BAB 4
Dato’ Ridzuan menatap fail di
hadapannya. Sesekali keluhan dilepaskan. Matanya meneliti askara yang terdapat
di dalam fail tersebut. Laporan kewangan milik syarikat Cahaya Sdn Bhd. yang
sudah dua tahun menjadi anak syarikatnya. Entah mengapa dia menginginkan
syarikat tersebut, dia sendiri tidak pasti. Mungkin ada yang menarik terhadap
syarikat itu.
Dato’ Ridzuan menutup fail tersebut.
Bingkas dia bangun dari duduk dan berdiri di jendela. Terasa nyaman pada pagi
itu. Ingatannya terus mengingati arwah anaknya yang sudah tiga tahun pergi
meninggalkan mereka sekeluarga. Hiba hatinya tatkala mengingati Hazrul. Sedih
hatinya tatkala tarikh 25 haribulan itu menjelma setiap tahun. Dan pada tarikh
itu juga dia akan melawat kubur arwah. Setiap kali dia ke sana, pasti dia akan
terlihat pusara sudah ditaburi dengan bunga. Entah siapa yang melawat kubur
arwah, dia sendiri tidak pasti. Mungkin kenalan Hazrul, fikir Dato’ Ridzuan.
Dato’ Ridzuan mencapai bingkai gambar
yang terletak di atas meja tidak jauh darinya berdiri. Ditatap gambar di dalam
bingkai tersebut. Gambar mereka sekeluarga ketika melancong ke luar negara
beberapa tahun yang lepas. Begitu gembira dan bahagianya mereka ketika itu.
Tetapi, semuanya berubah selepas Hazrul berubah sikap manakala Hazrel ke luar
negara melanjutkan pelajaran di sana. Keinginan Hazrul untuk melamar seorang
gadis, turut mengeruhkan lagi kebahagiaan mereka sekeluarga. Bersungguh Hazrul
ingin meminang gadis itu, tetapi ditentang hebat oleh Datin Salina.
Bagi Datin Salina, gadis itu tidak
sesuai dan layak untuk menjadi menantu mereka. Disebabkan perbezaan pangkat dan
darjat, gadis itu ditolak keras oleh Datin Salina. Disebabkan gadis itu berasal
dari kampung, Datin Salina mendesak Hazrul supaya melupakan gadis tersebut. Disebabkan
tentangan itu, Hazrul mengambil keputusan untuk keluar dari rumah mereka. Nak
tak nak, terpaksalah mereka bersetuju menerima gadis itu. Jika tidak sudah pastilah
Hazrul bernekad dengan keputusan untuk keluar dari rumah.
“Papa tak faham isi hati Az. Cuba papa
letakkan diri papa di tempat Az, pasti papa akan buat macam mana Az buat. Az
sayangkan dia. Az cintakan dia. Az nak hidup dengannya,” jelas Hazrul sambil
menggenggam tangan Dato’ Ridzuan. Berharap Dato’ Ridzuan memahami isi hatinya
itu.
Dato’ Ridzuan mengeluh berat. Sukar
untuk membuat keputusan. Jika dia bersetuju, apa pula kata Datin Salina. Jika
dia menolak, pasti Hazrul akan bertindak lebih dari apa yang mereka sangkakan.
“Papa faham perasaan Az. Tapi, Az
sendiri tahu perangai mama Az macam mana,” keluh Dato’ Ridzuan.
“Az tahu papa. Sebab itu Az minta
sokongan dari papa.”
“Tapi Az, kalau papa setuju, mustahil
mama Az akan turut setuju. Az tahukan dari dulu lagi mama Az tak sukakan
perempuan kampung. Az tahukan sejarah mama dulu macam mana.”
“Az tahu papa. Tapi itu tidak bermakna
semua perempuan kampung sama sahaja,” bidas Hazrul lembut. Bingkas dia bangun
dari duduk dan membuang pandang di jendela. Dia menghela nafas pendek dan
melepaskannya lembut.
“Papa akan cuba pujuk mama. Tapi, papa
tak boleh nak janji dengan Az. Kalau mama tak bersetuju, papa tak boleh nak
buat apa,” ujar Dato’ Ridzuan mengalah.
“Terima kasih papa. Az janji kalau mama
bersetuju dengan permintaan Az, Az akan dengar cakap papa dan mama. Kalau papa
dan mama minta Az ke luar negara untuk sambung belajar sama macam Haz, Az akan
ikut asalkan papa dan mama bersetuju untuk meminang Ain,” janji Hazrul berserta
senyuman gembira. Walaupun ianya sekadar harapan kosong, tapi dia yakin papanya
dapat memujuk mamanya untuk meminang Nur Ain.
“Papa!” tegur Hazrel dari muka pintu.
Tersentak Dato’ Ridzuan dengan teguran
itu. Dia menyeka air mata yang hampir gugur. Bingkai gambar diletakkan semula
ke tempat asal. Matanya dikalihkan ke arah Hazrel yang sedang berdiri di muka
pintu pejabat.
“Ada apa Haz?” tanya Dato’ Ridzuan dan
menapak jalan menuju ke sofa. Dia melabuhkan duduknya di situ.
“Haz nak bincangkan dengan papa tentang
Cahaya Sdn Bhd. Papa ada masa tak?” jawab Hazrel turut sama menapak menuju ke
sofa.
“Kenapa dengan Cahaya Sdn Bhd?” tanya
Dato’ Ridzuan berserta kerutan di dahi.
“Haz ingat nak full time kat sana,” jawab Hazrel dan melabuhkan duduk di hadapan
Dato’ Ridzuan.
“Full
time? Maksud Haz, nak uruskan sepenuhnya Cahaya Sdn Bhd?” tanya Dato’
Ridzuan inginkan kepastian.
Hazrel mengangguk kecil.
“Baguslah kalau dah macam tu. Papa nak
Haz kembangkan Cahaya. Papa tengok laporan kewangan Cahaya tak memberangsangkan.
Papa nak Haz fikirkan cara yang strategik untuk menarik ramai pelanggan untuk
memborong barang di Cahaya.”
“Haz akan cuba papa. Cuma Haz minta papa
carikan rumah untuk Haz kat Shah Alam tu. Malaslah Haz nak ulang-alik dari sini
ke sana. Pastu tidur kat hotel pulak,” rungut Hazrel.
“Baiklah, nanti papa minta orang
carikan rumah untuk Haz. Tapi, kan Izzuddin ada kat sana. Kenapa Haz tak
tinggal aje dengan Izz?”
“Tak naklah Haz. Izz sewa rumah,
bukannya beli rumah. Lagipun Haz nak tinggal seorang, tak nak berkongsi,”
bentak Hazrel keras.
“Baiklah, nanti papa usahakan untuk
Haz,” putus Dato’ Ridzuan.
Ikutkan ajelah. Nanti kalau tak
ikutkan, memberontak pulak anak aku ni. Perangai sama aje dengan mamanya, bisik
Dato’ Ridzuan sendirian.
“Haz tak ke Cahaya hari ni?” tanya
Dato’ Ridzuan berbasa basi.
“Esok baru Haz ke sana. Papa sediakan
rumah tu hari ni juga. Esok Haz nak terus masuk,” arah Hazrel seraya bangun.
“Haz ni tak menyempat betullah. Cuba
bawa bersabar sikit. Haz ingat senang ke urusan beli rumah tu. Satu hari boleh
selesai ke? Haz duduklah dulu dengan Izz. Bila dah ada rumah nanti, barulah Haz
pindah masuk,” jelas Dato’ Ridzuan keras.
“Haz tak nak. Papa jangan paksa Haz
boleh tak? Yang penting, papa carikan rumah untuk Haz,” bentak Hazrel dan
berlalu pergi dari situ.
Dato’ Ridzuan menggeleng. Entah bilalah
anaknya itu akan berubah, dia sendiri tidak pasti. Sikap memberontak dan panas
baran Hazrel tidak pernah hilang. Sejak dari dulu lagi Hazrel seorang yang
panas baran. Tegas pada keputusannya. Setiap apa yang dilakukannya mesti
memberi kepuasan pada dirinya sendiri. Tidak menghiraukan perasaan orang lain.
Suka menindas dan menyakitkan hati orang. Mungkin sikap Hazrel diwarisi dari
isterinya, Datin Salina. Malah Hazrel suka memaksa orang untuk mengikut kata-katanya.
Hazrel berbeza dengan Hazrul, abang
kembarnya. Hazrul seorang yang bersikap tenang dan berfikiran terbuka. Jika
menghadapi masalah, Hazrul akan menilai dari sudut kesan dan positif sesuatu
masalah itu. Hazrul tidak suka memberontak. Untuk melihat Hazrul panas baran,
jauh sekali kerana Hazrul bukanlah Hazrel. Mungkin sikap Hazrul mewarisi dari
dirinya sendiri. Dan disebabkan itulah ALLAH lebih menyayangi Hazrul. Pemergian
Hazrul amat dirasai mereka sekeluarga.
“Ada apa Encik Latif?” tanya Nur Ain
sebaik sahaja berada di dalam pejabat Encik Latif. Hatinya gusar tatkala
dipanggil oleh Encik Latif.
“Saya nak awak keluarkan surat
perlantikan untuk Encik Izzuddin Hanif dan serahkan pada saya hari ini juga.
Awak faham Nur Ain,” arah Encik Latif tegas.
“Surat perlantikan? Saya tak tahu nak
buatnya Encik Latif,” jujur Nur Ain.
“Ya ALLAH, awak boleh tengok contoh
yang sedia ada di dalam fail Nur Ain.”
“Baiklah Encik Latif.”
“Sebelum tu, mari saya kenalkan awak
dengan Pengurus Pemasaran yang baru,” ujar Encik Latif. “Encik Izzuddin,
kenalkan ini Nur Ain Zafira Ibrahim, kerani pentadbiran di sini,” sambung Encik
Latif.
Serentak itu Izzuddin menoleh. Alangkah
terkejut dia melihat gadis yang sedang berdiri di hadapannya itu. Gadis yang
telah menolongnya sebulan yang lepas. Gadis yang telah menyelamatkannya dari
dilanggar kereta. Gadis yang dicarinya selama sebulan ini.
“Nur Ain!” ujar Nur Ain dan menundukkan
mukanya sebagai tanda hormat.
“Izzuddin Hanif!” balas Izzuddin dan
tersenyum.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta
diri dulu. Nanti saya keluarkan surat perlantikan Encik Izzuddin,” pamit Nur
Ain dan berlalu pergi.
Izzuddin dan Encik Latif sekadar
mengangguk. Ekor mata mereka sahaja yang mengekori langkah Nur Ain hingga
hilang disebalik pintu bilik.
“Di mana bilik saya Encik Latif?” tanya
Izzuddin.
“Bilik Encik Izzuddin bertentangan
dengan pejabat pekerja dan bersebelahan pejabat Encik Hazrel. Mari saya
tunjukkan bilik Encik Izzuddin,” jelas Encik Latif.
“Encik Latif panggil saya Izz saja, lagi
mudahkan?” pinta Izzuddin.
Encik Latif mengangguk. Dia menapak
jalan keluar bilik dan menuju ke pejabat yang sudah dikhaskan buat Izzuddin. Hazrel
yang memintanya untuk menyediakan bilik tersebut.
Izzuddin membuntuti Encik Latif.
Sesekali matanya mengerling ke arah Nur Ain yang sedang ralit membuat kerja.
Ada sesuatu yang menarik pada gadis itu. Mungkinkah disebabkan gadis itu yang
telah menyelamatnya membuatkan hatinya tertarik dengan gadis itu? Mungkinkah
dia telah terhutang budi dengan gadis itu membuatkan hatinya tertarik dengan
gadis itu? Sukar untuk menafsirkan perasaannya ketika ini. Apa yang pasti, dia
perlu berjumpa dengan gadis itu dan mengucapkan terima kasih pada gadis itu.
“Ini bilik Encik Izz. Semua yang berada
dalam bilik telah disediakan oleh Encik Hazrel. Dan Encik Hazrel minta Encik
Izz kaji pemasaran Cahaya Sdn Bhd,” jelas Encik Latif.
“Baiklah, terima kasih Encik Latif,”
ucap Izzuddin berserta senyuman di bibir.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta
diri ke bilik dulu. Kalau Encik Izz nak apa-apa fail atau maklumat syarikat, Encik
Izz boleh rujuk pada Nur Ain,” terang Encik Latif pula.
“Terima kasih Encik Latif. Saya akan
mintanya dari Nur Ain nanti,” balas Izzuddin.
Encik Latif segera menapak keluar dari
bilik Izzuddin. Hatinya lega dengan kehadiran Izzuddin yang merangkap Pengurus
Pemasaran. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran Izzuddin, syarikat dapat
menambahkan lagi keuntungan di samping memasang strategik bagaimana untuk
menarik peniaga untuk memborong barang dari Cahaya Sdn Bhd.
Izzuddin melabuhkan duduknya di kerusi.
Matanya meninjau sekeliling bilik pejabatnya itu. Cantik dan kemas teratur
peralatan dan perabot yang berada di dalam bilik tersebut. Walaupun biliknya
tidak sebesar bilik Hazrel, tapi dia bersyukur kerana menempatkan dirinya di
bilik itu. Sekurang-kurangnya dapatlah dia melihat wajah Nur Ain dari dalam
biliknya.
“Nur Ain!” panggil Izzuddin dari dalam
bilik.
“Ain, ada orang panggil tu,” ujar
Fauziah tatkala terdengar nama Nur Ain dipanggil.
“Ha… siapa?” tanya Nur Ain.
“Lelaki dalam bilik tu. Bilik sebelah
Pengurus Besar,” jawab Fauziah.
Nur Ain menoleh ke arah bilik yang
disebutkan oleh Fauziah. Di amati lelaki yang berada di dalam bilik tersebut.
“Oh, itu Encik Izzuddin Hanif, Pengurus
Pemasaran yang baru,” jelas Nur Ain.
“Pengurus Pemasaran? Sejak bila pulak
syarikat kita ada Pengurus Pemasaran?” tanya Fauziah kehairanan. Kepalanya yang
bertudung digaru beberapa kali.
“Hari ni perlantikan Encik Izzuddin.
Ain nak buat surat perlantikan dia. Kak Gie tahu tak kat mana Ain boleh tengok
contoh surat perlantikan tu,” beritahu Nur Ain sambil tangannya lincah mencari
fail yang berkenaan.
“Tak tahu pulak akak Ain. Dalam
komputer Ain, tak ada ke?”
“Tak ada Kak Gie. Fail dia pun Ain tak
jumpa.”
“Nur Ain!” panggil Izzuddin lagi.
“Alamak Ain, dari tadi lagi Encik
Izzuddin tu panggil Ain. Takkan Ain tak dengar.”
“Ha, yeke. Tak perasan pulak. Tak
pelah, Ain masuk dulu. Mesti ada benda yang dia nak tanyakan dari Ain,” ulas
Nur Ain dan menapak jalan menuju ke bilik Izzuddin.
Fauziah hanya mengangguk dan memerhati.
“Hmm, boleh tahan handsome mamat tu. Macam sesuai buat Ain aje,” ngomel Fauziah
sendirian dan tersenyum.
“Ada apa Encik Izzuddin?” tanya Nur Ain
sebaik sahaja tiba di hadapan Izzuddin.
“Panggil Izz aje. Tak perlulah sebut full name saya,” ujar Izzuddin.
“Ada apa Encik Izz?” ulang Nur Ain
berserta anggukan kecil.
“Saya nak fail laporan pemasaran dan
kewangan syarikat ni pada tahun lepas. Awak letak atas meja saya nanti,” arah
Izzuddin.
“Baiklah Encik Izz. Ada apa lagi yang
boleh saya bantu?”
Izzuddin menghela nafas pendek. Matanya
tertancap ke wajah Nur Ain yang menunduk.
“Saya nak ucapkan terima kasih pada
awak kerana selamatkan saya dari dilanggar sebulan yang lepas. Kenapa awak
pergi begitu saja. Puas saya cari awak selepas insiden itu,” jelas Izzuddin
ikhlas.
Nur Ain mengangkat muka. Wajah Izzuddin
ditatap berserta kerutan. Otaknya dikerah supaya mengingati wajah lelaki itu.
Seminit kemudian, dia tersenyum tatkala mengingati wajah lelaki tersebut.
“Oh, jadi enciklah yang nyaris dilanggar
sebulan yang lepas,” ulang Nur Ain tatkala mengingatinya.
Izzuddin mengangguk dan tersenyum.
“Tak ada yang perlu diterima kasihkan.
Kalau orang lain berada di tempat itu, sudah pastilah mereka akan berbuat perkara
yang sama,” ujar Nur Ain dan tersenyum.
“Saya tahu Nur Ain. Apa-apa pun saya
ucapkan terima kasih pada awak. Kalau bukan kerana awak, mustahil saya akan
berada di sini.”
“Ajal dan maut di tangan ALLAH. Kalau
ALLAH berkehendakkan sesuatu berlaku, dengan sekelip mata perkara itu akan
berlaku. Betul tak Encik Izz?”
“Ya, betul tu Nur Ain,” akui Izzuddin.
“Kalau tak ada apa lagi, saya minta
diri dulu. Nanti saya letakkan fail yang Encik Izz minta atas meja Encik Izz,”
pinta Nur Ain dan melangkah keluar dari dalam bilik itu.
Izzuddin hanya mengangguk. Ekor matanya
sahaja mengekori langkah Nur Ain. Betapa gembira hatinya selepas berjumpa
dengan Nur Ain. Dia perlu mengkhabarkan tentang ini kepada Hazrel. Mungkin
Hazrel lebih mengenali Nur Ain dan dia perlu mengenali Nur Ain dengan lebih
dekat lagi. Sudah tersemat kemas di dalam hatinya untuk mengenali Nur Ain.
“What?
Haz jangan nak buang tebiat. Mama tak setuju!” bantah Datin Salina meninggi.
“Awak ni Sal. Dah tiba masanya Haz
uruskan Cahaya Sdn Bhd. Syarikat tu pun dah semakin berkembang,” bidas Dato’
Ridzuan.
“Saya tetap tak setuju. Haz kerja
dengan Permata Holding dan bukan Cahaya Sdn Bhd,” bangkang Datin Salina lagi.
Dato’ Ridzuan menarik nafas dan
melepaskannya. Sukar untuk mengertikan Datin Salina.
“Mama, Haz nak uruskan Cahaya. Mama tak
perlulah risau. Setiap minggu Haz baliklah,” sampuk Hazrel.
“Mama tetap tak setuju. Mama tak nak
Haz terpikat dengan perempuan kat sana. Haz faham tak?” jerkah Datin Salina.
“Ma, Haz tahu dan Haz ingat pesanan
mama tu. Mama fahamlah kehendak Haz,” bidas Hazrel tegas.
“Mama tetap tak setuju!”
“Sal, awak ni cuba berfikiran positif
sikit. Anak awak tu nak bekerja, bukannya nak enjoy,” tegas Dato’ Ridzuan.
“Saya tak nak Haz jadi macam Hazrul.
Disebabkan perempuan kampung, Hazrul membantah cakap kita. Abang dah lupa ke
semua tu?”
“Saya tak pernah lupa Sal. Tapi, semua
itu dah takdir. Kita tak boleh nak lawan takdir ALLAH. Awak ingat semua tu
Sal,” nasihat Dato’ Ridzuan lembut.
Datin Salina mendengus keras. Matanya
tajam menikam wajah Dato’ Ridzuan dan Hazrel. Sungguh dia tidak bersetuju
dengan niat Hazrel untuk tinggal di Shah Alam dan sekali gus menguruskan Cahaya
Sdn Bhd. Dia tidak mahu anaknya itu berjauhan dari dirinya. Hanya Hazrel
pengarang jantungnya sekarang. Hanya Hazrel yang dapat mengubati rindunya pada
Hazrul. Hanya Hazrel sahaja anak tunggalnya kini.
“Mama, percayalah pada Haz. Haz janji
akan ingat pesanan mama tu. Haz janji akan balik sini setiap minggu dan Haz janji
akan call mama setiap malam. Boleh ya
mama,” pujuk Hazrel lembut dan menghampiri Datin Salina. Dipeluk erat bahu
Datin Salina cuba memberi keyakinan pada
Datin Salina.
“Kalau Haz mungkir janji, macam mana?
Hazrul pun pernah janjikan yang sama pada mama. Tapi, apa yang terjadi dulu.
Hazrul….”
Sukar untuk Datin Salina meneruskan
kata-katanya. Terasa sebak dadanya tatkala nama Hazrul meniti di bibirnya.
Ingatannya kembali mengingati Hazrul.
“Mama, percayalah pada Haz. Haz takkan
jadi macam arwah abang. Haz sentiasa ingat pesanan mama. Jangan risau ya mama,”
pujuk Hazrel lembut seraya mencium pipi Datin Salina.
“Boleh ke mama percaya cakap Haz?”
“Boleh mama. Haz akan kotakan janji Haz
tu.”
“Kalau Haz berubah macam arwah abang…”
“Tak. Haz takkan berubah,” pintas
Hazrel laju.
“Kalau macam tu, Haz kahwin dengan
Qistina. Tak adalah Haz terpikat dengan perempuan di sana nanti,” cadang Datin
Salina.
“Awak ni dah buang tebiat ke Sal? Awak
nak paksa budak tu kahwin pulak semata-mata tak nak budak tu terpikat dengan perempuan
kat sana. Gila ke awak ni Sal,” sampuk Dato’ Ridzuan keras.
Hazrel meleraikan pegangannya di bahu
Datin Salina. Dia menapak jalan menuju ke sofa dan melabuhkan duduknya di situ.
“Saya tak gila. Saya nak Haz berkahwin
dengan Qistina. Dengan cara itu, Haz takkan mungkin janji dengan saya,” bidas
Datin Salina. “Haz setuju ya nak,” pujuk Datin Salina pula.
“Ma, Haz tak sedia lagi nak kahwin.
Umur Haz muda lagi,” tolak Hazrel lembut.
“Muda Haz cakap. Umur dah masuk dua
puluh lima tahun dah memang layak untuk kahwin. Cuba Haz tengok kawan-kawan
Haz, anak kawan-kawan mama, semuanya dah beranak pinak dalam usia yang muda,”
cerita Datin Salina bersungguh.
“Tapi mama, Haz tak cintakan Qistina.
Haz anggap Qistina macam adik Haz sendiri,” jelas Hazrel jujur.
Itulah yang dirasakannya selama ini.
Hubungannya dengan Qistina hanya sekadar hubungan keluarga. Malah Qistina sudah
dianggap sebagai adiknya sahaja.
“Mama tak peduli. Haz kena juga kahwin
dengan Qistina!” putus Datin Salina tegas. Bingkas dia bangun dan beredar dari
situ. Sakit hatinya mendengar penjelasan Hazrel itu.
Hazrel mengeluh berat. Sukar untuk
melawan dan membantah kata-kata Datin Salina. Apa yang harus dilakukannya
sekarang? Sungguh dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga malah untuk
bercinta juga tidak pernah terfikir dek akalnya. Selagi dia belum berjumpa
dengan gadis yang boleh membuatkan jantungnya berdegup kencang, selagi itulah
dia takkan berkahwin malah menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana gadis
termasuklah Qistina.
“Ain, kenapa maksu call Ain tak dapat? Ain off telefon
ke?” tanya Humaira dan menapak masuk ke dalam bilik Nur Ain. “Abang Eddie call pun tak dapat, kenapa?” sambung
Humaira lagi. Matanya menatap mesra wajah Nur Ain.
“Handphone
Ain hilang. Ain tak tahu kat mana hilangnya,” jujur Nur Ain.
“Kenapa Ain cuai sangat ni? Bila
hilangnya?”
“Masa Ain accident dulu. Ain dah cari dalam beg, tapi tak ada.”
“Ya ALLAH, kan dah lama tu. Kenapa Ain
tak bagitau maksu dan Abang Eddie,” bebel Humaira.
“Erk…” Nur Ain menggaru kepalanya yang
tidak gatal.
“Patutlah selama ini maksu call tak dapat-dapat. Rupa-rupanya…”
“Maafkan Ain,” pintas Nur Ain laju.
“Maksu pun silap juga tak tanya pasal
ni dari Ain,” keluh Humaira.
“Ain rasa tak penting maksu.”
“Tak penting Ain kata. Walaupun Ain
gunanya sekadar untuk menelefon dan menerima panggilan, ia tetap penting Ain,”
bebel Humaira lagi.
“Maksu, Ain…”
Sukar untuknya bersuara. Ada benarnya
kata Humaira. Malah telefonnya itu begitu penting buat Ain. Seakan-akan rasa
kehilangan yang amat sangat.
“Ain ada cuba call tak? Selama ini maksu dan Abang Die call tak dapat-dapat, apa kata Ain cuba pulak. Manalah tahukan kali
ni dapat,” cadang Humaira bersungguh.
“Ain tak pernah cuba maksu,” berserta
gelengan.
“Apa kata Ain cuba call. Maksu pasti ada orang yang jumpa dengan phone Ain tu dan dia baik hati untuk serahkan semula telefon Ain,”
usul Humaira pula.
Lantas diserahkan telefon bimbitnya
kepada Nur Ain dan disambut baik oleh Nur Ain. Segera Nur Ain mendail nombor
telefon bimbitnya.
“Dapat maksu,” bisik Nur Ain perlahan.
Humaira mengangguk dan tersenyum.
“Assalamualaikum,” sapa Nur Ain tatkala
panggilannya berjawab.
“Hmm.. siapa ni?” tanya Hazrel kasar.
“Saya nak tanya, nombor ni milik encik
ke?”
“Bukan, kenapa?”
“Sebulan yang lepas, encik ada jumpa
telefon kat mana-mana ke? Maksud saya, nombor dan telefonnya sekali.”
“Ada, kenapa?”
“Maknanya telefon tu bukan milik encik
ke?”
“A’ah, kenapa?” tanya Hazrel meninggi.
Terkejut Nur Ain mendengar suara
lantang lelaki tersebut. Sungguh tidak beradap dan tidak berbudi bahasa lelaki
itu.
“Telefon tu milik saya. Boleh tak encik
serahkan telefon tu semula pada saya?” jelas Nur Ain berharap.
“Kau siapa? Kau jangan nak buat cerita.
Entah-entah telefon ni bukan kau yang punya, pandai-pandai kau mengaku yang
telefon ni kau yang punya,” bidas Hazrel sinis.
“Saya Ain. Nur Ain Zafira Ibrahim.
Telefon yang encik pegang tu memang milik saya. Dah sebulan telefon saya
hilang. Boleh tak encik pulangkan semula telefon tu pada saya?” jelas Nur Ain
bernada harapan.
Tersentak Hazrel mendengar nama
tersebut. ‘Nur Ain Zafira Ibrahim’ ulang Hazrel di dalam hati. Jika ingatannya
masih berfungsi, mungkinkah perempuan di hujung talian itu adalah pekerjanya di
Cahaya Sdn Bhd.
“Kau kerja kat mana? Nanti aku serahkan
telefon ni pada kau,” tanya Hazrel inginkan kepastian daripada firasatnya itu.
“Cahaya Sdn Bhd!” jawab Nur Ain jujur.
Matanya mengerling ke arah Humaira yang
berada di sisinya. Menanti penuh setia akan perbualannya dengan lelaki
tersebut.
Huh! Perempuan tu lagi. Rupa-rupanya
telefon ni milik dia. Mungkin terjatuh masa aku bawa dia ke hospital dulu. Kau
ingat senang-senang aku nak bagi balik kat kau. Sakit hati aku pada kau tak
mungkin akan lenyap begitu saja. Malah apabila Eddie membela kau, bertambah
sakit hati aku dibuatnya. Apa yang dipandang sangat Eddie tu pada kau, aku
sendiri pun tak tahu? Monolog Hazrel sendirian dan tersenyum sinis.
“Esok aku jumpa kau kat Cahaya Sdn Bhd.
Aku serahkan telefon kau ni balik. Aku pun jijik nak simpannya lama-lama. Buat
kotor bilik aku aje. Lepas tu terpaksa charge
kau punya handphone ni lagi, memang
menyusahkan. Tapi, aku ada syarat buat kau. Kalau kau tak boleh nak patuhinya,
aku takkan serahkan telefon ni pada kau,” jelas Hazrel sinis.
Terkebil-kebil mata Nur Ain dibuatnya.
Syarat? Syarat apa yang perlu dipatuhinya untuk mendapatkan telefonnya semula?
Adakah syarat itu akan memudaratkan dirinya atau pun tidak?
“Baiklah!” balas Nur Ain pendek.
Tawakal ajelah, bisik Nur Ain pula.
“Semoga kau tidur dengan aman malam
ni,” ucap Hazrel dan mematikan talian.
Nur Ain melepaskan keluhan. Diserahkan
semula telefon bimbit kepada Humaira. Apa maksud lelaki itu tadi? Otaknya
sedang bekerja keras memikirkan kata-kata lelaki itu. Kenapa kasar sungguh
lelaki itu berbahasa? Adakah dia mengenali Nur Ain?
“Apa katanya Ain?” tanya Humaira ingin
tahu.
“Esok dia serahkan telefon tu pada Ain.
Tapi, ada syaratnya maksu. Kalau Ain tak ikut syarat dia, Ain takkan dapat
telefon tu balik,” jawab Nur Ain jujur.
“Syarat? Syarat apa? Bukan ke dia yang
sepatutnya serahkan telefon tu pada Ain. Kenapa pula dia meletakkan syarat
untuk serahkan telefon tu balik?” suara Humaira tidak berpuas hati dan
mendengus kasar.
Suka hati aje nak bagi syarat kat orang.
Dia yang pegang telefon Ain, nak bersyarat-syarat pulak. Kalau tak ikut, tak
bagi. Apa semua ni? bentak Humaira sendirian.
“Entahlah maksu. Ain pun tak faham. Tak
pelah, esok Ain jumpa dia kat tempat kerja Ain. Nanti Ain tahulah apa
syaratnya,” pujuk Nur Ain lembut.
“Ain nak maksu atau Abang Eddie
temankan?”
“Tak apalah maksu. Ain jumpa kat tempat
kerja Ain. Lagipun Kak Gie ada. Apa-apa nanti, Ain minta tolong dari Kak Gie.”
“Hmm… kalau ada apa-apa nanti,
cepat-cepat call maksu atau Abang
Eddie,” pesan Humaira seraya bangun dari duduknya.
“Insya-ALLAH maksu. Ain nak tanya maksu
sesuatu boleh tak?”
“Apa dia?”
“Kenapa Abang Eddie ambil berat tentang
Ain? Maksud Ain, kenapa semua yang terjadi pada Ain, perlu diberitahu pada
Abang Eddie?” tanya Nur Ain ingin tahu.
Selama ini persoalan itulah yang
menjadi tanda tanya Nur Ain. Keprihatinan Eddie melebihi keprihatinan Humaira.
Mungkinkah ada sesuatu yang cuba Eddie rahsiakan dari Nur Ain dan juga Humaira?
Mungkinkah ada sebab dan kenapa Eddie mengambil berat akan diri Nur Ain selama
ini?
Humaira terkedu seketika. Jawapan apa yang
harus diberikan pada Nur Ain. Sungguh itulah yang dirasakan Humaira selama dia
berkawan dan bercinta dengan Eddie. Eddie terlalu mengambil berat tentang Nur
Ain. Malah sikap Eddie terhadap Nur Ain melebihi dari sikapnya selaku ibu
saudara Nur Ain.
“Mungkin Abang Eddie sayangkan Ain. Sebab
itulah semua tentang Ain, Abang Eddie perlu tahu,” jawab Humaira sekadar
menyedapkan hati Nur Ain.
“Oh, mungkin juga. Bertuah Ain kan
maksu. Ada maksu dan Abang Eddie yang sayangkan Ain,” ujar Nur Ain dan
tersengih.
Humaira hanya mengangguk. Seminit
kemudian, dia menapak keluar dari bilik Nur Ain. Hatinya juga tertanya-tanya
akan sikap Eddie selama ini. Adakah Eddie merahsiakan sesuatu darinya? Apakah
sebab dan kenapa Eddie bersikap ambil berat terhadap Nur Ain selama ini?
Humaira perlu mencari jawapan pada setiap persoalannya itu. Tetapi, dari siapa
dia perlu bertanya? Adakah dengan Eddie sendiri?
Hazrel mencampak telefon bimbit milik
Nur Ain ke atas katil. Dia tersenyum sinis mengingati perbualannya dengan Nur
Ain. Dia perlu memikirkan beberapa rancangan untuk mengenakan Nur Ain. Hazrel berfikir
sejenak. Perlukah dia meneruskan niatnya dahulu untuk menjadikan Nur Ain
sebagai orang gajinya? Perlukah dia meneruskan niatnya untuk meminta Nur Ain
mengikut ke mana sahaja dia pergi sekali gus menjadi hambanya? Bagaimana jika
Eddie mendapat tahu akan perkara ini?
Hazrel mendengus kasar. Ingatannya
terus kepada Eddie. Betapa rindunya tatkala mengingati kenangan mereka sewaktu
di universiti dahulu. Tetapi, kenapa sekarang Eddie berubah sikap? Mungkinkah
selepas pertemuannya dengan gadis kampung itu membuatkan Eddie berubah sebegitu
sekali. Jika dulu tatkala ke Shah Alam, pasti dia akan menemui Eddie malah
menumpang tidur di rumah Eddie. Tetapi, kenapa sekarang ada saja perbalahan
yang akan berlaku di antara dirinya dengan Eddie? Adakah disebabkan Nur Ain dan
Humaira yang membuatkan Eddie berubah?
Sungguh Hazrel tidak menyenangi
keputusan Eddie untuk bercinta dengan perempuan yang bernama Humaira itu.
Sungguh Hazrel tidak menyukai gadis yang bernama Humaira itu. Bagi Hazrel,
Eddie lebih layak bercinta dengan gadis yang setaraf dengan diri Eddie. Eddie
boleh dapat yang lebih cantik dan bagus dari Humaira. Tetapi, kenapa Humaira
juga yang dipilih oleh Eddie? Bagaimana untuk memisahkan Eddie dengan Humaira?
Huh! Perlu ke aku pisahkan mereka? Tanyanya di dalam hati.
Hazrel mencapai telefon bimbitnya
tatkala telefon itu menjerit. Dia mendengus kasar tatkala ketenangannya
diganggu. Lantas ditekan butang hijau dan dilekapkan di telinga. Menanti sapaan
dari hujung talian.
“Kau dah tidur ke?” tanya Izzuddin.
“Belum lagi, kenapa?” jawab Hazrel.
“Kau dah dapat rumah ke? Kalau belum,
kau duduklah kat rumah aku dulu. Lagipun aku duduk sorang.”
“Tak nak aku duduk dengan kau. Aku tak
suka persekitarannya dan juga rumah kau. Nampak sempit dan tak terurus,” kutuk
Hazrel selamba.
Hisy, buat apa nak susahkan diri duduk
kat situ. Papa dah janji nak belikan aku rumah, baik aku duduk kat situ. Lebih
selesa dan besar, bisik Hazrel sendirian. Otaknya memutar memori ketika
menemani Izzuddin mencari rumah sewa seminggu yang lepas. Betapa kurang
selesanya dia ketika itu melihatkan keadaan rumah Izzuddin.
“Janji ada tempat berteduh Haz.
Walaupun sempit dan tak terurus, tapi aku bersyukur dengan apa yang aku
perolehi,” balas Izzuddin berbaur nasihat.
“Papa aku nak belikan rumah kat sana. Buat
masa sekarang ni aku tinggal dekat rumah yang papa aku beli untuk disewakan
dulu tu,” ujar Hazrel perlahan.
“Kalau macam tu, aku jumpa kau esok kat
office. Banyak perkara yang nak aku
bincangkan dengan kau. Tentang Cahaya dan juga Nur Ain,” jelas Izzuddin.
“Nur Ain? Kenapa dengan dia? Dia buat
hal lagi ke? Dia datang lewat ke hari ni?” tanya Hazrel bertubu-tubi. Sakit telinganya
mendengar nama Nur Ain.
Izzuddin tertawa kecil. Belum pernah
lagi Hazrel bertanyakan tentang seorang perempuan darinya. Mungkinkah hati
Hazrel sudah terbuka untuk menerima seorang gadis dalam hidupnya.
“Tak adalah Haz. Yang kau risau sangat
ni kenapa? Kau ada hati dengan Nur Ain ke?” tebak Izzuddin dan masih tertawa.
“Huh! Tak ada maknanya aku nak ada hati
dengan perempuan kampung macam dia tu. Apa kelas, sebelah mata aku pun takkan
aku pandangnya,” bidas Hazrel keras.
“Kau jangan cakap besar Haz. Kalau kau
jatuh cinta dengan dia bagaimana? Aku pun dah terjatuh cinta dengan dia Haz,”
beritahu Izzuddin jujur.
Membuntang mata Hazrel mendengarnya. Izzuddin
jatuh cinta dengan Nur Ain? Biar betul? Hatinya bertanya. Seminit kemudian, dia
tertawa besar. Kau dengan Eddie, sama aje. Mudah sangat jatuh cinta dengan
perempuan kampung, kutuk Hazrel di dalam hati.
“Yang kau ketawa ni kenapa?” jerkah
Izzuddin kurang senang dengan tingkah Hazrel itu.
“Kau dengan Eddie, sama aje. Mudah
sangat jatuh cinta. Pulak tu jatuh cinta dengan perempuan kampung dan tak
berharta. Apa yang korang berdua tengok ha?” balas Hazrel sinis.
“Bahasa tu biar elok sikit Haz. Biar
miskin harta asal kaya budi bahasa,” bidas Izzuddin keras. Sakit telinganya
mendengar kenyataan Hazrel itu.
“Izz… Izz.. tak paham aku dengan kau
nilah. Apa yang kau pandang dengan Nur Ain tu? Bukannya cantik mana.
Kekampungan dan tak berharta. Mana layak untuk kau Izz.” Sinis Hazrel bertanya.
Seolah-olah orang yang tidak berhati perut dan berhati busuk lagaknya.
“Hati dia baik Haz. Dia dah selamatkan
aku dari dilanggar kereta sebulan yang lepas. Aku terhutang budi dengan dia,”
jelas Izzuddin jujur dan ikhlas.
“Takkan sebab itu, kau terus jatuh
cinta dengan dia. Habis tu, kalau makcik tua yang selamatkan kau, automatik kau
akan suka dengan makcik tu juga ke?” sindir Hazrel pedas.
Izzuddin menarik nafas dan
melepaskannya. Sukar untuk mengertikan Hazrel. Sukar untuk mengubah pemikiran
Hazrel yang masih berfikiran prejudis terhadap orang kelas bawahan.
“Sudahlah Haz. Kau takkan pernah
berubah sampai bila-bila. Apa-apa pun, aku tunggu kau esok kat Cahaya,” suara
Izzuddin sedikit mengalah. Ada baiknya dia mengalah daripada mendengar
kata-kata sinis dari mulut Hazrel itu.
“Sebelum tu, kau pastikan Nur Ain
datang on time esok. Aku nak jumpa
dia, ada perhitungan dengan dia,” pesan Hazrel dan mematikan talian telefon.
Berkerut dahi Izzuddin mendengarnya.
Apa yang dimaksudkan oleh Hazrel itu? Perhitungan? Perhitungan apa di antara
Hazrel dan Nur Ain itu?
“Takkan Haz nak buli Nur Ain?” duga
Izzuddin sendirian dan mengeluh.
Jumpa Hazrel & Nur Ain pada hari Isnin depan...
Terima kasih kerana membaca...
(^_^)
(^_^)
urm...sebab ape ek akak datin salina tak suka budak kampung??? mesti ade sbb kn...
BalasPadamtak sbar nak tau sambungan..^^
ada sbbnya, tp kena tggu la..
Padamada 2 persoaln kt kpla skang ni...knp la datin salin 2 bnci sgt bdk kg n knp eddie trlalu mgambil berat akn nur ain??ermmm...ni x sabor nk tggu next2 n3 ni ...gud job la akak!!:)hehehe
BalasPadamtq my dear Yani.. soalan tu ada jwpnnya nti..
PadamApalah perhitungan yang mamat sengal + poyo + berlagak tu nak buat dengan Ain ye...tak sabar nak tunggu hari Isnin ni...
BalasPadamerr, sengal + poyo + berlagak.. byknya gelaran utk HH tu.. erm, next bab tahulah apa yg HH nk buat pd NAZ..
Padamsebulan lepas? O.O tak hbs plak bateri phone tu? O.O wah...canggih ni^^
BalasPadamnasib baik ain call kebetulan plak dpt..hurm...nasib baik.
anyway..nape ek eddie tu baik sgt ngn ain?
hazrel tu.. mulut dia mmg longkang kan?? *geram* mulut lpas je, hati kwn lgsg x jga.. terbaik lah!! hazrel2 kalau kau muncul depan ak dgn mulut longkang kau, sblh mata pun ak x pndg tau.. (tp..er..kalau bawak audi..pandang lah juga kot...lol)
izz...mcm best jer watak die^^
hahaha.. x terpkr pulak akk ttg tu.. xpe, kita blh assume yg HH tu charge phone NAZ 2 bl bateri kong.. tq dik.. nti akk edit balik.. terlps pndg tu.. huhu.. :0
Padamboleh ga buat, dia actually tutup phone tu ka...sbb org x kenal dok call..hehe..then dia tergerak hati nk bukak phone 2 hr yg ain call tu.. hehe.. br lah berjodoh name nye....weeeeeeee....
Padamakak...biler HH nk jd baik ni? mcm mn nk support hero kalau hero asyik menaikkan kemarahan je... huhu..nk tgk dia jd cute+handsome+baik gak...~!!
a'ah kan, btl jg tu.. ok, nti akak edit balik.. tq dik atas teguran itu.. mmg x tpkr pn ttg tu, sbb tu akak ada member yg akak lantik sbg editor utk edit n tegur mana yg x kena pd karya2 akak..
PadamHH nk jd baik??? erm, lama lg tue.. mgkn lepas dia kawin dgn NAZ bru dia jd baik kot.. klu dia jd baiklah.. hihi.. :D
no prob, kalau akak nmpk error kat e-novel sya. just tell me ok..tegur je. sya pun selalu buat error mcm ni. kdg2 kami dua org baca + sorng lg adik baca pun blh terlepas^^;;
PadamOMG kawen? waaaaaaaaaaaaaa.............. teaser ni~!!! weee...
ahahaha....tapi alahai...nape lah dia ni mulut leser sgt. nseb dia dpt perempuan baik, ayu, tak melawan... ishx3 kalau sya..dh lama kena bantai blk laki ni...weee...
Insya-ALLAH sya, akak akn tegur klu ada yg x kena dgn e-novel sya.. mmg HH & NAZ akn berkahwin.. dlm sinopsis ada mentionkan diorg berdua berkahwin.. but NAZ bkn perempuan yg lembut hati, lemah dan mudah menangis.. apa2 pn ntikan bab seterus & seterusnya.. semuanya akan terjwb nti.. ;)
Padamkak bla novel nie nk kuaq???
BalasPadamxsabar nk bca la best jgakkk
InsyaAllah, dlm bbrp bln lg AJID akn keluar.. nti akak war2kan dlm blog..
Padamterima kasih coz sukakan AJID.. :)