BAB
5
“Aisya!” panggil Puan Suhaila mematikan
lamunan Aisya tentang kejadian dua minggu yang lepas. Sekilas Aisya menoleh.
Puan Suhaila sudah pun menghenyakkan punggung duduk di sisi Aisya. “Macam mana
dengan keputusan Aisya? Mak tak paksa Aisya untuk terimanya. Tapi, kalau Aisya
dah ada pilihan lain, Aisya berhak untuk menolak lamaran keluarga Pak Long,”
sambung Puan Suhaila bersungguh-sungguh. Dalam hati, dia berharap agar Aisya
menerima lamaran Aidil Ahmad Bin Zakuan, anak abangnya itu.
“Mak, Aisya perlukan masa untuk
memikirkannya. Aisya harap mak hormati keputusan Aisya ini,” balas Aisya dan
segera bangun menuju ke bilik.
Puan Suhaila hanya memerhatikan langkah
Aisya hingga hilang dari pandangan mata. Bingkas dia bangun menuju ke dapur
untuk mengemas saki baki yang tertinggal.
“Mak, kak Aisya mana?” tanya Syikin
tiba-tiba membuatkan Puan Suhaila hampir melepaskan pinggan dari tangannya.
“Ish budak ni, bukannya tau nak bagi
salam ke apa, nasib baik tak jatuh pinggan ni dibuatnya,” bebel Puan Suhaila
sambil mengurut dada. Syikin sekadar tersengih. Kemudian dia meninggalkan Puan
Suhaila yang masih lagi membebel disebabkan perangainya sebentar tadi.
Syikin menuju ke bilik Aisya. Pintu
bilik diketuk dan dikuak perlahan-lahan apabila diarahkan berbuat begitu.
Kemudian dia duduk di birai katil sambil tersengih-sengih.
“Yang tersengih-sengih macam kerang tak
cukup rebus ni kenapa?” tanya Aisya bernada usikan. Hairan melihat Syikin
tersengih-sengih di birai katil.
“Tak ada apa. Saja aje nak berbual
dengan akak, tak boleh ke?” balas Syikin sambil bangun dan menghampiri Aisya
yang sedang berdiri di tepi tingkap. “Kak, Aidil tu kan handsome, macho, pandai, bijak dan lain-lain. Kenapa akak tak nak
terima lamaran keluarga Pak Long?” Syikin meletakkan tangannya di bahu Aisya.
“Kalau akak tak nak, biar Syikin sajalah yang kahwin dengan Aidil tu, boleh?”
Aisya tergelak besar mendengar pengakuan Syikin. Seakan tidak percaya dengan
apa yang didengarnya sebentar tadi. “Eh, orang betul-betul… akak gelak pulak,”
rajuk Syikin sambil melepaskan bahu Aisya.
“Betul ke ni? Sejak bila?” soal Aisya
inginkan kepastian.
Syikin tersenyum malu dengan pertanyaan
dari kakaknya itu.
“Okey,
kalau macam tu… Syikin pergilah bagitau kat mak yang Syikin nak kahwin
dengan Aidil tu, akak tak kisah,” cadang Aisya sambil menarik tangan Syikin
untuk berjumpa dengan Puan Suhaila di dapur. Namun, langkah Aisya seolah-olah
mati. Tidak sanggup untuk memusnahkan harapan Puan Suhaila yang menginginkan
dia berkahwin dengan Aidil Ahmad. Syikin kehairanan.
“Mak tak kisah Aisya, asalkan kita tak
malukan keluarga Pak Long,” sampuk Puan Suhaila dengan tiba-tiba. Aisya dan
Syikin serentak menoleh.
“Mak!” panggil Syikin inginkan
kepastian.
Puan Suhaila mengangguk. Syikin
menjerit kegembiraan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya ketika itu.
Syikin segera mendakap Puan Suhaila yang masih tercegat di muka pintu diikuti
dengan Aisya. Terima kasih mak kerana memahami Aisya, bisik hati kecil Aisya
sambil tersenyum memandang Syikin dan Puan Suhaila yang masih lagi berpelukan.
Benarlah apa yang diperkatakan oleh
Syikin kepada Aisya pagi tadi. Rupa-rupanya, Syikin dan Aidil sudah lama
memendam perasaan sejak pertemuan mereka di kenduri kahwin anak Mak Lang suatu
ketika dulu. Aidil seakan membantah apabila Pak Long ingin menjodohkannya
dengan Aisya. Aidil cuba menolak tetapi atas desakan Pak Long, dia terpaksa
akur menerima arahan tersebut. Namun, dia bersyukur kepada ALLAH kerana Aisya
menolak lamaran Pak Long dan diterima baik oleh Syikin. Kegembiraan jelas
terpancar di wajah Syikin selepas Mak Long menyarungkan sebentuk cincin di jari
manisnya menandakan dia sudah ditunangkan dengan Aidil. Terlihat Puan Suhaila
menitiskan air mata gembira dan syukur. Tidak terlepas juga dengan Syikin yang
sama-sama menitiskan air mata kegembiraan.
Syikin masih lagi berbual dan bergambar
bersama Aidil dan keluarga Pak Long. Diajak juga Aisya bergambar tetapi ditolak
lembut oleh Aisya untuk tidak bergambar bersama. Menyedari akan kesedihan di
wajah Aisya, Puan Suhaila menghampiri Aisya lalu memeluknya. Aisya membalas
pelukan Puan Suhaila sambil cuba untuk tidak menitiskan air mata. Dia tidak
mahu Puan Suhaila menyedari akan kesedihan yang dialaminya ketika ini.
“Kenapa ni nak?” tanya Puan Suhaila
apabila menyedari perubahan di wajah Aisya.
Aisya sekadar menggeleng. Masih jelas
di mata Aisya suatu ketika dulu sewaktu dia bernikah dengan Tengku Azizul. Dia
menangis, bukan menangis kegembiraan, tetapi menangis kerana arwah Ahmad Nordin
dan Puan Suhaila membuang dia jauh dari keluarga. Amat memilukan dan terkilan
di hati, apabila ayahnya rebah ke bumi ALLAH akibat serangan jantung dan
meninggal dunia di malam majlis pernikahannya. Hari yang sepatutnya diraikan
dengan gembira, bertukar sebaliknya. Kejadian yang dia sendiri tidak menduga
akan berlaku pada malam itu. Umpatan dan hinaan dari orang sekeliling,
menambahkan derita di hati. Perkahwinan yang sepatutnya menjadi kenangan manis
bagi setiap pasangan bertukar menjadi kenangan pahit dalam hidupnya.
Ya ALLAH! Kenapa aku masih
mengingatinya, sudah hampir enam tahun perkara itu berlaku. HambaMU ini memohon
ketenangan dan kedamaian di hati. Buangkanlah perasaan amarahku, buangkanlah
perasaan benciku dan buangkanlah perasaan geramku terhadap insan-insan yang
pernah menyakiti aku suatu masa dahulu. Aku redha dan ikhlas menerimanya. Ya
ALLAH! HambaMU ini memohon agar dijauhkan dengan hasutan iblis dan syaitan yang
senantiasa mencuba untuk menyesatkan umat-umatMU. HambaMU ini memohon agar
dipermudahkan segala urusan dan memohon kekuatan diri untuk menghadapi apa jua
cabaran dan dugaan yang KAU turunkan padaku. Sesungguhnya hanya padaMU jua
tempat aku memohon dan mengadu. Amin… Amin Ya Rabballalamin… doa Aisya ketika
dia mengerjakan Sholat Zohor.
“Apasal dengan you ni Tengku Hariz. Kalau you
tak happy keluar dengan I, buat apa
you berjanji nak keluar dengan I. Kalau macam ni sikap you, baik you hantarkan
I balik,” geram Sharifah Aleeya dan bingkas bangun untuk beredar dari situ.
Sakit hatinya melihatkan muka monyok
Tengku Hariz itu.
“Leeya!!” panggil Tengku Hariz apabila
tersedar Sharifah Aleeya sudah melangkah pergi meninggalkannya di situ
keseorangan. Seketika tadi dia termenung mengingatkan seseorang. “I’m sorry Leeya. I ada masalah sikit,”
jujur Tengku Hariz sambil menggenggam tangan Sharifah Aleeya.
“Masalah? Apa masalah you? You ingat I
percaya dengan kata-kata you ni… Tengku Hariz ada masalah. Huh!” ejek Sharifah
Aleeya dan melepaskan genggaman tangan Tengku Hariz.
Sharifah Aleeya segera masuk ke dalam
kereta dengan wajah yang kelat bercampur marah dan geram. Makan malam romantik
yang diimpikan sedari petang tadi, musnah begitu saja akibat sikap dingin
Tengku Hariz itu.
Tengku Hariz menumpukan sepenuh
perhatian terhadap pemanduan. Dia sudah malas untuk memujuk rayu Sharifah
Aleeya. Bagi Tengku Hariz, memujuk dan merayu akan menjatuhkan egonya sebagai
seorang lelaki. Dia juga perlu menjaga air muka dan maruah agar tidak mudah
dipijak-pijak oleh orang lain. Tetapi entah mengapa dia teringatkan Aisya
dengan tiba-tiba. Tindakan nekadnya mencium Aisya di hadapan Menara Holding
pada malam itu menggusarkan hati. Adakah dia bersalah terhadap Aisya kerana
memperlakukan Aisya sebegitu? Dia benar-benar dihimpit kekesalan dan rasa
bersalah terhadap Aisya. Ah!! Buat apa aku fikirkan dia. Bukan dapat duit pun,
getusnya di dalam hati. Tapi, kenapa aku buat dia macam tu? Apa salah dia pada
aku? Kata suara hatinya yang lagi satu memintanya untuk berfikiran secara
rasional.
“Hariz!” jerit Sharifah Aleeya
mematikan lamunannya. Dia menekan brek
secara tiba-tiba dan menyebabkan Sharifah Aleeya terdorong ke hadapan.
Rupa-rupanya Tengku Hariz nyaris melanggar sebuah kereta yang berhenti di
hadapan kerana lampu isyarat merah.
“Hey, you dah gila ke? Kalau you nak
mati, you mati sorang la… jangan nak libatkan I. I nak hidup lagi!” tengking
Sharifah Aleeya dan segera keluar dari perut kereta. 5 minit kemudian terlihat
sebuah teksi berhenti di hadapan Sharifah Aleeya untuk mengambilnya pulang.
“Shit!!” geram Tengku Hariz sambil tangannya
memukul stereng. “Kenapa aku fikirkan perempuan tak guna tu?” sambungnya dengan
nada yang marah bercampur geram. Dia menyambung semula perjalanan ke rumahnya
apabila lampu isyarat bertukar hijau.
Tengku Hariz menghumbankan badan ke
atas katil setibanya di bilik. Dia melihat jam di dinding, hampir ke angka 2
pagi. Dia mendail nombor telefon Sharifah Aleeya dan cuba untuk memujuk tetapi
talian sudah di matikan oleh Sharifah Aleeya sebelum sempat untuk dia bersuara.
Ah! Suka hati kau lah Aleeya, tak kuasa aku nak layan kau. Banyak benda lain
lagi aku nak fikir daripada fikirkan kau. Perempuan memang menyusahkan,
geramnya di dalam hati. Dia bingkas bangun mencapai tuala dan menuju ke bilik
air untuk membersihkan diri yang sudah melekit sejak dari pagi lagi.
Selesai mandi, Tengku Hariz mencapai laptop dan menyambung kerja yang
tertangguh petang tadi akibat desakan Sharifah Aleeya untuk makan malam
bersama. Dia perlu menyiapkan satu kertas kerja untuk dibentangkan di dalam
mesyuarat lembaga esok pagi. Kertas kerja yang menyenaraikan belanjawan projek,
kontraktor dan pembekal yang telah dilantik oleh Menara Holding bagi
menguruskan projek pasaraya di Perak. Walaupun projek pasaraya itu sudah
dipersetujui oleh Ahli Lembaga Berjaya Holding, dia perlu menyakinkan lagi
mereka semua dengan kertas kerja yang dibuatnya itu. Melalui kertas kerja
itulah dia akan dinilai dari segi keupayaan pengurusannya selama ini.
Kenapa dia tak datang? Dah dua minggu dia tak
datang ke pejabat selepas kejadian malam tu. Akukah yang bersalah? Aku telah memalukan
dia? Dia benar-benar maksudkan untuk berhenti kerja ke? Berlegar-legar
persoalan tersebut di kotak fikiran Tengku Hariz sehingga mematikan tumpuannya
terhadap kerja yang masih lagi berbaki. Aduh! Kenapa hati aku terasa rindu
padanya? Rindu melihat kepolosan wajahnya. Rindu mendengar suaranya yang sayup
bagaikan menggetar jiwa dan sanubariku. Rindu akan keharuman wangiannya, bisik
hati Tengku Hariz. Ah! Kenapa dia yang aku rindui. Sepatutnya aku gembira
kerana misi aku untuk membuatkan dia berhenti sudah berjaya, tepis Tengku Hariz
dengan tegas. Ego lelakinya mengatasi hati dan perasaan. Kemudian, dia
menyambung semula kerjanya sehinggalah dia terlelap di situ.
Aisya melontar pandangan ke luar
jendela. Fikiran melayang entah ke mana. Selama dua minggu dia berada di
kampung cuba mententeramkan jiwa dan perasaan yang bergelodak disebabkan Tengku
Hariz. Perbuatan Tengku Hariz menciumnya malam itu terlalu sukar untuk
dilupakan. Ciuman yang sepatutnya dikhaskan buat lelaki yang bakal dicintainya
telah dinodai oleh Tengku Hariz. Dia merasa jijik dan hina sekali pada waktu
itu. Perbuatan Tengku Hariz tidak mungkin akan dimaafkan. Dia punya harga diri
dan maruah. Dia bukanlah seorang yang mudah tergoda dengan rasukan syaitan
selagi dia masih berpegang kepada ajaran agama.
Aisya melepaskan keluhan. Kenapa
otaknya ligat memikirkan peristiwa itu? Kenapa ciuman Tengku Hariz membuatkan
naluri perempuannya bergetar? Kenapa ciuman Tengku Hariz membuatkan dia sukar
melelapkan mata setiap malam? Kenapa ciuman Tengku Hariz membahagiakan dirinya?
Apakah dia sudah jatuh cinta dengan Tengku Hariz? Adakah pintu hatinya yang
sudah lama tertutup akan terbuka semula? Jika tidak, kenapa wajah Tengku Hariz
sentiasa mengisi ruangan matanya selama dua minggu ini? Kenapa dia merindui
Tengku Hariz? Malah kerinduan itu semakin hari semakin mencengkam dirinya. Ah!
Kenapa dia yang perlu aku ingatkan? Aku benci dengan perasaan ini. Aku benci
dengan situasi sekarang ini, bentaknya.
“Woi makcik, bila kau balik?” sergah
Nadia mengejutkan Aisya yang sedang khusyuk melayan perasaan.
“Kush semangat! Terkejut aku dibuatnya.
Nasib baiklah aku tak ada sakit jantung, kalau tidak kat IJN dah aku sekarang
ni,” marah Aisya sambil mengurut dada. Matanya menjeling ke arah Nadia.
Nadia tersengih. Aisya di hadapan di
pandang kasih. Sukar untuk menafikan betapa sayangnya dia terhadap Aisya. Susah
senang sentiasa bersama. Segala pahit manis sudah tertulis dalam diari hidup
mereka berdua.
“Bila kau sampai?” tanya Nadia kepada
soalan yang sama. Bingkas dia duduk di birai katil mengadap Aisya yang masih
lagi membuang pandang ke luar jendela.
“Petang tadi,”
“So, bila Syikin kahwin?”
Berita pertunangan Syikin sudah
diberitahu oleh Aisya pagi tadi. Sungguh dia terkejut dengan berita itu. Aisya
yang dipinang, tetapi adiknya pula yang terima. Dah terbalik dunia ni kot,
bisik Nadia sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Aisya menghampiri katil dan duduk
bersebelahan Nadia. Wajah Nadia dipandang kasih. Betapa sayang dan kasih
terhadap Nadia.
“Kalau ikut perancangan mak aku,
diorang bertunang enam bulan aje. Kalau tak ada apa-apa, maybe dalam bulan Oktober ni mereka kahwin,” jawab Aisya sambil
membaringkan badan di atas katil. Matanya tertancap ke arah kipas yang sedang
ligat berputar seperti putaran hidupnya.
Nadia turut membaringkan badannya.
Entah mengapa perasaan kurang enak melihatkan wajah muram Aisya. Seperti ada
perkara yang sedang mengganggu fikiran Aisya di waktu ini.
“Aku nak berhenti Nadia. Aku dah tak
tahan nak kerja kat situ lagi. Setiap apa yang aku lakukan, serba tak kena di
mata dia. Dia berdendam dengan aku, Nadia.” Tanpa disuruh, Aisya meluahkan
perasaan yang telah lama terbuku di dalam hati.
Nadia terkejut mendengarnya. Dari
pembaringan, dia duduk bersila memandang Aisya. Benarkah apa yang diperkatakan
oleh Aisya sebentar tadi? Aisya nak berhenti! Tapi siapa ‘dia’ yang dimaksudkan
oleh Aisya? Adakah Tengku Hariz? Setahu Nadia hanya Tengku Hariz sahaja yang
selalu memberi masalah kepada Aisya.
“Aku tahu dia berdendam dengan aku
disebabkan insiden di restoran dahulu. Tapi, perkara tu dah lama, kenapa dia
masih nak mengungkit dengan menyakiti hati aku?” luah Aisya lagi. Kali ini dia
nekad dengan keputusannya. Dia tidak mahu hatinya terluka lagi disebabkan
dendam Tengku Hariz. Dia akan mengotakan katanya dengan berhenti kerja di
syarikat itu. Dan dia yakin, itulah yang dimahukan oleh Tengku Hariz selama
ini.
Segala teka-teki Nadia sudah terjawab.
Ternyata ‘dia’ yang dimaksudkan oleh Aisya adalah Tengku Hariz. Lelaki yang
telah menolak Aisya di restoran dahulu. Lelaki yang telah membuatkan Aisya
bekerja hingga ke lewat pagi. Lelaki yang telah memperbodohkan Aisya pada hari
pertama Aisya bekerja di Menara Holding. Lelaki yang telah mencium Aisya tanpa
kerelaan Aisya. Oppss!! Perkara sensitive.
Aisya tak perlu tahu tentang ini, bisik hati Nadia sambil tersenyum nakal.
Masih terbayang-bayang di ruangan mata perbuatan Tengku Hariz terhadap Aisya
pada malam itu.
“Yang kau tersenyum-senyum macam kerang
busuk ni kenapa?” tegur Aisya yang sudah pun duduk bersila di hadapan Nadia.
Sedari tadi dia melihat gelagat Nadia yang tersenyum-senyum nakal. Seperti ada
perkara nakal yang difikirkan oleh Nadia.
“Mana boleh bagitau kau. Esok, kau nak
aku hantarkan ke atau kau nak naik teksi?” dalih Nadia. Tidak mahu Aisya
bertanyakan kenapa dia tersenyum macam kerang busuk tadi.
“Erm… kau tolong hantarkan aku ajelah.
Jimat sikit duit aku esok,” balas Aisya dan tersengih.
“Okey,
no problem. Hujung bulan kau bayar lum
sum duit minyak kereta aku tu,” ujar Nadia dan segera turun dari katil. Dia
menapak keluar dari bilik Aisya menuju ke biliknya. Badan yang terasa penat
sedari pagi tadi minta direhatkan.
“Yes
boss!!” jerit
kecil Aisya sambil meletakkan tangan di kepala seperti askar yang memberi tabik
hormat kepada ketuanya.
Nadia menggelengkan kepala. Gelagat
Aisya mencuit hati. Hatinya gembira melihat perubahan Aisya. Moga Aisya akan
sentiasa ceria dan bahagia dengan kehidupannya sekarang, doa Nadia buat Aisya.
SAMBUNG LG...
BalasPadamX SBR TUNGGU TENGKU NI JATUH TERSUNGKUR..
terima kasih semua di atas komennya..
BalasPadamInsya-ALLAH bab terbaru akan diupload tak lama lg..
hope HM memberi kepuasan pada anda semua.. :)
sedih part ayah dia meninggal tu
BalasPadambtl tu.. dlm bab 15, semuanya ttg ayah Aisya..
BalasPadamcpt la up lod bab yg baru please...
BalasPadamerr.. bab baru?? HM dh ada di pasaran.. blh dptkan HM di kedai2 popular, MPH atau direct KN..
Padam