Rabu, 19 Februari 2014

Seandainya Tuhan Mengizinkan! - Bab 2





NUR SYAHIRAH tersenyum melihat anak-anak muridnya sedang menyiapkan kerja yang diberi. Terhibur hatinya melihat tingkah laku mereka. Hari ini, bermulalah tugasnya sebagai pengasuh. Tidak sabar untuk berjumpa dengan kanak-kanak yang bernama Daniel Iman.
“Cikgu!” panggil seseorang mematikan lamunan Nur Syahirah.
“Ada apa, Kamalia?” tanya Nur Syahirah, lembut.
“Macam mana nak buat ni cikgu?” tanya Kamalia sambil menunjuk ke arah buku matematik yang dipegangnya.
“Oh, mari cikgu tunjukkan,” balas Nur Syahirah seraya menarik Kamalia agar duduk di sisi. Ditunjuk dan diajar Kamalia pengiraan matematik itu.
“Assalamualaikum, Cikgu Syira!” sapa seseorang dari arah muka pintu bilik.
Nur Syahirah menoleh. Wajah guru besar bernama Puan Jamilah menyapa mata.
“Ada tetamu nak jumpa dengan cikgu,” beritahu Puan Jamilah.
“Siapa, Puan Jamilah?”
“Latifah namanya.”
“Oh, baiklah! Saya keluar sekejap puan,” balas Nur Syahirah bingkas bangun.
“Baiklah! Saya tolong cikgu tengok-tengokkan kelas,” beritahu Puan Jamilah.
“Terima kasih, puan!” ucap Nur Syahirah berlalu pergi.
Puan Jamilah sekadar mengangguk. Kemudian, dihalakan mata ke arah Kamalia yang sedang mengira matematik. Dia tersenyum melihat Kamalia dan kanak-kanak yang lain.
Nur Syahirah melangkah menuju ke pejabat. Hatinya tertanya-tanya akan tujuan Latifah ke sekolah. Bukankah tengah hari nanti baru mereka berdua berjumpa?
“Assalamualaikum, Kak Tipah,” tegur Nur Syahirah sebaik sahaja tiba di pejabat.
“Waalaikumussalam, Syira,” balas Latifah.
“Ada apa Kak Tipah? Bukan ke tengah hari nanti baru kita nak jumpa?”
“Kak Tipah tahu. Tapi, Kak Tipah nak beritahu Syira sebelum Syira mulakan tugas sebagai pengasuh Daniel Iman.”
“Apa dia, Kak Tipah?”
“Hurm, macam mana ya nak cakap. Kak Tipah takut Syira tak setuju dengan permintaan ayah Daniel Iman.” Lambat-lambat Latifah menukurkannya. Khuatir, jika Nur Syahirah tidak setuju dengan permintaan itu.
“Permintaan apa, Kak Tipah? Kalau Syira boleh tunaikan, insya-Allah Syira tunaikan.”
“Sebelum ni, Kak Tipah beritahu yang Syira kena jaga Daniel Iman dari tengah hari ke malam, kan?” mulai Latifah.
Nur Syahirah menganggukkan kepala.
“Sekarang ni, ayah Daniel Iman minta Syira jaga dari pagi sampai ke malam,” sambung Larifah seraya memandang ke wajah Nur Syahirah. Menanti jawapan daripada gadis itu.
“Oh, tentang tu ke? Tak mengapalah. Syira boleh tolong jaga Daniel Iman seperti yang diminta. Pagi, minta dia hantar Daniel Iman ke tadika. Sebelah tadika ni pun taska. So, Syira boleh tengok-tengokkan Daniel Iman kalau Syira tak ada kelas. Lepas sekolah, Syira bawa Daniel pulang dan malam minta ayahnya ambil kat rumah Syira. Lagipun antara tadika dan rumah sewa Syira tak jauh mana pun. Dalam lima belas minit pun dah sampai.”
“Betul ke ni? Syukur alhamdulillah. Kak Tipah bukan apa Syira. Kak Tipah kesian dengan ayah Daniel Iman. Dia kan baru pindah kat sini. Baru buka klinik kat pekan tu. Jadi, semuanya dia yang nak kena buat. Sementara nak tunggu semuanya selesai, dia minta Kak Tipah tanyakan pada Syira pasal ni.”
“Tak apa. Syira tak kesah. Syira ikhlas lakukan pekerjaan ni.”
“Kalau macam tu, Kak Tipah minta diri dulu. Kak Tipah nak beritahu kawan Kak Tipah tu. Kalau tak ada apa-apa masalah, esok Kak Tipah suruh hantar Daniel Iman ke sini. Daniel Iman pun dah empat tahun. Sambil-sambil tu, boleh la dia belajar sama dengan kanak-kanak lain kat tadika ni.”
“Baiklah. Terima kasih sebab bagi pekerjaan ni pada Syira. Boleh tambah pendapatan bulanan Syira,” kata Nur Syahirah, ikhlas.
“Eh, apa pulak. Kak Tipah yang patut ucapkan terima kasih pada Syira. Sebab Syira sudi tolong kawan Kak Tipah tu jaga anak kawannya,” bidas Latifah tersenyum.
“Mungkin hari ni dia perlukan pertolongan Syira. Mana la tahu kan, esok lusa Syira perlukan pertolongan dia pulak,” suara Nur Syahirah turut sama tersenyum.
Latifah mengangguk. Ada benarnya kata-kata Nur Syahirah itu.
“Kak Tipah minta diri dulu. Nak beritahu pada kawan Kak Tipah tu. Insya-Allah, esok ayahnya hantar Daniel Iman ke sini.”
“Baiklah Kak Tipah. Terima kasih sekali lagi.”
Latifah mengangguk lagi. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Bersyukur kerana Nur Syahirah sudi membantu menyelesaikan masalah kawannya itu.
Nur Syahirah hanya memandang. Dia menapak jalan menuju ke kelas semula. Tidak sabar di hati untuk bertemu dengan kanak-kanak yang bernama Daniel Iman itu.


“OKEY, saya nak awak uruskan semua ni,” arah Zairiel bernada tegas.
“Baiklah doktor!” balas Sakinah.
“Lagi satu, kat mana saya boleh dapatkan pembantu rumah? Dekat kawasan ni, ada agen pembantu rumah tak?”
Sakinah berkerut dahi. Agen pembantu rumah? Mana la nak ada kat sini. Pekan ni bukannya macam bandar, bebel Sakinah dalam hati.
“Sakinah, saya tanya awak ni. Yang awak mengelamun tu, kenapa?”
“Eh.. Maaf doktor. Saya mengelamun sekejap. Terkejut dengan pertanyaan doktor tu.”
“Awak tahu tak?”
“Nanti saya cuba tanya pada Kak Tipah. Kut-kut dia boleh tolong carikan untuk doktor.”
“Kak Tipah? Kak Tipah yang awak cerita pada saya hari tu ke?”
“A’ah, Kak Tipah tu la. Mana ada orang lain yang bernama Latifah kat dalam kampung ni. Dia juga yang carikan pengasuh untuk anak doktor tu.”
Zairiel mengangguk faham. Otaknya cuba mengimbas semula wajah Latifah yang dimaksudkan oleh Sakinah itu. Dia mengangguk kecil tatkala mengingatinya.
“Assalamualaikum,” sapa seseorang dari arah luar.
“Waalaikumussalam,” balas Zairiel dan Sakinah serentak.
“Fuh! Jauh betul Kak Tipah berjalan. Minta air sikit Sakinah,” kata Latifah seraya duduk di kerusi. Kain tudung dicapai lalu mengipas dirinya sendiri. Peluh dingin sudah pun membasahi dahi serta baju kurungnya.
“Kak Tipah dari mana?” tanya Sakinah sambil menuang air ke dalam gelas. Dihulurkan gelas itu kepada Latifah.
“Dari tadika,” balas Latifah dan meneguk rakus air dari dalam gelas.
“Oh, jumpa Syira ke?”
“A’ah, jumpa Syira. Beritahu pasal tu kat dia.”
“Ehem.. Ehem…” Zairiel berdehem tiba-tiba.
“Eh, Doktor Zairiel.  Tak perasan saya doktor ada kat sini,” tegur Latifah tersengih.
“Kak Tipah dah beritahu dia tentang permintaan doktor tu?” tanya Sakinah.
“Dah! Kak Tipah dah beritahu Syira. Syira kata, tak ada masalah tentang tu,” jawab Latifah sambil meletak gelas kosong di atas meja.
“Dia ada minta apa-apa tak? Maksud saya, tambah upah ke apa,” sampuk Zairiel.
“Err.. yang tu, Kak Tipah tak ada pulak tanya. Kak Tipah rasa, Syira tak kesah kut tentang bayaran,” balas Latifah tersenyum.
“Betul tu doktor. Saya pun rasa, Syira tak kesah sangat tentang bayaran. Mungkin upah tu dah lebih dari cukup buat Syira,” sokong Sakinah turut sama tersenyum.
“Elok la kalau dah macam tu. Saya harap, dia dapat jaga anak saya dengan baik.”
“Insya-Allah, doktor. Syira seorang yang amanah pada kerjanya. Kami dah lama kenal Syira. Dah tahu dan kenal hati budi Syira. Doktor jangan risau. Syira akan jaga anak doktor dengan baik,” kata Latifah. Cuba menyakinkan doktor muda itu.
Zairiel mengangguk kecil. Berharap, apa yang disampaikan oleh Latifah dan Sakinah benar belaka.


“AKU ada kat kedai. Kenapa?” tanya Nur Syahirah dari hujung talian.
“Aku balik lewat la, Syira. Banyak kerja kat office ni,” beritahu Farhana.
“Hai, baru hari ni kerja dah balik lewat. Banyak sangat ke kerja kau tu?”
“Banyak Syira. Company ni baru buka. Jadi, banyak kerja yang perlu disettlekan.”
“Hurm, kalau macam tu tak apalah. Aku nak beli barang-barang dapur sikit. Dah nak habis kat rumah tu.”
“Kau belikan aku nasi ayam kat tempat biasa. Balik nanti aku makan.”
“Yalah! Sengaja nak suruh aku belanja la tu.”
“Ala, dengan aku pun kau nak berkira. Kita kan dah macam adik-beradik.”
“Oh, adik-beradik. Okeylah, aku letak dulu. Jangan balik lewat sangat. Nanti kena kacau,” pesan Nur Syahirah mematikan talian. Dia ketawa kecil dengan ayatnya itu.
Setelah itu, dia melangkah menyusuri deretan kedai yang ada di pekan itu. Matanya meninjau-ninjau dari sebuah kedai ke kedai yang lain.
“Syira!” tegur Nazry dari arah belakang.
Nur Syahirah menoleh. Wajah Nazry menyapa mata.
“Nak ke mana?”
“Nak ke kedai. Beli barang-barang dapur sikit.”
“Oh! Seorang saja ke? Farhana mana?”
“Hana belum balik lagi. Banyak kerja kat office. Maklum la baru start kerja kat HA Enterprise tu. So, kena la tunjuk baik sikit,” jelas Nur Syahirah ketawa kecil.
Nazry turut sama ketawa.
“Abang nak ke mana?”
“Abang nak ke warung Pak Ahmad kejap. Nak beli makanan untuk mak abang.”
Nur Syahirah mengangguk faham. Matanya menatap mesra wajah Nazry.
“Abang temankan Syira ke kedai,” pelawa Nazry, berbasa-basi.
“Eh, tak mengapalah abang. Syira boleh pergi sendiri. Terima kasih,” tolak Nur Syahirah.
“Abang risaukan Syira,” luah Nazry, ikhlas.
Nur Syahirah berkerut dahi.
“Hati abang selalu risaukan Syira. Abang tak tahu kenapa. Semenjak Syira datang ke pekan ni, hati abang dapat rasakan sesuatu. Tapi, abang tak pasti apa yang abang risaukan.”
“Mungkin perasaan abang saja tu. Abang tak perlulah risau,” kata Nur Syahirah. Cuba menghalau perasaan risau di hati Nazry.
“Entahlah! Abang pun tak tahu kenapa abang fikirkan tentang Syira. Mungkin Syira ada rahsiakan sesuatu daripada abang kut. Itu yang buatkan abang risau,” luah Nazry lagi.
Gulp!! Nur Syahirah menelan liurnya sendiri. Kelat! Kata-kata Nazry membuatkan dia berasa tidak tenteram. Adakah riaknya dapat dibaca oleh Nazry selama ini?
“Syira... Syira…” panggil Nazry, lembut.
“Syira ke kedai dulu. Nanti kita sembang lagi,” pamit Nur Syahirah berlalu pergi.
Nazry hanya mengangguk. Matanya menghantar langkah Nur Syahirah yang sudah pun menapak masuk ke dalam sebuah kedai. Keluhan berat terlepas daripada bibir.


“PAPA!” panggil Daniel Iman, lembut.
“Ada apa, sayang?” tanya Zairiel.
“Danny tak nak ke rumah mak cik tu, boleh?”
“Tak boleh sayang. Danny kena ke rumah mak cik tu juga.”
“Kalau mak cik tu jahat macam Mak Som, macam mana papa?”
“Insya-Allah, mak cik tu tak sama macam Mak Som.”
“Danny nak ikut papa esok, boleh?” pinta Daniel Iman pula.
Zairiel menghela nafas ringan. Rambut Daniel Iman diusap lembut. Sebuah kucupan kasih hinggap di dahi anaknya itu.
“Papa, boleh tak?” ulang Daniel Iman.
“Danny tinggal sehari dulu kat rumah mak cik tu. Kalau mak cik tu sama macam Mak Som, Danny beritahu papa. Nanti papa pecat mak cik tu,” jelas Zairiel bernada pujuk.
“Kenapa Danny tak boleh ikut papa?” tanya Daniel Iman. Masih tidak berpuas hati.
“Papa kerja sayang. Klinik papa baru buka. Esok, mesti ramai orang datang ke klinik papa,” beritahu Zairiel lagi.
Daniel Iman memuncungkan mulut.
“Semuanya tak boleh. Kan bagus kalau mama ada.”
Tersentak Zairiel mendengar kata-kata Daniel Iman. Matanya menatap wajah mencuka Daniel Iman. Bagaimana untuk menjelaskan kepada anaknya itu?
“Danny rindukan mama.”
“Ya, papa pun rindukan mama. Sudahlah! Dah lewat malam ni. Danny tidur ya.”
“Maafkan Danny,” ucap Daniel Iman seraya memandang ke wajah Zairiel.
“Papa maaafkan,” balas Zairiel, tersenyum.
Seminit kemudian, dia bingkas bangun lalu menapak keluar dari bilik Daniel Iman sebaik sahaja lampu ditutup. Setelah itu, dilabuhkan duduk di kerusi kerja lalu menatap kosong laptop di hadapan.
Sejak tadi fikirannya memikirkan seseorang. Gerangan gadis yang dilihatnya di sebuah kedai pada petang tadi saling tak tumpah dengan Nur Syahirah.
Deringan telefon menyentak lamunan Zairiel. Dicapai telefon bimbit lalu menekan butang hijau dan dilekapkan telefon ke telinga. Menanti sapaan dari hujung talian.
“Kenapa tak beritahu ayah?” tanya Encik Zahrin, keras.
“Beritahu apa?”
“Zairiel pindah ke Sungkai. Kenapa tak beritahu ayah?”
“Perlukah?”
“Ayah ada hak untuk tahu. Zairiel anak ayah dan ayah perlu tahu ke mana anak-anak ayah pergi,” tegas Encik Zahrin.
“Kenapa baru sekarang ayah nak ambil berat pasal Zairiel? Kenapa tidak dari dulu lagi, sewaktu Kak Zafira tinggalkan rumah kita,” luah Zairiel, keras.
“Zairiel!” tegur Encik Zahrin, lantang.
“Sudahlah ayah. Zairiel dah jemu dengan sikap ayah yang suka mengongkong hidup Zairiel dan Kak Zafira. Mulai hari ini, biarlah Zairiel aturkan hidup Zairiel sendiri. Ayah tak perlu masuk campur dalam hidup Zairiel lagi,” terang Zairiel, jelas dan nyata.
“Selagi Zairiel anak ayah, selagi itu Zairiel kena dengar cakap ayah. Ayah ada hak untuk masuk campur dalam hidup Zairiel. Sepertimana ayah buat pada Zafira, macam tu jugalah ayah akan buat pada Zairiel. Faham!” tegas Encik Zahrin dan mematikan talian.
Zairiel mencampak telefon bimbit ke atas katil. Sakit hatinya mendengar kata-kata Encik Zahrin. Sampai bila dia harus hidup begini?


1 ulasan: