BAB
4
“Aisya Lyana Sofea Binti Ahmad
Nordin!!” jerit Tengku Hariz dari dalam bilik.
Semua yang berada diluar terkejut
dengan jeritan Tengku Hariz. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Belum
pernah mereka melihat Tengku Hariz semarah itu. Setahu mereka, Tengku Hariz
merupakan seorang yang tegas dan bukan pemarah, tetapi hanya pada beberapa
perkara sahaja yang boleh membuatkan Tengku Hariz menjadi marah dan tegas.
Pertama, jika pekerja bawahan tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan
oleh syarikat. Kedua, jika pekerja bawahan melawan serta membantah arahan yang
telah dikeluarkan, maka surat cinta dari Bahagian Sumber Manusia akan diberikan
ke atas pekerja tersebut. Ketiga, jika pekerja bawahan menyentuh barang
peribadinya di dalam pejabat melainkan tukang cleaner yang telah diarahkan untuk mengemas pejabat. Keempat, jika
pekerja bawahan mencampuri urusan peribadinya dan yang terakhir jika pekerja
bawahan mencampur adukkan urusan peribadi dengan kerja. Dia amat pantang jika
pekerja bawahan bermain cinta di syarikatnya. Bagi Tengku Hariz urusan cinta
harus dilakukan luar dari syarikat.
“Nurul,
where’s Aisya?”
tanya Tengku Hariz dengan tiba-tiba mematikan lamunan Nurul terhadap Tengku
Hariz. “Nurul, I’m talking with you!”
sambung Tengku Hariz sedikit meninggi apabila tiada tindak balas dari secretarynya itu.
“Maaf Tengku, Cik Aisya belum masuk
lagi,” jawabnya ikhlas sedikit gugup.
“What
do you mean with Cik Aisya belum masuk lagi?” ulang Tengku Hariz dengan
nada yang masih keras. Matanya mencerlung ke arah Nurul. Menanti jawapan dari secretarynya itu.
Nurul tidak tahu bagaimana untuk menjawab
soalan Tengku Hariz. Apa yang pasti, Aisya masih belum menampakkan batang
hidungnya lagi. Jam di dinding sudah menunjukkan hampir ke angka 9.00 pagi.
Waktu bekerja di Syarikat Menara Holding bermula dari pukul 8.30 pagi hingga ke
5.30 petang. Aisya sepatutnya prihatin dengan waktu bekerja memandangkan dia
masih lagi dalam tempoh percubaan.
“Maaf kak saya terlewat,” suara Aisya
dengan tiba-tiba mematikan lamunan Nurul lagi. Nurul yang agak terkejut dengan
kehadiran Aisya. Sekilas itu dia memandang ke arah jam di dinding. “Kak, saya
terlewat bangun dan maaf juga kerana tidak memberitahu akak terlebih dahulu,”
bicara Aisya lembut apabila menyedari Nurul mengerling ke arah jam di dinding.
Nurul bangun dan menghampiri Aisya yang
sedang sibuk mencapai fail dan menghidupkan komputer.
“Aisya, akak bukannya apa, bos pantang
kalau stafnya masuk lambat tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Aisya kena
ingat semua ni,” nasihat Nurul sebelum memberitahu Aisya bahawa Tengku Hariz
ingin berjumpa dengannya. Aisya hanya menganggukkan kepala menandakan faham dan
mengerti akan apa yang dinasihatkan oleh Nurul itu.
Aisya melangkah berani menuju ke bilik
Tengku Hariz. Dia dapat menduga dengan apa yang bakal dihadapi selepas sahaja
dia menjejakkan kaki masuk ke dalam bilik itu. Dia tahu dia berbuat salah dan
melanggari peraturan syarikat kerana lewat menghadirkan diri ke pejabat. Bukan
sengaja untuk berbuat begitu. Disebabkan keletihan yang terlampau gara-gara
kelewatan pulang semalam, membuatkan dia terlewat bangun dan lewat juga hadir
ke tempat kerja. Apa yang menjadi tanda tanya, kenapa Nadia tidak
membangunkannya? Ah! Mungkin aku yang tidur mati sampai tak sedar Nadia
kejutkan aku. Agaknya dia pun akan terlewat kalau terus-terusan kejutkan aku,
simpulnya di dalam hati namun debaran di hati tidak akan reda selagi dia tidak
menjejakkan kaki ke dalam bilik Tengku Hariz.
“Masuk!” arah Tengku Hariz tegas dan
keras. Menahan kemarahan di hati.
Aisya mengatur langkah menghampiri meja
Tengku Hariz setelah tombol pintu di pulas.
“Maafkan saya Tengku di atas kelewatan
saya hari ini,” jujur Aisya dengan nada yang terketar-ketar. Dia menundukkan
muka memandang lantai.
“Maaf! Awak ingat ini company bapa awak yang punya ke, sesuka
hati awak nak datang dan balik?” marah Tengku Hariz sambil membaling fail ke
muka Aisya.
Tersentak Aisya dengan tindakan Tengku
Hariz itu. Tidak menyangka Tengku Hariz sanggup berbuat begitu disebabkan
kesalahan kecil yang dilakukan olehnya hari ini. Air mata sudah mulai bertakung
di kelopak mata, hanya tunggu masa untuk gugur sahaja. Hatinya tersentuh
tatkala Tengku Hariz menyebut perkataan ‘bapa’.
“Lagi satu, laporan yang awak buat ni,
langsung tidak menepati kehendak syarikat. Rubbish!!’’
sambung Tengku Hariz dan kali ini dia melemparkan fail yang telah disediakan
oleh Aisya semalam ke atas meja sehinggakan fail itu jatuh betul-betul di bawah
kaki Aisya.
Aisya menyeka air mata di pipi. Hatinya
benar-benar sakit apabila diperlakukan sebegitu oleh Tengku Hariz. Walau
seteruk mana kesalahan serta seburuk mana hasil kerjanya, Tengku Hariz punya
hak untuk mengkritik tapi Tengku Hariz tidak punya hak untuk menjatuhkan
maruahnya. Dia terasa maruahnya dipijak-pijak oleh Tengku Hariz
sewenang-wenangnya.
“Jika tiada apa-apa lagi, saya minta
diri dulu,” pohon Aisya lemah. Dia tahu ketika itu dia harus mendiamkan diri.
Jika dia bersuara seperti mencurahkan air ke daun keladi. Untuk tidak
terus-terusan maruahnya di pijak-pijak, dia memohon diri untuk beredar dari
ruangan yang menyesakkan nafas itu.
“Hey, aku belum habis cakap lagi,”
tegur Tengku Hariz masih keras mematikan langkah Aisya. Matanya tajam merenung
Aisya.
“Tengku nak kata apa lagi pada saya.
Semua yang saya lakukan menjadi kesalahan bagi Tengku. Jadi ada baiknya saya
keluar. Moga hati Tengku lebih mengingati ALLAH dan tidak mudah dihasut oleh
syaitan,” luah Aisya seakan menyindir. Dia nekad untuk keluar dari bilik itu.
Dia tidak hiraukan tindakan yang bakal diterima akibat melawan cakap bos,
asalkan dia tidak diperlakukan sebegitu lagi.
Tengku Hariz terkejut dengan tindakan
Aisya yang keluar tanpa arahannya. Belum pernah pekerja bawahan melawan
arahannya melainkan Aisya. Dia benar-benar rasa tercabar dengan kedudukannya
sebagai Pengarah Urusan di Menara Holding.
“Aisya!” panggil Nurul terketar-ketar
kerana dikhuatiri akan mengganggu kerja Aisya.
Semasa menuju ke bilik Tengku Hariz
untuk menghantar dokumen tadi, dia terdengar akan amukan dan amarah Tengku
Hariz terhadap Aisya. Niatnya untuk masuk ke dalam bilik menghantar dokumen
mati begitu sahaja kerana dikhuatiri akan dimarahi oleh Tengku Hariz pula.
“Ermm..” balas Aisya pendek.
Aisya masih lagi khusyuk dengan tugas
membetulkan laporan yang dibuat olehnya semalam. Kalau diikutkan hati, mahu
sahaja dia membuang laporan tersebut ke dalam tong sampah. Dia kecewa kerana
usahanya tidak dihargai oleh Tengku Hariz. Pulang lewat hampir ke satu pagi,
semata-mata untuk menyiapkan laporan tersebut hanya sia-sia sahaja.
Nurul melangkah menghampiri Aisya yang
masih tekun membuat kerja.
“Ada apa kak?” tanya Aisya apabila
menyedari akan kehadiran Nurul di sisi. Nurul masih berperang untuk bersuara.
“Kak, kalau tak ada apa-apa, boleh tak akak jangan kacau saya. Saya tengah
banyak kerja ni,” sambung Aisya sedikit meninggi.
“Maaflah kalau akak ganggu Aisya,” ujar
Nurul perlahan dan kembali semula ke tempat duduk. Mukanya berubah muram
selepas ditegur oleh Aisya.
Melihatkan perubahan di wajah Nurul,
lantas Aisya meminta maaf akan keterlanjuran kata-katanya tadi. Dia tidak
berniat untuk berkata begitu. Nurul memahami situasi tekanan Aisya. Namun dia
tidak ambil hati dengan kata-kata Aisya. Dia juga bersalah kerana membabitkan
Aisya dalam hal tersebut.
“Nah! Saya nak awak siapkannya hari ini
juga tanpa sebarang kesilapan. Laporan semalam sekali. Faham!” arah Tengku
Hariz sambil mencampakkan sebuah fail betul-betul di hadapan mata Aisya dan
hampir mengenai mata Aisya.
Aisya tersentak. Jari-jemari yang dari
tadi khusyuk menekan papan kekunci termati dengan tiba-tiba. Astaghafirullahalazim!! Mengucap Aisya, terkejut
dengan perbuatan Tengku Hariz sebentar tadi.
