BAB 7
“Aku dengar Hazrul meninggal disebabkan
awek dia, betul ke?” tanya Badrul tiba-tiba.
“Maksud kau Bad?” tanya Siva ingin
tahu.
“Aku dengar malam Hazrul accident, dia on the way ke rumah awek dia. Tak pasal-pasal, accident dan meninggal. Aku ada juga dengar yang awek dia tu bawa
malang,” jelas Badrul serius.
Mereka yang mendengar terkejut dengan penjelasan
Badrul. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Benarkah apa yang
diperjelaskan oleh Badrul itu?
“Hisy, kau ni Bad, tak baik tuduh yang
bukan-bukan. Dah umur Hazrul tu pendek, nak buat macam mana,” bidas Azim keras.
“Aku bukan menuduhlah Azim. Aku tahu
pun dari kenalan rapat keluarga Hazrul,” bidas Badrul pula.
“Sudahlah, tak perlulah kita nak
mengungkit kisah tiga tahun yang lepas. Kawan kita pun dah lama bersemadi di
sana. Kita yang di sini perlulah berdoa agar rohnya dicucuri rahmat,” sampuk
Eddie yang sedari tadi membisu dan mendengar. Jika tidak ditegah, isu itu akan
dibangkitkan terus-terusan dan hatinya akan menjadi sakit mendengarnya.
Badrul tertunduk. Manakala yang lain
sekadar mengangguk. Ada benarnya kata-kata Edide itu, buat apa kita perlu
mengungkit kisah yang lama. Biarlah kisah itu disemadi dalam lipatan hidup
orang-orang yang berkenaan.
“Hazrel tak datang ke Die?” tanya Azim
memecahkan kesunyian.
“Aku tak tahu Azim. Maybe kau boleh tanya pada Izzuddin
sebab dia kerja bawah Hazrel,” jawab Eddie berserta gelengan di kepala.
“Izz kerja bawah Haz? Bukan ke papa Izz
ada company sendiri?” tanya Badrul
berkerut.
“Aku nak cari pengalaman kat luar dulu
sebelum aku kerja bawa papa aku,” sampuk Izzuddin tiba-tiba.
Mereka yang berada di situ menoleh ke
arah suara Izzuddin. Terbias senyuman di bibir masing-masing.
“Kau ada krisis dengan papa kau ke
sampaikan kau kerja bawah Hazrel?” tanya Siva sekadar menduga.
“Hisy, tak adalah Siva. Aku nak cari
pengalaman dulu. Lepas aku kumpul pengalaman tu, barulah aku berkhidmat bawah
papa aku,” jelas Izzuddin tegas.
“Tak pelah, mana-mana pun boleh kerja.
Yang penting kesungguhan kita terhadap pekerjaan itu,” sampuk Eddie. Tidak mahu
mereka mempersoalkan tentang keputusan Izzuddin. Naik rimas dia mendengar komen
dari kawan-kawannya itu.
“Oh ya, Hazrel tak datang ke Izz? Dah
lama benar kitorang tak jumpa dengan dia. Paling last pun masa kita buat reunion
setahun yang lepas,” ujar Badrul.
“Aku dah ajak dia Bad. Katanya nak
balik rumah parents dia petang tadi.
Jadi dia…”
“Sorry
geng, aku lambat. Jalan jammed la,”
potong Hazrel dari arah belakang.
Dia melabuhkan duduknya berhadapan
dengan Eddie. Sebuah senyuman makna dihadiahkan buat Eddie. Senyuman yang hanya
dia dan Eddie sahaja faham.
“Woo bro, lama tak jumpa. Ingat kau tak datang tadi,” balas Siva dan
tersenyum. Jabatan dihulurkan di sambut baik oleh Hazrel.
“Bukan ke kau kata nak balik rumah parents kau petang tadi Haz? Tak jadi
dah ke?” sampuk Izzuddin kehairanan.
“Tak jadi. Aku balik minggu depan,”
jawab Hazrel.
“Oh, habis tu mama kau tak marah ke?”
tanya Eddie seakan menyindir.
Hazrel mengalihkan pandangan ke muka
Eddie. Tajam matanya ke muka itu. Jelas riak ketidakpuasan di wajah Eddie.
Mungkinkah disebabkan peristiwa pagi tadi membuatkan Eddie beriak sebegitu di
hadapannya.
“Aku tutup telinga aje,” balas Hazrel
selamba.
“Yalah tu tutup telinga. Kaukan anak
manja, berkepit bawah ketiak mama kau aje. Mana mungkin kau bantah cakap mama
kau tu,” sindir Eddie pedas.
Berbahang hati Hazrel mendengarnya.
Semakin tajam matanya ke muka Eddie yang seakan mencebik ke arahnya. Jika
diikutkan, mahu sahaja dia melayangkan satu penumbuk ke muka Eddie ketika itu.
“Apa masalah kau Die? Yang kau nak
sindir aku kenapa?” tanya Hazrel sedikit meninggi.
“Bro…
bro… apa ni? Kita datang sini nak happy,
nak enjoy, bukannya nak bergaduh,”
tegah Azim tatkala menyedari kelantangan suara Hazrel.
“Dahlah Die, Haz. Korang berdua ni tak
boleh berjumpa. Mesti ada perkara yang nak digaduhkan,” tegah Izzuddin pula.
“Come
on my friends, janganlah gaduh-gaduh. Jom kita karaoke,” celah Siva pula dan tertawa kecil.
“A’ahlah Die, Haz. Kita baru aje
berjumpa, dah jadi macam ni. Lepas ni tak payahlah kita jumpa lagi,” suara
Badrul pula yang sedari tadi membisu.
Hazrel mendengus kasar. Bingkas dia
bangun dari duduknya untuk beredar dari situ. Jika berlama, tidak mustahil dia akan
berperang mulut dengan Eddie lagi. Rasa sakit hatinya masih lagi bersisa. Sukar
untuk memadamkan rasa itu dalam waktu yang terdekat.
“Sebelum kau pergi, aku nak tahu berapa
jumlah yang perlu Ain bayar pada kau. Aku tak nak Ain berhutang dengan kau,”
suara Eddie sedikit menekan.
Hazrel menoleh ke arah Eddie. Wajah
selamba Eddie ditatap marah. Dia mengepal penumbuk. Tunggu masa untuk
melayangkannya sahaja.
“Aku tak ingin duit kau. Aku nak dia
sendiri yang bayar pada aku dan bukannya kau,” bentak Hazrel keras.
“Aku kata, aku bayar. Aku tak benarkan
dia bayar!” balas Eddie pantas berdiri.
Mereka yang melihat turut sama berdiri.
Risau di hati masing-masing dengan tingkah Eddie dan Hazrel itu. Izzuddin yang
mendengar sudah berkerut seribu. Ain? Apa yang dimaksudkan oleh Eddie dan
Hazrel? Kenapa nama Ain meniti di bibir kedua-dua kawan baiknya itu.
Hazrel ketawa mengejek. Dia mencebik ke
arah Eddie.
“Kenapa? Dia tak mampu nak bayar kat
aku ke?” tanya Hazrel sinis. “Huh! Begitulah orang susah. Suka mengambil
kesempatan pada orang kaya. Bila tak ada duit, mulalah merengek dekat orang
kaya. Mulalah mengorat orang kaya. Mulalah buat kerja-kerja tak senonoh untuk
dapatkan duit. Lumrah hidup orang susah, begitulah!” jelas Hazrel seakan
menyindir.
“Kau dah melampau Haz!” marah Eddie
seraya menumbuk muka Hazrel.
Terjelepuk Hazrel dek kerana tumbukan
Eddie itu. Dia menyapu darah yang mengalir di bibirnya itu. Matanya mencerlung
ke muka Eddie.
“Die… sabar. Apa semua ni?” tegah
Izzuddin seraya memegang Eddie.
“Apa masalah korang berdua ni? Rosak
program kita malam ni!” marah Badrul pula.
“Aku nak ingatkan kau Haz. Aku bagi
amaran pada kau. Aku takkan lepaskan kau kalau kau hina dia lagi. Aku pastikan
kau akan menyesal dengan apa yang kau katakan tadi,” ugut Eddie dan berlalu
dari situ. Lebih lama dia di situ, tidak mustahil dia akan membelasah Hazrel.
Panas hatinya mendengar kutukan Hazrel sebentar tadi.
“Aku takkan menyesal Eddie Zakuan Zafrudin!”
balas Hazrel tidak mahu mengalah.
Terhenti langkah Eddie tatkala
mendengar kata-kata Hazrel itu. Dia hanya menoleh sekilas ke wajah tegang
Hazrel. Kemudian, dia membawa langkahnya keluar dari tempat itu tanpa membalas
sepatah pun.
“Kenapa ni Die? Tegang aje muka tu Mai
tengok. Die ada masalah ke?” tanya Humaira seraya menghulurkan segelas air
kepada Eddie.
“Die tengah marah ni Mai,” jawab Eddie
dan membalas huluran Humaira.
“Marah? Marahkan siapa?”
“Hazrel!”
Humaira mengerutkan dahi. Wajah Eddie
ditatap mesra.
“Apa yang Hazrel dah buat dengan Die?”
tanya Humaira ingin tahu.
“Die geram sangat dengan dia. Suka hati
aje nak kutuk Ain. Sakit hati Die dengarnya,” beritahu Eddie. Gelas di tangan
diletakkan di atas meja. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
Humaira melabuhkan duduknya berhadapan
Eddie. Dia menggeleng kecil mendengar kenyataan dari mulut Eddie itu.
“Die dah lama kenal Haz, dari
universiti lagi. Memang Haz begitu orangnya. Malah perangai Haz dah sebati
dalam diri Die. Tapi, itu tidak bermakna Haz boleh sesuka hati nak mengutuk dan
menghina orang. Makin lama makin teruk perangai Haz. Mungkin perangai Haz diwarisi dari mamanya,” jelas Eddie tanpa dipinta.
“Sudahlah Die. Mai dan Ain dah lali
dengan semua tu. Memang kami akui apa yang Haz katakan tu ada benarnya. Kami ni
tak layak nak berkawan dengan Die, anak seorang Tan Sri,” balas Humaira lemah.
“Mai, kenapa cakap macam tu? Die tak
suka Mai ungkit tentang tu lagi,” bidas Eddie keras. Sakit telinganya mendengar
kenyataan Humaira itu.
“Maaf Die. Bukan niat Mai nak buat Die
marah. Tapi itulah kenyataannya. Mai dan Ain bukanlah sesenang Die.”
“Mai, Die tak pernah ungkit tentang tu.
Die ikhlas berkawan dan bercinta dengan Mai. Die tak kisah dari mana Mai datang
atau asal usul Mai. Bagi Die, semua manusia bermula dari bawah, susah. Dengan
berusaha barulah mereka menjadi kaya. Mana ada orang terus kaya tanpa berusaha
memperolehinya,” jelas Eddie ikhlas. Matanya menatap wajah kesayangan.
Humaira menundukkan muka. Terasa sebak
hatinya mendengar pengakuan jujur Eddie. Syukur kepada ALLAH, meniti di benak
hatinya. Syukur kerana menemukannya dengan lelaki sebaik dan seikhlas Eddie.
Syukur kerana Eddie tidak pernah memandang rendah terhadap dirinya selama ini.
“Terima kasih Die. Terima kasih kerana
menyayangi Mai dan Nur Ain,” ucap Humaira ikhlas. Sebuah senyuman terbias di
wajahnya.
Eddie membalas senyuman Humaira. Cantik
dari pandangan matanya. Syukur kerana menemukannya dengan Humaira. Walaupun usia Humaira lebih tua darinya, dia tidak peduli tentang itu. Usia bukanlah tiket untuk menghalang dia bercinta dengan Humaira. Jika bukan
kerana Nur Ain juga, tidak mustahil dia akan berkenalan sekali gus bercinta dengan
Humaira. Walaupun hidup Humaira sederhana, namun Humaira mampu untuk memiliki
sebuah kereta kancil berkat usahanya sendiri. Dan itulah yang dikagumi oleh
Eddie selama dia berkawan dengan Humaira. Tidak pernah kenal erti putus asa.
“Ain mana?” tanya Eddie memecahkan
kebisuan di antara mereka berdua.
“Ada kat bilik dia. Die nak jumpa ke?”
jawab Humaira.
Eddie mengangguk. Dia perlu berjumpa
dengan Nur Ain. Ada perkara yang perlu dipesankan pada Nur Ain.
“Mai panggil Ain kejap,” ujar Humaira
seraya bangun. Dia menapak masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik Nur Ain.
Eddie menghantar langkah Humaira dengan
ekor matanya sahaja. Dia mencapai gelas minumannya dan meneguk baki air yang
berada di dalam gelas tersebut. Matanya membuang pandang ke arah langit malam
yang dihiasi beberapa kerlipan bintang.
“Abang Eddie nak jumpa Ain?” tegur Nur
Ain sebaik sahaja berhadapan dengan Eddie.
“Ha.. Ain. Duduk. Abang ada perkara nak
cakapkan dengan Ain,” arah Eddie.
Nur Ain akur. Lantas dilabuhkan
duduknya berhadapan dengan Eddie. Wajah Eddie ditatap curiga. Ada sesuatu pada
wajah itu.
“Lengan Ain macam mana? Dak okey?”
tanya Eddie prihatin. Matanya tertancap ke arah lengan Nur Ain yang berbalut
dengan bandage.
“Dah elok sikit,” jawab Nur Ain.
“Bila start kerja?”
“Doktor bagi MC seminggu. Insya-ALLAH
dalam hari Selasa depan Ain masuk kerja. Kenapa Abang Eddie?”
“Abang nak pesan dengan Ain, jangan
dengar sangat cakap Hazrel. Kalau dia suruh Ain buat apa-apa kerja di luar
bidang atau skop kerja Ain, jangan ikutnya. Ingat pesan abang ni,” jelas Eddie
tegas. Matanya menatap mesra wajah Nur Ain.
“Baiklah. Ain ingat pesan abang tu,”
ujar Nur Ain perlahan.
“Pasal duit Ain tu, abang akan
bayarnya. Berapa jumlah wang yang Hazrel minta Ain bayarkan pada dia?”
“Err…”
Nur Ain menggaru kepalanya bertudung.
“Berapa Ain?”
“RM1000 untuk kereta dan kusyen. RM90
ubat klinik dan… dan…”
“Dan?”
“Barang-barang yang kena curi semalam.”
“Takkan barang tu pun kena ganti?”
tanya Eddie tidak berpuas hati.
Nur Ain sekadar mengangguk.
Eddie menghela nafas pendek. Dia
mengangguk kecil sebelum bersuara.
“Tak pelah. Nanti abang tanyakan pada
Hazrel. Ingat pesan abang, jangan ikut apa yang Hazrel suruh kalau perkara itu
di luar bidang kerja Ain,” pesan Eddie tegas seraya bangun.
“Insya-ALLAH, Ain akan ingat pesan
abang.”
“Kalau macam tu, abang minta diri dulu.
Kalau ada apa-apa, bagitau abang. Maksu mana?”
“Maksu ada kat dalam. Kata tadi nak
sholat.”
“Tak apalah. Abang balik dulu. Abang
sayangkan Ain macam adik abang sendiri. Abang nak Ain berfikir dulu sebelum
membuat keputusan. Terutama jika ianya melibatkan Hazrel. Ingat pesan abang
ni,” pesan Eddie untuk kesekian kalinya.
Nur Ain mengangguk perlahan. Pesanan
Eddie tersemat kemas di dalam kotak fikiran. Matanya menghantar langkah Eddie
hingga hilang dari pandangan mata. Kemudian, dia melangkah masuk dan terus
menuju ke bilik.
“Abang Eddie mana?” tanya Humaira
sebaik sahaja terlihat Nur Ain.
“Abang Eddie dah balik,” jawab Nur Ain.
“Tak apalah. Kejap lagi maksu call Abang Eddie.”
“Ain masuk dalam dulu,” pamit Nur Ain.
Humaira mengangguk. Dia segera menuju
ke ruang tamu sebaik sahaja kelibat Nur Ain menghilang di sebalik pintu bilik.
Nur Ain melabuhkan duduk di birai
katil. Matanya menatap sapu tangan yang diberikan oleh Hazrel padanya semalam.
Entah kenapa hatinya terasa lain tatkala melihat sapu tangan tersebut. Seakan
ada perasaan halus menjalar dalam hatinya itu. Apakah dia? Nur Ain sendiri
tidak pasti. Mungkin disebabkan hutangnya pada Hazrel membuatkan hatinya
menjadi tidak keruan. Khuatir Hazrel akan mengugut dan mendesaknya supaya
membayar segala hutang piutangnya itu. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
Nur Ain membuka laci meja solek yang
berada di sisi katil. Tangannya mencapai sebuah kotak kasut dari dalam laci
tersebut. Kemudian diletakkan di atas tilam dan menatap sayu kotak kasut
tersebut. Lama dia berkeadaan begitu. Seakan tembus matanya ke dalam kotak kasut
itu. Nur Ain mengeluh buat kesekian kalinya. Lantas dibuka kotak kasut tersebut
dan mengeluarkan segala isi di dalamnya. Dihamparkan di atas katil kesemuanya.
“Ini hadiah abang bagi masa birthday aku yang ke sembilan belas
tahun,” beritahu Nur Ain sendirian.
Sebuah patung beruang sederhana kecil diletakkan di
hadapan matanya. Dia memicit hidung beruang itu dan tersenyum. Masih teringat
di ruang fikiran sewaktu Hazrul memberikan hadiah itu kepadanya. Bersungguh Nur
Ain menolaknya, tetapi didesak keras oleh Hazrul. Mahu tidak mahu, terpaksa Nur
Ain menerimanya.
“Comel macam abang,” puji Nur Ain dan
tertawa kecil. “Dan yang ini, hadiah dari abang masa umur aku dua puluh tahun,”
sambung Nur Ain riang seraya mengeluarkan sehelai sapu tangan dalam kotak tersebut.
Diperhatikan sapu tangan tersebut. Tangannya menyentuh lembut tulisan nama yang tersulam di sapu tangan itu.
“Hazrul Hardy,” ucap Nur Ain lembut.
Matanya mulai berkaca. Sebak dan pilu
tatkala melihat sulaman nama tersebut. Kemudian dikeluarkan sepucuk surat dari
dalam kotak tersebut. Surat terakhir Hazrul buat dirinya. Surat yang menjadi
peneman dirinya di waktu dia merindui Hazrul. Surat yang menjadi kenangannya
bersama Hazrul. Lalu dibaca dan diamati askara yang tertulis di dalam kertas
tersebut.
‘Abang sayangkan Ain. Abang cintakan
Ain. Andai kata abang pergi dulu dari Ain, ingat pesan abang, janji dengan
abang yang Ain akan jadi seorang gadis yang penyabar dan tabah. Jangan salahkan
takdir seandainya ALLAH menguji Ain suatu hari nanti’
“Kenapa kata-kata ini juga yang abang
luahkan pada Ain? Kenapa kata-kata ini juga yang abang tinggalkan untuk Ain?
Kenapa kata-kata ini juga yang menjadi peneman Ain sehinga ke hari ini? Kenapa
abang tinggalkan Ain?” rintih Nur Ain sendirian.
Air matanya sudah mengalir membasahi
pipi. Sungguh tidak tertanggung seksa rindunya terhadap Hazrul. Hanya Hazrul
yang bertahta di dalam hatinya sehingga ke hari ini. Tidak mungkin dia akan
menggantikan nama lain dalam hatinya itu.
“Ain rindukan abang,” luah Nur Ain
lagi.
Segera dia membaringkan badannya ke
atas katil. Patung beruang, sapu tangan dan surat dipandang silih berganti.
Otaknya ligat berputar kembali kepada beberapa tahun yang lepas. Sukar untuk
melupakan peristiwa itu. Namun apalah gunanya mengingati semua itu jika ianya
menambahkan kelukaan di hatinya sendiri. Semoga kenangan itu akan bersemadi
hingga ke akhir hayatnya nanti.
“Tak guna kau Die. Tergamak kau tumbuk
aku disebabkan perempuan kampung tu. Aku takkan maafkan kau Die,” marah Hazrel
sambil mengepal penumbuk.
Diamati wajahnya di hadapan cermin.
Jelas kesan lebam di pipinya akibat tumbukan Eddie tadi. Jika diikutkan hatinya
yang panas ketika itu, mahu sahaja dia membelasah Eddie. Namun disabarkan hati
agar tidak melakukannya. Masih menjaga reputasinya sebagai anak Dato’ dan orang
berada.
“Hebat sangat ke perempuan tu sampaikan
kau dan Izz membela dia. Aku takkan lepaskan perempuan tu. Aku akan seksa
perempuan tu sampai dia kenal langit tu tinggi ataupun rendah. Aku akan
tunjukkan kuasa aku pada kau Die. Aku akan balas dendam pada kau dan sudah
pastilah perempuan tu akan jadi mangsanya,” luah Hazrel dan berazam pada
dirinya sendiri. Matanya ralit memerhatikan wajahnya di cermin.
Hazrel menapak ke katil. Dicapai
telefon bimbitnya tatkala telefon itu berdering nyaring. Dia mendengus kasar
tatkala ketenangannya diganggu gugat.
“Hello!” sapa Hazrel sedikit kasar.
“Sayang!” balas Qistina manja.
Hazrel mengerutkan dahi. Keluhan berat
terlepas dari bibirnya. Penyibuk betul, rengus Hazrel sendirian.
“Nak apa?” tanya Hazrel masih kasar.
“Sayang, kenapa ni marah-marah. Ada
orang cari gaduh dengan sayang ke?” tanya Qistina prihatin.
“You nak apa Qis? I nak tidur ni,
mengantuk,” bohong Hazrel. Tidak mahu melayan Qistina yang gedik itu.
“You memang sengajakan Haz?”
“Sengaja? Apa maksud you?”
“You tahukan hari ni mama you nak
bincangkan dengan you tentang pertunangan kita, sebab itu you tak nak balik
kan?” duga Qistina sebak.
“Apa maksud you Qis? I tak paham,”
ulang Hazrel keras.
Qistina tertawa kecil. Geli hati mendengar
pertanyaan Hazrel itu.
“Mama you nak bincangkan dengan you
tentang pertunangan dan perkahwinan kita. Takkan mama you tak bagitau pada you.
Papa you pun dah jumpa dengan papa I Haz,” jelas Qistina serius.
“You jangan nak memandai buat cerita
Qis. I tak bagi kata putus lagi,” bentak Hazrel keras berserta dengusan kasar.
Sakit hatinya mendengar penjelasan
Qistina itu. Datin Salina sudah pun membuat keputusan tanpa berbincang terlebih
dahulu dengannya.
“Haz… Haz… takkanlah I nak memandai
buat cerita, tambah-tambah cerita tu tentang diri I. Kalau you tak percaya, you
boleh tanya pada mama atau papa you. Keluarga kita dah bersetuju dan I harap
you juga bersetuju dengan cadangan keluarga kita ni,” terang Qistina berserta
senyuman di bibir.
Hazrel mengepal penumbuk. Rasa sakit
hatinya semakin menujah ke dasar hati. Sakit hati dengan keputusan yang telah
dibuat oleh Datin Salina dan Dato’ Ridzuan itu. Tergamak papa dan mamanya
berbincang di antara mereka sendiri tentang perkahwinannya itu. Jika diikutkan
hatinya ketika itu, mahu sahaja dia memandu kereta balik ke rumahnya ketika
itu. Berhadapan dengan kedua-dua orang tuanya itu.
“I tak setuju Qis. I akan tanya sendiri
dengan mama dan papa I. Walau apa pun keputusan mereka, I tetap takkan setuju
berkahwin dengan you, Qis,” bentak Hazrel keras dan mematikan talian telefon.
Dia melemparkan telefon bimbitnya ke
atas katil. Kepalanya dipegang menahan kemarahan yang semakin memuncak di dalam
dirinya. Sudahlah rasa sakit hatinya pada Eddie masih bersisa, ditambah pula
dengan rasa sakit yang ini. Huh! Satu keluhan terlepas dari bibirnya. Sungguh
penat otaknya untuk berfikir lagi.
Hazrel membaringkan badannya ke atas
katil. Telefon milik Nur Ain dicapai dari atas meja di sisi katil. Ditatap
benci telefon bimbit tersebut. Mahu sahaja dia melemparkan telefon bimbit itu
ke dinding. Melepaskan kemarahan pada tuan punya telefon bimbit tersebut.
Melepaskan kemarahan terhadap Eddie dan Izzuddin. Sungguh hatinya terlalu
membenci Nur Ain ketika ini. Apa yang pasti, dia perlu membalas dendam dengan
apa yang telah Eddie lakukan padanya sebentar tadi.
“Aku nak tengok berapa lama kau akan
bela perempuan tu Eddie? Aku akan pastikan kau tersungkur dan meminta maaf dari
aku atas apa yang telah kau lakukan pada aku tadi,” azam Hazrel dan mengepal
penumbuk.
Semakin berdendam Hazrel terhadap Nur
Ain. Semakin berdendam Hazrel terhadap Eddie dan semakin membenci Hazrel
terhadap Nur Ain. Mahu sahaja dia menghamburkan rasa kemarahannya itu pada Nur
Ain.
“Tak apa Die. Lepas ni kau tahulah
langit tu tinggi atau rendahnya,” azam Hazrel.
Dia melelapkan mata. Cuba untuk
menidurkan dirinya sendiri. Semoga malam ini menjadi malam terindah buat
dirinya. Malam untuk dirinya mengusir bayangan Nur Ain, Eddie, Humaira dan
Izzuddin dari tubir matanya itu.
“Macam mana Qis? Apa kata Hazrel?”
tanya Datin Salina tidak sabar.
Qistina mengeluh berat. Matanya
tertancap ke muka Datin Salina. Jelas riak tidak berpuas hati pada wajah itu.
“Haz tak setuju Auntie,” jawab Qistina lemah. Dia melabuhkan duduk di sisi Datin
Salina. Kemudian dilentukkan kepala di bahu Datin Salina.
“Tak mengapalah Qis. Nanti Auntie pujuk Haz,” pujuk Datin Salina
seraya mengusap lembut lengan Qistina.
“Tapi, kalau Haz masih tak setuju
dengan rancangan kita macam mana?”
“Qis jangan risau. Tahulah Auntie macam mana nak pujuk Haz. Selama
ini Haz tak pernah lawan cakap Auntie.
Hazrel anak yang dengar cakap berbanding Hazrul. Sekeras-keras hati Hazrel, dia
tak pernah melawan cakap Auntie.”
Qistina melepaskan keluhan berat untuk
kesekian kalinya. Dia mengangkat wajahnya dan menatap kasih wajah Datin Salina.
Kata-kata Datin Salina sedikit sebanyak memberi harapan padanya. Mungkinkah
Hazrel akan mendengar kata-kata Datin Salina atau Hazrel tak ubah seperti
Hazrul.
“Dulu Auntie pun pernah cakap macam ni pada Qis, tapi hasilnya tetap sama
juga. Hazrul menolak rancangan Auntie,
malah Hazrul berniat untuk meminang perempuan tu,” ujar Qistina seraya bangun
dari duduknya.
“Qis jangan nak ingatkan Auntie dengan perempaun tak sedar diri tu.
Sampai ke mati pun Auntie takkan
maafkan dia lepas apa yang dia dah buat pada Hazrul,” bentak Datin Salina keras
pantas berdiri. Panas hatinya mengingatkan perempuan yang telah
memporak-perandakan hidup anaknya Hazrul tidak lama dulu.
“Okey… okey… Qis mintak maaf. Bukan
niat Qis nak naikkan kemarahan Auntie,
tapi apa yang Qis cakapkan ni betul bukan. Dulu kita yang rancang semua ni,
alih-alih Hazrul buat keputusan untuk bertunang dengan perempuan tu. Siapa yang
tak kecewa Auntie. Kalau Auntie tanya orang lain sekali pun,
pasti mereka akan kecewa seperti Qis,” terang Qistina seraya menarik tangan
Datin Salina. Dielus lembut tangan tersebut.
Datin Salina mendengus kasar. Matanya
menikam anak mata Qistina. Jelas kesedihan di sebalik anak mata itu. Ada benarnya
kata-kata Qistina itu. Keputusan Hazrul untuk bertunang dengan perempuan
kampung itu sungguh mengejutkan mereka sekeluarga. Mana mungkin dia akan
bersetuju dengan keputusan Hazrul. Tambahan pula bertunang dengan perempuan
kampung dan tidak tahu mana asal usulnya. Jika diikutkan hatinya ketika itu,
mahu sahaja dia mengupah seseorang untuk membunuh perempuan itu.
“Auntie
janji pada Qis yang perkara itu takkan berulang lagi. Haz akan setuju dengan
rancangan kita. Qis jangan risau ya nak,” pujuk Datin Salina sekali gus memberi
harapan pada Qistina. Semoga janji itu dapat ditepatinya.
Qistina tersenyum kelat. Janji Datin
Salina antara dengar ataupun tidak. Sudah lali dengan janji-janji Datin Salina
itu. Dulu Datin Salina pernah membuat janji yang sama, namun hasilnya
mengecewakan dirinya. Dan hari ini, Datin Salina berbuat janji perkara yang
sama. Perlukah dia berpegang pada janji Datin Salina itu?
“Tak apalah Auntie. Qis harap Hazrel setuju dengan rancangan kita ni,” balas
Qistina mengalah. Tak ada gunanya jika terus-terusan membincangkan tentang itu
lagi. “Cuma Qis risau kalau-kalau hati Haz dah terpikat dengan gadis di sana
seperti Hazrul dulu,” sambung Qistina sekadar menduga.
“Mustahil! Auntie takkan benarkan perkara itu berlaku,” bidas Datin Salina
keras.
“Qis sekadar menduga Auntie. Tak mustahil perkara itu akan
berlaku,”
“Auntie
tetap takkan setuju!”
Qistina menghela nafas pendek. Segera
di capai beg tangannya dari atas meja dan mengatur langkah menuju ke muka pintu
utama. Dia mengerling jam di tangan. Masa sudah pun merangkak ke tengah malam.
Ada baiknya dia beredar dari situ tatkala menyedari perubahan di wajah Datin
Salina. Jika tidak beredar dari situ, pasti Datin Salina akan menghamburkan isi
kemarahan pada dirinya. Dia perlu mengelak sebelum perkara itu berlaku.
“Qis balik dulu Auntie. Apa-apa nanti, Auntie
bagitau pada Qis,” ujar Qistina sambil menyarung kasut ke kakinya.
“Baiklah. Qis jangan risau.
Pandai-pandailah Auntie nak buat apa
dengan Haz tu,” balas Datin Salina dan tersenyum.
Qistina mengangguk faham. Dia
memboloskan diri masuk ke dalam kereta dan membawa keretanya keluar dari
halaman rumah Datin Salina. Senyuman puas terbias di wajahnya ketika ini.
Senyuman yang memberi maksud tersirat.
“Kau akan jatuh ke tangan aku Hazrel,”
bisik Qistina dan tersenyum.
qis terlalu berharap....haz dengan rancangan jahat die.....tapi kenapa eddie terlalu baik terhadap nur ain???????????
BalasPadamerm, semua soalan 2 ada jwpnnya.. ntikan bab seterusnya ya.. :D
PadamApa hai c qistina ni? Hem..yg c bad ni apahai bengong sgt? Pecaya benda2 gitu..kan ajal maut d tgn tuhan..ni bila eddie nak gtau ain kata haz tu adik hazrul?
BalasPadamx lama lg 2.. tggu ajelah ya.. :D
Padamupdate... YAY~!!!
BalasPadamwah... masih tidak sedar itu lelaki. wooooooooo... aku ingin tgk kau jd cacing kepanasan x sng duduk angau kat ain nnt~!! padan muka..
baik nye eddie, tergoda tau..
hahaha.. mmg tlbh panas dh HH tu nti.. a'ah Eddie tu baik.. akak pn jth cinta dgn watak dia.. apa2 pn hero akak perlu diutamakan.. hehe.. :D
Padamheheh...
Padamhurm... nape eddie tu baik ngn ain? lemme guess..hurm...sbb Hazrul tgl wasiat kat dia suh jga ain bek2? diorg kwn kan? hoho....
huhu.. mybe yes n mybe no.. apa2 pn jwpnnya ada dlm bab ke atas.. :D
Padamakk..sdhnya kate2 yg part hazrul bg surat 2.T_T sobsob..huhu
BalasPadamhuhu.. akak pn sedih gak bacanya.. :)
Padam