FIRDAUS bersandar di kerusi. Otaknya sedang
ligat berfikir. Peristiwa dua hari yang lepas masih meniti di tubir mata.
Pertemuannya dengan Elisya. Benarkah Elisya, gadis yang berkerusi roda itu?
Tetapi, kenapa gadis itu menafikan?
Nafas ditarik lalu melepaskan ringan. Jika benar gadis
berkerusi roda itu adalah Elisya, apa yang terjadi kepada Elisya selama dua
tahun ini? Adakah Elisya mengalami kemalangan? Adakah Elisya mengalami
peristiwa buruk? Ya Allah, bagaimana caranya untuk aku mengetahui sekali gus
berjumpa dengan Elisya?
Deringan telefon mematikan lamunan pendek Firdaus. Diintai
nama yang tertera di skrin telefon buat seketika. Nama Alif tertera di situ.
“Jom lunch!” ajak
Alif sebaik sahaja salam bersambut.
Firdaus mengerling jam di dinding. Masa sudah menghampiri ke
angka dua belas tiga puluh minit tengah hari. Agak lama dia termenung
memikirkan tentang Elisya. Kerja yang berada di atas meja tidak dihiraukan.
Keinginan untuk mencari dan mengetahui kisah Elisya melebihi segala-galanya.
“Daus!” tegur Alif dari hujung talian.
“Ha… apa dia?” soal Firdaus sedikit tersentak.
“Aku nak ajak kau lunch
sama. Kau nak ke tidak?” beritahu Alif semula.
“Oh, aku ingatkan apa tadi,” kata Firdaus sambil mengangguk.
“So, nak tak?”
Alif masih lagi bertanya.
“Kau ada masa nak ke sini ke?” tanya Firdaus pula berkerut
dahi.
“Aku ada meeting
berhampiran dengan office kau. Sebab
itulah aku ajak kau lunch sama,”
jelas Alif lalu menggeleng kecil. Apa kena dengan Firdaus ketika ini?
“Oh!” balas Firdaus, sepatah.
“Kau ni dah kenapa? Macam orang tak berperasaan saja,” tegur
Alif pula.
“Tak ada apa-apa. Kenapa?” soal Firdaus pula.
“Habis tu, apasal suara kau lain macam saja aku dengar?
Macam orang tengah sedih saja.”
Firdaus menghela nafas berat. Hatinya berkira-kira sendiri.
Perlukah dia memberitahu kepada Alif tentang Elisya? Pertemuannya dengan Elisya
pada dua hari yang lepas.
“Daus… Daus…” panggil Alif sedikit menekan.
“Aku jumpa Elisya,” ujar Firdaus, perlahan.
Alif termati kata-kata tatkala mendengarnya.
ELISYA menggerakkan kerusi rodanya. Melilau
matanya mencari barang yang diingini. Sejak pukul sebelas tiga puluh minit pagi
lagi dia berada di pasaraya itu. Mencari barang peribadi. Kebetulan dia
berjumpa dengan client berhampiran
dengan pasaraya itu. Maka ada baiknya dia membeli sekali.
Elisya masih lagi mencari. Ke satu-satu bahagian dia
menjelajah namun barang yang ingin dicari tidak juga berjumpa. Nafas ditarik
lalu melepaskannya berat. Terasa kekurangan diri ketika ini. Alangkah bagusnya
kalau dia boleh berjalan seperti kehidupannya yang lepas.
Namun, semua itu tidak mungkin diputar kembali. Dia kini
seorang gadis cacat. Berkerusi roda. Malah dia juga banyak menyusahkan Dahlia.
Rasa bersalah kerana menyusahkan Dahlia selama ini.
“Ya Allah, tabahkan hati aku menghadapi ujianMu,” doa Elisya
sendirian.
Tanpa menunggu, digerakkan kerusi roda menuju ke bahagian
pakaian. Dia perlu membeli beberapa helai pakaian memandangkan dia sering
menghadiri mesyuarat.
“APA mimpi kau belanja aku hari ni? Selama
ini bila aku suruh bukan main banyak mengelat. Itu la. Ini la. Banyak alasan
yang kau bagi,” kata Firdaus lalu ketawa kecil.
“Ala, ada rezeki lebih sikit aku belanja la. Kalau tak ada,
itu yang banyak alasan aku bagi,” balas Alif, tersengih. Kepala yang tidak
gatal digaru.
“Alhamdulillah. Aku sentiasa mendoakan agar kau dimurahkan
rezeki,” doa Firdaus buat teman baiknya itu.
“Aamiin. Terima kasih, Daus. Itu sebab aku sayangkan kau,”
ujar Alif sambil meraup muka. Senyuman menghiasi bibir.
Firdaus mencebik. Kepala menggeleng kecil.
“Eh, temankan aku ke pasaraya sekejap. Nak beli barang untuk
orang rumah,” ajak Alif tatkala terlihat sebuah pasaraya tidak jauh dari tempat
mereka berada.
“Nak beli ‘adik’ untuk orang rumah ke?” tanya Firdaus
sekadar mengusik.
Seminit kemudian, dia ketawa. Geli hati dengan ayatnya itu.
Sudah lama dia tidak mengusik Alif. Semenjak Alif berkahwin, masa mereka berdua
terbatas. Jarang sekali mereka berdua berjumpa. Hanya sesekali sahaja. Itu pun
kalau salah seorang di antara mereka kebetulan berada berhampiran dengan
pejabat masing-masing. Seperti yang berlaku hari ini.
“Gelaklah! Bila kau kahwin nanti tahulah kau. Mesti kau
alami perkara yang sama juga,” tegur Alif bernada geram. Rasa malu menumpang
dalam hati.
“Sorry, aku tak
sengaja nak gelakkan kau,” kesal Firdaus masih ketawa.
“No hal la Daus.
Aku tahu kau bergurau. Tapi, ada betul tekaan kau tu. Memang aku nak cari
‘adik’ untuk orang rumah aku,” akui Alif lalu ketawa besar.
Buntang mata Firdaus mendengarnya. Dia sekadar mengusik
tetapi usikannya itu benar.
“Kau nak temankan aku ke tidak?”
Firdaus berkira dalam hati.
“Kalau kau malu, kau jalanlah ke bahagian lain.”
Firdaus masih berfikir. Kemudian, dia mengangguk setuju.
“Kau kata tadi kau jumpa dengan Elisya. Kat mana kau jumpa dengan
dia?” tanya Alif tatkala teringatkan tentang itu.
“Kat kedai buku. Aku tak sure
betul ke tidak Elisya yang aku jumpa tu,” jawab Firdaus sambil berjalan
beriringan dengan Alif menuju ke pasaraya.
“Kenapa pulak tak pasti?” soal Alif, berkerut dahi.
“Sebab….” Firdaus termati kata-kata tatkala telefon bimbit
Alif berbunyi.
“Sekejap! Aku jawab call
ni,” suara Alif seraya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Dia
melangkah menjauhi Firdaus.
Firdaus hanya memerhati. Pasti Wahida, isteri Alif yang
menelefon melihatkan senyuman di bibir kawan baiknya itu. Adakah dia akan
seperti Alif? Berkahwin dan memiliki kebahagiaan yang diingini selama ini.
Firdaus melangkah menuju ke bahagian pakaian lelaki. Melilau
matanya melihat keadaan sekeliling. Orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke
pasaraya tersebut walaupun hari ini hari bekerja. Entah kenapa matanya
terpandangkan seseorang. Seperti mengenali orang tersebut.
Tanpa menunggu, dia melangkah menghampiri orang tersebut.
Hatinya tertanya-tanya. Adakah Elisya yang dilihatnya sebentar tadi? Diamati
betul-betul gadis berkerusi roda yang sedang membelek sehelai pakaian.
“Elisya!” sebut Firdaus kemudian.
Dia yakin, gadis itu adalah Elisya. Perlahan-lahan dibawa
langkah menuju ke tempat di mana Elisya berada. Belum sempat dia menghampiri,
seorang lelaki sudah menghampiri Elisya. Siapa lelaki itu? Kelihatan mesra
sekali. Adakah suami atau teman lelaki Elisya?
“Kau cari apa?” tegur Alif seraya memegang bahu Firdaus.
Terkejut Firdaus dengan pegangan itu. Dihalakan mata ke
wajah Alif.
“Jom balik! Tak jadi nak beli ‘adik’. Wife aku beli sendiri,” beritahu Alif.
Firdaus tidak membalas. Matanya mencari kelibat Elisya. Ke
mana Elisya pergi?
“Kau tengok apa, Daus?” tanya Alif tatkala melihat tingkah
laku Firdaus.
Seperti mencari seseorang. Siapa yang dicari oleh Firdaus
itu? Adakah kenalan Firdaus?
Firdaus masih membisu. Meliar matanya mencari Elisya.
Keluhan ringan terlepas daripada bibir. Ternyata dia hilang jejak.
“Kau cari siapa?” Alif masih lagi bertanya. Berkerut dahinya
ketika ini.
“Tak ada apa-apa,” balas Firdaus sambil menggeleng.
“Tak ada apa-apa?” ulang Alif masih berkerut.
“Jomlah! Dah lewat ni,” ajak Firdaus sambil mengerling jam
di pergelangan tangan.
Alif mengangguk. Tingkah laku Firdaus masih menjadi tatapan
mata. Kenapa dengan Firdaus? Lagak seperti mencari seseorang. Siapa yang dicari
oleh Firdaus itu?
Firdaus memulakan langkah. Disentuh dadanya yang terasa sebu
dengan tiba-tiba. Kenapa dia berkeadaan begitu? Adakah disebabkan Elisya
bersama dengan seorang lelaki maka dia berkeadaan begitu? Tetapi, betulkah
Elisya yang dilihatnya sebentar tadi?
Keluhan dilepaskan untuk kesekian kali. Matanya masih lagi
meninjau mencari kelibat Elisya. Sekadar mencari kepastian. Ternyata matanya
tidak silap melihat. Elisya sedang berbual bersama dengan seorang lelaki sambil
menunjuk sehelai pakaian. Lelaki itu pasti suami Elisya.
“Kau ni kenapa? Dari tadi senyap saja,” tegur Alif seraya
memandang wajah Firdaus.
Firdaus sekadar menggeleng. Dia melajukan langkah. Jam di pergelangan
tangan dipandang. Masa sudah menginjak ke pukul dua tiga puluh minit petang.
Terlalu lama mereka berjalan di pasaraya itu.
Alif masih lagi berkerut. Apa yang tidak kena dengan
Firdaus? Adakah Firdaus terlihat sesuatu melihatkan dari gaya kawan baiknya
itu. Tanpa menunggu, laju dibawa langkah menyaingi langkah Firdaus. Ada baiknya
dia bertanya Firdaus kemudian nanti.
“TERIMA kasih,” ucap Elisya, tersenyum.
“Sama-sama, Sya,” balas Aidid turut sama tersenyum.
Elisya memandang ke wajah Aidid. Senyuman masih menghiasi
bibirnya.
“Kenapa tengok Aidid macam tu?” tegur Aidid tatkala
menyedari pandangan Elisya.
Elisya sekadar menggeleng. Entah kenapa dia ingin menatap
wajah Aidid. Mungkinkah wajah Aidid seiras dengan wajah Firdaus. Firdaus? Hati
Elisya berbisik. Kenapa nama itu meniti di benak hati?
“Macam mana dengan proposal? Dah siap?” tanya Aidid sekadar
ingin tahu.
“Alhamdulillah. Dah siap. Cuma tunggu hari interview sahaja,” jawab Elisya, tenang.
“Alhamdulillah. Esok Aidid datang ambil Sya,” ucap Aidid
lalu mengangguk perlahan.
“Maaf sebab susahkan Aidid,” ujar Elisya bernada kesal.
“Susah apanya? Aidid yang nak temankan Sya,” tukas Aidid
bernada ikhlas.
“Tapi, Sya banyak menyusahkan Aidid dengan Dahlia.”
“It’s okey Sya.
Aidid ikhlas. Mungkin Dahlia juga ikhlas lakukan semua ni.”
“Tapi…”
“Yang penting, Sya happy.
Kalau Sya happy, Aidid turut sama happy,” pintas Aidid seraya menoleh
sekilas ke wajah Elisya.
Elisya membalas pandangan Aidid. Rasa bersalah masih
menghuni di hati. Bersalah kerana menyusahkan Aidid dan Dahlia. Sejak dia
lumpuh sehinggalah ke hari ini, dia banyak bergantung kepada Aidid dan Dahlia.
Aidid Haikal, lelaki yang dikenali dua tahun yang lepas.
Semoga hubungan persahabatan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Ayah kirim salam pada Sya,” ujar Aidid memecah lamunan
pendek Elisya.
“Ha… Waalaikumussalam,” balas Elisya sedikit terpinga.
Aidid ketawa kecil. Kepala menggeleng. Pasti Elisya sedang
mengelamunkan sesuatu.
“Sya nak tanya sesuatu boleh?” suara Elisya, perlahan.
“Sejak bila pulak kena minta izin ni?” tegur Aidid masih
ketawa.
“Soalan bersifat peribadi. Kenalah minta izin dulu sebelum
bertanya.”
“Okey! So, Sya nak
tanya apa?”
“Kenapa Aidid tak kahwin? Adakah disebabkan Sya, Aidid….”
Elisya mematikan soalan. Berharap Aidid faham akan
pertanyaannya itu. Selama ini itu yang difikirkannya. Kenapa sehingga ke hari
ini Aidid tidak berkahwin? Malah melihat Aidid bersama dengan mana-mana
perempuan pun tidak pernah. Adakah disebabkan dia maka Aidid tidak mempunyai
teman wanita? Jika benar, semakin bersalah dirasakannya.
Aidid tidak membalas. Hatinya
berkira-kira untuk menjawab. Memang selama dua tahun ini dia tidak bersama
dengan mana-mana perempuan. Hanya Elisya sahaja yang berada di sisinya.
Semenjak peristiwa itu, dia menolak untuk jatuh cinta dengan perempuan. Sebab
apa, dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah rasa cinta terhadap Elisya mulai
bercambah dalam hatinya itu.
“Kenapa Aidid?” tanya Elisya lagi.
Berdebar-debar ketika ini.
“Ada kereta rosak kat depan tu. Kita
berhenti sekejap tengok. Mana tahu dia perlukan bantuan,” beritahu Aidid
menolak pertanyaan Elisya.
Elisya memandang ke luar tingkap.
Sebuah kereta tersadai di tepi jalan menyapa mata. Seminit kemudian, kereta
diberhentikan di bahu jalan. Matanya memerhati tingkah laku Aidid yang sudah
pun keluar dari dalam perut kereta.
“Firdaus!”
Terpancul nama itu daripada bibir
Elisya.
InsyaAllah,
LUAHAN HATI bakal keluar pada bulan hadapan. Pada yang berminat, boleh dapatkan LUAHAN HATI dari Penerbitan BesQ.
Terima Kasih.