“WEI!! Jangan lari!!” laung seseorang dari arah belakang.
Dhieya menoleh. Wajah tegang seorang
lelaki menyapa mata. Tanpa berlengah, dia segera berlari dari situ. Cuba untuk
melepaskan diri daripada lelaki itu.
“Woi!! Jangan lari!!” jerit Zharif
Farhan, lantang.
Dhieya tidak mengendahkan jeritan
Zharif. Jantungnya berdegup dengan pantas. Mengawal pernafasan akibat lariannya
itu. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Zharif tidak dapat mengejarnya. Jika
tidak, mampus dikerjakan oleh lelaki itu.
“Kau nak lari ke mana?” sergah Zharif
seraya merentap lengan Dhieya.
Terhenti larian Dhieya akibat rentapan
itu. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Kau nak lari ke mana? Kan aku suruh
kau berhenti tadi. Apasal kau tak berhenti?” marah Zharif sambil cuba mengawal
pernafasan.
“Apa masalah encik ni?” tanya Dhieya
sambil meronta untuk dilepaskan.
“Masalah? Masalah kau tanya? Kau dah
kotorkan baju aku, boleh lagi kau tanya apa masalah aku?” geram Zharif.
“Ala, setakat baju berapa puluh ni pun
nak heran ke?” cebik Dhieya, meluat.
“Woi, mak cik! Kau ingat sepuluh dua
puluh aje ke harga baju aku ni? Beratus kau tahu tak?” balas Zharif, kasar.
Tertawa Dhieya mendengarnya. Ditarik
lengannya dari pegangan tangan Zharif dan berpeluk tubuh di situ. Zharif di
hadapan dipandang dari atas ke bawah.
“Apa masalah kau tengok aku dari atas
ke bawah ni?” tegur Zharif tatkala terpandangkan tingkah Dhieya. Dikepalkan
tangan menahan kemarahan.
“Encik ni….” Dhieya mematikan ayat. Dia
melangkah mengelilingi Zharif sambil memandang lelaki itu dari atas ke bawah.
“Anak orang miskin berlagak kaya, kan?”
“What?”
Zharif terjerit kecil mendengarnya.
“Ala, bro… relax la. Kita sekapal. Saya
pun bukannya anak orang kaya tapi berlagak kaya,” ujar Dhieya, tersengih.
Zharif berkerut dahi. Wajah sengihan gadis
itu ditatap benci.
“Kau beli baju ni kat Chow Kit, kan?
Tak pun kat Petaling Street. Kat situ kan tempat branded yang chokia punya,”
sambung Dhieya. Masih tersengih.
“Apa yang kau merepek ni?”
“Aku ada baik punya tempat. Semua
barang nampak macam ori. Kau nak tahu tak?”
“Kau….”
“Jom! Aku bawa kau ke sana,” ajak Dhieya
seraya menarik tangan Zharif.
“Wei, mak cik!” tegur Zharif, keras.
“Jomlah!” ajak Dhieya lagi sambil
menarik kuat lengan Zharif. Dah macam tarik gajah pulak aku rasa dia ni. Makan
apa la mamat ni, bisik Dhieya sendirian.
“SAYA nak awak buang baju tu, cepat!” arah Zharif, tegas.
Nazila merangkap setiausaha Zharif
mengangguk laju. Pantas, baju kemeja dari atas meja diambil lalu membawanya
keluar dari bilik. Kecut perut melihat wajah tegang bosnya itu. Belum pernah
lagi bosnya beriak seperti itu. Jika ada pun sewaktu Zharif bergaduh besar dengan
seorang lelaki tidak lama dahulu. Itu pun disebabkan kesalahan kecil yang
lelaki itu lakukan. Sekadar mengotorkan baju Zharif tanpa disengajakan.
“Nazila!” panggil Zharif, meninggi.
Terhenti langkah Nazila dek kerana
panggilan itu. Dipusingkan badan dan menatap wajah tegang Zharif. Air liur
ditelan terasa kelat.
“Kenapa meja saya ni berhabuk? Awak tak
lap meja saya ke?” tegur Zharif, keras. Jarinya mencalit muka meja dan
ditunjukkan kepada Nazila.
“Err… maaf, Encik Zharif. Hari ni Kak
Maznah cuti, jadi…”
“Berapa lama awak dah kerja bawah saya,
Nazila?” pintas Zharif, laju.
“Dua tahun, Encik Zharif,” jawab
Nazila, perlahan dan menunduk.
“So?
Nak saya ajar awak semula ke?” sindir Zharif sambil bersandar di meja kerja.
“Maafkan saya, Encik Zharif. Saya
uruskan sekarang,” ujar Nazila dan beredar dari situ.
Zharif menghantar langkah Nazila dengan
ekor matanya sahaja. Diperhatikan meja kerjanya yang tidak terurus dan
berhabuk. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menghamburkan kemarahan kepada
setiausahanya itu. Sudah berkali-kali dipesan agar mengemas serta memastikan
meja kerjanya bersih dari segala kesan habuk. Tetapi setiausahanya itu masih
melakukan kesalahan. Dengusan kasar terlepas daripada bibir untuk kesekian
kali.
“Apa kes ni?” tegur Hazyrul Nizam,
tiba-tiba.
Tersentak Zharif mendengarnya.
Dihalakan mata ke arah Hazyrul yang sedang menapak masuk ke dalam bilik.
“Kau marahkan apa pulak hari ni?”
sambung Hazyrul sambil melabuhkan duduk di sofa.
“Perempuan!” balas Zharif, sepatah. Dia
melangkah ke sofa dan duduk di situ.
“Perempuan mana pulak ni? Kau ni Rif,
tak habis-habis nak mengamuk. Cuba jadi seorang lelaki yang cool macam aku ni,” kata Hazyrul seraya
mengangkat kening.
Zharif mencebik meluat. Geli geleman
mendengar kata-kata Hazyrul itu.
“Cuba kau cerita pada aku. Perempuan
mana yang buat kau marah ni?”
Zharif mendengus kasar. Sakit hatinya
tatkala mengingati peristiwa sebentar tadi. Berani sungguh perempuan itu
mempermain-mainkannya. Ikutkan hati aku tadi, nak aje aku sumpah dia jadi bola.
Boleh aku tendang-tendang dia masuk pintu gol. Tak pun biar kena lenyek dipijak
pemain bola tu semua, monolog Zharif. Dia menyimpan sengihan daripada terbias
di bibir.
“Kau sengihkan apa?” tegur Hazyrul
tatkala terpandangkan sengihan di bibir Zharif.
“Eh, mana ada aku sengih,” tukas
Zharif. Malu tatkala Hazyrul menegurnya sebegitu.
“Mesti hebat perempuan tu. Kalau tidak,
tak adalah kau tersengih macam kerang busuk.”
“Hebat? Huh! Macam tomboy pun ada minah tu.”
“Oh… minah tomboy. Dia dah berjaya permain-mainkan kau la.”
“Aku? Aku dipermain-mainkan? No way! Ini Zharif Farhan la. Sesiapa
pun tak boleh permain-mainkan aku,” tukas Zharif bernada bangga.
Hazyrul ketawa. Gelengan diberikan pada
sepupunya itu. Dia bingkas bangun dari duduk dan melangkah ke muka pintu bilik.
“Mengaku sajalah yang kau dah
dipermain-mainkan oleh minah tomboy
tu. Kalau tak, muka kau tak sekelat itu,” ujar Hazyrul, mengejek.
Zharif mengepal tangan. Sakit
telinganya mendengar ejekan Hazyrul.
“Kau jangan lupa game kita malam nanti. Aku pasti akan menang. Ini Hazyrul Nizam tak
mudah mengaku kalah,” pesan Hazyrul dan beredar dari situ.
Zharif merengus. Semakin panas
telinganya mendengar kata-kata bangga Hazyrul. Selama ini, dia tidak mudah
kalah dengan sesiapa termasuklah dengan Hazryul. Dia akan membuktikan bahawa
dia yang paling hebat daripada Hazyrul Nizam, sepupunya itu.
“HUH! Penat betul hari ni,” keluh Dhieya sambil menghela nafas
ringan.
Peluh dingin yang membasahi dahi diseka
dengan tuala kecil yang dibawa bersama. Kepenatan amat dirasai ketika ini.
Menunggu masa untuk direhatkan.
“Air!” ujar Faris seraya menghulurkan
sebotol air mineral kepada Dhieya.
“Terima kasih!” balas Dhieya dan
meneguk rakus air dari dalam botol itu.
Faris mengangguk. Dilabuhkan duduk dan
memandang tingkah Dhieya. Gelengan diberikan buat gadis itu.
“Kau dapat berapa hari ni?” soal Dhieya
sehabis sahaja air minuman diteguk.
“Adalah sikit. Kau?” jawab Faris, tersenyum.
“Cukuplah untuk belanja seminggu. Kalau
kau ada kerja lain, kau bagitau pada aku. Jangan nak makan sorang pulak.”
“Mak cik! Selama ini, ada ke aku makan
sorang? Aku kan selalu makan dengan kau.”
Dhieya menepuk dahi. Lain yang
dimaksudkan, lain pula yang dijawab Faris. Abaikan sajalah, Dhieya. Lagi kau
layan, lagi menjadi bengap dia tu, bisik Dhieya, tersengih.
“Apa kes kau dengan mamat campuran
‘miska’ tu?” tanya Faris, ingin tahu.
Dhieya berkerut dahi. “Miska?”
“Yalah, campuran ayat miskin kaya. Jadilah
‘miska’. Bijak tak aku?” sengih Faris.
“Bijak! Bijak!” akui Dhieya, terangguk-angguk.
“Aku tengok mamat tu berlagak semacam
aje. Gaya dia tak macam orang miskin berlagak kaya. Tapi kan, macam ‘pondan’
pun ada juga aku tengok,” komen Faris, selamba.
“Pondan?” ulang Dhieya, kurang faham.
“Yalah! Kau tengok tak gaya dia tadi?
Eee.. meluat aku. Terkinja sana, terkinja sini. Macam tak pernah datang kat
tempat tu pulak. Dia punya jalan, selagi boleh dikecikkan badan tu selagi
itulah dia kecikkan. Macam geli pun ada gaya dia tu aku tengok.”
“Terkinja tu macam mana?”
“Eee.. mak cik ni. Macam gaya orang ‘gediks’ gitu.”
Dhieya yang mendengar ketawa besar. Faris
tidak lepas dari lawaknya. Setiap kali dia bersama Faris, pasti ada bahan
gurauan yang dihidangkan Faris. Selama dua tahun berkawan, perangai dan sikap
Faris sudah sebati dalam dirinya.
“Miska tu marah kat kau ke tadi? Aku
tak sempat nak tengok drama sebabak kau dengan dia. Maklumlah, time tu aku pergi ‘tunaikan hajat’,” ujar
Faris. Matanya memandang wajah tersengih Dhieya. Apa yang disengihkan oleh
kawan baiknya itu?
“Itulah kau. Rugi betul kau tak tengok
tadi. Bukan setakat marah, mengamuk mamat tu tadi kat sana,” balas Dhieya
sambil mengimbas semula peristiwa siang tadi. Tersengih-sengih dia tatkala mengingatinya.
“Woi, mak cik! Dah la tu tersengihnya.
Dah macam angau pulak aku tengok,” tegur Faris bingkas bangun. “Aku balik
dululah! Dah jauh malam ni. Kau tu perempuan. Jangan balik jauh malam sangat.”
“Yalah, pak cik! Aku nak balik la ni.
Kau ni pun satu, macam la tak kenal dengan kakak aku tu. Balik lambat sikit,
mulalah bebel dia sampai esok pun tak habis.”
“Haa.. kalau dah tahu, apa lagi… shuh…
shuh… pergi balik!” halau Faris, selamba. Seminit kemudian, dia ketawa dengan
ayatnya itu.
Dhieya turut sama ketawa. Tanpa
membuang masa, dia segera beredar dari situ. Jam di tangan dikerling buat
seketika. Masa sudah merangkak ke sepuluh malam. Dia perlu pulang ke rumah
sebelum kakaknya, Syazreen Amira mengamuk.
“KAU kalah lagi,” kata Hazyrul, mengejek.
Zharif mendengus kasar. Sakit hatinya
mendengar ejekan Hazyrul itu.
“Selama-lamanya kau akan kalah dengan
aku, Zharif. Aku kan juara badminton di universiti dahulu.”
“Kau jangan nak berlagak sangatlah Erul.
Aku bagi chance kat kau aje tadi.”
