BAB 5
Nur Ain menatap mesra wajah Hazrel
berserta kerutan di dahi. Entah sebab apa Hazrel memanggilnya masuk ke dalam
bilik pejabat, Nur Ain tidak tahu. Jika diikutkan, belum pernah dia lewat hadir
ke tempat kerja dalam bulan ini. Tetapi, kenapa Hazrel memanggilnya?
“Ada apa Encik Hazrel?” tanya Nur Ain
ingin tahu.
Hazrel mengangkat muka. Matanya
merenung tajam wajah Nur Ain. Kemudian dijatuhkan wajahnya mengadap fail di
hadapannya itu.
Hisy, dia ni nak apa? Dah lama dah aku
tercongok kat depan dia. Kalau nak bagi kerja, bagi ajelah, buat apa senyap-senyap
macam tu, rungut Nur Ain di dalam hati.
“Encik Hazrel nak suruh saya buat apa?”
tanya Nur Ain sekadar mencuba.
Hazrel mendengus kasar. Sakit telinganya
mendengar suara Nur Ain itu.
“Awak boleh diam tak? Macam mana saya
nak fahamkan maklumat ni kalau awak bising,” jerkah Hazrel meninggi.
“Habis tu yang encik panggil saya ni
kenapa?” suara Nur Ain sedikit meninggi.
Sakit hatinya dijerkah sebegitu.
Seolah-olah dia tidak punya perasaan dan harga diri. Adakah disebabkan keadaan
dirinya maka sesenang hati sahaja Hazrel memarahi dan menjerkah dirinya itu?
“Awak melawan saya Nur Ain?” tanya
Hazrel masih meninggi.
“Encik Hazrel panggil saya masuk dalam
ni untuk apa? Kalau Encik Hazrel nak bagi saya kerja, bagitau ajelah. Bolehlah
saya keluar dari bilik ini secepat yang mungkin. Saya rasa Encik Hazrel pun
bukannya suka nak mengadap muka saya ni,” jelas Nur Ain turut sama meninggi.
Hazrel bingkas bangun dari duduknya.
Sakit hatinya mendengar kata-kata Nur Ain itu. Jika diikutkan hatinya yang
panas, mahu sahaja dia menampar pipi gadis itu di atas kelancangan mulut gadis tersebut.
“Awak melawan saya Nur Ain? Awak tahu
tak hutang awak tu masih belum bayar lagi,” suara Hazrel sinis.
Nur Ain mengerutkan dahi. Air liur
ditelan berkali-kali. Matanya memandang tepat ke wajah Hazrel yang sedang
mencebik.
“Awak jangan ingat saya akan halalkan
hutang tu. Saya tetap nak awak bayarnya. Tapi, atas budi bicara saya sendiri,
saya boleh pertimbangkan untuk kurangkan hutang awak tu,” jelas Hazrel dan bersandar di
meja. Matanya menjamah Nur Ain dari atas ke bawah.
“Bagaimana?” tanya Nur Ain terketar-ketar.
Huh! Memang bodoh betul minah ni. Cepat
sangat percayakan orang, kutuk Hazrel di dalam hati dan mencebik.
“Hari ni kau ikut aku ke mana aje aku
pergi tanpa bersuara. Sebagai menebus hutang kau tu dan juga telefon bimbit kau
yang aku pegang selama sebulan ni,” jelas Hazrel tegas.
Nur Ain membeliakkan matanya. Telefon
bimbit? Takkan dia yang jumpa telefon aku kot, duga hati Nur Ain.
“Telefon bimbit?” ulang Nur Ain.
“Maknanya, Encik Hazrel yang jumpa dan pegang telefon bimbit saya tu?” duga Nur
Ain pula. Senyuman gembira terbias di wajahnya.
Hazrel terkedu. Seperti sebelum ini,
terasa kelu lidahnya untuk berkata-kata. Matanya menatap senyuman gembira di
bibir Nur Ain.
“Terima kasih encik. Boleh saya
dapatkan telefon tu balik?” ujar Nur Ain riang.
Hazrel tersentak. Dia membetulkan
keadaan dirinya dan menapak jalan menuju ke sofa. Persoalan Nur Ain dibiarkan
tergantung. Jawapan apa yang perlu diberikan? Tidak semudah itu dia akan
menyerahkan telefon bimbit itu selagi hatinya belum puas mengenakan Nur Ain.
“Aku akan serahkan asalkan kau dengar
cakap aku. Buat permulaan, aku nak kau buatkan aku air, terasa kering tekak aku
ni,” arah Hazrel tegas.
“Baiklah! Saya minta diri dulu,” ujar
Nur Ain dan segera menapak keluar.
Hazrel hanya memandang. Otaknya ligat berfikir
rancangan untuk mengenakan Nur Ain. Rasa sakit hatinya terhadap Eddie, masih
lagi bersisa. Malah kata-kata amaran yang diberikan oleh Eddie juga membuatkan
ego lelakinya rasa tercabar.
“Aku nak tengok, berapa lama kau akan
pertahankan dia Die,” bisik Hazrel sendirian.
Nur Ain membuntuti Hazrel. Sedari tadi,
dia hanya menurut segala perintah Hazrel. Ke situ Hazrel pergi, ke situ jugalah
Nur Ain pergi. Ke sana Hazrel pergi, ke sana jugalah Nur Ain pergi. Entah ke
mana Hazrel ingin membawanya, Nur Ain sendiri tidak pasti. Adakah hari ini
menjadi hari paling malang buat Nur Ain? Malang kerana terpaksa mengekori
Hazrel ke mana sahaja lelaki itu ingin pergi.
“Cepatlah! Yang terhegeh-hegeh tu lagi
kenapa?” jerit Hazrel sedikit meninggi.
“Maaf!” ucap Nur Ain dan mempercepatkan
langkahnya.
“Tak habis-habis dengan kata maaf kau tu. Cubalah cari ayat lain yang boleh disebutkan.
Ini tidak, ‘maaf’… ‘maaf’… sakit telinga aku dengarnya, kau tahu tak?” jerkah
Hazrel pula sambil bercekak pinggang.
Terhenjut badan Nur Ain mendengar jerkahan
Hazrel itu. Dia menundukkan muka dari ditatap oleh Hazrel. Sungguh dia merasa
malu yang amat sangat ketika ini. Pasang-pasang mata yang melihat tidak
dihiraukannya. Jika boleh, mahu sahaja Nur Ain melangkah pergi dari situ. Namun
disabarkan hatinya kerana khuatir Hazrel akan terus-terusan mengugutnya.
Hazrel meneruskan langkahnya. Dia
membawa dirinya masuk ke dalam sebuah kedai pakaian yang berada di dalam shopping kompleks itu. Hatinya teruja
melihat koleksi pakaian yang terdapat di dalam kedai tersebut. Dicapai satu
persatu baju yang menarik minatnya dan diserahkan kepada Nur Ain.
“Pegang ni!” arah Hazrel keras.
Nur Ain yang sedikit mengelamun,
tersentak dengan arahan Hazrel. Dia mencapai baju yang diserahkan oleh Hazrel.
Satu persatu Hazrel menyerahkan padanya. Dia hanya membuntuti Hazrel tanpa
berniat untuk membantah. Jika dibantah, bagaimana untuk melangsaikan hutangnya
dan juga mendapat telefon bimbitnya semula.
“Yang kau tercegat kat situ tu lagi
kenapa? Bawa sini baju-baju tu semua!” tegur Hazrel keras tatkala menyedari Nur
Ain seakan mengelamun.
“Baiklah!” balas Nur Ain dan
menghampiri Hazrel.
“Tak boleh diharapkan langsung!” rengus
Hazrel kasar.
Segera dia mencapai baju yang berada di
tangan Nur Ain. Disuakan baju tersebut ke badannya sendiri satu persatu di
hadapan cermin. Jika tidak berkenan di hati dan matanya, dilemparkan baju
tersebut ke arah Nur Ain. Begitulah tingkah Hazrel selama dia berada di dalam
kedai pakaian itu. Dikerahkan Nur Ain mengambil dan meletakkan baju dari
gantungan. Hatinya puas mengenakan Nur Ain. Niatnya untuk membuatkan Nur Ain
sebagai hambanya terlaksana sudah. Jika Eddie tahu sekali pun, Hazrel tidak
ambil peduli. Apa yang penting, rancangannya itu berjaya dengan jayanya.
“Lepas ni ikut aku ke gym. Dah lama aku tak ke sana,” beritahu
Hazrel sebaik sahaja keluar dari kedai pakaian tersebut.
Nur Ain sekadar mengangguk. Nak tak
nak, dia terpaksa akur dengan arahan Hazrel. Untuk membantah, tidak sama
sekali. Nasibnya diserahkan pada ALLAH sahaja.
“Dah tak ada mulut nak bercakap ke? Aku
tak nak tengok kau mengangguk. Aku nak tahu jawapan dari kau bila aku bertanya,”
suara Hazrel menekan.
“Baiklah Encik Hazrel!” jawab Nur Ain
dan menunduk.
“Kau ni asyik menunduk aje kenapa? Kau
takut tengok muka aku ni atau kau takut jatuh cinta pada aku?” tanya Hazrel
sinis.
“Tak… saya…”
“Aku pun tak hingin nak tengok muka kau
yang tak cantik dan berparut tu,” pintas Hazrel meluat. Seminit kemudian, dia
membawa dirinya masuk ke dalam gym.
Tersentap hati Nur Ain mendengarnya.
Air matanya bergenang di tubir mata. Kenapa Hazrel menghinanya sebegitu rupa?
Nur Ain sedar, dia bukanlah secantik Erra Fazira. Tetapi, dia juga punya hati
dan perasaan. Sungguh Nur Ain terasa dengan kata-kata Hazrel tadi. Namun
ditahan rasa hatinya itu. Siapalah dia untuk mempersoalnya semula?
“Janganlah macam ni Qis. Auntie janji akan paksa Haz terima
cadangan kita tu,” pujuk Datin Salina sambil menggenggam tangan Qistina.
“Tapi kalau Haz tak setuju macam mana Auntie,” ujar Qistina sebak.
“Qis jangan risau. Haz akan dengar
cakap Auntie. Percayalah dengan Auntie.”
Qistina mengeluh berat. Pelbagai usaha
telah dibuat agar Hazrel jatuh cinta dengannya. Ternyata usahanya itu hanya
sia-sia sahaja. Hati Hazrel begitu keras sehingga sukar untuk menembusinya.
Jika dulu dia gagal untuk mendapatkan Hazrul, dia tidak mahu gagal untuk kali
yang kedua. Dia perlu memikat hati Hazrel. Dia perlu pastikan Hazrel jatuh ke
tangannya. Dia perlu membuatkan Hazrel menyintainya. Jika dengan jalan baik,
dia tidak berjaya. Dia akan menggunakan jalan jahat asalkan Hazrel jatuh ke
tangannya.
“Qis bukannya apa Auntie, Qis kecewa dengan sikap Haz. Qis dah usaha untuk pikat hati
dia, tapi masih tak berjaya,” jelas Qistina sebak. “Mujurlah papa tak
bertanyakan pada Qis tentang hubungan Qis dengan Haz. Kalau tidak, jawapan apa
yang Qis perlu berikan pada papa nanti andai kata papa bertanyakan tentang itu
dari Qis,” sambung Qistina.
Datin Salina menghela nafas pendek. Dia
meleraikan genggaman tangannya yang sedari tadi bertaut di tangan Qistina.
Matanya menatap wajah muram Qistina. Tumpah simpatinya terhadap wajah itu.
“Macam nilah Qis. Tentang hubungan Qis
dengan Haz, Qis jangan bagitau apa-apa pada papa Qis. Auntie dan Uncle akan
bincangnya sendiri dengan papa Qis. Auntie
juga akan tanyakan Haz tentang perkara ini,” cadang Datin Salina seraya bangun.
Langkah diatur menuju ke jendela dan membuang pandang di situ.
“Auntie
janji akan selesaikan bagi pihak Qis?”
“Janji Qis. Auntie akan cuba selesaikannya secepat mungkin. Auntie cuma tunggu kata putus dari Haz
aje.”
“Kata putus? Maksud Auntie?” ulang Qistina berserta kerutan.
“Auntie
minta Haz berkahwin dengan Qis. Auntie tunggu
jawapan dari Haz aje,” beritahu Datin Salina dan tersenyum.
Membuntang mata Qistina mendengarnya.
Betul ke apa yang diperkatakan oleh Datin Salina itu? Datin Salina menyuruh
Hazrel berkahwin dengannya?
“Tapi, nak ke Haz setuju dengan
cadangan Auntie tu?” tanya Qistina
curiga.
“Jangan risau Qis. Auntie yakin Haz akan setuju. Haz terlalu sayangkan Auntie. Semua yang Auntie nak, Haz turutkan. Jadi Auntie
akan cuba pujuk Haz terima cadangan Auntie
tu,” jelas Datin Salina pula. Senyuman manis bergayut di bibirnya.
Qistina bingkas bangun dari duduknya.
Dia menghampiri Datin Salina di jendela. Dipeluk erat tubuh Datin Salina dan
dihadiahkan kucupan mesra di pipi Datin Salina. Selama ini hanya Datin Salina
sahaja tempat untuk Qistina melepaskan rindu pada arwah mamanya. Jika tiada
Datin Salina, sukar untuknya meneruskan kehidupan selepas kematian mamanya dua tahun
yang lepas.
“Terima kasih Auntie. Qis sayang sangat pada Auntie.
Hanya Auntie tempat Qis bermanja
selepas mama meninggal,” ucap Qistina lembut.
“Tak perlulah nak berterima kasih
dengan Auntie. Qis pun Auntie dah anggap macam anak menantu Auntie. Kalau Qis ada masalah, Qis
bagitau pada Auntie. Mungkin Auntie boleh tolongnya,” balas Datin
Salina dan membalas pelukan Qistina. Matanya menjamah wajah Qistina. Tumpah
kasih dan sayang pada wajah itu.
Qistina tersenyum. Hatinya berbunga
riang. Semoga rancangan Datin Salina untuk menjodohkannya dengan Hazrel
tercapai. Semoga Hazrel bersetuju dengan cadangan Datin Salina itu. Sungguh
hatinya tidak sabar untuk mendengar jawapan dari Hazrel. Kalau aku tak dapat
abang, adiknya pun jadilah, bisik hati kecil Qistina.
“Kau kat mana Haz? Aku cari kau kat office tak ada pun. Tanya Encik Latif,
dia pun tak tahu kau ke mana,” tanya Izzuddin dari hujung talian.
“Aku kat luar, ada hal sikit. Kenapa?”
jawab Hazrel dan mendengus kasar.
“Aku nak bincang dengan kau tentang strategik
pemasaran Cahaya Sdn Bhd. Kau balik office
ke tidak?”
“Ermm… tak sure lagi aku balik office
ataupun tidak. Kau letak ajelah kat atas meja aku tu dulu. Esok pagi-pagi aku
bacanya.”
Izzuddin menarik nafas dan
melepaskannya. Matanya dikerling ke jam di dinding. Masa sudah pun menginjak ke
angka dua petang. Ke mana Hazrel pergi dia sendiri tidak pasti. Jika begini
sikap Hazrel, bagaimana untuk memajukan Cahaya Sdn Bhd.
“Baiklah. Aku letak atas meja kau.
Sebelum tu aku nak tanya, Nur Ain ada dengan kau ke? Aku tanya Fauziah, Nur Ain
ikut kau keluar sama. Kau bawa dia ke mana?” tanya Izzuddin ingin tahu.
Hisy, penyibuk betullah Izz ni. Suka
hati akulah nak bawa dia ke mana. Akukan bos dia dan wajib dia kena dengar
arahan aku, rungut Hazrel sendirian. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain yang
sedang berdiri tidak jauh dari meja yang didudukinya di restoran itu. Geli hati
melihat Nur Ain yang sedang memegang beberapa beg kertas berisi baju dan
barangan miliknya.
“Aku bawa dia jalan-jalan tengok dunia
luar. Okeylah aku nak drive ni, nanti
aku call kau balik, itu pun kalau aku
ingat nak call kau lah,” bohong Hazrel
dan tertawa kecil.
“Kau jangan nak buli dia Haz. Dia pun
ada hati dan perasaan macam kau juga,” balas Izzuddin berbaur nasihat.
Hazrel mendengus keras. Sakit
telinganya mendengar balasan Izzuddin. Kenapa Izzuddin dan Eddie membela
perempuan kampung itu? Apa yang istimewa pada Nur Ain?
“Okeylah. Malas aku nak dengar ceramah free kau tu. Aku jumpa kau esok,” pamit
Hazrel dan mematikan talian. Jika berlama, entah ceramah apa lagi yang bakal
diceramahkan oleh Izzuddin itu. Bertambah sakit telinganya lagi.
“Kau mari sini!” panggil Hazrel sedikit
meninggi.
Nur Ain yang mendengar, segera mengatur
langkah menghampiri Hazrel. Menanti arahan seterusnya daripada Hazrel.
“Aku nak kau bawa barang-barang ni
semua ke kereta aku. Lepas tu kau datang sini balik. Nah ambil kunci kereta ni.
Tapi ingat, kau jangan kotorkan kereta aku tu pulak,” arah Hazrel bernada
ugutan. Dihulurkan kunci kereta kepada Nur Ain.
“Bila saya boleh balik Encik Hazrel?”
tanya Nur Ain sekadar mencuba.
“Kau jangan nak bermimpi nak balik.
Selagi aku belum puas, selagi itu kau kena ikut aku, faham!” suara Hazrel
sedikit meninggi.
“Baiklah!” hanya ayat itu yang mampu
dikeluarkan dari mulut Nur Ain.
“Bagus. Kan senang kalau kau ikut
arahan aku tanpa banyak bunyi. Dah pergi hantar barang-barang tu semua sebelum
angin aku naik,” arah Hazrel keras.
Nur Ain mengangguk. Kunci kereta yang
dihulurkan oleh Hazrel segera dicapai. Tanpa membuang masa, segera dia membawa
langkahnya menuju ke tempat letak kereta. Ikutkan ajelah, asalkan hutang aku
langsai, bisik Nur Ain sendirian.
Hazrel hanya memandang. Kepatuhan Nur
Ain membuatkan hatinya puas dan gembira. Apa yang membuatkan hatinya panas
apabila mengingati kata-kata Izzuddin sebentar tadi. Buli? Sejak bila aku buli
dia? Aku ajar dia macam mana nak hidup dalam dunia ni. Aku suruh dia ikut aku
aje. Salah ke apa yang aku buat ni? monolog Hazrel sendirian. Bingkas dia
bangun menuju ke kedai cermin mata yang terletak berhampiran dengan restoran
itu. Tidak mahu terus-terusan memikirkan tentang mereka semua lagi.
Nur Ain melangkah jalan menuju ke parking lot. Matanya meninjau dan
mencari-cari kereta Hazrel. Sungguh dia kurang mengenali jenis, nombor plat dan
warna kereta Hazrel. Dia juga lupa di mana Hazrel memarkirkan keretanya. Di
tingkat berapa, di blok mana, Nur Ain tidak tahu. Bagaimana untuk menghantar
barang-barang milik Hazrel sedangkan dia sendiri kurang mengenali kereta
Hazrel.
“Ya ALLAH, apa aku nak buat ni? Mana
aku ingat keretanya,” keluh Nur Ain sendirian.
Kakinya masih lagi melangkah. Sekejap
berhenti, sekejap berjalan. Peluh sudah merenik di dahi. Barang yang dibawa
agak memberatkan. Mana tidaknya, baju, seluar, topi, barangan kaca, kasut,
semuanya berada di tangannya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membuang
barang-barang tersebut. Namun disabarkan hati. Tak pasal-pasal kena gantilah
pulak, bisik Nur Ain pula.
“Hisy… mana pulak dia ni pergi? Takkan
dari tadi tak balik-balik,” rungut Hazrel seraya mengerling jam di tangan. Masa
sudah menginjak ke pukul tiga dua puluh minit petang. Matanya membelingas
mencari kelibat Nur Ain.
“Sengaja nak naikkan darah akulah dia
ni,” marah Hazrel pula.
Lantas di atur langkah menuju ke tempat
letak kereta. Nafasnya berombak kencang. Menahan kemarahan yang sudah menapak
di dalam dirinya ketika itu. Sambil melangkah, matanya melilau melihat keadaan
parking kereta itu.
Langkahnya menjadi perlahan tatkala
terlihat orang ramai berkerumun berhampiran kaunter bayaran. Diperhatikan dari
jauh dan ada sesuatu yang menarik minatnya untuk melihat.
“Kenapa ni?” tanya Hazrel setibanya dia
di pondok kaunter bayaran itu.
“Ada orang diragut. Nasib baik cedera
ringan aje,” beritahu lelaki yang berpakaian pengawal.
Hazrel mengangguk faham. Dia
memusingkan badannya untuk beredar dari situ. Tidak berminat untuk menyibuk
dengan apa yang terjadi di situ. Dia perlu mencari Nur Ain. Sakit hatinya
menunggu Nur Ain yang tidak kunjung tiba.
“Saya… saya perlu ambil barang-barang
tu semua. Nanti saya kena gantinya pula. Tolonglah encik!” rayu Nur Ain dalam
nada esakan.
“Tapi cik, tangan cik dah luka. Cik
perlu ke hospital untuk rawat luka cik tu,” nasihat pengawal yang bernama
Hussin itu.
“Saya tak peduli. Tolonglah encik, saya
perlu dapatkan barang-barang tu semua,” rayu Nur Ain lagi.
Bertambah laju air matanya mengalir
membasahi pipi. Luka di tangan akibat terkena pisau tidak dipedulikan asalkan
dia mendapat semula barang-barang milik Hazrel. Jika tidak sudah pastilah dia
akan menggantikan kesemua barang yang dirompak itu.
“Cik, mustahil cik dapat balik
barang-barang tu. Cik jangan risau, kami dah buat laporan pada pengurusan
kompleks ni. Mereka akan ambil tindakan selanjutnya. Lagipun kawasan parking ni memang bahaya kalau berjalan
berseorangan. Sebelum ini dah terjadi kes yang sama,” cerita Encik Hussin lagi.
Nur Ain menundukkan muka. Sungguh
hatinya risau ketika itu. Apa yang perlu dijawabkan jika Hazrel bertanyakan
tentang ini? Bagaimana untuk mencari duit jika Hazrel meminta menggantikan
barang-barang itu semula? Sudahlah hutangnya yang lepas belum lagi berbayar,
ditambah pula dengan hutang yang ini. Alamatnya dia terpaksa mengikat perut
selama berbulan-bulan untuk membayar segala kerugian tersebut.
“Nur Ain!” panggil Hazrel tatkala
menyedari suara esakan itu milik Nur Ain.
Nur Ain mengangkat muka. Berderau
darahnya melihat Hazrel. Riak di wajah Hazrel ketika itu sukar untuk
ditafsirkan.
“Encik ni siapa?” tanya Encik Hussin.
“Saya… saya… saya suami dia.” Tergagap-gagap
Hazrel menjawabnya.
Nur Ain mengerutkan dahi. Suami? Sejak
bila pulak dia jadi suami aku? bisik hati Nur Ain. Matanya menjamah wajah
Hazrel.
“Kenapa encik biarkan isteri encik
berjalan berseorangan di parking lot
ni. Kawasan ni sunyi dan bahaya untuk mereka yang berjalan berseorangan. Kami
dah tampal notis setiap bangunan dan blok. Encik tak bacanya ke?” tegur Encik
Hussin.
“Mungkin saya tak perasannya encik,”
balas Hazrel perlahan.
Lantas dibangunkan Nur Ain dari
duduknya. Bulat matanya melihat darah yang mengalir di lengan Nur Ain.
“Kenapa tak bawa isteri saya ke hospital?”
tanya Hazrel tidak berpuas hati.
“Kami dah suruh, tapi isteri encik yang
berdegil. Dia kata selagi barang-barang dia tak dapat, selagi itulah dia tak nak
ke hospital. Barang-barang tu lagi berharga dari nyawanya sendiri,” tegur
seseorang dari arah belakang Hazrel.
Serentak Hazrel menoleh ke arah suara
tersebut. Nur Ain hanya menunduk.
“Tak mengapalah. Saya bawa isteri saya
ke hospital sekarang. Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih pada semua,” ucap
Hazrel ikhlas dan membawa Nur Ain ke keretanya.
Orang ramai yang berada di situ sekadar
mengangguk. Seminit kemudian, mereka bersurai dari tempat itu. Encik Hussin
hanya memandang dari jauh. Hatinya terusik dengan kesungguhan Nur Ain
mempertahankan barang-barang yang dibawa Nur Ain tadi. Mujurlah dia nampak akan
kejadian itu, jika tidak entah apa yang akan terjadi pada Nur Ain. Mungkin
lebih teruk dari terkena hirisan pisau.
“Saya minta maaf,” ucap Nur Ain
perlahan.
Hazrel tidak menghiraukan ucapan Nur
Ain. Dia membawa langkahnya menuju ke tempat di mana keretanya di parkirkan.
Entah kenapa hatinya terasa sakit dengan tiba-tiba. Sakit yang sukar untuk
dimengertikan. Sakit yang sukar untuk ditafsirkan olehnya sendiri. Huh! Apa
semua ni? bisik hati Hazrel.
“Saya akan gantikan barang-barang tu
semua. Tapi, Encik Hazrel bagi masa pada saya untuk kumpulkan duit
membayarnya,” sambung Nur Ain. “Kalau saya berhati-hati, mesti barang Encik
Hazrel tak dicuri mereka tadi,” tambahnya lagi bernada kesal.
“Kau boleh diam tak? Kenapa kau nak
fikirkan pasal barang-barang tu lagi. Kau tengok lengan kau tu dah berdarah.
Kau tahu tak?” jerkah Hazrel meninggi.
Terhenjut badan Nur Ain akibat jerkahan
Hazrel itu. Air mata yang sempat diseka tadi, mengalir membasahi pipinya
semula. Sungguh bukan itu kemahuannya. Bukan itu yang dipintanya. Bukan juga
dia mengharapkan kejadian itu berlaku. Tetapi sudah ditakdirkan dia akan
menghadapi situasi itu tadi. Dia redha andai kata nyawanya melayang sebentar
tadi asalkan barang-barang milik Hazrel tidak dicuri oleh mereka tadi.
Hazrel menendang tayar keretanya
sendiri. Melepaskan kemarahan terhadap tayar tersebut. Dibiarkan kakinya yang
terasa sakit akibat tendangannya itu. Kenapa Nur Ain perlu memikirkan tentang
barang-barang itu? Tidak tahukah dia akan keadaannya sekarang?
“Saya minta maaf. Saya janji akan lebih
berhati-hati selepas ini. Saya janji akan bayarnya semula,” ujar Nur Ain sebak.
Hazrel mendengus keras. Dia memegang
kepalanya kuat. Sakit telinganya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nur
Ain. Barang… barang. Tak habis-habis dengan barang. Dia tak tahu ke nyawanya
hampir melayang disebabkan barang tu, marah Hazrel di dalam hati. Kenapa aku
emosional sangat ni, tanyanya pula.
“Mana kunci kereta aku?” tanya Hazrel
meninggi.
Tidak mahu terus-terusan membincangkan
tentang itu lagi. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya
sekarang.
Nur Ain mengeluarkan kunci kereta dari
dalam poket baju kurungnya. Mujurlah dia menyimpan kunci tersebut di dalam
poket. Malah dompetnya juga disimpan di dalam poket tersebut. Jika tidak, pasti
Hazrel akan bertambah marah dan mengamuk padanya.
“Nasib baik kau tak hilangkan kereta
aku ni sekali, kalau tidak sepuluh tahun kau kerja pun belum tentu kau dapat bayarnya
balik,” sindir Hazrel pedas seraya merampas kunci kereta dari tangan Nur Ain.
Hazrel memboloskan dirinya masuk ke
dalam perut kereta. Dia perlu menghantar Nur Ain ke klinik untuk merawat luka
di lengan Nur Ain. Walaupun dia tidak menyukai Nur Ain, atas perikemanusiaan,
nak tak nak, terpaksa juga dia menghantar Nur Ain ke klinik. Tidak mahu
dianggap buruk oleh sesiapa andai kata suatu hari nanti ada orang yang
mengetahui akan kejadian hari ini.
“Kau buat apa lagi kat luar tu, masuk!
Aku hantar kau ke klinik!” tempelak Hazrel dari dalam kereta.
Nur Ain yang mendengar segera membuka
pintu kereta. Hatinya berkira-kira untuk masuk ke dalam kereta. Khuatir akan
mengotorkan kusyen kereta milik Hazrel semula. Sudahlah kes lepas belum lagi
selesai. Berhari-hari dia terpaksa mendengar ungkitan dari mulut Hazrel
mengenai kes yang lepas. Bagaimana pula dengan kes hari ini? Adakah selama
sebulan dia akan mendengar ungkitan dari mulut lelaki itu nanti?
“Kau tunggu apa lagi, masuk!” marah
Hazrel. Sakit hatinya melihat reaksi tak berperasaan Nur Ain itu.
“Nanti kereta Encik Hazrel kotor
disebabkan darah saya,” balas Nur Ain perlahan.
Hazrel memegang kepalanya. Ditekan
kepalanya menahan amarah yang sedang berkocak dalam dirinya itu. Jika diikutkan
hatinya yang panas, mahu sahaja dia meninggalkan Nur Ain sahaja dan beredar
dari situ. Tidaklah dia menyusahkan diri sendiri kerana Nur Ain lagi. Namun
disabarkan hati untuk tidak berbuat begitu.
“Masuk!” arah Hazrel keras. “ Kalau kau
tak masuk, aku suruh kau bayar dua kali ganda dari harga asal sebelum ni,”
sambung Hazrel lagi.
Nur Ain terkedu. Dua kali ganda? Itu
bermakna dia harus membayar sebanyak dua ribu ringgit mendengarkan kata-kata
Hazrel itu. Lantas dia menapak masuk ke dalam kereta dan menutup pintu kereta.
Matanya mencuri pandang ke arah Hazrel yang masih berwajah tegang.
“Saya minta maaf,” ujar Nur Ain lembut.
Hazrel mendengus keras. Matanya
diluruskan ke hadapan. Sesekali matanya dikerlingkan ke arah lengan Nur Ain
yang masih berdarah. Lengan baju kurungnya lencun dek darah yang tidak
henti-henti mengalir keluar.
“Kau ambil sapu tangan ni. Tahan darah
kau tu dari keluar. Tak pasal-pasal, kena pulak kusyen kereta aku ni,” arah
Hazrel sambil menghulurkan sapu tangan miliknya kepada Nur Ain.
“Terima kasih!” ucap Nur Ain seraya
membalas huluran tersebut.
Lantas disinsing lengan bajunya ke atas
sedikit. Diikatkan sapu tangan milik Hazrel di lengannya. Cuba untuk menahan
darah dari terus-terusan keluar. Terasa loya dirasakannya ketika itu. Hampir
pitam Nur Ain melihat darahnya sendiri. Namun dicuba bertahan agar tidak pitam.
Khuatir akan menyusahkan Hazrel.
“Apa hal Haz?” tanya Eddie sedikit
kasar dari hujung talian.
“Kau datang Klinik Rosli Seksyen 7
sekarang ambil Nur Ain. Aku tinggalkan dia kat situ,” beritahu Hazrel berupa
arahan.
“Klinik? Apa Ain buat kat klinik?”
tanya Eddie meninggi.
“Tangan dia luka terkena pisau,” jawab
Hazrel selamba.
“What?
Terkena pisau. Apa kau dah buat dengan dia Haz? Kau buli dia lagi ke?” tanya
Eddie bertubi-tubi. Panas hatinya mendengar jawapan Hazrel itu.
“Kau jangan nak main tuduh Eddie. Aku
tak buat apa-apa pun pada dia. Dia sendiri yang cuai,” balas Hazrel meninggi.
Turut panas dengan tuduhan Eddie itu.
“Kau tunggu situ. Aku datang sekarang,”
arah Eddie dan mematikan talian.
Hazrel mendengus deras. Matanya
dihalakan ke arah Nur Ain yang sedang duduk di bangku berhampiran dengan
kaunter ubat. Riak pucat jelas di wajah Nur Ain ketika itu.
“Nur Ain Zafira Ibrahim!” panggil nurse yang bertugas.
Terkejut Nur Ain dek kerana panggilan
tersebut. Bingkas dia bangun dan menapak ke kaunter ubat. Masih terasa sisa
kesakitan di lengannya itu. Sudahlah luka sebulan yang lepas masih belum pulih
sepenuhnya, ditambah dengan luka hari ini. Nur Ain mengeluh dalam hati. Kenapa
begitu malang nasibnya itu?
“Semuanya RM90.00,” ujar nurse tersebut.
Bulat mata Nur Ain mendengarnya. RM90.00!
ulangnya di dalam hati. Lantas dikeluarkan dompet dari dalam poket baju kurungnya.
Mencongak-congak jumlah duit yang terdapat di dalam dompetnya itu.
“Jangan lupa bayarnya semula,” kata
Hazrel sinis selepas menyerahkan sekeping not RM50 dan empat keping not RM10
kepada nurse tersebut.
Setelah mendapat resit, segera dia
membawa kakinya keluar dari klinik tersebut. Tidak mahu berada lama di dalam
klinik itu. Tempat yang paling tidak disukainya selama ini.
Nur Ain sekadar mengekori dari
belakang. Terasa mulutnya terkunci dengan tiba-tiba. Otaknya ligat berfikir.
Berfikir jumlah wang yang perlu dibayarnya kepada Hazrel.
“RM1000 tambah RM90 sama dengan RM1090.
Itu belum masuk jumlah barang-barang yang aku dah hilangkan tadi,” bisik Nur
Ain sendirian. “Duit simpanan aku ada dalam RM3000 lebih, mana cukup aku nak
bayarnya nanti. Mesti barang-barang dia tu dalam RM2000 lebih. Ya ALLAH, mana
aku nak cari duit lagi ni,” sambung Nur Ain lagi.
“Kau ni dengar ke tak apa yang aku
cakapkan tadi?” tegur Hazrel meninggi.
Tersentak Nur Ain akibat teguran itu.
Dia menghalakan pandangan ke muka tegang Hazrel. Begitu lama dia mengelamun
sehinggakan dia tidak menyedari Hazrel sedang memandangnya dengan pandangan
yang tajam.
“Maaf, saya mengelamun tadi,” jujur Nur
Ain.
“Apa yang kau lamunkan? Kau kira berapa
jumlah yang kau perlu bayar pada aku ke?” sinis Hazrel bertanya. Matanya tajam
ke muka Nur Ain.
Nur Ain mengangguk. Itulah yang sedang
difikirkannya sekarang. Jumlah yang perlu dibayarkan kepada Hazrel.
“Huh! Susahkan jadi orang yang tak berharta
macam kau ni. Kena fikir kat mana nak cari duit bayar hutang,” sindir Hazrel
pedas.
Nur Ain yang mendengar, berkerut
seribu. Terasa dengan kata-kata Hazrel. Namun ditahan rasa hatinya itu. Tidak
ada gunanya jika dia membidas kata-kata Hazrel itu. Biarlah dia, suatu hari
nanti dia akan sedar dengan apa yang dia cakapkan tu, bisik Nur Ain sendirian.
Cuba untuk menyedapkan hati dan perasaannya sendiri.
“Ain!” panggil Humaira.
Serentak Nur Ain menoleh ke arah
Humaira. Kelihatan Eddie turut sama berada di sisi Humaira.
“Eloklah kau datang Die. Dah naik rimas
aku dengan dia ni. Aku blah dulu,”
suara Hazrel dan membawa langkah kakinya ke kereta. Terasa penat badannya itu
akibat seharian membawa kereta dan berjalan. Dia perlu balik ke rumah dan merehatkan
badannya itu.
“Aku nak cakap dengan kau Haz,” pinta
Eddie dan menahan langkah Hazrel.
“Aku penatlah Die. Esok ajelah kita
bincang,” tolak Hazrel.
“Aku jumpa kau kat office kau esok,” pesan Eddie keras.
“Suka hati kaulah. Malas aku nak layan
kau Die,” balas Hazrel selamba dan menapak masuk ke dalam kereta. Seminit
kemudian, keretanya menghilang di sebalik kepekatan malam.
“Apa yang dah jadi Ain? Cuba Ain cerita
dengan maksu dan Abang Eddie,” tanya Humaira keras sambil melabuhkan duduknya
di sofa.
Nur Ain menunduk. Takut melihat panahan
mata Humaira dan Eddie ketika itu. Jawapan apa yang perlu diberikan pada mereka
berdua.
“Ain ni tak serik-serik ke dengan apa
yang Hazrel dah lakukan pada Ain dulu. Cuba jangan berdegil dan dengar cakap
maksu dan Abang Eddie,” marah Humaira pula.
“Maafkan Ain.” Hanya itu sahaja yang
keluar dari mulutnya.
“Ain, abang bukannya nak masuk campur
dalam urusan Ain. Tapi, abang nak Ain berfikir sebelum menerima sebarang arahan
dari Hazrel. Ain perlu ingat, Hazrel tu bukan orang yang mudah dibawa
berbincang. Hatinya keras dan tegas dengan keputusannya. Dia sanggup lakukan
apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Ain dengarlah cakap abang dengan maksu,” nasihat Eddie tegas.
“Ain tahu dan Ain minta maaf,” ucap Nur
Ain perlahan.
Eddie menghela nafas pendek. Matanya
memberi isyarat pada Humaira dan berharap Humaira memahami akan isyaratnya itu.
“Sudahlah, Ain pergi masuk bilik
bersihkan diri. Baju tu tukar dan buang. Penuh darah maksu tengoknya. Nanti bertambah teruk luka Ain tu. Kalau Ain nak makan, maksu ada masak. Ain
cari aje kat dapur tu,” arah Humaira berbaur pujukan.
Nur Ain mengangguk. Bingkas dia bangun
dari duduknya dan menapak masuk ke dalam bilik. Nur Ain sedar akan kesilapannya
itu. Disebabkan tidak berfikir panjang, dia akur dengan arahan Hazrel tanpa
memikirkan kesan dan sebabnya. Perlukah dia menolak keras permintaan Hazrel
andai kata Hazrel memaksanya lagi? Bagaimana dengan hutangnya nanti?
“Mana aku nak cari duit ni?” keluh Nur
Ain sendirian.
Eddie dan Humaira hanya memandang. Ekor
mata mereka sahaja yang mengekori langkah Nur Ain sehingga hilang di sebalik
pintu bilik. Kemudian mereka berdua bertatapan antara satu sama lain. Keluhan
berat terlepas dari bibir masing-masing.
“Die balik dululah Mai. Esok Die nak
jumpa dengan Hazrel. Die nak tanya apa yang dia nak dari Ain. Tak habis-habis
Haz buli Ain. Apa sebabnya Haz membuli Ain? Nak kata Ain buat salah dengan dia,
tak adalah pulak. Kadang-kadang Die tak faham apa masalah Haz tu,” beritahu
Eddie tegas seraya bangun.
“Baiklah Die. Jangan bergaduh sudahlah,”
balas Humaira dan tertawa kecil.
“Hisy, tak adalah Die nak bergaduh
dengan Haz. Apa-apa pun, Haz tu tetap kawan baik Die. Walaupun sikap dia
begitu, tapi hati dia lembut dan mudah tersentuh. Mungkin ego dia yang tinggi
menenggelemankan sifat baik dia tu,” terang Eddie jujur dan menapak jalan
menuju ke muka pintu rumah. Humaira mengekori dari belakang.
“Die, kalau Mai tanya sesuatu, boleh
tak?” ujar Humaira.
“Apa dia?” tanya Eddie sambil menyarung
kasut ke kaki.
“Kenapa Die ambil berat tentang Ain?
Semua tentang Ain, Die perlu tahu dan apa yang terjadi pada Ain, Die akan
selesaikannya. Kenapa Die?” tanya Humaira ingin tahu.
Persoalan itulah yang bersarang dalam
kotak fikirannya selama ini. Jika dulu, dia menganggap perkara itu biasa,
tetapi tidak kali ini. Keprihatinan Eddie melebihi darinya selaku ibu saudara
Nur Ain. Hanya Eddie sahaja yang tahu akan jawapan pada persoalannya itu.
Eddie mengerutkan dahi. Bagaimana untuk
menjawab pertanyaan Humaira itu? Perlukah dia menceritakan segala-galanya pada
Humaira? Tidak! Belum tiba masanya untuk dia berterus-terang pada Humaira sebab
dan kenapa dia mengambil berat terhadap Nur Ain. Mungkin suatu hari nanti, dia
akan menceritakan segala-galanya pada Humaira dan juga Nur Ain.
“Sebab Die anggap Ain macam adik Die
sendiri. Die balik dulu Mai. Kalau ada apa-apa nanti, jangan lupa call Die. Assalamualaikum,” jawab Eddie
menyembunyikan kebenaran.
Humaira mengangguk. Matanya menghantar
pemergiaan Eddie. Walaupun jawapan Eddie tidak memuaskan hatinya, dia pasti
Eddie punya sebab dan kenapa dia mengambil berat akan Nur Ain. Humaira akan
mencari jawapannya sendiri.
Terima kasih kerana membaca...
(^_^)
(^_^)
SIAN DIA KAK SELALU KENA BULI
BalasPadamhuhu.. xpe dik.. lps ni, Ain tak kena buli dh.. Ain hatinya keras sama mcm Aisya..
Padamakak.................finally. thx sbb update....weeeeeeeeeee..........
BalasPadamok.. nak komen ni..
bila ain melawan Hazrel kan, org rasa syok gilaaaaaa....OMG best ni.. mcm tu br btl, laki mcm tu mn blh bg muka sgt.
then mamat tu ugut dia plak. IShx3..nk tuntut hutang pun biarlah dgn cara berhemah sikit.
then... bila hazrel ni mengaku ain bini dia.. eh eh..rase cam nak sepak plak laki ni. suka suki die je eh.. padan muka kena sound dgn pakcik tu...weeeeeeeeeeee.....
dia ni... mmg x phm tol.. boleh plak org tgh skit, dia jerkah2.
ish.. geram !! kalau dh care tu buat la cara care.. layan org elok2.
geram geram geram~!!
part mak hazrel + qistina no comment!! diorg ni dh x blh diselamatkan lagi
alamak, adik akak sorg ni.. jgn marah2 kat HH.. kan dlm hati HH tu dh ada taman utk NAZ.. huhu.. :D
Padamkesian dia akak. dia dh suka tapi tak sedar. nnt kalau dia sedar agak2 dia rasa bersalah tak tenking2 ain mcm tu?
Padamerr, mybe rs bersalah n mybe tdk.. xpe, kita tggu n lihat aje apa yg bakal terjd pd HH & NAZ tu.. :D
Padamain terlalu naif...sian dia.
BalasPadamsi hazrel dah ada taman dalam hati ke.
apa hubungan eddie dgn ain ye.
citer bertambah best.....keep it up eliza...
hehe.. lbh krglah, dlm hati HH dh ada taman utk NAZ..
Padamhubungan Eddie dgn Ain?? erm, ada jwpnnya.. cuma kena tggulah..
thanks suzie coz follow AJID.. :D
apa rahsia eddie ni??? ke sbb pakwe ain tu suro eddie jaga ain kot.. :P
BalasPadamerm, mungkin ya dan mungkin jg tidak.. :D
Padamassalam...
BalasPadamakak br mula mnjejakinya...
tahniah sbb kluarkn enovel baru...
wslm..
Padamterima kasih akak.. :D
lumrah dunia yang kaya buli yang miskin..apa nak buat realiti kehidupan mmg menyakitkan
BalasPadamyup!! btl tu.. bkn setakat kita lihat dlm drama shj, dlm realiti pn msh ada jg yg berperangai mcm tu..
Padameeeiiii...blagak nk mampos btul la ko nie Hazrel..cian kt Nur Ain...sya rsa Eddie tu diamanhkn oleh arwah HAzrul kot utk lindungi Nur Ain...
BalasPadamhehe.. jgn marah2.. pas ni Hazrel jd baik n romantik.. mgkn btl jg Eddie diamanahkan oleh Hazrul utk lindungi Ain.. :)
Padam