Selasa, 13 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 9





“SEPERTI yang saya arahkan pada awak, Irdina. Sepanjang program team building ni, awak diarahkan menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan Haiqarl,” beritahu Encik Razman.
Irdina mengeluh berat.
“Ini arahan daripada pihak atasan Irdina. Awak tak boleh nak mengelak,” tegas Encik Rahman pula.
“Tapi, kenapa saya?”
Persoalan itu yang berlegar-legar selama beberapa minggu. Kenapa dia yang dipilih menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan Haiqarl? Sudahlah di pejabat pun dia bakal memegang jawatan itu. Di program ini juga dia dipaksa melakukan tugas tersebut. Keluhan terlepas daripada bibir untuk kesekian kali.
“Ini arahan, Irdina. Soal kenapa awak yang terpilih saya tak pasti. Mungkin prestasi kerja awak bagus. Disebabkan itu pihak atasan memilih awak.”
“Tapi, Encik Razman…”
“Sudahlah Irdina. Awak ikut saja arahan pihak atasan. Mana tahu kan nanti awak jadi isteri kepada Tengku Irfan Haiqarl. Tengku Irfan boleh tahan handsome,” usik Encik Razman.
Irdina berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Encik Razman. Otaknya dikerah berfikir. Seminit kemudian, barulah dia faham maksud kata-kata Encik Razman itu.
“Encik Razman ni ke situ pulak,” ujar Irdina, tersenyum kelat.
Encik Razman ketawa kecil. Kepala menggeleng melihat wajah kemerahan Irdina.
“Saya risau la Encik Razman. Mana la tahu dia tak suka dengan saya,”
Irdina menyuarakan kerisauan di hati. Khuatir jika dia tidak dapat memuaskan hati Tengku Irfan Haiqarl.
“Insya-Allah, awak pasti boleh. Saya yakin dengan awak, Irdina,” kata Encik Razman. Sekadar memberi semangat kepada Irdina.
Irdina tidak membalas. Nafas ditarik dan dilepaskan berat.
“Saya ke sana dulu. Mungkin Tengku Iqbal dan Tengku Irfan Haiqarl dah sampai,” ujar Encik Razman tatkala terpandang sebuah kereta memasuki kawasan parkir.
“Baiklah!” balas Irdina, sepatah.
Matanya memandang pemergian Encik Razman. Diraup wajah dan melabuhkan duduk di kerusi. Dia menongkat dagu di situ. Menanti arahan yang seterusnya.
“Dina!” tegur Melisa, tiba-tiba.
Irdina mengangkat muka. Wajah Melisa menyapa mata. Kelam kabut dilihatnya pada Melisa. Apa yang tidak kena dengan kawannya itu?
“Dina!” panggil Melisa lagi.
Tercungap-cungap dia akibat larian anak sebentar tadi. Dia perlu mengkhabarkan kepada Irdina dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Sungguh, dia berasa terkejut ketika ini.
“Apa kes?” soal Irdina, berkerut dahi.
“Irfan… Irfan…” balas Melisa, tercungap-cungap.
“Irfan? Irfan mana pulak?”
“Ala… Mamat tu la.”
“Mamat mana?”
“Irfan. Kawan Naufal,” beritahu Melisa.
Irdina masih lagi berkerut dahi. Cuba untuk menangkap kata-kata Melisa.
“Maksud kau Irfan dan Naufal?” kata Irdina sebaik sahaja dapat menangkapnya.
Melisa mengangguk laju. Itulah yang dilihatnya sebentar tadi. Naufal dan Tengku Irfan berada di kawasan ini. Apa yang mereka berdua buat di sini? Persoalan yang sedang berlegar-legar di minda ketika ini.


“SAYA perkenalkan Pengarah Suria Holdings yang baru, Tengku Iqbal Bin Tengku Kamal. Bakal Pengurus Besar Suria Holdings, Tengku Irfan Haiqarl dan anak angkat Tengku Iqbal, Encik Naufal Syafiq,” perkenal Encik Razman, tersenyum.
Mereka yang berada di situ hanya mendengar. Masing-masing menghalakan mata ke wajah Tengku Iqbal, Tengku Irfan dan Naufal silih berganti. Suara berbisik sesama sendiri menyapa halwa telinga Encik Razman.
Irdina terkejut. Wajah Tengku Irfan menjadi tatapan mata. Benarkah dengan apa yang didengarnya itu? Lelaki yang menjadi seterunya beberapa minggu yang lepas merupakan Pengurus Besar Suria Holdings.
“Terima kasih atas kesudian anda semua ke program ini. Tak ada apa yang perlu saya katakan cuma saya harap kerjasama daripada anda semua dalam memajukan Suria Holdings. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik atau lebih baik daripada Tuan Haji Jamal,” terang Tengku Iqbal, tersenyum. Wajah-wajah yang berada di hadapan ditatap mesra.
“Saya pun berharap yang sama,” ujar Tengku Irfan pula.
Irdina masih lagi mendengar. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang difikirkannya itu, dia sendiri tidak tahu. Adakah Tengku Irfan yang sedang mengisi mindanya itu?
“Dina, macam mana ni?” suara Melisa, berbisik.
“Macam mana apa?” soal Irdina kurang faham.
“Yalah, mesti lepas ni kita kena dengan Irfan tu. Eh… Bukan Irfan, Tengku Irfan. Aduh! Tak sangka pulak yang dia bos kita nanti,” beritahu Melisa bernada risau.
Irdina tidak membalas. Otaknya masih lagi ligat berfikir. Kata-kata Melisa meniti di minda. Perasaan risau turut menumpang di hati.
“Dina, kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?” tegur Melisa, keras.
“Haa… Apa dia?” tanya Irdina sedikit terpinga.
“Macam mana ni? Aku risau ni.”
“Kau nak risaukan apa? Buat biasa sudahlah.”
“Biasa kau kata? Aku takut dia berdendam dengan kita saja.”
Irdina hanya mendengar. Ada benarnya kata-kata Melisa itu. Adakah Tengku Irfan akan berdendam dengannya? Adakah pemuda itu akan membalas dendam kepadanya?
“Eh…. Kejap… Kejap. Tengku Irfan Haiqarl? Maknanya Dina, kau jadi pembantu peribadi dia, kan?” suara Melisa tatkala teringatkan tentang itu.
“Mel….”
Ujaran Irdina terhenti tatkala namanya dipanggil. Berpasang-pasang mata sedang memandang ke arahnya termasuklah Tengku Irfan. Air liur yang ditelan terasa kelat. Apa yang harus dilakukan ketika ini?


IRDINA menundukkan muka. Takut untuk bertentangan mata dengan Tengku Irfan. Jantungnya mengepam dengan laju. Berdebar-debar di saat ini. Apa yang Tengku Irfan mahukan darinya? Adakah tugasan sebagai pembantu peribadi atau untuk membalas dendam? Sungguh, sejak dari tadi dia memikirkan tentang itu. Perasaan risau turut menumpang di dalam hati.
Keluhan berat terlepas daripada bibir. Bagaimana untuk berhadapan dengan Tengku Irfan untuk hari-hari yang mendatang? Setiap hari dia akan menghadap wajah Tengku Irfan. Ke mana Tengku Irfan pergi, dia akan turut serta. Dah namanya pembantu peribadi.
“Saya harap awak dapat jalankan tugas sebaik mungkin sebagai pembantu peribadi  Tengku Irfan,” ujar Tengku Iqbal.
Irdina tidak membalas. Dia mengelamun memikirkan kerjanya sebagai pembantu peribadi Tengku Irfan.
“Awak dengar tak Cik Irdina?” tanya Tengku Iqbal.
Wajah Irdina ditatap seketika. Dilihatnya gadis itu seperti sedang mengelamun. Apa yang dilamunkan oleh gadis itu?
“Cik Irdina!” panggil Tengku Iqbal lagi.
Namun, tiada sahutan. Irdina masih lagi dalam dunianya.
“Irdina!” tegur Encik Razman sedikit menekan.
“Haa… Apa dia? Ada orang terjatuh bangunan ke?” tanya Irdina, kalut sebaik sahaja tersedar. Meliar matanya melihat keadaan sekeliling.
Mereka yang berada di situ berkerut dahi.
“Irdina!” Buat kali kedua Encik Razman menegur. Kepala menggeleng kecil.
“Comel!” puji Naufal, tiba-tiba.
Tengku Irfan yang mendengar segera menghalakan mata ke wajah Naufal. Hanya cebikan yang diberi mendengarkan pujian Naufal terhadap Irdina.
“Maaf!” ucap Irdina lalu menunduk.
Malu dengan tingkah lakunya sebentar tadi. Mahu sahaja dia menyorokkan muka ke dalam baju agar mereka di situ tidak melihat rona di pipinya itu.
“Saya serahkan Tengku Irfan kepada awak. Saya harap, awak dapat jalankan tugas dengan sebaik mungkin,” kata Tengku Iqbal bernada tegas.
“Awak faham, Irdina?” tanya Encik Razman.
Irdina menggaru kening. Wajah-wajah di hadapan ditatap silih berganti. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Encik Razman? Adakah dia perlu menjaga Tengku Irfan setiap saat, minit dan jam? Atau sekadar di pejabat sahaja?
“Awak ada soalan, Cik Irdina?” tanya Tengku Iqbal pula.
“Errr.. Buat masa sekarang ni tak ada. Tapi, tak tahu la kalau esok lusa,” jawab Irdina lalu tersengih. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra.
Ketawa kecil Tengku Iqbal mendengrnya.
“Kalau tak ada soalan, awak boleh pergi. Tunggu arahan daripada Tengku Irfan,” kata Tengku Iqbal, tersenyum.
Irdina menghalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Senyuman sinis menghiasi bibir pemuda itu. Kemudian, beralih ke wajah Naufal. Senyuman manis diberikan oleh pemuda itu.
“Saya mintak diri dulu,” ujar Irdina kemudian. Langkah diatur untuk beredar dari situ.
Mereka yang berada di situ sekadar mengangguk. Masing-masing melemparkan senyuman buat Irdina.
“Nanti dulu!” arah Tengku Irfan.
Termati langkah Irdina dek kerana arahan itu. Dia menoleh buat seketika. Kenapa Tengku Irfan menahannya beredar dari situ?


“HISY… Dia ni nak bawa aku ke mana?” soal Irdina sendirian.
Langkahnya mengekori langkah Tengku Irfan daripada belakang. Entah ke mana hala Tengku Irfan dia sendiri tidak tahu. Dia menggaru tatkala nyamuk menggigit tangannya.
“Mesti dia nak balas dendam pada aku,” duga Irdina pula.
Keluhan berat terlepas daripada bibir. Rasa kesal turut menumpang dalam hati. Kesal atas tindakannya yang lepas.
“Aku nak kau ambil bunga tu untuk aku,” suara Tengku Irfan, tiba-tiba.
Terkejut Irdina mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan.
“Kau dengar ke tidak ni?” tegur Tengku Irfan, keras.
“Apa dia?” tanya Irdina, acuh tak acuh.
“Aku nak kau ambil bunga kat atas tu untuk aku,” beritahu Tengku Irfan, serius.
Diunjuk bunga yang berada di atas air terjun. Wajah Irdina ditatap kemudian. Riak berkerut terlukis di wajah itu.
Irdina menghalakan mata ke arah yang ditunjuk.
“Aku nak kau ambil bunga tu.”
“Awak dah gila ke? Takkan…”
“Tengku Irfan!” pintas Tengku Irfan.
Irdina mengetap bibir. Geram!
“Aku nak bunga tu. Kau pembantu aku dan wajib untuk kau dengar arahan aku.”
Whatever!” bentak Irdina lalu beredar dari situ.
Sakit hatinya diarah sebegitu. Kenapa bunga itu yang diinginkan oleh Tengku Irfan? Matanya memandang ke arah bunga yang elok terletak di atas batu air terjun. Dia memikirkan bagaimana untuk ke sana.
“Gila betul mamat tu. Ada ke dia suruh aku ambil bunga tu? Hisy… Sengaja nak kenakan aku la ni,” bebel Irdina sendirian.
Langkah dibawa menuju ke air terjun. Penuh cermat dia meniti batu sungai yang terdapat di kawasan itu. Khuatir akan terjatuh dan mencederakan diri sendiri.
“Kerja gila!” geram Irdina berserta dengusan kasar.
Tengku Irfan tersenyum puas. Matanya memandang langkah Irdina yang sedang menuju ke atas air terjun. Puas hatinya kerana dapat mengenakan Irdina. Yang pasti, untuk hari yang mendatang, Irdina bakal mendapat pembalasan yang secukupnya atas apa yang telah dilakukan beberapa minggu yang lepas.


“APASAL ni? Kelat saja muka tu aku tengok,” tegur Melisa tatkala melihat wajah Irdina.
“Mamat gila tu la buat aku bengang,” luah Irdina, geram.
“Mamat gila? Mamat gila mana?” tanya Melisa, berkerut dahi.
“Siapa lagi kalau bukan Ir… fan… Teng… ku Ir… fan… Tengku Irfan tu,” rengus Irdina.
Melisa mengangguk. Wajah tegang Irdina masih menjadi tatapan mata.
“Ada ke dia suruh aku pergi petik bunga kat atas air terjun tu? Haishh… Memang sakit hati aku ni kau tahu tak?”
Melisa hanya mendengar. Otaknya cuba menerima luahan Irdina.
“Lepas tu dia boleh kata… ‘aku tak nak dah bunga tu. Kau lambat sangat kenapa?'” luah Irdina lagi. Dia turut mengajuk kata-kata Tengku Irfan.
Tergelak Melisa mendengarnya. Kepala menggeleng melihat cebikan di bibir Irdina.
“Dengan muka tak handsome dia blah macam tu saja,” sambung Irdina lagi.
Melepaskan ketidakpuasan di hati. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Sungguh, dia berasa sakit hati dengan Tengku Irfan ketika ini.
Semakin galak Melisa ketawa. Geli hati mendengar luahan geram Irdina.
“Yang kau gelak, kenapa? Nak makan kasut ke?” tegur Irdina.
Sakit pula hatinya mendengar suara ketawa Melisa. Mahu sahaja dihempuk kawan baiknya itu. Orang tengah bengang, dia boleh gelak pulak, geram Irdina dalam hati.
SorrySorry… Kelakar aku dengarnya Dina,” balas Melisa masih ketawa.
“Kelakar kau kata? Aku tengah bengang ni kau tahu tak? Encik Razman tu pun satu, yang pilih aku jadi pembantu peribadi mamat gila tu, apasal? Macam la tak ada staf lain lagi,” bengang Irdina kepada Encik Razman pula.
“Relax la Dina. Yang kau  nak melatah sangat ni, kenapa?” tegur Melisa.
“Relax?” ulang Irdina, menekan.
“Dina… Dina… Apasal la kau ni bengap sangat? Memang la kau ni pembantu peribadi dia. Dalam masa yang sama, kau boleh la kenakan dia.”
“Maksud kau?”
“Kau ni, cuba la otak tu jalan sikit. Cuba jadi bijak sikit.”
Irdina berfikir seketika. Kata-kata Melisa bermain-main di minda. Seminit kemudian, dia tersenyum tatkala dapat menangkap maksud daripada kata-kata Melisa itu.
So?” tanya Melisa sambil mengangkat kening.
“Aku tahu macam mana nak buat,” jawab Irdina lalu tersenyum penuh makna.
“Haaa… Berjalan pun otak kau tu. Ingatkan masih bengap lagi,” kutuk Melisa, selamba.
“Amboi mulut tak ada insuran nampak,” tegur Irdina pula.
Melisa tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Eh… Kau perasan tak tadi dengan Naufal?”
“Naufal?” 
“Yalah! Mamat handsome tu.”
“Kenapa?”
“Aku perasan tadi bila dia tengok kau. Macam syok kat kau pun ada juga,” beritahu Melisa akan apa yang dilihatnya tadi.
“Syok kat aku? Mengarutlah!” tukas Irdina lalu ketawa kecil.
“Betullah! Aku tak tipu,” tegas Melisa.
“Sudahlah Mel. Kau ni banyak sangat berangan,” komen Irdina sambil menggeleng.
Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Tidak dihiraukan Melisa yang sedang memandang pelik ke arahnya. Kenapa Melisa boleh terfikir sebegitu sekali?
Tetapi, tidak dinafikan dengan kata-kata Melisa. Dia turut perasankan renungan Naufal. Adakah Naufal suka dengannya? Adakah kata-kata Melisa itu benar?
“Mengarut! Jangan nak cari pasal, Dina. Buat semak otak saja nanti,” beritahu Irdina kepada dirinya sendiri. Sekadar mengingatkan agar tidak jatuh cinta kepada mana-mana lelaki.
“Kalau betul, macam mana?” soal Irdina seraya mematikan langkah.

Jumpa lagi!



2 ulasan: