Rabu, 9 November 2011

Hatimu Milikku - Bab 1


BAB 1

Hampir lima tahun Aisya meninggalkan Malaysia. Selepas perceraiannya dengan Tengku Azizul, dia menyambung pengajiannya yang tertangguh di luar negara di samping membawa hatinya yang terluka dan derita. Walaupun pada mula dia tidak dapat menerima hakikat perpisahannya dengan Tengku Azizul, namun dia redha dengan segala ketentuan ALLAH. Kini dia pulang ke Malaysia berbekalkan semangat yang baru. Matlamat utama dia ialah untuk berjaya dan memajukan dirinya sendiri. Dia ingin membalas ke semua jasa Puan Suhaila yang telah banyak berkorban dan memberi semangat kepadanya. Dia sentiasa mengingatkan dirinya sendiri agar tidak membuat perkara yang mungkar dan ditegah oleh ALLAH. Imannya masih kuat untuk menghalang segala godaan syaitan yang senantiasa menghasut umat Nabi Muhammad S.A.W.
Hakikatnya dia seorang perempuan yang berhati lembut, punya keinginan untuk bahagia. Masih adakah lagi sinar bahagia untuk dirinya? Pengalaman yang lepas benar-benar mengajar dia erti kehidupan yang sebenar. Dia mengimbau semula bagaimana dia boleh berkahwin dengan Tengku Azizul. Disebabkan perkahwinan itu jugalah, abahnya meninggal dunia akibat diserang sakit jantung. Dia pernah dibuang oleh Puan Suhaila, namun naluri ibu terlalu halus dan akhirnya Puan Suhaila dapat memaafkan kesalahannya walaupun pada dasar ianya bukanlah datang dari kesalahannya sendiri. Ah! Benda dah lepas, buat apa aku nak ingatkannya balik, getus hatinya sendiri.
“Kau dah dapat keje ke, Aisya?” tanya Nadia sambil membawa dua mug berisi milo panas ke ruang tamu. Kemudian itu, dia meletakkan mug tersebut di atas meja dan duduk bersebelahan Aisya.
Nadia, kawan baiknya ketika di universiti dulu. Segala kisah hidupnya diketahui Nadia dan hanya Nadialah tempat dia mengadu selama ini. Bermula dari kisah dia boleh berkahwin dengan Tengku Azizul jejaka idaman setiap wanita semasa di universiti dahulu, perceraian dan pemergiannya ke United Kingdom menyambung pengajian di sana, hanya Nadia yang tidak putus-putus serta jemu memberi semangat dan dorongan kepadanya supaya meneruskan kehidupan ini. Dia amat bersyukur dengan adanya Nadia di sisinya selama ini. Kadang-kadang hatinya tertanya-tanya, sama ada Nadia masih lagi rasa bersalah dengan apa yang terjadi lima tahun yang lepas.
“Woit makcik, aku tengah bercakap ngan kau ni, kau boleh termenung pulak,” geram Nadia sambil mencubit lengan Aisya. Aisya tersentak. Dia meraba-raba lengannya yang terasa perit akibat dicubit oleh Nadia.
“Kau ni Nadia, kalau tak cubit aku tak boleh ke, sakit tau,” marah Aisya.
“Ha, tau pun sakit. Yang kau termenung jauh tu kenapa? Kau teringatkan Tengku Azizul ya,” duga Nadia sambil mengambil mug berisi milo panas dari atas meja dan dihulurkan kepada Aisya. Aisya membalas huluran Nadia dan meneguk perlahan milo panas tersebut. “Aku tau Aisya, kau masih teringatkan Tengku Azizul kan?” soal Nadia lagi apabila melihatkan perubahan di wajah Aisya.
“Aku dah lama lupakan dia Nadia. Aku dah buang dia jauh-jauh dari ingatan aku. Kalau boleh aku tak nak jumpa dengan dia lagi,” jawab Aisya sambil meletakkan mug di atas meja semula. Dia membuang pandang ke arah padang permainan. Pagi yang begitu mendamaikan hati.
“Baguslah kalau macam tu. Lagipun buat apa kau nak ingatkan dia lagi. Dia pun dah ada kehidupan dia sendiri. Kau dengan kehidupan kau. Jadikanlah pengalaman lepas sebagai kenangan dan pembakar semangat kau untuk meneruskan kehidupan ini.” Bernas sungguh nasihat Nadia itu.
“Amboi… amboi… pandai betul kawan aku ni menasihati aku ya, yang kau tu pulak apa cerita, bila nak kawin?” soal Aisya pula kepada Nadia.
Hampir tersembur air yang diteguk oleh Nadia apabila Aisya bertanyakan soal kahwin. Dia tersengih. Kepalanya yang tidak gatal digaru. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan Aisya itu. Aisya menggelengkan kepala melihat gelagat Nadia. Nak mengelaklah tu, desis Aisya.
Suasana hening seketika. Hanya bunyi kicauan burung yang menemani mereka berdua pada pagi itu. Seusai Sholat Subuh tadi, Aisya meninjau almari pakaiannya. Mencari pakaian yang sesuai dipakaikan untuk menghadiri temuduga pagi nanti. Hatinya berdebar-debar kerana syarikat yang bakal menemuduganya nanti merupakan salah sebuah syarikat yang terkenal di Kuala Lumpur. Sudah pastilah dia perlu berketrampilan kemas dan menarik.
“Aku ada interview pagi ni. Kau boleh tolong hantarkan aku tak?” pinta Aisya memecahkan kebisuan antara mereka berdua.
“Interview? Kat mana pulak kali ni?” soal Nadia ingin tahu. Sebelum ini sudah dua kali Aisya menghadiri temuduga dan satu pun tidak berjaya. Mungkin belum rezeki Aisya untuk mendapat pekerjaan.
“Menara Holding. Boleh tak kau tolong hantarkan aku ke sana?” soal Aisya pula sambil mengenakan baju ke tubuhnya. Baju kebaya sutera bercorak bunga merah jambu menjadi pilihannya.
“Menara Holding?” ulang Nadia sedikit terkejut. “Wow! Company besar tu. Aku pun dulu ada jugak pasang angan nak kerja kat situ. Untung tau sesiapa yang dapat kerja kat situ,” sambung Nadia dalam nada yang teruja.
Aisya mencebik melihat tingkah Nadia. Tidak dinafikan dengan kata-kata Nadia. Memang beruntung sesiapa yang bekerja di syarikat itu. Selain menjadi salah sebuah syarikat terkenal di Kuala Lumpur, syarikat itu juga menawarkan pelbagai benefits kepada pekerja-pekerjanya.
“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki aku kat situ,” putus Aisya sambil membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Ermm… cantik dah ni. Aisya, you can do it! Aisya memberi semangat buat dirinya sendiri.


Aisya masih lagi menunggu di luar bilik. Terdapat beberapa orang lagi turut berada di sampingnya. Menunggu giliran untuk ditemuduga sama seperti dirinya. Sesekali dia mengerling ke arah bilik yang dijadikan tempat ditemuduga. Dia mengira masa bagi seseorang itu ditemuduga. Ada yang 10 minit, 15 minit, 20 minit dan juga 5 minit. Mungkin orang itu terlalu gabra dan takut menyebabkan tempoh masa temuduganya hanya 5 minit sahaja.
Seorang demi seorang dipanggil. Seorang demi seorang juga meninggalkan tempat itu. Hatinya berdegup dengan kencang. Tangannya terasa sejuk. Bukan disebabkan penghawa dingin yang sudah semestinya sejuk. Tetapi badannya yang menggigil kesejukkan menanti giliran untuk ditemuduga. Ya ALLAH, permudahkan urusanku ini, doanya di dalam hati.
Aisya melangkah masuk ke dalam bilik dengan penuh yakin selepas namanya dipanggil. Dia memberi salam kepada penemuduga. Dua orang lelaki berpakaian segak dan tampan. Seorang berkaca mata dalam lingkungan 40-an manakala seorang lagi bermata sepek dan berkumis, mungkin dalam lingkungan 30-an. Aisya melemparkan senyuman buat penemuduga di hadapannya itu.
Silakan duduk! arah Encik Hamdan sambil menyemak butiran di dalam borang permohonan yang diisi oleh Aisya. Aisya melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang tersedia berhadapan dengan Encik Hamdan. Dia menghulurkan fail sijilnya apabila diminta berbuat demikian.
“Sound good! Sebelum ini awak pernah bekerja?” soal Encik Karim pula. Aisya menjawab dengan lancar dan teratur.
Setelah hampir 20 minit berbual, Aisya segera keluar dari bilik temuduga. Dia menarik nafas lega dan bersyukur kepada ALLAH kerana dipermudahkan urusan temuduganya sebentar tadi. Kali ini dia yakin akan memperolehi jawatan tersebut. Seusai itu, dia segera menuju ke Restoran Seri Melayu yang terletak tidak jauh dari bangunan Menara Holding untuk menemui Nadia. Dengan hati yang gembira, dia melangkah laju ke restoran tersebut.


Aisya masih lagi setia menunggu Nadia. Namun, kelibat kawannya itu tidak juga muncul-muncul. Dia mengerling jam di tangan, hampir pukul 1.15 petang. Air yang dipesan sebentar tadi sudah habis di teguknya, lantas dia memanggil pelayan meminta untuk ditambahkan air. Ish!! Manalah Nadia ni, kang aku balik baru dia tahu. Dia ingat aku ni tak ada keje lain ke nak dibuat, marah Aisya di dalam hati. Hatinya sudah panas menunggu. Sebelum anginnya sampai ke otak dan mengamuk di situ, dia bingkas bangun untuk menuju ke kaunter bayaran.
“Woi… buta ke apa kau ni. Mata tu letak kat mana?” marah seseorang dengan tiba-tiba sekali gus mengejutkan seluruh penghuni di dalam restoran itu. Aisya turut sama terkejut. Matanya membulat melihat seseorang di hadapannya yang sedang mengelap-ngelap bajunya yang tertumpah air.
“Maaf, saya tak sengaja. Baju tu… biar saya gantikan dengan yang baru,” pohon Aisya sambil menghulurkan sehelai sapu tangan kepada lelaki tersebut namun tidak disambut oleh lelaki itu. Hisy!! Yang aku pergi offer belikan baju tu apa pasal, Aisya mengutuk dirinya sendiri.
“Maaf kepala hotak kau. Kau ingat boleh makan ke dengan maaf kau tu. Lagi satu, kau ingat baju aku ni murah ke yang kau boleh gantinya, beratus aku beli baju ni, kau tau tak!” tempelak lelaki tersebut. Tangannya tidak henti-henti mengelap kekotoran di baju.
Hai, ni sudah lebih. Dia ingat aku ni tak ada maruah ke, sesuka hati dia saja nak marah-marah aku depan orang ramai, marah Aisya di dalam hati. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia meluahkan kemarahannya itu kepada lelaki tersebut.
“Oh!! Really. Beratus-ratus!!” suara Aisya seolah-olah mengejek percakapan lelaki itu.
Tengku Hariz Iskandar Bin Tengku Azman mengangkat muka. Matanya berlaga dengan mata Aisya. Aisya membalas tenungan tajam Tengku Hariz dengan selambanya. Dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya dia dengan tenungan tajam lelaki itu.
“Hey pompuan, kau jangan nak kurang ajar ngan aku. Aku tampar karang,” menyinga Tengku Hariz seolah-olah maruahnya dipijak-pijak oleh Aisya di tambah pula dengan wajah selamba Aisya.
Aku yang kurang ajar atau dia yang kurang ajar, ngomel Aisya pula. Dia segera menoleh ke belakang untuk berlalu pergi meninggalkan Tengku Hariz. Dia fikir ada baiknya dia pergi, dari terus-terusan dihina atau dimaki oleh lelaki perasan bagus itu. Belum sempat dia mengatur langkah, lengannya sudah di tarik oleh Tengku Hariz membuatkan dia terdorong ke belakang.
“Kau nak pergi mana?” sergah Tengku Hariz.
Aisya tergamam dengan tindakan Tengku Hariz. Dia cuba menstabilkan badannya yang hampir terjatuh akibat ditarik dari belakang oleh Tengku Hariz.
“Saudara, daripada terus-terusan marah begini, ada baiknya saya pergi. Saudara bagi nombor telefon saudara, saya akan gantikan baju saudara tu dengan harga yang beribu, boleh!” nasihat Aisya berbaur sindiran. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya.
“Kurang ajar punya pompuan!” marah Tengku Hariz sambil menolak Aisya dengan kasar.
Aisya terjelepuk jatuh ke lantai. Tidak diduga akan diperlakukan sebegitu di hadapan orang ramai. Semua yang berada di restoran itu kini tertumpu ke arahnya. Sakit hati apabila dimalukan sebegitu. Matanya merenung tajam ke arah Tengku Hariz yang sudah pun berlalu pergi. Jelas kedengaran di gegendang telinganya gelak tawa Tengku Hariz. Seakan-akan mengejeknya dan amat menjengkelkan!
“Aisya!” jerit Nadia dari jauh. Dia segera menuju ke arah Aisya dan cuba membantu Aisya bangun. “Apa kes ni?” tanya Nadia inginkan kepastian daripada Aisya.
Sesampainya di muka pintu restoran, Nadia terdengar suara orang bertengkar tetapi dia kurang pasti siapakah gerangan suara tersebut. Apabila dia terlihat Aisya terjelepuk jatuh ke lantai, barulah dia sedar suara itu milik Aisya.
Nadia memimpin Aisya ke ladies room. Usai membersih dan memperkemaskan diri, dia menunggu Aisya yang masih lagi berada di dalam toilet. Dia mengetuk-ngetuk pintu toilet sambil memangil-manggil nama Aisya apabila menyedari Aisya berada agak lama di dalam toilet. Hisy!! Apasal Aisya ni, dari tadi tak buka-buka pintunya, risaunya di dalam hati. Lantas dia memanggil tukang cleaner untuk membantunya membuka pintu toilet tersebut.
“Kau buat aku cuak la Aisya. Asal kau lama sangat kat dalam ni?” soal Nadia setelah pintu dibuka. Dia menarik tangan Aisya supaya keluar dari dalam bilik tersebut. “Kenapa ni Aisya? Apa mamat tu dah buat ngan kau sampai kau jadi macam ni sekali?” soal Nadia. Geram melihatkan keadaan Aisya yang masih membisu.
“Aku…. aku…” terketar-ketar suara Aisya untuk meluahkannya. Badannya menggigil ketakutan. Berkerut-kerut dahi Nadia melihat Aisya seperti orang yang dalam ketakutan sahaja.
“Aisya, janganlah buat macam ni. Aku tahu aku salah. Aku minta maaf okey. Aku sepatutnya inform kau terlebih dahulu. Aku ada meeting tergempar tadi, that’s why la aku lambat, sorry ya,” terang Nadia sambil tangannya meramas-ramas tangan Aisya.
“Aku…’’ masih tersekat-sekat.
“Tak pelah Aisya, jom aku hantar kau balik.” Nadia memimpin Aisya menuju ke parking kereta. Tanpa membantah, Aisya mengekori Nadia dari belakang. Sebenarnya Aisya seorang yang cepat terkejut apabila disergah, ditengking mahupun dimarahi. Jadi tidak hairanlah jika dia menggigil ketakutan sebentar tadi.


“Tak guna punya pompuan, suka hati mak bapak dia aje nak langgar aku. Mata letak kat mana ntah, lutut apa,” geram Tengku Hariz sambil tangannya mencapai baju yang tergantung di dalam almari. Dia sentiasa menyediakan baju berlebihan di pejabatnya. Jawatan yang dipegang di Menara Holding memerlukannya sentiasa berketrampilan menarik dan segak.
Pintu biliknya di ketuk seseorang. Daun pintu ditolak setelah diberi arahan masuk. Terlihat Encik Hamdan selaku Pengurus Sumber Manusia melangkah menuju ke arahnya berserta fail-fail terkepit kemas di dada. Dengan arahan dia melabuhkan punggung ke kerusi yang tersedia di hadapan Tengku Hariz. Dia menarik nafas sebelum memulakan perbualan.
“Tengku, ini fail calon-calon yang memohon jawatan Project Executive syarikat kita. Tengku nak lihat dan pilihnya atau kami saja yang memilihnya?” tanya Encik Hamdan seraya menghulurkan fail-fail tersebut kepada Tengku Hariz. Tengku Hariz mencapai fail-fail tersebut dan sekali imbas saja melihatnya.
“Awak dan Encik Karim sajalah yang membuat keputusan sebabnya kamu berdua yang interview mereka semua. Saya yakin dengan pemilihan kamu berdua,’’ putus Tengku Hariz seolah-olah memberi sepenuh kepercayaan kepada Encik Hamdan dan juga Encik Karim.
“Kalau begitu, bila calon tersebut boleh mulakan kerja?”
“Hujung bulan ni, senang nak kira gaji. Okeylah Encik Hamdan, saya ada meeting di Berjaya Holding, apa-apa hal bagitau pada secretary saya. Thanks!” jelas Tengku Hariz dan terus beredar dari situ meninggalkan Encik Hamdan yang masih dalam keadaan terpinga-pinga.
Sebenarnya dia mempunyai banyak soalan yang hendak ditanyakan kepada Tengku Hariz berkenaan dengan calon yang telah dipilih olehnya dan Encik Karim, tetapi terpaksa di ketepikan dahulu. Dia yakin akan keputusan yang telah dibuat olehnya dan Encik Karim. Dalam perasaan yang sedikit lega, dia melangkah semula menuju ke pejabatnya.


Tengku Hariz melangkah keluar dari bilik mesyuarat dengan wajah yang ceria. Dia berjaya menyakinkan Ahli Lembaga akan proposalnya untuk membuka sebuah pasaraya di Perak dan di jangka memperolehi keuntungan yang lebih dalam jangka masa lima tahun. Pada mulanya dia tidak begitu yakin, tetapi setelah diberi semangat dan kekuatan oleh Tengku Azman, maka dia yakin untuk membentangkan proposalnya di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Berjaya Holding.
“Tahniah Tengku Hariz, I yakin you boleh berjaya. I suka tengok semangat bekerja you, seperti I masa muda-muda dulu,” ucap Tan Sri Mohamad seraya berjabat tangan dengan Tengku Hariz. Tengku Hariz membalas salaman Tan Sri Mohamad berserta senyuman yang masih terukir di bibir. 
“Anak siapa kalau bukan anak I Tan Sri,” celah Tengku Azman mematikan perbualan mereka berdua.
Tengku Azman menghampiri Tengku Hariz dan bahu anaknya itu di pegang erat dan dipeluk. Tengku Hariz membiarkan sahaja malah dia membalas pelukan papanya dengan sebuah senyuman terukir di wajah kacaknya itu.
“Ya, I know.. anak you. Tapi, I betul-betul bangga dengan anak you Azman. Kalau I ada anak perempuan, dah lama I jodohkan dia dengan anak you ni,” balas Tan Sri Mohamad disahut dengan gelak tawanya. Tengku Azman juga turut tertawa dengan gurauan Tan Sri Mohamad itu, manakala Tengku Hariz hanya membatu dan tersenyum kelat.
“Papa… Tan Sri… maaf. Hariz minta diri dulu, ada urusan lain yang perlu dibuat,” pinta Tengku Hariz dan menunggu respon dari Tengku Azman dan Tan Sri Mohamad.
Tan Sri Mohamad dan Tengku Azman sekadar menggangguk. Mengizinkan Tengku Hariz beredar dari situ.
Tengku Hariz melangkah laju menuju ke kereta. Dia hampir terlupa akan temu janjinya dengan Sharifah Aleeya. Alamak!! Macam mana aku boleh terlupa ni? Merajuklah nanti dia tu, bebelnya di dalam hati sambil memandu kereta menuju ke Mid Valley Megamall.
Selepas memarkirkan kereta, dia segera menuju ke restoran yang menjadi tempat temu janjinya itu. Hampir setengah jam dia terlewat dan dia yakin yang Sharifah Aleeya sudah kembali ke pejabatnya semula. Untuk menyedapkan hati sendiri, dia memaksa diri ke Mid Valley Megamall untuk memastikan sama ada Sharifah Aleeya masih berada di situ ataupun sudah pulang ke pejabat. Matanya melilau melihat sekeliling restoran. Setelah memastikan ketiadaan Sharifah Aleeya, dia menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit untuk menghubungi Sharifah Aleeya.
“Ha, kenapa?” sergah Sharifah Aleeya sebaik sahaja talian telefon disambung. Tengku Hariz mengurut dada. Terkejut dengan sergahan Sharifah Aleeya.
“You kat mana?” soal Tengku Hariz lembut sebaik sahaja dia menenangkan hatinya. Dia cuba berlembut dengan Sharifah Aleeya. Berharap agar kemarahan Sharifah Aleeya semakin reda.
“Eh Hariz, kalau you tak jadi datang, you bagitau I awal-awal, tak adalah I tercongok macam orang bodoh kat situ,” marah Sharifah Aleeya. Ternyata kemarahannya terhadap Tengku Hariz masih belum reda. Tengku Hariz menarik nafas dalam lalu melepaskannya perlahan.
Sorry Leeya, I ada mesyuarat kat Berjaya Holding tadi. I lupa nak bagitau you sebab I kejar masa dan hampir terlewat menghadiri mesyuarat. I janji lepas ni I takkan mungkir janji lagi,” jelas Tengku Hariz cuba berdiplomasi dengan Sharifah Aleeya. Dia juga membuat janji jika itu dapat melegakan hati Sharifah Aleeya.
Sharifah Aleeya mendengus geram. Janji yang dibuat tidak memberi kesan terhadapnya. Selama ini Tengku Hariz banyak membatalkan temujanji mereka.
“Sudahlah Hariz. Simpan saja maaf you tu. Lelaki seego you ni sanggup minta maaf dengan I. Hampir tak percaya I dibuatnya. Dahlah, malas I nak layan you. I banyak kerja nak buat,” tukas Sharifah Aleeya dan bersedia untuk mematikan talian telefon.
“Aleeya… dengar dulu.” jerit Tengku Hariz dari hujung talian. Berharap Sharifah Aleeya tidak mematikan talian telefon.
Pappp!!
Sharifah Aleeya menghempas gagang telefon pejabatnya. Hatinya sakit kerana temujanji yang dijanjikan tidak menjadi. Dia mengambil fail di hadapan lalu dibacanya sepintas lalu. Oh!! Banyak kau punya maaf. Bukan sekali kau buat macam ni, dah banyak kali Tengku Hariz, geramnya di dalam hati sambil memintal-mintal rambutnya yang ikal mayang.
Sharifah Aleeya akui semenjak Tengku Hariz memegang jawatan Pengarah Urusan di Menara Holding, masa  untuk mereka bersama amat terbatas. Siang malam Tengku Hariz sibuk dengan kerjanya. Bila ada peluang bersama, Tengku Hariz pula yang buat hal. Selalu lewat datang ke tempat yang dijanjikan dan kadang-kadang itu di batal oleh Tengku Hariz gara-gara kerjanya. Dia naik bosan dengan sikap serta layanan Tengku Hariz terhadapnya. Jika bukan kerana papanya menyuruh dia berkawan rapat dengan Tengku Hariz, mati hidup semula pun dia tidak akan berkawan dengan lelaki seego Tengku Hariz.


Ah!! Perempuan semuanya sama saja. Mengada-ngada aje yang lebih. Acting aje lebih, padahal tak ada apa-apa pun, getus Tengku Hariz di dalam hati. Makin lama dia berasa bosan dengan sikap Sharifah Aleeya yang mengada-ngada minta dipujuk. Banyak benda lagi yang perlu difikirkan selain daripada sikap Sharifah Aleeya yang mengada-ngada. Jika bukan disebabkan Tengku Azman meminta dia berkawan dengan Sharifah Aleeya, tidak ingin dia menjerumuskan diri kepada perkara yang tidak menguntungkan padanya tetapi menguntungkan Tengku Azman.
Tengku Azman mempunyai agenda untuk menjodohkan dia dengan Sharifah Aleeya Binti Syed Mukriz. Jika agenda itu berjaya, Berjaya Holding dan Mukriz Holding akan digabungkan menjadi satu. Segala keuntungan syarikat akan dikongsi bersama dan kesemua projek akan diberikan kepada Berjaya Holding di samping Menara Holding juga turut sama mendapat habuannya.           
Namun Tengku Azman tidak memahami kehendak lelaki dan juga isi hatinya. Dia inginkan seorang perempuan yang boleh dijadikan ‘isteri’ dan bukannya dijadikan ‘bini’. Dia tidak mahu kisah hidup abangnya turut terkena tempias dalam hidupnya. Abangnya menderita disebabkan mengahwini seorang ‘bini’ dan bukannya ‘isteri’. Bininya curang, mata duitan dan mempunyai skandal dengan lelaki lain. Akibat dari itu, abangnya membawa diri dengan menyambung pelajaran dan bekerja di luar negara. Sehingga sekarang, abangnya masih tidak mahu untuk pulang ke Malaysia walaupun puas dipujuk oleh papa dan mamanya. Adakah aku akan jadi seperti dia atau aku akan mendapat apa yang aku carikan selama ini, keluhnya di dalam hati. Namun dia memanjatkan doa kesyukuran kepada ALLAH di atas apa yang diperolehinya sekarang dan juga kehidupan abangnya yang sudah semakin pulih dari merana selepas bertemu dengan Tengku Hanis Suraya Binti Tengku Razlan tiga tahun yang lalu. Semoga abang bahagia. Riz sentiasa doakan kebahagiaan abang, doanya di dalam hati pilu.
Tengku Hariz menghumbankan diri ke atas katil. Selepas temujanji dengan Sharifah Aleeya dibatalkan, dia segera memandu pulang ke rumah dari Mid Valley Megamall. Badannya yang terasa penat, minta direhatkan. Otaknya yang asyik berfikir minta dihentikan. Entah mengapa kotak fikirannya mengingati peristiwa di restoran tadi. Peristiwa yang tidak mungkin akan dilupakan dari dalam kamus hidupnya. Bagaimana seorang perempuan cuba mempertikaikan harga baju kemeja yang dipakai olehnya? Bagaimana seorang perempuan boleh mengejek dan menjatuhkan maruahnya di hadapan orang ramai?
“Ah, tak guna punya pompuan. Kalau aku jumpa dengannya lagi, nahas aku kerjakan,” dengus Tengku Hariz. Tangannya di kepalkan seperti penumbuk.
Tengku Hariz mendengus keras. Matanya tertancap ke arah siling berwarna putih di dalam bilik. Sesekali dia mengerling ke arah jam di dinding. Masih terlalu awal untuk dia tidur. Lantas dia mencapai tuala dan menuju ke bilik air. Dia hampir terlupa untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Sesibuk mana pun, tanggungjawabnya sebagai umat Islam tidak akan dilupakan. Baginya cukuplah sekadar menunaikan lima waktu sehari semalam asalkan dia tidak lupa akan tanggungjawabnya itu. Semoga pintu hatinya terbuka untuk berubah.


“Nah!” suara Nadia sambil menghulurkan mug berisi milo panas kepada Aisya. Aisya mencapainya dan meneguk perlahan milo panas itu. “Kau okey ke?” soal Nadia dan duduk bersebelahan Aisya. Aisya sekadar mengangguk. “Kurang ajar betul mamat tu. Sanggup dia tolak kau semata-mata kerana kau pertikaikan harga baju kemeja dia,” kutuk Nadia pula. Tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan terhadap Aisya.
“Dah la Nadia. Aku tak nak ingatnya lagi,” putus Aisya. Hatinya sakit apabila mengingati peristiwa tengahari tadi. Semata-mata kerana harga baju, dia ditolak dan dikasari di hadapan orang ramai.
Nadia mendengus geram. Aisya terlalu berlembut dalam memutuskan sesuatu perkara. Jika melibatkan maruah, kenapa Aisya perlu beralah dan menerimanya dengan hati yang terbuka? Mana Aisya yang dikenalinya dahulu? Seorang yang degil, lincah, ceria dan keras kepala. Dan kini yang berada di hadapan, hanyalah Aisya yang menyerah segala-galanya pada takdir.
“Kau terlalu berlembut Aisya. Kau tak boleh macam tu. Kau kena lawan balik dengan apa yang orang dah buat kat kau,” nasihat Nadia lembut. Aisya di hadapan di pandang kasih.
Aisya menghela nafas panjang. Kalau boleh dia malas nak mengungkit peristiwa yang sudah berlaku. Tiada guna untuk mengingatinya jika ianya akan menyakitkan hati dan membuatkan dia jadi tidak tenteram.
“Aku masuk dululah!” pinta Aisya seraya bangun dari duduk dan melangkah jalan menuju ke bilik. Jika berlama di situ, lebih panas telinganya mendengar bebelan Nadia. Ada baiknya dia masuk ke dalam bilik dan berehat.
Nadia sekadar memerhati. Ekor matanya sahaja mengekori langkah Aisya sehingga masuk ke dalam bilik. Sampai bila Aisya? Sampai bila kau nak terima semua itu sebagai takdir kau? Bisik hati kecil Nadia. Tanpa memikirkan apa-apa, dia mengatur langkah menuju ke biliknya pula.
Aisya membuang pandang ke luar jendela. Entah mengapa fikirannya asyik memikirkan peristiwa tengahari tadi. Wajah lelaki itu bermain-main di ruangan mata. Dia benci dengan keadaan itu. Dia benci dengan perasaannya kini. Kenapa hatinya berdegup kencang tatkala mengingati wajah lelaki itu? Kenapa perasaannya berlainan dari sebelum ini? Ah! Apa semua ini, hatinya menjerit.
Aisya membaringkan badannya di atas katil. Cuba untuk melelapkan mata. Berharap dapat mengusir resah dan gelisah di dalam hati. Dia tidak mahu memikirkan tentang itu lagi. Dia tidak mahu mengingati wajah itu lagi. Wajah yang mengingatkan dia kepada masa lampaunya. Wajah yang mengingatkan dia kepada seseorang. Tengku Azizul! Ya, Tengku Azizul. Wajah itu mirip dengan Tengku Azizul. Disebabkan wajah itulah, hatinya menjadi tidak keruan. Masih jelas terbayang akan wajah itu.
“Tidak! Aku perlu usir wajah itu dari hidupku,” bentak hatinya. Dia memaksa dirinya untuk tidur. Semoga tidurnya akan lena seperti malam-malam sebelum ini.


12 ulasan:

  1. la..hariz adik azizul ka..

    BalasPadam
  2. thanks shuhada.. jgn lupa follower HM n blog BKHM.. ;)

    BalasPadam
  3. Best cite ni kak... ape jadi sbnarnya pd azizul ngn aisya ni ek?

    BalasPadam
  4. Wild Cherry... thanks.. bab seterusnya akn ceritakan segala-galanya.. enjoy reading!!

    BalasPadam
  5. fahrin dan awal?kenapa tak letak scha je jadi aisya?eh...ayu tak suka...

    BalasPadam
    Balasan
    1. i suka fazura jadi aisya dan aqasha jadi tg hariz so sweet couple dlm bicara cinta.

      Padam
    2. erm.. watak2 tu sekadar khayalan aje.. klu ada y x berkenan, sy minta maaf.. apa2 pn thanks coz still membaca HM.. ;)

      Padam
    3. itu cume imaginasi pembace n peminat2 terawal novel ni.. pada Cik Tanpa Name, cik ade hak tuk nak imaginasi kan sesiape pun tuk watak2 dalm novel.. semua pembace ade hak masing2..huhuhu

      Padam
    4. hehe.. btl tu Nadieyya, just imaginasi aje.. ;)

      Padam
  6. Mmmm tambah menarik ceritanya :)

    BalasPadam