BAB
10
Liyana menapak keluar rumah dengan hati
yang bercampur baur. Sudah bermacam-macam dia memikirkan alasan untuk menolak
ajakan Harris, tetapi kesemuanya menemui jalan buntu. Jauh di sudut hati, dia
tidak sampai hati untuk menolak pelawaan Harris mengajaknya keluar bersama pada
hari ini. Mendengarkan rayuan Harris malam tadi, nak tak nak, dia terpaksa
bersetuju dengan permintaan Harris itu. Ini bermakna, dia terpaksa meminta cuti
daripada Marina atas alasan sakit perut. Rasa bersalah kerana membohongi
Marina. Bukan disengajakan tetapi terpaksa, bisik Liyana.
Liyana melemparkan senyuman kepada
Harris yang sedang menantinya di sisi kereta. Diperhatikan Harris dari atas ke
bawah. Handsomenya dia, detik Liyana.
Entah mengapa jantungnya berdegup dengan pantas. Seperti pelari Watson Nyambek
berlari menuju ke garisan penamat dalam acara larian 100m. Dia mengusap lembut
dadanya supaya reda. Namun matanya masih menjamah penampilan Harris.
“Lama tunggu?” tanya Liyana
berbasa-basi.
“Tak adalah. Thanks sebab sudi keluar dengan Ris,” jawab Harris berserta
senyuman di bibir.
“Kita nak ke mana?”
“Adalah, jom!” ajak Harris dan menarik
tangan Liyana supaya masuk ke dalam kereta. Liyana sekadar akur tanpa
membantah.
Kereta meluncur laju menuju ke Shah
Alam. Sedari tadi, senyuman manis tidak lekang dari bibir Harris. Hajatnya
untuk keluar bersama Liyana tercapai akhirnya. Sungguh dia tidak menyangka yang
Liyana sudi untuk keluar bersamanya.
“Lia… kalau Ris bagitau sesuatu, boleh
tak?” ujar Harris tiba-tiba.
Liyana membisu. Fikirannya sedang ligat
memikirkan ke mana Harris ingin membawanya keluar. Hatinya berdegup kencang.
Entah mengapa, dia sendiri tidak pasti. Hisy… kenapa laju aje jantung aku ni
berdegup. Tapi, tak sekencang sewaktu aku dengan Amirul. Takkanlah dua-dua
lelaki ni aku suka kot. Tak masuk dek akal aku yang waras ni. Mana boleh
seorang perempuan jatuh cinta dengan dua orang lelaki. Aduh!! Apa yang perlu
aku buat ni? Liyana bermonolog dengan dirinya sendiri.
“Lia… Lia…” panggil Harris sambil
memegang tangan Liyana.
“Ha… apa dia?” tanya Liyana
terpinga-pinga. Entah sudah berapa lama dia mengelamun, dia sendiri tidak
pasti.
“Lia ni mengelamun ke?”
“Eh… mana ada. Tengah… tengah…” dalih
Liyana dan tersengih. Kepala yang tidak gatal, digaru berkali-kali. “Ris cakap
apa tadi?” tanya Liyana sekadar mengambil hati Harris.
“Erm… Ris ingat, nak bawa Lia jumpa
dengan family Ris. Nak kenalkan Lia
dengan papa Ris,” beritahu Harris berserta senyuman di bibir.
“Haaaa… jumpa family!!” ulang Liyana sedikit menjerit. Terkejut dengan kenyatan
Harris itu. Mampus aku!! Macam mana ni? Takkan dia betul-betul suka kat aku
kot, bisik Liyana.
“Untuk apa?” tanya Liyana setelah
dirinya stabil.
Harris tergelak dengan pertanyaan
Liyana. Dia menoleh sekilas ke arah Liyana yang masih beriak terkejut dan
gelisah. Hatinya tercuit melihat tingkah Liyana.
“Saje nak kenal-kenalkan Lia dengan
papa Ris,” balas Harris. “Boleh tak Lia?” sambung Harris lagi.
Liyana membuang pandang ke luar
tingkap. Apa yang perlu dijawabkan dengan pertanyaan Harris itu. Hatinya masih
lagi berteka-teki. Separuh hatinya menyukai Amirul dan separuh hatinya menyukai
Harris. Bagaimana untuk merungkai teka-teki itu?
“Bila?” ujar Liyana. Ikutkan ajelah.
Pergi jumpa, bukannya apa pun, bisik Liyana.
“Hujung minggu depan boleh? Family Ris ada buat majlis
kecil-kecilan. Malam tu semua saudara mara Ris datang. Masa tu, bolehlah Ris
kenalkan Lia dengan semua orang,” beritahu Harris. Senyuman masih tidak lekang
dari bibirnya.
Gullpp!!
Liyana menelan liurnya berkali-kali.
Kelat! Kenalkan aku dengan saudara mara dia? Waduh!! Gi mana sih? Mestilah
Amirul ada masa tu. Diorang berduakan sepupu. Malah Tan Sri dan Puan Sri mesti
ada juga dalam majlis tu. Apa aku nak buat ni? Monolog Liyana sendirian.
“Insya-ALLAH… kalau Lia tak ada urusan
penting, Lia ikut Ris,” balas Liyana. Tawakal ajelah.
“Thanks
Lia,” ucap Harris berserta senyuman manis di bibir. Senyuman yang menggetarkan
tangkai hati Liyana.
Harris memarkirkan kereta di petak yang
baru di kosongkan. Setelah mematikan enjin, segera dia keluar dari perut
kereta. Dia membukakan pintu buat Liyana. Pantas Liyana keluar dari perut
kereta sambil matanya melilau melihat keadaan di kawasan itu. Mana pulak Harris
ni bawa aku? Seram aje aku tengok tempatnya ni, bisik Liyana. Dia mengekori
langkah Harris sambil otaknya ligat berfikir.
“Mari Lia,” ajak Harris sambil
menghulurkan tangan kepada Liyana.
Liyana mengerutkan dahi. Tangan Harris
di pandang penuh minat. Dengan perlahan, dia menyambut huluran tangan Harris.
Terasa damai menggenggam tangan Harris. Tapi, tidak sedamai Amirul. Kata
hatinya membidas lagi.
“Duduklah!” arah Harris sebaik sahaja
mereka tiba di sebuah restoran.
Liyana sekadar menurut. Dia melabuhkan
duduknya di atas kerusi yang tersedia di situ. Seminit kemudian Harris
melabuhkan duduk berhadapan dengan Liyana. Matanya masih menjamah wajah Liyana.
Rasa cintanya terhadap Liyana semakin menggedu. Malah rasa cinta itu tidak sana
dengan rasa cintanya terhadap Azlin dahulu.
“Terima kasih,” ucap Liyana sebaik
sahaja pelayan meletakkan hidangan di hadapan mereka. Harris terlebih awal
memesan makanan buat mereka berdua, malah Harris juga sudah menempah tempat itu
khas buat dirinya dan Liyana.
“Makanlah Lia. Makanan kat sini memang
sedap. Malah restoran ni terkenal di seluruh Malaysia,” cerita Harris penuh
yakin. Kemudian dia menghirup tembikai jus dari dalam gelas.
Liyana sekadar mengangguk. Dia
menyudukan sedikit nasi ke dalam mulutnya.
“Sedap. Patutlah terkenal di seluruh
Malaysia,” puji Liyana dan menyambung suapannya.
Mereka berdua menikmati makanan yang
dihidangkan penuh nikmat. Sesekali Liyana membuang pandang melihat keadaan
sekeliling di restoran itu. Sungguh tenang dan damai berada di situ. Terasa
ingin membelai dirinya sendiri dengan suasana sebegitu. Terasa juga ingin
melayani perasaan dan bermain dengan minda ketika itu. Jika diberi peluang,
ingin saja dia menikmati keindahan tempat itu bersendirian tanpa gangguan dari
sesiapa pun.
“Lia…” seru Harris tiba-tiba. Serentak
Liyana menoleh. “Ris sukakan Lia. Ris sayangkan Lia. Sudi tak kiranya Lia jadi
kekasih Ris,” luah Harris sambil menggenggam tangan Liyana.
Tersentak Liyana mendengar luahan cinta
Harris itu. Matanya menjamah wajah kacak Harris. Jelas keikhlasan dan kejujuran
di wajah itu.
“Ris… Lia…” gugup Liyana. Apa aku nak
cakap ni? Perlukah aku menolak atau menerimanya. Bagaimana dengan Amirul?
“Tak apa. Ris bagi masa untuk Lia
fikirkan. Ris tak paksa Lia untuk terima Ris. Apa yang Ris rasakan, Ris dah
luahkan. Jika hati Lia bukan untuk Ris… Ris terimanya dengan ikhlas. Mungkin
Ris bukan orang yang Lia cari selama ini,” tutur Harris panjang lebar.
Melihatkan riak di wajah Liyana, dia
dapat mengagak isi hati Liyana. Dia tidak akan memaksa Liyana. Jika Liyana
berperasaan sama dengannya, dia mengucap syukur. Dan jika Liyana tidak
mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya, dia akur dan redha menerimanya dengan
hati yang ikhlas.
“Lia perlukan masa untuk fikirkannya.
Lia….” Terhenti tatkala seseorang menegur Harris dari arah belakang.
“Kau buat apa kat sini?” tanya suara
itu.
Liyana tersentak. Suara itu seakan
dikenalinya. Lantas dia menoleh ke belakang untuk melihat gerangan empunya
suara tersebut. Berderau darahnya tatkala melihat Amirul sedang berdiri di
belakangnya. Di samping Amirul seorang perempuan cantik dan menawan.
“Kan aku bagitau kau yang aku ada date dengan Lia hari ni. Apa kau dah
lupa ke?” jawab Harris.
“Oh… aku terlupa pulak yang kau date hari ini. Aku ingat esok date kau tu,” ujar Amirul berserta
senyuman nipis. Matanya dihalakan ke muka Liyana.
“Girlfriend
you ke Ris?” tanya Shasha yang sedari tadi membisu. Matanya menjamah wajah
Liyana.
“A’ah… girlfriend I, Liyana,” balas Harris. “Lia, kenalkan Shasha, girlfriend Amirul,” sambungnya lagi
berserta senyuman di bibir. Senyuman penuh makna.
Tersentak Amirul mendengarnya. Girlfriend? Bila masa pulak Liyana
menjadi girlfriend Harris? Hatinya
tertanya-tanya. Terasa menyucuk ke tangkai hati dengan kenyataan Harris itu.
“Erk… bukan. Saya kawan sepejabat
Harris. Harris gurau aje tu,” ujar Liyana cuba membetulkan kenyataan. Tidak
mahu Shasha beranggapan yang bukan-bukan terhadapnya.
“Yalah Sha, I main-main aje. Lia ni
bekas pembantu I. Tapi, sekarang dia pembantu Amirul,” sokong Harris turut
membetulkan kenyataan. Jauh di sudut hati, dia kurang selesa dengan kenyataan
Liyana sebentar tadi.
“Oh… I ingatkan girlfriend you tadi Ris. Terfikir jugak, takkanlah taste you dah berubah. Jauh berbeza dari
Azlin dulu,” balas Shasha sinis.
Liyana di hadapan dipandang dari atas
ke bawah. Gila ke Harris pilih perempuan macam ni. Tak ada taste betul. Tengoklah dressing
dia, kekampungan, kutuk Shasha di dalam hati.
Amboi… sesedap mulut dia aje nak kutuk
aku. Apa aku ni tak ada taste ke
untuk dijadikan girlfriend. Daripada
kau tu yang tak cukup kain aje aku tengoknya. Macamlah muka tu lawa sangat.
Lawa sebab pakai mekap aje buat apa. Muka pun macam tak cukup acuan aje aku
tengoknya. Erk.. tak cukup acuan? Eloklah tu, sama macam si beruang koala ni.
Hish… mencemar kesucian hati aku dah ni. Tak pasal-pasal aku dapat dosa kering
sebab kutuk dia ni. Liyana bermonolog sendirian.
“I dah lama lupakan Azlin. Dalam hati I
hanya ada Liyana dan I akan jadikan Liyana suri dalam hati I,” beritahu Harris.
Cuba untuk menyangkal pespektif Shasha
terhadap Liyana. Dia menggenggam erat tangan Liyana, cuba mententeramkan
perasaan Liyana. Mungkin Liyana terasa akan kata-kata Shasha sebentar tadi,
melihatkan perubahan di wajah Liyana itu.
“Oh… okey. I harap pilihan you kali ni
betul dan tidak mengecewakan you seperti dulu,” balas Shasha seakan mengejek.
“Dahlah… jom Sha kita balik. I dah
penatlah,” celah Amirul tiba-tiba.
Sedari tadi dia menjadi pendengar.
Sakit hatinya mendengar komen dari Shasha itu. Matanya tidak lekang menjamah
riak di wajah Liyana. Tenang, seakan-akan tidak terasa dengan apa yang
diperkatakan oleh Shasha sebentar tadi. Malah hatinya terasa panas melihatkan
genggaman erat tangan Harris di tangan Liyana.
Tanpa menunggu balasan, Amirul segera
beredar dari situ. Lebih lama di situ, terasa sakit hatinya melihatkan
kemesraan di antara Harris dan Liyana. Entah mengapa dia berperasaan sebegitu.
Adakah dia mulai jatuh cinta pada Liyana? Adakah dia akan termakan dengan
kata-katanya sendiri? Kata-kata yang pernah dihamburkan kepada Liyana tidak
lama dulu. Kata-kata yang dia tidak akan tergoda dan terpikat pada Liyana. Ah!!
Apa semua ni? Aku tak mengerti dengan perasaan aku ini, bisik hati Amirul.
“Maafkan Ris,” ujar Harris.
“It’s okey. Lia tak ambil hati dengan kata-kata dia tu. Ris tak perlulah rasa
serba salah,” balas Liyana.
Tidak mahu Harris terus-terusan rasa
serba salah. Walaupun hatinya terasa dengan kata-kata Shasha sebentar tadi,
namun diabaikannya begitu sahaja. Buat pening kepala aje kalau difikirkan
tentang itu. Bukan berfaedah pun, fikir Liyana.
“Baiklah, kalau Lia dah putuskan
begitu. Ris ucapkan terima kasih sebab Lia sudi keluar dengan Ris hari ni,”
kata Harris perlahan. Cuba mengusir rasa bersalahnya terhadap Liyana.
“Sama-sama. Perkara kecil aje tu. Kalau
bab makan free, Lia takkan tolak.
Erk… lepas ni boleh tak Ris belanja Lia makan kat hotel five stars. Mesti sedapkan makan kat hotel. Lagipun Lia tak pernah
rasa makan kat tempat-tempat class
macam tu,” beritahu Liyana dan tersengih. Tidak mahu berfikir tentang Shasha
lagi.
“Boleh… apa salahnya. Nanti kalau Lia
rasa nak makan, Lia bagitau aje pada Ris bila… Ris bawakan,” balas Harris dan
tersenyum.
“Insya-ALLAH… okeylah, Lia masuk dulu.
Terima kasih Ris. Tentang perkara tu, nanti Lia fikirkannya,” ucap Liyana dan
membuka pintu pagar rumah.
Kemudian dia menapak masuk ke dalam
rumah dan membuka pintu rumah. Mujurlah Fazura tiada di rumah, jika tidak sudah
pastilah dia akan disakat dan diejek oleh Fazura.
Harris segera masuk ke dalam perut
kereta sebaik sahaja kelibat Liyana hilang. Hatinya berbunga riang. Senyuman
tidak lekang dari bibirnya. Senyuman bahagia dan gembira. Semoga luahan hatinya
diterima oleh Liyana. Tidak sabar untuk menunggu jawapan daripada Liyana. Dia
juga berharap agar papanya bersetuju dengan cadangannya nanti. Tidak sabar
rasanya di hati untuk memperkenalkan Liyana dengan papanya. Semoga apa yang
dirangkanya ketika ini akan menjadi kenyataan.
Harris memarkirkan keretanya di anjung
rumah. Segera dia keluar dari perut kereta. Senyuman masih tidak lekang dari
bibirnya. Sungguh dia merasa gembira pada hari ini. Kenangan hari ini akan
disimpan kemas dalam kotak fikirannya itu.
“Hai Ris… senyum aje papa tengok, ada
perkara yang menggembirakan ke?” tegur Dato’ Hilman tiba-tiba. Lantas Harris
menghalakan pandangannya ke arah Dato’ Hilman yang sedang menatap surat khabar
di halaman rumah.
“Tak ada apa-apa papa. Ris rasa nak
senyum, tu yang senyum. Papa tak keluar ke hari ni?” balas Harris dan
melabuhkan duduk berhadapan dengan Dato’ Hilman.
“Malam nanti,” balas Dato’ Hilman. “Ris
dah bagitau Pak Long tentang majlis minggu depan ni,” sambung Dato’ Hilman.
Surat khabar di tangan sudah pun ditutup dan diletakkan di atas meja. Matanya
menatap wajah anak tunggalnya itu.
“Dah papa. Pak Long kata dia ada
perkara nak bagitau papa malam tu. Tentang perkahwinan Amirul,” beritahu Harris
dan membuang pandang ke kolam ikan yang terletak tidak jauh dari mereka duduk.
“Amirul nak kahwin ke? Dengan siapa?”
ujar Dato’ Hilman teruja. Berita itu amat mengejutkannya. Sebelum ini pernah
juga dia mendengar ura-ura tentang perkahwinan Amirul, tetapi sekadar khabar
angin saja.
“A’ah papa. Maybe dengan Shasha,” kata Harris. “Okeylah papa, Ris masuk dulu,
nak berehat,” sambung Harris seraya bangun. Tanpa menunggu balasan Dato’
Hilman, Harris menapak masuk ke dalam rumah.
Dato’ Hilman sekadar mengangguk.
Matanya sahaja mengekori langkah Harris. Seketika kemudian, dia mengeluh
ringan. Selama ini hanya Dato’ Hilman tempat untuk Harris bermanja selepas
kematian isteri tercinta. Kisah cinta Harris dengan Azlin memberi tekanan besar
buat dirinya dahulu serta menggugatnya sebagai peranan seorang ayah. Mujurlah
semangat serta iringan doa diberikan buat Harris ketika itu agar Harris bangun
semula dari kekecewaan. Sungguh dia amat takut akan kehilangan Harris suatu
ketika dulu. Rasa kecewa Harris membuatkan dirinya tidak senang duduk. Malah
kemurungan Harris sedikit sebanyak menyebabkan dirinya seakan lumpuh separuh
badan.
Selama hampir setahun dia berusaha mengubati
Harris. Dan alhamdulillah, usahanya itu berhasil berkat kesabaran dan doa dari
dia dan juga Tan Sri Khalil sekeluarga. Tetapi, berbeza pada hari ini. Hari ini
dia melihat anaknya itu tersenyum gembira. Seperti ada perkara yang telah
membuatkan Harris segembira itu. Adakah Harris jatuh cinta semula? Atau ada
seseorang yang telah membuatkan Harris segembira itu. Aku perlu siasatnya,
bisik Dato’ Hilman.
Amirul menghempaskan badannya di atas
katil. Rasa sakit hatinya sedari tadi masih lagi bersisa. Entah kenapa dia
merasai kesakitan itu. Mungkin disebabkan Liyana. Ternyata Liyana tidak
mengendahkan amarannya dahulu. Sengaja Liyana mencari pasal dengannya. Apa
tidak cukup jelas lagikah amarannya dahulu? Adakah Liyana sengaja untuk
menyakitkan hatinya? Huh!! Kenapa sakit sangat hati aku ni, bisik Amirul.
Amirul mencapai telefon bimbitnya. Dia
mendail nombor telefon Liyana dan setia menanti panggilan disambut. Matanya
tertancap ke siling bilik. Rasa sakit hatinya perlu diredakan secepat mungkin. Jika tidak, sudah pastilah
dia akan melepaskan rasa kemarahan itu terhadap benda atau orang lain. Dan
Liyana yang akan menjadi mangsanya.
“Kenapa?” tanya Liyana kasar di hujung
talian.
Tersentak Amirul mendengar suara kasar
Liyana. Rasa sakit hatinya semakin menular ke dalam dirinya ketika itu.
“Kau boleh tanya aku kenapa? Kan aku
dah bagi amaran pada kau, apa kau dah lupa ke?” balas Amirul kasar.
“Apa masalah Encik Amirul ni? Tetiba
aje nak mengamuk,” bentak Liyana. Sakit hatinya mendengar suara kasar Amirul
itu. “Kalau pasal saya keluar dengan Harris, itu tak ada kena-mengena dengan Encik
Amirul. Itu hak saya untuk keluar dengan sesiapa pun,” sambung Liyana dan
mendengus kasar.
“Kau bakal isteri aku dan aku ada hak
untuk tahu dengan siapa kau keluar,” bidas Amirul pantas.
Ya ALLAH, apa masalah dia ni? Belum
kahwin lagi dia dah buat macam ni, macam mana nanti bila dah kahwin. Ish…
menyusahkan betullah mamat hingusan ni, marah Liyana di dalam hati.
“Hello
Encik Amirul, saya ni belum jadi isteri Encik Amirul. Entahkan jadi, entahkan
tidak. Jangan nak berangan lebihlah Encik Amirul,” sindir Liyana dan segera
mematikan talian. Jika tidak, entah apa lagi yang akan dihamburkan oleh Amirul
terhadapnya.
“Lia… Liyana…” panggil Amirul.
Namun panggilan itu tidak bersahut
kerana talian sudah dimatikan.
“Kau sengaja nak menguji kesabaran aku
Liyana,” geram Amirul dan mengepal penumbuk. Bingkas dia bangun dan mencapai
kunci kereta. Dia perlu berhadapan dengan Liyana. Dia perlu merungkaikan rasa
sakit hatinya itu. Rasa sakit yang begitu menyesakkan nafasnya. Adakah dia
sudah jatuh cinta pada Liyana? Langkahnya mati di situ tatkala persoalan itu
menerjah ke dalam kotak fikirannya itu.
hahahaha... luculah amirul nie...
BalasPadamhehe.. blm msk part romantik lg ni.. tp, mmg dia lucu n nakal mcm Liyana jg.. :D
Padamtak sabar nak tunggu....siapakah pilihan liyana amirul atau harris....
BalasPadamakak sambung cepat sikit eak...ramai pembaca nak akak sambung tiap2 hari n tiap2 hari saya bukak blog akak nak tau cite selanjutnya... terima kasih buat cite ni..besttttttt...
hehe.. terima kasih krn melawat blog akak.. update hr2??? kena pkrkan dlu.. :D
Padambest...amirul jeles padan muka dia..hehehe...siapa pilihan liyana?? amirul atau harris??kalau harris ok jgk..hehehe
BalasPadamsiapa plhn Liyana?? ermmm.. jwpnnya ada dlm bab seterusnya.. ;)
PadamVery nice, tak sabar menanti kesinambungannya lah .... updatelah hari2 kalau boleh twice a day pun best .... i think pembaca yng lain will agree with me (to update daily) .. Fr Aida "Perth"
BalasPadamhehe.. akn dpkrkan Aida.. thanks coz still melawat n membaca karya sy.. ;)
Padam