Tak guna punya bos. Sesuka hati kau aje
nak campak benda depan aku. Kau ingat aku ni patung ke? Menyumpah Aisya di
dalam hati. Betullah kata Kak Nurul, dia tu ikut suka hati dia aje nak marah
atau tak. Aku tersalah anggap tentang dia. Tapi, takkanlah disebabkan insiden
kat restoran ari tu sampai kau nak dera aku. Benda kecil pun nak
dibesar-besarkan ke? Tak professional langsung, gerutu Aisya lagi. Dia
berpendapat bahawa Tengku Hariz masih lagi menyimpan dendam di atas insiden yang
lalu. Namun, dia tidak menyedari bahawa tingkah lakunya sedang diperhatikan
oleh Tengku Hariz.
“Awak menyumpah saya ke Aisya?” sergah
Tengku Hariz sedikit meninggi dan mendesak. Matanya tajam ke muka Aisya.
Aisya mengetap bibir. Sudah menjadi kebiasaan
bagi mulutnya terkumat-kamit apabila memarahi seseorang di dalam hati. Ya!
Memang aku tengah menyumpah kau. Ingin saja Aisya melontarkan kata-kata
tersebut tetapi hanya setakat di kerongkongnya sahaja.
“Do
it now!!” Arah
Tengku Hariz nyaring dan hampir memecahkan suasana sunyi di pejabat itu. Nurul
yang berada berhampiran dengan meja Aisya hanya tunduk membisu tanpa menjeling
mahupun untuk melihat. Dikhuatiri tindakannya nanti dapat dihidu oleh Tengku
Hariz.
Tengku Hariz menghempas pintu bilik. Bengang
dan marah dengan Aisya tidak pernah surut. Walaupun dia tidak berapa jelas
dengan kata-kata Aisya tadi, dia dapat merasakan yang Aisya sedang menyumpah
seranah dirinya.
Huh! Dengus Tengku Hariz melepaskan
kemarahan sambil tersandar lesu. Dia menggenggam tangan dengan erat sekali. Kau
cabar aku Aisya. Kau tunggu apa yang aku akan buat pada kau nanti. Kau jangan
ingat kau boleh senang bekerja kat sini. Aku akan pastikan kau berhenti dari
kerja dan merayu-rayu aku supaya mengambil kau semula. Kita tunggu dan lihat
saja Aisya, azam Tengku Hariz sambil ketawa sinis. Insiden yang berlaku di
restoran tidak lama dulu membuatkan dirinya membenci dan berdendam dengan
Aisya.
Mana mungkin dia tidak membenci dan
berdendam dengan Aisya kerana Aisya telah memalukan dirinya di khalayak ramai.
Aisya telah mempertikaikan harga kemejanya. Jika diikutkan hati ketika itu,
mahu sahaja dia menampar Aisya. Tetapi, dia hanya mampu untuk menolak Aisya
jatuh ke lantai. Walaupun begitu, hatinya tetap puas tatkala melihat Aisya jatuh
tersungkur di depan orang ramai. Ah! Buat apa aku fikirkannya lagi. Aku perlu
fikirkan cara untuk menyingkirkan dia dari syarikat aku, bisik Tengku Hariz.
“Mak Kiah!” laung Tengku Hariz dari
dalam bilik. Terkocoh-kocoh Mak Kiah berlari meniti anak tangga menuju ke bilik
Tengku Hariz yang terletak di tingkat atas. “Mana baju saya?” tanya Tengku
Hariz sebaik sahaja Mak Kiah berada di hadapan.
“Baju yang mana satu Tengku?” tanya Mak
Kiah tersekat-sekat. Alamak! Tertanya la pulak, bisik Mak Kiah di dalam hati.
Tengku Hariz amat pantang jika sesiapa bersoal jawab dengannya semula.
Tengku Hariz mengangkat kening. Mak
kiah tertunduk takut.
“Baju yang saya suruh Mak Kiah basuhkan
pagi tadi. Mana dia baju tu?” jawab Tengku Hariz seraya menghulurkan tangan meminta
dari Mak Kiah. Mak Kiah terkial-kial cuba mengingati arahan Tengku Hariz pagi
tadi. Dia menepuk dahi apabila mengingatinya semula.
“Maafkan Mak Kiah Tengku Hariz, Mak
Kiah benar-benar terlupa nak membasuhnya pagi tadi,” jujur Mak Kiah
berkata-kata.
“Apa? Terlupa?” ulang Tengku Hariz
sedikit meninggi. “Mak Kiah, kan saya dah pesan pagi tadi, basuh baju tu dan
saya nak pakai malam ni,” sambung Tengku Hariz geram.
Mak Kiah tunduk membisu. Menyedari akan
kesilapannya. Masuk kali ketiga dia terlupa membuat kerja yang telah diarahkan.
Semenjak dia menjejakkan kaki ke dalam keluarga ini, tidak pernah sekali pun
dia berbuat salah. Kesemua arahan yang diberikan di sempurnakan dengan penuh
amanah dan dedikasi, kerana di sinilah tempat dia mencari rezeki yang halal
walaupun kadang kala sikap keluarga Tengku Azman amat menyakitkan hati terutama
Tengku Hariz. Mungkin aku dah tua dan ada baiknya aku berhenti dari pekerjaan
ini, luahnya di dalam hati hiba dan sedih.
“Eh… eh… orang tua ni, mengelamun
pulak. Jangan nak buat drama kat sini. Dah, keluar!” arah Tengku Hariz sambil
mencapai sehelai T-Shirt berwarna
biru laut dari dalam almari.
Mak Kiah akur dan segera beredar dari
bilik itu. Hatinya benar-benar terasa dengan kata-kata Tengku Hariz sebentar
tadi. Ditahan air mata agar tidak tumpah membasahi pipi tua itu.
Mak Kiah mengeluh berat. Dia kecewa
dengan sikap dan perangai Tengku Hariz. Tidakkah Tengku Hariz ingat siapa yang
menjaganya selama ini, dari kecil hinggalah dia sedewasa itu? Tidakkah dia
tahu, tangan yang membelai dan mengusap rambutnya adalah tangan orang tua yang
ditengking-tengking dan dihina-hina selama ini? Sejak kelahiran Tengku Hariz,
Mak Kiahlah yang bertungkus lumus menjaga Tengku Hariz serba serbi sepertimana
dia menjaga abangnya dahulu. Sharifah Rohana Binti Syed Aziz terlalu sibuk
dengan urusannya. Sehabis saja berpantang, Puan Sharifah Rohana kembali ligat
dan aktif berpersatuan dan sentiasa menghadiri jamuan-jamuan di luar. Tengku
Azman Bin Tengku Imran! Boleh dikira berapa jam dia duduk dan berada di rumah.
Sentiasa ada urusan di luar negara, mungkin panas punggungnya jika berada di
rumah. Cuma sejak akhir-akhir ini, Tengku Azman sentiasa berada di rumah.
Mungkin disebabkan usianya yang sudah lewat ataupun sudah ada pengganti yang
boleh menggantikannya menguruskan syarikat.
“Apa yang bising-bising tadi tu Mak
Kiah?” sapa seseorang mematikan lamunan Mak Kiah.
“Eh, bila Puan Sharifah balik?” Mak
Kiah sengaja menukar topik. Tidak mahu membesar-besarkan perkara yang kecil dan
boleh diselesaikan tanpa bertelagah.
“Mak Kiah lupa nak basuh baju Riz ma,
Riz marah dia tadi,” sampuk Tengku Hariz jujur sambil menuruni anak-anak tangga
dengan pantas.
Mak Kiah tertunduk dan terkedu untuk
berkata-kata. Puan Sharifah Rohana menghampiri Mak Kiah yang masih lagi
tertunduk memandang lantai.
“Maafkan saya Puan Sharifah, saya
benar-benar terlupa tadi.” Belum sempat Puan Sharifah Rohana berkata-kata, Mak
Kiah sudah pun mengakui akan kesalahannya. Tengku Hariz hanya tersenyum sinis
dan beredar keluar dari rumah.
“Lain kali jangan buat macam ni lagi.
Mak Kiah bukannya tak kenal dengan perangai Hariz. Dia memang pantang kalau
orang lupa dengan arahannya,” nasihat Puan Sharifah Rohana sambil menepuk
lembut bahu Mak Kiah. Kemudian dia meninggalkan Mak Kiah yang masih lagi
dirundung rasa bersalah. Mak Kiah menyambung semula kerjanya yang tertangguh
tadi dengan rasa kesalan dan pilu di hati.
Tengku Hariz segera keluar setelah
memarkirkan kereta di hadapan bangunan Menara Holding. Dia boleh terlupa untuk
membawa sekali briefcase pulang ke
rumah kerana ke semua dokumen yang diperlukan berada di dalam briefcase tersebut. Malam ini dia
terpaksa akur dengan arahan Tengku Azman yang memintanya menghadiri sebuah
perjumpaan bersama rakan-rakan perniagaan Tengku Azman di sebuah restoran
ternama di Kuala Lumpur. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menolak arahan
Tengku Azman itu kerana dia sudah pun berjanji untuk makan malam bersama
Sharifah Aleeya. Namun siapalah dia untuk membantah arahan Tengku Azman. “Mahu
ataupun tidak, Hariz kena pergi juga,” kata-kata Tengku Azman yang tegas masih
terngiang-ngiang di cuping telinga. Walaupun hati membantah, arahan Tengku
Azman terpaksa diikutkan juga.
“Ya, aku tahu Nadia. Kau janganlah
marahkan aku. Aku tengah usaha siapkannya dengan cepat,” jelas Aisya berharap
Nadia akan faham situasinya ketika itu. Dia tidak ada masa untuk melayan
karenah Nadia yang memarahinya apabila pulang lewat untuk kali yang kedua
semata-mata menyiapkan laporan untuk bos yang dianggap gila itu.
Aisya mematikan talian telefon ketika
Nadia masih lagi membebel di hujung talian. Jika dia tidak berbuat begitu,
sudah pastilah Nadia akan terus-terusan memarahinya. Aisya mengalihkan tumpuan
semula ke screen komputer sambil
jari-jemari menekan papan kekunci.
“Ish!! Bunyi apa tu?” keluh Aisya
dengan tiba-tiba dan mematikan segala perbuatannya. Bingkas dia bangun dan
mengamati bunyi tersebut yang datangnya dari pintu utama. Jika dia tidak silap,
dia telah berpesan kepada Hisham agar mengunci pintu utama kerana dia akan
pulang lewat menyiapkan laporan yang diminta oleh Tengku Hariz. “Takkan pencuri
kot?” soalnya sambil mencapai sesuatu dari bilik pantry. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri pintu utama dan
menyorok di belakang pintu. Sekurang-kurangnya bila aku di sini, aku boleh
pukul pencuri tu dari arah belakang, fikirnya dan segera membatukan diri
menunggu kemunculan pencuri tersebut. Sebaik sahaja melihat sesusuk tubuh masuk
ke dalam pejabat, dengan pantas dia memukul belakang susuk tersebut.
“Aduh!!” rengek Tengku Hariz seraya
jatuh tersungkur menyembah lantai. Dia cuba bangun tetapi dirasakan bahunya
kesakitan amat sangat, begitu juga lengannya.
“Ya ALLAH, Tengku Hariz!!” jerit Aisya
terkejut dengan kehadiran lelaki itu di pejabat, rasa bersalah yang amat sangat
sedang menghantui diri ketika ini. “Maafkan saya Tengku, saya tak sengaja. Saya
ingatkan pencuri tadi, rupa-rupanya Tengku. Maafkan saya,” jelas Aisya dengan
riak bersalah. Dia cuba untuk membantu Tengku Hariz berdiri namun ditepis keras
oleh Tengku Hariz.
Tengku Hariz merasakan bahunya bagai
nak tercabut dari badan. Terasa sakit dilengan kerana dia menghimpit lengannya
sendiri ketika jatuh tadi.
“Awak ni bodoh ke? Takkan saya nak
mencuri masuk office saya sendiri!”
tengking Tengku Hariz sambil memicit-micit bahu yang kesakitan dengan
menggunakan tangan sebelah kiri.
“Maafkan saya, saya memang tak sengaja
nak pukul Tengku. Saya ingatkan pencuri yang nak masuk dalam office ni tadi,” jelas Aisya lagi. Dia
berasa tidak selesa apabila direnung tajam oleh Tengku Hariz. Dia tunduk
membisu seketika seusai menjelaskan perkara sebenar kepada Tengku Hariz.
“Maaf? Maaf kepala otak kau. Kau ingat
dengan perkataan maaf boleh menyelesaikan semua masalah!” tengking Tengku Hariz
kuat dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia mencari briefcase berwarna hitam miliknya di dalam pejabat itu.
Entah mengapa Aisya membenarkan semua
kata-kata Tengku Hariz yang dilemparkan sebentar tadi. Mungkin dia tidak mahu
mengeruhkan lagi keadaan mahupun untuk memperbesar-besarkan hal yang tidak
disengajakan. Dia sudah pun meminta maaf kepada Tengku Hariz. Di atas perbuatan
yang di luar tindakan refleksnya. Tetapi kata-kata maafnya itu tidak diendahkan
oleh Tengku Hariz.
“Tengku!” panggil Aisya.
Langkah Tengku Hariz terhenti dengan
panggilan itu.
“Saya tahu saya bersalah, tapi itu
tidak bermakna Tengku ada hak untuk menengking saya. Saya tidak diajar untuk
menjawab ataupun membalas tengkingan seseorang kerana saya tahu bagaimana untuk
menghormati orang, bukan seperti Tengku yang berlagak bagus seolah-olah Tengku
berkuasa untuk menghukum orang. Hanya ALLAH sahaja yang berhak menghukum
umat-umatNYA,” khutbah Aisya panjang lebar. Dia menundukkan muka. Malas untuk
bertentangan mata dengan Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengangkat kening dan
memandang tajam ke arah Aisya, seperti singa yang sedang lapar, menunggu masa
untuk membaham mangsanya.
“Mak ayah awak tak ajar awak bagaimana
untuk menggoda lelaki kaya sekali ke?” sindir Tengku Hariz diikuti dengan
ketawa sinisnya yang sengaja dan cukup menjengkelkan Aisya.
Aisya terkejut dengan lontaran
kata-kata Tengku Hariz. Dia mengangkat muka dan merenung tajam ke wajah Tengku
Hariz.
“Kenapa perlu libatkan mak ayah?” suara
Aisya perlahan menahan kesabaran namun masih didengari oleh Tengku Hariz.
Tengku Hariz masih meneruskan tawanya.
“Sebab mak ayah kau tu bodoh, dah tu
ajar anak yang bodoh macam kau… bertambah bodoh la,” sambung Hariz dan segera
melangkah jalan menuju ke pintu utama. Masih kedengaran sisa tawanya itu.
Menyirap darah Aisya mendengar setiap
inci perkataan Tengku Hariz. Dia terasa dihina dan dikutuk oleh Tengku Hariz.
Jika dia saja yang dihina dan dikutuk, dia masih boleh menerimanya, tetapi
apabila melibatkan orang tua, dia tidak boleh bersabar lagi.
Pangggg!!!!
Satu tamparan hangat mengenai pipi
Tengku Hariz. Tersentak Tengku Hariz dengan tindakan Aisya itu. Di luar
jangkaannya.
“Woi… cari nahas betul minah ni!!”
marah Tengku Hariz sambil meraba-raba pipi yang terasa sakit dan kebas. Matanya
tajam menusuk ke muka Aisya.
“Sakit?” soal Aisya mengejek. “Begitu
jugalah sakitnya hati saya apabila awak menghina dan mengutuk keluarga saya.
Ya, memang saya tidak diajar dengan baik oleh arwah abah saya, tapi saya masih
berpegang dengan ajarannya walaupun arwah sudah lama pergi meninggalkan saya.
Jangan sesekali awak menghina orang lain. Mana tau suatu hari nanti, orang yang
awak hina itu akan membantu awak ketika awak dalam kesusahan. Saya minta maaf
sekali lagi. Mulai esok saya berhenti bekerja dari syarikat awak. Terima kasih
di atas tunjuk ajar yang awak berikan walaupun tunjuk ajar awak itu hanyalah
penghinaan, tengkingan dan kemarahan awak terhadap saya. Maaf juga jika saya
telah memalukan awak di khalayak ramai atas insiden yang berlaku di restoran
dulu. Saya minta diri dulu!!” luah isi hati Aisya dan terus mencapai beg tangan
dari dalam laci dan segera beredar dari situ. Ketika itu dia benar-benar
memerlukan seseorang untuk merembeskan air mata yang sudah lama di seka agar
tidak gugur di hadapan Tengku Hariz.
Kau perlu kuat Aisya. Ini baru sedikit.
Kau pernah terima yang lagi dahsyat dari hari ini, bisiknya seolah-olah memberi
kata-kata semangat buat dirinya sendiri. Masih jelas diingatan bagaimana dia
dihina dan diherdik setiap hari oleh Tengku Azizul bekas suaminya dulu. Tidak
pernah terlintas dan terdetik di fikiran mahupun berangan-angan untuk menjadi
isteri kepada seorang Tengku, kaya dan terkenal seperti Tengku Azizul kerana
dia tahu akan status dan kedudukannya di mata Tengku Azizul. Dia terjebak
dengan dunia Tengku Azizul yang terlalu egois dan bongkak. Benarlah orang
tua-tua kata ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.
Begitulah yang terjadi kepadanya lima tahun yang lepas. Kenangan yang tidak
mudah untuk dilupakan sehingga ke akhir hayatnya juga. Disebabkan itu jugalah,
dia terlalu sukar untuk mempercayai dan menerima insan yang bernama ‘lelaki’ di
dalam hidupnya.
“Cik Aisya!” tegur seseorang dari
belakang mematikan lamunan Aisya. Aisya menoleh dan terlihat Mr. Raja sedang
tersenyum memandangnya. “Cik overtime
lagi ke?” sambung Mr. Raja. Aisya hanya menganggukkan kepala sahaja. “Nak saya
tolong panggilkan teksi?” pelawa Mr. Raja apabila melihat Aisya hanya tunduk
membisu.
“Eh, tak mengapalah Uncle, kawan saya datang ambil,” tolak
Aisya lemah. Ketika ini dia tiada mood
untuk berbual panjang dengan Mr. Raja.
Kemudian itu, dia menuruni anak tangga
dengan cermat untuk menuju ke perhentian teksi yang terletak tidak jauh dari
bangunan Menara Holding. Belum sempat dia melangkah menuruni anak tangga,
lengannya sudah di tarik seseorang. Aduh! Nak apa lagi dia ni dengan aku. Tak
puas hati lagi ke? Marah Aisya di dalam hati. Aisya menoleh dan memandang tepat
ke anak mata Tengku Hariz yang sedang merah menyala seolah-olah sedang menahan
kemarahan.
“Aku ada hadiah nak berikan pada kau.”
Belum sempat Aisya membalas kata-kata Tengku Hariz, Tengku Hariz sudah pun
mengucup bibirnya dengan rakus sekali. Ya ALLAH! Hanya nama itu saja yang
terbit dari dalam hati Aisya. Dia cuba melepaskan diri tetapi Tengku Hariz
masih kuat memegangnya.
“Baru puas hati aku!” sorak Tengku
Hariz meraikan kemenangan seraya menolak Aisya ke belakang. Aisya jatuh
tersungkur. Kemudian, Tengku Hariz segera menghidupkan enjin kereta dan memecut
laju meninggalkan bangunan Menara Holding. Aisya masih lagi tergamam dengan
tindakan Tengku Hariz. Mr. Raja yang sedari tadi menjadi pemerhati, segera
menuju ke pondok pengawal sambil mulutnya terkumat-kamit menuturkan sesuatu.
“Ayoyo
kadawaley!”
suara Mr. Raja mengejutkan Pak Mat yang sedari tadi ralit menonton televisyen.
Dia memandang sekilas ke arah rakan sekerjanya itu.
“Kamu ni kenapa Raja? Dari tadi aku
menengok mulut kamu tu macam menyumpah seranah seseorang saja, kenapa?” soal
Pak Mat. Jelas kerisauan di wajah tuanya itu.
“Ayoyo
Mat, itu budak sedang… sedang…” Agak sukar Mr. Raja untuk melontarkannya.
Berkerut dahi Pak Mat menunggu ayat yang masih tidak dikeluarkan dari mulut Mr.
Raja.
“Sedang apa Raja oii!” ulang Pak Mat
dengan nada yang ditekankan sedikit.
“Ala… itu orang muda zaman sekarang la
Mat… itu… sedang…” jawab Mr. Raja sambil menunjuk isyarat tangan seperti orang
bercium kepada Pak Mat. Bulat mata Pak Mat melihat isyarat Mr. Raja itu.
“Ala, apa yang nak dikesahkan sangat
Raja. Zaman sekarang ni, mana-mana tempat pun boleh jadi. Dahlah, aku nak ke
tandas kejap, kamu tunggu ya,” bidas Pak Mat dan segera meninggalkan pondok
pengawal. Belum sempat Pak Mat melangkah jauh, dia menoleh semula ke arah Mr.
Raja dan bersuara.
“Rugi pulak aku tak menengoknya ya
Raja.” Mr. Raja terkejut dengan kata-kata Pak Mat. Dia memandang ke arah Pak
Mat yang berjalan longlai menuju ke tandas. Jelas kedengaran bunyi ketawa Pak
Mat selepas melontarkan kata-kata itu tadi. Namun dalam hati Mr. Raja, dia
masih tertanya-tanya akan tindakan berani Tengku Hariz mencium Aisya.
Seolah-olah Aisya tidak merelakan perbuatan Tengku Hariz itu. Aduh! Amma, macam mana ini? Anne banyak kesian sama itu Cik Aisya,
bisik Mr. Raja sendirian.
“Aisya!” panggil Nadia sambil
menurunkan cermin kereta.
Aisya menoleh sambil menyeka air mata
yang hampir gugur. Dia melangkah masuk ke dalam kereta sambil melemparkan
sebuah senyuman hambar kepada Nadia. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Nadia
menyedari akan perubahan di mata serta di wajahnya.
“Kau tertidur kat lantai tu ke tadi?”
tanya Nadia dengan tiba-tiba memecahkan kesunyian di dalam kereta. “Kalau ya
pun aku lambat, janganlah sampai tidur kat situ, macam pengemis pulak aku
tengoknya,” sambung Nadia lagi diikuti dengan gelak tawanya yang nakal.
Aisya hanya tersenyum pahit. Tidak mahu
membalas kata-kata Nadia. Apa yang dia mahukan ketika ini ialah pulang ke rumah
dan membersihkan diri daripada kesan noda yang ditinggalkan Tengku Hariz
sebentar tadi.
“Kau ada apa-apa nak bagitau aku,
Aisya?” soal Nadia lagi apabila menyedari tiada tindak balas yang dipamerkan
oleh Aisya ke atas gurauannya sebentar tadi.
Aisya hanya membisu dan menggelengkan
kepala sahaja. Nadia menoleh sekilas pandang ke arah Aisya yang sedang duduk di
kerusi sebelah pemandu. Terpancar ketakutan dan kesedihan di wajah Aisya ketika
itu. Huh! Satu keluhan dilepaskan oleh Nadia. Sampai bila kau nak jadi macam ni
Aisya? Dulu kau tak macam ni. Kalau orang mengutuk dan menghina kau, kau akan
lawan dan membalasnya balik. Kenapa kau membisu dan mendiamkan diri bila orang
mengambil kesempatan ke atas diri kau? Mana Aisya Lyana Sofea yang aku kenal
dulu. Seorang yang tegas, periang, nakal, bijak dan manja. Aku merindui kau
Aisya! Ingin saja Nadia melontarkan luahan itu kepada Aisya, namun ianya
bagaikan tersekat-sekat di anak tekaknya sahaja.
“Ha… ha… ha… baru padan muka kau Aisya.
Kau nak main-main dengan aku. Ini Tengku Harizlah. Jangan kau ingat senang nak
kenakan aku!” sorak Tengku Hariz sebaik sahaja keretanya melepasi bangunan
Menara Holding. Hatinya gembira. Senyuman gembira terukir di bibir. “Aku pasti
lepas ni kau akan berhenti dari syarikat aku,” sambungnya lagi. Dia memutar
stereng menuju ke rumah. Niatnya untuk mewakilkan Tengku Azman menghadiri
perjumpaan dibatalkan begitu saja. Dia tidak peduli dengan kemarahan Tengku
Azman. Apa yang penting, dia sudah membalas dendam terhadap Aisya dan
kemenangan berpihak kepadanya.
Tengku Hariz menyeluk poket seluar
apabila menyedari telefon bimbitnya bergetar. Lantas dia menekan butang hijau
dan menunggu butir bicara dari pihak sebelah.
“Riz kat mana ni?” tanya Tengku Azman
sebaik sahaja Tengku Hariz melekapkan telefon bimbit ke telinga. Keluhan berat
terlepas jua. “Kenapa tak pergi perjumpaan tu? Mereka dah lama tunggu Riz!”
sambung Tengku Azman sedikit meninggi.
“Riz tak sihat la papa. Tiba-tiba aje
rasa pening kepala dan sakit-sakit badan. Riz on the way ke klinik ni,” bohong Tengku Hariz. Mungkin dengan cara
ini, dia dapat melepaskan diri daripada menghadiri perjumpaan tersebut. Mungkin
juga disebabkan tamparan Aisya tadi memberi hikmah padanya. Dan dia punya
alasan yang kukuh untuk mengelak.
Bukan niatnya untuk membohongi Tengku
Azman. Tetapi disebabkan sikap kawan-kawan Tengku Azman membuatkan dia terasa
berat hati untuk berjumpa. Dia khuatir dia tidak cukup iman untuk melawan nafsu
syaitannya nanti. Pada kebiasaannya jika dia menghadiri perjumpaan sebegitu,
sudah pastilah perempuan-perempuan cantik akan melayani mereka. Mereka juga
akan dijamukan dengan minuman keras dan berkaraoke. Walaupun imannya tidak
sekuat mana, tetapi dia masih boleh membezakan yang mana buruk dan yang mana
baik serta halal dan haram. Bercium tu halal ke? Dahinya berkerut tiba-tiba.
“Riz jangan nak susahkan papa. Riz tahu
tak betapa pentingnya perjumpaan tu,” ujar Tengku Azman geram. Sakit hati
apabila Tengku Hariz mengendahkan arahannya.
“Papa… Riz minta maaf. Kepala Riz
benar-benar sakit. Okeylah papa, Riz nak jumpa doktor. Nanti Riz telefon papa
balik,” beritahu Tengku Hariz dan segera mematikan talian telefon. Dia menarik
nafas lega. Terlepas dari paksaan Tengku Azman.
Tengku Hariz memberhentikan kereta di
bahu jalan. Nafasnya dihela panjang. Wajah Aisya yang tenang meniti di tubir
mata. Entah mengapa wajah itu selalu mengganggu tidurnya setiap malam. Hatinya
sentiasa berdebar tatkala wajah itu terlintas di fikiran. Apakah dia sudah
jatuh cinta pada wajah itu? Apakah dia sudah angau pada wajah itu? Apakah
hatinya sudah terpaut pada wajah itu? Apakah wajah itu pemilik kunci hatinya?
Ah!! Kenapa aku berfikiran seperti ini? Aku benci dia! Aku benci dengan wajah
itu! Aku benci! Bentak hatinya.
Tengku Hariz menyandarkan badan ke
belakang. Tindakan mencium Aisya, mengganggu fikirannya. Kenapa dia tergamak
bertindak seperti itu? Seolah-olah Aisya tidak punya maruah dan harga diri.
Apakah syaitan telah merasuknya ketika itu? Adakah dia berniat untuk
melakukannya? Adakah hatinya gembira ketika melakukannya? Semua persoalan
memerlukan jawapan. Kemenangan sudah berpihak padanya. Dia tersenyum lebar.
Jika Aisya nekad untuk meletakkan jawatan, sudah pastilah dia orang pertama
yang akan meraikan kemenangan itu.
“Terimalah nasib kau pompuan!” kutuk
Tengku Hariz dan tertawa sinis. Seminit kemudian, dia menghidupkan enjin kereta
dan memandu pulang ke rumah. Rumah adalah tempat yang terbaik untuk merehatkan
fikiran yang sedang kusut ketika ini.
jahatnya hariz......
BalasPadamsure hariz angau gan aisya....pas ni abg hariz b'temu aisya&terjadilah konflik 2 beradik...sj speku.hehehe...padan muka t.hariz&t.azizul!!
BalasPadambest ....cepat sambung ya.
BalasPadamdua2 beradik memang ego..!!
BalasPadama bit weird --- tak kn aisya tak tahu adik beradik ex hubby dia --- plus nama papa tu kn sama ---- then all this while aisya tak tahu ex hubby dia ada syarikat ..... mcm pelik je ---- dah berapa lama aisya kawen dulu? tak pernah jumpa famili ex hubby? peliksssss
BalasPadam-coolz
coolz... persoalan tu akn terjwb dlm bab 19... bc bab seterusnya ya.. thanks coz membaca HM..
BalasPadamklu nak tau segala jawapan pada persoalan tu.. kene la teruskan membace bab-bab berikutnya...:-)
BalasPadamNadieyya... thanks.. :D
BalasPadam