“AKU minta maaf. Aku terpaksa putuskan pertunangan ni,” ujar
Puan Rasidah, serba-salah. Kotak cincin berwarna merah dihulurkan pada Puan
Dayana dan menatap mesra wajah wanita itu. Sukar untuk menafsirkan riak di
wajah Puan Dayana.
Puan Dayana berkerut dahi. “Kenapa
tiba-tiba nak putus?”
“Ammar yang minta, Yana. Aku tak tahu
sebab apa dia minta putus,” jawab Puan Rasidah, tenang. Rasa bersalah menyerbu
diri.
Puan Dayana tidak membalas. Matanya
menatap kotak cincin berwarna merah dengan perasaan sebak. Bagaimana untuk
mengkhabarkan perkara itu pada Dhieya Amiera? Adakah anaknya itu dapat menerima
perkara ini nanti?
“Aku minta diri dulu, Yana. Maafkan
aku,” suara Puan Rasidah dan bangun dari duduk.
Puan Dayana turut sama bangun dari
duduk. Hanya anggukan yang diberikan pada Puan Rasidah. Kelu lidahnya untuk
berkata-kata. Rasa terkejut masih lagi bersisa.
“Mak cik dah nak balik?” tegur Dhieya,
ramah.
Puan Rasidah sekadar tersenyum. Dibawa
langkah keluar dari halaman rumah Puan Dayana. Rasa bersalah semakin mencengkam
diri. Bukan niatnya untuk memutuskan pertunangan itu. Atas kehendak Ammar Ziqri
dia terpaksa melakukannya. Berharap, Puan Dayana dan Dhieya Amiera tidak akan
menyalahkannya.
“Ibu, kenapa dengan Mak cik Shidah tu?”
soal Dhieya, berkerut.
Puan Dayana serba-salah. Perlukah dia
berterus-terang pada anaknya itu?
“Ibu, kenapa ni?” tegur Dhieya pula.
Puan Dayana menghela nafas berat.
Tangan Dhieya dicapai lalu meletakkan kotak cincin ke telapak tangan anaknya
itu. Wajah anaknya ditatap kasih. Seminit kemudian, dia beredar dari situ.
Memberi ruang persendirian kepada Dhieya.
Dhieya hanya memandang. Bekas cincin di
telapak tangan ditatap berserta kerutan di dahi. Apa maksud kotak cincin itu?
Lantas, dibuka lalu menatap cincin dari dalam kotak itu.
“Bukan ke ini cincin Ammar?” soal
Dhieya sendirian. Hatinya berdebar-debar ketika ini.
“Ammar minta putus!” ujar Puan Dayana,
berat.
Tersentap Dhieya mendengarnya. Dia
menoleh ke wajah Puan Dayana yang sedang memandang ke arahnya. Meminta
kepastian daripada ibunya itu.
“Mak cik Shidah pulangkan semula cincin
tu. Kata dia, Ammar minta putuskan pertunangan,” jelas Puan Dayana.
Dhieya tidak membalas. Tanpa berlengah,
dia segera beredar dari situ. Dia perlu berjumpa dengan Ammar untuk mengesahkan
perkara itu. Kenapa dengan tiba-tiba Ammar memutuskan pertunangan mereka?
Kenapa Ammar tidak berbincang dengannya terlebih dahulu?
“Dhieya!” laung Puan Dayana dari dalam
rumah.
Matanya memandang langkah Dhieya yang
sudah pun menjauhi kawasan rumah. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Semoga
Dhieya tidak melakukakan apa-apa tindakan di luar batasan.
“THANKS sayang!” ucap Afiqah, ceria.
“I rasa bersalah, Fiqa,” ujar Ammar,
lemah.
“Bersalah? Why?”
“Putuskan pertunangan kami.”
“Hello!
You sendiri yang nak putus, kan? Kenapa pulak nak rasa bersalah?”
Ammar tidak menjawab. Rasa bersalah
kerana memutuskan pertunangan masih lagi terasa. Bukan niatnya untuk berbuat
begitu. Atas sebab-sebab tertentu maka dia terpaksa mengambil keputusan itu.
Semoga Dhieya dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Ammar Ziqri!” jerit Dhieya dari jauh.
Terkejut Afiqah dan Ammar mendengar
jeritan itu. Masing-masing menghalakan mata ke arah Dhieya yang semakin
menghampiri.
“Apa ni?” soal Dhieya, keras.
Diunjukkan kotak cincin di hadapan Ammar.
“Hai, takkan tak faham-faham lagi kut?”
sindir Afiqah.
“Apa ni, Ammar?” ulang Dhieya masih
keras. Tajam matanya ke wajah Ammar.
“Dhieya, Am…” Sukar untuk Ammar
bersuara. Semakin bersalah dirasakan ketika ini.
“Kenapa Am? Kenapa? Apa salah Dhieya?
Kenapa putuskan pertunangan kita?” tanya Dhieya bertubi-tubi. Rasa sebak hadir
dengan tiba-tiba.
Ammar menundukkan muka. Tidak berani
untuk bertatapan dengan Dhieya.
“Dah dia tak nak kat kau, terima
ajelah,” sampuk Afiqah, selamba.
Dhieya menoleh ke wajah Afiqah. Dikepalkan
tangan menahan kemarahan di hati.
“Kau nak tahu sebab apa?” ujar Afiqah,
tersenyum sinis.
“Kau diam! Kau sibuk, kenapa?” marah
Dhieya tidak tertahan.
“Dhieya!” tegur Ammar seraya mengangkat
wajah.
Terkejut Dhieya mendengar teguran
Ammar. Dihalakan mata ke wajah tegang Ammar.
“Am dah bosan dengan Dhieya. Hubungan
kita sampai di sini saja. Keputusan Am muktamad!” sambung Ammar dan berlalu
pergi.
Tidak mahu berlama di situ. Jika tidak,
khuatir hatinya akan tersentuh tatkala melihat air mata Dhieya.
“Well!
The best women win!” ujar Afiqah
ketawa kecil.
Dhieya hanya memandang. Sebak di dada
mendengar keputusan muktamad Ammar. Apa salah dia? Kenapa Ammar memutuskan
pertunangan mereka? Sebab apa Ammar membuat keputusan sebegitu? Adakah kerana
Afiqah, Ammar memutuskan hubungan mereka? Pelbagai persoalan sedang
berlegar-legar di minda.
Pada siapa dia harus bertanya? Tidak
semena-mena, air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Rasa sebak tatkala
Ammar memutuskan pertunangan mereka. Percintaan selama lima tahun, putus begitu
sahaja. Adakah dia tidak cukup baik buat lelaki yang bernama Ammar Ziqri?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan