Rabu, 2 Disember 2015

Luahan Hati - Bab 2






“MAMA janganlah risau. Sya selamat kat sini. Mak Jah layan Sya baik sekali,” beritahu Elisya.
“Berapa lama Sya nak tinggal kat sana? Papa dah bising, sayang,” tanya Puan Ilyana.
“Selagi Sya tak selesaikan masalah Sya di sini, selagi itulah Sya takkan balik ke sana. Sya harap, mama dan papa faham situasi Sya.”
Puan Ilyana menghela nafas berat.
“Lagipun, papa dan mama dah janji nak bagi masa pada Sya sebelum Sya terikat dengan kehendak papa dan mama,” ujar Elisya, perlahan.
“Sya, mama tak kisah. Tapi, papa tu yang kisah. Setiap hari dia bertanya pasal Sya. Mama ni yang terpaksa tadah telinga dengar bebelan papa Sya tu,” beritahu Puan Ilyana.
Tertawa Elisya mendengarnya.
“Mak Jah macam mana, sihat?”
“Sihat alhamdulillah, mama.”
“Farah dan Firdaus?”
“Mereka berdua pun sihat mama.”
“Hurm, tak mengapalah kalau dah macam tu. Sampaikan salam mama pada mereka semua,” pesan Puan Ilyana.
“Insya-Allah, mama. Maafkan Sya kalau Sya merisaukan hati mama dan papa. Kalau semuanya dah selesai, Sya balik ke sana,” beritahu Elisya.
“Baiklah! Janji dengan mama, kalau ada apa-apa beritahu mama dan papa cepat,” pesan Puan Ilyana untuk kesekian kali.
“Kirim salam pada papa. Assalamualaikum,” balas Elisya lalu mematikan talian.
Senyuman terukir di bibir. Matanya memandang ke arah Firdaus dan Farah yang sedang memancing ikan di sungai. Dibawa langkah menghampiri adik-beradik itu. Rasa teruja melihat mereka berdua memancing.
“Kak Sya!” panggil Farah sedikit menjerit.
“Hisy, kenapa panggil dia?” tegur Firdaus kurang senang.
“Abang ni, apa salahnya Kak Sya ke sini? Yang abang anti sangat dengan Kak Sya tu, kenapa? Dulu bukan main suka sangat dengan Kak Sya. Selalu sangat sebut nama Kak Sya. Sekarang ni, nak sebut nama Kak Sya pun abang tak suka. Kenapa abang tak suka dengan Kak Sya?” soal Farah seraya memandang ke wajah abangnya.
“Kau tu budak-budak lagi. Tak payah nak ambil tahu pasal kami,” tegur Firdaus, keras.
“Budak, abang kata? Abang, Farah dah tujuh belas tahun. Semua yang berlaku pada abang dan Kak Sya, Farah dah boleh baca,” bidas Farah.
“Suka hati kau la. Abang nak…”
“Hai, Farah!” tegur Elisya mematikan kata-kata Firdaus.
“Hai, Kak Sya!” balas Farah, ramah. Senyuman diberikan kepada Elisya.
“Tengah buat apa?” tanya Elisya, berbasa-basi.
“Pancing la. Takkan mandi kut,” sampuk Firdaus, meluat.
“Abang Daus!” tegur Farah. Kurang senang dengan sikap abangnya itu.
Firdaus mencebik mendengar teguran adiknya. Dia bingkas bangun dari duduk sambil membawa pancingnya menjauhi Farah dan Elisya.
“Kak Sya jangan ambil hati sangat dengan Abang Daus. Dia memang macam tu. Suka sangat meroyan,” kata Farah bernada serius.
“Meroyan?” ulang Elisya, berkerut.
“Yalah, meroyan!”
“Maksudnya?”
“Balik rumah nanti, Kak Sya buka pakcik google dan tanya, apa itu meroyan ya,” kata Farah lalu ketawa kecil.
Elisya masih berkerut. Otaknya merencana kata-kata Farah. Seminit kemudian, dia mengangguk faham tatkala memahami maksud kata-kata Farah itu.
“Mari Kak Sya. Kita ke sana!” ajak Farah seraya menarik tangan Elisya.
“Farah, Kak Sya…”
“Jomlah!” pintas Farah masih menarik tangan Elisya.
Elisya terpaksa akur. Mahu tidak mahu, dia mengekori langkah Farah daripada belakang sambil meniti batu-batu sungai dengan penuh berhati-hati. Rasa teruja menumpang di hati.
“Kak Sya! Kat sini banyak ikan!” laung Farah, teruja.
“Sekejap! Kak Sya ke sana!” balas Elisya sambil melangkah penuh dengan berhati-hati.
“Cepat Kak Sya!” suruh Farah pula.
“Yalah, Kak Sya nak ke sana la ni,” sahut Elisya masih melangkah.
Farah setia menunggu. Diperhatikan Elisya yang sedang melangkah dengan penuh berhati-hati. Berkerut-kerut dahinya melihat Elisya.
“Farah, Kak Sya…”
“Kak Sya!” jerit Farah.


“KAK Sya!” jerit Farah dari jauh.
“Abang, Kak Sya jatuh,” beritahu Farah pula.
Terkejut Firdaus mendengar jeritan Farah. Pantas, dia menoleh ke belakang untuk melihat. Matanya memandang Elisya yang sudah pun jatuh ke dalam sungai.
“Abang, tolonglah Kak Sya!” arah Farah sambil melangkah menghampiri Elisya.
Firdaus bingkas bangun dari duduk. Dibawa langkahnya menghampiri Elisya.
“Kak Sya, tak ada apa-apa ke?” tanya Farah setibanya di hadapan Elisya.
“Tak ada apa-apa, Farah. Kak Sya yang cuai dan tak berhati-hati,” jawab Elisya, tenang.
“Kalau tak ada apa-apa, baguslah. Lain kali jangan nak berlagak pandai,” sampuk Firdaus bernada sindiran.
“Abang! Apa masalah abang ni?” geram Farah.
“Farah, sudahlah! Kak Sya yang salah,” tegah Elisya sambil cuba bangun.
“Aduh!” rengek Elisya kemudian tatkala merasa sakit di pergelangan kaki.
“Kak Sya, kenapa ni?” tanya Farah, cemas.
“Kaki Kak Sya, sakit!” beritahu Elisya.
“Sakit?” ulang Farah seraya memerhati kaki Elisya.
“Kaki Kak Sya terseliuh ke?”
Elisya hanya menggeleng. Diangkat tubuh dan cuba untuk bangun. Namun, masih tidak berjaya. Terasa sakit di kakinya itu.
“Kaki Kak Sya terseliuh, Farah,” adu Elisya kemudian.
“Abang, tolonglah Kak Sya!” arah Farah, keras.
Firdaus mendengus kasar. Tanpa rela, dihampiri Elisya dan cuba memapah gadis itu. Sakit hatinya kerana dipaksa berbuat begitu.
“Kalau awak tak ikhlas nak bantu, tak mengapalah. Saya boleh jalan sendiri,” tutur Elisya, perlahan. Tidak mahu Firdaus berasa terpaksa memapahnya jalan.
“Tak payah nak berlagak baik. Ini pun dah cukup bagus aku nak tolong kau. Kalau tidak, tak ingin aku nak sentuh kau,” balas Firdaus bernada serius.
Tersentak Elisya mendengarnya. Matanya memandang wajah tegang Firdaus. Sungguh, hatinya terasa dengan kata-kata lelaki itu. Disabarkan hati agar tidak mudah terasa dan menerimanya seikhlas hati.


“MAAF sebab menyusahkan Mak Jah,” kata Elisya, kesal. Ditundukkan muka memandang kaki sendiri. Rasa kesal kerana menyusahkan wanita tua itu.
“Tak mengapalah Sya. Nasib baik terseliuh saja. Kalau patah tadi macam mana?” balas Mak Jah sambil mengurut kaki Elisya.
“Menyusahkan orang saja. Ingat sini overseas agaknya. Boleh buat sesuka hati dia saja,” sampuk Firdaus, tiba-tiba.
“Daus, apa yang kamu cakapkan ni?” tegur Mak Jah kurang senang.
“Tak mengapalah Mak Jah. Sya yang bersalah dalam hal ni. Memang Sya dah susahkan Firdaus,” celah Elisya. Tidak mahu Mak Jah dan Firdaus bertekak kerananya.
“Jangan diikutkan sangat perangai Firdaus tu, Sya. Makin lama, Mak Jah tengok makin menjadi perangainya,” balas Mak Jah bernada serius.
Elisya tersenyum kelat. Matanya memandang tingkah laku Mak Jah yang sedang mengurut kakinya yang terseliuh.
“Sya, ada sakit lagi tak?” tanya Mak Jah kemudian.
“Err.. dah kurang sikit, Mak Jah,” jawab Elisya, perlahan.
“Kalau macam tu, Mak Jah ke dapur dulu. Nak ambilkan makanan untuk Sya,” beritahu Mak Jah lalu bangun.
“Mak Jah, tak payahlah susah-susahkan diri untuk Sya. Sya boleh jalan sendiri dan makan kat dapur,” tegah Elisya. Semakin serba-salah dirasakan waktu ini.
“Tak mengapalah Sya. Alang-alang Mak Jah nak ke dapur, tak salah kalau Mak Jah bawa sekali ke dalam bilik ni,” bidas Mak Jah lalu tersenyum.
Elisya menghela nafas berat. Matanya menangkap tubuh Firdaus yang sedang mencuri dengar di muka pintu bilik. Dapat dilihat wajah cebikan serta jelingan tajam Firdaus. Bertambah rasa bersalahnya itu.
“Mengada-ngada. Bukannya kaki tu patah ke apa. Terseliuh saja. Suka hati saja nak memerintah mak aku,” rengus Firdaus lalu beredar dari situ.
Tersentap Elisya mendengarnya. Kata-kata Firdaus menusuk ke tangkai hati. Pedih dan sakit dirasakan ketika ini. Berapa lama lagi dia perlu bertahan dengan sikap dan perangai Firdaus? Perlukah dia mengambil keputusan untuk pulang ke Australia sahaja?
Tanpa memikirkan apa-apa, dia segera bangun dan cuba untuk berdiri. Berkerut-kerut dahinya menahan kesakitan. Bukan niatnya untuk menyusahkan Mak Jah. Mengarah Mak Jah berbuat itu dan ini juga tidak pernah terlintas di fikiran. Kenapa Firdaus berfikiran seperti itu? Semakin membara api kebencian Firdaus terhadap dirinya.


“KENAPA ni?” tegur Hamidah sambil duduk di sisi Elisya di birai katil.
Wajah kawannya itu ditatap mesra. Ada kerutan pada wajah itu. Mujurlah dia terserempak dengan Farah di kedai siang tadi. Farah juga yang memberitahu tentang kaki Elisya.
“Tak ada apa, Midah. Terima kasih kerana melawat saya,” kata Elisya berserta keluhan ringan. Dibalas tatapan kawannya itu berserta senyuman hambar.
“Tak baik mengeluh, Sya. Awak ada masalah ke?”
“Tak ada apa-apa, Midah. Saya cuma penat sahaja,” dalih Elisya lagi.
“Mustahil Sya. Saya pasti, awak ada masalah. Cuba awak ceritakan pada saya, apa sebenarnya masalah awak?” bidas Hamidah.
“Firdaus Hakimi!” ujar Elisya, perlahan.
“Firdaus Hakimi? Kenapa dengan dia?” ulang Hamidah kurang faham.
“Apa salah saya pada dia, Midah? Selama seminggu saya di sini, hanya riak benci yang terpamer di wajah dia. Kenapa dia bencikan saya?” jelas Elisya bernada sebak.
Keluhan dilepaskan untuk kesekian kali. Dihalakan mata ke sawah padi yang menghijau. Sejuk matanya memandang keindahan sawah padi itu.
“Perasaan awak sahaja Sya.”
“Tidak, Midah. Saya yakin, dia membenci saya,” bidas Elisya sambil menggeleng.
“Sebab apa Daus nak membenci awak?” tanya Hamidah, pelik.
“Jawapannya ada pada dia. Kenapa dia membenci saya?” ujar Elisya, perlahan.
“Entahlah, Sya. Saya pun tak tahu sebab apa Daus membenci awak. Bukankah awak dan dia rapat dahulu? Tak logik pulak kalau Daus membenci awak.”
“Tak logik bila kami berkawan rapat. Jadi logik, bila kami berdua begini.”
“Saya rasa, mesti ada kena-mengena dengan Shafinaz,” tebak Hamidah.
“Shafinaz? Kenapa ada kena-mengena dengan dia?” tanya Elisya, berkerut.
“Err…” Hamidah terkedu tiba-tiba. Kepala yang tidak gatal digaru beberapa kali.
“Midah!” seru Elisya seraya memandang ke wajah Hamidah.
“Eh, awak ingat tak dengan kawan kita yang nama Suhaimi. Dengar khabar, dia nak kahwin hujung bulan depan,” beritahu Hamidah sekali gus menukar topik perbualan.
“Midah, awak cuba sembunyikan sesuatu daripada saya, kan?” Elisya curiga.
“Tak.. tak.. mana ada. Memandai sajalah awak ni, Sya,” bidas Hamidah, laju.
“Midah, kita dah lama berkawan. Saya tahu, awak cuba sembunyikan sesuatu daripada saya mengenai Firdaus. Awak tahu tak, hati saya ni asyik tertanya-tanya, kenapa dia tidak menyenangi saya selama seminggu ini?” jelas Elisya mengharap simpati daripada Hamidah.
Hamidah menghela nafas berat. “Saya tak pasti perkara ni betul atau tidak. Saya pun dengar daripada orang lain tentang ni.”
“Perkara apa, Midah?” tanya Elisya tidak sabar.
“Saya dengar mereka kata, awak menjadi punca serta penyebab hubungan Shafinaz dan Firdaus putus,” beritahu Hamidah berhati-hati.
What?!!” luah Elisya, terkejut.
“Sebelum awak ke luar negara, awak ada berjumpa dengan Shafinaz?” mulai Hamidah berserta nafas ringan.
Elisya berfikir sejenak. Kemudian, dia mengangguk perlahan. Mengiyakan kata-kata Hamidah itu.
“Selepas awak pergi, mereka berdua asyik bergaduh dan akhirnya putus. Mereka semua tuduh awak jadi penyebabnya. Mungkin disebabkan itu, Daus tak sukakan awak.”
“Memang saya ada berjumpa dengan Finaz sebelum saya ke luar negara. Saya berjumpa dengan  dia sebab saya nak minta tolong dia jagakan Firdaus bagi pihak saya. Saya tahu, Firdaus sukakan Finaz,” terang Elisya, jujur.
“Saya pun tak setuju dengan apa yang mereka katakan. Saya dah kenal awak dari tingkatan satu lagi. Segala sikap dan perangai awak saya dah tahu.”
Elisya meraup wajah. Sungguh, dia terkejut dengan apa yang diceritakan oleh Hamidah.
“Awak tak perlulah risau. Lama-kelamaan nanti, Daus akan tahu dan sedar kesilapannya,” pujuk Hamidah, lembut.
“Pasti ada lagi yang mereka katakan tentang saya, kan?” ujar Elisya seraya memandang ke wajah Hamidah.
“Tak ada. Itu saja.”
“Saya tak yakin disebabkan itu Daus begitu membenci saya. Mesti ada sebab lain kenapa dia begitu?”
Hamidah mengeluh berat. Perlukah dia menceritakan kesemuanya kepada Elisya? Apa perasaan Elisya apabila mendengarnya?
“Saya yakin, awak tahu sesuatu. Awak beritahu pada saya. Kalau perkara ni tak diselesaikan, sampai bila-bila pun tak akan selesai. Awak nak tengok saya dibenci oleh Firdaus buat selama-lamanya?”
“Saya tak tahu, Sya. Saya cuma dengar yang itu sahaja,” jujur Hamidah.
“Tak mengapalah, Midah. Maafkan saya kerana mendesak awak,” kesal Elisya.
Hamidah hanya tersenyum. Wajah Elisya ditatap untuk kesekian kali. Sungguh, dia bersimpati dengan Elisya. Bukan niatnya untuk menyesakkan fikiran Elisya.
Jika dia memberitahu perkara yang sebenar, adakah Elisya dapat menerima semua itu nanti? Ada baiknya jika Firdaus sendiri yang memberitahu Elisya akan apa yang terjadi lima tahun yang lepas. Putus Hamidah seraya mengangguk kecil.



2 ulasan: