“AUCH!!!” adu Elisya tatkala Mak Jah mengurut
kakinya.
“Firdaus ni memang nak kena dengan Mak Jah. Tak
bertanggungjawab betul. Mak Jah dah pesan tadi suruh hantar Sya ke rumah
Hamidah. Boleh pulak dia tinggalkan Sya di tepi jalan,” geram Mak Jah lebih
kepada bebelan.
“Firdaus tak salah, Mak Jah. Sya yang salah. Sya yang minta
Firdaus turunkan Sya di tepi jalan.” Elisya berterus-terang. Tidak mahu anak
beranak bertekak kerananya.
“Jangan nak membela Firdaus tu, Sya. Naik lemak jadinya
nanti. Mak Jah pun tak tahu kenapa Firdaus bersikap macam tu pada Sya.”
Elisya tidak membalas. Matanya memandang tingkah laku Mak
Jah yang sedang mengurut kakinya. Gara-gara berjalan, kakinya yang terseliuh
menjadi lebam. Disebabkan itu, rancangan untuk ke kebun Pak Harun terpaksa
dibatalkan. Hanya Hamidah sahaja yang ke kebun Pak Harun kerana sudah berjanji
untuk mengait buah rambutan.
“Kamu berdua ni ada masalah ke? Mak Jah tengok kamu berdua
tak sependapat.”
“Kami okey saja Mak Jah.”
“Mak Jah belum rabun lagi, Sya. Sejak Sya ke sini, sikap Firdaus
berubah. Bukankah kamu berdua berkawan rapat dahulu? Kenapa tiba-tiba jadi
macam ni?” tanya Mak Jah.
Itulah yang dilihat selama Elisya berada di kampung. Sikap
dan perangai Firdaus berubah sama sekali. Firdaus pemarah, perengus dan
bercakap ikut sedap mulut. Suka menyakitkan hati Elisya. Kenapa dengan Firdaus?
Adakah Firdaus dan Elisya bergaduh?
“Itu dulu Mak Jah. Sekarang dah lain. Kami dah ada haluan
masing-masing,” beritahu Elisya tenang. Sekadar menyedapkan hati Mak Jah.
Mak Jah mematikan urutan di kaki. Wajah Elisya ditatap buat
seketika.
“Kamu berdua ada masalah kan?” Mak Jah masih lagi dengan
firasatnya.
“Tak ada Mak Jah,” tukas Elisya serius.
Mak Jah menghela nafas ringan. Kepala menggeleng kecil.
Itulah Elisya. Sejak dari dulu lagi Elisya suka melindungi Firdaus. Setiap kali
Firdaus melakukan kesalahan, setiap kali itulah Elisya melindungi sekali gus
mempertahankan Firdaus. Adakah selama ini Elisya menyukai Firdaus, anaknya itu?
“Terima kasih Mak Jah. Dah tak rasa sakit lagi,” ujar Elisya
lalu tersenyum.
“Sya sukakan Daus?” tanya Mak Jah tiba-tiba.
Elisya tersentak. Kenapa Mak Jah bertanyakan soalan itu?
“Elisya cintakan Firdaus?” Mak Jah bertanya lagi.
Elisya membisu. Dia berkira-kira untuk menjawab. Perlukah
dia menjawab soalan Mak Jah itu? Jika dijawab, apa jawapan yang harus diberikan
kepada Mak Jah?
“Sya berterus-terang saja pada Mak Jah. Sya memang cintakan
Daus, kan?”
“Sya teringin nak makan buah rambutan. Mak Jah boleh tolong
ambilkan untuk Sya? Hamidah ada bagi buah kat Sya tadi,” pinta Elisya sekali
gus menukar topik perbualan.
Mak Jah menggeleng perlahan. Elisya sengaja tidak mahu
menjawab pertanyaannya. Dia yakin yang Elisya mencintai Firdaus melihatkan
tingkah laku gadis itu selama berada di rumahnya. Elisya sering mencuri pandang
ke wajah Firdaus tatkala mereka berkumpul bersama.
“Mak Jah ambil kat dapur,” kata Mak Jah lalu bangun dan
beredar dari situ.
Elisya hanya memandang. Nafas lega dilepaskan. Mujurlah dia
dapat melepaskan diri daripada menjawab pertanyaan Mak Jah.
Deringan telefon menyentak lamunan pendek Elisya. Telefon
bimbit dari atas meja dicapai lalu dilekapkan ke telinga sebaik sahaja butang
hijau ditekan.
“Alhamdulillah. Sya sihat. Mama dan papa macam mana? Sihat?”
balas Elisya sebaik sahaja salam bersambut.
“Mama dan papa sihat. Bila Sya nak balik?” tanya Puan
Ilyana.
“Err….” Elisya termati kata-kata.
“Mama dan papa rindukan Sya,” adu Puan Ilyana bernada sebak.
“Ma… Sya bukannya tak nak balik sana. Mama dan papa kan dah
benarkan Sya ke sini selama dua minggu. Tinggal beberapa hari saja lagi. Lepas
tu Sya balik,” beritahu Elisya berserta keluhan ringan.
“Mama takut tak sempat jumpa dengan Sya,” ujar Puan Ilyana
masih sebak.
“Insya-Allah, kita jumpa nanti,” balas Elisya. Cuba
meyakinkan mamanya itu.
Puan Ilyana menghela nafas ringan. Wajah Encik Emran di sisi
ditatap buat seketika. Jelas riak ketidakpuasan di wajah itu.
“Macam mana dengan permintaan kami?” tanya Puan Ilyana
kemudian.
Elisya tidak membalas. Otaknya mengimbas semula permintaan
Puan Ilyana dan Encik Emran pada dua minggu yang lepas.
“Kalau boleh Sya balik ke sini cepat. Boleh kita bincang
sama-sama tentang perkara tu,” kata Puan Ilyana bernada harapan.
“Insya-Allah mama. Sya akan fikirkan permintaan papa dan
mama,” balas Elisya mengalah. Rasa serba salah ketika ini.
“Papa nak cakap dengan Sya sekejap,” ujar Puan Ilyana seraya
menghulurkan telefon kepada Encik Emran.
Elisya mengangguk. Dia menanti sapaan dari hujung talian.
“Sya…” seru Encik Emran, lembut.
“Papa sihat?” tanya Elisya, prihatin.
“Sihat. Sya di sana macam mana? Ada sesiapa ganggu Sya?”
Elisya berkerut dahi mendengar pertanyaan Encik Emran.
“Kalau ada sesiapa ganggu Sya, minta tolong pada Firdaus.”
“Maksud papa?”
“Papa sekadar mengingatkan saja. Jaga diri baik-baik
sayang.”
“Insya-Allah papa. Sya jaga diri Sya baik-baik. Papa dan
mama pun kena juga jaga diri baik-baik. Jaga makan. Jangan makan makanan
berkolestrol,” kata Elisya berupa pesanan. Disentuh dadanya yang berdegup
dengan tiba-tiba.
“Papa sayangkan Sya. Papa harap Sya dapat balik awal dari
perancangan asal. Papa dah rindu sangat dengan Sya,” pinta Encik Emran.
Elisya tidak membalas. Semakin bersalah tatkala mendengar
permintaan Encik Emran.
“Papa harap Sya dapat balik sebelum papa dan mama pergi.”
Berkerut dahi Elisya mendengarnya. Ke mana papa dan mamanya
hendak pergi? Adakah mereka merancang untuk melancong lagi?
“Sampaikan salam papa pada Mak Jah, Firdaus dan Farah. Papa
harap Firdaus dapat jaga Sya di sana,” beritahu Encik Emran lagi. Rasa sebak
menghuni di hati.
Elisya masih membisu. Kalaulah Encik Emran dan Puan Ilyana
tahu keadaan sebenar, apa perasaan mereka berdua? Mereka mengharapkan Firdaus
menjaganya ketika ini di kampung. Tetapi, apa yang berlaku?
Selama dia berada di kampung, hanya sikap dingin dan benci
yang dilihat daripada Firdaus. Ketika kakinya terseliuh, Firdaus masih bersikap
yang sama inikan pula hendak menjaganya. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Papa harap Sya dapat balik awal,” ujar Encik Emran masih
mengharap.
“Insya-Allah, papa. Sya cuba balik awal dari perancangan,”
balas Elisya lalu mengangguk.
“Papa harap Firdaus dapat jaga Sya bila papa dan mama tak
ada nanti. Kalau Sya tak jumpa dengan mana-mana lelaki, Sya terima Firdaus,”
kata Encik Emran berupa pesanan.
“Kenapa Firdaus?” soal Elisya ingin tahu.
“Sebab papa yakin yang Firdaus dapat jaga Sya. Papa kenal
Firdaus macam mana orangnya. Papa harap dia dapat jaga Sya nanti,” jelas Encik
Emran.
“Tapi, macam mana dengan….”
“Kita hanya merancang. Tuhan yang menentukan
segala-galanya.”
Elisya menghela nafas ringan. Kepala mengangguk kecil.
“Sampaikan salam papa pada Mak Jah, Firdaus dan Farah. Jaga
diri baik-baik sayang. Semoga sayang tabah hadapi dugaan hidup,” pesan Encik
Emran lalu mematikan talian.
Elisya terkedu. Kenapa berlainan sekali kata-kata Encik
Emran? Adakah sesuatu telah berlaku kepada Encik Emran dan Puan Ilyana di sana?
“Ya Allah, Kau lindungilah papa dan mamaku,” doa Elisya
sendirian.
“YANG kau monyok sangat ni kenapa?” tegur Alif seraya menghulur sebotol
minuman.
Firdaus membalas huluran. Diteguk air dari dalamnya. Tekak
yang terasa kering sudah dibasahkan. Nafas dihela berat.
“Elisya apa khabar?” tanya Alif ingin tahu.
Firdaus tidak membalas. Botol minuman diletakkan di atas
meja.
“Aku tak berkesempatan nak jumpa dengan dia. Time kenduri nantilah aku jumpa dengan
dia,” beritahu Alif lalu tersenyum.
“Yang kau beria sangat nak jumpa dengan dia kenapa?” soal
Firdaus tidak berpuas hati.
Semenjak dua menjak ini Alif sering bertanyakan tentang
Elisya. Kenapa dengan Alif? Apa yang Alif mahukan daripada Elisya? Naik rimas
untuk dia menjawab setiap pertanyaan Alif.
“Yalah, dah lama aku tak jumpa dengan dia. Tak salahkan
kalau aku bertanya pasal dia.”
“Kau pergi sajalah ke rumah aku. Jumpa dia.”
“Aku memang nak pergi jumpa dengan dia. Tapi, aku segan.”
“Apa yang kau nak segankan? Kau kan kenal dia. Kawan sekolah
kita.” Firdaus menggelengkan kepala. Apa yang tidak kena dengan Alif?
“Dulu lain bro.
Sekarang lain. Dulu kita masih sekolah. Sekarang kita dah dewasa dan
berkerjaya. Macam mana perubahan fizikal kita, macam tu jugalah perubahan pada
hati dan perasaan kita,” terang Alif berserta senyuman.
“Hati dan perasaan tak mungkin berubah Alif,” ujar Firdaus.
“Eh, apa pulak tak mungkin berubah? Boleh berubah. Dulu
suka, sekarang benci. Dulu sayang, sekarang cinta. Dulu benci, sekarang suka.”
Alif memberi pendapat.
Firdaus terkedu. Ada benarnya pendapat Alif itu. Dulu dia
sukakan Elisya tetapi tidak sekarang. Dia membenci Elisya selepas mengetahui
kebenarannya.
“Kau ada dengar cerita tentang Shafinaz?” tanya Alif mematikan
lamunan pendek Firdaus. Dihalakan mata ke wajah Firdaus.
“Shafinaz? Kenapa dengan dia?” soal Firdaus sedikit
terpinga.
“Tak adalah. Aku tanya kau. Kau ada tak dengar cerita
tentang Shafinaz?” jelas Alif.
Firdaus sekadar menggeleng sebagai tanda jawapan kepada
Alif.
“Takkan tak tahu kut? Kau kan ex…..”
“Ex dan bukan
kekasih. Aku dan Shafinaz dah lama putus,” pintas Firdaus laju.
“Relax la. Aku saja tanya. Jangan kau nak melenting pulak,”
tegur Alif tatkala melihat wajah tegang Firdaus.
“Aku tak melenting. Kau tak sepatutnya tanya aku dengan
soalan yang kau sendiri dah tahu jawapannya,” balas Firdaus membela diri.
Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
Alif menggaru kepala yang tidak gatal.
“Aku balik dululah. Dah lewat ni,” ujar Firdaus lalu bangun
dari duduk.
Alif mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah
merangkak ke pukul enam petang. Terlalu lama mereka berdua keluar melepak.
Sejak dari pagi lagi.
“Sampaikan salam aku pada Elisya. Insya-Allah, masa kenduri
di rumah kau nanti aku jumpa dengan dia,” pesan Alif berserta senyuman di
bibir.
Firdaus tidak membalas. Dia melangkah menuju ke kereta.
“Daus!” panggil Alif kemudian.
Firdaus mematikan langkah. Dihalakan mata ke wajah Alif.
Menanti butir bicara daripada teman baiknya itu.
“Kau sukakan Elisya?” soal Alif sekadar ingin tahu.
Firdaus yang mendengar berkerut dahi. Kenapa Alif bertanya
soalan seperti itu?
“Selama kau berkawan dengan Elisya, sedikit pun kau tak ada
simpan perasaan pada dia?” soal Alif lagi. Dia melangkah menghampiri Firdaus di
kereta.
Firdaus masih lagi membisu. Pertanyaan Alif berlegar-legar
di minda. Perlukah dia menjawab pertanyaan Alif itu?
“Kau sukakan Elisya?” Alif bertanya buat kali ketiga.
“Aku balik dulu. Jumpa masa kenduri nanti,” balas Firdaus
lalu masuk ke dalam kereta.
Alif menggelengkan kepala. Matanya menghantar pemergian
Firdaus sehingga hilang dari pandangan. Setelah itu, dia melangkah menghampiri
motosikalnya.
“Daus…. Daus…. Aku tahu, selama ini kau memang sukakan
Elisya. Tapi kau ego. Ego tak nak mengaku yang kau sukakan Elisya. Dari
pandangan mata kau terhadap Elisya pun dah membuktikan yang kau dah lama
sukakan Elisya,” bicara Alif sendirian.
Tanpa berlengah, dia segera menunggang motosikal pulang ke
rumah. Fikirannya masih memikirkan tentang Firdaus dan Elisya. Semoga Firdaus
dan Elisya bersatu suatu hati nanti. Doa Alif buat teman baiknya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan