DAHLIA menanti penuh sabar. Dia mengerling
jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke angka 2.00 petang. Rasa
rindu terhadap Farid Aiman terlerai sudah sebaik sahaja berjumpa dengan lelaki
itu. Hampir seminggu mereka tidak berjumpa.
Dahlia tersenyum. Dalam masa 3 bulan lagi dia dan Farid akan
bertunang. Rasa tidak sabar untuk bergelar tunangan Farid. Lelaki yang telah
lama bertakhta di hati sejak di bangku sekolah lagi. Dalam ramai-ramai
perempuan yang menyukai Farid, dia yang dipilih. Rasa bangga tatkala Farid
memilih dirinya.
“Sorry, awak. Saya
dapat panggilan tadi. Itu yang lambat,” suara Farid sambil melabuhkan duduk di
kerusi.
“Eh! Tak apa. Saya faham. Awak kan jejaka terhangat di
Malaya,” balas Dahlia sekadar bergurau. Dia ketawa kecil.
“Hangatlah sangat!” bidas Farid turut sama ketawa.
“So? Awak nak
pergi mana lepas ni?” tanya Dahlia ingin tahu.
Farid mengerling jam di pergelangan tangan.
“So?” Dahlia
memandang ke wajah Farid.
“Janganlah pandang saya macam tu. Tergoda saya nanti,” tegur
Farid dalam nada lembut. Senyuman meniti di bibir.
“Mengada-ngada!”cebik Dahlia meluat.
“Mengada apanya pula? Awak tahu kan saya sayang awak
sangat-sangat.”
Dahlia mengangguk perlahan. Dia turut sama menyayangi Farid.
“Tak lama lagi kita dah nak bertunang. Then kahwin. Saya nak jadi yang terbaik untuk awak, Dahlia.”
Dahlia hanya mendengar. Dia tersenyum.
“Dan saya harap, hubungan kita kekal hingga ke akhir hayat,”
sambung Farid lagi. Wajah Dahlia di hadapan dipandang sayang.
“Insya-Allah, awak. Kita sama-sama doa agar hubungan kita
kekal ke akhir hayat,” balas Dahlia bernada harapan. Mustahil dia akan
melepaskan Farid pergi dari hidupnya.
Farid mengangguk. Dia menghela nafas ringan lalu membuang
pandang ke luar restoran. Melihat orang ramai yang melewati restoran itu. Matanya
jatuh ke susuk tubuh seorang perempuan yang berada di luar restoran.
“Awak!” tegur Dahlia, perlahan.
Farid tidak membalas. Pandangannya masih terpahat kepada
perempuan itu.
“Farid Aiman!” Dahlia masih memanggil. Dia berkerut dahi
melihat Farid.
“Haa…” Farid tersentak.
“Awak pandang apa?” tanya Dahlia ingin tahu. Dia melihat ke
luar restoran.
“Tak ada apa-apa.” Farid menggeleng perlahan.
Dahlia mengangguk faham. Pasti ada yang tidak kena pada
Farid melihatkan tingkah laku pemuda itu sebentar tadi.
“BARU balik, Farid?” Teguran Encik Amir mematikan langkah Farid.
Dia menghalakan mata ke arah Encik Amir di ruang tamu.
“Baru sekarang nak balik? Kamu ke mana?” tanya Encik Amir
dalam nada serius.
Farid melangkah menghampiri Encik Amir di ruang tamu. Tingkah
laku ayahnya yang sedang membaca fail dipandang seketika. Sejak dari dulu lagi,
ayahnya akan membawa fail-fail dari pejabat ke rumah.
“Kamu ke mana, Farid?” ulang Encik Amir pada pertanyaannya
yang tadi.
“Farid jumpa dengan Dahlia. Then, meeting dengan client kita,” beritahu Farid, tenang.
Wajah ayahnya dipandang.
Encik Amir menghentikan pembacaan. Dia menoleh ke wajah
Farid.
“Dahlia?” ulang Encik Amir berserta kerutan di dahi.
“Bincang pasal majlis pertunangan,” jelas Farid tanpa
dipinta.
“Meeting?” Encik
Amir bertanya.
“Kita akan dapat client
tu,” ujar Farid pula.
Encik Amir mengangguk. Dia menyambung semula pembacaan.
Senyuman meniti di bibir. Rasa bangga menumpang di hati.
Farid beredar dari situ. Dia melepaskan nafas lega. Mujurlah
ayahnya tidak bertanya lebih lagi.
Farid melabuhkan duduk di birai katil setibanya di bilik.
Ingatannya memutarkan semula peristiwa tengah hari tadi. Gerangan perempuan
yang dilihatnya di luar restoran itu tadi mengganggu fikiran.
“Siapa dia?” tanya Farid sendirian. Dia bangun dari duduk
lalu menghampiri meja kerja. Fikirannya masih memikirkan sesuatu.
“Bukan dia ke yang aku jumpa pada malam tu?” kata Farid
tatkala mengingatinya.
PUAN NORAISHAH memandang ke luar tingkap. Entah apa
yang sedang dipandangnya dia sendiri tidak pasti. Sudah lama dia tidak keluar
dan ambil tahu tentang dunia luar. Sejak pemergian suaminya Encik Nazaruddin,
hidupnya jadi kelam. Rasa kehilangan yang amat sangat.
Puan Noraishah menghela nafas berat. Peristiwa 5 tahun yang
lalu masih segar di ingatan dan tidak mungkin dia akan melupakan peristiwa
tersebut. Sejak dari itu, hubungannya dengan Nurin tidak baik. Nurin penyebab
kepada semua yang berlaku. Nurin juga penyebab kepada pemergian suaminya.
“Abang!” sebut Puan Noraishah bernada sebak.
Rasa rindu menujah ke hati. Dia menggerakkan kerusi roda
menghampiri almari di sisi katil. Satu persatu laci ditarik. Mencari album
gambar. Setelah berjumpa, dikeluarkan lalu diselak satu persatu album tersebut.
“Abang!” sebutnya dalam nada sebak. Dia mengusap wajah Encik
Nazaruddin di dalam gambar lalu dipeluk erat.
“Nora rindukan abang,” ungkapnya pula.
Air mata yang meniti di tubir mata diseka. Sudah lama dia
tidak melawat kubur arwah suaminya. Mustahil dia akan meminta pertolongan
daripada Nurin. Sejak peristiwa itu, dia jarang bercakap dengan Nurin. Dia
membenci Nurin.
“Kenapa abang pergi dulu daripada Nora? Nora masih perlukan
abang,” luah Puan Noraishah masih sebak. Semakin rindu tatkala menatap wajah
suaminya itu.
“Kalau bukan disebabkan Nurin, abang tak akan pergi dulu
daripada Nora,” kata Puan Noraishah berserta dengusan kasar. Rasa marah
terhadap Nurin masih terbuku di hati.
“Nora rindukan abang,” sebut Puan Noraishah lagi dan masih
memeluk gambar.
NURIN menutup pintu bilik. Dia bersandar ke dinding sambil
menahan rasa sebak. Kata-kata Puan Noraishah sebentar tadi menyentapkan hati.
Sehingga ke hari ini, Puan Noraishah masih menyalahkan dia di atas pemergian
Encik Nazaruddin.
Nurin melangkah lemah menuju ke bilik. Fikirannya kusut.
Disandarkan tubuh ke kepala katil lalu memejamkan mata.
“Allah!” sebut Nurin lalu membuka mata. Tubuh lelaki yang
dilihatnya siang tadi meniti di tubir mata.
“Betulkah dia yang aku nampak tadi?” tanya Nurin kepada
dirinya sendiri. Dia memutarkan semula peristiwa siang tadi.
“Afiq!” sebut Nurin selepas itu.
Deringan telefon mengejutkan Nurin. Dia menggagau beg tangan
lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nama di skrin dipandang.
“Tak. Aku penat hari ni,” jawab Nurin sebaik sahaja salam
bersambut.
“Kau okey ke, Nurin?” Asrel bertanya dari hujung talian.
“Aku okey, Rel,” balas Nurin berserta nafas ringan.
Asrel tidak membalas. Suara Nurin kedengaran lain.
“Aku letak dulu. Apa-apa nanti, aku call kau,” ujar Nurin.
“Haa… baiklah! Aku nak sambung kerja,” sahut Asrel sedikit
tersentak.
Nurin mematikan talian. Dia melepaskan keluhan kecil. Ada
baiknya dia membersihkan diri dan menunggu waktu Maghrib dari memikirkan siapa
lelaki itu. Hanya kepada Allah dia berserah segala-galanya.
“SO, Nurin tak datang malam ni?” Diana
bertanya sebaik sahaja Asrel mematikan talian. Dia sudah pun mengetahui tentang
Nurin. Gadis itu datang membantu Asrel di gerai.
“Tak kak long. Nurin ada hal.” Asrel melabuhkan duduk di
kerusi.
Diana mengangguk faham. Dia turut sama melabuhkan duduk di
kerusi.
“Nurin dah tahu?” suara Diana selepas itu.
Asrel sedikit tersentak.
“Nurin dah tahu?” ulang Diana pada pertanyaannya tadi.
Asrel membisu. Tidak tahu untuk menjawab.
Diana menyandarkan tubuh. Riak Asrel sudah menjawab
pertanyaannya.
“Rel tak berani, kak long,” ujar Asrel berserta keluhan
ringan.
“Tak berani?” Diana berkerut dahi.
Asrel menundukkan wajah. Itulah kebenarannya. Dia tidak
berani untuk berterus-terang kepada Nurin.
“Sampai bila?”
“Sampai Rel bersedia.”
“Macam mana kalau Nurin dapat tahu sendiri?”
Asrel mengangkat wajah.
“Berterus-terang lebih baik dari merahsiakan. Hati kita pun
akan lebih tenang selepas berterus-terang,” kata Diana sekadar nasihat. Dia
bangun dari duduk untuk beredar.
Asrel hanya mendengar. Kata-kata nasihat Diana tersemat
dalam minda.
“Kak long balik dulu. Ingat pesan kak long. Kalau ada
peluang, berterus-terang pada Nurin.” Diana beredar dari situ. Dia berharap
Asrel mendengar nasihatnya.
“Suatu hari nanti Rel akan berterus-terang pada Nurin, kak
long. Rel perlukan kekuatan untuk lakukannya,” balas Asrel sendirian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan