ENCIK Borhan
meneliti fail di hadapan. Berkerut-kerut dahinya meneliti data di dalam fail
itu. Seperti ada yang tidak kena pada maklumat yang dilaporkan oleh Qaira. Usai
meneliti, diletakkan fail di atas meja. Nafas dihela ringan. Matanya memandang
wajah Qaira yang sedang mengelamun. Dia menggeleng melihat tingkah laku Qaira.
Bukannya
dia tidak kenal dengan Qaira. Sejak mula
Qaira bekerja, dia sudah sebati dengan sikap dan perangai Qaira. Walaupun Qaira
begitu, dari segi kerja, Qaira seorang yang amanah dan jujur. Bertanggungjawab
pada kerja. Jarang sekali Qaira melakukan kesilapan. Gadis itu pandai
membahagiakan masa di antara kerja dan menulis.
“Qaira!”
tegur Encik Borhan kemudian.
Qaira
tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang difikirkan dia
sendiri tidak tahu. Adakah permintaan Puan Noraini yang sedang difikirkannya
itu? Permintaan supaya hadir ke satu majlis di rumah teman ibunya.
Kenapa
Puan Noraini mengajaknya pergi ke majlis itu? Adakah Puan Noraini berniat untuk
memperkenalkan dia dengan calon seterusnya? Calon yang diperkatakan oleh Puan
Noraini sehari yang lepas.
“Qaira
Nur Imani.” Encik Borhan memanggil dalam nada keras.
“Haaa…
apa dia Encik Borhan?” soal Qaira sebaik sahaja tersedar.
“Awak
ni tak habis-habis nak mengelamun. Awak ada masalah ke?”
“Tak
adalah, Encik Borhan.”
“Awak
dah lama jadi staf saya, Qaira. Segala riak di wajah awak tu saya dah boleh
baca. Apa masalah awak?”
Qaira
tersenyum kelat. Kepala menggeleng kecil.
“Pasal
kerja?”
“Eh…
tak. Bukan pasal kerja. Pasal peribadi.”
“Peribadi?”
Qaira
sekadar mengangguk.
“Kalau
awak tak keberatan, awak boleh cerita pada saya. Anggap saya ni macam ayah awak
sendiri.”
“Tak
apalah Encik Borhan. Saya boleh selesaikan sendiri masalah saya. Maafkan saya
kalau tingkah laku saya kurang senang di hati encik.”
“Awak
risau pasal jodoh?” tebak Encik Borhan.
Qaira
tergamam. Bagaimana Encik Borhan dapat mengagak masalahnya ketika ini?
“Ayah
Aira dah cerita kesemuanya pada uncle,”
beritahu Encik Borhan.
Sudah
berubah kata ganti diri. Bukannya dia tidak kenal dengan Encik Qamil, ayah
Qaira. Encik Qamil merupakan rakan seuniversitinya dahulu.
“Aira
tak risaukan pasal tu. Ibu tu yang lebih-lebih. Kadang-kadang naik runsing Aira
dengan rancangan dan permintaan ibu,” luah Qaira. Selesa berbual sebegitu.
“Ibu
Aira buat macam tu demi kebaikan Aira juga. Dia risaukan Aira.”
“Tapi…”
“Tak
apalah Aira. Jika dah tertulis jodoh Aira, ada juga nanti. Banyakkan berdoa dan
berusaha,” kata Encik Borhan bernada nasihat.
Qaira
hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Encik Borhan.
“Petang
nanti ikut uncle,” ujar Encik Borhan
bernada arahan.
“Ke
mana?” soal Qaira berkerut dahi.
“Ada
discussion dengan Haji Saiful.”
“Oh!
Baiklah!”
“Aira
boleh keluar. Apa-apa nanti, uncle beritahu.
Tentang laporan kewangan ni, nanti uncle
semak balik,” arah Encik Borhan.
Qaira
tidak membalas. Dia bangun dan menapak keluar dari bilik. Nafas ringan
dilepaskan. Otaknya sedang berfikir. Perkara apa yang ingin dibincang dengan
Haji Saiful? Siapa Haji Saiful? Soal Qaira tiba-tiba. Adakah dia lupa siapa
Haji Saiful?
“HADIF!”
tegur Haji Saiful.
Hadif
mematikan langkah. Dihalakan mata ke arah Haji Saiful.
“Hadif
nak ke mana?” soal Haji Saiful sambil melangkah menghampiri.
“Keluar
makan,” jawab Hadif acuh tak acuh.
“Petang
ni kita ada meeting dengan Encik
Borhan. Wahida ada beritahu pada Hadif?”
“Ada!”
“Kita
nak bincang tentang projek kita di Shah Alam tu. Papa….”
“Hadif
keluar dulu,” pintas Hadif laju beredar dari situ.
Haji
Saiful hanya memandang. Keluhan berat dilepaskan. Hadif masih bersikap dingin
dengannya. Adakah selama-lamanya Hadif akan bersikap begitu? Semuanya
disebabkan keputusannya yang lepas.
Hadif
melangkah keluar dari pejabat. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling.
Orang ramai berpusu-pusu keluar menuju ke restoran.
“Alone!” suara Hadif sendirian.
Dia
memulakan langkah menuju ke restoran yang berdekatan. Keluhan ringan terlepas dari
bibir untuk ke sekian kali.
“Hai!”
tegur Qaira tiba-tiba.
Tersentak
Hadif buat seketika. Malah pegangan di tangan membuatkan dia bertambah
terkejut. Dia menoleh buat seketika. Wajah Qaira menyapa mata.
“Kau!”
sebut Hadif kemudian.
“Syhhh!!!”
suruh Qaira sambil meletak jari telunjuk di bibir.
Berkerut
Hadif melihat tingkah laku Qaira. Apa yang dimaksudkan oleh gadis itu?
“Qaira!”
panggil Norman sedikit meninggi.
Qaira
menoleh. Peluh dingin sudah membasahi dahi.
“Please! Tolong saya!” bisik Qaira penuh
mengharap.
“Qaira!”
Norman memanggil buat kali kedua. Lengan gadis itu ditarik.
Terhenti
langkah Qaira. Dilepaskan pegangan di tangan Hadif.
“Dah
lama I cari you. Kenapa you larikan diri daripada I?” soal Norman.
“I…
I….” Qaira tersekat-sekat.
“Kenapa
Qaira?” Norman bertanya lagi.
Qaira
serba salah. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Norman?
“Qaira!”
sebut Norman lagi.
Hadif
yang melihat tidak berniat untuk membantu. Dia menyambung langkah yang terhenti
sebentar tadi.
“Awak!”
panggil Qaira tatkala melihat pemergian Hadif.
“Qaira!”
panggil Norman buat kali yang kedua.
“Saya
ada meeting! Nanti kita jumpa lagi,”
jawab Qaira laju.
Tanpa
menunggu, dia segera beredar dari situ. Nafasnya tercungap-cungap. Disentuh
dadanya buat seketika. Cuba menahan kelajuan jantung.
“Fuh!
Nasib baik dia tak ikut aku lagi. Ya Allah, kenapa la malang sangat aku ni. Asyik
jumpa dengan lelaki-lelaki yang aku tolak dulu,” luah Qaira sendirian.
Nafas
ditarik dan melepaskannya ringan. Ingatan memutarkan semula perkenalan dengan
Norman. Pemuda itu merupakan anak kawan Puan Noraini dan salah seorang calon
ibunya. Sejak pertemuan pertama mereka, Norman seringkali mengganggu hidupnya.
Gangguan
itu terhenti selepas Norman berkahwin dengan pilihan orang tuanya. Tetapi,
kenapa Norman masih menggangu hidupnya sedangkan lelaki itu sudah berumah
tangga? Persoalan yang meniti di minda ketika ini.
“SEORANG nampak!”
tegur Qaira seraya duduk.
Tersedak
Hadif dek kerana teguran itu. Terkejut!
“Sorry!” balas Qaira kesal.
Segelas
air minuman dihulurkan kepada Hadif. Tingkah laku pemuda itu diperhati penuh minat.
Senyuman meniti di bibir.
“Kau
nak apa?” soal Hadif sehabis sahaja air minuman diteguk.
“Tak
ada apa. Saja!” balas Qaira lalu bersandar ke kerusi. Dia berpeluk tubuh di
situ.
Hadif
memandang tajam wajah Qaira.
“Awak
ni boleh tahan handsome juga.”
“Kau
nak apa sebenarnya?”
“Nak
bincang business dengan awak. Nak
tak?”
“Business apa?”
Qaira
menghela nafas ringan.
“Jangan
buang masa aku boleh tak?”
“Awak
jadi calon suami saya boleh?”
“What?!!!” Hadif terkejut pantas berdiri.
“Relax
la bro. Takkan itu pun nak terkejut,” kata Qaira ketawa kecil.
Hadif
mendengus kasar. Dia duduk di kerusi semula dan meneguk rakus air dari dalam gelas.
Wajah tersenyum Qaira ditatap benci.
“Kalau
awak setuju, kita tetapkan syarat. Macam mana?”
“Masalah
kau. Aku tak nak masuk campur.”
“Saya
tahu, awak pun mempunyai masalah yang sama macam saya.”
Hadif
terkedu. Serta-merta perbualan Haji Saiful dan Hajah Halijah bermain di minda.
“Come on la. Awak pun hadapi masalah yang
sama macam saya kan? Saya dah siasat pasal awak,” suara Qaira lagi.
Wajah
Hadif ditatap mesra. Senyuman terbias di bibir. Pandai-pandai aje kau ni, Aira.
Dibuatnya dia mengamuk, mampus kau nanti, bisik Qaira dalam hati.
“Kalau
aku ada masalah sama macam kau, itu bukan masalah kau.”
“Memang
la bukan masalah saya. Tapi, tak salah kalau kita berkongsi masalah yang sama.
Betul tak?”
Hadif
tidak membalas. Dikepalkan tangan menahan kemarahan di hati.
“Macam
mana?” soal Qaira lagi.
“Aku
tak berminat!” balas Hadif bingkas bangun.
Qaira
yang melihat turut sama bangun.
“Gila!”
kutuk Hadif lalu beredar dari situ.
“Eh…
nanti dulu!” panggil Qaira sedikit lantang.
Hadif
tidak mengendahkan panggilan Qaira. Dia melangkah menuju ke pejabat. Di kerling
jam di pergelangan tangan. Masa sudah menghampiri ke angka dua petang.
“Berlagak
betul mamat tu. Bukannya betul-betul. Aku main-main aje,” kutuk Qaira sambil
mencebirkan bibir. Meluat melihat tingkah laku Hadif.
“Hei..
aku tak minat la dengan lelaki macam kau. Perasan bagus! Perasan handsome!” laung Qaira bernada bengang.
Masih tidak berpuas hati.
Hadif
yang mendengar mematikan langkah. Seminit kemudian, dia menyambung langkah
menuju ke pejabat.
“Minah
gila!” kutuk Hadif buat Qaira.
“Macam
mana la aku boleh spontan aje tadi. Hisy… kau ni Aira. Buat malu ajelah,” kutuk
Qaira pula kepada dirinya sendiri.
Tanpa
menunggu, dia melangkah jalan menuju ke tempat yang dituju. Seperti yang
diberitahu oleh Encik Borhan tadi. Mesyuarat di pejabat Haji Saiful.
“TERIMA
kasih!” ucap Encik Borhan ramah.
Haji
Saiful dan Wahida merangkap setiausaha Haji Saiful mengangguk dan tersenyum.
Masing-masing melabuhkan duduk di kerusi.
“Apa
khabar tuan haji?” tegur Qaira sopan.
“Sihat
alhamdulillah, Qaira. Awak macam mana? Sihat?” balas Haji Saiful.
“Saya
sihat alhamdulillah. Maafkan saya atas tingkah laku saya dalam mesyuarat yang
lepas,” ucap Qaira bernada kesal.
“Tak
mengapa Qaira. Saya tak ambil pusing pasal tu. Maafkan saya juga atas tingkah
laku anak saya.” Haji Saiful bersuara.
“Anak
tuan haji?” soal Qaira berkerut dahi. Cuba untuk mengingati tentang itu.
“Itulah!
Mengelamun lagi masa mesyuarat. Siapa suruh?” tegur Encik Borhan.
Qaira
tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
“Maaf
lambat,” ujar Hadif tiba-tiba.
Mereka
yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tersentak. Masing-masing menghalakan
mata ke arah Hadif yang baru menapak masuk ke dalam bilik.
Qaira
turut sama menoleh. Buntang matanya melihat gerangan yang masuk ke dalam bilik
itu. Serta-merta dia menundukkan wajah. Tidak menyangka lelaki itu anak kepada
Haji Saiful. Peristiwa yang berlaku di restoran tadi bermain di tubir mata.
“Masuk
Hadif!” arah Haji Saiful.
Hadif
melangkah masuk ke dalam bilik. Matanya memandang wajah-wajah di dalam bilik
itu. Pandangannya terhenti ke seraut wajah di sebelah Encik Borhan.
“Boleh
kita mulakan sekarang?” tanya Haji Saiful lembut.
“Boleh,
tuan haji,” jawab Encik Borhan.
Haji
Saiful mengangguk. Tanpa berlengah, mereka memulakan perbincangan. Satu persatu
usul diutarakan dan diperjelaskan oleh Encik Borhan. Qaira hanya mendengar.
Tidak berniat untuk menyampuk. Rasa gementar dan berdebar ketika ini. Dapat
dirasakan Hadif sedang memandang ke arahnya. Walaupun dia tidak pasti, dia
yakin pemuda itu sedang memerhati tingkah lakunya.
Usai
berbincang, Qaira segera beredar dari bilik itu. Disentuh dadanya yang berdetak
hebat. Sebab apa? Dia sendiri tidak tahu. Situasi yang sama dihadapi ketika
bermesyuarat di syarikat dulu. Adakah disebabkan Hadif, dia berkeadaan begitu?
“Ah,
tak mungkin!” tukas Qaira menggeleng laju.
Mustahil
dia menyukai pemuda itu? Mustahil juga pemuda itu calon yang sesuai buat
dirinya. Kata-katanya yang lepas terngiang-ngiang di cuping telinga.
“Bila
aku jumpa dengan seorang lelaki, jantung aku berdegup kencang. Aku rasa serba
tak kena. Gelabah! Kalut! Macam pertemuan hero dan heroin ciptaan aku dalam
kesemua novel aku tu,” kata Qaira mengulangi kata-katanya yang lalu.
“Mustahil…
mustahil… mustahil. Tak mungkin!” tukas Qaira berkali-kali.
Mustahil
pemuda itu lelaki yang dicari selama ini. Jauh dari apa yang diingininya selama
ini. Tidak seperti hero-hero ciptaannya itu.
“Arghhh!!!
Stress aku kalau fikirkan pasal calon
suami ni,” rengus Qaira lalu beredar dari situ menuju ke ladies room.
Belum
sempat dia melangkah menghampiri ladies,
tubuhnya sudah ditarik masuk ke dalam sebuah bilik. Terkejut dia dengan
tindakan itu.
“Awak
nak buat apa ni?” tanya Qaira terkejut.
“Aku ada business proposal untuk kau,” jawab Hadif
sambil melangkah ke kerusi.
Dilabuhkan
duduk di kerusi dan memandang ke wajah Qaira. Senyuman sinis menghiasi
bibirnya.
Qaira
membetulkan keadaan. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Hadif. Riak selamba
terlukis di wajah itu.
“Kau
berminat tak?” tanya Hadif pula.
“Berminat
apa?” soal Qaira berkerut dahi.
“Aku
jadi calon suami kau dan kau jadi calon isteri aku.”
“What?!!!” Terjerit Qaira mendengarnya.
“Bukankah
itu yang kau cadangkan pada aku tadi?”
“Wait! Saya bergurau aje tadi. Janganlah
amik serius.”
“Aku
tak bergurau. Aku serius!”
Qaira
menelan liur. Kelat! Perbuatannya di restoran beberapa jam yang lepas telah
memakan dirinya sendiri.
“Kau
setuju?”
“Saya
tak setuju!”
“Bukankah
itu masalah kau sekarang ni?” Hadif memulangkan pertanyaan Qaira tadi.
“Errr…”
Qaira termati kata-kata.
“Aku
pun hadapi masalah yang sama. Jadi tak salah kalau kita selesaikan masalah kita
dengan cara ni,” kata Hadif sambil berpeluk tubuh.
Sejak
dari tadi dia memikirkan tentang kata-kata Qaira ketika di restoran tadi. Ada
baiknya dia menggunakan pendekatan seperti itu. Sekurang-kurangnya dia tidak
perlu menerima cadangan Hajah Halijah. Mengupah seorang gadis untuk
diperkenalkan kepadanya. Biar dia sendiri yang melaksanakan rancangan tersebut.
“Saya
akui yang saya sedang menghadapi masalah tentang jodoh. Tapi itu tak bermakna
saya perlu terima cadangan awak,” ujar Qaira sambil melabuhkan duduk. Dia turut
sama berpeluk tubuh.
“Why?” soal Hadif berkerut dahi.
“Pertama,
saya tak kenal dengan awak. Macam mana awak nak jadi calon suami saya?
Sekurang-kurangnya kena kenal hati budi masing-masing. Kedua, awak bukan dalam
kategori yang saya idam-idamkan selama ini. Bukan macam hero-hero yang saya
ciptakan dalam kesemua novel saya tu. Ketiga, saya tak rasa awak seorang yang
terdesak sama macam saya. Awak sekadar untuk suka-suka saja. Ke empat, awak ni
seorang yang tak mesra alam. Sombong dan berlagak. Dan yang terakhir, awak tak
boleh nak jadi imam yang baik untuk
saya,” jelas Qaira panjang lebar.
Tanpa
menunggu, dia bingkas bangun dari duduk dan memulakan langkah untuk beredar
dari bilik itu. Kepala menggeleng dengan rancangan pemuda itu. Entah apa
namanya pun dia sendiri tidak tahu.
“Nanti
dulu!” tahan Hadif seraya bangun.
Qaira
mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang dan memandang wajah pemuda itu.
Menanti butir bicara daripada pemuda itu.
“Terlalu
awal untuk kau menilai diri aku,” ujar Hadif sambil malangkah menghampiri Qaira
di muka pintu bilik.
Qaira
memandang Hadif yang sedang melangkah menghampirinya.
“Pertama,
kita boleh berkenalan. Tak lama mana pun kita berkenalan. Kedua, hero-hero yang
kau ciptakan? Kau novelis?” suara Hadif.
“Ya!
Saya part time novelis,” balas Qaira.
“Oh!
Tak sangka yang kau ni novelis. Impressed!”
Qaira
tidak membalas.
“Kau
belum kenal dengan aku. Kalau kau dah kenal, kau boleh nilai aku sama ke tidak
macam hero-hero dalam kesemua novel kau tu. Mungkin sedikit dan bukan 100%. Ketiga,
memang aku tak terdesak. Tapi, untuk persiapan diri aku sendiri sebelum ayah
dan umi aku cari calon untuk aku dan aku tak percaya langsung dengan
perkahwinan atas dasar keluarga. Jawapan untuk yang ke empat sama seperti
jawapan aku yang kedua tadi. Dan yang terakhir, belum tentu kau boleh jadi makmum
yang terbaik untuk aku,” jelas Hadif panjang lebar. Matanya memandang tepat ke
wajah Qaira.
Qaira
hanya membisu. Otaknya cuba merencana penjelasan Hadif. Perlukah dia bersetuju
dengan cadangan dan permintaan Hadif?
“So? Kau setuju?” tanya Hadif lagi.
Qaira
menghela nafas ringan. Anggukan diberikan tanda setuju. Tak salah mencuba,
bisik hati Qaira.
wah jln cite jd mkin mnrik..xsbr nk tggu next bab-L-
BalasPadamterima kasih coz sudi membaca.. :)
Padamsaya rasa penulisan akak dah lain sikit dari dulu..
BalasPadamjalan cerita semakin menarik.
maybe la.. hr tu gap beberapa bulan tak menulis.. apa2 tq Q sudi baca CSBN.. :)
Padamyang ni best kak....sronok membaca buat kali kedua dgn ketenangan...hehheheheh
BalasPadam