Khamis, 4 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 10


BAB 10

NUR EDLEEN mengusap lembut dadanya. Dapat dirasakan degupan jantungnya berlari laju mengalahkan kereta lumba FI di Sepang. Entah kenapa hatinya juga berbunga riang tatkala menatap wajah Edzuary. Seakan ada perasaan halus yang menusuk masuk terus ke tangkai hati. Adakah dia sudah jatuh hati pada Edzuary? Oh tidak! Tak mungkin dia jatuh hati pada bos besarnya sendiri. Tak mungkin dia mudah membuka hatinya buat lelaki tambahan pula buat lelaki di hadapannya itu.
“Yang awak tengok muka saya macam nak telan saja tu, kenapa? Ada apa-apa ke kat muka saya ni?” tegur Edzuary.
“Oii mak kau jatuh tergolek,” latah Nur Edleen.
Edzuary tertawa. Dia menggelengkan kepala mendengar latah Nur Edleen.
“Apa encik ni, main sergah-sergah macam tu. Cuba tegur dengan cara berhemah sikit,” geram Nur Edleen sambil mengurut dada.
“Hai, saya pulak yang salah. Dah awak tu memang ada penyakit terkejut, nak salahkan saya,” bidas Edzuary.
“Yalah, kalau encik tak…”
“Awak nak apa datang bilik saya ni?” pintas Edzuary laju. Tidak mahu mendengar bebelan Nur Edleen.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung.
“Awak nak apa, Nur Edleen?” ulang Edzuary, menekan.
“Err… saya… saya…” sukar untuknya menyuarakan rasa di hati.
“Yang awak tergagap-gagap ni, kenapa? Takkan baru masuk hospital sehari, otak awak tu dah jadi tak betul,” sindir Edzuary, selamba.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Tajam matanya ke wajah Edzuary yang beriak selamba. Ini sudah lebih. Suka hati dia aje nak kata otak aku tak betul. Tak apa… tak apa… kau nak tengok otak tak betul aku, kan? Tunggu kau, sekejap aje lagi, tahulah kau siapa aku yang sebenarnya, bebelnya di dalam hati.
“Awak nak apa, Nur Edleen?” ulang Edzuary dan memandang ke wajah Nur Edleen.
“Err.. kopinya encik,” ujar Nur Edleen. Secawan kopi diletakkan di hadapan Edzuary.
“Kopi? Saya ada pesan kopi ke?” tanya Edzuary, berkerut.
“Tak ada ke?”
“Tak ada!” bidas Edzuary dan menggeleng.
“Ada la!”
“Mana ada!”
Nur Edleen mengangkat kening.
“Saya tak pesan pun,” kata Edzuary, menegakkan kenyataan.
“Ouh! Okey! Kiranya syarat tu tak berguna lagi la ya,” balas Nur Edleen dan tersenyum ceria. “Saya ambil kopi ni balik la kalau dah macam tu.”
Edzuary berfikir sejenak. Barulah dia tahu akan maksud Nur Edleen itu. Memang dia ada meletakkan syarat agar Nur Edleen menyediakan secawan kopi buatnya setiap pagi. Kenapa dia boleh terlupa tentang itu?
Sorry, saya hampir terlupa tentang itu,” ujar Edzuary. “Apa-apa pun, terima kasih sebab ikut syarat-syarat saya,” ucapnya pula. Ingatannya memutarkan kembali pertemuannya dengan Nur Edleen di pintu lif pagi tadi. Tidak menyangka Nur Edleen masih mematuhi akan syarat-syarat mengarutnya itu.
Small matter. Jemput minum, encik,” pelawa Nur Edleen dan tersenyum kecil.
Edzuary sekadar mengangguk. Tanpa membuang masa, dicapai cawan yang berisi kopi lalu meneguk perlahan kopi tersebut. Berkerut-kerut wajah Edzuary tatkala kopi itu masuk ke dalam mulut. Hampir terhambur kopi tersebut dari mulut Edzuary. Namun, sempat dia menghalang daripada terhambur keluar.
“La… kenapa encik? Tak sedap ke kopi yang saya bancuh tu?” tanya Nur Edleen, pelik.
“Awak ni pandai buat kopi ke tidak?” tanya Edzuary pula.
“Eh, mestilah pandai. Saya pernah bancuh kopi untuk nenek saya, encik. Nenek saya puji habis kopi saya tu,” cerita Nur Edleen, bersungguh.
“Nenek awak tu tak pandai rasa ke?”
“Tak pandai rasa? Maksudnya?”
“Rasa kopi la!” geram Edzuary. Bengap! Kutuknya di dalam hati.
“Bijaklah encik ni,” puji Nur Edleen. “Kalau encik nak tahu, memang nenek saya tu tak pandai nak rasa kopi. Nak tahu sebab apa?”
“Sebab apa?” tanya Edzuary.
“Sebab nenek saya tu tak suka kopi. Bila saya bancuh kopi, nenek saya terus bagi kucing dia minum. So, kucing nenek saya tu lah yang rasa kopi saya tu,” cerita Nur Edleen, tersengih.
Edzuary menepuk dahi. Kenapalah dia berjumpa dengan Nur Edleen? Lama-lama aku yang jadi bengap kalau layan dia lagi, gerutu Edzuary.
“Awak minum kopi tu!” arah Edzuary, keras.
“Saya?” tanya Nur Edleen, inginkan kepastian. Jarinya mengunjuk ke dirinya sendiri.
Edzuary sekadar mengangguk.
Tanpa membuang masa, Nur Edleen mencapai cawan kopi tersebut lalu meneguknya. Sepertimana berkerut Edzuary tatkala meminumnya, begitu jugalah Nur Edleen. Tanpa disengajakan, dia menghamburkan air kopi ke muka Edzuary.
“Nur Edleen!” jerit Edzuary.
“Alamak encik, maaf. Saya memang tak sengaja nak semburnya ke muka encik,” ucap Nur Edleen, takut-takut. Dicapai tisu dari kotak dan mengelap muka Edzuary. Rasa bersalah kerana berbuat begitu terhadap Edzuary.
“Sudah! Awak keluar sekarang. Bawa kopi awak yang entah apa-apa ni sekali. Memang tak layak kahwin betullah awak ni. Buat kopi semudah ini pun tak boleh,” arah Edzuary, meninggi. Dicapai tisu lalu mengelap wajahnya sendiri.
Nur Edleen tertunduk. Terasa hati dengan kata-kata Edzuary. Tanpa menjawab, dibawa langkah keluar dari bilik. Kira bersyukurlah aku nak buatkan untuk kau. Kalau tidak, tak ingin aku nak buat, rungutnya di dalam hati. “Err.. encik!” panggilnya dan menapak ke meja Edzuary semula.
Edzuary tidak membalas. Hanya matanya sahaja mengisyaratkan kepada Nur Edleen.
“Lupa pulak saya nak bagitau pada encik. Kopi kat pantry tu dah habis. Karmila kata, encik tak nak minum air lain selain daripada kopi. Jadi, saya amiklah apa sahaja yang ada di dalam kabinet kat pantry tu. Mungkin sebab itulah rasa kopi ni jadi tak sedap,” bohong Nur Edleen, seraya mencapai cawan dari atas meja Edzuary. “Maaf ya encik. Lepas ni saya belajar macam mana nak bancuh kopi,” katanya pula dan berlalu dari situ.
Berkerut-kerut dahi Edzuary mendengar penjelasan Nur Edleen. Matanya mengekori langkah Nur Edleen sehingga ke muka pintu bilik. Panas hatinya ketika itu.
“Encik, sebenarnya saya tak pandai nak bancuh kopi. Saya pun tak berapa kenal serbuk kopi tu juga. Encik jangan marah ya. Nanti saya tanya pada ‘Encik Google’, serbuk kopi tu apa,” sambung Nur Edleen dan menutup pintu bilik. Seminit kemudian, dia mengekek ketawa tatkala mengingati wajah berkerut Edzuary. Mustahil Nur Edleen tidak mengenali serbuk kopi. Memang Nur Edleen sengaja hendak mengenakan Edzuary dengan mencampurkan serbuk kopi, teh dan milo sekali gus dan membancuhnya untuk Edzuary. Malah, dia juga sengaja menghamburkan air kopi ke muka Edzuary. Sekadar untuk membalas dendam pada Edzuary atas syarat yang dikenakan oleh Edzuary. Baru padan muka kau! Ejeknya di dalam hati.
“Alamak! Aku terlupa la pulak. Kalau tak tanya, mesti Zura marahkan aku,” kata Nur Edleen dan berfikir sejenak. “Baik aku tanya dia dulu,” tambahnya pula. Tombol pintu bilik Edzuary dipulas semula.
Edzuary mendengus geram. Sakit telinganya mendengar penjelasan Nur Edleen. Mana mungkin perempuan tidak tahu membancuh kopi? Kalau disuruh budak darjah lima pun, pasti tahu membancuhnya. Huh! Sengaja nak kenakan aku la ni, duga hatinya.
“Encik Edzuary!” panggil Nur Edleen. Terjengul kepalanya di sebalik pintu bilik.
“Opocot mak kau terjatuh!” latah Edzuary dan terlompat.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Seminit kemudian, dia tertawa besar mendengar latah Edzuary. Kata aku melatah, dia pun sama. Lagi teruk dari aku, bisik Nur Edleen dan tersengih.
“Awak nak apa lagi, Nur Edleen?” tekan Edzuary sambil cuba menahan rasa malu.
“Encik free tak tengahari ni?” tanya Nur Edleen.
“Kenapa?” tanya Edzuary, berkerut.
“Nak ajak encik pergi dating. Nak tak?” jawab Nur Edleen, selamba dan tersengih.
Edzuary mengecilkan mata. Wajah sengihan Nur Edleen ditatap penuh curiga. Hatinya tertanya-tanya sendiri dengan ajakan Nur Edleen. Benar ataupun tidak?
“Saya tunggu kat pintu utama tengahari nanti ya, encik,” pesan Nur Edleen dan menutup pintu bilik. Senyuman terbias di wajahnya.
Edzuary tergamam. Pesanan Nur Edleen bermain-main di kotak fikiran. Perlukah dia percaya dengan ajakan Nur Edleen itu? Khuatir, Nur Edleen akan mempermain-mainkannya sekali lagi. Khuatir juga, Nur Edleen sengaja menduga hati dan perasaannya.
“Kalau dia main-mainkan aku lagi, siaplah dia tu. Aku kerjakan dia cukup-cukup,” bisik Edzuary sendirian.


“ALA… aku tak tanya lagi la Zura. Macam mana aku nak tanya kalau muka dia mengalahkan aku yang terkena sakit senggugut sekarang ni,” beritahu Nur Edleen dan tertawa kecil. Teringat akan riak di wajah Edzuary sebentar tadi. Tangannya mengurut kecil perut yang terasa sakit akibat senggugut.
“Habis tu, macam mana? Tinggal dua bulan saja lagi ni. Kita nak cari tempat, catering dan lain-lain. Perlu masa juga tu nanti,” jelas Ezzura, serius.
Nur Edleen menghela nafas ringan. Otaknya ligat memikirkan jalan untuk bercakap dengan Edzuary tentang sumbangan itu. Baru sahaja dia dibasuh oleh Edzuary dan tidak mustahil dia akan dibasuh Edzuary lagi. Walaupun hatinya terusik dengan kompelin Edzuary sebentar tadi, namun dia tidak mengambil peduli itu semula. Seakan kebal hatinya itu dan tidak pernah terasa hati dengan sesiapa pun.
“Aku cuba Zura. Kau janganlah berharap sangat dari dia. Kalau dia tak nak bagi sumbangan, kita carilah orang lain,” beritahu Nur Edleen.
Ezzura menarik nafas dan melepaskannya lembut. Betul juga apa yang diperkatakan oleh Nur Edleen. Tidak seharusnya mereka berharap pada Edzuary. Jika Edzuary tidak dapat menyumbang, mereka terpaksa mencari sumber lain untuk menampung kos program tersebut.
“Baiklah Leen. Kalau kita tak berjaya dapatkan sponsor dari dia, kita cari sumber lain. Tapi, aku tetap berdoa kau akan berjaya pujuk dia menyumbang untuk program kita tu,” kata Ezzura, penuh harapan.
“Insya-Allah, aku akan cuba Zura,” balas Nur Edleen.
“Kalau dia tak setuju, kau buatlah dia jadi setuju. Aku yakin kau boleh buatnya.”
“Err… nak buat macam mana?”
“Ala kau ni, buat-buat tak faham pulak. Aku rasa dia dah tangkap lentok dengan kau.”
“Tangkap lentok? Macam mana tu?” tanya Nur Edleen, lurus.
Ezzura menepuk dahi. Lurus bendul! “Aku rasa dia dah jatuh cinta dengan kau.”
“Jatuh cinta!!” jerit Nur Edleen, terkejut.
“Wei, pekak la telinga aku. Yang kau jerit kuat-kuat tu, kenapa?” tegur Ezzura dari hujung talian.
Sorry, aku tak sengaja. Aku terkejut dengan penerangan kau tadi,” ucap Nur Edleen, serba salah. “Mustahil!” bidasnya pula.
“Apa yang mustahilnya? Aku pasti, dia dah jatuh cinta dengan kau. Cuba kau fikir balik, macam mana dia ambil berat tentang kau?”
“Aku tak percaya. Salah ke seorang ketua ambil berat pada orang bawahannya?”
“Suka hati kau la Leen nak percaya ataupun tidak. Aku bercakap ni pun berdasarkan apa yang aku lihat selama kau jadi orang bawahan dia.”
Nur Edleen hanya mendengar. Otaknya cuba merencanakan dengan apa yang dijelaskan oleh Ezzura. Benarkah Edzuary sudah jatuh cinta dengannya? Tak mungkin semudah itu Edzuary jatuh cinta dengannya.
“Aku letak dulu la Leen. Bos aku nak jumpa aku. Jangan lupa update aku lepas kau ayat dia,” kata Ezzura berupa pesanan. Seminit kemudian dia tertawa dengan ayatnya tadi.
Nur Edleen turut sama tertawa. Dimatikan talian dan berdiri di jendela sambil membuang pandang di situ. Keluhan berat terlepas dari bibir. Bagaimana untuk meminta sponsor dari Edzuary? Otaknya dikerah supaya berfikir akan jalan penyelesaian. Tidak mahu mengecewakan hati kawan-kawannya. Sungguh, Nur Edleen merasa serba salah ketika ini.
Nur Edleen mengerling jam di tangan. Masa sudah menginjak ke satu petang. Terlalu lama dia memikirkan kata-kata Ezzura. Terlalu lama dia mencari jalan penyelesaian. Tanpa berlengah, dibawa langkah keluar dari bilik untuk ke pintu utama. Dia perlu memujuk Edzuary agar memberi sponsor untuk program mereka nanti.
“Jom!” tegur Edzuary, tiba-tiba sehingga membuatkan Nur Edleen terkejut.
“Encik ni, cuba jangan main sergah saja. Bagilah salam dulu,” geram Nur Edleen dan mengurut kecil dadanya yang berombak laju.
“Jangan banyak bunyi, cepat!” arah Edzuary, serius.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan arahan Edzuary.
“Kan awak yang ajak saya pergi dating, so…”
“Okey!” pintas Nur Edleen, laju. Tidak mahu mendengar bebelan Edzuary.
Edzuary mendengus kecil. Langkah dilajukan menuju ke pintu utama. Mata-mata yang memandang, tidak dihiraukan. Otaknya sudah merancang sesuatu. Sebelum Nur Edleen mengenakan aku, baik aku kenakan dia dulu, bisik hatinya nakal.


“BETUL ummi, Leen tak ada apa-apa. Leen dah sihat,” beritahu Nur Edleen.
“Leen tak tipu ummi?” tanya Hajah Norhayati, inginkan kepastian.
“Betul ummi. Leen tak tipu. Kalau Leen tipu ummi, Leen kena…”
“Jangan nak mengarut Nur Edleen!” pintas Hajah Norhayati. Dia yakin Nur Edleen akan cakap yang bukan-bukan demi membuktikan kata-katanya tadi. “Ummi percaya,” ujarnya pula.
“Ummi janganlah risau. Leen tak ada apa-apa. Lagi satu, ummi tak perlulah susah-susah datang jumpa Leen. Kalau ada apa-apa nanti, Leen bagitau pada ummi,” beritahu Nur Edleen.
Hajah Norhayati menghela nafas lembut. Hatinya masih khuatir akan keadaan Nur Edleen. Selepas Haji Marwan mengkhabarkan padanya tentang Nur Edleen, serta merta hatinya rasa kurang enak dan tidak tenteram. Ditambah dengan mimpi yang Nur Edleen alami menambahkan kerisauan di hati.
“Ummi…” panggil Nur Edleen.
“Ummi risaukan Leen. Ummi nak lawat Leen, abah Leen tak bagi. Kata abah, Leen tak ada apa-apa. Tapi, ummi tetap risaukan Leen,” adu Hajah Norhayati, sayu.
Nur Edleen menggaru kepala. Kenapa Hajah Norhayati risau akan dirinya? Baru sekali dia pengsan, umminya sudah kerisauan sebegitu sekali. Bagaimana jika dia kemalangan? Sudah tentulah umminya akan bertambah risau, malah mungkin tidak akan tidur semalaman kerana risau. Kemalangan? Hatinya berbisik, sayu.
“Kalau ada apa-apa, Leen jangan lupa bagitau ummi. Jangan lupa balik selalu ke rumah ni,” pesan Hajah Norhayati, tegas.
“Insya-Allah ummi.” Hanya itu yang mampu diucapkan. Tidak mahu Hajah Norhayati risau akan dirinya. “Opocot!!” suara Nur Edleen tatkala tubuhnya terlanggar tubuh seseorang.
“Kenapa Leen?” tanya Hajah Norhayati bernada risau.
“Awak ni mata letak kat mana? Yang awak boleh langgar saya ni, kenapa?” geram Edzuary beriak tegang.
“Ummi, nanti Leen call ummi balik. Ada kes langgar lari ni,” ujar Nur Edleen dan tertawa kecil. Matanya menatap wajah tegang Edzuary.
“Langgar lari? Leen jangan takut-takutkan ummi,” tekan Hajah Norhayati.
“Ummi, nanti Leen call balik,” ulang Nur Edleen dan mematikan talian.
“Leen… Leen…” panggil Hajah Norhayati. “Hisy budak ni. Kita tak habis tanya, dia dah letak dulu,” rungutnya pula dan meletakkan telefon di atas meja. Keluhan ringan terlepas dari bibir. Risau terhadap Nur Edleen, tidak pernah surut dari hatinya dari dulu sehinggalah sekarang.
Nur Edleen tersengih. Wajah tegang Edzuary ditatap mesra. Hisy dia ni, cuba la muka tu dimaniskan, ini tidak, masam mencuka aje. Kalau budak tiga tahun tengok pun, jadi takut, kutuk Nur Edleen di dalam hati.
“Yang awak tersengih tu, kenapa?” tanya Edzuary, keras. Sakit matanya menatap wajah sengihan Nur Edleen.
“Err… kan saya terlanggar encik tadi. Saya minta maaf ya, encik,” jawab Nur Edleen dan masih tersengih.
“Sedar pun yang awak dah langgar saya tadi. Mata awak tu letak kat mana, kat lutut ke?” geram Edzuary dan mendengus kasar.
“Encik ni, lutut manalah ada mata. Setahu saya, lutut ada kepala aje,” kata Nur Edleen, lurus. “Sekejap ya encik, saya nak check lutut saya ni. Kut-kut betul kata encik, lutut ada mata,” katanya sambil menunduk dan melihat lututnya sendiri.
Edzuary hanya memandang. Sakit hatinya melihat tingkah Nur Edleen itu.
“Susah pulak nak tengoknya, encik. Saya kan pakai seluar. Ha.. jangan-jangan, lutut encik yang ada mata tak? Meh sini, saya nak tengok lutut encik tu. Penemuan tergempar ni. ‘Seorang lelaki mempunyai mata di lutut’,” kata Nur Edleen dan tergelak.
“Nur Edleen!!” sebut Edzuary sehingga mengejutkan orang ramai yang lalu lalang di situ.
Gulpp!! Nur Edleen menelan liur. Wajah tegang dan menyinga Edzuary ditatap berserta kerutan di dahi. Salah ke apa yang dikatakannya tadi?
“Err... maaf semua. Kawan saya ni tengah excited sangat sebab isterinya baru melahirkan anak. Kalau nak ucapkan tahniah pada kawan saya ni, silakan. Jangan malu-malu dan segan,” terang Nur Edleen sambil tersengih pada orang ramai yang memandang ke arah mereka berdua. Digaru kepalanya yang bertudung. Rasa malu turut menumpang di dalam hatinya juga.
“Apa yang awak merepekkan ni, Nur Edleen?” marah Edzuary, tegang. Darah merah sudah pun menyerbu ke muka. Menunggu masa untuk menghamburkan kemarahannya pada Nur Edleen. Kenapa Nur Edleen boleh berkata begitu? Tanpa menunggu balasan, segera dia beredar dari situ. Jika dilayan, makin sakit hatinya dengan Nur Edleen. Aku nak kenakan dia, aku balik yang terkena, gerutunya di dalam hati.
Nur Edleen hanya memandang. Bukan niatnya membuat Edzuary marah. Apa yang diperkatakan tadi, ikhlas lahir dari hatinya. Dengan malas, langkah diatur mengekori Edzuary dari belakang. Entah kenapa dapat dirasakan kesakitan di perut. Mungkinkah senggugut sedang menyerang perutnya ketika itu. Dia menghentikan langkah dan duduk mencangkung di situ. Tidak peduli dengan pasang-pasang mata yang sedang memerhatikan tingkahnya.
Edzuary melangkah laju meninggalkan Nur Edleen. Terasa sakit sungguh hatinya ketika ini. Tidak menyangka Nur Edleen sanggup memalukan dirinya di khalayak ramai. Belum pernah lagi dia dimalukan sebegitu.
“Huh! Sakit hati aku dengan perangai dia tu. Aku nak kenakan dia, dia yang kenakan aku balik,” rungut Edzuary sendirian. “Nur Edleen!” panggilnya. Namun, tiada sahutan. Lantas, dia menoleh ke belakang. Alangkah terkejut tatkala kelibat Nur Edleen tiada di belakang. Matanya meliar mencari Nur Edleen di pasaraya Carrefour itu. Seminit kemudian, matanya terpahat ke tubuh Nur Edleen yang sedang mencangkung di sudut tepi pasaraya tersebut. Tanpa berlengah, segera dibawa langkah menghampiri Nur Edleen.
“Encik!” seru Nur Edleen, perlahan. Tangannya menekan perut yang terasa sakit. Rasa ingin berbaring sahaja di waktu itu. “Sakit perut!” adunya, berkerut.
“Sakit perut? Awak jangan nak tipu saya Nur Edleen. Baru tadi awak main-mainkan saya. Tak mustahil awak berniat begitu sekarang ni,” kata Edzuary, tidak percaya.
Nur Edleen menghela nafas ringan. Beginilah Nur Edleen rasa setiap kali dia datang bulan. Dia akan mengalami senggugut yang teruk sehingga terpaksa mengambil ubat di klinik.
“Yang awak mencangkung lagi tu, kenapa? Cepatlah bangun. Awak tahu tak dah pukul berapa sekarang ni? Tadi, awak yang beria sangat nak ajak dating dengan saya. Bila saya dah setuju, awak buat perangai macam ni pulak. Perempuan jenis apa awak ni,” luah Edzuary.
Nur Edleen mengangkat muka. Wajah tegang Edzuary ditatap. Dapat dirasakan matanya mulai berkaca dan dilarikan pandangan selepas itu. Tidak mahu Edzuary melihat kelemahannya. Dengan perlahan, bingkas, dia bangun dari duduk mencangkung. Berkerut-kerut dia menahan kesakitan di perut.
“Terima kasih kerana sudi keluar dating dengan saya. Terima kasih juga kerana menghantar saya ke hospital hari tu,” ucap Nur Edleen, bergetar. Cuba menahan daripada menangis. Sungguh, hatinya terasa dengan kata-kata Edzuary sebentar tadi. Tidak menyangka begitu sekali tanggapan Edzuary terhadap dirinya. Adakah selama ini dia suka mempermain-mainkan orang? Adakah selama ini dia suka mengenakan orang lain? Jika tidak mengenali dirinya dengan lebih dekat, orang akan menganggapnya sebegitu. Biarlah. Satu hari nanti dia akan tahu siapa aku yang sebenarnya, bisik hatinya, sayu.

Jumpa minggu hadapan.. Insya-Allah
Terima kasih kerana membaca
(^___*)

4 ulasan:

  1. besttttttt..keep it up sista

    >nana<

    BalasPadam
  2. Alahh sian ES asyik kene jer ngan NE...
    Sakit perut sengugut yek.... ep x penah lh teruk smpai cam tu... sian lh pulak... awat ari ni byk kesian..... ishhh

    BalasPadam
    Balasan
    1. NE kan nakal.. tu yg asyik kena aje ES tu.. hehehe..

      Padam