“ELISYA, kau nak aku hantar ke tidak?” laung
Dahlia dari luar bilik.
“Tak mengapalah, Lia. Aidid datang ambil aku,” balas Elisya
dari dalam bilik.
“Kalau macam tu, aku pergi dulu. Good luck untuk temuduga kau nanti,” kata Dahlia lagi lalu beredar
dari situ.
“Terima kasih, Lia!” sahut Elisya sambil membuka pintu
bilik.
Matanya memandang kelibat Dahlia yang sudah pun masuk ke
dalam kereta. Seminit kemudian, bayang kereta Dahlia hilang dari pandangan
mata. Tanpa membuang masa, digerakkan kerusi rodanya ke ruang tamu dan mencapai
kunci rumah dari atas meja.
“Assalamualaikum,” ucap seseorang dari luar rumah.
“Waalaikumussalam,” jawab Elisya sambil meninjau ke luar
rumah. Wajah Aidid menyapa mata.
“Dah siap?” tanya Aidid setibanya Elisya di luar pagar.
“Dah! Maaf, sebab susahkan Aidid,” jawab Elisya, tersenyum.
“Tak ada susahnya, Sya,” balas Aidid seraya meletakkan
Elisya di tempat duduk penumpang. Senyuman diberikan kepada Elisya.
“Terima kasih, Aidid,” ucap Elisya, ikhlas.
Aidid hanya mengangguk. Setelah meletakkan kerusi roda di
belakang bonet, dia melangkah masuk ke dalam perut kereta. Senyuman masih lagi
terukir di bibir. Dikerling sekilas ke wajah Elisya buat seketika. Tanpa
berlengah, dia memandu keluar dari kawasan perumahan Elisya.
“Dah sedia tak?” tanya Aidid, berbasa basi.
“Insya-Allah, Sya dah sedia,” jawab Elisya, tersenyum.
“Aidid doakan Sya dapat tender tu. Kalau Sya perlukan
pertolongan Aidid, Sya beritahu saja. Insya-Allah, Aidid akan bantu Sya,” kata
Aidid, ikhlas.
“Hurm, setakat ni tak ada apa-apa lagi. Kalau dapat tender
tu, baru Sya minta tulang empat kerat Aidid,” tutur Elisya lalu ketawa kecil.
“Amboi, sampai tulang empat kerat. Patahlah tulang Aidid ni
nanti,” gurau Aidid turut sama ketawa.
Elisya masih lagi ketawa. Wajah Aidid dipandang mesra.
Ucapan syukur meniti di benak hati. Syukur kerana bertemu dengan Aidid Haikal.
Lelaki yang telah dua tahun menjadi teman baiknya dan juga Dahlia.
“Sya… kenapa termenung ni?” tegur Aidid seraya menyentuh
lembut tangan Elisya.
Tersentak Elisya dek kerana teguran itu. Gelengan diberikan
kepada Aidid.
“Sya risau ke? Insya-Allah, kalau dah ditakdirkan rezeki
Sya, Sya akan dapatnya juga,” sambung Aidid sekadar memberi semangat buat
Elisya.
“Mudah-mudahan Aidid,” ujar Elisya masih tersenyum.
Aidid turut sama tersenyum. Matanya mengerling sekilas ke
wajah Elisya. Sejuk matanya memandang wajah itu. Selama dua tahun berkawan, segala
keperluan diuruskannya. Keperluan dari segi pengangkutan dan pandangan jika
Elisya memerlukan bantuan darinya.
Hanya itu yang mampu dilakukan oleh Aidid buat Elisya. Jika
boleh, seumur hidup dia mahu bersama dan setia bersama Elisya.
“SYA tunggu sini dulu. Aidid nak daftar
nama sekejap,” beritahu Aidid setibanya mereka berdua di Megah Indah Sdn Bhd.
“Kalau macam tu, Sya nak ke ladies dulu,” ujar Elisya.
“Sya nak Aidid bawa ke sana?” tanya Aidid, prihatin.
“Err.. tak perlulah. Sya boleh pergi sendiri,” jawab Elisya
tertunduk malu.
Aidid tersenyum. Silapnya juga kerana bertanya begitu.
“Aidid tunggu kat sini nanti.”
Elisya mengangguk. Tanpa berlengah, digerakkan kerusi
rodanya menuju ke ladies room. Rasa
gugup dan gementar hadir dengan tiba-tiba. Jantungnya juga turut berdegup
dengan kencang. Seakan ada sesuatu yang bakal berlaku nanti. Ah! Mungkin
firasatnya sahaja. Dihalau firasatnya itu jauh dari kotak fikiran.
“Woi, buta ke?” tegur seseorang, lantang.
Terkejut Elisya mendengarnya. Dihalakan mata ke arah suara
yang menegur. Jelas ketegangan pada wajah itu.
“Mata kau tu letak kat mana?” marah suara itu pula.
“Maaf, saya tak sengaja,” ujar Elisya, perlahan.
“Kaki kau tu dah la cacat, takkan mata kau pun cacat juga.
Lain kali, jalan tu tengok orang sikit. Tak pasal-pasal sakit kaki aku ni kena
kerusi roda kau,” tengking suara itu.
Diusap kakinya yang terasa sakit akibat terkena kerusi roda
Elisya. Jelingan tajam diberikan kepada Elisya.
Elisya hanya memandang. Rasa sebu di hati tatkala mendengar
kata-kata perempuan itu. Dikerdipkan mata sambil cuba menahan air mata daripada
menitis.
“Kenapa ni?” tanya seseorang dari arah belakang.
“Tak ada apa-apa Encik Firdaus. Perempuan cacat ni langgar
saya. Dahlah cacat kaki, mata pun cacat juga kut,” jelas Maria lalu mencebik.
Firdaus menghela nafas ringan. Dihalakan mata ke arah gadis
yang dimaksudkan oleh Maria. Diperhatikan gadis yang sedang menunduk itu.
Seakan mengenali gadis tersebut.
“Lepas ni, bawa kerusi roda kau ni elok-elok. Kalau tidak…”
“Sudahlah Maria. Dia tak sengaja nak langgar awak,” pintas
Firdaus, laju. Tidak mahu Maria terus-terusan memarahi serta memalukan gadis
itu.
Maria mendengus kasar. Tanpa membalas, dibawa langkah
beredar dari situ. Tajam matanya ke wajah Elisya yang sedang menunduk.
“Maafkan staf saya, cik,” ujar Firdaus sebaik sahaja kelibat
Maria menghilang.
Elisya hanya membisu. Digerakkan kerusi rodanya menuju ke
ruang menunggu di mana Aidid berada. Hatinya berasa sedih ketika ini.
“Cik!” tahan Firdaus. Matanya memandang pemergian gadis itu.
Elisya tidak menghiraukan panggilan Firdaus. Air matanya
menitis perlahan membasahi pipi. Diusap lembut air mata itu. Tidak mahu Aidid
melihatnya.
“Elisya!” panggil Aidid.
Firdaus yang baru memulakan langkah terhenti tatkala
mendengar nama Elisya. Pantas dia menoleh ke belakang memandang ke arah gadis
yang berkerusi roda itu. Diamati gadis itu penuh minat. Elisya!
“Kenapa ni?” tanya Aidid tatkala terpandangkan wajah sedih
Elisya. Dijatuhkan tubuh separas Elisya.
Elisya sekadar menggeleng dan tersenyum hambar. Tidak mahu
Aidid mengesani gelojak di hatinya ketika ini.
“Sya, awak menangis ke?” tanya Aidid masih tidak berpuas
hati. Matanya terpandang air mata yang mengalir di pipi Elisya. Kenapa Elisya
menangis?
“Sya tak sihat. Kita balik, Aidid,” adu Elisya.
Sungguh, dia tidak ada mood
untuk meneruskan temuduga itu lagi. Sebu hatinya di kala ini. Kata-kata hina
wanita tadi bermain-main di minda. Semakin laju air matanya mengalir membasahi
pipi tatkala mengingatinya.
“Ya Allah, Sya kenapa ni?” tanya Aidid, kalut. Diseka air
mata yang mengalir membasahi pipi Elisya.
“Sya tak ada mood.
Jom kita balik!” ajak Elisya seraya menolak lembut tangan Aidid daripada
menyeka air matanya. Berharap, Aidid mengerti akan permintaannya itu.
“Tapi, kita belum…”
“Rezeki boleh dicari. Bukan rezeki Sya nak dapat tender tu,”
pintas Elisya. Mengerti akan maksud kata-kata Aidid itu.
Aidid menghela nafas ringan. Anggukan kecil diberikan kepada
Elisya. Lantas, diangkat tubuh dan bersedia untuk menolak kerusi roda Elisya. Tingkah
lakunya terhenti tatkala ditahan seseorang. Dia segera menoleh ke belakang dan
melihat gerangan yang menahannya itu.
“Elisya!” seru Firdaus, perlahan.
Elisya menoleh. Berderau darahnya melihat Firdaus di
belakang. Digerakkan kerusi rodanya tanpa mempedulikan Aidid.
“Elisya!” panggil Firdaus dan Aidid, serentak.
Firdaus dan Aidid berpandangan antara satu sama lain.
“Elisya!” panggil Firdaus sambil melajukan langkah. Cuba
untuk mengejar Elisya.
Aidid yang melihat turut sama memulakan langkah mengekori Firdaus
daripada belakang. Hatinya tertanya-tanya akan gerangan lelaki yang sedang
melangkah di hadapannya itu. Seperti pernah berjumpa dengan lelaki itu.
“Elisya, nanti dulu!” rayu Firdaus sambil menahan kerusi
roda Elisya.
“Lepaskan saya!” pinta Elisya, keras.
Tangan Firdaus ditolak kasar dari memegang kerusi rodanya.
Tidak dihiraukan berpasang-pasang mata yang sedang memandang ke arah mereka
berdua. Apa yang penting, dia dapat melepaskan diri daripada Firdaus.
“Elisya, please…”
rayu Firdaus penuh mengharap.
Tangannya erat memegang kerusi roda Elisya. Tidak mahu
Elisya pergi sama seperti pertemuan yang lepas.
“Saya bukan Elisya. Jangan ganggu saya. Lepaskan saya!”
tegas Elisya.
Sedaya upaya dia mencuba untuk menggerakkan kerusi rodanya.
Namun, kudratnya tidaklah sekuat mana. Firdaus terlebih dahulu menahan kerusi
rodanya agar dia tidak beredar dari situ. Malah, pegangan erat Firdaus di
kerusi roda menyukarkan dia menggerakkan kerusi roda.
“Elisya, kenapa ni?” tanya Aidid setibanya di situ.
“Aidid, bawa Sya pergi dari sini cepat!” pinta Elisya,
mengharap.
“Saya tak benarkan awak pergi, Elisya!” Firdaus berkata
tegas.
“Encik, maaf kalau saya menyampuk. Apa sebenarnya yang
berlaku? Kenapa encik tahan kawan saya?” tanya Aidid yang sedari tadi
memandang.
Firdaus melepaskan pegangan. Diraup kasar wajahnya sebelum
menjatuhkan tubuh separas Elisya. Ditatap wajah Elisya penuh kasih. Rindu
terhadap wajah itu.
Selama dua tahun dia menanggung rindu terhadap Elisya.
Selama itu dia menyesali dengan apa yang berlaku dahulu. Kali ini, dia tidak
mahu menyesal lagi. Dia perlu meluahkan perasaannya kepada Elisya.
AIDID memerhatikan Elisya dan Firdaus dari
jauh. Hampir setengah jam mereka bertiga di situ. Sedari tadi hanya kebisuan
yang dilihat Aidid di antara Elisya dan Firdaus. Apa yang sebenarnya berlaku di
antara Elisya dan Firdaus? Seperti ada kisah di antara mereka berdua. Pandangan
Firdaus terhadap Elisya menggambarkan betapa rindunya lelaki itu terhadap
Elisya. Adakah mereka berdua pasangan kekasih?
Aidid menghela nafas ringan. Barulah dia ingat di mana dia
bertemu dengan Firdaus. Pemuda itu yang ditumpanginya semalam ke Ampang.
Sungguh kecil dunia ini. Dalam masa sehari mereka berjumpa semula. Dia
tersenyum seketika. Rupa-rupanya ada maksud yang tersirat dari tingkah laku
Elisya semalam. Sekadar mengelak dari dicam oleh Firdaus.
“Elisya!” seru Firdaus, lembut. Matanya memandang wajah
Elisya. Rindu pada wajah itu.
“Awak nak apa, Firdaus?” tanya Elisya sambil berpeluk tubuh.
“Saya rindukan awak,” luah Firdaus, ikhlas.
“Kalau dah habis, boleh saya balik?” pinta Elisya dan
berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Sya…” tahan Firdaus seraya menarik tangan Elisya.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku dulu.”
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan, Firdaus. Benda dah lepas,
biarlah lepas dan saya tak nak ingatnya semula,” kata Elisya seraya menarik
tangannya dari pegangan Firdaus.
“Please, Sya! Saya
tahu, awak faham dengan apa yang cuba saya sampaikan ni.” Firdaus mengeluh
ringan.
Elisya tidak membalas. Dia membuang pandang ke tengah
padang.
“Dari pertemuan pertama sehingga ke pertemuan semalam, awak
cuba mengelak untuk bertemu dengan saya. Kenapa awak nak mengelak dari saya?”
soal Firdaus tidak berpuas hati.
Elisya masih membisu. Pandangnya masih ke tengah padang.
Tidak mahu memandang wajah Firdaus.
“Allah mendengar rintihan saya. Doa saya. Allah temukan saya
dengan awak,” suara Firdaus lagi. Wajah Elisya masih menjadi tatapan mata.
“Tak ada apa yang penting untuk kita bertemu,” ujar Elisya
seraya memandang ke wajah Firdaus. Ditatap wajah itu buat seketika.
“Penting!” tegas Firdaus sambil membalas tatapan Elisya.
“Awak ada kehidupan awak dan saya ada kehidupan saya. Kita
buat hal masing-masing dan anggaplah awak tidak pernah mengenali saya,” jelas
Elisya bernada harapan.
Firdaus mengeluh berat untuk kesekian kali. Kenapa Elisya
berkata begitu?
“Saya minta diri dulu,” ujar Elisya seraya menggerakkan
kerusi rodanya.
“Please, Sya!
Nanti dulu!” suruh Firdaus sambil menahan kerusi roda Elisya.
“Awak nak apa lagi, Firdaus Hakimi?”
“Saya nak perbetulkan apa yang terjadi dahulu.”
“Saya bukan Elisya yang dulu. Saya dah lumpuh!” luah Elisya,
sebak.
“Saya tak salahkan awak atas apa yang pernah berlaku dahulu.
Saya terima semua itu sebagai takdir dari Allah untuk saya dan saya ikhlas menerimanya.”
“Hati saya tak tenang. Lepas awak pergi, saya rasa menyesal
kerana melukakan hati awak. Saya cintakan awak, Elisya,” jujur Firdaus
meluahkan.
“Saya lumpuh, Firdaus,” ujar Elisya lalu teresak. Sungguh,
dia berasa kekurangan ketika berhadapan dengan Firdaus.
Rasa sebu dan hiba Firdaus mendengarnya. Perlahan-lahan,
jemarinya menyeka air mata Elisya yang mengalir membasahi pipi. Tidak terniat
di hati untuk merendah-rendahkan Elisya apatah lagi memandang rendah pada gadis
itu.
“Saya nak balik, Firdaus. Benarkan saya balik,” pinta
Elisya, mengharap.
Tangan Firdaus ditolak daripada meneruskan tingkah laku.
Tanpa menunggu balasan, digerakkan kerusi roda menjauhi Firdaus. Tidak mahu
berlama di situ.
“TERIMA kasih Aidid,” ucap Elisya sebaik sahaja
tiba di hadapan pintu rumah. Senyuman diberikan kepada Aidid.
“Sama-sama Sya,” balas Aidid turut sama tersenyum.
“Maaf, sebab menyusahkan Aidid hari ini.”
“Tak mengapa. Aidid faham!”
“Kalau bukan disebabkan Sya, mungkin kita akan dapat tender
tu tadi.”
“Sya dah lupa dengan apa yang Sya katakan tadi?”
Elisya berkerut dahi. Apa maksud Aidid?
“Rezeki ada di mana-mana. Bukan rezeki kita nak dapat tender
tu,” ulang Aidid kepada kata-kata Elisya tadi.
Elisya mengangguk lemah. Senyuman hambar diberikan kepada
Aidid.
“Sya masuk dalam dulu. Terima kasih sekali lagi.”
“Kalau ada apa-apa, jangan lupa beritahu Aidid,” pesan Aidid
bernada serius.
“Yes boss!” balas
Elisya lalu ketawa kecil.
“Oh, ejek Aidid ya. Tarik hidung tu baru tahu,” ugut Aidid
turut sama ketawa.
Elisya mematikan ketawa.
“Sya masuk dalam dulu. Hati-hati memandu,” pesan Elisya lalu
membuka pintu utama rumah.
“Insya-Allah!” balas Aidid sambil melangkah semula ke
kereta.
Setelah memastikan Elisya masuk ke dalam rumah, dia segera
masuk ke dalam perut kereta dan memandu keluar dari kawasan perumahan itu.
Hatinya tertanya-tanya akan hubungan Elisya dan Firdaus. Perlukah dia bertanya
kepada Elisya, siapa Firdaus Hakimi yang sebenar?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan