HAMIDAH masih ralit membantu Mak Jah di dapur.
Hari ini, rumah Mak Jah mengadakan kenduri arwah suaminya yang sudah lama
meninggal. Tidak menang tangan dirasakan Hamidah ketika ini. Walaupun Elisya,
Farah dan beberapa orang kampung datang membantu, dapat dirasakan kekurangan
tenaga kerja terutamanya di bahagian hadapan.
Mujur juga ada beberapa kenalan Firdaus turut sama membantu.
Nafas lega ditarik dan melepaskannya lembut. Dihalakan mata ke arah Elisya.
Sedari tadi hanya riak sedih yang terpamer di wajah kawannya itu. Kenapa Elisya
beriak begitu?
Hamidah melangkah menghampiri Elisya yang sedang menyusun
kuih-muih ke dalam piring. Hatinya diasak untuk bertanya daripada Elisya. Entah
kenapa dapat dirasakan sesuatu perubahan kepada Elisya. Seperti ada masalah
berat yang sedang dihadapi oleh Elisya melihatkan riak di wajah gadis itu
ketika ini.
“Sya!” tegur Hamidah sebaik sahaja menghampiri Elisya.
Elisya mengangkat muka. Wajah Hamidah menyapa mata. Senyuman
diberikan kepada kawannya itu.
“Kenapa ni? Monyok
saja muka tu saya tengok. Awak ada masalah ke?” tanya Hamidah, prihatin. Dia
turut membantu Elisya menyusun kuih-muih ke dalam piring.
“Tak ada apa-apalah, Midah.”
“Dari tadi saya tengok muka awak monyok dan sedih saja. Firdaus sakitkan hati awak ke?” tanya
Hamidah lagi.
“Eh, tak adalah,” bidas Elisya, laju.
“Awak jangan nak tipu saya, Sya. Saya perasankan pandangan
Firdaus pada awak. Pandangan benci. Firdaus masih dengan sikap dia lagi ke?”
Elisya menghela nafas berat. Matanya memandang wajah
Hamidah.
“Biar saya tegur Firdaus,” ujar Hamidah dan berkira-kira
untuk beredar dari situ.
“Jangan Midah! Jangan keruhkan lagi keadaan. Mungkin ada
salah yang saya buat sehinggakan Firdaus membenci saya,” tegah Elisya seraya
menarik lengan Hamidah.
Termati langkah Hamidah dek kerana tarikan itu. Nafas dihela
dan melepaskannya lembut. Wajah Elisya ditatap mesra. Rasa kasihan menapak
dalam hati. Perlukah dia berterus-terang kepada Elisya kisah yang sebenarnya?
“Saya ingat, nak balik ke Australia dalam sehari dua lagi,”
ujar Elisya, perlahan.
“Apa? Awak nak balik?” ulang Hamidah, terkejut.
Elisya sekadar mengangguk.
“Tapi, kan belum cukup dua minggu awak kat sini? Takkan dah
nak balik?”
“Mama dan papa saya minta saya balik cepat. Mereka ada
perkara nak bincang dengan saya,” kata Elisya bingkas bangun dari duduk.
“Ya ke? Perkara apa?” tanya Hamidah, berminat.
“Tentang perkahwinan saya,” jawab Elisya lalu beredar dari
situ berserta piring yang berisi kuih-muih di tangan.
Terkedu Hamidah mendengarnya. Matanya menghantar langkah
Elisya sehingga hilang di sebalik pintu. Benarkah apa yang didengarinya tadi?
Tentang perkahwinan Elisya.
“TERIMA kasih Alif sebab bantu aku,” ucap
Firdaus, ikhlas.
“Ala, perkara kecik sajalah Daus. Bukannya aku tak tahu yang
family kau adakan kenduri arwah
setiap tahun,” balas Alif lalu tersenyum.
“Walau bagaimanapun, aku tetap nak ucapkan terima kasih pada
kau. Tak menang tangan aku tadi dibuatnya.”
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.”
