Isnin, 1 September 2014

Calon Suami Buat Novelis - Bab 3






QAIRA memandang langit malam. Sinaran bulan menerangi ruang gelap. Tampak cantik dan indah. Angin malam menyapa tubuh. Tenang. Otaknya sedang ligat mencari ilham sambil jari jemarinya menekan papan kekunci. Laju jemarinya menaip kisah yang sedang dicipta.
Senyuman terukir di bibir dengan tiba-tiba ketika menaip bahagian yang romantik. Alangkah indahnya jika apa yang dicoretnya selama ini adalah dirinya sendiri. Pasti dia tidak perlu memikirkan soal jodoh. Soal lelaki. Sudah tentu jodoh telah ditetapkan. Pasti hero bertemu dengan heroinnya walau dugaan datang melanda.
Namun semua itu tidak mungkin berlaku dalam hidupnya. Kisah itu hanyalah rekaan semata-mata. Seperti kisah yang dicoret oleh penulis-penulis lain. Terkadang dia menginginkan kisah sebegitu dan dia berharap kisah itu akan berlaku dalam hidupnya.
“Tak mungkin aku akan dapat lelaki seperti Hafizi. Seorang yang romantik, caring dalam tegas dan cool. Mustahil aku akan dapat seperti Aeril. Seorang suami yang penyabar, soleh dan tegas dalam kelembutan,” bicara Qaira sendirian.
Keluhan ringan terlepas dari bibir. Dia menongkat dagu di hadapan laptop. Memikirkan jalan cerita yang seterusnya untuk novel terbaharunya itu.
“Takkan nak macam Zahrin. Cerewet, pemarah, perengus dan segala macam perangai nakal. Tapi, dia romantik dan pelindung.”
Qaira masih lagi berfikir. Satu persatu nama-nama hero ciptaannya meniti di minda. Mencari kelebihan dan kekurangan pada setiap hero-heronya itu.
“Mamat tu?” ujar Qaira kemudian.
Wajah pemuda yang memperlekehkannya siang tadi meniti di tubir mata. Rasa geram mendengar kata-kata pemuda itu. Ikutkan hatinya yang panas, mahu dihempuk pemuda itu. Siapa sebenarnya pemuda itu? Adakah dia orang kanan Haji Saiful?
“Huh! Ingat dia bagus sangat ke? Selamba badak aje nak kritik aku,” geram Qaira.
Jemarinya laju menekan huruf. Serta-merta dia mendapat idea untuk menulis.
“Aku nak masukkan mamat tu dalam cerita aku ni. Watak antagonis!” sebut Qaira sambil ketawa nakal.
Laju jemarinya menaip. Rasa mudah untuk meneruskan penulisan sebaik sahaja mendapat ilham.

‘Kenapa jantung aku berdegup kencang tatkala melihat wajah pemuda itu? Adakah pemuda itu lelaki yang aku cari selama ini?’

“Err… apasal pulak aku taip macam tu?” soal Qaira sendirian.

‘Emilia mengimbas semula kata-kata yang pernah diucap di hadapan Haris. Jika seorang lelaki dapat membuat jantungnya berdegup laju, lelaki itu merupakan calon atau jodoh untuk dirinya. Adakah pemuda itu calon yang dicari selama ini?’

“Siapa pemuda tu?” soal Lija tiba-tiba.
Qaira terkejut dan berhenti menaip. Dia menoleh ke belakang buat seketika.
“Siapa pemuda yang dah berjaya buat jantung cik penulis kita ni berdegup kencang?” soal Lija lagi sambil melabuhkan duduk.
“Bila masa pulak jantung aku?” soal Qaira pula bernada serius.
“Bukan jantung kau ke?”
“Bukan!”
“Habis tu, siapa yang kritik kau siang tadi?”
Qaira membisu. Bagaimana Lija tahu tentang itu? Adakah melalui Ainul?
Handsome tak?”
“Ainul beritahu kau, kan?”
Well! Tak ada rahsia antara kami berdua.”
“Ainul ni memang nak kena. Tak boleh simpan rahsia betul.”
Handsome tak?” ulang Lija pada pertanyaannya tadi.
“Huh! Mulut macam puaka,” balas Qaira mendengus kasar.
Lija yang mendengar ketawa kecil. Wajah tegang Qaira ditatap mesra.
“Janganlah aku jumpa dengan mamat tu lagi.”
“Kalau jumpa?”
“Tak mungkin. Lelaki macam tu tak boleh dijadikan suami.”
“Hai, belum apa-apa lagi dah up calon suami. Kenal pun belum lagi kan?”
Qaira terkedu. Ternyata dia tersalah berbicara.
“Berapa peratus dah siap?” tanya Lija berminat.
Matanya tertancap ke skrin laptop. Satu persatu bait-bait kata di situ dibaca dan cuba untuk difahami. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali Qaira menulis, dia yang menjadi tukang baca. Mencari salah silap serta logik dan tak logik pada kisah Qaira.
“Ibu ada call kau tak?”
“Ibu? Tak ada. Kenapa?”
“Yalah, lepas kes kau lari dari blind date tu.”
Qaira ketawa kecil. Ingatannya mengimbas semula pertemuan itu.
“Aku ada cadangan macam mana kau nak jumpa dengan calon suami kau tu.”
“Cadangan? Apa dia?”
“Nanti aku beritahu pada kau. Sekarang ni aku rasa lapar. Apa kata kita keluar pergi cari makanan. Nak tak?”
“Pulak dah!”
“Kau nak tahu tak cadangan aku tu?” soal Lija sekadar menduga.
Qaira berfikir sejenak. Kemudian, dia mengangguk tanda setuju.
“Haaa.. macam tu la. Lepas kita cari makanan dan perut aku dah kenyang, aku beritahu pada kau cadangan aku tu. So, deal?” kata Lija penuh yakin.
“Yalah… yalah. Kau tu kadang-kadang bukannya betul. Sekarang cakap macam ni. Lepas melantak, satu pun kau tak ingat,” kutuk Qaira selamba.
Lija hanya tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru. Sejak dari semalam dia memikirkan cadangan itu. Berharap Qaira menerima cadangannya nanti.


WHAT? Mama kau dah carikan jodoh untuk kau?” tanya Hadif Ashraf lalu ketawa.
Ikhwan tidak membalas. Wajah ketawa Hadif ditatap seketika.
“Zaman sekarang kita sendiri yang cari jodoh. Bukan mak bapak kita. Kuno dan kolot!” sambung Hadif masih ketawa.
Ikhwan masih membisu. Kata-kata Hadif meniti di minda.
“Kita ada hak dalam tentukan siapa jodoh kita. Bukan mak bapak kita,” tegas Hadif.
“Kadang-kala calon mak bapak kita adalah yang terbaik untuk diri kita, Dif,” suara Ikhwan. Air minuman diteguk perlahan.
“Terbaik kau kata? Cuba kau tengok kawan kita, Azhar. Dia kahwin atas pilihan mak bapak dia. At the end, bercerai. Tak serasi. Perempuan ada masalah.”
“Mungkin jodoh mereka takat tu aje, Dif.”
“Aku tak setuju dengan jodoh pilihan mak bapak ni. Kalau boleh, biar aku sendiri yang cari. Aku kenal dan bercinta.”
“Orang tua-tua kata, bercinta lepas kahwin kan membawa bahagia ditambah dengan restu keluarga.”
“Pemikiran kolot! Aku tetap tak percaya!” tegas Hadif.
Ikhwan hanya menggeleng. Sejak dari dulu lagi Hadif akan membidas jika melibatkan soal jodoh. Dia tidak percayakan jodoh yang dirancang oleh keluarga. Mungkin disebabkan kisah kakak kandung Hadif, Hazleen membuatkan Hadif berfikiran begitu.
Hazleen berkahwin atas tiket keluarga. Tetapi perkahwinan Hazleen hanya bertahan selama sebulan. Ini kerana suami Hazleen sudah mempunyai kekasih hati sebelum mereka berkahwin. Disebabkan itu, Hazleen membawa diri ke suatu tempat yang tidak diketahui oleh Hadif sekeluarga. Alasan untuk merawat kelukaan di hati.
“Walau apa pun alasannya, aku tetap tak suka dan tak percaya dengan jodoh keluarga. Kau sendiri tahu kan apa yang terjadi pada Hazleen. Sampai ke hari ini aku tak dapat nak maafkan ayah aku. Disebabkan keputusan ayah aku buatkan kakak aku jadi macam tu.”
Ikhwan menghela nafas ringan. Diperhatikan riak di wajah Hadif.
“Kalau ayah tak paksa Kak Leen kahwin dengan malaun tu, Kak Leen takkan bawa diri sampai ke hari ni. Aku takkan kehilangan kakak. Aku tak ada sesiapa melainkan Kak Leen. Pada siapa lagi aku nak mengadu kalau bukan Kak Leen?” luah Hadif bernada sebak.
“Aku faham Dif. Aku faham perasaan kau. Tapi kau kena terima semua tu sebagai ketentuan Allah. Dah tertulis yang perjalanan hidup Hazleen begitu. Bukan salah ayah kau. Bukan salah sesiapa. Allah dah tetapkan semua tu terjadi. Terima seikhlas hati. Ayah kau buat macam tu sebab dia tahu mana yang baik untuk anak-anak dia,” nasihat Ikhwan panjang lebar. Berharap Hadif mendengar kata-kata nasihatnya itu.
Hadif tidak membalas. Air minuman dipandang dengan pandangan kosong.
“Kau ada cuba contact Hazleen?” tanya Ikhwan sekadar ingin tahu.
“Aku cuba tanya kawan-kawan dia. Dia orang semua tak tahu di mana dia berada sekarang,” jawab Hadif menunduk.
“Tak apa la Dif. Insya-Allah suatu hari nanti, kau akan berjumpa dengan Hazleen. Dia memerlukan ruang untuk memperbaiki diri dan menerima ketentuan Allah.”
Hadif mengangguk perlahan. Ada benarnya kata-kata Ikhwan. Jauh di sudut hati, dia tetap mengharapkan Hazleen pulang ke pangkuan mereka. Berdoa agar Hazleen dilindungi dan dirahmati Allah.
“Hai!” tegur Qaira tiba-tiba.
Tersentak Hadif dan Ikhwan buat seketika. Masing-masing menghalakan mata ke wajah Qaira. Kenapa dengan gadis itu? Malah pegangan di lengan membuatkan Hadif berkerut dahi.
“Kau…”
“Syhhh!!!” suruh Qaira.
Dia menudukkan muka tatkala seorang pemuda menghampiri meja itu. Berdoa agar dihalang pandangan pemuda tersebut.
Ikhwan dan Hadif berkerut dahi. Mata mereka memandang ke arah seorang pemuda yang berada tidak jauh dari meja mereka. Apa yang berlaku ketika ini?
“Ada lagi tak?” soal Qaira berbisik masih menunduk.
“Apa yang ada?” soal Hadif pula.
“Mamat tu!” balas Qaira.
Hadif memandang sekeliling restoran. Matanya mencari kelibat mamat yang dimaksudkan oleh Qaira.
“Dah pergi cik,” ujar Ikhwan.
Qaira yang mendengar segera mengangkat muka. Melilau matanya melihat sekeliling restoran. Mencari kelibat Fadzil.
“Fuh! Lega!” ucap Qaira kemudian.
Hadif menarik kasar lengannya dari pegangan Qaira. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Dibetulkan t-shirt yang sedikit terangkat.
“Kenapa ni cik?” tanya Ikhwan berminat.
“Saya kena kejar dengan mamat gila,” jawab Qaira selamba.
“Mamat gila?” ulang Ikhwan berkerut dahi.
“Dari tadi mamat tu  kejar saya. Kawan saya pun hilang entah ke mana.”
“Dia yang gila atau kau yang gila?” sampuk Hadif sinis.
Qaira menoleh. Matanya tepat ke wajah Hadif.
“Dif!” tegur Ikhwan kurang senang.
“Aku tak rasa mamat tu kejar tanpa sebab. Mesti ada benda yang minah ni buat kat mamat tu. Kalau tak, takkan mamat tu kejar dia,” jelas Hadif sambil berpeluk tubuh.
“Mungkin betul apa yang cik ni cakap. Kau sendiri tengok macam mana tingkah laku mamat tu tadi.” Ikhwan bersuara. Gelengan kecil diberikan kepada Hadif.
“Kau ni mudah sangat percaya pada orang. Entah-entah minah ni memang gila. Tak pun mamat tu tadi pegawai dari hospital sakit jiwa. Nak tangkap minah ni. Pesakit gila melarikan diri daripada tahanan.” Selamba Hadif berkata.
Bulat mata Qaira mendengarnya. Tajam matanya ke riak selamba Hadif. Ikutkan hati, mahu disekeh mamat bermulut celupar itu.
“Hadif, kenapa cakap macam tu?” Ikhwan menegur buat kali yang kedua. Kurang senang dengan kata-kata Hadif.
Qaira hanya mendengar. Tanpa menunggu, dia bangun dan beredar dari situ. Dikepalkan tangan sambil cuba menahan kemarahan di hati.
“Haishh!!! Sakit hati aku ni,” marah Qaira mendengus kasar.


“AIR!” ujar Lija. Secawan milo panas dihulurkan kepada Qaira.
Qaira membalas huluran. Air minuman diteguk perlahan.
“Nasib baik kau tak ada apa-apa. Kalau tidak…”
Lija mematikan ayat. Pasti Qaira memahami maksud kata-katanya itu. Disebabkan kehadiran Fadzil tiba-tiba, mereka bertindak melarikan diri. Fadzil merupakan salah seorang calon suami Qaira. Disebabkan penolakan Qaira, Fadzil bertindak kasar dengan memaksa gadis itu. Hampir Qaira terjatuh akibat paksaan Fadzil.
Maka dari itu mereka berdua melarikan diri dan terpisah. Dia menanti Qaira di parkir kereta manakala Qaira menyembunyikan diri. Mereka berjumpa semula selepas beberapa minit berlalu. Syukurlah tidak ada apa-apa yang berlaku kepada Qaira.
“Cuak aku tadi kau tahu tak.”
“Kau ingat kau seorang aje ke? Aku pun cuak kau tahu tak.”
“Aku tak sangka perkara ni boleh jadi sampai macam ni sekali. Disebabkan penolakan aku, Fadzil bertindak macam tu.”
Lija tidak menjawab. Otaknya dikerah berfikir.
“Macam mana dengan lelaki-lelaki lain yang pernah aku tolak? Dia orang pun nak balas dendam pada aku ke?” soal Qaira bernada khuatir.
“Kau janganlah fikir yang bukan-bukan. Mungkin Fadzil buat macam tu sebab dia tak boleh nak terima penolakan kau. Kau kan tahu Fadzil tu sukakan kau.”
“Bukan aku yang nak sangat berkenalan dengan dia orang tu semua. Ibu aku yang pandai-pandai nak kenenkan aku dengan dia orang.”
“Insya-Allah, tak ada apa-apa. Kau janganlah risau.”
Qaira tidak membalas.
“Lagipun, dari dulu lagi Fadzil tu suka kat kau. Mungkin dia tak boleh nak terima penolakan kau.”
“Aku tahu dia dah lama suka kat aku. Aku pernah beritahu pada dia yang aku perlukan masa untuk berfikir. Tapi, dia tak boleh nak terima jawapan aku.”
Lija mengangguk faham. Bukannya dia tidak kenal dengan Fadzil. Pemuda itu seuniversiti dengan mereka berdua.
“Aku harap perkara ni tak berlaku lagi. Aku juga berharap, lelaki-lelaki lain tak seperti Fadzil,” ujar Qaira penuh harapan.
“Insya-Allah, mudah-mudahan,” balas Lija tersenyum.
Qaira menghela nafas ringan. Peristiwa yang berlaku tadi masih meniti di minda. Seminit kemudian, wajah pemuda yang bermulut celepur menyapa mata.
“Huh! Mamat tu!” rengus Qaira keras.
“Mamat? Mamat mana?” soal Lija berkerut dahi.
“Mamat yang aku tumpang menyorok kat dia tadi. Memang mulut longkang betul.”
Lija cuba mengimbas kata-kata Qaira.
“Ada ke dia kata aku pesakit mental lari daripada tahanan. Memang sengal betul mamat tu. Suka hati aje nak kata aku macam tu.”
Tergelak Lija mendengarnya. Wajah tegang Qaira ditatap mesra.
“Yang kau gelak kenapa?” tegur Qaira keras.
“Lancang betul mulut mamat tu sampaikan dia gelar kau pesakit mental,” balas Lija masih ketawa.
“Bukan lancang. Macam longkang terus. Busuk!” geram Qaira.
“Relax la Aira. Tak elok marah-marah macam ni.”
“Kau nak suruh aku relax? Mamat tu memang berlagak gila.”
Handsome tak?”
“Apasal pulak kau tanya handsome ke tidak?”
“Mana la tahukan bakal calon suami kau.”
“Huh! Tak ada maknanya. Mintak dijauhkan. Mulut longkang macam tu nak jadi suami aku? Daripada dia, baik aku ambik Fadzil tu aje.”
Lija yang mendengar ketawa. Geli hati melihat riak di wajah Qaira.
“Tapi, aku macam pernah jumpa dengan dia sebelum ni,” ujar Qaira perlahan.
Dikerahkan otak supaya mengingati raut wajah Hadif. Di mana dia melihat wajah itu? Seperti pernah berjumpa sebelum ini.
“Mamat bancuh kopi kat pejabat kau kut,” tebak Lija ketawa besar.
Qaira turut sama ketawa. Otaknya masih ligat berfikir.
“Aku dah mengantuk. Aku masuk bilik dulu,” ujar Lija kemudian.
Qaira sekadar mengangguk. Dia masih memikirkan gerangan lelaki itu.
“Kat mana aku jumpa dengan dia?” soal Qaira pada diri sendirian.
Dia bingkas bangun dan melangkah menuju ke dapur. Gelas minuman dibasuh dan diletakkan di atas pengering pinggan mangkuk.
“Haaa… dalam meeting siang tadi. Mamat tu la yang kritik aku,” suara Qaira sebaik sahaja mengingatinya.



1 ulasan:

  1. akk kita dh hbbis baca bab 3 skrg bab 4 plk kikiki... ok suka dgn watak hadif yg poyo tu..... heheheh

    BalasPadam