BAB
3
“Assalamualaikum
mak… mak sihat?” tanya Aisya dari hujung talian telefon.
“Waalaikumussalam,
mak sihat alhamdulillah. Aisya macam
mana? Kerja okey?” jawab Puan Suhaila
dengan suara yang agak keletihan.
Aisya menyedari akan perubahan suara
Puan Suhaila. Untuk tidak mengesyaki dan membimbangkan Puan Suhaila dengan
pertanyaannya nanti, dia hanya menjawab
sepintas lalu sahaja dan di selang-selikan dengan gelak tawanya. Sengaja
membuatkan Puan Suhaila gembira dan tidak terlalu risaukan akan keadaannya di
Kuala Lumpur.
“Insya-ALLAH mak, hujung bulan nanti
Aisya balik. Ada perkara apa yang mak nak bincangkan dengan Aisya?” suara Aisya
sambil mencapai segelas air di pantry.
“Mak bagitaunya lepas Aisya balik sini
nanti,” ujar Puan Suhaila bersungguh.
“Baiklah! Mak, Aisya ada kerja nak buat
ni, nanti Aisya telefon mak lagi ya.” Aisya mematikan talian telefon. Dia
segera menuju ke tempat duduk semula. Dilihatnya sepintas lalu ruang pejabat,
kosong kerana masing-masing sudah keluar makan tengahari di restoran-restoran
yang berhampiran. Dia terpaksa menolak ajakan Nurul dan Hisham untuk keluar
makan bersama kerana dia terpaksa mencatu nafsu makannya gara-gara keinginan
untuk memiliki sebuah laptop. Dia
harus membelinya kerana difikirkan perlu memandangkan kerja-kerja di pejabat
semakin menimbun dan memerlukan dia membawa pulang dan menyambungnya di rumah.
Walaupun baru seminggu dia bekerja di
Menara Holding, pekerja-pekerja di situ melayannya dengan peramah dan sama
rata. Tiada perbezaan di antara mereka di pejabat itu. Apa yang menjadi masalah
ialah layanan Tengku Hariz terhadapnya. Mungkin Tengku Hariz ingin membalas
dendam atas kejadian yang berlaku di restoran dahulu ataupun Tengku Hariz
sengaja untuk menyusahkan dia. Ah! Tak masuk dek akal kalau dia sengaja nak
cari pasal dengan aku. Pasal kejadian di restoran tu, bukannya dia yang malu,
aku yang malu sebab dia yang tolak aku sampai jatuh, pastu boleh pulak dia blah macam tu saja. Sakit betul hati aku
masa tu, Aisya bermonolog.
Peristiwa dia diperbodohkan pada hari
pertama menggamit ingatannya semula. Begitu mudah dia dipermain-mainkan dan
diperbodoh-bodohkan. Begitu mudah dia ditipu, hanya kerana dendam Tengku Hariz
terhadapnya. Ya, dendam dan mungkin juga benci. Tengku Hariz membencinya
disebabkan insiden pelanggaran di restoran dahulu. Dan disebabkan itu, Tengku
Hariz tidak putus-putus menyuruh melakukan kerja walaupun kerja itu diluar
bidang atau skop tugasnya. Mahu tak mahu, dia terpaksa akur kerana dia hanyalah
pekerja bawahan manakala Tengku Hariz adalah majikan. Namun dia tetap akan
sabar dalam menjadi rezeki yang halal. Biarlah dia menelan semuanya jika itu
dapat memuaskan hati Tengku Hariz. Selagi dia berdaya, selagi itulah dia akan
cuba bertahan sehinggalah dia berputus asa.
“Saya nak awak siapkannya hari ini
juga. Awak tak dibenarkan balik selagi fail ini tidak berada di atas meja saya.
Saya akan minta Encik Hamdan pantau awak hari ini, faham!” arah Tengku Hariz
dengan suara yang agak tinggi sambil melemparkan fail di hadapan Aisya. Seminit
kemudian kelibat Tengku Hariz hilang dari ruangan pejabat itu. Aisya yang masih
lagi dalam lamunan terpinga-pinga. Terpinga-pinga dengan arahan Tengku Hariz.
Terpinga-pinga dengan fail tersebut yang dia sendiri tidak tahu akan isi
kandungannya dan terpinga-pinga bagaimana dia hendak menyiapkannya.
Dia ingat aku ni apa, sesuka hati je
nak suruh aku siapkannya cepat. Apa dia ingat aku ni robot ke, semuanya nak
cepat. Kalau aku robot boleh la aku siapkan cepat, tapi aku ni manusia,
marahnya di dalam hati sambil membaca isi kandungan fail tersebut. Tapi kalau
robot mana ada hati kan! Mana boleh marah-marahkan! Guraunya sendirian sambil
tergelak kecil. Nurul yang terdengar ketawa kecil Aisya sewaktu melintasi meja
Aisya memberhentikan langkahnya. Dahinya berkerut melihatkan mulut Aisya
terkumat-kamit seperti sedang menyumpah seseorang.
“Kenapa ni?” soal Nurul dan berdiri
bersebelahan Aisya.
Aisya tersentak dan mengangkat mukanya
memandang Nurul.
“Bila akak masuk?” soalan berbalas
soalan.
Makin pelik Nurul melihat tingkah
Aisya.
“Tu ha… yang terkumat-kamit mulut tu
kenapa? Marahkan siapa? Menyumpahkan siapa?” jawab dan soal Nurul sambil
memandang tepat ke wajah Aisya.
“Oh, tadi ada orang gila kacau Aisya,
tu yang mulut ni tak henti-henti nak marah. Hisy!! Mulut ni berpada-padalah
sikit.” Selamba Aisya menuturkannya diikuti riak wajah yang selamba.
“Orang gila? Siapa Aisya? Jangan nak
main-main. Kena panggil doktor sakit jiwa ni, suh tangkap cepat,” gelabah Nurul
tidak senang mendengar cerita dari Aisya.
Aisya tersenyum nipis. Sepertinya Nurul
terlalu mudah untuk ditipu atau dibohongi.
“Boslah, siapa lagi. Kak Nurul jangan
lupa panggil doktor sakit jiwa suruh tangkap bos ya,” usik Aisya dan berlalu
pergi menuju ke bilik fail untuk mencari beberapa fail.
Nurul yang mendengar penjelasan selamba
Aisya mengerutkan dahi untuk yang keberapa ribu kalinya. Barulah dia menyedari
yang Aisya sedang mempermain-mainkannya. Dengan hati yang geram, dia menuju ke
tempatnya untuk menyambung kerja yang tertangguh sebelum rehat tadi.
Aisya tidak menyedari jam sudah pun
menghampiri ke angka tujuh malam. Kebanyakkan staf sudah mulai beransur pulang.
Hanya tinggal dia dan Encik Hamdan sahaja di pejabat. Dia masih lagi tekun
menyiapkan tugasannya sambil mengurut-urut kecil leher yang terasa sakit akibat
terlalu lama menunduk.
“Aisya, awak tak balik lagi?” tegur
Encik Hamdan apabila melalui hadapan mejanya.
“Belum Encik Hamdan. Saya nak siapkan
laporan ni sekejap,” jawab Aisya sambil jari jemarinya menekan papan kekunci
komputer menaip sesuatu.
“Aisya, dah pukul berapa ni? Awak boleh
sambung esokkan. Lagipun laporan tu bukannya penting sangat,” risau Encik
Hamdan apabila menyedari Aisya masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya.
Dia agak khuatir untuk meninggalkan Aisya keseorangan di pejabat itu
memandangkan hari sudah pun menerjah ke malam hari.
“Tak mengapalah Encik Hamdan. Tengku
dah arahkan saya supaya menyiapkan laporan ini sebelum saya balik. Sudah
menjadi tanggungjawab saya untuk mematuhi arahannya,” tegas Aisya sambil
meneruskan tingkah lakunya tanpa memandang sedikit pun ke arah Encik Hamdan.
“Kalau dah macam tu, baiklah. Saya nak
ingatkan awak agar berhati-hati apabila balik nanti. Saya minta diri dulu
Aisya,” nasihat Encik Hamdan dan kemudian itu kelibatnya hilang di sebalik
pintu utama.
Dalam masa Aisya khusyuk membuat kerja,
telefon bimbitnya berbunyi dengan tiba-tiba sekali gus memecahkan kesunyian di
dalam pejabat itu. Lantas Aisya mencapai telefon lalu menjawab panggilan
tersebut. Selepas 5 minit, dia kembali semula kepada kerjanya yang masih lagi
berbaki sedikit. Jika diikutkan hati selepas mendengar kenyataan Encik Hamdan
sebentar tadi, mahu sahaja dia terus pulang dan meninggalkan kerja tersebut
untuk disambung esok. Tetapi, siapalah dia untuk melawan mahupun membantah
kata-kata Tengku Hariz kerana di syarikat itulah dia mencari rezeki yang halal
untuk menampung segala perbelanjaan harian dan juga Puan Suhaila di kampung.
Alhamdulillah, siap juga akhirnya, syukurnya di dalam
hati. Dia melihat jam di tangan. Ya ALLAH!! Sudah hampir pukul 1 pagi, suaranya
sambil tangannya sibuk mengemas meja yang berselerak disebabkan fail-fail
syarikat. Dia terlalu khusyuk sehinggakan dia tidak menyedari masa begitu
pantas berlalu. Seingatnya tadi, selepas menunaikan Sholat Maghrib, dia terus
menyambung tugasnya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling dan juga waktu.
Matlamatnya ketika itu ialah menyiapkan tugasnya secepat mungkin.
Setelah meletakkan laporan tersebut di
atas meja Tengku Hariz, dia segera mencapai beg tangan lalu mengunci pintu
utama. Lif yang dinaiki pantas menjalankan tugas menuruni bangunan itu
setingkat demi setingkat. Setibanya di tingkat bawah, dia terlihat Mr. Raja, guard yang bertugas pada malam itu. Di
hampirinya orang tua itu lalu menegurnya.
“Eh, Cik Aisya, apa Cik Aisya buat kat
sini pagi-pagi buta ni?” soalnya yang kelihatan pelik melihat kelibat Aisya
sedang berdiri itu. Aisya hanya meleparkan senyuman yang manis kepadanya.
“Saya ada kerja yang perlu disiapkan Uncle. Ermm… Uncle sorang saja ke bertugas malam ni, mana Pak Mat?” Soal Aisya
pula sambil matanya meliar mencari kelibat Pak Mat. Walaupun baru seminggu
mengenali Mr. Raja dan Pak Mat, jelas terpancar akan kemesraan di antara mereka
bertiga.
“Pak Mat ari ni kurang sihat, jadi Uncle sorang saja bertugas malam ni. Cik
Aisya balik dengan siapa ni?” jawab dan soal Mr. Raja lagi sambil matanya
memerhati tingkah laku Aisya.
“Entahlah Uncle, kalau tak ada teksi, alamatnya saya tidur di sini sajalah,”
gurau Aisya sambil cuba mendail nombor telefon Nadia.
Mr. Raja mengerutkan dahinya
seolah-olah pelik dan kehairanan dengan jawapan Aisya. Melihat riak wajah
kehairanan Mr. Raja, Aisya dengan segera memberitahu Mr. Raja yang dia meminta
tolang rakan serumah untuk mengambilnya sebentar lagi. Mr. Raja mengangguk
faham. Hairan jika Aisya benar-benar memaksudkan kata-katanya tadi untuk tidur
di sini. Namun dia berasa kagum dengan keberanian dan kesungguhan Aisya
terhadap kerja yang diberikan oleh bos Aisya. Mana mungkin gadis sepertinya
begitu berani menyiapkan kerja sehingga larut malam begini. Mungkin dia ada
tali pinggang hitam Taekwondo ni.
Sebab itulah dia tak takut untuk pulang lewat begini, agaknya di dalam hati.
“Kau ni pun satulah Aisya, mana ada
orang siapkan kerja sampai pagi-pagi buta begini,” bebel Nadia sambil
membaringkan badannya di atas katil Aisya.
“Adalah!” jawab Aisya spontan. Nadia
terbangun dengan jawapan Aisya. Matanya dikecilkan. “Akulah, siapa lagi,”
sambung Aisya sambil ketawa mengejek Nadia.
“Kurang asam kau Aisya, kenakan aku
ya,” marah Nadia sambil melemparkan sebiji bantal ke arah Aisya. Aisya
menyambutnya berserta tawanya yang lagi kuat. Selepas itu, dia melangkah masuk
ke dalam bilik air untuk membersihkan badannya yang dari pagi tadi tidak
dibelai dan disirami dengan bau-bauan yang semerbak.
Nadia segera beredar ke biliknya akibat
keletihan dan mengantuk. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menyerang Tengku
Hariz di atas tindakan serta arahan yang diberikan ke atas Aisya. Sudahlah kes
langgar di restoran hari itu masih lagi belum selesai, ditambah pula dengan kes
Aisya menyiapkan kerja hingga ke pagi. Kedua-dua kes ini membuatkan hatinya
terbakar dengan insan yang bernama Tengku Hariz. Dan berita yang diterima
baru-baru ini menambahkan kebenciannya terhadap Tengku Hariz. Kes di mana Aisya
diperbodoh-bodohkan dan dipermain-mainkan oleh Tengku Hariz pada hari pertama
Aisya bekerja.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia
menampar lelaki itu. Mahu sahaja dia menyuruh lelaki itu meminta maaf dan
berlutut di hadapan Aisya. Menyesali akan perbuatannya terhadap Aisya. Namun,
apa yang menjadi hairan baginya, kenapa Aisya boleh berubah menjadi seorang
yang penakut? Dia teringat semula kisahnya di universiti tidak lama dahulu, di
mana Aisya pernah bergaduh dan bertumbuk dengan seorang senior gara-gara senior
itu mengejek dan memalukan dia di hadapan orang ramai hanya disebabkan salah
faham senior tersebut yang
mengandaikan dia memberi surat cinta kepada senior
tersebut. Masih terngiang-ngiang ayat yang Aisya semburkan kepada senior tersebut.
“Kau ingat muka kau tu handsome sangat ke? Kucing kat rumah aku
lagi handsome dan cutelah dari kau. Daripada aku suka kat
kau, ada baiknya aku suka kat kucing-kucing tu, dapat gak pahala daripada kau
buat tambah dosa saja,” kata Aisya dengan tegas dan meninggalkan senior itu terpinga-pinga dan malu
keseorangan.
Nadia tersenyum bangga dengan tindakan
Aisya terhadap senior itu. Terlalu
sombong dan berlagak bagus membuatkan ramai di antara pelajar-pelajar junior meluat dengannya. Bukan sahaja
budak-budak junior, malah ada juga
budak-budak senior yang tidak
menyenangi akan perangai senior tersebut.
Namun tidak dinafikan juga yang senior
itu mempunyai ramai peminat perempuan di universiti itu.
Bermula dari peristiwa itu, Aisya
mengalami pelbagai rintangan dan dugaan hidup yang dia sendiri tidak menduga
akan berlaku ke atas perjalanan hidup kawan baiknya itu. Bermula dari peristiwa
itu jugalah, Aisya yang dikenalinya dulu merupakan seorang yang nakal, periang
dan berani bertukar menjadi seorang yang pendiam dan penakut. Perubahan itu
amat menyeksakan perasaannya ketika itu. Dia cuba sedaya upaya untuk
mengembalikan Aisya yang asal, namun usahanya tidak berjaya. Titik-titik noda
yang tercalit dalam diari hidup Aisya benar-benar membuatkan dia amat
bersimpati ke atas Aisya dan dia tidak mahu melihat Aisya menitiskan air mata
lagi disebabkan seorang insan yang bernama ‘LELAKI’.
Best:) rupa2 nya aisya yg dulu lain :)
BalasPadamyup!! Aisya yg dlu berbeza dgn Aisya yg sekarang.. ;)
Padam