“SELAMAT pagi, Kak Maziah,” tegur Nurin dengan
ramah. Dia melemparkan senyuman kepada Maziah.
“Selamat pagi Cik Nurin,” balas Maziah turut sama tersenyum.
“Kau ke mana, Nurin? Dari malam tadi lagi aku call tapi tak berangkat. Kau tahu tak
pagi ni kita ada meeting dengan client?” tegur Shida dengan tiba-tiba.
Dia mengekori Nurin masuk ke dalam bilik.
Nurin tidak membalas. Dia memandang wajah Shida yang beriak
bengang.
“Pasal rekaan Datin Hanum tu, kau dah siapkan ke belum? Dia call aku tanya pasal rekaan dia,” suara
Shida lagi.
“Yang kau kelam kabut sangat ni kenapa, Shida?” tanya Nurin
berserta gelengan di kepala. Dia melabuhkan duduk di kerusi.
“Mana aku tak kalut? Kau tu selalu buat hal,” balas Shida
berserta dengusan kasar.
“Cuba kau istighfar, Shida. Tarik nafas dan hembus. Relaks okey!” suruh Nurin masih
menggelengkan kepala. Dia ketawa kecil melihat tingkah laku Shida.
Shida duduk di kerusi. Wajah selamba Nurin dipandang.
“Aku dah siapkan rekaan datin tu. Kau janganlah risau,”
beritahu Nurin. Dia menarik fail dari sisi meja lalu diserahkan kepada Shida.
Shida membalas huluran. Dia membuka fail lalu menatap rekaan
yang telah direka oleh Nurin. Rasa kagum melihat rekaan-rekaan Nurin. Semakin
cantik dan berkualiti.
“So?” Nurin
bertanya.
“Puas hati?” sambung Nurin sambil mengangkat kening.
Shida menutup fail. Dia tersengih kepada Nurin.
“Menyampah!” cebik Nurin, meluat.
Shida melepaskan ketawa. Dia bangun dari duduk lalu
menghampiri Nurin. Tubuh kawannya itu didakap seketika.
“Thanks, Nurin.
Kau memang tak menghampakan aku,” ucap Shida berserta pelukan erat di tubuh
Nurin.
“Ish! Dah! Dah! Geli aku!” kata Nurin sambil menolak tubuh
Shida.
Shida ketawa. Dia kembali ke tempat duduknya.
“Kau ke mana semalam?” tanya Shida ingin tahu.
Nurin tidak membalas. Dia memandang ke wajah Shida.
“Aku call tak
angkat. Kau ada masalah ke?” Shida masih lagi bertanya. Dia turut membalas
pandangan Nurin.
Nurin masih membisu. Pertanyaan Shida dipandang sepi. Mungkin
nanti dia akan memberitahu Shida ke mana dia pergi pada malam tadi.
“SO?”
Shida bertanya. Dia memandang ke wajah
Nurin.
“So? Apa?” tanya
Nurin kurang faham.
“Yang kau ni bengap sangat dah kenapa?” Selamba Shida
mengutuk. Air minuman diteguk rakus.
“Cakap macam Bangla
memang la aku tak faham.” Nurin tidak mahu mengalah.
“Haish! Ini yang malas nak bercakap dengan kau ni. Buat-buat
bodoh,” bengang Shida berserta dengusan kasar. Tajam matanya ke riak selamba
Nurin.
Nurin yang melihat ketawa. Kelakar melihat wajah bengang
Shida.
“Aku serius Nurin,” tegur Shida, keras.
“Okey… okey… aku minta maaf.” Nurin mengalah. Gerun pula dia
melihat wajah bengang Shida.
Shida merengus kasar.
“Aku kerja part time
kat kedai burger,” ujar Nurin sebaik sahaja Shida tenang.
Buntang mata Shida mendengarnya. Kerja? Part time? Sebutnya dalam hati.
Nurin sekadar mengangguk. Itulah yang sebenarnya. Kenapa dia
tidak menjawab panggilan Shida malam tadi.
“Kau ni dah kenapa, Nurin? Tak cukup-cukup lagi ke dengan
gaji yang kau dapat setiap bulan tu?” Shida menggelengkan kepala tidak percaya.
Nurin menghentikan suapan nasi ke dalam mulut. Dia mencari
jawapan yang sesuai.
“Then, kau tak
penat ke? Siang malam kau bekerja.”
“Salahkah aku kerja part
time, Shida?”
“Tak salah. Tapi…” Shida mematikan ayat.
“Sekurang-kurangnya hati aku lebih tenang bila aku berada di
luar Shida.”
Shida menghentikan suapan. Wajah Nurin di hadapan dipandang.
“Mungkin aku akan berjumpa…”
“Sudahlah Nurin. Kau kan dah janji dengan aku yang kau tak
akan jejaki dia lagi,” pintas Shida, laju. Dia tahu apa yang hendak
diperkatakan oleh Nurin itu.
Nurin menguis-nguis nasi di dalam pinggan.
“Kau dah berjanji yang kau nak lupakan semuanya bila kau dah
berjaya. Kau dah lupa?”
“Aku tak pernah lupa Shida,” balas Nurin seraya mengangkat
wajah. Pandangannya tepat ke wajah Shida.
“So? Buat apa kau
nak mencari lagi?”
“Memang aku dah berjanji pada kau yang aku tak nak mencari
lagi. Aku cuma nak bersihkan nama aku saja Shida.”
“Kau nak bersihkan macam mana? Cuba kau beritahu pada aku,
Nurin.” Shida sedikit meninggi. Nurin masih tidak melupakan kisah lama.
“Aku akan terus mencari Shida, putus Nurin. Pandangan mereka
berdua berlaga.
Shida mendengus kasar. Dia menyambung menjamah makanan.
Tidak dihiraukan pandangan Nurin.
Nurin memandang tingkah laku Shida yang sedang makan. Nafas
ringan dilepaskan.
“Kalau kau ada masa malam nanti, kau datanglah ke gerai aku.
Depan 7 Eleven,” beritahu Nurin lalu menyambung suapan. Berharap Shida menerima
penjelasannya tadi.
“MACAM mana keadaan mak hari ni?” tanya Nurin
seraya memeluk tubuh Puan Noraishah. Sebuah ciuman diberikan kepada maknya itu.
Puan Noraishah tidak membalas. Dia mengesat pipinya yang
dicium oleh Nurin.
Nurin tersenyum tawar. Tindakan yang seringkali dilihatnya
selepas dia mencium pipi Puan Noraishah. Seolah-olah berasa jijik dengan
ciumannya tadi.
“Mak dah makan?” Nurin bertanya lagi. Wajah Puan Noraishah
ditatap kasih.
Puan Noraishah melarikan pandangan. Pertanyaan Nurin tidak
dijawab.
Nurin menghela nafas ringan. Dia menjatuhkan tubuh separas
Puan Noraishah.
“Kalau belum, Nur ada belikan makanan kegemaran mak. Nanti
Nur sediakan untuk mak,” suara Nurin lagi. Senyuman menghiasi bibir.
Puan Noraishah masih membisu. Tidak berniat untuk membalas.
“Mak ngah kirim salam pada mak,” beritahu Nurin. Sekadar
untuk berbual bersama dengan Puan Noraishah.
Puan Noraishah menoleh. Dia berkerut dahi.
“Mak ngah kirim salam pada mak.” Nurin mengulangi
kata-katanya sebentar tadi.
Puan Noraishah hanya mendengar. Entah kenapa terasa mulutnya
terkunci untuk bersuara. Peristiwa lama terimbas di fikiran.
“Nur sediakan makanan untuk mak sekejap,” ujar Nurin lalu
bangun dari duduk. Nafas ditarik lalu melepaskannya berat.
Puan Noraishah beriak tenang. Kata-kata Nurin seolah-olah
masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Perasaannya kosong. Kenangan lama
menggamit diri saat ini.
Nurin menatap wajah Puan Noraishah. Sampai bila Puan
Noraishah akan berkeadaan begitu? Pelbagai cara sudah dilakukan demi mengambil
hati Puan Noraishah. Namun, Puan Noraishah tidak ada tanda-tanda untuk menerima
kehadirannya.
Nurin melangkah keluar dari bilik. Dia menyandarkan tubuh ke
dinding lalu menyentuh dadanya yang terasa sebu.
“Ya Allah, cara apa lagi yang perlu aku lakukan demi untuk
mengembalikan senyuman di bibir ibuku?” bisik Nurin sendirian. Semoga suatu
hari nanti, dia dapat mengembalikan senyuman Puan Noraishah.
“AIR!” ujar Asrel seraya menghulurkan sebotol
mineral.
Nurin membalas huluran. Dia meneguk air mineral tersebut.
“Kau okey?” tanya Asrel sambil duduk di hadapan Nurin.
“Okey! Kenapa?” balas Nurin sebaik sahaja habis meneguk air
minuman.
“Muka kau tu aku tengok macam tak okey saja. Mak kau…” Asrel
mematikan ayat. Dia pasti Nurin faham dengan pertanyaannya itu.
Nurin menghela nafas ringan. Dia membuang pandang jauh ke
tengah jalan.
“Masih sama?” tanya Asrel ingin tahu.
“Selama-lamanya mak aku akan macam tu, Rel. Selama-lamanya
juga dia akan membenci dan menyalahkan aku atas apa yang terjadi dulu,” luah
Nurin dalam nada kecewa.
“Kau janganlah fikir macam tu, Nurin. Bagi masa pada mak
kau. Lambat laun nanti, mak kau akan sedar juga,” balas Asrel sekadar nasihat
buat Nurin. Dia memberi semangat kepada kawannya itu.
Bukannya dia tidak tahu kisah Nurin. Dia dan Nurin sekampung
dan bersekolah di sekolah yang sama. Mereka juga berkawan sejak dari kecil
lagi.
Selepas pertemuan mereka berdua semula, Nurin banyak
bercerita tentang kehidupannya selama ini. Tidak mustahil dia mengetahui
tentang hubungan Puan Noraishah dan Nurin.
“Masa? 5 tahun tu dah cukup lama, Rel.” Nurin berkata dalam
nada sinis.
Asrel tidak membalas. Dia memandang wajah muram Nurin.
“Aku dah puas mencuba, Rel. Aku tak tahu cara apa lagi yang
perlu aku buat untuk kembalikan mak aku,” adu Nurin dalam nada lemah.
Asrel tidak membalas. Dia memandang wajah Nurin yang beriak
kecewa.
“Aku seorang anak yang tak berguna Rel,” luah Nurin pula.
“Apa yang kau cakapkan ni, Nurin?” tegur Asrel kurang
senang.
Nurin mengeluh ringan. Dia meraup wajah.
“Semua yang berlaku pada kau pasti ada sebabnya.”
“Aku harap sangat semua yang berlaku sekadar mimpi saja,
Rel.”
Asrel tidak membalas. Wajah Nurin diperhati penuh minat.
“Apa lagi yang perlu aku buat, Rel?” Nurin bertanya. Dia
memandang ke wajah Asrel. Menanti jawapan daripada kawannya itu.
“Banyakkan berdoa pada Dia. Hanya Dia yang menentukan
semuanya,” kata Asrel bernada nasihat. Senyuman diberikan kepada Nurin.
“Aku balik dulu.” Nurin bangun dari duduk.
“Baiklah! Sampaikan salam aku pada Shida.” Asrel berpesan.
Dia memandang pemergian Nurin dari gerainya itu.
Nurin mengangguk. Dia beredar dari situ.
“Maaf! Tumpang tanya, boleh?” suara seseorang dengan
tiba-tiba.
Nurin terkejut lalu mematikan langkah. Dia memandang ke wajah
yang bersuara.
“Area sini ada stesen minyak ke?” tanya orang itu sambil
membalas pandangan.
Nurin tergamam. Pandangannya tepat ke wajah lelaki di
hadapannya itu.
“Afiq Aiman?” sebutnya, spontan.
dah bertembung...
BalasPadam