NUR SYAHIRAH
mengeluh ringan dan meraup kasar wajah. Nafas ditarik dan melepaskannya berat.
Sedari tadi dia hanya memerhati tingkah laku Daniel Iman yang sedang duduk
membisu. Panjang yang ditanya, sepatah yang dijawab oleh Daniel Iman. Itupun
kalau Daniel Iman hendak bersuara. Sukar benar untuk menyelami perasaan Daniel
Iman. Bagaimana untuk membuatkan Daniel Iman percaya padanya?
Nur
Syahirah melangkah menghampiri Daniel Iman. Wajah kanak-kanak itu ditenung
sayang. Senyuman diberikan walaupun jelingan tajam yang dibalas oleh Daniel
Iman. Nur Syahirah yakin, disebabkan kekurangan kasih sayang daripada seorang
ibu maka Daniel Iman bersikap begitu. Mungkin juga peristiwa didera pengasuh
kanak-kanak itu yang lepas membuatkan Daniel Iman sukar mempercayainya. Walau
bagaimanapun, dia akan cuba menambat hati kanak-kanak itu.
“Mak
cik!” panggil Daniel Iman.
Nur
Syahirah tersentak. Lamunannya yang pendek berterbangan entah ke mana.
Dihalakan mata ke wajah Daniel Iman lalu tersenyum kepada kanak-kanak itu.
“Mak
cik dah tak betul ke? Senyum seorang-seorang, kenapa?” tegur Daniel Iman,
sinis.
“Kak
Syira senyum sebab senyum tu kan satu sedekah. Malah dengan senyuman, kita
nampak lebih muda,” beritahu Nur Syahirah.
“Alah,
kalau dah tua buat sajalah dah tua,” cebik Daniel Iman, meluat.
Nur
Syahirah ketawa kecil. Gelengan diberikan kepada Daniel Iman.
“Iman
nak ikut Kak Syira? Kak Syira nak ke kedai.”
“Tak
nak!”
“Kak
Syira bawa Iman pusing satu kawasan ni, nak tak?”
“Tak
nak! Danny nak tunggu papa.”
“Jom,
Iman. Kak Syira bawa Iman ke suatu tempat.”
“Mak
cik ni tak faham ke? Danny tak nak… tak nak la.”
Nur
Syahirah tidak menghiraukan kemarahan Daniel Iman. Ditarik tangan Daniel Iman supaya
mengekorinya. Mahu tidak mahu, terpaksalah Daniel Iman mengekori Nur Syahirah.
Masam mencuka wajahnya tatkala Nur Syahirah memaksa begitu. Dengusan kasar
terlepas daripada bibir.
“ADA dengan aku.
Kau janganlah risau,” kata Nur Syahirah dari hujung talian.
“Kau
ni, Syira. Dibuatnya papa dia cari macam mana?” balas Farhana kurang senang.
“Tahulah
aku macam mana nak cakap dengan papa dia nanti. Budak tu degil sangat.”
“Tahu
pun kau. Sekarang nak merungut pulak. Dari hari tu lagi kan aku tak nak kau
jaga budak tu. Tapi kau degil. Nak juga jaga.”
“Ala,
daripada aku tak buat apa-apa lepas mengajar, baik aku jaga budak tu.
Kadang-kadang, terhibur juga hati aku ni tengok rajuk dan wajah mencuka dia,” beritahu Nur Syahirah ketawa
kecil. Matanya memandang wajah Daniel Iman yang masam mencuka.
“Suka
hati kau la, Syira. Asalkan dia tak menyusahkan aku, sudahlah!”
“Hai,
ada ke dia susahkan kau?”
“Ada!”
“Apa
yang dia dah buat?”
“Apa
lagi, muka masam mencuka dia tu la.”
Tertawa
Nur Syahirah mendengarnya.
“Ada-ada
sajalah kau ni, Hana.”
“Lama
lagi ke kau kat kebun Pak Manan tu? Jangan lupa bawa hasil untuk aku juga.”
“Yalah,
kau ni asyik makan saja. Aku tengok badan kau makin membesar. Bukan makin
mengecil,” tegur Nur Syahirah, selamba.
“Amboi,
sedapnya bahasa. Aku ke yang gemuk atau kau?”
“Aku?
Aku gemuk? Tolong sikit. Selama ini, aku jaga badan aku tau. Ikut kelas ‘Mak Jemah’ lagi kalau kau nak tahu,”
tukas Nur Syahirah ketawa kecil.
Farhana
turut sama ketawa. ‘Mak Jemah’, watak
yang dilakonkan oleh pelawak Johan sewaktu pertandingan ‘Maharaja Lawak Mega’
tidak lama dahulu. Dia menggeleng kecil tatkala mengingatinya.
“Okeylah
Hana. Aku nak tengok anak kesayangan aku tu. Dah masam mencuka mukanya tu aku
tengok,” kata Nur Syahirah.
“Jangan
lupa buah rambutan untuk aku Syira,” pesan Farhana untuk kesekian kali.
“Yalah,
aku tak lupa,” balas Nur Syahirah dan mematikan talian.
Seminit
kemudian, dibawa langkah menghampiri Pak Manan yang sedang mengait buah
rambutan. Matanya memandang ke arah Daniel Iman yang sedang duduk di sebuah
pondok.
“Ha
Syira. Cukup tak ni?” tanya Pak Manan.
“Cukup
dah tu Pak Manan,” jawab Nur Syahirah.
“Kenapa
dengan budak tu? Dari tadi Pak Manan tengok masam mencuka aje. Anak siapa tu
Syira?” tanya Pak Manan sambil menghalakan mata ke arah Daniel Iman.
“Sakit
senggugut, Pak Manan,” balas Nur Syahirah, selamba.
Berkerut
dahi Pak Manan mendengarnya.
“Senggugut?”
“A’ah,
Pak Manan.”
“Hisy,
kamu ni Syira. Mati-mati Pak Manan ingat budak tu sakit senggugut. Pelik juga
Pak Manan, lelaki ke perempuan budak tu.”
“Pak
Manan ni pun. Dah terang-terang namanya Daniel Iman, mestilah lelaki.”
“Anak
siapa, Syira?” ulang Pak Manan kepada pertanyaannya yang tadi.
“Anak
doktor yang baru buka klinik kat pekan tu,” jawab Nur Syahirah. Tangannya
lincah memasukkan buah rambutan ke dalam plastik.
“Oh,
Syira tolong jagakan ke?”
“A’ah,
Pak Manan.”
“Habis
tu, kenapa dengan budak tu?”
“Biasalah
Pak Manan. Tak biasa lagi dengan Syira.”
Pak
Manan mengangguk faham. Matanya masih lagi menatap wajah mencuka Daniel Iman.
Comel! Detik hati tua Pak Manan.
“Syira
ke sana sekejap,” pamit Nur Syahirah lalu menghampiri Daniel Iman.
Pak
Manan hanya mengangguk. Matanya mengekori langkah Nur Syahirah.
“Iman
nak? Sedap tau buah ni. Manis!” tanya Nur Syahirah, berbasa-basi. Dihulurkan
beberapa buah rambutan kepada Daniel Iman.
Daniel
Iman tidak menghiraukan pertanyaan Nur Syahirah. Hatinya masih lagi keras untuk
menerima kebaikan Nur Syahirah.
“Rugi
tau kalau Iman tak makan buah ni. Kat Kuala Lumpur sana pun Iman takkan dapat
buah yang dipetik terus dari pokok,” umpan Nur Syahirah pula.
Daniel
Iman hanya membisu. Matanya memandang buah rambutan yang dihulurkan oleh Nur
Syahirah.
“Kalau
Iman tak nak, tak mengapalah. Kak Syira bagi pada Kak Hana,” kata Nur Syahirah
dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
Belum
sempat dia beredar dari situ, Daniel Iman sudah pun merampas buah rambutan daripada
tangannya. Dia tersenyum melihat tingkah laku Daniel Iman.
“Sedap,
kan?” tanya Nur Syahirah sebaik sahaja Daniel Iman habis memakan sebiji buah
rambutan. Senyuman diberikan kepada kanak-kanak itu.
Daniel
Iman hanya mengangguk. Tangannya mencapai sebiji buah rambutan lagi. Dikupas
dan dimasukkan ke dalam mulut. Matanya memandang wajah tersenyum Nur Syahirah.
“Kalau
Iman nak, Kak Syira suruh Pak Manan bungkuskan untuk Iman. Nanti, Iman boleh
bagi pada papa Iman sikit,” cadang Nur Syahirah.
Daniel
Iman hanya mengangguk. Sebiji demi sebiji buah rambutan dimakan. Tidak
dihiraukan pandangan Nur Syahirah. Apa yang pasti, kenikmatan buah rambutan itu.
“Uhuk!
Uhuk!” batuk Daniel Iman sambil tangannya memukul lembut dada sendiri.
Nur
Syahirah tersentak. Berkerut dahinya melihat tingkah laku Daniel Iman.
“Air!”
sebut Daniel Iman.
“Iman,
kenapa ni?” tanya Nur Syahirah, terkejut.
“Air!”
ulang Daniel Iman.
“Pak
Manan!” panggil Nur Syahirah.
Pak
Manan yang sedang ralit mengait buah rambutan terkejut dengan panggilan Nur
Syahirah. Dia segera melangkah menghampiri Nur Syahirah dan Daniel Iman.
“Pak
Manan, kenapa dengan Iman?” tanya Nur Syahirah, kalut.
“Tercekik
biji rambutan kut, Syira?” tebak Pak Manan.
“Haaa…
Pak Manan, macam mana ni?” tanya Nur Syahirah sedikit menjerit. Tangannya turut
sama mengusap belakang Daniel Iman. Risau di hati hanya Allah sahaja yang tahu.
“Kita
bawa ke hospital, Syira,” cadang Pak Manan.
“Baiklah,
Pak Manan,” balas Nur Syahirah.
Pak
Manan segera mencempung tubuh Daniel Iman lalu membawanya ke kereta. Hatinya
turut sama risau dengan apa yang terjadi.
“MACAM
mana, Syira?” tanya Farhana setibanya di hospital.
Sebaik
sahaja mendapat panggilan daripada Nur Syahirah tadi, dia segera menuju ke
hospital. Berdoa agar tidak ada apa-apa yang berlaku terhadap Daniel Iman.
“Belum
tahu lagi, Hana. Iman masih di dalam,” jawab Nur Syahirah, risau.
“Kau
tak tengok-tengokkan dia ke tadi?”
“Aku
tengok. Tapi, tak sangka boleh jadi macam ni.”
“Insya-Allah,
tak ada apa-apa. Doakan Daniel Iman selamat,” sampuk Pak Manan.
Nur
Syahirah dan Farhana hanya mengangguk. Perasaan risau masih lagi menapak di hati.
Semoga Daniel Iman selamat, doa mereka berdua pula.
“Macam
mana, doktor?” tanya Pak Manan sebaik sahaja kelibat Doktor Hasnah keluar dari
bilik rawatan.
“Macam
mana, doktor?” tanya Nur Syahirah dan Farhana, serentak.
“Tak
ada apa-apa. Cuma lelah biasa sahaja,” jawab Doktor Hasnah, tersenyum.
“Betul
ke, doktor?” tanya Nur Syahirah inginkan kepastian.
Doktor
Hasnah sekadar mengangguk. Senyuman masih terbias di wajah.
“Syukur
alhamdulillah. Saya takut Iman tercekik biji rambutan saja tadi,” kata Nur
Syahirah sambil menarik nafas lega.
“Kalau
macam tu, saya minta diri dulu,” pamit Doktor Hasnah dan berlalu pergi.
Nur
Syahirah, Farhana dan Pak Manan sekadar mengangguk. Ucapan terima kasih meniti
di bibir mereka bertiga.
“Pak
Manan pun nak beransur jugalah, Syira, Hana. Kalau ada apa-apa nanti, jangan
lupa beritahu Pak Manan.”
“Baiklah,
Pak Manan. Terima kasih kerana membantu Syira tadi.”
“Perkara
kecik aje. Pak Manan balik dulu, Syira, Hana.”
“Oh
ya, buah-buah rambutan tu nanti Syira minta tolong Abang Nazry ambilkan daripada
Pak Manan,” beritahu Nur Syahirah.
“Baiklah!
Pak Manan balik dulu,” balas Pak Manan lalu beredar dari situ.
Nur
Syahirah dan Farhana sekadar mengangguk. Mata mereka menghantar langkah Pak
Manan sehingga hilang di sebalik pintu.
“So, kau nak tunggu sini ke?” tanya
Farhana.
“Aku
tunggu sampai papa dia sampai. Aku dah call
dia tadi,” jawab Nur Syahirah sambil melangkah masuk ke dalam bilik Daniel
Iman.
“Oh!
Habis tu, apa kata papa Daniel Iman?” tanya Farhana sambil mengekori Nur
Syahirah daripada belakang.
“Dia
cuma terkejut saja,” jawab Nur Syahirah, tenang.
Farhana
mengangguk faham. Matanya memandang tingkah laku Nur Syahirah yang sedang
mengemas selimut Daniel Iman.
“Kalau
kau nak balik dulu, baliklah. Aku boleh tunggu sini sampai papa Iman datang.”
“Hurm,
aku tunggu sama dengan kau la Syira. Aku nak jumpa dengan papa Daniel Iman juga.
Handsome ke tidak papa budak tu,”
kata Farhana, tersengih.
“Ada-ada
sajalah kau ni Hana,” balas Nur Syahirah menggeleng kecil.
“Apa
pulak ada-adanya? Selama dua bulan kau jaga Daniel Iman, mana pernah kau jumpa
dengan papa dia. Kita pun tak pernah ke klinik Doktor Zairiel lagi.”
“Kan
aku dah pernah jumpa sekali hari tu.”
“Memanglah
kau dah pernah jumpa dengan dia. Tapi, kau tak tengok muka dia lagi, kan? Masa
kau jumpa dengan dia, lampu rumah kita tu kan rosak. Kau pun tak pasti macam
mana muka papa Daniel Iman, betul tak?”
Nur
Syahirah berfikir sejenak. Ada benarnya kata-kata Farhana itu. Masih teringat
pertemuan pertamanya dengan papa Daniel Iman.
“Agak-agak
kau kan Syira, handsome tak papa Daniel
Iman tu?”
“Manalah
aku tahu. Yang kau sibuk sangat nak tahu, kenapa?”
“Aku
saja nak tahu. Kut-kut la handsome. So, ada chance la untuk kau.”
“Apasal
pulak aku?”
“Ala
kau ni, buat-buat tak faham pulak. Apa salahnya kau tackle papa Daniel Iman tu. Dia pun duda, kan?”
“Apa
yang kau merepek ni, Hana?” Nur Syahirah menegur.
“Okey..
okey.. sorry. Aku bergurau aje,” kata
Farhana, tersenyum kelat.
Pasti,
Nur Syahirah tidak suka dengan gurauannya tadi. Selama ini, sukar untuk menduga
perasaan Nur Syahirah. Adakah hati Nur Syahirah sudah tertutup buat lelaki?
“Aku
nak buat panggilan sekejap. Kau tolong tengok-tengokkan Iman sementara papanya
belum sampai,” arah Nur Syahirah.
“Yes boss!” sebut Farhana sambil
mengangkat tangan kanan ke dahi. Lagak seperti orang memberi tabik hormat
kepada ketua.
“Mengada-ngadalah
kau ni Hana,” balas Nur Syahirah ketawa kecil.
Tanpa
menunggu, dia melangkah keluar dari bilik. Dia perlu menelefon Nazry untuk
meminta tolong mengambil buah rambutan daripada Pak Manan.
Farhana
hanya mengangguk faham. Matanya menghantar langkah Nur Syahirah sehingga hilang
di sebalik pintu bilik. Kemudian, dilabuhkan duduk di kerusi yang terdapat di
situ. Wajah Daniel Iman ditatap mesra.
“Papa…
papa…” panggil Daniel Iman lalu membuka mata.
“Danny
dah bangun,” tegur Farhana, tersenyum.
“Papa
mana?”
“Sekejap
lagi papa Danny datang.”
Daniel
Iman hanya mengangguk. Matanya melilau mencari kelibat Nur Syahirah. Ke mana
Nur Syahirah pergi?
“Danny
nak air? Kak Hana ambilkan ya,” tanya Farhana, berbasa-basi.
Daniel
Iman hanya membisu. Dibangunkan tubuh sambil dibantu oleh Farhana. Matanya
masih mencari Nur Syahirah.
“Ka…
ka… kak…” tersekat-sekat Daniel Iman menuturkannya. Malu untuk menyebut
panggilan ‘kakak’ buat Nur Syahirah.
“Kak
Syira ke? Danny cari Kak Syira ya,” duga Farhana.
Daniel
Iman mengangguk lemah. Wajah ditundukkan. Malu untuk mengakui kata-kata Farhana
itu. Sungguh, hatinya teringin untuk berjumpa dengan Nur Syahirah. Adakah dia
sudah dapat menerima Nur Syahirah sebagai pengasuhnya?
“Kak
Syira keluar sekejap. Kak Syira…” kata-kata Farhana terhenti tatkala terpandang
sesusuk tubuh yang sedang berdiri di hadapannya itu.
jeng jeng jenggggg....
BalasPadam