Hai readers… lama sungguh saya tak entry sedutan dalam bab
HM.. okey hari ni saya entry dua sedutan dalam HM.. semoga dapat melepaskan
rindu anda semua pada Tengku Hariz dan Aisya… Selamat membaca sambil melayan lagu tema Hatimu Milikku.. :D
Sedutan pertama
Tengku Hariz melabuhkan duduk di sisi
katil. Wajah Aisya yang sedang tidur ditatap sayang. Kasih dan sayangnya
semakin menggebu dari sehari ke sehari. Entah mengapa hatinya menangis tatkala
memandang wajah polos di hadapannya itu. Perbualan di antara Tengku Azman dan
Tengku Azizul sebentar tadi menusuk ke tangkai hati. Hatinya tersayat selepas
mendengarnya. Kenapa Aisya perlu hadapi semua ini? Kenapa Aisya perlu
menanggung semua ini? Tidak adakah kebahagiaan buat Aisya? Tidak cukupkah
penderitaan yang dialami oleh Aisya selama ini? Tidak cukup lagikah ujian yang
ditempuhi oleh Aisya selama ini? Tengku Hariz bersoal jawab di dalam hati. Ya
ALLAH, akukah yang bersalah selama ini? Akukah yang menjadi penyebab semua ini
berlaku? Akukah yang menyebabkan dia menderita dan menanggung semua ini? Apa
perlu aku lakukan lagi untuk meringankan bebannya? Aku tidak sanggup kehilangannya
lagi. Tengku Hariz menyalahkan dirinya sendiri.
“Hariz…” seru Aisya perlahan. Matanya
tepat ke muka Tengku Hariz. Sedari tadi dia memerhatikan Tengku Hariz sedang
mengelamunkan sesuatu.
“Aisya… bila Aisya sedar?” tanya Tengku
Hariz terkejut mendengar suara Aisya. Entah berapa lama dia mengelamun, dia
sendiri tidak pasti. Mungkin lama, jika tidak bagaimana dia boleh tidak
menyedari yang Aisya sedang merenungnya.
“Aisya lapar!” rengek Aisya sambil cuba
bangun dari pembaringan. Masih lagi terasa sisa denyutan di kepala.
Seusai sholat tadi, dia terus berbaring
di atas katil disebabkan kepalanya yang terasa sakit. Entah bagaimana dia boleh
tertinggalkan ubatnya di dalam kereta Tengku Azizul. Dan disebabkan itu dia
terpaksa menahan kesakitan di kepala. Disebabkan itu jugalah pandangannya
menjadi kabur dan akhirnya dia tidak sedarkan diri dengan apa yang telah
berlaku kepada dirinya sendiri.
Tengku Hariz membantu Aisya bersandar
di kepala katil. Bubur nasi yang masih panas dicapai dari atas meja yang
terletak di sisi katil. Bubur nasi yang disediakan oleh Mak Kiah. Tengku Hariz
meniup bubur nasi dan menyuakannya ke mulut Aisya. Aisya menyambut dan
mengunyahnya dengan perlahan. Matanya tidak lekang menatap wajah kacak Tengku
Hariz. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari wajah itu.
“Kenapa ni?” tanya Aisya sambil menolak
sudu yang disuakan oleh Tengku Hariz kepadanya. Hatinya gusar melihatkan riak
wajah Tengku Hariz. “Hariz sakit ke? Luka Hariz tu berdarah balik ke?” sambung
Aisya bernada risau. Risau hatinya jika luka di perut Tengku Hariz berdarah
semula.
Tengku Hariz meletakkan mangkuk bubur
nasi di atas meja. Mukanya diraup beberapa kali. Keluhan berat dilepaskan.
Pandangannya jatuh ke wajah pucat Aisya. Tumpah kasih dan sayang pada wajah
pucat itu. Sukar untuk melepaskan Aisya buat kali yang kedua. Namun jika itu
dapat meringankan beban Aisya, dia sanggup melakukannya walaupun hati tidak
merelakannya.
“Riz lepaskan Aisya. Riz takkan ganggu
Aisya lagi. Aisya pergilah ke mana yang Aisya nak, Riz takkan halang Aisya
lagi.” Begitu perit hatinya menuturkan kata-kata itu. Demi melihat Aisya
bahagia, dia sanggup menerima keperitan itu. Dia sanggup menelan semua
keperitan itu. Dia tidak peduli jika dia dipersalahkan di kemudian hari.
Baginya, kebahagiaan Aisya lebih penting dari segala-galanya. Setelah itu, dia
bingkas bangun dan menapak keluar dari bilik itu.
Aisya tergamam seketika. Kata-kata
Tengku Hariz menusuk terus ke tangkai hati. Bagaikan batu besar menghempap
bahu. Bagaikan hati disiat-siat dengan sebilah pisau belati. Jiwanya terasa
kosong. Hatinya terasa kecewa. Perasaannya hancur luluh selepas mendengar
kata-kata itu.
“Hariz…” panggil Aisya sebak. Namun
panggilannya itu tidak dibalas oleh Tengku Hariz. Kelibat Tengku Hariz telah
lama menghilang di sebalik pintu bilik itu.
Aisya bingkas bangun dari katil. Dia
menghayun langkah keluar dari bilik dan menuju ke bilik Tengku Hariz yang
terletak selang dua bilik dari bilik yang didudukinya itu. Dia perlu mendapat
penjelasan daripada Tengku Hariz. Dia perlu tahu kenapa dan sebab apa Tengku
Hariz berkata begitu. Dia perlu tahu apa kesalahannya sehinggakan Tengku Hariz
boleh berkata begitu. Dia perlu tahu kenapa?
“Hariz… Hariz…” panggil Aisya sambil
mengetuk pintu bilik Tengku Hariz. Bertalu-talu diketuk namun masih tiada tanda
untuk Tengku Hariz membukanya.
“Kenapa ni Aisya?” tegur Tengku Hanis
Suraya apabila terdengar suara Aisya dari dalam bilik.
“Kak Anis… tolong Aisya panggilkan
Hariz. Dari tadi Aisya panggil Hariz, dia tak nak keluar. Aisya nak tanya dia
sesuatu,” rintih Aisya sambil menggenggam tangan Tengku Hanis Suraya. Air mata
sudah membasahi pipi.
“Tapi kenapa? Kak Anis tak faham Aisya.
Aisya bergaduh dengan Hariz ke?” tanya Tengku Hanis Suraya. Pelik melihat
keadaan Aisya yang sedang menangis dan tidak ada tanda-tanda untuk berhenti.
“Anis… Aisya… kenapa ni?” tanya Tengku
Azizul pula. Dia yang baru selesai menunaikan sholat di bilik sholat, terdengar
bunyi bising dari luar bilik. Dilihatnya Tengku Hanis Suraya dan Aisya sedang
berdiri di hadapan pintu bilik Tengku Hariz.
“Abang… panggilkan Hariz. Aisya nak
tanya dia sesuatu. Tolong Aisya abang,” rayu Aisya berserta esakan kecil. Dia
meraih tangan Tengku Azizul mengharapkan pertolongan Tengku Azizul untuk
memujuk Tengku Hariz.
“Tapi kenapa?” tanya Tengku Azizul
persis soalan Tengku Hanis Suraya. Dia juga pelik melihat keadaan Aisya begitu.
Aisya melorot jatuh ke lantai. Sukar
untuk mengertikan kedua-dua insan di hadapannya itu. Ternyata keputusan yang
dibuat oleh Tengku Hariz tidak mungkin akan berpatah balik semula. Dia perlu
menerima hakikat yang dia tidak diperlukan lagi oleh Tengku Hariz. Di kala
hatinya terbuka semula untuk menerima Tengku Hariz, dia dibuang begitu sahaja
tanpa sebarang alasan. Demi Tengku Hariz, dia sanggup mengusir perasaan dendam
dan benci. Dia cuba menyuntik semula perasaan cinta ke dalam hatinya itu. Dan
ketika dia hampir merasai nikmat kebahagiaan, dia ditinggalkan dengan sebuah
penderitaan. Penderitaan yang akan menjadi pendampingnya buat selama-lamanya.
Sedutan
kedua
Aisya menoleh sebaik sahaja terdengar
pintu bilik dikuak seseorang. Terjengul kepala Tengku Hariz di sebalik pintu
itu. Kemudian, Aisya memalingkan mukanya memandang keluar jendela. Cuaca petang
itu begitu mendamaikan hati. Jika dia punya kudrat, ingin saja dia membawa diri
keluar dari tempat itu dan menghirup udara petang disamping orang tersayang.
Sungguh tinggi angan-angannya itu. Dapatkah dia merealisasikan angan-angannya
itu?
“Kenapa tak berehat? Aisya kan tak
sihat lagi,” ujar Tengku Hariz berbasa-basi. Dia menghampiri Aisya yang sedang
duduk di tepi jendela. Aisya sepertinya sedang mengelamunkan sesuatu. Apa yang
dilamunkan oleh isterinya itu, dia sendiri tidak tahu.
Aisya membatukan diri. Matanya masih
lagi tertancap ke dada langit yang terbentang luas di hadapannya itu.
“Aisya… jangan buat abang macam ni. Apa
lagi yang Aisya tak puas hatikan. Cuba Aisya bagitau pada abang,” pujuk Tengku
Hariz. Dia mencapai tangan Aisya dan mengelusnya lembut.
“Aisya banyak susahkan abang,” ujar
Aisya perlahan. Dari dulu hinggalah sekarang dia telah banyak menyusahkan
Tengku Azman sekeluarga. Itulah yang dirasakannya kini.
“Kenapa Aisya cakap macam tu? Dah
berkali-kali abang katakan yang Aisya tak pernah susahkan abang, malah keluarga
abang. Cuba Aisya berfikiran positif sikit,” balas Tengku Hariz dalam nada
sedikit meninggi. Sukar untuk memahamkan Aisya.
Aisya memandang tepat ke muka Tengku
Hariz. Jelas sinar keikhlasan dan kejujuran di wajah itu. Tetapi kenapa sukar
baginya untuk mengakui kata-kata Tengku Hariz. Mungkin kata-kata Marlisa
sedikit sebanyak mempengaruhinya dalam perkara itu.
“Aisya tak nak orang kesiankan Aisya.
Aisya tak nak orang simpati dengan Aisya. Abang tahu tak?” hambur Aisya sekawal
yang mungkin. Dia tidak mahu meninggikan suara di hadapan suaminya. Berdosa
besar!
“Ya ALLAH… tolonglah Aisya. Jangan
serabutkan kepala abang dengan perkara yang tak masuk akal tu. Tak ada sesiapa
pun yang kesiankan Aisya. Tak ada sesiapa pun yang simpati dengan Aisya. Apa
yang mereka tunjukkan pada Aisya adalah kasih sayang dan bukannya simpati.
Abang kasihkan Aisya dan abang ikhlas kasihkan Aisya. Tak cukup lagi ke
keikhlasan yang abang tunjukkan pada Aisya selama ini,” jelas Tengku Hariz
kesal. Sungguh dia berasa kesal dengan apa yang difikirkan oleh Aisya selama
ini.
Aisya menyeka air mata yang hampir
gugur. Kata-kata Tengku Hariz sayup kedengaran di gegendang telinganya.
Keikhlasan Tengku Hariz tidak boleh dinafikan. Tetapi hatinya masih lagi
berdegil untuk tidak menerima malah menolaknya keras.
“Sudahlah… apa-apa pun yang terjadi,
abang tetap cintakan Aisya, sayangkan Aisya seikhlas hati abang. Jangan
menangis sayang, tak baik untuk kandungan sayang tu. Sayang berehatlah, abang
nak balik rumah kejap nak mandi. Dah melekit badan abang ni seharian tak mandi.
Nanti Aisya juga yang tak nak dekat dengan abang, tak nak cium abang.
Melepaslah abang nak bermanja-manja dengan Aisya nanti kalau keadaan abang macam
ni,” putus Tengku Hariz dalam nada usikan. Dia memeluk erat Aisya dan cuba
menyalurkan semangat kepada Aisya. Moga dengan cara ini dapat menghilangkan
rasa resah gelisah Aisya selama ini.
“Abang balik dulu ya sayang, Malam
nanti abang datang balik,” ujar Tengku Hariz selepas membaringkan Aisya semula
ke atas katil. Dia menghadiahkan kucupan di pipi dan juga di dahi Aisya.
Seminit kemudian, dia menapak keluar meninggalkan Aisya berbaring di situ. Ya
ALLAH lindungilah anak dan isteriku ini, doanya di dalam hati.
alamak dorg bercerai? hadei la..huhhuhu bila nak kuar ni?tak sabar nak baca.
BalasPadampassword utk ulasan - warrior (hehe cun sangat lah password ni.)
tp kan eliza, klo tak letak yg password, grenti lagi ramai nak mengomen. hehe.
eh, yeke Yong.. ada password. alamak!! mesti ter'setting' sendiri.. xpe, nti sy check balik setting dia.. tq Yong..
Padam