Khamis, 2 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 10


BAB 10

Liyana menapak keluar rumah dengan hati yang bercampur baur. Sudah bermacam-macam dia memikirkan alasan untuk menolak ajakan Harris, tetapi kesemuanya menemui jalan buntu. Jauh di sudut hati, dia tidak sampai hati untuk menolak pelawaan Harris mengajaknya keluar bersama pada hari ini. Mendengarkan rayuan Harris malam tadi, nak tak nak, dia terpaksa bersetuju dengan permintaan Harris itu. Ini bermakna, dia terpaksa meminta cuti daripada Marina atas alasan sakit perut. Rasa bersalah kerana membohongi Marina. Bukan disengajakan tetapi terpaksa, bisik Liyana.
Liyana melemparkan senyuman kepada Harris yang sedang menantinya di sisi kereta. Diperhatikan Harris dari atas ke bawah. Handsomenya dia, detik Liyana. Entah mengapa jantungnya berdegup dengan pantas. Seperti pelari Watson Nyambek berlari menuju ke garisan penamat dalam acara larian 100m. Dia mengusap lembut dadanya supaya reda. Namun matanya masih menjamah penampilan Harris.
“Lama tunggu?” tanya Liyana berbasa-basi.
“Tak adalah. Thanks sebab sudi keluar dengan Ris,” jawab Harris berserta senyuman di bibir.
“Kita nak ke mana?”
“Adalah, jom!” ajak Harris dan menarik tangan Liyana supaya masuk ke dalam kereta. Liyana sekadar akur tanpa membantah.
Kereta meluncur laju menuju ke Shah Alam. Sedari tadi, senyuman manis tidak lekang dari bibir Harris. Hajatnya untuk keluar bersama Liyana tercapai akhirnya. Sungguh dia tidak menyangka yang Liyana sudi untuk keluar bersamanya.
“Lia… kalau Ris bagitau sesuatu, boleh tak?” ujar Harris tiba-tiba.
Liyana membisu. Fikirannya sedang ligat memikirkan ke mana Harris ingin membawanya keluar. Hatinya berdegup kencang. Entah mengapa, dia sendiri tidak pasti. Hisy… kenapa laju aje jantung aku ni berdegup. Tapi, tak sekencang sewaktu aku dengan Amirul. Takkanlah dua-dua lelaki ni aku suka kot. Tak masuk dek akal aku yang waras ni. Mana boleh seorang perempuan jatuh cinta dengan dua orang lelaki. Aduh!! Apa yang perlu aku buat ni? Liyana bermonolog dengan dirinya sendiri.
“Lia… Lia…” panggil Harris sambil memegang tangan Liyana.
“Ha… apa dia?” tanya Liyana terpinga-pinga. Entah sudah berapa lama dia mengelamun, dia sendiri tidak pasti.
“Lia ni mengelamun ke?”
“Eh… mana ada. Tengah… tengah…” dalih Liyana dan tersengih. Kepala yang tidak gatal, digaru berkali-kali. “Ris cakap apa tadi?” tanya Liyana sekadar mengambil hati Harris.
“Erm… Ris ingat, nak bawa Lia jumpa dengan family Ris. Nak kenalkan Lia dengan papa Ris,” beritahu Harris berserta senyuman di bibir.
“Haaaa… jumpa family!!” ulang Liyana sedikit menjerit. Terkejut dengan kenyatan Harris itu. Mampus aku!! Macam mana ni? Takkan dia betul-betul suka kat aku kot, bisik Liyana.
“Untuk apa?” tanya Liyana setelah dirinya stabil.
Harris tergelak dengan pertanyaan Liyana. Dia menoleh sekilas ke arah Liyana yang masih beriak terkejut dan gelisah. Hatinya tercuit melihat tingkah Liyana.
“Saje nak kenal-kenalkan Lia dengan papa Ris,” balas Harris. “Boleh tak Lia?” sambung Harris lagi.
Liyana membuang pandang ke luar tingkap. Apa yang perlu dijawabkan dengan pertanyaan Harris itu. Hatinya masih lagi berteka-teki. Separuh hatinya menyukai Amirul dan separuh hatinya menyukai Harris. Bagaimana untuk merungkai teka-teki itu?
“Bila?” ujar Liyana. Ikutkan ajelah. Pergi jumpa, bukannya apa pun, bisik Liyana.
“Hujung minggu depan boleh? Family Ris ada buat majlis kecil-kecilan. Malam tu semua saudara mara Ris datang. Masa tu, bolehlah Ris kenalkan Lia dengan semua orang,” beritahu Harris. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya.
Gullpp!!
Liyana menelan liurnya berkali-kali. Kelat! Kenalkan aku dengan saudara mara dia? Waduh!! Gi mana sih? Mestilah Amirul ada masa tu. Diorang berduakan sepupu. Malah Tan Sri dan Puan Sri mesti ada juga dalam majlis tu. Apa aku nak buat ni? Monolog Liyana sendirian.
“Insya-ALLAH… kalau Lia tak ada urusan penting, Lia ikut Ris,” balas Liyana. Tawakal ajelah.
Thanks Lia,” ucap Harris berserta senyuman manis di bibir. Senyuman yang menggetarkan tangkai hati Liyana.
Harris memarkirkan kereta di petak yang baru di kosongkan. Setelah mematikan enjin, segera dia keluar dari perut kereta. Dia membukakan pintu buat Liyana. Pantas Liyana keluar dari perut kereta sambil matanya melilau melihat keadaan di kawasan itu. Mana pulak Harris ni bawa aku? Seram aje aku tengok tempatnya ni, bisik Liyana. Dia mengekori langkah Harris sambil otaknya ligat berfikir.
“Mari Lia,” ajak Harris sambil menghulurkan tangan kepada Liyana.
Liyana mengerutkan dahi. Tangan Harris di pandang penuh minat. Dengan perlahan, dia menyambut huluran tangan Harris. Terasa damai menggenggam tangan Harris. Tapi, tidak sedamai Amirul. Kata hatinya membidas lagi.
“Duduklah!” arah Harris sebaik sahaja mereka tiba di sebuah restoran.
Liyana sekadar menurut. Dia melabuhkan duduknya di atas kerusi yang tersedia di situ. Seminit kemudian Harris melabuhkan duduk berhadapan dengan Liyana. Matanya masih menjamah wajah Liyana. Rasa cintanya terhadap Liyana semakin menggedu. Malah rasa cinta itu tidak sana dengan rasa cintanya terhadap Azlin dahulu.
“Terima kasih,” ucap Liyana sebaik sahaja pelayan meletakkan hidangan di hadapan mereka. Harris terlebih awal memesan makanan buat mereka berdua, malah Harris juga sudah menempah tempat itu khas buat dirinya dan Liyana.
“Makanlah Lia. Makanan kat sini memang sedap. Malah restoran ni terkenal di seluruh Malaysia,” cerita Harris penuh yakin. Kemudian dia menghirup tembikai jus dari dalam gelas.
Liyana sekadar mengangguk. Dia menyudukan sedikit nasi ke dalam mulutnya.
“Sedap. Patutlah terkenal di seluruh Malaysia,” puji Liyana dan menyambung suapannya.
Mereka berdua menikmati makanan yang dihidangkan penuh nikmat. Sesekali Liyana membuang pandang melihat keadaan sekeliling di restoran itu. Sungguh tenang dan damai berada di situ. Terasa ingin membelai dirinya sendiri dengan suasana sebegitu. Terasa juga ingin melayani perasaan dan bermain dengan minda ketika itu. Jika diberi peluang, ingin saja dia menikmati keindahan tempat itu bersendirian tanpa gangguan dari sesiapa pun.
“Lia…” seru Harris tiba-tiba. Serentak Liyana menoleh. “Ris sukakan Lia. Ris sayangkan Lia. Sudi tak kiranya Lia jadi kekasih Ris,” luah Harris sambil menggenggam tangan Liyana.
Tersentak Liyana mendengar luahan cinta Harris itu. Matanya menjamah wajah kacak Harris. Jelas keikhlasan dan kejujuran di wajah itu.
“Ris… Lia…” gugup Liyana. Apa aku nak cakap ni? Perlukah aku menolak atau menerimanya. Bagaimana dengan Amirul?
“Tak apa. Ris bagi masa untuk Lia fikirkan. Ris tak paksa Lia untuk terima Ris. Apa yang Ris rasakan, Ris dah luahkan. Jika hati Lia bukan untuk Ris… Ris terimanya dengan ikhlas. Mungkin Ris bukan orang yang Lia cari selama ini,” tutur Harris panjang lebar.
Melihatkan riak di wajah Liyana, dia dapat mengagak isi hati Liyana. Dia tidak akan memaksa Liyana. Jika Liyana berperasaan sama dengannya, dia mengucap syukur. Dan jika Liyana tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya, dia akur dan redha menerimanya dengan hati yang ikhlas.
“Lia perlukan masa untuk fikirkannya. Lia….” Terhenti tatkala seseorang menegur Harris dari arah belakang.
“Kau buat apa kat sini?” tanya suara itu.
Liyana tersentak. Suara itu seakan dikenalinya. Lantas dia menoleh ke belakang untuk melihat gerangan empunya suara tersebut. Berderau darahnya tatkala melihat Amirul sedang berdiri di belakangnya. Di samping Amirul seorang perempuan cantik dan menawan.
“Kan aku bagitau kau yang aku ada date dengan Lia hari ni. Apa kau dah lupa ke?” jawab Harris.
“Oh… aku terlupa pulak yang kau date hari ini. Aku ingat esok date kau tu,” ujar Amirul berserta senyuman nipis. Matanya dihalakan ke muka Liyana.
Girlfriend you ke Ris?” tanya Shasha yang sedari tadi membisu. Matanya menjamah wajah Liyana.
“A’ah… girlfriend I, Liyana,” balas Harris. “Lia, kenalkan Shasha, girlfriend Amirul,” sambungnya lagi berserta senyuman di bibir. Senyuman penuh makna.
Tersentak Amirul mendengarnya. Girlfriend? Bila masa pulak Liyana menjadi girlfriend Harris? Hatinya tertanya-tanya. Terasa menyucuk ke tangkai hati dengan kenyataan Harris itu.
“Erk… bukan. Saya kawan sepejabat Harris. Harris gurau aje tu,” ujar Liyana cuba membetulkan kenyataan. Tidak mahu Shasha beranggapan yang bukan-bukan terhadapnya.
“Yalah Sha, I main-main aje. Lia ni bekas pembantu I. Tapi, sekarang dia pembantu Amirul,” sokong Harris turut membetulkan kenyataan. Jauh di sudut hati, dia kurang selesa dengan kenyataan Liyana sebentar tadi.
“Oh… I ingatkan girlfriend you tadi Ris. Terfikir jugak, takkanlah taste you dah berubah. Jauh berbeza dari Azlin dulu,” balas Shasha sinis.
Liyana di hadapan dipandang dari atas ke bawah. Gila ke Harris pilih perempuan macam ni. Tak ada taste betul. Tengoklah dressing dia, kekampungan, kutuk Shasha di dalam hati.
Amboi… sesedap mulut dia aje nak kutuk aku. Apa aku ni tak ada taste ke untuk dijadikan girlfriend. Daripada kau tu yang tak cukup kain aje aku tengoknya. Macamlah muka tu lawa sangat. Lawa sebab pakai mekap aje buat apa. Muka pun macam tak cukup acuan aje aku tengoknya. Erk.. tak cukup acuan? Eloklah tu, sama macam si beruang koala ni. Hish… mencemar kesucian hati aku dah ni. Tak pasal-pasal aku dapat dosa kering sebab kutuk dia ni. Liyana bermonolog sendirian.
“I dah lama lupakan Azlin. Dalam hati I hanya ada Liyana dan I akan jadikan Liyana suri dalam hati I,” beritahu Harris.
Cuba untuk menyangkal pespektif Shasha terhadap Liyana. Dia menggenggam erat tangan Liyana, cuba mententeramkan perasaan Liyana. Mungkin Liyana terasa akan kata-kata Shasha sebentar tadi, melihatkan perubahan di wajah Liyana itu.
“Oh… okey. I harap pilihan you kali ni betul dan tidak mengecewakan you seperti dulu,” balas Shasha seakan mengejek.
“Dahlah… jom Sha kita balik. I dah penatlah,” celah Amirul tiba-tiba.
Sedari tadi dia menjadi pendengar. Sakit hatinya mendengar komen dari Shasha itu. Matanya tidak lekang menjamah riak di wajah Liyana. Tenang, seakan-akan tidak terasa dengan apa yang diperkatakan oleh Shasha sebentar tadi. Malah hatinya terasa panas melihatkan genggaman erat tangan Harris di tangan Liyana.
Tanpa menunggu balasan, Amirul segera beredar dari situ. Lebih lama di situ, terasa sakit hatinya melihatkan kemesraan di antara Harris dan Liyana. Entah mengapa dia berperasaan sebegitu. Adakah dia mulai jatuh cinta pada Liyana? Adakah dia akan termakan dengan kata-katanya sendiri? Kata-kata yang pernah dihamburkan kepada Liyana tidak lama dulu. Kata-kata yang dia tidak akan tergoda dan terpikat pada Liyana. Ah!! Apa semua ni? Aku tak mengerti dengan perasaan aku ini, bisik hati Amirul.


“Maafkan Ris,” ujar Harris.
It’s okey. Lia tak ambil hati dengan kata-kata dia tu. Ris tak perlulah rasa serba salah,” balas Liyana.
Tidak mahu Harris terus-terusan rasa serba salah. Walaupun hatinya terasa dengan kata-kata Shasha sebentar tadi, namun diabaikannya begitu sahaja. Buat pening kepala aje kalau difikirkan tentang itu. Bukan berfaedah pun, fikir Liyana.
“Baiklah, kalau Lia dah putuskan begitu. Ris ucapkan terima kasih sebab Lia sudi keluar dengan Ris hari ni,” kata Harris perlahan. Cuba mengusir rasa bersalahnya terhadap Liyana.
“Sama-sama. Perkara kecil aje tu. Kalau bab makan free, Lia takkan tolak. Erk… lepas ni boleh tak Ris belanja Lia makan kat hotel five stars. Mesti sedapkan makan kat hotel. Lagipun Lia tak pernah rasa makan kat tempat-tempat class macam tu,” beritahu Liyana dan tersengih. Tidak mahu berfikir tentang Shasha lagi.
“Boleh… apa salahnya. Nanti kalau Lia rasa nak makan, Lia bagitau aje pada Ris bila… Ris bawakan,” balas Harris dan tersenyum.
“Insya-ALLAH… okeylah, Lia masuk dulu. Terima kasih Ris. Tentang perkara tu, nanti Lia fikirkannya,” ucap Liyana dan membuka pintu pagar rumah.
Kemudian dia menapak masuk ke dalam rumah dan membuka pintu rumah. Mujurlah Fazura tiada di rumah, jika tidak sudah pastilah dia akan disakat dan diejek oleh Fazura.
Harris segera masuk ke dalam perut kereta sebaik sahaja kelibat Liyana hilang. Hatinya berbunga riang. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Senyuman bahagia dan gembira. Semoga luahan hatinya diterima oleh Liyana. Tidak sabar untuk menunggu jawapan daripada Liyana. Dia juga berharap agar papanya bersetuju dengan cadangannya nanti. Tidak sabar rasanya di hati untuk memperkenalkan Liyana dengan papanya. Semoga apa yang dirangkanya ketika ini akan menjadi kenyataan.
Harris memarkirkan keretanya di anjung rumah. Segera dia keluar dari perut kereta. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Sungguh dia merasa gembira pada hari ini. Kenangan hari ini akan disimpan kemas dalam kotak fikirannya itu.
“Hai Ris… senyum aje papa tengok, ada perkara yang menggembirakan ke?” tegur Dato’ Hilman tiba-tiba. Lantas Harris menghalakan pandangannya ke arah Dato’ Hilman yang sedang menatap surat khabar di halaman rumah.
“Tak ada apa-apa papa. Ris rasa nak senyum, tu yang senyum. Papa tak keluar ke hari ni?” balas Harris dan melabuhkan duduk berhadapan dengan Dato’ Hilman.
“Malam nanti,” balas Dato’ Hilman. “Ris dah bagitau Pak Long tentang majlis minggu depan ni,” sambung Dato’ Hilman. Surat khabar di tangan sudah pun ditutup dan diletakkan di atas meja. Matanya menatap wajah anak tunggalnya itu.
“Dah papa. Pak Long kata dia ada perkara nak bagitau papa malam tu. Tentang perkahwinan Amirul,” beritahu Harris dan membuang pandang ke kolam ikan yang terletak tidak jauh dari mereka duduk.
“Amirul nak kahwin ke? Dengan siapa?” ujar Dato’ Hilman teruja. Berita itu amat mengejutkannya. Sebelum ini pernah juga dia mendengar ura-ura tentang perkahwinan Amirul, tetapi sekadar khabar angin saja.
“A’ah papa. Maybe dengan Shasha,” kata Harris. “Okeylah papa, Ris masuk dulu, nak berehat,” sambung Harris seraya bangun. Tanpa menunggu balasan Dato’ Hilman, Harris menapak masuk ke dalam rumah.
Dato’ Hilman sekadar mengangguk. Matanya sahaja mengekori langkah Harris. Seketika kemudian, dia mengeluh ringan. Selama ini hanya Dato’ Hilman tempat untuk Harris bermanja selepas kematian isteri tercinta. Kisah cinta Harris dengan Azlin memberi tekanan besar buat dirinya dahulu serta menggugatnya sebagai peranan seorang ayah. Mujurlah semangat serta iringan doa diberikan buat Harris ketika itu agar Harris bangun semula dari kekecewaan. Sungguh dia amat takut akan kehilangan Harris suatu ketika dulu. Rasa kecewa Harris membuatkan dirinya tidak senang duduk. Malah kemurungan Harris sedikit sebanyak menyebabkan dirinya seakan lumpuh separuh badan.
 Selama hampir setahun dia berusaha mengubati Harris. Dan alhamdulillah, usahanya itu berhasil berkat kesabaran dan doa dari dia dan juga Tan Sri Khalil sekeluarga. Tetapi, berbeza pada hari ini. Hari ini dia melihat anaknya itu tersenyum gembira. Seperti ada perkara yang telah membuatkan Harris segembira itu. Adakah Harris jatuh cinta semula? Atau ada seseorang yang telah membuatkan Harris segembira itu. Aku perlu siasatnya, bisik Dato’ Hilman.


Amirul menghempaskan badannya di atas katil. Rasa sakit hatinya sedari tadi masih lagi bersisa. Entah kenapa dia merasai kesakitan itu. Mungkin disebabkan Liyana. Ternyata Liyana tidak mengendahkan amarannya dahulu. Sengaja Liyana mencari pasal dengannya. Apa tidak cukup jelas lagikah amarannya dahulu? Adakah Liyana sengaja untuk menyakitkan hatinya? Huh!! Kenapa sakit sangat hati aku ni, bisik Amirul.
Amirul mencapai telefon bimbitnya. Dia mendail nombor telefon Liyana dan setia menanti panggilan disambut. Matanya tertancap ke siling bilik. Rasa sakit hatinya perlu diredakan  secepat mungkin. Jika tidak, sudah pastilah dia akan melepaskan rasa kemarahan itu terhadap benda atau orang lain. Dan Liyana yang akan menjadi mangsanya.
“Kenapa?” tanya Liyana kasar di hujung talian.
Tersentak Amirul mendengar suara kasar Liyana. Rasa sakit hatinya semakin menular ke dalam dirinya ketika itu.
“Kau boleh tanya aku kenapa? Kan aku dah bagi amaran pada kau, apa kau dah lupa ke?” balas Amirul kasar.
“Apa masalah Encik Amirul ni? Tetiba aje nak mengamuk,” bentak Liyana. Sakit hatinya mendengar suara kasar Amirul itu. “Kalau pasal saya keluar dengan Harris, itu tak ada kena-mengena dengan Encik Amirul. Itu hak saya untuk keluar dengan sesiapa pun,” sambung Liyana dan mendengus kasar.
“Kau bakal isteri aku dan aku ada hak untuk tahu dengan siapa kau keluar,” bidas Amirul pantas.
Ya ALLAH, apa masalah dia ni? Belum kahwin lagi dia dah buat macam ni, macam mana nanti bila dah kahwin. Ish… menyusahkan betullah mamat hingusan ni, marah Liyana di dalam hati.
Hello Encik Amirul, saya ni belum jadi isteri Encik Amirul. Entahkan jadi, entahkan tidak. Jangan nak berangan lebihlah Encik Amirul,” sindir Liyana dan segera mematikan talian. Jika tidak, entah apa lagi yang akan dihamburkan oleh Amirul terhadapnya.
“Lia… Liyana…” panggil Amirul.
Namun panggilan itu tidak bersahut kerana talian sudah dimatikan.
“Kau sengaja nak menguji kesabaran aku Liyana,” geram Amirul dan mengepal penumbuk. Bingkas dia bangun dan mencapai kunci kereta. Dia perlu berhadapan dengan Liyana. Dia perlu merungkaikan rasa sakit hatinya itu. Rasa sakit yang begitu menyesakkan nafasnya. Adakah dia sudah jatuh cinta pada Liyana? Langkahnya mati di situ tatkala persoalan itu menerjah ke dalam kotak fikirannya itu.



8 ulasan:

  1. hahahaha... luculah amirul nie...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. blm msk part romantik lg ni.. tp, mmg dia lucu n nakal mcm Liyana jg.. :D

      Padam
  2. tak sabar nak tunggu....siapakah pilihan liyana amirul atau harris....
    akak sambung cepat sikit eak...ramai pembaca nak akak sambung tiap2 hari n tiap2 hari saya bukak blog akak nak tau cite selanjutnya... terima kasih buat cite ni..besttttttt...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. terima kasih krn melawat blog akak.. update hr2??? kena pkrkan dlu.. :D

      Padam
  3. best...amirul jeles padan muka dia..hehehe...siapa pilihan liyana?? amirul atau harris??kalau harris ok jgk..hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. siapa plhn Liyana?? ermmm.. jwpnnya ada dlm bab seterusnya.. ;)

      Padam
  4. Very nice, tak sabar menanti kesinambungannya lah .... updatelah hari2 kalau boleh twice a day pun best .... i think pembaca yng lain will agree with me (to update daily) .. Fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. akn dpkrkan Aida.. thanks coz still melawat n membaca karya sy.. ;)

      Padam