“Alhamdulillah, Alif. Jomlah kita makan dulu.”
“Tak apalah, Daus. Aku dah kenyang.”
“Kenyang? Bila kau makan? Aku tak nampak pun.”
“Aku kenyang tengok Elisya. Sejuk mata aku memandang wajah
dia. Kau sendirikan tahu, dari zaman sekolah lagi aku minat kat dia,” terang
Alif lalu tersengih.
Matanya masih lagi ralit memerhatikan Elisya yang sedang
sibuk mengemas sambil dibantu oleh Hamidah.
Firdaus turut memandang ke arah yang sama. Hatinya mengakui
akan kata-kata Alif. Seakan ada perasaan lain yang hadir di hati tatkala
melihat pandangan Alif terhadap Elisya. Perasaan apakah itu? Adakah perasaan
cemburu?
“Dapat juga aku jumpa dengan dia,” ujar Alif masih
tersenyum.
“Nasib baik dapat. Kalau tak dapat, menangis air mata darah
la kau,” kata Firdaus sekadar mengusik. Ketawa kecil terlepas daripada bibir.
Alif tidak membalas. Bukannya dia tidak mahu berjumpa dengan
Elisya. Disebabkan rasa malu yang menebal membuatkan dia menahan perasaan
daripada berjumpa dengan gadis itu.
“Cantikkan dia, Daus,” puji Alif, ikhlas.
Firdaus mengangguk perlahan.
“Kalau aku tackle dia…
apa pendapat kau, Daus?” tanya Alif pula.
Tersentak Firdaus mendengarnya. Wajah Alif yang sedang
tersenyum dipandang seketika. Perlukah dia memberi pendapat tentang itu?
“Daus, aku tanya kau ni. Okey tak, kalau aku tackle Elisya?”
“Aku… aku…”
“Kau kan rapat dengan dia dulu. Mesti tentang dia kau tahu.
Apa kata kau beritahu pada aku, apa yang dia suka dan tak suka?”
“Dulu lain dan sekarang lain, Alif.”
“Memang la dulu lain sekarang lain. Dulu kita masih dibangku
sekolah. Sekarang kita dah bekerja. Dulu kita tak ada perasaan. Sekarang kita
ada perasaan. Tambah-tambah perasaan malu. Aku sebenarnya dah lama suka kat
dia. Dari sekolah lagi,” jujur Alif
memberitahu.
Firdaus tergamam. Pengakuan Alif sedikit mengejutkan. Malah
menghadirkan rasa lain di hati. Kenapa Alif tidak berterus-terang tentang
perasaannya terhadap Elisya sebelum ini?
“Bila Elisya balik ke sana? Aku ingat nak ajak dia keluarlah
Daus.”
Firdaus hanya membisu. Otaknya masih ligat berfikir. Kenapa
dia berasa kurang enak mendengar kata-kata Alif? Adakah dia cemburu ketika ini?
“Aku nak jumpa dia sekejap. Kau nak ikut tak?”
“Tak apalah. Aku nak ke sana. Nak kemas apa yang patut,”
balas Firdaus berlalu pergi.
Alif hanya memandang. Dijungkitkan bahu dan mengatur langkah
menuju ke tempat di mana Elisya dan Hamidah berada. Sudah agak lama dia tidak
berbual bersama Elisya. Inilah peluang untuknya berbual dan bertanya khabar
tentang gadis itu.
“SAYA sihat Alif. Awak?” tanya Elisya lalu
tersenyum.
“Saya sentiasa sihat Elisya. Lebih sihat lepas saya tengok
awak,” balas Alif, tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.
Ketawa kecil Elisya mendengarnya. Alif tidak pernah berubah.
Masih seperti dulu. Suka mengusik dan bergurau. Tidak seperti Firdaus yang jauh
berbeza dari dulu dan sekarang.
“Lama saya tak jumpa dengan awak. Saya ada juga tanya pada
Firdaus tentang awak, tapi Firdaus tu, macam nak tak nak saja bercakap. Macam
tadi, saya tanya kat dia tentang awak, haram dia nak jawabnya,” adu Alif
berserta dengusan ringan.
Elisya tersenyum hambar. Pasti Firdaus tidak suka dengan
pertanyaan Alif itu. Rasa sebak hadir dalam hatinya kala ini.
“Elisya… Elisya…” panggil Alif, lembut.
“Eh… ya, Alif. Awak tanya apa?” tanya Elisya sedikit
terpinga-pinga.
“Awak ni, kenapa? Dari tadi saya tengok wajah awak sedih
saja. Kata-kata saya menyinggung perasaan awak ke?” tanya Alif, prihatin.
“Tak… tak.. bukan sebab itu. Saya rindukan keluarga saya di
sana,” dalih Elisya. Tidak mahu Alif berasa serba salah.
Alif menatap wajah Elisya. Seperti ada sesuatu yang cuba
disembunyikan oleh gadis itu. Tetapi, apa dia?
“Family awak
sihat, Alif? Lama saya tak jumpa dengan adik awak, Halim.”
“Oh, adik saya tu. Halim sekarang sambung belajar kat UKM
Bangi.”
Elisya mengangguk faham. Senyuman diberikan kepada Alif.
Kemudian, dihalakan pandangan ke arah sawah. Tanpa disengajakan, matanya
terpandang kelibat Firdaus. Hanya jelingan tajam yang diberikan oleh lelaki
itu. Dia mengeluh dalam hati.
“Bila awak balik ke sana, Elisya?”
“Insya-Allah, kalau tak ada halangan dalam sehari dua ni
saya balik ke sana.”
“Cepatnya? Kan baru seminggu lebih awak kat sini?”
“Mama dan papa saya minta saya balik cepat. Ada perkara yang
mereka nak bincangkan dengan saya,” beritahu Elisya.
“Perkara? Perkara apa?” tanya Alif sekadar ingin tahu.
“Tentang perkahwinan saya. Mereka dah cari calon yang sesuai
untuk saya,” jujur Elisya masih tersenyum.
Tersentap Alif mendengarnya. Perkahwinan? Calon suami?
Elisya akan berkahwin? Benarkah apa yang diperkatakan oleh Elisya itu?
“Saya ke sana dulu, Alif. Nak bantu Mak Jah sekejap,” pamit
Elisya berlalu pergi.
Alif hanya mengangguk dan memandang. Sebu di hati ketika
ini. Niat untuk memikat Elisya hanya tinggal niat sahaja. Bukan jodohnya dengan
Elisya.
“KALAU kau tak percaya kau boleh tanya dia.
Aku dengar dari mulut dia sendiri. Dia nak kahwin,” beritahu Alif jelas dan
nyata.
“Tak mungkin! Aku tak percaya!” bidas Firdaus tatkala
penjelasan Alif mengenai perkahwinan Elisya terngiang-ngiang di cuping
telinganya.
“Apa yang tak mungkin? Apa yang tak percaya?” tanya Elisya,
tiba-tiba.
Tersentak Firdaus dek kerana pertanyaan itu. Dihalakan mata
ke arah yang bertanya. Serta-merta dengusan kasar terlepas daripada bibir.
Pantas dia bangun dari duduk untuk beredar.
“Firdaus Hakimi, boleh saya bercakap dengan awak sebentar?”
pinta Elisya, lembut.
“Aku tak senang!” balas Firdaus lalu melangkah jalan menuju
ke rumah.
“Saya nak balik KL esok. Lusa, saya balik ke Australia,”
beritahu Elisya, perlahan.
Terhenti langkah Firdaus mendengarnya.
“Saya ingat, nak tinggal lagi seminggu kat sini sebelum saya
balik ke sana. Tapi, mama saya dah call
tadi minta saya balik cepat. Sebab itulah…”
“Suka hati kaulah! Tak ada kena-mengena dengan aku,” pintas
Firdaus berlalu pergi.
Elisya hanya memandang. Semakin sebak dirasakan ketika ini.
Kenapa Firdaus bersikap begitu terhadapnya? Apa salahnya selama ini? Sudah puas
dikerah otaknya berfikir sebab dan punca Firdaus berubah sikap. Namun, semuanya
menemui jalan buntu. Kepada siapa dia harus bertanya? Bila ditanya kepada
Hamidah, gadis itu seakan mengelak daripada bercerita.
Tanpa membuang masa, dibawa langkah masuk ke dalam rumah
menuju ke bilik. Dia perlu mengemas barang keperluannya. Terasa berat untuk
meninggalkan kampung itu. Atas sebab-sebab yang tertentu, terpaksa juga dia
mengambil keputusan sebegitu.
ELISYA mencapai laptop dari atas meja lalu membawanya ke atas katil. Butang on ditekan dan menanti laptop berfungsi. Keluhan berat terlepas
daripada bibir. Matanya memerhati segenap ruang bilik yang dihuni selama
seminggu. Pasti dia akan merindui bilik itu selepas ini.
Deringan telefon menyentak lamunan Elisya. Telefon bimbit
dicapai dari atas meja lalu melihat nama di skrin telefon. Dahlia! Sebut Elisya
dalam hati. Nafas ditarik dan melepaskannya lembut.
“Aku sihat alhamdulillah,” balas Elisya sebaik sahaja salam
bersambut.
“Alhamdulillah. So,
macam mana dengan misi ‘Luahan Hati’ kau?” tanya Dahlia ingin tahu.
“Tak berjaya lagi, Lia,” keluh Elisya.
“Tak mengapalah, Sya. Mungkin masanya tidak sesuai untuk kau
luahkan perasaan kau yang sebenarnya pada dia. Lagipun, aku tak berapa nak
setuju dengan keputusan kau ni. Aku tak nak kau terluka lagi seperti dulu.”
“Aku tahu. Kalau dulu dia pandang sepi dengan luahan aku tak
salah kalau aku mencuba buat kali yang kedua.”
“Yalah! Kalau dia terima, tak sia-sialah kau ke sana. Tapi,
kalau dia tak terima luahan kau macam dulu….”
“Aku reda. Bukan jodoh aku dengan dia untuk bersama,” pintas
Elisya, perlahan.
Dahlia menghela nafas ringan.
“Kau janganlah fikirkan sangat tentang dia. Apa yang penting
sekarang ni, permintaan mama dan papa kau.”
Permintaan Puan Ilyana dan Encik Emran berkenaan lamaran
dari sahabat baik keluarga itu sudah lama diketahuinya. Disebabkan lamaran itu,
Elisya bercuti di kampung. Sekadar untuk menenangkan fikiran sebelum menerima
lamaran tersebut.
Malah, misi untuk Elisya meluahkan perasaan kepada Firdaus
Hakimi buat kali yang kedua turut menjadi sebab dan kenapa Elisya berada di
kampung.Ternyata, Elisya bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Cintanya
kepada Firdaus Hakimi tidak pernah luput sehingga ke hari ini.
“Aku tahu. Sebab itulah aku minta masa daripada papa dan
mama aku.”
“Kalau aku di tempat kau, aku pun tak tahu apa aku nak buat.
Seperti diluah mati mak ditelan mati bapak saja.”
“Dah tertulis takdir aku macam tu. Nak tak nak, terpaksalah
aku terima seikhlas hati aku,” beritahu Elisya, mengeluh.
“Tapi, itu masa depan kau. Kau sepatutnya fikirkan tentang
masa depan kau. Aku rasa, kau macam terpaksa saja,” bidas Dahlia.
“Aku ikhlas, Lia,” ujar Elisya.
Dahlia mengeluh lembut. Sukar untuk memujuk Elisya. Jika
keputusan sudah dibuat, tidak mungkin Elisya mengubahnya.
“So, jadi tak kau
balik KL esok? Kalau jadi, aku ambil kau kat stesen bas.”
“Insya-Allah, jadi. Walau macam mana pun, aku kena balik
juga.”
“Aku faham. Banyak-banyaklah bersabar. Semoga Allah
permudahkan segala-galanya.”
“Insya-Allah. Terima kasih, Lia.”
“Kalau macam tu, aku letak dulu. Esok kau mesej aku pukul
berapa kau naik bas ke sini. Senang sikit aku nak tunggu kau esok,” pesan
Dahlia.
“Yes boss! Arahan
diterima!” balas Elisya lalu ketawa kecil.
Dahlia yang mendengar turut sama ketawa. Tidak dinafikan
Elisya seorang yang suka bergurau dan mengusik. Tetapi, selepas apa yang berlaku,
Elisya berubah laku. Dari seorang yang periang kepada yang pendiam.
Semuanya kerana Firdaus Hakimi. Ditambah dengan masalah yang
dihadapi oleh Elisya ketika ini menambahkan lagi perubahan Elisya. Semoga
Elisya menemui kebahagiaan yang dicari selama ini.
FIRDAUS menyandarkan tubuh ke kepala katil.
Matanya membuang pandang ke arah kipas siling yang sedang ligat berputar. Entah
apa yang sedang difikirkan, dia sendiri tidak pasti. Adakah Elisya yang sedang
difikirkannya itu?
Firdaus mengeluh berat. Kenapa begitu cepat Elisya mengambil
keputusan untuk pulang ke Australia? Adakah disebabkan sikap dinginnya
membuatkan Elisya mengambil keputusan sebegitu? Bukan niatnya untuk melukakan
hati Elisya.
Disebabkan kenangan lama membuatkan dia bersikap begitu. Kenangan
yang bersangkut-paut dengan Elisya. Apa yang pasti, hatinya menolak kehadiran
Elisya selama seminggu ini. Tatkala kenangan lama meniti di minda, hatinya
menjadi sakit.
“Daus!” tegur Mak Jah dari muka pintu.
Tersentak Firdaus seketika. Dihalakan mata ke muka pintu
bilik. Wajah Mak Jah menyapa mata. Serta-merta senyuman diberikan kepada maknya
itu.
“Kenapa dengan anak mak ni? Dari siang tadi monyok saja. Daus ada masalah ke?” tanya
Mak Jah, prihatin.
Dilabuhkan duduk di birai katil dan menatap mesra wajah anak
terunanya itu. Ada riak sedih pada wajah Firdaus. Apa yang membuatkan anaknya
itu sedih?
“Tak ada apa-apa mak. Daus cuma penat saja,” dalih Firdaus
sambil membetulkan duduk.
“Mak tahu, Daus ada masalah sekarang ni. Dari air muka Daus
pun mak dah boleh tahu. Apa masalah Daus sebenarnya ni? Cuba Daus beritahu pada
mak. Kut-kut, mak boleh bantu.”
Firdaus menghela nafas berat. Perlukah dia bercerita kepada
Mak Jah akan masalahnya itu? Masalah? Adakah apa yang sedang difikirkannya itu
merupakan masalah?
“Esok Daus hantar Sya ke stesen bas, boleh?” pinta Mak Jah
berharap.
“Untuk apa?” tanya Firdaus pura-pura. Hakikatnya, dia sudah
pun mengetahuinya.
“Esok kan Sya balik ke Kuala Lumpur. Lusa, ke Australia,”
beritahu Mak Jah.
Firdaus mengangguk lemah. Baru tadi Elisya memberitahunya
tentang itu, namun dia buat endah tak endah sahaja.
“Boleh, kan Daus?” pinta Mak Jah lagi.
“Boleh mak. Esok, Daus hantar Sya ke stesen bas,” balas
Firdaus sambil mengangguk.
“Terima kasih, Daus. Mak keluar dulu nak tidur. Daus pun,
janganlah tidur lewat sangat,” pesan Mak Jah lalu bangun dari duduk.
Tanpa menunggu, dibawa langkah beredar dari bilik itu.
Senyuman diberikan kepada anaknya itu.
“Baiklah mak!” balas Firdaus turut sama tersenyum.
Matanya menghantar langkah Mak Jah sehingga hilang di
sebalik pintu bilik. Kemudian, dia bingkas bangun dari duduk lalu melangkah
menuju ke jendela. Keluhan berat dilepaskan untuk kesekian kali. Apa yang harus
dilakukan ketika ini? Perlukah dia berjumpa dengan Elisya?
Setelah lama berfikir, ada baiknya dia berjumpa dengan
Elisya. Meminta maaf atas keterlanjurannya selama dua minggu ini. Berharap
Elisya dapat memaafkannya.
“Abang!” panggil Farah.
Firdaus yang sedang melangkah menuju ke bilik Elisya
berkerut dahi. Suara esakan tangis Farah menyapa gegendang telinga. Dilajukan
langkah menghampiri bilik Elisya. Kenapa Farah menangis?Apa yang sedang
berlaku?
“Kak Sya!” adu Farah, teresak.
“Kenapa dengan Sya?” tanya Firdaus, berdebar.
“Daus, Sya dah pergi.” Sebak Mak Jah memberitahu Firdaus.
“Apa? Pergi?” ulang Firdaus, terkejut.
Mak Jah mengangguk lemah.
“Bukan ke esok baru dia nak balik KL?” tanya Firdaus tidak
berpuas hati.
“Mak pun tak tahu. Mak ke bilik nak ajak Sya makan. Satu
rumah ni mak cari dia. Lepas tu, mak terjumpa dengan surat ni,” cerita Mak Jah
lalu teresak kecil. Dihulurkan sepucuk surat kepada Firdaus dan dibalas oleh
anaknya itu.
“Farah pun sama. Farah nak minta tolong Kak Sya ajarkan
Farah matematik. Bila Farah sampai kat bilik, Kak Sya dah tak ada. Farah ingat
Kak Sya keluar. So, Farah balik bilik
Farah semula,” cerita Farah pula. Masih kedengaran esakan tangisnya itu.
Firdaus hanya mendengar. Dikeluarkan sehelai kertas dari
dalam sampul surat lalu membaca isi kandungan surat tersebut.
Maafkan Sya
sebab tak memberitahu kepada Mak Jah akan pemergiaan Sya ini. Atas sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan, Sya terpaksa pergi malam ini juga. Sya ucapkan
terima kasih atas segala-galanya. Halalkan makan minum Sya selama Sya berada di
rumah Mak Jah. Maafkan segala kesalahan Sya, sengaja mahupun tidak
disengajakan. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan jodoh, kita berjumpa lagi.
Farah,
belajar rajin-rajin. Kak Sya doakan agar Farah berjaya dalam SPM nanti. Semoga
cita-cita Farah nak menjadi seorang doktor akan tercapai suatu hari nanti.
Maafkan kesalahan Kak Sya selama seminggu ini.
Firdaus,
saya minta maaf atas segala-galanya. Walaupun saya tidak tahu kenapa awak tidak
menyenangi kedatangan saya, tapi saya yakin, pasti ada sebab kenapa awak bersikap
sebegitu. Maafkan segala kesalahan saya andai kata saya ada menyakiti hati
awak. Semoga awak bahagia di samping orang tersayang.
Elisya
Emran
Firdaus melipat semula surat tersebut selepas membacanya.
Diraup kasar wajahnya lalu menatap wajah sedih Mak Jah dan Farah. Adakah
disebabkannya, Elisya mengambil keputusan sebegitu? Adakah kerana sikapnya
selama seminggu ini membuatkan gadis itu terasa hati? Ya Allah, apa yang telah
aku lakukan? Bukan niat aku nak melukakan hati dia, bisik Firdaus sayu.
Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Mungkin
dia dapat menahan Elisya daripada pergi. Berharap, usahanya itu membuahkan
hasil.
Mak Jah dan Farah hanya memandang. Pasti Firdaus keluar
mencari Elisya. Semoga usaha Firdaus berjaya. Semoga Elisya selamat tiba di
Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan