BAB
15
“Kenapa termenung ni Aisya? Aisya ada
masalah ke?” soal Puan Suhaila sambil duduk bersebelahan Aisya. Dia risau
melihat keadaan Aisya yang asyik termenung. Seperti orang yang dilanda masalah
negara sahaja.
Sesampainya Aisya di rumah malam
semalam, Aisya lebih selesa mengurungkan diri di dalam bilik daripada duduk di
luar. Perubahan Aisya menggusarkan naluri keibuannya.
Aisya memandang sekilas ke wajah Puan
Suhaila. Satu keluhan berat dilepaskan perlahan-lahan. Kepala dilentokkan ke
bahu Puan Suhaila. Diusap lembut oleh Puan Suhaila dengan penuh kasih sayang.
Selama ini hanya Puan Suhaila tempat Aisya bermanja.
“Hati Aisya sakit mak, sakit!” rintih
Aisya lembut. “Kenapa Aisya tidak bahagia seperti orang lain?” sambung Aisya.
Tangannya sudah melingkar ke pinggang Puan Suhaila.
“Aisya, setiap apa yang berlaku ada
hikmahnya nak. Mak tahu Aisya sekarang ni sedang berperang dengan hati Aisya
sendiri. Mak tak tahu siapa lelaki tu, tapi mak tahu anak mak jadi sampai
begini disebabkan lelaki kan!” pujuk Puan Suhaila.
Aisya mengangkat muka. Wajah Puan
Suhaila dipandang sayang. Mak ni macam tau-tau aje apa yang tersirat di dalam
hati aku ni, Aisya berbisik.
“Tak mak, bukan disebabkan lelaki,”
bidas Aisya pantas. “Tak ada gunanya kalau Aisya berharap pada dia. Lagipun
siapalah Aisya di matanya? Kami umpama langit dengan bumi, enggang dengan
pipit. Bagaimana Aisya nak luahkan perasaan Aisya kalau dia tak rasakan apa
yang Aisya rasakan?” luah Aisya. Kepala dilentokkan semula ke bahu Puan
Suhaila.
Tiada apa yang perlu dirahsiakan.
Setiap kali mempunyai masalah, kepada Puan Suhaila tempat dia mengadu. Kini,
dia jelas dengan perasaannya. Pintu hati yang telah lama ditutup telah dibuka
perlahan-lahan dan diisikan dengan nama Tengku Hariz Iskandar Tengku Azman.
“Hai, tadi kata bukan disebabkan
lelaki. Pastu kata bagai enggang dengan pipit la… apa la…” usik Puan Suhaila.
Itulah yang diluahkan Aisya tadi.
Aisya menepuk dahinya. Dia sudah
tersalah langkah. Ingin berahsia, last-last
dia juga yang membocorkannya.
“Memanglah bukan disebabkan lelaki,
tapi disebabkan insan yang bernama ‘lelaki’.” Aisya menekankan perkataan
‘lelaki’ di hujung ayatnya itu.
“Eh… bukan sama ke? Tak pelah Aisya,
Insya-ALLAH akan ada sinar bahagia yang menanti Aisya. Percayalah nak. Anak
makkan kuat. Bersabarlah sayang,” nasihat Puan Suhaila lembut sambil menepuk
lembut bahu Aisya. Ya ALLAH, kuatkanlah hati anakku dalam menghadapi semua
dugaan dalam hidupnya. Cukuplah penderitaan yang di alaminya selama ini, rintih
Puan Suhaila dalam sedu dan sebak. Dalam dia memohon kepada ALLAH, ingatannya
kembali kepada kenangan enam tahun yang lepas. Kenangan yang telah meragut
kepercayaannya selama ini.
“Apa yang Puan Sharifah maksudkan ni?”
tanya Encik Ahmad Nordin kurang mengerti. Wajah majikannya itu ditatap curiga.
“Kau jangan nak pura-pura tak tahu
Ahmad,” sindir Puan Sharifah Rohana. Matanya mencerlung ke arah Aisya. “Kau
tanya anak kesayangan kau tu, apa yang dia dah buat dengan anak aku,” sambung
Puan Sharifah Rohana meninggi.
Encik Ahmad Nordin mengerutkan dahi.
Matanya beralih ke arah Aisya yang sedang tunduk memandang lantai. Selepas
diberitahu akan niat Tengku Azman untuk menyunting Aisya menjadi menantu
mereka, dia seakan-akan tidak mempercayainya. Mana mungkin anak seorang driver layak berkahwin dengan anak orang
berada, apatah lagi berketurunan ‘Tengku’ pula tu. Tak pernah terlintas di
fikiran untuk menjadi besan kepada majikannya. Namun, selepas dipujuk dan
diyakinkan oleh Tengku Azman, hendak tak nak, dia terpaksa bersetuju menerima
pinangan Tengku Azman sekeluarga.
“Saya tak faham Puan Sharifah. Cuba
Puan Sharifah terangkan pada saya, apa yang sebenarnya berlaku?” tanya Encik
Ahmad Nordin, masih samar-samar.
“Macam mana kau tak boleh tau Ahmad?”
sinis Puan Sharifah Rohana bertanya. “Kau tahu tak yang anak kau tu dah
perangkap anak aku. Pandai betul kau ajar anak kau Ahmad suruh tackle anak orang kaya. Dah tu anak aku
pulak yang kau pilih. Siap tuduh anak aku yang mengandungkan anak kau. Entah
anak siapa yang dikandungkan tu, anak aku pulak yang dijadikan kambing hitam.”
Jelas lagi nyata Puan Sharifah Rohana menerangkannya.
Rasa marah dan sakit hatinya terhadap
Aisya masih belum lagi reda. Kelancangan mulut Nadia masih lagi
terngiang-ngiang di cuping telinganya. Jika diikutkan hati panasnya masa itu,
mahu saja dia mencili-cilikan mulut Nadia itu. Tergamak Nadia menuduh Tengku
Azizul merogol Aisya. Entahkan betul atau tidak Nadia mempunyai bukti untuk
menyabitkan anaknya ke muka pengadilan. Hisy!! Geram aku dibuatnya. Mahu aje
aku bagi penampar sebijik kat Nadia
tu, marah Puan Sharifah Rohana di dalam hati.
Tergamam Encik Ahmad Nordin
mendengarnya. Betulkah apa yang dijelaskan oleh Puan Sharifah Rohana itu? Aisya
mengandung? Lantas dia mencerlungkan matanya ke arah Aisya. Diperhatikan
anaknya itu dari atas ke bawah. Rasa marahnya menjalar di dalam tubuh dengan
tiba-tiba. Tunggu masa untuk melepaskannya sahaja.
“Betul ke Aisya? Cakap dengan abah
perkara yang sebenarnya?” jerkah Encik Ahmad Nordin. Dia menghampiri Aisya yang
masih tunduk memandang lantai. “Cakap Aisya! Abah nak dengar dari mulut kau
sendiri!!” tengking Encik Ahmad Nordin pula. Tangannya sudah di genggam erat.
Cuba menahan kemarahannya ketika itu.
“Nak… cakap nak. Betul ke apa yang Puan
Sharifah tu katakan?” desak Puan Suhaila pula yang sedari tadi membisu. Matanya
tajam ke arah Aisya. Lantas dia menghampiri Aisya dan menggoncang-goncang badan
Aisya. Berharap agar Aisya bersuara.
Namun tindakan Puan Suhaila itu tidak
mendatangkan hasil. Aisya mengeraskan tubuhnya dan membisu. Tidak tahu apa yang
perlu diperjelaskan lagi. Semuanya sudah ternyata benar.
“Maafkan Aisya!” hanya ayat itu yang
mampu keluar dari mulut Aisya.
Tersentap jantung Encik Ahmad Nordin
dibuatnya. Ucapan maaf dari Aisya membuktikan apa yang diperkatakan oleh Puan
Sharifah Rohana itu adalah benar. Sungguh dia merasa kecewa dengan apa yang
berlaku. Tergamak Aisya menconteng arang ke mukanya. Terasa begitu hina sekali
di hadapan Tengku Azman sekeluarga.
“Kenapa Aisya? Kenapa Aisya buat abah
dan mak macam ni? Abah tak pernah ajar anak-anak abah buat perkara yang tak
baik, perkara yang tak elok. Kurang ke didikan yang abah dan mak berikan pada
Aisya selama ini,” kesal Encik Ahmad Nordin sebak. Dia mengusap dadanya yang
terasa sebu tiba-tiba.
“Abah!” panggil Aisya pantas mengangkat
muka. “Aisya tak bersalah abah. Aisya dianiaya. Aisya dirogol,” lafaz Aisya
tegas. Sungguh itulah yang berlaku. Kesalahan Tengku Azizul tidak mungkin akan
dimaafkan.
“Oh!! Jadi kau nak tuduh anak aku yang
aniaya kau, begitu?” herdik Puan Sharifah Rohana tiba-tiba. Matanya tajam
menikam ke muka Aisya. Sakit hatinya apabila Tengku Azizul dipersalahkan.
“Ya!! Tengku Azizul yang rogol saya!!
Lelaki tak guna!! Lelaki pengecut!!” jerit Aisya sekuat hati. Sakit hatinya
apabila dia dituduh sengaja menganiaya Tengku Azizul.
Panggg!!!
Satu tamparan hinggap di pipi Aisya
membuatkan Aisya jatuh terjelepuk ke lantai.
“Abah tak pernah ajar Aisya meninggikan
suara terhadap orang yang lebih tua. Kalau abah tahu begini perangai Aisya yang
sebenarnya, dah lama abah bunuh kau Aisya. Sepatutnya abah biarkan kamu mati
dalam stor sekolah tu dulu, kalau hidup hanya untuk memalukan abah dan mak,”
hambur Encik Ahmad Nordin meninggi. Dia mengusap-usap dadanya yang terasa sakit
dengan tiba-tiba.
“Aisya memang tak bersalah. Tengku
Azizul yang rogol Aisya!!” jerit Aisya masih menegakkan kebenaran. Dia mengusap
pipinya yang terasa sakit akibat ditampar oleh Encik Ahmad Nordin tadi. Belum
pernah dia ditampar sebegitu, dan hari ini dia merasai tamparan itu.
“Aisya!!” marah Puan Suhaila. “Kenapa
kurang ajar dengan abah? Menyesal mak lahirkan kau Aisya, kalau begini perangai
kau selama ini,” sambung Puan Suhaila lagi. Dia menghampiri Encik Ahmad Nordin
dan cuba untuk menenangkan perasaan suaminya itu.
“Huh!! Hebat betul lakonan korang anak
beranak. Tak payahlah nak bazirkan air mata palsu korang tu. Jijik aku
tengoknya. Aku bagi amaran pada kau Aisya. Jangan ingat aku akan terima kau
sebagai menantu aku walaupun kau dah berkahwin dengan anak aku. Aku akan
pastikan hidup kau menderita dalam rumah ni. Baru kau tahu langit tu tinggi
atau rendah,” ugut Puan Sharifah Rohana. Matanya tajam ke muka Aisya. “Dan kau
Ahmad, selama ini kau memang nak menumpang harta kekayaan kami. Kalau tak, kau
takkan ajar anak kau untuk goda anak aku. Kenapa kau tak ajar dia goda anak
lelaki kaya yang lain? Kenapa anak aku yang kau pilih?” hina Puan Shairfah
Rohana.
Menyirap darah Encik Ahmad Nordin
mendengarnya. Terlalu berat pertuduhan dan penghinaan yang dihamburkan Puan
Sharifah Rohana terhadap keluarganya. Puan Suhaila sudah mengurut dada menahan
amarah di hati. Aisya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Hatinya pilu dan sedih
apabila melihat abahnya dihina dengan sebegitu sekali.
“Maafkan saya Puan Sharifah, memang
saya tak pandai nak mengajar anak. Saya pun tak ajar anak saya untuk goda anak
Puan Sharifah. Tapi, itu tidak bermakna Puan Sharifah ada hak untuk menghina
keluarga saya,” bidas Encik Ahmad Nordin agak keras. Puan Sharifah Rohana
dipandang tajam. Jika diikutkan hati mahu saja dia menampar muka Puan Sharifah
Rohana. Tetapi, apa hak dia untuk berbuat begitu kerana selama ini yang memberi
makan dan minum keluarganya adalah duit gaji yang diberikan oleh Puan Sharifah
Rohana sekeluarga.
Puan Sharifah Rohana mencebik. Terasa
meluat mendengar kata-kata Encik Ahmad Nordin itu.
“Aku nak kau ingat sampai bila-bila
Aisya. Aku akan pastikan kau menderita dalam rumah ni,” ugut Puan Sharifah
Rohana lagi. Seminit kemudian, dia meninggalkan ruang dapur itu. Terasa puas
hatinya kerana dapat menyedarkan Aisya dari mimpi yang indah. Disebabkan Aisya,
Tengku Azizul dipaksa berkahwin walaupun hati tidak merelakannya. Kau terimalah
akibatnya nanti, bisik hati kecil Puan Sharifah Rohana diselangi dengan tawanya
yang sinis
“Abah… Aisya tak bersalah. Aisya dirogol.
Aisya teraniaya,” ulang Aisya pada perkara yang sama. Dia perlu menyakinkan
kedua-dua orang tuanya itu. Tangan Encik Ahmad Nordin diraih dan dicium, namun
ditepis kasar oleh Encik Ahmad Nordin.
Tersentak Aisya dengan tolakan Encik
Ahmad Nordin itu. Terasa diri dipersalahkan di atas apa yang berlaku. Terasa
diri dipandang hina oleh kedua-dua orang tuanya itu. Sungguh dia kecewa dengan
sikap Encik Ahmad Nordin dan Puan Suhaila.
“Mak… percayalah pada Aisya. Selama ini
Aisya tak pernah malukan mak dan abah. Aisya pegang kepercayaan mak dan abah.
Aisya benar-benar tak bersalah,” rayu Aisya lagi. Kali ini air mata sudah
mengalir dengan deras. Jika tadi dia dapat menahan air mata dari gugur, kali
ini dia tidak dapat menahannya lagi.
“Disebabkan kepercayaan kami itulah,
Aisya sanggup memalukan kami. Aisya salah gunakan kepercayaan yang kami berikan
tu. Abah kecewa dengan Aisya,” luah Encik Ahmad Nordin kecewa. Kata-kata Puan
Sharifah Rohana sebentar tadi menambahkan kelukaan di hati. Terasa dihina yang
amat sangat. Belum pernah dia merasa sehina itu.
“Abah… mak… maafkan Aisya. Ampunkan
Aisya mak, abah,” rintih Aisya pula berserta esakan tangisan. Tangan Encik
Ahmad Nordin dicium beberapa kali tetapi tidak mendatangkan simpati pada Encik
Ahmad Nordin yang hanya membatukan diri.
Encik Ahmad Nordin menahan sebak di
dada. Terasa sakit dadanya ketika itu. Kisah disebalik perkahwinan Aisya begitu
melukakan hatinya. Berita Aisya mengandung menambahkan kekecewaannya. Terasa
dirinya gagal menjadi seorang ayah.
Puan Suhaila mendengus kasar. Kata-kata
hina Puan Suhaila membuatkan hatinya menjadi panas. Belum pernah dia merasa
terhina sebegitu. Disebabkan Aisya, dia dan suaminya terpaksa menelan kesemua
kata-kata hina itu.
“Mak… maafkan Aisya,” rintih Aisya
lagi. Kali ini tangan Puan Suhaila cuba diraihnya. Dan seperti Encik Ahmad
Nordin, Puan Suhaila juga menepis kasar tangan Aisya.
“Kau memang anak yang dah memalukan
kami Aisya. Penat kami membesarkan kau dengan kasih sayang, bagai menatang minyak
yang penuh. Tapi, apa yang kau berikan pada kami. Kata-kata penghinaan yang
kami dapat disebabkan kau,” marah Puan Suhaila sedari tadi tidak tertahan. Rasa
sakit di hati masih lagi bersisa.
“Ya ALLAH mak… tolong jangan mengungkit
kasih sayang mak dan abah berikan pada Aisya. Aisya benar-benar minta maaf.
Aisya bersalah kerana malukan mak dan abah,” luah Aisya lagi. Esakannya semakin
kuat kedengaran. Sukar untuk menggambarkan betapa sedihnya tatkala mendengar
kata-kata yang dikeluarkan oleh Puan Suhaila itu.
Encik Ahmad Nordin sekadar mendengar.
Hatinya benar-benar kecewa dan sakit. Dirasakan dadanya semakin menekan,
semakin berombak dan semakin sakit. Entah mengapa juga pandangannya semakin
kelam dan kabur. Hanya senyuman hampa yang mampu terukir di bibir tuanya.
Dilihatnya Aisya masih teresak-esak menangis, terasa sayu dan pilu melihat
anaknya itu. Dosa apa yang telah dilakukannya sehingga dia dihukum sebegitu
rupa. Mungkin dosanya yang silam membuatkan Aisya terpaksa menerima tempiasnya.
Ya ALLAH, aku serahkan takdir anakku padaMU. Lindungilah dia. Tabahkan hatinya.
Seminit kemudian, tubuhnya terasa ringan dan dia rebah di situ juga.
“Abang… abang…Ya ALLAH, abang!” jerit
Puan Suhaila. Segera dia menerpa ke tubuh suaminya. Aisya yang masih lagi
teresak-esak turut sama menerpa ke tubuh Encik Ahmad Nordin. Dia menggoncang
tubuh Encik Ahmad Nordin dan menghalakan jari ke hidung Encik Ahmad Nordin.
Kemudian itu dia menggelengkan kepala. Air mata yang sempat di seka, mengalir
dengan deras semula.
“Abah… abah… maafkan Aisya abah…
maafkan Aisya…” rintih Aisya sambil menggoncang tubuh kaku Encik Ahmad Nordin.
Puan Suhaila sudah pun terduduk. Terkejut melihat tubuh kaku suaminya. Kepala
digeleng berkali-kali. Tidak mempercayai bahawa Encik Ahmad Nordin akan meninggalkannya
buat selama-lama.
“Kau jangan sentuh suami aku. Pergi kau
dari sini. Disebabkan kau, aku kehilangan dia, orang yang aku sayang,” marah
Puan Suhaila sambil menolak badan Aisya ke belakang. Aisya tersungkur ke
belakang. Air mata makin deras mengalir.
“Maafkan Aisya abah… maafkan Aisya mak…
Aisya bersalah pada mak dan abah, maafkan Aisya!” rayu Aisya lagi sambil
memegang tangan Puan Suhaila. Namun pantas ditepis oleh Puan Suhaila.
“Aku jijik dengan kau. Pergi kau dari
sini!” tengking Puan Suhaila.
Menggeletar seluruh badan Aisya
mendengar tengkingan Puan Suhaila. Belum pernah Puan Suhaila menengking mahupun
memarahinya selama ini. Tapi, pada malam ini, semuanya berubah dalam sekelip
mata. Dia mengesot ke tepi dinding. Kedua-dua belah kakinya dipeluk erat. Tubuh
kujur Encik Ahmad Nordin dipandang tanpa berkelip. Dia merasakan pandangannya
semakin kabur. Sekelip mata dia pengsan di situ.
“Menyusahkan betul! Dia ingat boleh
bersenang-lenang lepas berkahwin dengan anak aku. Jangan nak bermimpi Aisya.
Aku akan pastikan kau menderita dalam rumah ini,” ugut Puan Sharifah Rohana.
Tubuh Aisya di hadapan di pandang penuh kebencian. Setelah puas, dia
meninggalkan tubuh itu sendirian di dalam bilik.
Aisya membuka mata. Terasa diri sedang
diulit mimpi ngeri. Suara ugutan Puan Sharifah Rohana sayup-sayup menembusi ke
gegendang telinga. Dalam keadaan terpisat-pisat, dia melihat keadaan sekeliling
bilik itu. Baru sebentar tadi dia berbual dengan mak dan abahnya, kenapa dia
boleh berada keseorangan di dalam bilik ini?
“Aisya!” seru Nadia sambil melabuhkan
punggung di sisi Aisya. “Kau okey
ke?” soal Nadia pula. Tangannya sudah menggenggam erat tangan Aisya.
“Mana mak dan abah aku?” tanya Aisya.
Soalan Nadia ditolak tepi.
Nadia melemparkan pandangan ke luar
jendela. Tidak sanggup untuk menatap wajah Aisya ketika ini.
“Nadia, mana mak ngan abah aku?” ulang
Aisya keras. Nadia di sisi dipandang tajam.
“Aisya, kau bersabar ya. Semua ini
dugaan dan takdir dari ALLAH buat kau,” nasihat Nadia. Cuba untuk menenangkan
perasaan Aisya.
“Jangan nak berbelit-belit Nadia. Mana
mak dan abah aku?” tekan Aisya. Nafasnya sudah berombak menahan marah.
“Mak kau dah balik kampung untuk
uruskan pengkebumian abah kau,” jawab Nadia tenang. Air mata tidak mampu untuk
diseka lagi. Setitis demi setitis membasahi pipi. Tabahkan hatimu Aisya, doa
Nadia.
“Apa maksud kau Nadia? Pengkebumian
siapa yang kau katakan ni?” soal Aisya seperti tidak percaya dengan kata-kata
Nadia.
Nadia menghampiri Aisya. Tubuh itu
dipeluk erat. Cuba mententeramkan dan memberi semangat kepada tubuh itu. Di
waktu ini, tubuh itu memerlukan sokongan daripadanya. Dia mengusap lembut
belakang tubuh itu agar tangisan dari tubuh itu dapat diredakan. Perasaan
bersalah kepada tubuh itu menghantuinya kini.
“Abah kau Aisya,” ucap Nadia perlahan
dan masih boleh didengari oleh Aisya.
Aisya meleraikan pelukan Nadia. Nadia
dipandang dengan penuh tanda tanya. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Nadia
tadi? Pengkebumian abahnya? Aisya memejamkan mata. Cuba untuk mengingati semula
apa yang terjadi sebelum dia pengsan.
“Tidak… tidak… tak mungkin Nadia… tak
mungkin. Abah… maafkan Aisya… maafkan Aisya. Aisya berdosa pada abah. Maafkan
Aisya,” raung Aisya dalam esakan yang tidak henti-henti.
“Syyhh…. mengucap Aisya, ingat ALLAH.
Aku ada di sisi kau. Setiap yang hidup akan mati, begitulah dengan abah kau.
ALLAH lebih sayangkan abah kau Aisya,” nasihat Nadia sambil mengusap lembut
rambut Aisya. Hatinya pilu melihat keadaan Aisya begitu. Kenapa dia harus
dihukum atas kesilapan orang lain? Kenapa dia yang harus menerima penderitaan
ini? Ya ALLAH, berilah kekuatan kepadanya. Sesungguhnya aku amat menyayanginya,
rintih Nadia sendirian.
Puan Suhaila menyapu air mata di pipi.
Rasa kesal menerjah dalam diri. Jika dulu dia dan suaminya tidak berkeras dan
menerima Aisya ketika itu, Aisya tidak akan hidup menderita seperti sekarang.
Kenapa Aisya perlu dihukum di atas kesilapan orang lain? Kenapa Aisya perlu
menempuh semua itu dalam usianya yang masih dua puluh tahun ketika itu. Sungguh
dia menyesal kerana membuang dan menyakiti hati Aisya.
“Mak… kenapa ni?” tanya Aisya apabila
melihat Puan Suhaila menyeka air mata di pipi tua itu.
“Mak teringatkan kisah enam tahun yang
lepas. Mak rasa bersalah pada Aisya,” kesal Puan Suhaila. Sungguh itu yang
dirasakan selama enam tahun ini.
Aisya menghembus nafasnya lembut.
Matanya menatap kasih Puan Suhaila.
“Mak tak perlulah rasa bersalah. Semua
yang berlaku sudah tertulis dalam kamus hidup Aisya. Aisya redha dan ikhlas
menerimanya mak,” tutur Aisya lembut. Dia tidak mahu Puan Suhaila terus-terusan
rasa bersalah dengan apa yang berlaku terhadapnya dulu. Jika sudah tertulis
buatnya, dia dengan hati yang ikhlas menerimanya.
“Tapi, kalau mak dan arwah abah tak
berkeras dengan Aisya waktu tu, mungkin Aisya hidup bahagia sekarang,” keluh
Puan Suhaila pula. Masih juga rasa bersalah.
“Sudahlah mak. Yang lepas biarlah
lepas. Mak tak bersalah dalam hal ni,” balas Aisya lembut. Dia menggenggam erat
tangan Puan Suhaila dan mengangguk perlahan. Memberi isyarat agar Puan Suhaila
menerima kata-katanya itu.
Puan Suhaila turut mengangguk faham.
Dia mengeratkan lagi genggaman Aisya. Dia tahu Aisya tidak suka mengungkit
kisah lalu. Seboleh-bolehnya Aisya ingin membuang terus kenangan silam lalu.
Kenangan silam yang memberi sebuah penderitaan kepada Aisya. Jauh di sudut
hati, sukar baginya melupakan kenangan itu.
kita menangis bila membaca bab nie kesiannyer Aisya :(
BalasPadamya, sy yg menulis pn terasa sedih jg..
Padam