BAB 3
“Terima kasih Pak Badrul kerana tolong
Ain. Tak terbalas Ain jasa Pak Badrul sehingga ke hari ini,” ucap Nur Ain ikhlas.
“Sama-sama Ain. Pakcik tahu setiap 25
haribulan, Ain pasti akan ke sini,” balas Pak Badrul dan tersenyum.
“Ain tak pernah lupa pakcik. Setiap tahun
dan pada tarikh ini, Ain akan ke sini. Walau apa pun rintahan yang datang, Ain
akan tetap ke sini. Hanya dengan cara ini, Ain dapat lepaskan rindu Ain pada
arwah,” cerita Nur Ain jujur.
Pak Badrul tersenyum mendengarnya. Mata
tuanya menjamah wajah bersih Nur Ain. Walaupun parut di dahi sedikit sebanyak
mencacatkan wajah Nur Ain, tetapi masih tetap tampak manis dan ayu di mata
tuanya itu.
“Boleh pakcik tanya sesuatu Ain?” ujar
Pak Badrul.
Nur Ain mengangguk.
“Selama tiga tahun ni, Ain yang minta
pakcik lakukan perbuatan tu. Kenapa Ain sendiri yang tak tabur bunga dan
jiruskan air atas pusara arwah?” tanya Pak Badrul ingin tahu.
Itulah persoalan yang bersarang di
kepalanya selama tiga tahun ini. Bukannya Pak Badrul tidak mahu bertanya,
tatkala memandang wajah Nur Ain, terus niatnya untuk bertanya, terbatal begitu
sahaja. Mungkin ada penyebab kenapa Nur Ain tidak melakukan perbuatan itu
sendiri dan meminta orang lain melakukannya.
Nur Ain melepaskan keluhan ringan.
Matanya dihalakan ke arah pusara yang sudah tiga tahun bersemadi di tanah
perkuburan itu. Pusara insan yang amat disayanginya. Pusara insan yang mengajarnya
erti cinta dan rindu yang sebenar. Pusara insan yang ikhlas menyintainya
sepenuh hati tanpa mengira pangkat, darjat serta keturunan. Matanya mulai
berkaca. Dengan segera dia mengerdip-ngerdipkan matanya
“Ain diharamkan untuk melawat pusara
tu. Malah menyentuhnya juga Ain tak dibenarkan,” jawab Nur Ain lemah.
Terbuntang mata Pak Badrul
mendengarnya. Diharamkan? Apa yang dimaksudkan oleh Nur Ain itu? Belum pernah
lagi Pak Badrul mendengar orang diharamkan melawat pusara. Falsafah siapa yang
dipakai oleh orang tersebut?
“Kenapa pulak macam tu? Pakcik tak
pernah dengar orang haramkan sesiapa melawat kubur,” ujar Pak Badrul pelik.
“Ain tahu pakcik. Tapi, Ain tak boleh
nak buat apa. Sebab itu merupakan satu doa bagi orang yang menyebutnya. Sama
seperti juga kalau ayah sendiri haramkan anak menjejakkan kaki ke rumahnya,”
balas Nur Ain sebak.
Peristiwa dia dihalau oleh abahnya
sentiasa bermain-main di tubir mata. Dia dihalau tanpa sebab. Sehingga sekarang
sebab dan punca dia dihalau tidak diketahui oleh Nur Ain. Perlukah dia mencari
sebab dan punca kenapa dia dihalau suatu ketika dahulu? Mungkin ya dan mungkin
juga tidak. Jika ya, pada siapa dia perlu bertanya dan jika tidak, sampai bila
dia tidak akan menjejakkan kaki ke rumah dan juga kampung halamannya itu.
“Betul juga cakap Ain tu. Tapi, siapa
yang haramkan Ain menghampiri pusara itu? Dan milik siapa pusara itu? Maaflah
kalau pakcik banyak bertanya. Selama tiga tahun ini, hati pakcik tertanya-tanya
Ain,” jelas Pak Badrul ikhlas.
“Pusara tu milik insan yang Ain cintai.
Insan yang menyintai Ain seikhlas hatinya tanpa mengira pangkat, darjat serta
keturunan. Ain kehilangannya tiga tahun yang lepas,” cerita Nur Ain serba
sedikit.
“Oh, maafkan pakcik Ain. Pakcik tak
tahu,” kesal Pak Badrul.
“Tak mengapa pakcik. Ain tak ambil hati
pun. Salah Ain juga sebab tak ceritakan pada pakcik,” balas Nur Ain dan
tersenyum.
Pak Badrul sekadar mengangguk. Mata
tuanya dihalakan ke arah pusara tersebut.
“Ain minta diri dululah pakcik. Ain nak
pergi kerja ni,” ujar Nur Ain seraya bangun.
Matanya dikerling ke jam di tangan.
Masa sudah menginjak ke angka sembilan pagi. Dia perlu meninggalkan tempat itu
untuk ke tempat kerja. Sudah pastilah Encik Latif akan memarahinya akan
kelewatan hari ini. Tambahan pula, perjumpaan di antara Pengurus Besar bersama
pekerja-pekerja Cahaya Sdn Bhd, turut diadakan pada hari ini. Nur Ain tidak
peduli jika dia dibuang kerja, asalkan dia dapat melawat pusara Hazrul. Namun
jauh di sudut hati, dia tidak mahu dibuang kerja kerana dia sayangkan pekerjaan
itu.
“Baiklah Ain. Hati-hati jalan,” pesan
Pak Badrul sebelum Nur Ain meninggalkan kawasan perkuburan itu. Matanya
mengekori langkah Nur Ain sehingga hilang dari pandangan mata tuanya itu.
“Pakcik doakan Ain bertemu dengan insan
sama seperti arwah. Walaupun pakcik tak mengenali arwah, pakcik yakin, arwah
seorang lelaki yang baik dan ikhlas menyintai Ain,” bisik Pak Badrul sendirian.
“Nur Ain Zafira Ibrahim!” panggil
Hazrel sedikit meninggi.
Matanya membelingas ke kiri dan ke kanan.
Mencari-cari kelibat empunya nama yang baru disebutnya itu. Di hadapannya kini
seramai dua puluh orang pekerja Cahaya Sdn Bhd sedang diberi taklimat akan
peraturan baru di syarikat itu.
“Nur Ain Zafira Ibrahim!” ulang Hazrel
meninggi.
Namun masih tiada sahutan.
“Encik Latif, mana Nur Ain Zarifa
Ibrahim? Saya dah pesan pada awak dari hari tu lagikan, minta dia wajib datang
pada hari ini,” tegas Hazrel. Matanya tajam ke muka Encik Latif yang sedang
menunduk menekur ke lantai.
“Encik Latif, saya tanya awak ni. Mana
Nur Ain Zafira Ibrahim?” tekan Hazrel. Sakit hatinya melihat kebisuan Encik
Latif itu.
“Siapa di antara kamu semua yang tahu
di mana Nur Ain Zafira Ibrahim?” tanya Hazrel pula sambil menghalakan
pandangannya ke arah pekerja-pekerja Cahaya Sdn Bhd.
Mereka yang berada di situ, sekadar
menunduk. Tidak berani untuk menentang pandangan Pengurus Besar mereka itu. Bukannya
mereka tidak tahu ke mana perginya Nur Ain. Setiap 25 haribulan, Nur Ain akan
mengambil cuti untuk ke pusara insan yang dicintainya dulu. Untuk mengkhabarkan
pada Pengurus Besar mereka itu, tidak punya kekuatan. Malah dikhuatiri akan
dituduh bersubahat dengan Nur Ain nanti.
“Maaf Encik Hazrel. Setiap 25 haribulan,
Nur Ain akan ambil cuti. Ada urusan penting yang harus dilakukannya,” suara
Fauziah tiba-tiba. Kemudian dia menundukkan muka. Tidak berani untuk memandang
wajah Pengurus Besar itu.
“Cuti?” ulang Hazrel berkerut. “Encik
Latif, bukan ke saya pesan pada awak, perjumpaan hari ini wajib dihadiri
kesemua pekerja di sini. Awak dah lupa dengan pesanan saya, Encik Latif?” keras
Hazrel bersuara.
“Maafkan saya Encik Hazrel. Kami tak
dapat nak hubungi Nur Ain. Kata makciknya, pagi-pagi lagi Nur Ain dah keluar,”
jelas Encik Latif tanpa dipinta.
Hazrel mendengus keras. Sakit hatinya
mendengar penjelasan Encik Latif itu. Bukannya dia tidak berpesan pada Encik
Latif, sudah berkali-kali di ingatkan agar kesemua pekerja menghadirkan diri
pada perjumpaan hari ini. Ternyata arahannya itu tidak di ambil serius oleh Encik
Latif dan juga Nur Ain Zafira Ibrahim, pekerja yang dicarinya sekarang.
“Assalamualaikum,” sapa Nur Ain dari
muka pintu.
Serentak mereka yang berada di dalam
bilik mesyuarat itu menoleh ke arah Nur Ain. Masing-masing membuat wajah berkerut
ke arah Nur Ain.
“Maaf kalau saya terlewat,” ujar Nur
Ain dan melangkah jalan masuk ke dalam bilik itu.
“Awak ingat ini syarikat mak bapak awak
ke? Ikut suka hati awak aje nak masuk kerja. Awak tahu tak dah pukul berapa
sekarang ni?” tegur Hazrel keras. Tajam matanya ke muka Nur Ain sambil
mendengus keras.
Tersentak Nur Ain mendengar teguran
lelaki itu. Dia melangkah jalan menghampiri kerusi kosong yang berada di
sebelah Fauziah tanpa menghiraukan pasang-pasang mata yang sedang memandang ke
arahnya berserta kerutan di dahi.
“Maafkan saya,” ucap Nur Ain perlahan.
“Nama awak apa?” tanya Hazrel tegas.
“Nur Ain Zafira Ibrahim,” jawab Nur Ain
dan menunduk.
“Oh, jadi awak Nur Ain Zafira Ibrahim.
Pekerja yang selalu datang lewat hampir sepuluh kali dalam sebulan. Pekerja
yang ikut sesuka hati saja nak masuk kerja atau tidak,” sindir Hazrel sinis.
Matanya tidak lekang dari memandang ke wajah Nur Ain.
Nur Ain mengangkat muka. Tersentak dia
buat seketika. Matanya berlaga dengan mata Hazrel. Lama mata mereka bertaut.
Seakan ada tarikan magnet di antara mereka berdua. Hazrul! Bisik hati kecil Nur
Ain. Serentak itu dia melarikan pandangan ke arah lain. Tidak sanggup memandang
panahan mata lelaki tersebut.
“Ya, sayalah Nur Ain Zafira Ibrahim,”
balas Nur Ain lembut.
“Jumpa saya kat pejabat lepas ni,” arah
Hazrel tegas dan berlalu dari situ.
Jika berlama di situ, entah apa lagi
yang bakal dihamburkan olehnya kepada pekerja-pekerja di situ. Otaknya ligat
memikirkan wajah gadis yang dipandangnya tadi. Seperti pernah berjumpa dengan
gadis tersebut. Tetapi, di mana?
Hazrel menyandarkan badan ke kerusi.
Tangannya mengetuk-ngetuk meja di hadapannya itu. Kat mana aku jumpa dia? soal
hati Hazrel. Macam pernah aku jumpa, tapi kat mana? Ulang hatinya lagi. Dia
mengetuk-ngetuk kepalanya pula. Cuba menggerakkan kotak fikirannya agar lebih
ligat berfikir. Sungguh dia tidak dapat menangkap gerangan gadis itu tadi. Mungkin
disebabkan penampilan gadis itu yang ke arah kekampungan, membuatkan dirinya
tidak berapa minat untuk mengingatinya.
Hazrel membetulkan duduknya tatkala
terdengar ketukan di pintu. Setelah diberi arahan, sesusuk tubuh masuk ke dalam
sambil berjalan menundukkan wajah. Mungkin takut untuk menatap wajah Hazrel
ketika ini. Berkerut dahi Hazrel melihat gelagat pekerjanya itu. Aku pun tak
ingin nak tengok muka kaulah! Cebik Hazrel di dalam hati. Mungkin terasa dengan
tingkah pekerjanya itu.
“So,
apa alasan kelewatan awak hari ini? Bukan ke Encik Latif dah bagitau kesemua
pekerja tentang perjumpaan dengan saya pada hari ini. Awak tahu atau pura-pura
tidak tahu?” tanya Hazrel meninggi. Matanya tajam ke muka gadis di hadapannya
itu.
“Saya minta maaf encik. Bukan saya
sengaja nak datang lewat. Bas yang lalu kawasan perumahan saya tu, selalu buat
hal. Sekejap datang lambat, sekejap datang awal. Sebab itulah kadang-kala saya
tertinggal bas,” jelas Nur Ain tanpa dipinta.
Huh! Aku tanya lain, dia jawab lain.
Tak paham soalan ke dia ni? Aku tanya hari ini, bukan sebelum ini, bodoh! Kutuk
Hazrel di dalam hati.
“Saya tanya hari ini, bukannya sebelum
ini. Bodoh betul awak ni. Tak faham soalan ke?” kutuk Hazrel tidak berlapik.
Mendengarkan kutukan Hazrel, serta merta
Nur Ain mengangkat wajahnya. Lelaki di hadapannya dipandang tajam.
“Awak pergi sekolah ke tidak? Saya
tanya kenapa awak lewat hari ini, bukannya sebelum ini? H.A.R.I I.N.I dan bukan
S.E.B.E.L.U.M I.N.I. Awak faham tak perbezaan kedua-dua ejaan perkataan itu,” jelas
Hazrel mengejek. Dia turut mengeja perkataan ‘hari ini’ dan ‘sebelum ini’.
Nur Ain mengangguk lemah. Panas
telinganya mendengar ejekan Hazrel itu. Walaupun dia hanya berpendidikan
setakat SPM, itu tidak bermakna dia tidak faham akan maksud perkataan tersebut.
“Apa sebab awak lewat hari ini?” ulang
Hazrel lagi.
“Saya ke kubur,” balas Nur Ain dan
menunduk.
“Kubur?” ulang Hazrel berkerut.
“Esok-esok awak tak boleh pergi ke? Kenapa perlu hari ini?” sambung Hazrel.
“Tak boleh!”
Hazrel bertambah berkerut. Bingkas dia
bangun dari duduknya dan menapak perlahan menghampiri Nur Ain. Di amati Nur Ain
dari atas ke bawah. Matanya menjamah Nur Ain yang hanya berbaju kurung dan
bertudung. Huh! Tak pandai bergaya betul minah ni! Cebiknya.
“Saya terpaksa ambil tindakan ke atas
awak. Saya tak nak pekerja lain mengikut contoh tak baik dari awak. Saya
terpaksa berhentikan awak,” beritahu Hazrel dan berpeluk tubuh.
Nur Ain mengangkat mukanya laju. Wajah
Hazrel ditatap minta simpati. Kecut perutnya mendengar keputusan Hazrel itu.
Nur Ain tidak mahu dipecat. Nur Ain tidak mahu dibuang kerja. Jika boleh
dirayu, akan dicuba sedaya upaya merayu. Sungguh dia amat sayang dengan
pekerjaannya sekarang. Apa yang perlu dilakukan untuk tidak dirinya dipecat?
“Encik, tolonglah jangan berhentikan
saya. Saya janji, lepas ni saya takkan lewat lagi,” suara Nur Ain sedikit
merayu.
“No!
Keputusan saya muktamad. Saya tak nak orang luar memandang negatif terhadap
syarikat saya,” tegas Hazrel. Matanya menjamah wajah Nur Ain.
“Tolonglah encik. Saya rayu pada encik.
Kalau encik nak suruh saya buat apa-apa, saya sanggup. Asalkan encik tak
berhentikan saya. Saya perlukan kerja ni. Saya sayangkan kerja ni,” rayu Nur
Ain pula. Matanya mulai berkaca. Hanya menunggu masa untuk merembes keluar.
“Aku rasa macam pernah tengok kau.
Bukan ke kau yang aku langgar hari tu?” duga Hazrel sambil cuba mengamati wajah
di hadapannya itu.
Nur Ain menelan liur. Di amati wajah
Hazrel dan diakui benar kata-kata Hazrel itu.
“Rupanya kau kerja kat sini. Kecil benar
dunia nikan?” cebik Hazrel dan tertawa mengejek. Tidak menyangka dia akan
berjumpa dengan gadis yang dilanggarnya sebulan yang lepas. Dengan serta merta
dia teringatkan permintaannya dahulu. Dia tersenyum sinis seketika.
“Kau dah kumpulkan duit untuk bayar
ganti rugi yang aku minta dulu?” soal Hazrel sinis.
Nur Ain menelan liurnya berkali-kali.
Mana mungkin dia melupakan permintaan lelaki itu. Permintaan agar membayar
segala kesan calar dan kotoran pada kereta lelaki itu.
“Berapa yang perlu saya bayar encik.
Insya-ALLAH akan saya usahakan untuk membayarnya,” jawab Nur Ain perlahan.
“Huh! Berani betul kau bertanya pada
aku berapa yang kau perlu bayarnya. Dah kaya sangat ke?” sindir Hazrel pedas.
Matanya menjamah wajah dan fizikal Nur Ain dengan pandangan yang meluat.
“Tak. Bukan maksud saya yang saya dah
kaya. Kalau ada rezeki lebih, saya bayarnya,” bidas Nur Ain perlahan.
“Well!
Aku nak kau bayar sebanyak seribu pada aku. Kau mampu ke tidak?”
“Seribu!” ulang Nur Ain terkejut.
“Kenapa? Kau tak ada duit sebanyak itu
ke?” tanya Hazrel sinis.
Nur Ain melepaskan keluhan ringan.
Seribu! Di mana perlu dia mencari wang sebanyak itu? Perlukah dia mengeluarkan
wang simpanannya itu. Wang yang disimpan bertujuan untuk menampung kos
perbelanjaan sekiranya dia melanjutkan pelajarannya nanti. Tidak mungkin dia akan
meminjam daripada Humaira ataupun Eddie.
“Kau tak mampu nak bayarnya kan?” duga
Hazrel pula melihatkan wajah kerutan di dahi Nur Ain. Dia mencebik dan tersenyum
sinis memandang Nur Ain.
“Insya-ALLAH, saya akan usahakannya.
Bagilah saya masa untuk mencari wang tersebut,” balas Nur Ain. “Tentang
pekerjaan ini, tolonglah jangan buang saya encik. Kalau encik buang saya, macam
mana saya nak bayar duit encik itu,” rayu Nur Ain pula.
Hazrel berpeluk tubuh. Dia mundar
mandir di hadapan Nur Ain. Sesekali dia berdehem memikirkan sesuatu.
“Aku boleh bagi peluang pada kau sekali
lagi. Tapi, ada syaratnya,” ujar Hazrel dan memberhentikan langkahnya.
Mendengarkan kata-kata Hazrel, terbias
senyuman di bibir Nur Ain. Sungguh dia merasa gembira mendengarnya.
“Terima kasih encik. Saya doakan kesejahteraan
encik dunia dan akhirat. Apa pun syaratnya, Insya-ALLAH saya akan patuhinya
asalkan encik tak pecat saya,” ucap Nur Ain ikhlas berserta senyuman di bibir.
Hazrel hanya mengangguk. Matanya
menatap wajah Nur Ain. Entah kenapa lidahnya terasa kelu untuk berkata-kata.
Mungkinkah senyuman Nur Ain telah menjentik hatinya kala itu?
“Ain nak ikut maksu keluar makan tak?”
tanya Humaira berbasa-basi.
“Ain tak lapar maksu. Maksu pergilah,”
jawab Nur Ain lemah.
Humaira melangkah menghampiri Nur Ain
yang sedang duduk mengadap jendela. Entah apa yang sedang difikirkan oleh anak
saudaranya itu, dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah Nur Ain sedang memikirkan
tentang pekerjaannya atau insan yang telah lama pergi meninggalkan Nur Ain tiga
tahun yang lepas?
“Kenapa ni Ain? Maksu tengok Ain macam
ada masalah aje. Cuba Ain ceritakan pada maksu. Mungkin maksu boleh tolongnya,”
tegur Humaira dan melabuhkan duduk di birai katil. Matanya tepat ke wajah Nur
Ain.
Nur Ain melepaskan keluhan berat.
Bagaimana untuk menceritakan pada Humaira tentang permintaan Pengurus Besar
syarikatnya itu? Perlukah dia bercerita kepada Humaira?
“Syarat apa encik?” tanya Nur Ain tidak
sabar. Hatinya berlagu riang tatkala dirinya tidak dipecat oleh Hazrel.
Hazrel tersentak dari lamunannya yang
pendek. Serta merta dia melangkah jalan menghampiri sofa dan melabuhkan duduk
di situ. Nafas pendek ditarik dan dilepaskannya perlahan.
Nur Ain turut mengorak langkah ke sofa
dan berdiri di hadapan Hazrel. Menanti butir bicara dari Hazrel.
“Aku nak kau jadi orang gaji aku selama
aku berada di sini. Dari situ kau tak perlu bayar duit seribu tu dan aku takkan
berhentikan kau kerja,” jelas Hazrel tegas.
“Orang gaji? Maksud encik?” soal Nur
Ain kurang mengerti.
“Kau kena ikut ke mana saja aku pergi
selama aku berada di sini. Di syarikat ni, kau kena sediakan keperluan aku,”
beritahu Hazrel sambil menyilangkan kakinya.
“Ikut encik ke mana saja encik pergi?
Siang ke malam?” tanya Nur Ain lurus.
“Tak kiralah malam atau siang. Kau kena
juga ikut aku.”
“Tapi… saya jarang keluar malam,” jujur
Nur Ain.
Hazrel melepaskan ketawanya sebaik
sahaja mendengar penjelasan polos dari Nur Ain.
“Mustahil kau jarang keluar malam. Aku
tak percaya. Bukan ke setiap malam kau buat part
time mengemis. Kalau tidak, mustahil aku boleh langgar kau pada malam tu.
Jangan-jangan dengan lelaki lain pun kau buat macam tu tak? Menagih simpati
dari orang kaya seperti aku,” sindir Hazrel pedas tanpa memikirkan perasaan Nur
Ain.
Tersentak Nur Ain mendengar sindirian
Hazrel itu. Tajam matanya menikam wajah Hazrel. Hina sangat ke dia di mata
lelaki itu? Sehingga tergamak lelaki itu mengeluarkan kenyataan seperti itu.
Walaupun Nur Ain kurang berharta, belum pernah lagi dia menagih simpati atau
mengemis dari orang lain. Dia akan cuba berusaha untuk mencari rezeki yang
halal dan bukan dengan cara mengemis seperti yang diberitahukan oleh Hazrel
itu.
“Encik nak suruh saya buat apa?” tanya
Nur Ain cuba menahan rasa di hati.
Biarlah dia nak menghina aku. Suatu
hari nanti, dia akan mendapat balasannya juga, bisik hati kecil Nur Ain.
“Nanti aku bagitau kau. Sekarang kau
boleh keluar. Aku bagi amaran pada kau. Kalau kau lewat lagi dalam bulan depan,
aku tak teragak-agak untuk pecat kau. Ingat tu!” pesan Hazrel keras. Bingkas
dia bangun dan menapak keluar dari pejabat. Terasa sesak nafasnya berhadapan
dengan gadis itu. Sakit matanya melihat penampilan gadis itu. Lebih lama dia
berada di dalam bilik itu, lebih rimas matanya memandang gadis itu.
“Ya ALLAH, mengelamun pulak budak ni,”
gerutu Humaira keras.
Tersentak Nur Ain seketika. Lamunannya
tadi hilang begitu sahaja.
“Tak ada apa maksu. Ain teringatkan
arahan bos Ain siang tadi. Dia nak Ain jadi pembantu dia,” bohong Nur Ain cuba
menyembunyikan kebenaran.
“Oh! Apa yang dia suruh Ain buat?”
“Tak ada apa maksu. Dia suruh Ain
sediakan minuman dia setiap pagi,” bohong Nur Ain lagi. Mana mungkin dia
menceritakan perkara sebenar pada Humaira.
“Abang Eddie ada bagitau maksu, kalau
Ain nak jumpa Hazrel, dia boleh uruskan untuk Ain.”
“Untuk apa?”
“Kan Ain juga yang suruh Abang Eddie
uruskan. Ain nak ucapkan terima kasih dan bayar hutang pada Hazrel tu.”
“Tak payahlah maksu. Ain dah jumpa dia
pun.”
“Ha… kat mana Ain jumpa dia?” tanya
Humaira sedikit terkejut.
“Kat office. Dia bos besar Ain,” jawab Nur Ain dan tersenyum.
“Dia ada buat apa-apa kat Ain tak?”
“Tak ada maksu. Janganlah risau.”
“Kalau dia ada sakitkan hati Ain,
cepat-cepat bagitau maksu. Tahulah maksu macam mana nak ajar dia nanti.”
“Insya-ALLAH, tak ada maksu,” dalih Nur
Ain dan tersenyum.
“Kalau macam tu, maksu keluar dulu.
Betul ni tak nak makan?” pamit Humaira seraya bangun. Dia menapak keluar dari
bilik. Eddie sudah pun menunggunya di luar rumah.
Nur Ain mengangguk. Otaknya masih ligat
memikirkan arahan Hazrel. Hatinya resah gelisah. Bagaimana kalau Hazrel
memintanya keluar pada malam hari? Jika perkara itu berlaku, bagaimana untuk
memberitahu Humaira? Pening kepala Nur Ain memikirkannya. Dia perlu membuat
keputusan. Dia lebih rela membayar hutangnya itu daripada keluar di malam hari.
Dia rela membayar hutang itu daripada mengikut arahan Hazrel. Tapi, bagaimana
dengan pekerjaannya pula? Buntu Nur Ain memikirkannya.
“Kau mesti nak tergelak tengok rupa
budak perempuan tu Izz. Baru aku gertak sikit, dah merayu meraban kat aku.
Orang susah memang macam tu kot,” kutuk Hazrel berserta ketawa.
“Kau ni Haz, tak baiklah cakap macam
tu. Dia pun manusia juga, punya hati dan perasaan,” bidas Izzuddin kurang
senang.
“Alah, apa aku peduli. Dah memang macam
tu, nak bela sangat tu kenapa?” cebik Hazrel meluat. Gelas di hadapan dicapai
dan diteguk rakus. Lantunan muzik yang dimainkan di dalam restoran itu begitu mendamaikan.
Ingin sahaja dia membelai perasaannya ketika itu.
“Suka hati kaulah Haz. Asalkan kau puas
hati. So, bila aku boleh start kerja?”
“Dalam minggu depan. Nanti aku suruh
kerani keluarkan surat perlantikan untuk kau. Tapi, kau kena pastikan syarikat
aku tu berkembang, jangan merundun dahlah. Kau kan tahu syarikat tu hampir
bankrap masa papa aku beli syarikat tu dulu,” jelas Hazrel berupa arahan.
“Insya-ALLAH Haz. Aku akan cuba buat
yang terbaik untuk syarikat kau tu. Terima kasih kerana bagi aku peluang
bekerja bawah kau,” balas Izzuddin ikhlas.
“Kau tu yang bodoh. Ada syarikat
keluarga sendiri tak nak kerja. Buat apa nak susah-susahkan diri kerja dengan
orang lain. Sengaja cari pasal,” kutuk Hazrel selamba.
“Aku ada sebab Haz. Aku nak cuba hidup
berdikari dan tak nak terikat dengan keluarga. Aku nak timba pengalaman di
tempat orang. Bila aku dah ada pengalaman, baru aku fikirkan nak kerja dengan
papa aku atau tidak,” jelas Izzuddin terang dan nyata. Berharap Hazrel memahami
akan tindakannya itu.
“Ikut suka kaulah Izz. Janji kau
bahagia,” ujar Hazrel mengalah.
Malas untuk membincangkan perkara itu
lagi. Buat habis air liurnya sahaja. Walau berkali-kali dia menasihati
Izzuddin, Izzuddin tetap dengan keputusannya. Ada baiknya dia membiarkannya sahaja.
“Eddie!” panggil Izzuddin.
“Ha… kau Izz. Buat apa kat sini? Haz,
kau pun ada,” balas Eddie dan tersenyum.
“Aku ikut Haz, tinjau kawasan kat sini.
Sambil-sambil tu cari rumah sewa. Insya-ALLAH, dalam minggu depan aku start kerja dekat syarikat Haz,” jelas
Izzuddin tanpa dipinta.
“Oh! Kenapa kau tak kerja dengan papa
kau. Kan papa kau ada syarikat sendiri,” tanya Eddie pelik.
“Aku nak hidup berdikari.
Sekurang-kurangnya aku dapat timba pengalaman kat tempat lain,” beritahu Izzuddin.
“Awek kau ke?” tanyanya pula. Matanya tertancap pada gadis yang bertudung di
sisi Eddie.
“A’ah, awek aku, Humaira,” jawab Eddie
dan mengerling sekilas ke arah Humaira di sisi.
“Hai! Izzuddin. Rakan universiti Eddie
dulu,” beritahu Izzuddin berserta senyuman.
“Humaira!” balas Humaira dan membalas
senyuman Izzuddin.
“Yang kau senyap aje ni Haz kenapa?
Takkan kau dah tak kenal dengan Eddie,” tegur Izzuddin tatkala menyedari
kebisuan Hazrel.
“Aku tak suka perempuan tu ada dalam
perbualan aku,” sindir Hazrel pedas.
Berbahang Eddie mendengarnya. Tangannya
sudah mengepal penumbuk. Mahu sahaja dia melayangkan penumbuk ke muka Hazre
ketika itu, namun disabarkan oleh Humaira. Dapat dirasakan genggaman Humaira di
tangannya. Cuba untuk menyabarkan dirinya daripada bertindak lebih pada Hazrel.
“Aku minta diri dulu Izz,” pamit Eddie.
Jika berlama di situ, entah ayat apa
lagi yang bakal dikeluarkan dari mulut berbisa Hazrel itu. Sakit hatinya
mendengar sindiran Hazrel tadi.
“Oh ya Haz, sebelum aku terlupa, berapa
hutang yang perlu Ain bayarkan pada kau. Aku akan bayar bagi pihak Ain,” soal
Eddie sebelum meninggalkan tempat itu.
“Kau tak perlu nak bayarnya. Dia
sendiri yang akan bayar hutang-hutang tu semua,” ujar Hazrel selamba.
“Apa maksud kau Haz?” tanya Eddie terkejut.
Humaira di sebelah turut sama terkejut.
Hazrel mendengus kasar. Bingkas dia
bangun dari duduknya dan menatap muka tegang Eddie. Kemudian dikalihkan matanya
memandang Humaira. Hanya riak jelek yang dipamerkan pada wajahnya itu.
“Dia pekerja aku Die. Aku suruh dia
jadi orang gaji aku selama aku berada di sini untuk tebus hutang dia pada aku.
Dan dia dah pun setujunya,” jelas Hazrel dan beriak selamba.
“Apa!!” jerit kecil Eddie. “Kau dah
melampau Hazrel!” marah Eddie sambil mencengkam leher t-shirt milik Hazrel.
Izzuddin yang melihat segera bangun dan
cuba untuk meleraikan pegangan Eddie. Risau kalau-kalau perkara buruk akan
berlaku di antara mereka berdua. Pasang-pasang mata yang melihat, tidak
dihiraukan langsung. Apa yang pasti, pergaduhan tidak akan berlaku di antara
Eddie dan Hazrel.
Humaira yang mendengar turut merasa
panas hati. Sanggup Hazrel meminta Nur Ain menjadi orang gajinya semata-mata
untuk menebus hutang. Kenapa Nur Ain tidak memberitahunya tadi apabila ditanya?
Mungkinkah Nur Ain sengaja untuk tidak memberitahunya kerana dikhuatiri akan
merisaukan hatinya. Ain, kenapa tak bagitau perkara yang sebenarnya pada maksu,
keluh Humaira sendirian.
“Yang kau lebih-lebih ni kenapa? Dia
sendiri yang setuju, nak buat macam mana. Bukannya aku paksa dia. Lagipun prestasi
kerja dia tak bagus selama ini. Selalu datang lewat dan memang aku berniat nak
berhentikan dia kerja. Tapi, disebabkan aku masih ada rasa kasihan, aku tak
jadi buang dia dan sebagai pertukaran, aku minta dia jadi orang gaji aku selama
aku berada di sini uruskan Cahaya Sdn Bhd. Salah ke tindakan aku tu?” jelas
Hazrel meninggi. Dia menolak tangan kasar Eddie yang sudah mencengkam leher
bajunya itu.
“Aku boleh bayar bagi pihak dia. Berapa
yang kau nak Hazrel, cakap!” tanya Eddie meninggi. Dadanya berombak menahan
nafas di dada.
“Sudahlah Die, Haz. Kenapa nak
gaduh-gaduh ni. Malu orang tengok,” tegah Izzuddin yang sedari tadi membisu.
Cuba meleraikan pertelingkahan rakan baiknya itu.
“Die, dahlah. Jom kita balik. Kita
tanyakan perkara ni pada Ain dulu,” tegah Humaira pula. Tidak mahu disebabkan
anak saudaranya, Eddie dan Hazrel bergaduh. Rasa bersalah jika perkara itu
berlaku.
“Aku akan bayar Haz. Aku tak nak kau
buli dia. Kalau aku tahu, nasib kau aku kerjakan Haz,” amaran Eddie keras.
Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan
ruang restoran itu. Humaira mengekori dari belakang. Sempat juga dia
melemparkan senyuman kepada Izzuddin sekadar menghormati kawan Eddie. Dia perlu
mententeramkan perasaan Eddie. Dari dulu lagi, Eddie akan bersikap seperti ini
jika melibatkan Nur Ain. Kadang-kadang Humaira tidak mengerti akan sikap Eddie.
Keprihatian Eddie terhadap Nur Ain melebihi keprihatinanya sebagai ibu saudara Nur
Ain. Apa yang pasti, dia bersyukur kerana mempertemukannya dengan Eddie Zakuan.
“Abang tak nak Ain dengar cakap dia. Abang
boleh bayar bagi pihak Ain,” tegas Eddie dan mendengus kasar.
Nur Ain menundukkan muka. Tidak berani
untuk bertentangan mata dengan Eddie yang berwajah tegang. Kecut perutnya
mendengar ketegasan Eddie itu.
“Kan abang dah cakap. Kalau Ain tak ada
duit, abang boleh bayarkan untuk Ain. Abang tak minta Ain gantinya balik. Abang
ikhlas nak tolong Ain,” sambung Eddie lagi.
“Sudahlah Die. Jangan dimarahkan budak
tu lagi. Ain pun tak mintak semua ni berlaku,” tegah Humaira lembut sambil
meletakkan gelas minuman di atas meja makan.
“Die bukannya apa Mai, Die tak suka
Hazrel menindas Ain. Kalau setakat menghukum disebabkan kelewatan Ain hadir ke
tempat kerja, Die boleh terima lagi. Tapi, kalau dia minta Ain jadi orang jadi
dia, Die tak boleh nak terimanya. Itu dah melampau Mai,” jelas Eddie kesal.
Kesal dengan sikap Hazrel yang tidak pernah
nak berubah. Sudah lama dia berkenalan dengan Hazrel. Segala perangai dan sikap
Hazrel sudah sebati dalam dirinya. Bukan sekali dua Hazrel bersikap menindas,
sudah acap kali Hazrel menindas orang. Sejak dari universiti lagi Hazrel
bersikap begitu. Entah perangai siapa yang diikutkan Hazrel, dia sendiri tidak
pasti. Mungkinkah perangai Datin Salina yang diikutkan oleh Hazrel itu.
“Ain minta maaf. Ain tak nak susahkan
abang atau maksu,” ujar Nur Ain perlahan.
“Abang tak pernah rasa susah disebabkan
Ain. Abang ikhas dengan Ain. Tapi, Ain selalu
menolak dan pertikaikan keikhlasan abang tu,” bidas Eddie tegas.
“Ain…” sukar untuk Nur Ain
berkata-kata.
“Dahlah Die. Mari minum untuk hilangkan
rasa panas Die tu. Nanti Mai nasihatkan Ain,” ujar Humaira pula.
Eddie melepaskan keluhan berat. Bingkas
dia bangun menuju ke meja makan dan melabuhkan duduk di situ. Humaira turut
serta dan duduk di hadapan Eddie. Air dituang ke dalam gelas dan diserahkan
kepada Eddie.
“Hazrel tu bos Ain ke?” tanya Eddie
ingin tahu.
“A’ah,” balas Nur Ain sepatah.
“Bukan ke bos Ain Encik Latif. Sejak
bila pulak tukar Hazrel?”
“Kak Gie kata, dah dua tahun Encik
Hazrel ambil alih syarikat tu. Encik Hazrel datang ke syarikat kalau ada meeting atau perkara penting saja. Encik
Latif sekadar pengurus di situ,” jelas Nur Ain sambil menapak jalan menuju ke
meja makan.
“Dua tahun? Jadi syarikat tu bukan
milik Encik Latif lagilah,” duga Eddie.
“A’ah, syarikat tu hampir bankrap dan
Encik Hazrel beli syarikat tu.”
“Oh, patutlah abang tak tahu pasal ni. Lagipun
dah lama abang tak jumpa dengan Hazrel. Baru bulan lepas abang jumpa dengan dia.”
“Habis tu, Ain nak kerja kat situ lagi
ke?” sampuk Humaira.
“Kenapa? Ain tak boleh kerja kat situ
ke?” tanya Nur Ain kehairanan.
“Bukan itu maksud maksu. Ain nak kerja
dengan orang yang suka menindas macam Hazrel ke? Maksu takut dia buli Ain nanti,”
jawab Humaira.
“Ain sayangkan kerja Ain sekarang.
Maksu dan abang, janganlah risau. Insya-ALLAH, takkan ada apa-apa berlaku pada
Ain,” ujar Nur Ain cuba menyakinkan Eddie dan Humaira. Kerisauan mereka
melebihi dari kerisauannya. Bukannya mereka berdua yang perlu mengadap Hazrel,
aku ni yang akan mengadapnya, bisik hati kecil Nur Ain.
“Tak mengapalah. Kalau Hazrel buli Ain,
tahulah abang macam mana nak kerjakan dia. Tentang duit tu, biar abang yang
uruskan. Ain tak perlu risau,” celah Eddie seraya bangun. “Die minta diri
dululah Mai. Dah jauh malam ni. Tak manis pulak kalau Die berlama di rumah anak
dara orang. Lainlah kalau Mai dah jadi isteri Die. Bertapa pun Die sanggup,”
sambung Eddie bernada usikan.
“Hisy, ada-ada ajelah awak ni Die.
Malulah sikit depan Ain,” bidas Humaira dan tersenyum malu.
Nur Ain yang mendengar sekadar tertawa
kecil. Rasa seronok melihat kemesraan di antara Eddie dan Humaira. Entah bila
mereka berdua akan berumah tangga, Nur Ain tidak pasti. Mungkinkah disebabkan
dirinya membuatkan Humaira dan Eddie terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka.
Mujurlah Tan Sri Zafrudin dapat menerima Humaira tanpa memandang harta serta
keturunan. Jika tidak, mungkinkah nasib Humaira seperti nasibnya dahulu.
Huh! Kekwat sungguh!
BalasPadamhehe.. mmg terlbh kekwat..
Padammemang best...Eliza cepat update new n3...tak sabar nak tau camne agaknya ain jadi orang gaji mamat poyo + sengal + belagak tu...Mintak2 ain jangan la lembut sangat...lawan la sikit mamat sengal tu...takdela mamat sengal tu suka2 hati dia nak buli orang miskin...boring la asyik2 heroin menangis...klise sangat dah..cuba buat lain drp yg lain...
BalasPadamhuhu... Ain akn jd keras hati lps dia alami sst yg dia sndr x duga disbbkan Hazrel n Ain bkn seorg yg mudah menangis.. sabar menanti dan terima kasih krana membaca AJID.. :D
Padam"part time mengemis"?? Wah...ini sudah lebih.. kuang ajaq punya jantan...............aku benci kau.. mulut macam longkang... vavii btol...
BalasPadamhnkhx(***wx*R%#@e802e923m09&&n njxamm
*sakit hati*
kalau sya jadi ain, jgn hrap nk kerja ngan jantan gila macam si Hazrel ni.. *tikam hazrel* mampos kau!!
almaak!! terlbih emo dh adik akak sorg ni.. huhu.. sabar2 dik.. Ain tu nmpk aje mcm tu, tp dia keras hati sebenarnya.. mcm Aisya dlm HM.. hihi.. :D
Padamain mmg sgt berbeza dgn sya. Ain baik tapi kuat, saya berdendam.. hehehe...
PadamGO AiN GO!!!
hehe.. Insya-ALLAH, Ain akn jd seorg yg sabar n tabah.. dia sentiasa ingat pesanan Hazrul Hardy.. walau apa jua dugaan yg ALLAH turunkan pd dia.. jgn sesekali salahkan takdir.. huhu.. sadis bangat pesanan Hazrul Hardy tu..
Padamsabar ye hazrel..pasti akn tersungkur d tgn ain..haha =P
BalasPadamhihi.. org mcm Hazrel sdh pasti akan tersungkur suatu hari nanti.. :D
Padam