BAB 1
“Ha…. Nak ke mana lagi tu? Tak reti-reti nak duduk kat rumah
ke? Asyik nak merayap aje. Panas agaknya punggung tu duduk kat rumah,” bebel Datin
Suraya sebaik sahaja melihat kelibat Nur Liyana Safiyah menuruni anak tangga.
Langkah Liyana terhenti dengan tiba-tiba. Dia memandang
wajah Datin Suraya berserta kerutan di dahi. Ibu ni kalau tak membebel satu
hari tak sah agaknya. Erm… alasan apa aku nak bagi lagi ni ya, ngomel Liyana
sendirian.
“Ibu…,” ujar Liyana lembut.
“Apa ibu… ibu… adalah yang nak direngekkan tu,” sahut Datin
Suraya keras.
Liyana menghampiri Datin Suraya. Dia memeluk erat bahu
ibunya dan menghadiahkan sebuah kucupan di pipi tua itu. Tumpah kasih dan
sayangnya buat ibu tercinta.
“Ibu ni kalau marah… nampak macam singalah. Tapi singa…
singa pun, ada manisnya juga,” usik Liyana sambil mencuit hidung Datin Suraya.
“Ibu… kalau ibu selalu marah-marah macam ni, nanti muka ibu yang kedut tu
bertambah kedut. Nanti siapa yang susah… ayah juga sebab terpaksa ajar ibu
bersenam,” sambung Liyana sambil meleraikan pelukan.
“Bersenam?” ulang Datin Suraya berserta kerutan di dahi.
Liyana sekadar tersenyum. Dia melangkah jalan menuju ke
pintu utama. Sengaja membiarkan Datin Suraya tertanya-tanya akan ayatnya tadi. Itulah
motif yang utama. Memuji dan kemudian membiarkan Datin Suraya tertanya-tanya.
Selepas itu, dia akan mengambil kesempatan di atas kealpaan Datin Suraya.
“Bersenam macam mana nak senyum. Ibu… Lia pergi dulu.
Assalamualaikum..” sambung Liyana dan segera berlalu pergi.
“Hisy… bertuah punya budak. Pandai dia alpakan aku. Bilalah
nak berubah perangai budak ni?” bebel Datin Suraya sambil menggelengkan kepala.
Begitulah keadaan setiap kali dia berhadapan dengan anak
bongsunya itu. Walaupun umur sudah mencecah dua puluh tiga tahun, tetapi perangai
masih kebudak-budakkan. Jika tidak diikutkan, ada sahaja perangai yang akan
dibuatnya nanti.
“Kak Mah…. oh Kak Mah…” laung Datin Suraya dari pintu utama.
Terkocoh-kocoh Mak Mah menuju ke pintu utama. Lengan baju yang
disinsing, dilucutkan.
“Ada apa Datin?” tanya Mak Mah sebaik sahaja tiba di hadapan
Datin Suraya.
“Kak… saya nak keluar sekejap. Nanti tolong siapkan makan
malam,” beritahu Datin Suraya berupa arahan. Kemudian, dia mencapai beg tangan
dan kunci kereta. Setelah itu dia memboloskan diri masuk ke dalam kereta.
Mak Mah mengangguk faham. Dia menghantar Datin Suraya dengan
ekor matanya sahaja. Kemudian dia mengunci pintu dan menyambung semula kerjanya
yang tertangguh tadi.
Liyana memarkirkan keretanya di petak yang baru dikosongkan.
Hari ini dia telah berjanji untuk keluar makan tengahari bersama kawan baiknya Fazura.
Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan Fazura. Selepas menghabiskan pengajian
mereka di universiti, Fazura telah memulakan tugas sebagai Pegawai Eksekutif
Pentadbiran di salah sebuah syarikat terkenal di Kuala Lumpur. Manakala
dirinya, hanya menaman anggur di rumah sahaja. Belum bersedia untuk bekerja la
kiranya tu. Pernah juga abangnya, Adif Haikal memintanya bekerja di syarikat,
tetapi dia menolak keras. Bagi Liyana bekerja di pejabat sungguh membosankan.
Setiap hari mengadap komputer dan amat meletihkan. Dia lebih suka dengan gaya
hidup bebas. Bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa arahan sesiapa. Sampai bila?
Dia sendiri tidak pasti.
Liyana melabuhkan duduk di sebuah kerusi. Matanya melilau
mencari kelibat Fazura. Suasana hingar bingar di dalam restoran, sedikit
sebanyak mengganggu ketenangannya. Entah mengapa Fazura memilih restoran itu,
dia sendiri tidak tahu. Dia lebih sukakan suasana yang tenang daripada suasana
bising. Apabila kita berada di dalam suasana yang tenang, hati kita juga turut
sama tenang. Begitulah sebaliknya.
“Beb… sorry lambat. Aku sangkut dalam jam tadi,” tegur Fazura dengan suara
yang tersekat-sekat. Menahan nafas yang sedang turun naik. Kemudian dia
melabuhkan duduk berhadapan Liyana.
“Ala kau ni… dah tak ada alasan lain lagi ke? Balik-balik jam… balik-balik jam. Kalaulah jam tu
boleh bercakap, tentu kau orang pertama yang kena saman tau,” balas Liyana
dengan gayanya tersendiri.
Fazura mencebikkan bibir. Liyana kalau tak mengusik tidak
sah jadinya. Selama dia berkawan dengan Liyana, dia senang dengan perwatakan
Liyana. Walaupun kadang kala dia merasakan perwatakan Liyana begitu kasar,
namun dalam kasarnya ada lembutnya juga. Mungkin pengalaman lepas membuatkan
diri Liyana menjadi begitu. Pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan sampai
bila-bila.
“Kau nak makan apa… order
ajelah. Jangan risau, hari ni aku belanja kau. Aku tengah kaya sekarang
ni,” ujar Liyana sambil mengangkat kening.
“Alah… kayalah sangat. Duit pun minta mak bapak lagi, tak
sedar diri betul,” cebik Fazura sambil membelek-belek buku menu di tangan.
“Eh… cakap jangan ikut sedap mulut aje tau. Tak mainlah
minta kat mak bapak. Aku minta kat abang akulah. Siapa lagi kalau bukan mangsa
aku tu,” bidas Liyana keras. Dia menjeling ke arah Fazura yang sedang mencebik
ke arahnya.
“Yelah… kalau tak ada abang kau tu, alamatnya tak berduitlah
kau kan,” tukas Fazura dan menutup buku menu. Dia mengangkat tangan dan
melambai ke arah pelayan yang berada tidak jauh dari meja mereka duduki.
“Nasi goreng cendawan satu, carrot susu satu. Kau nak order
apa Lia?” beritahu Fazura sebaik sahaja pelayan yang berbaju putih dan
berseluar hitam berada di hadapan mereka. Pelayan itu setia menanti sambil
mencatat order di atas kertas yang
dipegangnya.
“Mee goreng basah khaw-khaw
ngan fresh orange khaw,” sahut Liyana
dan tersengih.
“Kau ni Lia, mana ada mee goreng khaw-khaw,” pintas Fazura sebaik sahaja melihat pelayan di hadapan
mereka menggaru-garu kepala. Mungkin pelik mendengarnya.
“Mee goreng basah ngan fresh
orange aje,” beritahu Fazura seraya tersenyum.
Pelayan itu menganggukkan kepala. Seminit kemudian, dia
menghilangkan diri menuju ke bahagian dapur. Menghantar pesanan mereka berdua
tadi.
“So… bila kau nak start kerja? Sampai bila nak tanam
anggur aje kat rumah kau tu,” soal Fazura serius. Matanya menjamah muka Liyana.
“Anggur aku tu tak berbuah lagi la. Jadi aku tunggu anggur
aku tu berbuah dulu, bila dah berbuah dan hasilnya aku jual, then baru aku fikirkan kerja lain pulak,”
jawab Liyana selamba.
“Aduh!!” rengek Liyana apabila menyedari lengannya dicubit
Fazura. “Apa main cubit-cubit ni? Macam ketamlah kau ni. Ketam pun tak ada
macam kau tau,” rungut Liyana sambil mengusap lembut lengannya.
“Ha… padan muka kau. Aku cakap betul-betul, kau main-main
pulak” balas Fazura geram.
“Kau tu serius sangat kenapa? Ada apa-apa yang aku tak tahu
ke?”
“Tempat aku ada kosong, tu pun kalau kau nak kerjalah. Kalau
kau nak, aku boleh tolong rekemenkan untuk kau,”
“Nantilah aku fikir-fikirkan. Kalau aku rajin nak kerja… aku
bagitau kau,”
“Eh… cepat sikit tau. Kalau tak nanti diorang nak open untuk public. Kau jangan risaulah, tempat aku tu best. Bosnya pun best. Handsome pulak tu, mesti kau terpikat
ngan bos aku tu nanti. Kau nak tak kenal ngan bos aku tu? Dia tengah cari calon
isteri la,” beritahu Fazura panjang lebar.
“Habis tu, kenapa kau aje yang tak ngorat dia? Buat apa nak
kenalkan ngan aku pulak,” balas Liyana selamba. Dia memeluk tubuh sambil
bersandar ke kerusi.
Suasana hening seketika tatkala pelayan menghantar pesanan
yang dipesan oleh mereka sebentar tadi. Liyana segera meneguk fresh orange tanpa menghiraukan Fazura.
Hilang rasa kering ditekak selepas meneguk fresh
orange itu.
“Aku tak naklah. Handsome
sangat. Takut aku orang handsome-handsome
ni. Kalau ngan kau, memang secocok sangat-sangat. Kau tu lawa, dia handsome…. memang sesuai sangat-sangat,”
bidas Fazura dan menyuakan sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya.
“Erm… nanti aku fikirkan. Kalau ayah aku on… aku onlah. Tapi, kalau ayah aku tak on…
aku cancellah. Kau macam tak kenal
ngan ayah aku tu. Kalau ngan aku, ada aje yang tak kenanya. Kadang-kadang aku
terfikir yang aku ni bukan anak dia,” keluh Liyana perlahan.
Sejak dari kecil dia jarang mendapat kasih sayang dari Dato’
Zulkifli. Dato’ Zulkifli lebih mengutamakan Adif Haikal dan Nur Laila Safiyah
berbanding dirinya. Pernah dia bertanyakan kepada Datin Suraya, kenapa Dato’ Zulkifli bersikap pilih kasih? Namun
jawapan yang sering diberikan oleh Datin Suraya hanyalah ‘ayah sayangkan Lia.
Lia jangan fikir yang bukan-bukan.’ Setiap kali dia bertanya, hanya jawapan itu
yang meniti di bibir Datin Suraya.
Sehingga kini, dia masih tertanya-tanya akan sikap Dato’ Zulkifli.
Mungkin ada sebab dan penyebab kenapa Dato’ Zulkifli bersikap dingin dengannya.
Lantaran disebabkan itu, dia lebih rapat kepada Datin Suraya. Jauh di sudut
hati, dia dahagakan kasih sayang seorang ayah. Apabila melihat Adif dan Laila
disayangi oleh Dato’ Zulkifli, dia menjadi cemburu. Sifat cemburu itu terpaksa
dibuang jauh-jauh dari hati Liyana kerana dia yakin suatu hari nanti, Dato’ Zulkifli akan menyayanginya. Bila? Dia sendiri
tiada jawapan pada persoalan itu.
“Sudahlah… aku faham perasaan kau. Makanlah, lepas ni kau
nak ke mana?” suara Fazura cuba untuk menenangkan perasaan Liyana.
Selama dia berkawan rapat dengan Liyana, segala kisah Liyana
sudah menjadi sebahagian dari kisahnya. Jika melibatkan ayah, Liyana akan
beremosi dan kadang-kadang membuatkan Liyana menitiskan air mata. Sehingga
sekarang dia tidak faham kenapa Dato’ Zulkifli tidak menyayangi Liyana.
Bukankah Liyana anak kandungnya juga? Kenapa dia perlu membeza-bezakan kasih
sayang antara Liyana dan abang serta kakaknya? Persoalan yang tiada jawapannya.
“Aku nak jumpa abang aku. Dia suruh aku ke sana semalam.
Sebab apa, aku sendiri tak tahu,” ujar Liyana sambil meletakkan sudu dan garpu
di tepi pinggan. Dia meneguk saki baki fresh
orange dan mengelap mulut dengan sehelai tisu yang diambil dari dalam
kotak.
“Sampaikan salam aku pada abang kau ya,” beritahu Fazura.
Liyana sekadar mengangguk. Dia membuang pandang melihat
sekeliling restoran. Waktu tengahari begini, sudah tentulah restoran-restoran
dipenuhi dengan pelanggan yang ingin menjamu selera. Terasa hiba tatkala
mengenangkan sikap Dato’ Zulkifli selama ini. Sampai bila dia harus berhadapan
dengan kebencian Dato’ Zulkifli? Seakan-akan berputus asa untuk mengambil hati Dato’
Zulkifli. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Dato’ Zulkifli berubah suatu hari
nanti. Menerima dan mengakui dirinya sebagai anak.
“Ayah nak Adif uruskan projek kita kat Shah Alam tu. Ayah
tak nak ada apa-apa masalah yang timbul nanti,” arah Dato’ Zulkifli tegas. Dia menutup fail yang
dibacanya sedari tadi dan menatap wajah Adif.
“Baiklah ayah. Adif akan uruskan projek tu. Ada apa-apa lagi
yang ayah nak katakan pada Adif?” sahut Adif. Matanya tertancap ke muka Dato’ Zulkifli.
Dato’ Zulkifli melepaskan keluhan ringan. Dia menyandarkan
badan ke belakang. Cermin mata dibuka dan diletakkan di atas meja.
“Pukul dua nanti ayah nak jumpa dengan Tan Sri Mokhtar. Ayah
nak Adif ikut sama,” beritahu Dato’ Zulkifli. Dia meraup mukanya sekali.
“Baiklah ayah. Kalau tak ada apa-apa lagi, Adif minta diri
dulu,” ujar Adif seraya bangun. Dia mengatur langkah dan keluar dari bilik Dato’
Zulkifli.
Dato’ Zulkifli sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja
menghantar langkah Adif sehingga hilang dari pandangan mata.
Sebaik sahaja keluar dari bilik Dato’ Zulkifli, Adif segera
menuju ke biliknya. Dia perlu mempersiapkan diri sebelum berjumpa dengan Tan
Sri Mokhtar. Entah mengapa Dato’ Zulkifli ingin berjumpa dengan Tan Sri Mokhtar,
dia sendiri tidak pasti. Selama ini Tan Sri Mokhtar banyak membiayai projek
yang dijalankan oleh Mutiara Holding. Syarikat yang dibangunkan oleh arwah
atuknya sejak turun temurun lagi dan kini diusahakan oleh Dato’ Zulkifli pula.
Memandangkan Dato’ Zulkifli anak tunggal, jadi kesemua harta peninggalan arwah
atuknya diserahkan kepada Dato’ Zulkifli.
Semenjak dia bekerja di bawah pengurusan Dato’ Zulkifli,
banyak perkara yang dipelajari olehnya. Malah Jurusan Kejuruteraan yang diambil
ketika belajar di Jepun dahulu sedikit sebanyak diaplikasikan di dalam kerjanya
sekarang. Setiap projek yang diterima oleh Mutiara Holding akan ditapis
terlebih dahulu sebelum diusulkan kepada Dato’ Zulkifli. Sebagai kontraktor
bangunan, kelancaran projek amat dititik beratkan kerana tidak mahu sesuatu
berlaku terhadap projek yang diusahakan oleh Mutiara Holding. Malah
perkhidmatan terbaik perlu diberikan dalam menguruskan sesuatu projek.
“Abang….” sergah Liyana dari balik pintu.
“Kush semangat. Ya ALLAH Lia ni, buat terperanjat abang
ajelah. Nasib baik abang tak ada sakit jantung, kalau tak… dah lama mati katak
abang dibuatnya,” marah Adif sambil mengurut-urut dadanya yang berombak
kencang.
Liyana sekadar tersengih. Dia menarik lengan Adif dan duduk
di atas sofa yang tersedia di dalam bilik pejabat itu.
“Sorry…. tak
sengaja,” ucap Liyana berserta senyuman manis di bibir.
“Lia buat apa kat sini?” tanya Adif sebaik sahaja keadaannya
kembali tenang.
“La… kan abang yang suruh Lia datang sini. Apa abang dah
lupa ke? Macam mak neneklah abang ni. Muda-muda lagi dah jadi tua,” usik Liyana
sambil mencapai majalah yang berada di atas meja. Lantas ditatap majalah itu
dengan khusyuknya.
“Hisy… budak ni. Ada aje jawapannya,” geram Adif sambil
menarik hidung Liyana.
“Sakitlah!! Apa ni main tarik-tarik hidung. Kalau hidung Lia
cacat, abang kena gantikan yang baru tau. Tak pasal-pasal, jatuhlah saham Lia,”
gerutu Liyana sambil menggosok-gosok hidungnya yang terasa sakit. Majalah di
tangan sudah diletakkan semula di atas meja.
“Ala… ada ke yang nakkan adik abang yang sengal ni. Abang
rasa tak ada siapa yang nak,” tukas Adif sinis. Sengaja mengusik hati Liyana.
“Abang jangan cabar Lia. Nanti kalau ada lelaki handsome nakkan adik abang yang sengal
ni, abang jangan terlopong pulak,” tutur Liyana dengan bangganya.
Adif mencebik. Dia memandang Liyana dengan pandangan yang
curiga.
“Erm… malang betul lelaki tu. Adik abang ni bukannya tahu
apa-apa pun. Masak pun tak pandai, buat kerja… huh, lagilah, satu haram pun tak
tahu. Yang dia tahu merayau, kacau orang, usik orang dan buat orang marah,
buang masa, adalah. Macam mana nak jadi isteri orang kalau perangai mengalahkan
budak-budak,” bidas Adif seakan menyindir. Sengaja menduga perasaan Liyana
waktu itu.
Liyana tergamam seketika. Dia memfokuskan tumpuan kepada Adif.
Jari telunjuk kanannya mengetuk-ketuk pipi dengan perlahan. Seperti orang yang
sedang berfikir lagaknya.
“Ha… betul jugak apa yang abang katakan tu. Malang betulkan
siapa yang jadi husband Lia nanti.
Kalau macam tu, abang kena carikan Lia seorang husband yang boleh buat segala-galanya untuk Lia. Maksud Lia, buat
kerja rumah, memasak, membasuh, dan lain-lain seangkatan dengannya. Boleh?”
balas Liyana berserta sengihan. Sengaja mengusik Adif.
Adif menepuk dahi. Jika dilayan cakap Liyana, sampai bila-bila
pun dia takkan menang. Liyana pandai membidas kata-katanya. Namun dia suka
dengan sikap Liyana yang berterus-terang. Berbeza dengan sikap Nur Laila
Safiyah. Laila suka menyakitkan hatinya. Malah sikap Laila sering mendapat
sokongan dari Dato’ Zulkifli. Entah mengapa Dato’ Zulkifli membeza-bezakan
kasih sayang di antara Liyana dan Laila, dia sendiri tidak pasti. Mungkin ada
sejarah yang ayah dan ibunya sembunyikan daripada pengetahuan mereka
adik-beradik.
“Adif, dah siap? Kalau dah, mari kita pergi,” ujar Dato’
Zulkifli tiba-tiba dari balik pintu.
Serentak Adif dan Liyana menoleh. Bingkas Liyana bangun dari
duduknya.
“Lia buat apa kat sini?” tanya Dato’ Zulkifli sebaik sahaja
menapak masuk ke dalam bilik pejabat Adif. Wajahnya kelihatan terkejut dengan
kehadiran Liyana di situ.
“Lia… Lia…”
“Kalau Lia datang nak buang masa dan kacau abang, Lia balik
sekarang. Bukan menyenangkan… menyusahkan lagi adalah,” potong Dato’ Zulkifli
bernada marah.
Liyana tertunduk memandang lantai. Sungguh hatinya terasa
mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Dato’ Zulkifli. Benci sangatkah Dato’
Zulkifli sehinggakan sanggup mengeluarkan kata-kata sebegitu kepadanya.
“Ayah, Adif yang suruh Lia datang sini,” bela Adif.
Seperti biasa, Adif akan menjadi pembela buat Liyana. Selama
ini hanya Adif tempat Liyana bergantung.
“Jangan kamu nak membela dia pulak Adif. Tengoklah
pakaiannya tu, tak senonoh. Sampai bila nak berperangai macam budak-budak.
Sedarlah diri tu sikit, umur macam kamu ni Lia dah boleh kahwin dan dah ada
anak dua tiga orang. Sudah… balik sekarang! Jangan datang ganggu abang kamu
lagi,” marah Dato’ Zulkifli. Matanya merenung tajam ke muka Liyana.
Liyana mengangkat muka. Memberanikan diri melawan tenungan Dato’
Zulkifli. Kenapa Dato’ Zulkifli tidak habis-habis mengeluarkan kata-kata pedas
kepadanya? Kenapa Dato’ Zulkifli begitu membencinya? Salahkah apa yang dipakainya
sekarang? T-shirt lengan panjang bersaiz
besar berserta seluar jean lusuh.
Walaupun hanya berpakaian sebegitu, dia masih lagi tahu akan adab-adab
berpakaian. Mungkin dia bukan seperti Laila yang berpakaian mengikuti peredaran
masa atau up-to-date.
Tanpa membalas kata-kata Dato’ Zulkifli, Liyana segera
membawa langkah keluar dari bilik itu. Lebih lama dia berada di situ, entah apa
lagi yang akan dihamburkan oleh Dato’ Zulkifli. Berat mata memandang, berat
lagi bahu untuk memikulnya. Sedarlah Liyana yang selama ini dia hanya
menyusahkan hati Dato’ Zulkifli dan bukan menyenangkan hati Dato’ Zulkifli.
Kenyataan yang sukar untuk diterima.
“Lia….” panggil Adif.
Namun panggilan itu tidak bersahut oleh Liyana. Dia membawa
sekeping hati yang terluka. Dilukai oleh ayahnya sendiri.
“Dah… jangan nak dikisahkan dengan Lia tu. Jom ikut ayah
jumpa Tan Sri Mokhtar,” arah Dato’ Zulkifli
seraya melangkah keluar dari bilik itu.
Adif sekadar mengangguk. Lantas dia mencapai briefcase dan membuntuti Dato’ Zulkifli.
Hatinya tersayat mendengar kata-kata Dato’ Zulkifli sebentar tadi. Jika dia
boleh berperasaan sebegitu, bagaimana pula perasaan Liyana? Sudah pastilah
Liyana akan terluka dengan kata-kata Dato’ Zulkifli sebentar tadi.
“Hisy… siapa pulak yang sesuka hati blok kereta aku ni.
Hangin betullah!” marah Liyana sambil meninjau-ninjau kereta tersebut. “Dah la
tak letak nombor telefon, menyusahkan betul!” bebelnya pula.
Liyana mengeluh ringan. Silapnya juga kerana memarkirkan
kereta di tempat yang salah. Jika tidak ada palang besi yang menjadi
penghalang, sudah pastilah mudah untuknya keluar dari arah belakang tanpa
menunggu pemilik kereta yang menghalang keretanya itu.
Liyana menyandarkan badan ke kereta. Menanti penuh kesabaran
pemilik kereta tersebut. Matanya tidak lekang dari melihat keadaan tempat
parkir itu. Jika diikutkan perasaan takutnya, tak mungkin dia akan berada di
tempat itu pada waktu-waktu petang begini. Namun dia menguatkan hati agar
menepis segala ketakutan tersebut.
Liyana menggagau poket seluar jean mencari-cari telefon bimbitnya yang bergetar dengan tiba-tiba.
Sebaik sahaja dicapai, dia melihat nombor telefon yang tertera di screen telefon itu. Satu keluhan berat
terlepas dari bibirnya.
“Ya ibu…” balasnya sebaik sahaja salam disambut.
“Lia kat mana? Dah pukul berapa dah ni? Kenapa tak
balik-balik lagi?” soal Datin Suraya bertubi-tubi. Risau hatinya hanya Tuhan
sahaja yang tahu.
“Ibu… kejap lagi Lia baliklah. Ibu janganlah risau,” jawab
Liyana cuba untuk mententeramkan hati Datin Suraya.
“Baiklah. Jangan lambat sangat. Nanti ayah Lia marah pulak.”
Datin Suraya mengingatkan Liyana.
‘Ibu… ayah tak kisah kalau Lia balik lambat. Mungkin ayah
lagi suka kalau Lia tak balik,’ sahut Liyana hanya mampu diluahkan di dalam
hatinya sahaja.
“Lia… dengar tak apa yang ibu katakan ni,” geram Datin
Suraya.
“Hmm…” sahut Liyana dan mematikan talian telefon.
Liyana menghela nafas dan melepaskannya. Dia memandang
kereta di hadapan dengan pandangan yang kosong. Jika diikutkan hatinya yang
panas, mahu sahaja dia memecahkan cermin kereta itu dan melarikan diri dari
situ. Seperti lagak pencuri. Baru puas hatinya di atas kecuaian pemilik kereta
tersebut.
Penat menunggu, Liyana memboloskan diri ke dalam perut
kereta. Dia menghidupkan enjin kereta dan penghawa dingin. Kereta dikunci dari
dalam untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Kemudian, dia menyandarkan
badan ke kusyen kereta dan memejamkan mata buat seketika. Dan akhirnya dia terlelap
di situ tanpa menyedari keadaan sekeliling yang semakin lengang dan sunyi.
Liyana menggeliat sebaik sahaja terdengar cermin tingkapnya
diketuk seseorang. Berpisat-pisat matanya melihat gerangan yang mengetuk cermin
tingkapnya itu. Lantas dia memboloskan diri keluar dari kereta. Cuba melihat
gerangan orang tersebut. Terkebil-kebil Liyana memandang lelaki yang sedang
berdiri di hadapannya itu.
“Maaf sebab halang kereta cik,” ujar lelaki itu dalam nada
kesal. Dia memandang lembut Liyana berserta senyuman di bibir.
“Maaf encik tu saya tak terima. Kalau ya pun parking ni mak bapak encik yang punya,
janganlah parking ikut suka hati aje,” sindir Liyana sinis.
Jika bukan disebabkan kereta lelaki itu, sudah lama dia
pulang ke rumah dan tidak perlu tidur di dalam kereta dari petang hingga ke
malam hari.
Berkerut-kerut dahi lelaki itu mendengarnya. Hatinya yang
sejuk tiba-tiba menjadi panas. Dia memandang Liyana yang sedang memboloskan
diri masuk ke dalam kereta dengan pandangan yang tajam.
“Apasal dengan minah ni, aku cakap baik-baik, dia boleh
sindir aku macam tu,” marah Amirul Arif Iskandar. Dia mengusap dadanya yang
berombak tiba-tiba. Menahan kemarahan di dalam hati.
Liyana memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Dia
membunyikan hon buat lelaki yang masih memandangnya dengan seribu kerutan.
Hisy… mamat ni. Yang pandang aku semacam tu kenapa? Tak faham bahasa ke sebab
apa aku hon ni, gerutu Liyana. Dia membunyikan hon berulang kali namun tidak
diendahkan oleh lelaki tersebut. Lelaki itu masih lagi tidak berkelip memandang
ke arahnya. Tidak mahu berganjak dari tempatnya berdiri. Lantas, Liyana
melangkah keluar semula dan menghampiri lelaki itu.
“Encik… boleh tak tolong alihkan kereta tu cepat. Saya dah
lambat ni,” pinta Liyana lembut.
“Erm… suka hati sayalah nak alihkan ke tak,” balas Amirul.
“Apa maksud awak?” tanya Liyana kehairanan. Hilang perkataan
‘encik’ yang digunakannya sebentar tadi.
Amirul menghampiri Liyana. Dipandangnya Liyana dari atas ke
bawah. Seperti mahu telan saja lagaknya. Erm… lawa juga minah ni. Tapi, dressing dia… huh, kekampungan, ngomel Amirul sendirian.
“Yang awak pandang saya macam nak telan aje ni kenapa?”
geram Liyana. Tidak selesa apabila diperhatikan oleh Amirul, seperti lagak
polis rupanya.
“Selagi awak tak minta maaf kat saya, selagi itu saya takkan
alihkan kereta saya,” beritahu Amirul. Sengaja menyakitkan hati Liyana.
Sebenarnya bukan niatnya untuk berbuat begitu. Tetapi
disebabkan kata-kata gadis itu sebentar tadi, membuatkan hatinya menjadi panas.
Sudah di minta maaf, tetapi kemaafannya tidak diendahkan oleh gadis itu. Malah gadis
itu sengaja menyindirnya.
“Maaf?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi. “Kenapa pulak
saya yang kena minta maaf? Awak yang halang kereta saya, jadi awaklah yang kena
minta maaf dengan saya,” sambung Liyana tidak berpuas hati. Panas hatinya
apabila lelaki itu sengaja tidak mahu mengalihkan keretanya.
“Awak ni memang pekak ya. Saya dah minta maaf dari awak,
tetapi awak yang tak nak maafkan saya, malah memerli saya adalah!” terang
Amirul sedikit geram. Tangannya sudah pun dikepalkan.
Liyana menarik nafas dan melepaskannya perlahan. Jika
diikutkan hati, mahu sahaja dia menendang kaki lelaki yang sedang berdiri di
hadapannya itu. Namun disabarkan hati agar tidak melakukannya.
“Okey… mungkin saya terlupa nak korek telinga saya, tu yang
saya tak dengarnya tadi. So, saya
minta maaf. Jadi boleh tak encik tolong alihkan kereta encik tu cepat,” ujar
Liyana sengaja mengalah. Tak pelah, ikut sajalah. Malas aku nak bertekak dengan
mamat hingusan ni, kata hati Liyana.
“Maaf awak tu tak ikhlas!” balas Amirul. Dia memeluk tubuh
dan bersandar di kereta.
“Apa masalah awak ni? Saya dah pun minta maaf, takkan tak
puas hati lagi,” geram Liyana tidak tertahan lagi. Matanya tajam ke muka lelaki
yang sedang bersandar di keretanya sendiri.
Amirul mencebik. Hatinya terasa puas kerana menaikkan
kemarahan perempuan di hadapannya itu. Terasa seronok juga dia berbuat begitu.
Walaupun kesalahan tidaklah sebesar mana, tetapi hatinya berasa gembira dengan
keadaan itu.
Liyana menarik nafas dalam-dalam. Melihatkan lelaki itu
tiada tanda-tanda untuk bergerak, lantas dia mematikan enjin kereta. Dicapai beg
sandang yang dibawanya dan disangkutkan ke bahu. Dia menekan punat lock kereta dan melangkah menghampiri
lelaki tersebut.
“Ikut suka enciklah. Encik tunggulah kat sini sampai ke tua.
Saya blah dulu!” ujar Liyana berserta
senyuman. Senyuman yang dipaksa-paksa.
Terkejut Amirul mendengarnya. Matanya hanya memandang
kelibat Liyana meninggalkan kawasan itu. Huh! Tahu pun takut. Dia ingat aku ni
siapa, boleh sesuka hati aje dia nak main-mainkan, omel Amirul berserta
senyuman di bibir. Senyuman kemenangan.
Liyana tertawa kecil melihat lelaki itu tersenyum. Mesti dia
ingat aku mengalah. Kau belum kenal dengan aku lagi. Kau tunggulah, kejap aje
lagi. Baru kau tahu siapa aku yang sebenarnya, bebel Liyana berserta senyuman
yang penuh tersirat.
Setelah memastikan dirinya agak jauh dari pandangan lelaki
itu, lantas Liyana mencari sebiji batu. Setelah dapat, dia mengacukan batu
tersebut ke arah kereta lelaki itu. Tanpa membuang masa, dia membaling batu
tersebut ke arah cermin kereta lelaki tersebut. Nasibnya begitu baik kerana
batu itu betul-betul mengenai cermin sebelah penumpang kereta lelaki tersebut.
“Padan muka!!!” jerit Liyana sambil menunjukkan ibu jari
kepada Amirul. Dan digerak-gerakkan ibu jarinya seperti tanda bagus kepada
Amirul.
“Woit… kurang ajar! Kau jangan ingat kau akan terlepas.
Kereta kau ni aku kerjakan nanti,” marah Amirul sedikit menjerit. Sakit hatinya
melihat cermin yang pecah itu.
“Peduli apa aku. Suka hati kaulah nak buat apa dengan kereta
aku tu. Lain kali jangan nak main-main dengan aku,” sahut Liyana dari jauh.
Namun, di sudut hati, dia berharap agar lelaki itu tidak
menghentam keretanya. Jika tidak, alamat kenalah dia bersoal jawab dengan
ayahnya nanti. Tanpa menoleh, dia segera membawa diri jauh dari tempat parkir
itu untuk pulang ke rumah.
Amirul menghempas pintu keretanya sekuat hati. Hatinya
membengkak dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Jika diikutkan hati yang
panas, mahu sahaja dia mengejar minah kampung itu dan dibawanya ke balai polis.
Biar padan muka merengkuk di dalam penjara atas perbuatannya itu. Mujurlah
kereta perempuan itu masih ada di situ. Dan dia telah pun membalas dendam
dengan memancitkan keempat-empat tayar kereta perempuan itu. Malah dia juga
telah meninggalkan kesan torehan ke atas badan kereta itu. Puas hatinya selepas
melakukannya.
Amirul melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Dihempaskan
badan di atas sofa empuk buatan Itali di ruang tamu rumah papanya. Seharian
bekerja di syarikat begitu memenatkan. Kesibukkan yang dihadapi ketika ini,
membataskan dirinya untuk berhibur di kelab-kelab malam seperti hari-hari
sebelumnya. Segala tender yang diterima oleh syarikat membuatkan dirinya tidak
menang tangan untuk menguruskannya. Teringat kata-kata papanya suatu masa
dahulu. Ketika dia baru memulakan tugas di syarikat papa. ‘Pelanggan perlu
diutamakan. Walau banyak mana projek atau tender yang diterima oleh syarikat
kita, selagi ada daya, kita akan cuba memuaskan hati pelanggan kita,’
Amirul mengeluh berat. Menjadi anak tunggal dalam keluarga
bukanlah perkara yang menggembirakan. Dirinya dijadikan sandaran dan harapan
bagi kedua orang tuanya. Hendak tak nak, dia terpaksa akur dengan setiap
keputusan yang telah dibuat oleh papanya, Tan Sri Khalil. Mamanya, Puan Sri Marissa
hanya mengikut sahaja. Tidak membantah mahupun menyokong. Puan Sri Marissa lebih
suka menyibukkan diri dengan berpersatuan. Segala keputusan di tangan Tan Sri
Khalil. Begitu juga dengan jodoh, mereka hanya menyerahkan seratus peratus
kepadanya. Terpulang padanya untuk mencari sesiapa sahaja untuk dijadikan
isteri. Dalam usia yang sudah mencecah dua puluh enam tahun, sudah layak untuk berumah
tangga. Ramai kawan seuniversitinya dahulu, sudah pun berumah tangga dan
beranak pinak. Hanya dia sahaja yang masih mencari-cari calon yang sesuai untuk
dijadikan suri di hatinya.
Shasha, terpacul nama itu dari dalam hati. Gadis yang
menjadi pujaan ramai lelaki selama ini. Gadis yang memiliki ke semua pakej yang
dikehendaki oleh seseorang lelaki. Cantik bergaya, menggoda, seksi dan menawan
boleh membuatkan semua lelaki cair apabila melihatnya. Entah kenapa dalam
banyak-banyak lelaki yang mengejar Shasha, dia yang menjadi pilihan Shasha. Apa
yang dipandang oleh Shasha, dia sendiri tidak tahu. Hanya Shasha sahaja yang
tahu jawapannya dan selama ini dia tidak pernah bertanya akan hal itu. Namun
dia berbangga kerana dapat mengalahkan lelaki-lelaki yang memuja Shasha selama
ini.
Selama dua tahun perkenalannya dengan Shasha, dia sudah dapat
mengenali hati budi Shasha. Walaupun kadang-kala ego Shasha melebihi
segala-galanya, namun dia tetap gembira berada di samping gadis itu. Hanya
Shasha yang berada di dalam hatinya kini. Tiada gadis lain yang dapat
menandingi Shasha dan tiada gadis lain yang dapat menggantikan Shasha. Tetapi,
sampai bila dia akan berpeleseran dengan Shasha. Pernah juga dia menyuarakan
untuk menyunting Shasha, tetapi gadis itu menolak keras akan permintaannya itu.
Kata Shasha, dia belum bersedia untuk berumah tangga dan tidak suka dikongkong.
Dia belum puas hidup bebas malah dia tidak mahu meninggalkan gaya hidupnya
sekarang.
“Sampai bila?” hanya persoalan itu yang selalu
berlegar-legar dalam fikirannya sehingga ke hari ini.
“Rul… bila balik? Papa tak dengar pun bunyi kereta Rul
tadi?” tegur Tan Sri Khalil menyentakkan lamunan panjang Amirul. Segera Amirul
menoleh ke arah Tan Sri Khalil yang baru menuruni anak tangga menuju ke ruang
tamu.
“Baru aje papa. Mama mana?” soal Amirul pula selepas
menjawab soalan papanya.
“Mama Rul ada dinner
dengan kawan-kawan persatuannya. Sekejap lagi baliklah tu,” jawab Tan Sri Khalil
sambil melabuhkan punggung di atas sofa berhadapan Amirul. Ditatap wajah
anaknya itu. Keruh dan mendung. Seperti ada perkara yang sedang difikirkan oleh
Amirul ketika ini.
“Kenapa keruh aje muka tu papa tengok. Rul ada masalah ke?”
terluah juga persoalan yang sedang bermain di fikiran Tan Sri Khalil.
Amirul mengeluh ringan. Dia membetulkan duduknya dan
mengadap Tan Sri Khalil. Mukanya keruh disebabkan peristiwa yang berlaku
sebentar tadi. Tidak mungkin dia akan melupakan dengan apa yang telah berlaku.
Andai kata dia berjumpa dengan perempuan itu semula, pasti dia akan mengenakan
perempuan itu secukup-cukupnya.
“Cermin kereta Rul pecah papa. Ada perempuan gila
pecahkannya,” ujar Amirul kesal.
“Perempuan gila? Hisy… kamu ni Rul. Jangan nak main-mainkan
papa pulak. Macam mana boleh pecahnya?” tanya Tan Sri Khalil tidak berpuas
hati.
“Siang tadi Rul blok kereta dia. Nak dijadikan cerita, dia
sakit hati dengan Rul. Ntah macam mana dia boleh baling batu kat kereta Rul, tu
yang pecah cermin sebelah penumpang,” cerita Amirul berserta dengusan kasar.
Panas hatinya apabila mengingati perbuatan perempuan itu.
Tan Sri Khalil melepaskan ketawanya. Geli hati mendengar
cerita Amirul itu. Amirul selalu begitu. Tidak mudah mengalah dengan sesiapa.
Dan akhirnya, dia sendiri yang makan hati.
Berkerut dahi Amirul melihat Tan Sri Khalil ketawa. Rasanya
tidak ada perkara yang melucukan yang membolehkan mereka ketawa. Mungkin papa
gelakkan akulah ni, duga hati Amirul.
“Rul… Rul… sendiri cari pasal. Ha… tanggunglah sendiri. Yang
Rul pergi blocking kereta dia tu
kenapa? Kalau papa jadi dia pun tentu papa mengamuk juga,” suara Tan Sri Khalil
dalam tawanya yang masih bersisa. Anaknya itu tidak pernah nak berubah.
Amirul mencebik. Panas telinganya mendengar kata-kata Tan
Sri Khalil itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia membalas kata-kata Tan
Sri Khalil. Tetapi dibiarkannya sahaja. Tidak ada guna untuk mengungkit
peristiwa yang telah berlaku. Mungkin suatu hari nanti dia akan membalas
perbuatan perempuan itu.
“Rul naik dululah papa. Nak mandi dan tidur,” ujar Amirul
seraya bangun. Dia mengatur langkah menuju ke bilik di tingkas atas.
“Rul… papa ada perkara nak bincangkan dengan Rul. Esok, kita
makan tengahari bersama,” beritahu Tan Sri Khalil sebelum Amirul hilang dari
pandangan mata.
“Baiklah papa,” balas Amirul dan hilang di sebalik anak
tangga menuju ke bilik.
Tan Sri Khalil melepaskan keluhan. Dia memikirkan bagaimana
caranya untuk memberitahu Amirul. Niatnya tidak mahu tertangguh lagi. Niat
untuk menjodohkan Amirul dengan anak rakan baiknya. Sudah terlalu lama hajatnya
itu dipendamkan, semenjak mereka berdua berkawan rapat baik dari segi
kekeluargaan mahupun rakan perniagaan. Hajatnya itu juga telah disuarakan
kepada Puan Sri Marissa. Dan Puan Sri Marissa sekadar mengikut sahaja
perancangannya tanpa ada bantahan. Dia berharap agar hajatnya itu akan
termakbul sebelum dia menutup mata mengadap ILLAHI.
permulaan yg menarik lgi tertarik...bestt2 nk tahu sgt apa yg tjdi bila amirul btmbung dgn liyana?? hehehe like it :) sambung byk2 skit :)
BalasPadamthanks di atas komennya tu.. Insya-ALLAH akn disambung, tp kena tgk berapa ramai yg mintak la.. hihi.. :D
PadamAmirul Arif Iskandar & Nur Liyana Safiyah... Usik mengusik senda gurauan menjadi rindu..:-)
BalasPadamhati merindu asyik merindu, tersentuh rasa.. wah3 Sue.. dh menyanyi dh ni.. huhu.. :D
Padamtidak terduga timbullah sayang.. Andai tak jumpa, menjadi dendam... hehehe...
PadamGurau gurauan masih terasa dalam bayangan
PadamSetiap detik ingin bersama memadu kasih
Apakah hati dah gila bayang
Merindu kasih, darimu sayang
huhu... khas buat Liyana dr Amirul.. :D
Inginku sentuh hatimu sayang dalam rinduku
PadamMoga kau tahu hebatnya cinta di hati ini
Sekian lama, memendam cinta
Payah ku rasa menyeksa jiwa
bait2 lirik dari Liyana buat Amirul..
(yg dah buat sue menitis kan airmata..huhuhu)
huhu.. tragis btl part 2.. smpekan menulisnya pn rs sebak..
Padamhuhuhu... mmg sedih..
Padamlps 2 dh x sedih2 dh.. hepi.. huhu.. :D
Padamsmbng lg...mula dah best nie....suka2.......
BalasPadamInsya-ALLAH.. thanks coz sudi membacanya.. ;)
PadamWell, at this moment too early to comment abt how good this 2nd novel will be but anyway, can u pls write up a sinopsis of this novel .... tapikan kalau her dad tak sayang Lia how can her father bought a car for her??? By the way kalau boleh can her best friend be matched with beloved brother???... anyway itu saranan sahaja .. walau bagaimana pun the permulaan yng bagus ... looking forward for the next entry .. Fr Aida "Perth"
BalasPadamthanks Aida still menjengah blog sy.. ttg Fazura, ada psgnnya.. mybe Adif or org lain.. sinopsis msh dlm proses nk mengarang.. sabar ya.. hihi.. ttg kereta tu.. dlm bab seterusnya ada diterangkan kenapa ayahnya belikan kereta utk Liyana..
Padamuhuuhuh...best sgt...sye rase amirul akan djodoh kan dgn liyana..hahhaha...sye hairan nape ayah liyana xsuke tgk die kan...jgn2 liyana nak angkat kot...heheeh...n3 byk2 ye...cheers ... ;)
BalasPadamalamak!! adikku zielra dh muncul.. hihi.. soalan adik tu, bab ke atas atas, ada jawapannya.. ntikan ya.. :D
Padamok... permulaan yang menarik.. baru permulaan, mungkin selepas ni lagi akan menarik....
BalasPadamok.. tq.. semoga GB dpt menarik minta anda utk membacanya... :D
PadamOk.. Permulaan yang menarik.. Baru permulaan, mungkin selepas ni lagi menarik...
BalasPadamTq Jazzebella Nur Meeza... happy reading!!! :D
Padampermulaan yg best ... :)
BalasPadamTerima kasih dan selamat membaca.. (^__^)
Padamsaya kira tadi lirik lagu gurauan berkasih Achik spin, ternyata judul ceritanya, best lah.. salam kenal
BalasPadammacam mana nak dapatkan novel gurauan berkasih? kat kedai buku banyak yang takdak laa
BalasPadamboleh google. msh ada yg jual. tau pm sy di fb.
Padam