Jumaat, 2 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 5






“YEAH! Along kalah!” sorak Irdina sambil bertepuk tangan.
Irshad mengeluh. Untuk kesekian kali dia kalah dengan Irdina.
“Dah banyak kali along kalah dengan Dina,” ejek Irdina, selamba.
“Ala… Along bagi peluang pada Dina saja. Kalau tidak…”
“Sudahlah along. Banyak alasan pulak. Dah kalah tu ngaku sajalah kalah.”
“Eh.. Betullah. Apa pulak alasannya?”
Irdina mencebik. Irshad masih tidak mengaku kalah.
“Mel tak ikut sekali?” tanya Irshad tatkala menyedari ketiadaan Melisa.
Jarang sekali Melisa tiada bersama Irdina. Ke mana sahaja Irdina pergi, pasti Melisa turut sama ada. Rasa janggal melihat Melisa tidak bersama dengan Irdina.
“Mel balik kampung,” jawab Irdina seraya mencapai botol mineral. Diteguk air dari dalam botol itu.
Irshad mengangguk faham. Dia turut mencapai botol mineral lalu meneguk air dari dalamnya. Setelah itu, dihalakan mata ke arah langit malam.
“Hai!” tegur seseorang, tiba-tiba.
Tersentak Irdina dan Irshad mendengar teguran itu. Masing-masing menghalakan mata ke wajah yang menegur.
“Hai!” suara Naufal lagi.
“Err.. Hai!” balas Irdina, berkerut.
“Awak yang melanggar kawan saya hari tu, kan? Kat pasar malam,” tebak Naufal.
Irdina masih lagi berkerut. Cuba untuk mengingati peristiwa itu.
“Oh… Saya ingat. Mamat perengus tu, kan?” kata Irdina sebaik sahaja mengingatinya.
Ketawa kecil Naufal mendengarnya.
“Dina, siapa ni?” sampuk Irshad.
“Kawan kepada lelaki yang Dina langgar hari tu. Along ingat tak Dina ada cerita pasal budak yang kena marah hari tu?”
Irshad berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia mengangguk tatkala mengingatinya.
“Dia ni kawan mamat yang marah budak tu la.”
“Oh… Okey. Hai, saya Irshad. Abang Irdina,” perkenal Irshad seraya menghulurkan tangan. Disambut baik oleh Naufal.
“Naufal Shafiq,” balas Naufal lalu tersenyum.
Irshad turut sama tersenyum. Matanya memandang penampilan Naufal. Kemas dan segak. Pasti Naufal dari golongan orang berada.
“Jadi nama awak Irdina,” suara Naufal. Wajah Irdina ditatap mesra.
“Irdina Asyikin,” sambut Irdina turut sama tersenyum.
Ditatap mesra wajah Naufal. Handsome! Puji Irdina dalam hati lalu tersengih. Belum pernah lagi dia melihat lelaki handsome berdepan seperti ini.
“Naufal!” panggil Tengku Irfan.
Mereka yang berada di situ tersentak. Masing-masing menghalakan pandangan ke wajah Tengku Irfan yang semakin menghampiri.
“Puas aku cari kau. Kat sini rupanya kau. Siapa…” Tengku Irfan mematikan ayat tatkala wajah Irdina menyapa mata.
Irdina menelan liur. Kelat! Kenapa dia boleh berjumpa dengan lelaki itu lagi?
“Kau!” tegur Tengku Irfan sedikit meninggi.
“Errr… Hai!” tegur Irdina, ramah.
“Ir…” Naufal menegur. Sekadar untuk mengingatkan Tengku Irfan.
“Dina, siapa ni?” tanya Irshad pula.
Wajah pemuda di hadapannya itu ditatap. Seperti pernah melihat wajah itu. Tetapi, di mana? Otaknya dikerah berfikir.
“Kenalkan Teng…”
“Irfan!” pintas Tengku Irfan.
Naufal terkedu. Matanya memandang wajah Tengku Irfan.
“Irshad dan adik saya, Irdina,” balas Irshad, ramah.
Tengku Irfan sekadar mengangguk.
“Apa kata kita lawan? Awak dan adik awak satu group. Saya dan Naufal satu group,” cadang Tengku Irfan kemudian. Wajah-wajah di hadapan ditatap silih berganti.
“Okey juga tu,” sokong Irshad.
“Along!” tegur Irdina sambil menjegilkan mata.
Sungguh, dia kurang senang dengan jawapan Irshad. Kenapa Irshad bersetuju dengan cadangan Tengku Irfan?
Irshad berkerut dahi. Kurang faham dengan jegilan mata Irdina.
So, boleh kita mulakan sekarang?” suara Tengku Irfan sambil tersenyum sinis.
“Haa… Boleh.. Boleh..” balas Irshad sedikit tersentak.
Tengku Irfan masih lagi tersenyum. Wajah Irdina ditatap benci. Rasa sakit hati pada peristiwa yang lepas masih lagi bersisa.
Irdina tersenyum kelat. Rasa berdebar-debar ketika ini. Pandangan Tengku Irfan sungguh menggerunkan. Seperti tidak berpuas hati pun ada juga. Adakah pemuda itu menyimpan dendam atas apa yang berlaku sebelum ini?


TENGKU Iqbal menyandarkan tubuh ke kerusi. Telefon bimbit di tangan ditatap. Mesej yang diterima daripada Lokman dibaca berulang kali. Rasa kagum dengan kecekapan Lokman menjalankan tugas. Tidak sia-sia dia melantik Lokman sebagai penyiasat persendirian selama ini.
Tengku Iqbal bangun dari duduk. Perubahan Tengku Irfan dalam beberapa hari ini menggembirakan hati. Dia mengucap syukur. Bersyukur atas perubahan Tengku Irfan. Anaknya sudah memulakan kerja di Mutiara Holdings.
Buat masa ini, Tengku Irfan menjalankan kerja-kerja biasa. Sebagai persediaan sebelum dia menyerahkan sepenuhnya Suria Holdings kepada Tengku Irfan. Syarikat yang baru diambil alih oleh Mutiara Holdings.
Ada sesuatu yang istimewa pada syarikat tersebut. Disebabkan itu, dia sanggup membayar dengan harga yang tinggi kepada Haji Jamal asalkan dia dapat Suria Holdings.
Bunyi telefon menyentak lamunan pendek Tengku Iqbal. Dicapai telefon bimbit dari atas meja lalu melekapkan ke telinga selepas butang hijau ditekan. Menanti sapaan dari hujung talian.
“Saya dah buat apa yang tengku suruh,” beritahu Lokman dari hujung talian.
“Bagus!” puji Tengku Iqbal.
“Saya akan hubungi tengku lagi,” kata Lokman pula.
“Terima kasih!” ucap Tengku Iqbal lalu mematikan talian.
Senyuman menghiasi bibir. Berita yang baru diketahui menggembirakan hati. Semoga rancangannya berjaya. Semoga dia dapat membalas atas apa yang berlaku kepada Tengku Irfan selama dua tahun ini.
“Papa!” tegur Tengku Irfan, tiba-tiba.
Tengku Iqbal sedikit terkejut. Dihalakan mata ke arah pintu bilik. Wajah Tengku Irfan menyapa mata. Muram wajah anaknya itu. Kenapa Tengku Irfan beriak begitu?
“Papa!” Tengku Irfan memanggil buat kali yang kedua. Tubuh Tengku Iqbal didakap.
“Kenapa ni?” tanya Tengku Iqbal, pelik.
Tengku Irfan tidak membalas. Dieratkan dakapan di tubuh. Pada waktu dan ketika ini, dia amat merindui Tengku Zaharah.
“Tengku Irfan, kenapa ni?” Tengku Iqbal masih menyoal.
“Ir rindukan mama,” ujar Tengku Irfan bernada sebak.
Tersentak Tengku Iqbal mendengarnya. Dia tersenyum kecil dengan tingkah laku Tengku Irfan. Beginilah setiap kali Tengku Irfan merindui Tengku Zaharah.
“Esok kita ke kubur mama, boleh?” tanya Tengku Irfan seraya meleraikan dakapan.
Wajah Tengku Iqbal ditatap. Menanti jawapan daripada papanya itu.
“Boleh! Esok kita ke sana,” jawab Tengku Iqbal lalu tersenyum.
“Terima kasih, papa.”
“Sama-sama, Ir.”
Tengku Irfan tersenyum. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Kepenatan mulai terasa dan minta direhatkan.
Tengku Iqbal berkerut dahi. Apa yang tidak kena dengan anaknya itu? Dengan tiba-tiba sahaja anaknya muncul. Bukankah Tengku Irfan keluar bermain badminton bersama dengan Naufal sebentar tadi?
Tengku Iqbal tersenyum seketika. Walaupun usia Tengku Irfan menjangkau 25 tahun tetapi anaknya itu masih kebudak-budakan. Manja dan mudah tersentuh. Adakah kerana peristiwa kemalangan pada dua tahun yang lepas telah mengubah sikap Tengku Irfan?


TENGKU Irfan menyandarkan tubuh ke kepala katil. Terasa segar tubuh badannya selepas mandi. Nafas ditarik dan dilepaskannya ringan. Otaknya sedang ligat berfikir. Peristiwa beberapa jam yang lalu turut meniti di tubir mata.
“Bulu tangkis tu jatuh dalam garisan,” tegas Irdina, keras.
“Tak! Di luar garisan!” tegas Tengku Irfan pula.
“Dalam garisan!”
“Luar garisan!”
Irdina mendengus kasar. Tengku Irfan di hadapan dipandang tajam.
“Dah kalah buat sajalah cara kalah. Ini tidak, nak main tipu pulak.” Selamba Tengku Irfan berkata. Senyuman sinis menghiasi bibir.
“Bila masa saya kalah? Awak tu yang kalah. Main tipu!” Irdina tidak mahu mengalah. Dia membidas kata-kata Tengku Irfan.
“Penipu!” tuduh Tengku Irfan.
“Apa awak cakap?” tanya Irdina, serius.
“Penipu!” balas Tengku Irfan, selamba.
Irdina mengepal tangan. Sakit hatinya melihat riak selamba Tengku Irfan. Kau main kasar dengan aku, bisik Irdina.
Looser!”
“Awak cakap apa tadi?”
Looser!”
Looser? Awak yang looser.”
“Hey… Kenapa ni?” tegur Irshad, tiba-tiba.
“Dia ni along. Main tipu!” adu Irdina bernada geram.
“Kenapa ni Ir?” tanya Naufal pula.
“Kau tanya la minah ni. Dia kata aku main tipu. Sah-sah bulu tangkis tu jatuh di luar garisan. Dia kata dalam garisan,” cerita Tengku Irfan turut sama geram.
“Dalam garisan!” bentak Irdina.
“Luar garisan!” Tengku Irfan membidas.
“Sudah… Sudah… Jangan bergaduh,” tegah Irshad.
“Kita batalkan perlawanan ni,” putus Naufal pula.
Irdina dan Tengku Irfan mendengus kasar. Masing-masing memalingkan muka.
“Dina ni pun satu. Tak boleh nak beralah sikit.” Irshad menegur. Kepala menggeleng kecil. Irdina seorang yang degil.
“Along!” tegur Irdina. Rasa malu tatkala Irshad menegurnya sebegitu.
“Dahlah Ir. Jom kita balik,” ajak Naufal, lembut.
Tengku Irfan tidak membalas. Wajah Irdina masih menjadi tatapan mata. Rasa sakit hati terhadap Irdina semakin menebal.
“Yang along bela dia, kenapa? Dina nampak dengan mata kepala Dina sendiri. Bulu tangkis tu dalam garisan,” bengang Irdina. Wajah Irshad ditatap tajam.
“Along tahu. Buat apa nak besar-besarkan hal ni? Kita batalkan perlawanan ni. Tak ada siapa menang dan kalah,” putus Irshad, serius.
Irdina mendengus keras. Rasa sakit hati mendengar teguran Irshad. Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Riak sinis terbias di wajah itu. Pasti Tengku Irfan sedang mengejeknya.
“Puas hati kau? Dah la main macam orang cacat. Penipu pulak tu. Huh!” rengus Irdina lalu beredar dari situ.
Tengku Irfan yang mendengar tersentak. Matanya memandang pemergian Irdina.
“Maafkan adik saya. Ada jodoh kita jumpa lagi,” ucap Irshad, kesal.
Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Rasa malu turut menumpang di hati. Malu dengan tingkah laku dan kata-kata Irdina. Semoga Tengku Irfan dan Naufal tidak menyimpan dendam di dalam hati. Semoga perkara itu selesai begitu sahaja.
Naufal hanya mengangguk. Keluhan ringan dilepaskan. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Sukar untuk menafsir riak di wajah itu.
“Ir..” seru Naufal, lembut.
“Aku nak balik!” kata Tengku Irfan dan beredar dari situ.
Naufal menghela nafas berat. Tanpa berlengah, diekori langkah Tengku Irfan daripada belakang. Apa yang Tengku Irfan fikirkan ketika ini?
Bunyi mesej masuk mematikan lamunan panjang Tengku Irfan. Dicapai telefon bimbit lalu membaca kiriman mesej. Setelah membalasnya, dibaringkan tubuh dan menarik selimut. Rasa rindu terhadap Tengku Zaharah hadir dengan tiba-tiba.
“Ir rindukan mama,” luah Tengku Irfan, sebak lalu menutup mata.


“ALONG!” panggil Irdina, perlahan.
Irshad tidak membalas. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjanya.
“Along!” panggil Irdina buat kali yang kedua.
“Along sibuk, Dina,” balas Irshad.
Irdina melabuhkan duduk di sisi Irshad. Wajah abangnya ditatap kasih. Adakah Irshad marah atas apa yang berlaku beberapa jam yang lalu?
“Dina nak apa?” tanya Irshad tatkala menyedari kebisuan Irdina.
“Dina mintak maaf. Dina…”
“Bukan dengan along yang Dina perlu mintak maaf. Dengan Irfan.”
“Irfan?”
“Dina sedar tak apa yang Dina cakap pada Irfan tadi?”
Irdina mengerahkan otak supaya berfikir. Seminit kemudian, dia mengangguk lemah.
“Suka hati Dina saja nak gelarkan Irfan tu orang cacat. Apa perasaan Irfan bila dengarnya? Tentu Irfan terasa hati ketika ni. Kalau orang kata Dina macam tu, apa perasaan Dina? Tentu sama, kan?”
“Dina tak sengaja.”
“Tak sengaja? Along dah tegur Dina, tapi Dina tak nak dengar cakap along.”
Irdina menundukkan wajah memandang kaki sendiri. Rasa sebak dengan teguran Irshad.
“Dina perempuan. Along tak nak orang mengata Dina. Perempuan tapi berlagak lelaki,” tegur Irshad pula. Wajah adiknya ditatap seketika.
“Dina… Dina mintak maaf,” ucap Irdina seraya mengangkat wajah.
“Along boleh maafkan. Tapi dengan syarat.”
“Syarat?”
“Along nak Dina pergi mintak maaf dengan Irfan. Selagi Dina tak mintak maaf, jangan harap kemaafan along.”
“Mintak maaf dengan Irfan?” ulang Irdina sedikit terkejut.
“Sebagai hukuman buat Dina. Along nak bukti sekali yang menandakan Irfan memaafkan Dina,” beritahu Irshad dan beredar dari situ.
Irdina menelan liur. Kelat! Bukti? Bukti apa yang diperlukan oleh Irshad itu?
“Mengada-ngada la along ni,” rungut Irdina sendirian.
Tanpa berlengah, dia bingkas bangun dari duduk menuju ke bilik. Dia perlu memikirkan tindakan seterusnya. Bagaimana untuk meminta maaf daripada Tengku Irfan?

Terima kasih. Jumpa lagi!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan