Dua tahun kemudian.
“TAHNIAH, Daus!” ucap Alif seraya berjabat.
“Thanks Alif,”
kata Firdaus sambil membalas jabatan tangan.
“Cita-cita kau nak buka syarikat sendiri akhirnya berjaya.
Aku tumpang gembira untuk kau,” kata Alif lagi.
“Alhamdulillah. Akhirnya cita-cita aku tercapai juga. Aku
bersyukur dengan rezeki yang Allah bagi pada aku sekeluarga. Kalau bukan
tindakan kerajaan ambil alih tanah arwah ayah aku tu, tak mungkin aku dapat
buka syarikat ni,” jelas Firdaus, tenang.
“Rezeki kau sekeluarga. Walaupun syarikat kau tak sebesar
mana, tapi aku yakin kau dapat majukannya nanti,” doa Alif, ikhlas. Senyuman
terbias di wajah.
“Insya-Allah, Alif. Aku akan berusaha untuk majukan syarikat
ni.”
“Aku doakan kau berjaya. Lagipun, kau kan ada Master dalam bidang perniagaan. So, mudahlah bagi kau nak uruskan
syarikat. Buat apa kau belajar bertahun-tahun kalau kau tak gunakannya. Kau pun
dah ada pengalaman kerja di syarikat Dato Jalil kat kampung tu dulu. Masa nilah
kau kena gunakan kedua-duanya,” terang Alif sekali gus memberi semangat buat
Firdaus. Wajah kawan baiknya itu ditatap mesra.
Firdaus hanya mengangguk faham. Otaknya cuba merencana
penjelasan Alif. Ada benarnya dengan apa yang diperkatakan oleh Alif itu.
“Oh ya, mak dan adik kau tak datang sekali ke? Tak nampak
pun mereka berdua?” tanya Alif sambil melilaukan mata mencari kelibat Mak Jah
dan Farah Asyikin.
“Mereka ada kat sana. Temankan saudara mara aku,” jawab
Firdaus sambil mengunjuk ke arah di mana Mak Jah dan Farah berada.
Alif turut sama memandang ke arah yang ditunjuk. Senyuman
diberikan tatkala bertembung pandang dengan Mak Jah dan Farah.
“Mana wife kau?
Bukan ke kau datang dengan dia tadi?” tanya Firdaus, prihatin.
“Hai, tiba-tiba saja tanya pasal wife aku ni kenapa?” tanya Alif kurang senang.
“Alah, takkan tak boleh pulak?”
“Memang tak boleh. Aku cemburu, kau tahu tak?”
Tertawa Firdaus mendengarnya. Gelengan diberikan kepada
kawan baiknya itu.
“Kau dah jumpa dia?” tanya Alif, tiba-tiba.
Terhenti ketawa Firdaus dek kerana pertanyaan itu. Apa
jawapan yang harus diberikan kepada Alif? Selama dua tahun ini dia mencari
Elisya. Puas dia bertanya daripada kenalan rapat Elisya tetapi hampa. Mereka
tidak tahu di mana Elisya berada.
Jika dulu, selepas berpindah ke Australia Elisya sering
mengutus surat tetapi tidak pada kali ini. Elisya pergi tanpa khabar berita.
“Wei, aku tanya kau ni. Boleh pulak kau termenung,” tegur
Alif seraya menyiku lengan Firdaus. Matanya memandang wajah keliru Firdaus.
“Haa.. apa dia? Kau tanya apa kat aku?” tanya Firdaus
sedikit terpinga-pinga.
“Kan aku tanya kau tadi, kau dah jumpa dengan dia ke?” ulang
Alif sambil menggeleng.
“Belum lagi la Alif. Aku tak tahu kat mana nak cari dia.
Lepas dia pindah ke Australia, selalu juga dia kirim surat pada aku. Masa dia
nak balik kampung dulu pun, dia beritahu aku melalaui surat. Tapi sekarang ni,
satu surat pun dia tak kirim pada aku. Nombor phone dia pun dah ditamatkan perkhidmatan. Aku menyesal buat dia
macam tu, Alif,” keluh Firdaus, kesal.
“Tak mengapalah, Daus. Kalau jodoh kau dengan dia kuat, kau
akan berjumpa dengan dia semula,” kata Alif memberi semangat kepada temannya
itu.
“Insya-Allah, Alif. Aku berharap sangat dapat jumpa dengan
dia semula. Aku nak minta maaf dengan apa yang telah aku lakukan pada dia
dulu,” balas Firdaus sambil mengangguk kecil.
Alif turut sama mengangguk. Bahu kawannya itu dipegang
kejap. Sekadar memberi semangat kepada kawan baiknya itu. Berharap, Firdaus
dapat bertemu semula dengan Elisya.
“ALHAMDULILLAH, semuanya selamat,” ucap Mak Jah lalu
tersenyum.
Dilabuhkan duduk di sofa sebaik sahaja majlis kenduri
kesyukuran selesai. Sekadar melepaskan lelah di situ.
“Alhamdulillah, mak. Semuanya berjalan dengan lancar,” balas
Firdaus turut sama melabuhkan duduk di sofa.
Mak Jah mengangguk perlahan. Bersyukur dengan rezeki yang
diberikan oleh Allah kepada mereka sekeluarga. Jika bukan disebabkan tindakan
kerajaan mengambil alih tanah milik arwah suaminya dulu, mustahil mereka akan
hidup senang ketika ini.
Tidak mungkin juga Firdaus dapat membuka syarikat sendiri.
Tidak sia-sia Firdaus menimba pengalaman serta pembelajaran dalam bidang
perniagaan. Berbekalkan pengalaman serta Master
dalam bidang tersebut, sudah cukup bagi Firdaus untuk menguruskan syarikat.
“Abang, nanti bolehlah Farah kerja di syarikat abang,”
sampuk Farah, tersengih.
“Kena isi borang dan hadiri temuduga seperti calon yang
lain,” beritahu Firdaus sekadar mengusik adiknya itu.
“Ala, itu pun nak kena isi borang ke? Tak patut betullah
abang ni,” cebik Farah sambil duduk di sisi Mak Jah. Dijulurkan lidah kepada
abangnya itu.
“Kena juga. Nanti orang kata abang pilih kasih pulak,” tegas
Firdaus.
“Mak, tengoklah abang ni. Sengaja nak kenakan Farah,” rengek
Farah manja.
Mak Jah yang mendengar hanya menggelengkan kepala. Tercuit
hatinya melihat gelagat adik-beradik itu. Entah kenapa hatinya sebu dengan
tiba-tiba. Rasa rindu turut sama hadir di dalam hati. Adakah dia sedang
merindui seseorang? Elisya! Terdetik nama itu di benak hati.
“Mak, kenapa ni?” tegur Firdaus tatkala terpandangkan wajah
sedih maknya.
Mak Jah menghela nafas berat. Senyuman hambar diberikan
kepada anaknya itu.
“A’ah mak. Kenapa ni? Sedih saja Farah tengok muka mak. Mak
penat ke?” tanya Farah pula, prihatin.
“Mak rindukan Elisya,” luah Mak Jah, sebak.
Tersentak Firdaus dan Farah mendengarnya. Masing-masing
menghalakan pandangan ke arah Mak Jah. Ada riak kesedihan pada wajah itu.
“Farah pun rindukan Kak Sya. Kat mana Kak Sya sekarang ni,
kan abang?” akui Farah sambil mengeluh ringan. Rasa rindu terhadap Elisya
bertandang di hati.
Firdaus hanya membisu dan mendengar. Wajah Mak Jah dan Farah
dipandang silih berganti. Dia turut merasai dengan apa yang dirasai oleh Mak
Jah dan Farah. Betapa rindunya dia terhadap gadis yang bernama Elisya Emran.
“Apa khabar dia sekarang ni, Daus? Kamu tak dengar apa-apa
cerita pasal dia ke?” tanya Mak Jah seraya memandang ke wajah Firdaus.
Firdaus sekadar menggeleng. Sungguh, dia tidak ada jawapan
pada pertanyaan Mak Jah.
“Farah pun ada juga tanya dengan Kak Midah. Dia pun tak tahu
ke mana Kak Sya pergi,” beritahu Farah bernada sebak.
“Insya-Allah, satu hari nanti kita akan jumpa dengan Elisya
semula,” ujar Firdaus.
Sekadar menyedapkan hati Mak Jah dan Farah. Jauh di sudut
hati, dia berdoa agar suatu hari nanti dia akan berjumpa semula dengan Elisya.
“Mak, abang, Farah laparlah! Jomlah kita makan KFC. Teringin
la,” rengek Farah.
Diangkat punggung lalu duduk di sisi Firdaus. Lengan
abangnya dipaut mesra. Menagih simpati daripada abang tersayang.
“Hai, tadi kan dah makan. Tak kenyang-kenyang lagi ke?”
sindir Firdaus, tergelak.
“Mana kenyang. Tong Farah kan besar,” balas Farah,
tersengih.
“Mak nak ikut tak?” tanya Firdaus.
“Tak apalah. Daus pergilah dengan Farah. Mak tunggu kat
rumah saja,”balas Mak Jah
“Kalau macam tu, kami keluar sekejap. Kalau ada apa-apa, mak
call Daus atau Farah,” pesan Firdaus
bingkas bangun. Farah yang berada di sisi turut sama bangun.
Mak Jah hanya mengangguk. Matanya menghantar langkah Firdaus
dan Farah sehingga hilang di sebalik pintu utama. Setelah itu, dia bingkas
bangun lalu melangkah menuju ke bilik.
Mujurlah mereka mengupah catering
untuk majlis tersebut. Jika tidak, tidak menang tangan dibuatnya. Semenjak
mereka berpindah ke Kuala Lumpur, hanya sesekali sahaja mereka pulang ke
kampung. Sekadar untuk melawat orang-orang kampung di sana.
“LIA, aku ke sana sekejap!” beritahu Elisya.
“Kau nak aku temankan tak?” tanya Dahlia, prihatin.
“Tak mengapalah Lia. Aku boleh pergi sendiri. Kau janganlah
manjakan aku. Susah aku nanti kalau kau tak ada,” jawab Elisya, perlahan.
“Sya, aku…”
“Aku tak nak susahkan kau. Dah banyak kali aku susahkan kau.
Setiap hari kau hantar aku ke office.
Itu pun dah cukup buatkan aku rasa bersalah kerana menyusahkan kau,” pintas
Elisya lalu tersenyum hambar.
“Sya, janganlah cakap macam tu. Aku ikhlas lakukannya,”
balas Dahlia.
Kurang senang mendengar kata-kata Elisya. Selama ini, dia
ikhlas membantu Elisya dan tidak mengharapkan balasan daripada kawan baiknya
itu.
“Aku tetap rasa macam tu. Selama dua tahun kau berada di
sisi aku,” sebak Elisya.
“Sya… aku tak minta balasan daripada kau pun. Janganlah kau
rasa kekurangan dan malu dengan aku. Sedih aku dengar,” luah Dahlia bernada
ikhlas.
Elisya hanya membisu dan mendengar. Matanya memandang ke
wajah Dahlia. Jelas riak keikhlasan pada wajah itu.
“Aku tak nak kau sedih-sedih lagi. Aku nak kau happy macam dulu.”
“Happy? Dah tak
ada istilah ‘happy’ dalam hidup aku
lagi Lia. Hidup aku hanya menyusahkan orang sahaja,” ujar Elisya, perlahan.
“Sya, please…
jangan cakap macam tu. Aku tak nak….”
“Aku ke sana dulu!” pintas Elisya, laju.
Tidak mahu Dahlia meneruskan kata-kata. Hatinya akan
bertambah sebu. Rasa bersalah turut menumpang di hati.
Dahlia hanya memandang. Pasti Elisya tidak mahu dia
mengungkit kisah lama. Jika dia di tempat Elisya, dia juga akan merasai dengan
apa yang dirasai oleh Elisya ketika ini.
ELISYA menggerakkan kerusi rodanya ke kedai
buku yang berhampiran. Sebuah majalah hiburan yang terletak di sebuah rak
menarik minatnya. Pantas digerakkan kerusi roda menuju ke kedai buku tersebut.
Setibanya di kedai buku, majalah tersebut dicapai lalu
membeleknya. Tersenyum dia melihat pelakon pujaannya Ady Putra menghiasi muka
hadapan majalah itu. Seminit kemudian, matanya terpandangkan sebuah buku
masakan yang diingini selama ini di sebuah rak.
Tanpa menunggu, dihampiri rak di mana buku masakan itu
berada. Tangannya cuba mencapai buku tersebut tetapi tidak berjaya. Diangkat
tubuhnya pula tetapi tetap sama. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Pada
siapa dia harus meminta tolong? Melilau matanya mencari petugas di kedai buku
tersebut. Sesiapa pun tidak kelihatan.
“Aduh! Macam mana aku nak ambil ni?” keluh Elisya sendirian.
Matanya memandang sayu ke arah buku masakan itu.
Perlahan-lahan digerakkan kerusi rodanya rapat ke rak. Berharap, dia berjaya
mencapai buku masakan tersebut.
“Tak sampai juga! Baik aku minta tolong kat lelaki tu,” kata
Elisya lagi.
Digerakkan kerusi rodanya ke arah seorang lelaki yang sedang
berdiri di suatu sudut tidak jauh dari situ. Berdoa agar lelaki tersebut sudi
untuk menolongnya.
“Encik!” panggil Elisya setiba di belakang lelaki itu.
“Aduh! Terjatuh la pulak,” rungut Elisya kemudian.
Majalah hiburan yang berada di paha terjatuh dengan
tiba-tiba. Ditundukkan badan sambil cuba mencapai majalah yang berada di atas
lantai.
Tersentak lelaki itu mendengarnya. Dia menoleh ke belakang
dan mencari gerangan yang memanggil. Matanya terpandangkan seorang gadis yang
berkerusi roda sedang mencapai majalah dari bawah lantai. Kasihan dia melihat
gadis itu. Tanpa berlengah, dijatuhkan tubuh dan membantu mengutip majalah
tersebut. Dihulurkan majalah itu kepada gadis tersebut.
“Terima kasih!” ucap Elisya sambil membalas huluran lelaki
itu.
“Sama-sama!” balas lelaki itu lalu mengangkat muka.
Elisya turut sama mengangkat muka. Bagaikan terhenti
jantungnya tatkala wajah lelaki itu menyapa mata. Majalah yang sudah berada di
tangan terjatuh semula ke lantai.
“Elisya!” seru Firdaus, perlahan.
“ELISYA!” seru Firdaus, lembut.
“Elisya? Siapa Elisya? Encik salah orang,” tukas Elisya,
bergetar.
Tanpa menunggu, digerakkan kerusi rodanya untuk beredar dari
situ. Namun, ditahan oleh Firdaus.
“Saya yakin awak Elisya,” tegas Firdaus akan kata-katanya
sebentar tadi.
“Encik salah orang. Saya minta diri dulu. Kawan saya dah
tunggu kat luar,” dalih Elisya sersya menolak lembut tangan Firdaus dari
memegang kerusi rodanya.
“Saya yakin awak Elisya. Awak tak boleh nak menipu saya,
Elisya Emran,” kata Firdaus tidak mahu mengalah.
Dia yakin dengan kata-katanya itu. Gadis berkerusi roda di
hadapannya ini adalah Elisya Emran. Gadis yang dirinduinya selama dua tahun.
Elisya tidak mengendahkan kata-kata Firdaus. Digerakkan
kerusi rodanya sekuat hati agar cepat beredar dari situ. Tidak mahu berjumpa
dengan Firdaus lagi. Degupan jantungnya berlari dengan laju. Kenapa dia perlu
berjumpa dengan lelaki itu semula?
“Saya rindukan awak, Elisya,” luah Firdaus penuh syahdu.
Terhenti tingkah laku Elisya daripada menggerakkan kerusi
rodanya. Dipejamkan mata buat seketika. Tidak semena-mena, air matanya mengalir
perlahan membasahi pipi. Tidak dinafikan dia turut merindui Firdaus. Siapalah
dia untuk merindui Firdaus? Sudah tentulah Firdaus masih membencinya.
Tanpa membalas, digerakkan kerusi rodanya keluar dari kedai
buku itu. Matanya terpandang Dahlia di hadapan sebuah kedai. Dia segera menuju
ke arah Dahlia. Tidak diendahkan Firdaus yang sedang memandang ke arahnya.
“AIR untuk kau!” ujar Dahlia seraya
menyerahkan secawan Milo panas kepada Elisya.
“Terima kasih,” balas Elisya sambil menyambut huluran
Dahlia. Dihirup perlahan Milo panas tersebut.
“So, apa kata dia
lepas jumpa kau tadi?” tanya Dahlia sambil melabuhkan duduk di sofa.
Elisya hanya membisu. Cawan berisi Milo diletakkan di atas
meja dan mengeluh berat. Entah kenapa hatinya sebu ketika ini. Ingatannya
memutarkan semula pertemuan dengan Firdaus di kedai buku siang tadi.
“Elisya!” seru Dahlia, perlahan.
Elisya menghalakan mata ke arah Dahlia di sisi. Senyuman
hambar diberikan buat kawan baiknya itu.
“Dia kata apa pada kau?” ulang Dahlia.
“Dia rindukan aku!” beritahu Elisya.
“Rindukan kau?”
Elisya sekadar mengangguk.
“Kau rindukan dia juga, kan?” tebak Dahlia lalu tersenyum.
Elisya menarik nafas lalu melepaskannya berat. Diraup
wajahnya beberapa kali. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Dahlia?
“Betul, kan?” tanya Dahlia inginkan kepastian.
“Aku akuinya, Lia. Aku memang rindukan dia. Tapi, siapalah
aku untuk merindui dia? Mungkin dia masih membenci aku seperti dulu,” jawab
Elisya berserta keluhan untuk kesekian kali. Matanya dibuang ke arah televisyen
yang sedang menyiarkan drama melayu.
“Sya, apa kurangnya kau? Aku pasti dia tak membenci kau. Dia
cintakan kau. Kalau tak, takkan dia luahkan kerinduan dia pada kau tadi,” jelas
Dahlia.
“Aku kan lumpuh,” ujar Elisya bernada sebak.
Dahlia terkedu. Ternyata, dia tersalah berbicara. Secara
tidak sengaja dia melukakan hati Elisya. Bukan niatnya bermaksud begitu.
“Aku masuk bilik dulu. Dah mengantuk!” ujar Elisya lalu
menggerakkan kerusi rodanya.
“Sya, aku tak sengaja,” kesal Dahlia.
“Tak mengapa Lia. Aku dah biasa,” balas Elisya sambil
tersenyum.
Dahlia menghela nafas ringan. Matanya menghantar Elisya
sehingga hilang dari pandangan. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah Elisya?
Perlukah dia berjumpa dengan Firdaus dan berterus-terang kepada lelaki itu?
Tetapi, di mana dia perlu mencari Firdaus?
FIRDAUS meraup wajah berserta keluhan berat.
Dipejamkan mata buat seketika sambil cuba mengimbas semula pertemuannya dengan
Elisya siang tadi. Benarkah Elisya, gadis yang berkerusi roda itu? Hatinya
menafikan tetapi akal mengiyakan.
Ya Allah, jika benar gadis itu Elisya, apa yang berlaku
kepada Elisya selama dua tahun ini? Adakah Elisya mengalami kemalangan?
“Abang!” panggil Farah, tiba-tiba.
Firdaus menoleh. Wajah Farah menyapa mata.
“Abang, Farah nak tanya sesuatu boleh?” tanya Farah sambil
menapak masuk ke dalam bilik. Senyuman diberikan kepada abangnya itu.
Firdaus mengangguk perlahan. Dibetulkan duduk dan menanti
Farah di meja kerja. Matanya mengekori langkah Farah sehinggalah gadis itu
duduk di birai katil.
“Abang, tadi masa kat pasaraya, Farah terpandang seorang
gadis ni. Bila dua tiga kali Farah tengok, macam Kak Sya pun ada,” mulai Farah.
Tersentak Firdaus mendengarnya. Adakah Farah turut sama
terserempak dengan Elisya?
“Tapi, gadis tu…”
“Berkerusi roda, kan?” potong Firdaus.
Farah mengangguk lemah.
“Abang pun terserempak dengan gadis tu,” beritahu Firdaus.
“Maknanya, Farah tak salah pandang la ya.”
“Abang yakin, gadis tu Elisya.”
“Abang, kenapa Kak Sya berkerusi roda? Kak Sya lumpuh ke?”
tanya Farah ingin tahu.
“Abang tak tahu Farah,” jawab Firdaus, perlahan. Diraup
wajahnya sekali dan melepaskan keluhan berat.
“Kita cari Kak Sya, abang. Farah rindu sangat-sangat kat Kak
Sya,” luah Farah, sebak.
“Abang pun rindukan dia,” ujar Firdaus seakan berbisik.
“Kesian Kak Sya. Pasti ada perkara yang berlaku kepada Kak
Sya selama dua tahun ini, kan abang?” tutur Farah seraya menghela nafas ringan.
Firdaus hanya mendengar. Hatinya mengiyakan kata-kata Farah.
Semakin bersalah Firdaus rasakan ketika ini. Rasa bersalah kerana menyakitkan
hati Elisya dahulu. Aku mesti cari dia sampai dapat, azam Firdaus dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan