“KENAPA?” tanya Elisya sebaik sahaja Aidid masuk
ke dalam kereta.
“Kereta dia rosak,” jawab Aidid sambil menyeka peluh di
dahi.
“Habis tu, tak panggil mekanik?” tanya Elisya lagi.
“Dah panggil. Tapi, dalam satu jam lagi sampai. Kesian pula
Aidid tengok dia,” balas Aidid. Suhu penghawa dingin dikuatkan. Sekadar
menyejukkan tubuhnya yang panas.
Elisya mengangguk. Dikerling jam di dashbox. Masa sudah merangkak ke pukul tiga tiga puluh minit
petang. Terlalu lama dia keluar dari pejabat.
“Kenapa dia….” Elisya mematikan ayat tatkala melihat Firdaus
melangkah menghampiri kereta Aidid.
“Kita tumpangkan dia ke Ampang. Alang-alang satu jalan,” kata
Aidid. Mengerti akan gantungan ayat Elisya itu.
Elisya menelan liur. Kelat! Bagaimana untuk berhadapan
dengan Firdaus ketika ini?
“Maaf menyusahkan,” suara Firdaus sebaik sahaja masuk ke
dalam perut kereta.
“Tak apa. Masalah kecil saja,” balas Aidid lalu tersenyum.
Elisya membisu. Dia menarik tudung lalu menutup separuh
wajahnya. Tidak mahu Firdaus mengecam wajahnya.
Aidid yang melihat berkerut dahi. Kenapa Elisya bertingkah
laku sebegitu?
“Sya, kenapa ni?” tegur Aidid.
“Errr…. Jerawat tumbuh. Malu nak bagi orang tengok,” suara
Elisya sedikit sengau.
Firdaus hanya mendengar. Tidak berniat untuk menyampuk
perbualan mereka berdua. Matanya menangkap pandangan mata Elisya di sebalik
cermin pandang belakang. Seperti mengenali sinar mata itu.
“Ada-ada sajalah Sya ni,” kata Aidid lalu menggeleng kecil.
Elisya hanya tersenyum. Sesekali dia mencuri pandang ke
wajah Firdaus. Tatkala bertemu pandang, pantas dia melarikan pandangan
memandang ke luar tingkap.
Aidid menyambung perjalanan. Dia tersenyum melihat gelagat Elisya.
Sesekali dia mengerling ke wajah Elisya. Gadis itu hanya membisu dan menunduk.
Adakah disebabkan kehadiran pemuda itu maka Elisya membisu? Mungkin juga Elisya
berasa malu ketika ini.
“Turunkan saya di hadapan tu,” suruh Firdaus, tiba-tiba.
Aidid yang sedikit mengelamun tersentak. Dia memberi signal
ke kanan lalu memberhentikan kereta di bahu jalan.
“Terima kasih,” ucap Firdaus seraya menolak daun pintu
kereta.
Aidid mengangguk. Dia menurunkan cermin di tempat duduk
Elisya. Senyuman diberikan kepada Firdaus.
“Terima kasih sekali lagi,” ucap Firdaus buat kali kedua.
Dipandang wajah gadis di sisi Aidid. Hatinya berdebar-debar.
Seperti mengenali gadis berpurdah itu.
“Terima kasih….”
“Eli….”
“Sya!” pintas Elisya, laju.
Tidak mahu Aidid mendedahkan nama sebenarnya. Tidak mahu
Firdaus mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Sungguh, dia belum bersedia
untuk berhadapan dengan Firdaus.
Firdaus mengangguk. Dia melemparkan senyuman kepada Aidid.
Setelah itu, matanya memandang pemergian kereta Aidid.
“Elisya!” sebut Firdaus kemudian tatkala terpandangkan gadis
yang berpurdah tadi di sebalik cermin sisi kereta.
“ABANG!” tegur Farah sambil melabuhkan duduk.
Firdaus yang sedang menatap laptop tersentak. Dihalakan mata ke wajah Farah di sisi. Senyuman
diberikan kepada adiknya.
“Abang buat apa?” tanya Farah sekadar ingin tahu.
“Tengah siapkan kerja. Kenapa?” balas Firdaus seraya
memandang Farah.
“Nak minta tolong dengan abang.”
“Tolong? Tolong apa?”
“Assignment Farah.
Lagi dua minggu due date.”
“Habis tu, kenapa tak siapkan?”
“Masalahnya abang, Farah tak kenal siapa-siapa yang terlibat
dalam bidang perniagaan.”
“Abangkan ada. Kenapa tak interview abang saja?” tanya Firdaus berkerut dahi.
“Memanglah abang terlibat dalam bidang perniagaan. Masalah
sekarang ni, Farah tak nak lelaki. Farah nak perempuan. Mana la Farah kenal
melainkan abang,” jelas Farah, mengeluh.
Firdaus mematikan tingkah laku daripada menaip. Dia memberi
sepenuh perhatian kepada Farah. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Abang ada tak kawan perempuan yang terlibat dengan business?” tanya Farah sambil membalas
tatapan Firdaus.
Firdaus masih lagi berfikir.
“Kalau tak ada, alamatnya Farah kena pilih tajuk lain la.
Dahlah susah tajuk-tajuk yang lain tu,” keluh Farah pula.
“Habis tu, abang nak tolong macam mana? Memang dah itu
tugasan Farah. Nak tak nak, kena la buat,” kata Firdaus sambil menggeleng
kepala.
Farah mengeluh untuk kesekian kali. Matanya menatap Firdaus
yang sedang menaip. Otaknya ligat berfikir. Mencari gerangan yang boleh
menyelesaikan masalahnya itu.
“Haa… Farah tahu siapa yang boleh tolong Farah,” suara
Farah.
Firdaus tersentak. Berkerut dahinya memandang Farah.
“Siapa?” tanya Firdaus kemudian.
“Kak Elisya!” sebut Farah bernada ceria.
Firdaus terkedu. Elisya! Sebut Firdaus dalam hati.
Serta-merta peristiwa siang tadi meniti di tubir mata.
“KAU ni kelakar betul. Sanggup kau buat
macam tu sebab kau tak nak Firdaus cam wajah kau,” tegur Dahlia sambil
menggeleng.
“Aku belum bersedia nak jumpa dengan dia,” ujar Elisya,
perlahan.
“Belum bersedia? Habis tu, bila masanya kau bersedia nak
bertemu dengan dia? Lepas sebulan? Enam bulan? Setahun atau tak bertemu
langsung?”
Elisya tidak membalas. Otaknya cuba menerima kata-kata
Dahlia.
“Kalau Allah mengkehendakkan kau orang berdua berjumpa,
walau pelbagai alasan sekali pun, kau tetap akan berjumpa dengan dia,” kata
Dahlia sekadar pendapat.
Elisya masih lagi membisu. Ada benarnya kata-kata Dahlia
itu. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanya.
“Aku rasa dia cari kau sebab dia nak tebus kesalahan dia
pada kau. Yalah, kau sendiri tahu macam mana layanan dia pada kau masa kau kat
kampung dulu. Aku yang dengar pun sakit hati inikan pula berdepan dengan dia,”
luah Dahlia akan ketidakpuasan di hati.
Sungguh, dia berasa marah dan geram terhadap Firdaus. Apa
yang didengari daripada mulut Elisya tidak dapat diterima. Entah sebab apa
Firdaus memarahi serta membenci Elisya. Adakah kesalahan Elisya itu besar bagi
Firdaus? Tetapi, kesalahan apa yang telah Elisya lakukan kepada pemuda itu?
Hati Dahlia tertanya sendiri.
“Aku tak salahkan dia, Lia. Perkara dah lepas. Buat apa kita
nak ungkit lagi?” tegur Elisya sambil menggeleng. Tidak mahu memikirkan
peristiwa lama. Kelak dia yang akan berasa sedih.
Dahlia menarik nafas lalu dilepaskan lembut. Wajah Elisya
ditatap buat seketika. Ada riak kesedihan di wajah itu. Adakah Elisya sedang
mengimbas semula kenangan lama?
“Aku minta maaf. Aku tak sepatutnya mengungkit kisah lama,”
kesal Dahlia seraya menarik tangan Elisya. Digenggam erat tangan Elisya.
Menyalurkan kasih dan sayang terhadap sahabat baiknya itu.
“It’s okey, Lia.
Aku tak ambil hati. Buat apa aku nak ambil hati pada orang yang dah berbudi
pada aku selama ini. Aku sepatutnya yang minta maaf pada kau sebab aku banyak
menyusahkan kau. Selama dua tahun kau berada di sisi aku. Aku bersalah kerana
menyusahkan kau,” terang Elisya bernada sebak.
“Sya, aku tak pernah mengharapkan balasan atas apa yang
telah aku lakukan pada kau selama ini. Kau sahabat aku dunia dan akhirat. Aku
sayangkan kau. Aku sanggup hadapi segala kesusahan bersama dengan kau,” balas
Dahlia turut sama sebak.
Selama ini dia tidak pernah mengungkit atas apa yang telah
dilakukan kepada Elisya. Dia ikhlas melakukannya. Hanya Elisya yang ada di
sisinya selepas kematian kedua-dua orang tuanya. Keluarga Elisya sudah dianggap
seperti keluarganya sendiri. Bersyukur kerana memiliki keluarga angkat seperti
keluarga Elisya.
“Terima kasih, Lia. Aku sayangkan kau seperti saudara kandung
aku sendiri,” jujur Elisya seraya mendakap tubuh Dahlia. Rasa terhutang budi
atas pengorbanan Dahlia.
Deringan telefon mematikan perbualan mereka berdua. Elisya
meleraikan pelukan lalu mencapai telefon bimbit dari atas meja. Nama Aidid
tertera di situ.
“Siapa?” tanya Dahlia ingin tahu.
“Aidid!” jawab Elisya, sepatah.
Dahlia tersenyum lalu mengangguk. Dia bingkas bangun dari
duduk dan beredar dari situ. Memberi ruang kepada Elisya untuk berbual bersama
dengan Aidid.
“Waalaikumussalam,” balas Elisya sebaik sahaja talian
bersambut.
“Eosk Aidid ambil Sya dalam pukul 8.30 pagi,” beritahu Aidid
sekadar mengingatkan.
Elisya yang mendengar ketawa kecil.
“Kenapa ketawa?” soal Aidid berkerut dahi.
“Berapa kali Aidid nak ingatkan Sya? Dari petang tadi sampai
ke malam, Aidid ingatkan Sya. Insya-Allah, Sya tak lupa,” terang Elisya masih
ketawa.
Aidid menggaru kepala yang tidak gatal. Entah kenapa dia
menelefon Elisya. Adakah dia sedang merindui gadis itu?
“Maafkan Aidid,” ujar Aidid kemudian.
“Tak apa. Terima kasih kerana mengingatkan Sya,” balas
Elisya lalu menggeleng kecil.
“Sebenarnya…. Sebenarnya….” Aidid termati kata-kata.
“Sebenarnya apa Aidid?” tanya Elisya tatkala menyedari
kepayahan Aidid untuk bersuara. Seperti ada perkara yang ingin diberitahu oleh
Aidid ketika ini.
“Sebenarnya Sya, Aidid….”
Aidid gugup. Rasa berdebar ketika ini. Entah sebab apa dia
berkeadaan begitu, dia sendiri tidak pasti. Adakah kerana Elisya?
“Aidid nak cakap apa?” tegur Elisya berserta nafas ringan.
“Tak ada apa. Esok kita jumpa,” balas Aidid mengeluh ringan.
Sungguh, dia tidak mempunyai kekuatan untuk berterus-terang.
“Insya-Allah. Kalau tak ada apa lagi, Sya nak letak phone. Dah mengantuk,” beritahu Elisya
sambil mengerling jam di dinding.
“Baiklah, selamat malam Sya. Maaf sebab ganggu,” ucap Aidid
lalu mematikan talian.
Elisya menggeleng. Entah perkara apa yang hendak
dibincangkan oleh Aidid itu. Adakah mengenai syarikat atau ada perkara lain?
“Kenapa aku perlu berjumpa dengan dia semula?”
Entah kenapa persoalan itu meniti di bibir Elisya. Adakah
ini yang dinamakan jodoh? Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.
“ABANG!” tegur Farah tatkala menyedari kebisuan
Firdaus.
“Haa… Apa dia Farah?” tanya Firdaus terpinga-pinga.
“Abang menungkan apa? Dari tadi Farah tanya abang tak jawab,”
tegur Farah tepat memandang wajah Firdaus. Seperti ada perkara yang mengganggu
abangnya itu.
Firdaus sekadar tersenyum. Perlukah dia bercerita tentang
Elisya kepada Farah? Persoalan di minda masih belum berjawab. Kenapa Elisya
menyamar ketika itu? Adakah Elisya tidak sudi untuk berjumpa dengannya? Ya
Allah, apa yang perlu aku lakukan ketika ini? Soal Firdaus dalam hati.
“Abang!”
Farah menegur buat kali yang kedua. Geram dengan sikap acuh
tak acuh Firdaus.
“Sorry, dik.
Fikiran abang serabut sekejap,” kesal Firdaus. Senyuman diberikan kepada
adiknya itu. Rasa kesal dengan tingkah lakunya itu.
“Abang tahu kat mana Kak Elisya bekerja?” tanya Farah ingin
tahu.
“Abang tak tahu,” jawab Firdaus sambil menggeleng.
“Habis tu, masa abang jumpa kat bookshop hari tu abang tak tanya Kak Elisya kat mana Kak Elisya
tinggal?”
“Tak sempat Farah. Kak Elisya dah pergi.”
Farah mengeluh ringan. Bagaimana untuk menyelesaikan
masalahnya itu?
“Habis tu, macam mana Farah nak siapkan assignment ni kalau tak jumpa dengan Kak Elisya?” soal Farah
berserta keluhan untuk kesekian kali.
Firdaus menghela nafas berat. Pertanyaan Farah dipandang
sepi. Dia juga tidak ada jawapan kepada pertanyaan Farah itu. Dia tidak tahu di
mana Elisya bekerja dan tinggal.
“Farah rindukan Kak Elisya,” adu Farah, perlahan lalu
menunduk.
“Abang pun….” Firdaus mematikan ayat.
“Abang pun rindukan Kak Elisya. Betul tak?” sambung Farah
pada ayat Firdaus tadi.
Firdaus mengangguk lemah. Tidak dinafikan dia turut merindui
Elisya. Tatkala mereka diberi peluang bertemu, ada saja halangan untuk mereka
berdua berbual. Mungkinkah Elisya tidak sudi untuk bertemu dengannya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan