Adakah dia seorang perempuan yang tiada maruah? Adakah dia seorang
perempuan yang mudah dibawa ke sana ke mari? Adakah dia seorang perempuan yang
tidak pandai menjaga diri? Sungguh hatinya terasa diusik tatkala mendengar kata-kata
Hazrel itu.
Tanpa menghiraukan Hazrel, segera Nur
Ain membawa langkahnya ke arah dinding di mana telefon bimbitnya dilemparkan.
Dia menundukkan tubuhnya dan menatap hiba telefon bimbit tersebut. Dikumpul
sisa serpihan telefon itu dan dibawanya ke dadanya sendiri.
“Maafkan Ain Hazrul,” bisik Nur Ain
perlahan seraya bangun.
Hazrel yang melihat berkerut seribu. Kurang
mengerti akan tindakan Nur Ain itu.
“Terima kasih kerana membawa saya ke
tempat itu. Akan saya ingatnya sampai ke akhir hayat saya nanti,” ucap Nur Ain
dan beredar dari situ. Air matanya meniti di tubir mata, hanya menunggu sama
untuk merembes keluar.
“Lama tunggu?” tanya Eddie dan
melabuhkan duduknya berhadapan Izzuddin.
“Tak, baru aje. Kau dari mana?” balas
Izzuddin.
Seorang pelayan menghampiri mereka
berdua. Setelah memberi pesanan, Eddie menjatuhkan pandangan ke wajah Izzuddin.
Ada sesuatu pada wajah tersebut.
“Aku dari office? Kenapa kau nak jumpa dengan aku?”
Izzuddin melepaskan keluhan ringan. Perlukah
dia berterus-terang pada Eddie akan niatnya untuk memperisterikan Nur Ain?
Walaupun baru mengenali Nur Ain, hatinya sudah terpaut pada gadis itu. Dan dia
berharap agar Eddie dan Humaira menyokong akan cadangannya. Mungkin juga Eddie
dapat memujuk Humaira memandangkan Humaira ibu saudara Nur Ain.
“Aku nak tanya kau pasal Nur Ain,” ujar
Izzuddin.
“Nur Ain? Kenapa dengan Ain? Hazrel
buli Ain lagi ke?” tanya Eddie bertubi-tubi.
Izzuddin tertawa kecil. Geli hati
melihat wajah kalut Eddie. Ternyata Eddie terlalu mengambil berat akan keadaan
Nur Ain.
“Kau ni kalut semacam kenapa? Tak ada
apa-apa yang berlaku pada Ain. Aku cuma nak tanya pendapat kau aje.”
“Kush semangat, sedap telinga aku
mendengarnya. Aku ingatkan apa la tadi.” Eddie menarik nafas lega. Dadanya yang
berombak kencang semakin surut.
“Aku nak tanya pendapat kau Die. Kalau
aku nak ambil Ain jadi isteri aku, agak-agak Ain setuju tak?” usul Izzuddin dan
tersenyum.
Tersentap Eddie mendengarnya.
Terkebil-kebil matanya memandang Izzuddin di hadapannya itu. Benarkah apa yang
diperkatakan oleh Izzuddin itu?
“Kau biar betul Izz. Apa yang ada pada
Ain tu? Kau anak berada, Ain hanya gadis biasa yang berasal dari kampung. Boleh
ke family kau terima Ain?” soal Eddie
khuatir.
“Insya-ALLAH Die. Aku yakin family aku akan terimanya. Aku dah jatuh
cinta pada Ain sejak dia selamatkan aku sebulan yang lalu.”
“Maksud kau?”
“Aku hampir dilanggar, nasib baik masa
tu Ain ada dan selamatkan aku. Aku terhutang nyawa dengan Ain dan sekarang aku
benar-benar sayangkan Ain,” jelas Izzuddin jujur.
Eddie melepaskan keluahan berat. Sukar
untuk memberi pendapat. Jika diberi, adakah Izzuddin akan mendengarnya?
“Aku tak boleh nak bagi pendapat
apa-apa Izz. Semua keputusan itu terletak di tangan Nur Ain. Aku boleh usulkan
pada Humaira, tetapi aku tak ada hak pada keputusan Nur Ain. Lagipun kau belum
kenal benar dengan Ain. Aku cadangkan kau kenal dulu siapa Ain, then baru kau buat keputusan,” jelas
Eddie berbaur nasihat.
“Aku kan dah kenal hati budi Ain dan
aku yakin Ain calon yang sesuai untuk aku,” bidas Izzuddin lembut.
“Kau belum tahu kisah hidupnya Izz.
Bila kau dah tahu kisah hidup Ain yang sebenarnya, baru kau buat keputusan,”
balas Eddie turut lembut. Matanya menatap wajah Izzuddin yang sedang meneguk
air minuman.
Berkerut dahi Izzuddin cuba untuk
memahamkan maksud Eddie itu. Perkara yang sama juga didengarnya dari mulut Nur
Ain. Mungkinkah mereka menyimpan rahsia hidup Nur Ain.
“Ain bukan seperti gadis lain. Kisah
hidup Ain, penuh dengan dugaan. Tentu kau sendiri tak akan percayanya nanti,” ujar
Eddie lagi.
“Ain pernah juga bagitau pada aku
perkara yang sama. Rahsia apa yang korang sembunyikan selama ini? Kenapa dengan
kisah hidup Ain?” desak Izzuddin ingin tahu.
Eddie melepaskan keluhan berat. Perlukah
dia bercerita mengenai Nur Ain kepada Izzuddin? Sejak dari dulu lagi, Eddie
berazam akan menceritakan kisah hidup Nur Ain kepada lelaki yang bakal menjadi
suami Nur Ain. Eddie mahu bakal suami Nur Ain mengetahuinya sebelum mereka
berdua diijab kabulkan. Persoalannya, siapa bakal suami Nur Ain nanti?
“Ada baiknya kau dengar dari mulut Ain
sendiri. Kalau dari mulut aku, takut nanti timbulkan fitnah,” jawab Eddie dan
tersenyum. “Kalau kau betul-betul ikhlas dengan Ain, kau cuba tawan hati dia.
Hati dia dah lama tertutup buat cinta seorang lelaki,” sambung Eddie lagi.
Bertambah berkerut dahi Izzuddin cuba
menafsir akan maksud Eddie itu. Kisah apa yang dirahsiakan oleh Eddie. Kenapa
hati Nur Ain tertutup buat cinta seorang lelaki? Sungguh Izzuddin ingin mencari
jawapan pada persoalannya itu. Bagaimana dia harus mencari jawapan jika Nur Ain
sendiri tidak sudi untuk keluar dan mendekati dirinya. Buntu Izzuddin
memikirkannya. Selama dia berada di Cahaya, pelbagai usaha yang dilakukan Izzuddin
untuk menarik minat Nur Ain, namun semuanya tidak berhasil. Benarkah kata-kata
Eddie sebentar tadi? Hati Nur Ain tertutup buat cinta seorang lelaki? Ulang
Izzuddin di dalam hatinya.
“Aku dah cuba dekati dia Die, tapi dia
macam nak elakkan diri dari aku aje,” luah Izzuddin jujur.
“Aku tak boleh nak bagi komen apa-apa
Izz. Kau kena berusaha lebihlah kalau kau nak pikat hati dia,” balas Eddie dan
mencapai gelas minuman lalu diteguk perlahan air tersebut.
“Aku akan cuba Die. Sambil-sambil tu,
kau pushlah dia. Puji lebih-lebih
pasal aku depan dia,” seloroh Izzuddin dan tergelak.
Eddie turut sama tertawa. Geli hati
mendengar kenyataan Izzuddin itu.
“Tengoklah nanti Izz. Tapi, kalau tak
berjaya, kau jangan nak salahkan aku pulak.”
“Eh, tak. Aku takkan salahkan kau.
Mungkin aku tak ada jodoh dengan dia.”
“Jodoh pertemuan, semuanya di tangan
ALLAH. Kita manusia hanya merancang, DIA yang menentukannya,” balas Eddie
sambil menyeluk poket seluar tatkala menyedari telefon bimbitnya bergetar.
“Ada apa Mai?” tanya Eddie sebaik
sahaja dilekapkan telefon ke telinganya.
“Die boleh amik Ain kat Cahaya? Mai stuck kat rumah. Kereta Mai meragam, tak
boleh nak start,” pinta Humaira.
“Ain tak balik lagi ke? Dah pukul
berapa ni?” rungut Eddie dan mengerling jam di tangan. Masa sudah menginjak ke
tujuh malam.
“Dia kata ada kerja sikit. Mai risau
ni. Takut-takut jadi macam kes lepas. Die amik Ain boleh tak?” ulang Humaira
pada persoalan yang sama.
“Baiklah, Die pergi sekarang. Mai call office Ain suruh Ain tunggu. Dalam satu
jam lagi, Die sampai,” pesan Eddie seraya bangun.
“Baiklah, Mai call Ain dulu,” balas Humaira dan mematikan talian.
Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang
tahu. Risau kalau-kalau perkara yang tidak diingini berlaku ke atas Nur Ain semula
seperti yang berlaku pada dua minggu yang lepas.
“Aku minta diri dulu Izz. Nak ambil Ain
kat Cahaya. Kereta Mai tak boleh start,”
pinta Eddie seraya berdiri.
“Eh, Ain tak balik lagi ke?” tanya
Izzuddin berkerut.
Eddie sekadar mengangguk. Berkira-kira
untuk berlalu dari situ.
“Die, kalau tak silap aku tadi, Haz ada
bagi kerja kat Ain. Minit mesyuarat untuk mesyuarat minggu depan,” ujar
Izzuddin turut sama bangun.
“Hazrel? Dia ni memang tak serik-serik
lepas kena penumbuk dengan aku hari tu. Beraninya dia buli Ain lagi,” marah
Eddie tidak tertahan.
Segera dia beredar dari situ. Izzuddin
turut sama membuntuti Eddie. Apa masalah mereka berdua? Hatinya tertanya-tanya.
Mungkinkah disebabkan Nur Ain? Duga hati Izzuddin lagi.
“Kenapa tak balik lagi?” tanya Hazrel
tatkala melalui meja Nur Ain.
Matanya melilau melihat keadaan
sekeliling di pejabat itu. Pekerja-pekerja yang lain sudah pun pulang ke rumah
memandangkan masa sudah menginjak ke lapan malam.
Nur Ain hanya membisu. Tidak berminat
untuk menjawab persoalan Hazrel. Hendak memandang muka Hazrel pun, Nur Ain
tidak ingin. Hatinya masih lagi sakit dengan perlakuan serta kata-kata Hazrel
sebentar tadi. Tambahan pula dia perlu menyiapkan minit mesyuarat yang diminta
oleh Hazrel. Bukannya dia tidak boleh menyiapkannya esok, hatinya mendesak
untuk menyiapkannya pada hari ini juga.
“Kalau awak nak balik, saya boleh
hantarkan,” pelawa Hazrel bernada ikhlas.
Entah hantu mana yang merasuknya untuk
berkata begitu, dia sendiri tidak tahu. Mungkin disebabkan rasa kesalnya dua
minggu lalu membuatkan dia bersikap lembut terhadap Nur Ain.
“Tak payah nak sibuk pasal saya. Encik
Hazrel baliklah!” cebik Nur Ain meluat. Tangannya lincah mengemas meja yang
bersepah disebabkan fail-fail syarikat.
Hazrel mendengus geram. Terasa darah
naik ke mukanya ketika itu. Aku tanya elok-elok, dia boleh jawab macam tu.
Geram betul aku dengan minah ni la, marah Hazrel di dalam hati. Tangannya
mengepal penumbuk.
Nur Ain tidak menghiraukan wajah tegang
Hazrel. Bingkas dia bangun untuk beredar dari situ setelah selesai mengemas
mejanya. Dia perlu menunggu Eddie di pondok pengawal seperti yang diberitahukan
oleh Humaira sebentar tadi.
“Apa masalah kau ni? Nak tunjuk lagak
dan sombong dengan aku kenapa?” jerkah Hazrel sambil menarik lengan Nur Ain.
Sengaja mencabar ego lelakinya itu.
“Lepaskan….” Ronta Nur Ain sambil cuba menarik
lengannya dari pegangan Hazrel.
“Wah! Pasangan tak seberapa nak
romantik ada kat sini. Baguslah, senang sikit aku nak berbual dengan korang
berdua,” pintas Faizal tiba-tiba.
Serentak Hazrel dan Nur Ain menoleh.
Wajah Faizal menyapa mata mereka berdua.
“Kau buat apa kat sini Faizal?” tanya
Hazrel seraya melepaskan lengan Nur Ain. “Macam mana kau boleh masuk ke sini
tanpa kebenaran?” sambung Hazrel lagi.
“Hazrel… Hazrel… apalah bodoh sangat
kau ni. Muda-muda lagi dah buta. Pengawal kau mana ada kat pondok tu. Lagipun aku
datang ni sebab aku nak jumpa dengan buah hati aku ni. Rindu sangat-sangat kat
dia,” jawab Faizal sambil cuba menyentuh pipi Nur Ain, namun ditepis keras oleh
Nur Ain.
Hazrel mengerutkan dahi. Dia berfikir sejenak.
Ada benarnya kata Faizal itu. Pagi-pagi lagi pengawalnya itu menelefon dan meminta
cuti kecemasan darinya.
“Kau tak serik lagi ke aku belasah muka
kau hari tu. Kau nak kena penumbuk aku lagi ke?” ugut Hazrel keras. Dia menarik
Nur Ain agar menjauhi Faizal.
Faizal melepaskan ketawanya. Mazlan
yang berada di sisi turut sama meledakkan ketawa. Mata mereka menjamah wajah
Hazrel dan Nur Ain silih berganti.
“Saya minta diri dulu. Ini urusan Encik
Hazrel dengan mereka,” ujar Nur Ain dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Kau nak ke mana?” jerkah Faizal seraya
menarik Nur Ain.
“Apa ni? Lepaskan saya!” ronta Nur Ain.
“Faizal, kau nak buat apa dengan dia?
Lepaskan dia Faizal!” pinta Hazrel meninggi.
“Kau nak aku lepaskan dia? Kau langkah
mayat aku dulu Hazrel.”
“Lepaskan saya! Tolonglah Encik Faizal.
Kalau Encik Faizal bergaduh dengan Encik Hazrel, jangan libatkan saya,” rayu
Nur Ain pula.
“Eh, apa pulak jangan libatkan kau,
mesti terlibat juga. Kaukan pelakon utama dalam drama ni,” sampuk Mazlan dan
tergelak.
“Zal… tolong. Aku rayu pada kau.
Lepaskan Nur Ain. Dia tak ada kena-mengena dalam hal kita. Aku minta maaf sebab
tumbuk kau hari tu. Kalau kau nak tumbuk aku, kau tumbuklah. Asalkan kau
lepaskan Nur Ain,” suara Hazrel sedikit merayu. Tangannya digenggam erat. Cuba
menahan kemarahan tatkala Faizal bertindak kasar terhadap Nur Ain.
“Huh! Kau nak aku lepaskan dia. Hazrel…
Hazrel… ayam depan mata, takkan aku nak lepaskan. Mestilah aku akan sembelihnya
buat lauk,” balas Faizal sinis.
“Tolonglah… lepaskan saya!” rintih Nur
Ain berserta esakan tangisan.
Sungguh dia merasa takut dengan apa
yang diperkatakan oleh Faizal itu. Walaupun bahasa kiasan, namun dia dapat
memahami akan maksud tersirat dari kata-kata tersebut.
“Faizal!
Aku kata lepaskan dia!” marah Hazrel meninggi.
Dengan kudrat yang ada, segera dia menarik
Nur Ain dari pegangan Faizal. Nur Ain menahan kesakitan akibat rentapan itu.
Dalam hati dia berdoa agar ALLAH melindunginya dari kejahatan Faizal.
“Ain, keluar!” arah Hazrel sebaik
sahaja berjaya meleraikan pegangan Faizal.
Hazrel cuba mengelak dari ditumbuk oleh
Faizal. Ternyata kekuatan Faizal tidak dapat ditandinginya. Faizal merupakan
jatuh Taekwando di universitinya
dahulu. Tidak terdaya untuknya melawan. Satu demi satu tumbukan Faizal mengenai
perut dan mukanya. Walaupun dia cuba mengelak, namun dia tidak berdaya. Tenaga
Faizal lebih kuat dari tenaganya.
“Ain, lari!” arah Hazrel dalam suara
yang bergetar.
Nur Ain yang mendengar segera cuba
untuk melepaskan diri. Namun tidak berdaya kerana Mazlan sudah pun menarik
tudung sehingga membuatkan dirinya terdorong ke belakang. Tidak semena-mena
kepalanya terhantuk di bucu meja dan membuatkan dirinya jatuh terjelepuk ke
lantai. Dunianya menjadi gelap tiba-tiba.
“Ain!!” jerit Hazrel tatkala terlihat
Nur Ain terbaring di atas lantai.
“Oppsss!! Tak sengaja. Aku…” suara
Mazlan kalut dan risau.
Terkejut dia melihat tubuh Nur Ain yang
sudah terbaring kaku di atas lantai. Serta merta mukanya menjadi pucat. Niatnya
sekadar untuk menarik Nur Ain agar tidak beredar dari situ. Tidak menyangka
perkara itu yang akan berlaku pula.
“Zal, nak buat macam mana ni?” tanya
Mazlan risau. Kepala yang tidak gatal digaru beberapa kali.
“Bodoh! Yang kau pergi tarik dia tu
kenapa?” marah Faizal meninggi.
“Ain!” panggil Hazrel sambil cuba
menghampiri Nur Ain.
“Manalah aku tahu nak jadi macam ni?”
rungut Mazlan keras. Sakit hatinya mendengar kemarahan Faizal itu. Suka hati
Faizal sahaja mengatakan dirinya bodoh.
“Ain!” panggil Hazrel lagi sambil
menepuk lembut pipi Nur Ain.
“Hisy, menyusahkan betullah kau ni,”
rungut Faizal pula.
Lantas dicapainya kerusi yang berada
berhampirannya itu. Segera dia memukul belakang Hazrel dengan kerusi tersebut.
Dengan serta merta, Hazrel jatuh terjelepuk di sisi Nur Ain.
“Woit! Kau dah gila ke Zal? Kenapa kau
pukul dia pulak?” marah Mazlan.
“Senang sikit kerja kita. Aku cuma nak
gertak dia aje. Tapi, alang-alang dah jadi macam ni, aku teruskan ajelah,”
jelas Faizal dan tersenyum. “Apa lagi, buatlah kerja. Ikut rancangan asal kita
tu!” arah Faizal meninggi.
Mazlan terpaksa akur. Tidak menyangka
Faizal sanggup bertindak selebih itu. Niat mereka sekadar untuk menakut-nakutkan
Hazrel, tetapi ternyata tindakan mereka lari dari landasan yang sebenarnya. Nak
tak nak, Mazlan terpaksa akur dengan perintah Faizal. Segera dia menghulurkan
bantuan kepada Faizal. Jauh di sudut hati, janganlah Hazrel mengambil tindakan
undang-undang ke atasnya kelak.