Hazyrul mencebik. Zharif masih tidak
mahu mengalah walaupun terang-terangan lelaki itu kalah di tangannya.
“Next
game, kemenangan pasti di tangan aku. Kau tunggu dan lihat sajalah,” azam
Zharif. Tidak mahu mengalah.
“Okey, aku tunggu. Apa yang pasti, kau
kalah di tangan aku,” balas Hazyrul, sinis.
Panas telinga Zharif mendengarnya.
Wajah selamba Hazyrul ditatap meluat. Tak apa, hari ni kau menang. Esok lusa,
belum tentu lagi kau akan menang. Ini Zharif Farhan la. Mana boleh kalah dengan
sesiapa even kau sendiri, Hayzrul
Nizam. Zharif bermonolog sendirian.
“Aku takkan kalah, Erul,” ujar Zharif,
tenang.
Hazyrul menggelengkan kepala. Zharif
masih dengan sikap tidak mahu mengalah. Dia kenal Zharif. Sejak dari kecil
lagi, sepupunya itu seorang yang tidak mudah mengalah. Selalu nak menang even dengan dia sekali pun. Zharif juga
seorang yang cerewet. Dalam beberapa bulan ini, sudah dua tiga kali pembantu
rumah Zharif ditukar. Semuanya tidak tahan dengan sikap cerewet Zharif. Ada
saja yang tidak kena dari pandangan mata Zharif. Hazyrul mengeluh dalam hati.
Siapa yang mampu bertahan dengan sikap cerewet Zharif itu? Dia sendiri pun
tidak tahan inikan pula orang lain. Semoga perangai Zharif berubah nanti.
“Dah lewat ni. Jom balik!” suara Zharif
sambil bangun dari duduk.
Hazyrul tersentak. Lamunannya yang
pendek berterbangan begitu sahaja. Matanya memandang langkah Zharif yang sudah
pun meninggalkan gelanggang badminton itu.
“Kau tak cerita pada aku lagi pasal
minah tomboy tu,” ujar Hazyrul sebaik
sahaja menyaingi langkah Zharif.
Terhenti langkah Zharif dek kerana
ujaran itu. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Kenapa itu yang ditanya
oleh Hazyrul? Aku nak lupa pasal tu, dia pergi tanya. Sakit hati aku dengan
minah tomboy tu. Kalau aku jumpa, tau
la macam mana aku nak kerjakan dia, azam Zharif dalam hati. Tangan dikepal
menahan kemarahan terhadap gadis itu.
“Zharif?” seru Hazyrul.
“Tak penting!” balas Zharif dan
melajukan langkah.
Hazyrul ketawa kecil dan menggeleng.
Pasti perkara itu memalukan Zharif. Jika tidak, mustahil Zharif akan bersikap
begitu. Tak apa, lambat laun aku akan tahu juga, bisik Hazyrul dan mengekori
langkah Zharif.
“ADUH! Mati aku macam ni,” gusar Dhieya sendirian.
Dilajukan langkah menuju ke rumah.
Khuatir akan dimarahi Syazreen disebabkan kelewatannya itu.
“Assala….” Belum sempat Dhieya memberi
salam, tubuhnya sudah ditarik oleh Syazreen sehingga membuatkan dia terdorong
ke hadapan.
“Balik pun Dhieya. Ingatkan Dhieya tak
ingat jalan balik tadi,” sindir Syazreen.
“Apa akak ni? Main tarik-tarik. Nasib
baik adik tak jatuh,” tegur Dhieya, keras.
“Sorry…
sorry. Akak excited sangat nak bagitau Dhieya.”
“Kalau excited pun, janganlah macam beruk kena belacan.”
“Amboi, selamba betul mulut tu. Akak
cili nanti baru tahu.”
Dhieya tersengih. Kepala yang tidak
gatal digaru. Kemudian, dibawa langkah menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di
situ.
“Akak dah dapatkan kerja untuk Dhieya,”
beritahu Syazreen, teruja.
Bulat mata Dhieya mendengarnya. Wajah
Syazreen ditatap meminta kepastian.
“Nak kerja tak? Office sebelah office akak
tu nak pakai orang. Akak dah isikan borang untuk Dhieya. Esok, Dhieya pergi interview ya,” cerita Syazreen,
bersungguh.
“Interview?
Ala… ingatkan dah dapat terus,” keluh Dhieya.
“Eh, kira bagus lah akak dah tolong
Dhieya dapatkan interview tu. Beratur
orang nak isi jawatan tu tau,” cerita Syazreen lagi. Ditatap kasih wajah
adiknya itu.
Dhieya berfikir sejenak. Wajah teruja
kakaknya itu ditatap berserta kerutan di dahi.
“Nak tak?” tanya Syazreen.
“Yalah! Adik pergilah esok,” jawab
Dhieya, mengalah.
Syazreen tersenyum senang. Dia bingkas
bangun dan melangkah menuju ke bilik.
“Akak, esok pinjam baju. Adik tak ada
baju yang elok nak pergi interview
tu,” ujar Dhieya sebelum kakaknya itu masuk ke dalam bilik.
“Dhieya carilah dalam almari akak tu
nanti,” balas Syazreen dan menutup pintu bilik.
“Thanks
kak!” ucap Dhieya, girang. Tidak sabar untuk menghadiri interview itu. “Baik aku call Faris bagitau pasal ni. Boleh la
aku minta tolong dia hantarkan aku esok ke sana.”
Tanpa berlengah, telefon bimbit Nokia
1280 dikeluarkan dari dalam poket seluar jean. Nombor Faris didail dan menanti panggilan
dijawab.
“Pak cik!” sergah Dhieya sebaik sahaja
talian bersambut.
“Mak cik! Pekak telinga aku la,” rungut
Faris.
“Sorry,
aku tak sengaja. Excited ni,” kesal
Dhieya, tersengih.
“Kalau excited pun, janganlah macam beruk kena belacan.”
Aik! Macam ayat aku aje tu tadi. Pak
cik ni dengan kakak aku memang ada chemistry
sebenarnya. Kalau aku kenen-kenenkan dia orang berdua mesti best, bisik Dhieya dalam hati sambil tersengih.
Terbayang-bayang persandingan kakaknya bersama Faris.
“Mak cik!” tegur Faris sedikit
meninggi.
“Ya.. ya… selamat pengantin baru Faris
dan Syazreen,” balas Dhieya, terangguk.
“Oit mak cik! Sejak bila pulak aku
kahwin dengan kakak kau?”
“Alamak! Aku terlebih berangan.”
“Kau nak apa call aku malam-malam buta ni? Kau tahu tak aku dalam proses nak
bermimpikan Tasha Shilla,” tanya Faris, serius. Malas bermain kata dengan
Dhieya lagi.
“Apa kelas Tasha Shilla. Kita main…”
“Dah… dah.. Kau nak apa sebenarnya ni?”
pintas Faris, laju. Lebih lama dia melayan, lebih merepek Dhieya tu nanti.
“Aku nak minta tolong kau hantarkan aku
ke office kakak aku, boleh tak?”
beritahu Dhieya sambil menghela nafas ringan.
“Kenapa?”
“Aku dapat interview kat office
sebelah office kakak aku. Jadi, aku
nak minta tolong kau hantarkan aku esok, boleh?”
“Kenapa tak pergi dengan Eren?”
“Kakak aku pergi kursus esok. Takkan
nak suruh dia hantar aku kut,” beritahu Dhieya. Perkara itu sudah dikhabarkan
oleh Syazreen beberapa hari yang lepas.
“Oh!” balas Faris, sepatah.
“Boleh tak?” tanya Dhieya ingikan
kepastian.
“Okey! Duit minyak kau support,” jawab Faris ketawa kecil.
“Ala… dengan bakal adik ipar pun nak
berkira.”
“Sejak bila pulak kau…”
“Esok amik aku dalam pukul lapan pagi
kat rumah,” potong Dhieya dan mematikan talian. Jika tidak dimatikan, entah apa
lagi yang akan dibebelkan oleh Faris itu.
Tanpa berlengah, dia melangkah menuju
ke bilik. Kepenatan yang dirasai perlu direhatkan. Semoga malam ini dia
bermimpikan yang indah-indah sahaja. Miska! Terdetik perkataan itu di benak
hati. Dia menggeleng tatkala mengingati peristiwa siang tadi.
Salam...suka baca tulisan anda. Membuatkan saya juga cuba mencurahkan minat yg sama di blog yg baru saya create. hrp dpt beri tunjuk ajar
BalasPadam