“SYA, nak ke mana?” tegur Mak Jah tatkala
terlihat Elisya di muka pintu.
Elisya yang mendengar menghentikan langkah. Dihalakan mata
ke wajah Mak Jah.
“Nak ke mana? Kaki Sya kan tak baik lagi,” tanya Mak Jah
sambil melangkah menghampiri Elisya di muka pintu rumah.
“Errr…” Elisya termati kata-kata.
“Nak ke mana?” ulang Mak Jah lagi.
“Sya… Sya… Sya nak ke rumah Hamidah,” beritahu Elisya
tersekat-sekat.
“Rumah Hamidah?” Mak Jah berkerut dahi.
Elisya mengangguk perlahan. Dia sudah pun berjanji dengan
Hamidah malam tadi untuk ke suatu tempat.
“Kaki Sya kan tak baik lagi. Macam mana nak ke rumah
Hamidah?” tegur Mak Jah seraya memandang ke kaki Elisya yang berbalut.
“Dah kurang sikit, Mak Jah. Sya dah boleh berjalan,” balas
Elisya penuh yakin.
“Mak Jah tak rasa yang kaki Sya dah baik. Mak Jah perasan
cara jalan Sya tadi. Kaki Sya belum baik lagi tu,” tukas Mak Jah seraya menggeleng.
Elisya terkedu. Ada benarnya kata-kata Mak Jah itu. Memang
kakinya belum baik sepenuhnya. Demi janjinya kepada Hamidah, dia terpaksa
melawan kesakitan di kaki.
“Sya dah janji dengan Hamidah nak ke rumah dia.”
“Tapi Mak Jah risau. Kalau jadi apa-apa pada Sya nanti, apa
Mak Jah nak beritahu pada mama dan papa Sya. Mereka dah amanahkan Mak Jah jaga
Sya sementara Sya di sini.”
Elisya serba salah. Wajah tua Mak Jah ditatap seketika.
“Tak apa. Nanti Sya beritahu pada mama dan papa.”
“Penting sangat ke nak ke rumah Hamidah tu?” tanya Mak Jah
ingin tahu.
“Sya dah janji dengan Hamidah. Janji tak boleh tak ditepati.
Munafik!”
Mak Jah menghela nafas ringan. Dia memandang wajah Elisya
yang beriak tenang.
“Sekejap Mak Jah panggilkan Daus. Minta Daus temankan Sya ke
rumah Hamidah,” ujar Mak Jah lalu beredar dari situ.
“Mak Jah….” panggil Elisya.
Namun kelibat Mak Jah sudah menghilang di sebalik pintu.
Keluhan berat dilepaskan. Bagaimana reaksi Firdaus nanti? Pasti pemuda itu
semakin membencinya.
FIRDAUS mendengus kasar. Sakit hatinya tatkala
dipaksa oleh Mak Jah. Rancangan untuk ke pekan menonton wayang bersama Alif
terpaksa dibatalkan. Kalau bukan disebabkan Mak Jah, tidak ingin dia membawa
sekali gus menemani Elisya ke rumah Hamidah. Gadis itu suka menyusahkannya.
“Awak!” panggil Elisya, lembut.
Firdaus tidak membalas. Dia menumpukan sepenuh perhatian
kepada pemanduan. Tidak diendahkan Elisya di sisi yang sedang memandang ke
arahnya.
“Awak turunkan saya di sini sajalah. Saya boleh jalan kaki ke
rumah Hamidah,” suara Elisya bernada arahan. Wajah Firdaus ditatap buat
seketika.
Firdaus masih lagi membisu. Dikerling jam di dashbox buat seketika. Masa baru
merangkak ke pukul sepuluh tiga puluh minit pagi.
“Awak turunkan saya di sini saja,” arah Elisya lagi.
“Kau boleh diam tak? Dah cukup bagus aku bawa kau ke sana.
Jangan nak banyak bunyi pulak,” tegur Firdaus bernada keras. Tajam matanya ke
wajah Elisya.
Elisya terkejut. Dia menunduk memandang tangan sendiri.
Kecut perutnya melihat wajah tegang Firdaus. Malah bahasa yang digunakan oleh
Firdaus agak kasar di pendengarannya.
“Menyusahkan! Kalau sehari tak menyusahkan tak boleh agaknya,”
rengus Firdaus pula.
Elisya mengangkat wajah. Rasa sebu mendengar kata-kata
Firdaus. Adakah kehadirannya menyusahkan Firdaus sekeluarga?
“Kalau awak tak ikhlas nak tolong, awak turunkan saya di
depan tu,” tegas Elisya bernada arahan.
Sungguh, dia tidak mahu mendengar rungutan Firdaus lagi.
Lelaki itu tidak ikhlas setiap kali disuruh.
“Berlagak!” cebik Firdaus meluat.
“Awak turunkan saya sekarang!” arah Elisya bernada tegas.
“Kau ni memang berlagak. Dari sekolah sampai sekarang, kau
tak pernah berubah. Berlagak! Bodoh sombong!” kutuk Firdaus bernada geram.
“Apa masalah awak, Firdaus? Kenapa awak nak kutuk saya macam
tu sekali? Apa salah saya pada awak?” tanya Elisya bertubi-tubi. Tajam matanya
ke wajah selamba Firdaus.
Firdaus menghentikan kereta di bahu jalan. Dihalakan mata ke
wajah Elisya yang beriak tegang. Senyuman sinis diberikan kepada gadis itu.
“Apa salah saya pada awak? Apa yang saya dah buat
sehinggakan awak begitu membenci saya?” soal Elisya lagi.
“Kau nak tahu apa salah kau?” tanya Firdaus sinis.
“Saya tak pernah sakitkan hati awak. Kenapa awak sakitkan
hati saya?” suara Elisya sebak. Kenapa Firdaus bersikap begitu terhadapnya?
“Kau dah hancurkan kebahagiaan aku,” lantang Firdaus.
Terhenjut tubuh Elisya mendengarnya. Apa maksud Firdaus?
“Kau boleh keluar dari kereta aku sekarang!” arah Firdaus
meninggi.
“Apa maksud awak, Firdaus? Saya hancurkan kebahagiaan awak?
Kebahagiaan apa yang awak maksudkan?” soal Elisya ingin tahu. Kenapa Firdaus
menuduhnya sebegitu?
“Kau keluar dari kereta aku sekarang! Aku benci tengok muka
kau!” marah Firdaus pula.
Elisya memandang sayu wajah tegang Firdaus. Dipejamkan mata
buat seketika. Mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kebencian Firdaus.
“Kau menungkan apa lagi? Keluar sekarang!” arah Firdaus
berserta dengusan kasar.
Elisya membisu. Perlahan-lahan daun pintu ditolak lalu
keluar dari dalam perut kereta. Matanya memandang kelibat kereta Firdaus yang
sudah menjauh.
“Apa maksud awak, Fir?” soal Elisya sendirian.
“AIR!” ujar Hamidah seraya menghulur segelas
minuman.
“Terima kasih!” ucap Elisya sambil membalas huluran.
“Awak datang naik apa?” tanya Hamidah sambil melabuhkan
duduk.
Elisya meneguk air minuman. Setelah itu, gelas minuman
diletakkan di atas meja.
“Farah hantar,” bohong Elisya.
“Oh! Kenapa tak ajak sekali Farah masuk?”
“Farah nak cepat. Ada kerja.”
Hamidah mengangguk. Wajah Elisya dipandang seketika.
“Boleh kita pergi sekarang?” tanya Elisya tidak sabar.
“Sekejap lagi kita ke sana. Berpeluh-peluh saya tengok awak
ni, Sya. Macam orang berlari pun ada juga,” tegur Hamidah sambil memerhati
Elisya.
Elisya terkedu. Dicapai tisu dari kotak lalu mengelap peluh
yang membasahi dahi. Kepenatan akibat berjalan turut sama dirasai. Tidak
dihiraukan kesakitan di kaki. Apa yang penting, keinginannya tercapai.
“Awak dah beritahu Pak Harun?” tanya Elisya kemudian.
“Dah! Pak Harun benarkan kita ke kebun dia,” balas Hamidah sambil
mengangguk.
“Dah lama saya tak makan buah rambutan. Teringin sangat.”
Elisya teruja.
Hamidah tersenyum. Riak teruja Elisya ditatap seketika.
“Awak beritahu Mak Jah yang kita nak ke kebun Pak Harun?”
“Tak! Saya just
beritahu yang saya nak ke rumah awak.”
“Tak apalah kalau dah macam tu. Sekurang-kurangnya tak
adalah orang tua tu risau kalau awak hilang ke apa,” kata Hamidah sekadar
bergurau. Seminit kemudian, dia ketawa.
Elisya turut sama ketawa. Kepala menggeleng perlahan.
“So, jomlah kita
pergi,” ujar Hamidah lalu bangun dari duduk.
Elisya mengangguk. Dia turut sama bangun dari duduk. Tidak
sabar untuk ke kebun Pak Harun. Rasa teruja ketika ini.
“Saya pergi ambil plastik sekejap. Awak tunggu kat luar,”
arah Hamidah.
Elisya tidak membalas. Dia melangkah perlahan menuju ke muka
pintu rumah. Kesakitan di kaki mulai terasa.
“Elisya!” panggil Hamidah.
Elisya menghentikan langkah. Dia memandang ke wajah Hamidah.
“Kaki awak!” unjuk Hamidah.
Elisya berkerut dahi. Kenapa dengan kakinya? Diintai kakinya
buat seketika. Tidak ada apa-apa dengan kakinya itu.
“Kaki awak lebam, Sya,” beritahu Hamidah seraya menghampiri
Elisya.
Elisya masih lagi memandang kaki sendiri.
“Mari saya tengok kaki awak tu,” arah Hamidah.
Ditarik tubuh Elisya supaya duduk di kerusi. Kaki Elisya
diperhati penuh minat.
“Dah kebiruan kaki awak ni, Sya. Awak tak rasa sakit ke?
Jangan-jangan awak ke sini tadi berjalan kaki tak?” tebak Hamidah seraya
memandang ke wajah Elisya.
Elisya menelan liur. Apa jawapan yang harus diberikan kepada
Hamidah?
“Awak bohong saya, Elisya,” duga Hamidah.
“Maafkan saya, Midah. Mulanya Firdaus yang hantar saya
tetapi kami bergaduh kecil. Jadi dia….”
“Tinggalkan awak di tepi jalan?”
“Saya yang minta dia turunkan saya di tepi jalan. Awak
jangan salahkan dia.”
“Firdaus dah melampau!” geram Hamidah sambil mengepal
tangan.
“Saya pun salah juga, Midah,” ujar Elisya.
“Firdaus tak boleh salahkan awak atas apa yang berlaku
dulu,” suara Hamidah lalu menggeleng. Dia yakin Firdaus masih menyalahkan
Elisya atas apa yang berlaku dahulu.
Elisya berkerut dahi. Apa maksud Hamidah?
“Perkara dah lama. Bukan salah awak seratus peratus,” beritahu
Hamidah lagi.
“Apa maksud awak, Hamidah?” tanya Elisya ingin tahu.
Sejak dari hari itu lagi Hamidah berkata begitu. Apa
sebenarnya yang berlaku? Kenapa Hamidah tidak berterus-terang sahaja? Perkara
apa yang cuba disembunyikan oleh Hamidah?
“Saya ambilkan minyak untuk awak,” balas Hamidah bingkas
bangun dari duduk.
“Sekejap Hamidah. Apa maksud awak dengan kata-kata awak
tadi? Kenapa saya dipersalahkan dalam soal Firdaus? Firdaus juga menuduh saya
menghancurkan kebahagiaan dia. Kebahagiaan apa yang dimaksudkan oleh Firdaus?”
soal Elisya bertubi-tubi.
Sungguh, hatinya tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang berlaku
kepada Firdaus? Kenapa Firdaus menuduhnya sebegitu? Penat otaknya berfikir.
Hanya kepada Hamidah untuk dia mengetahui segala-galanya.
“Saya tak pasti, Elisya,” kata Hamidah berlalu dari situ.
Elisya hanya memandang. Keluhan berat dilepaskan. Bagaimana
untuk dia mengetahui perkara yang sebenar?
“Alif!” sebut Elisya tatkala teringatkan tentang pemuda itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan