BAB
6
“Betul ke ni?” ulang Nadia inginkan
kepastian setibanya mereka di hadapan bangunan Menara Holding. Hatinya masih
ragu-ragu dengan keputusan Aisya untuk berhenti kerja di Menara Holding. Dia
fikir Aisya sekadar bermain-main, tetapi tanggapannya meleset sama sekali.
Aisya benar-benar maksudkan akan kata-kata itu.
“Alah Nadia, kau janganlah risau.
Tahulah aku bagaimana nak uruskannya,” balas Aisya ingin mententeramkan jiwa
Nadia yang sedang berperang. Sudah dua minggu dia tidak hadir bekerja. Hari ini
dia perlu menyelesaikan perletakan jawatannya di hadapan Tengku Hariz.
“Kalau ada apa-apa nanti jangan lupa call aku. Susah-susah sangat, kau kerja
kat tempat akulah. Kat situ pun ada jawatan kosong,” cadang Nadia.
Aisya hanya tersenyum melihat kekalutan
Nadia. Dia mengerti akan keprihatinan dan sikap ambil berat Nadia itu. Selepas
apa yang menimpa dirinya enam tahun yang lepas, Nadia begitu fobia untuk
berkenalan dengan lelaki. Tetapi, Nadia tidak sepatutnya turut sama terheret
dengan masalahnya.
Nadia punya hak untuk hidup bahagia
seperti orang lain. Adham Ikmal, lelaki yang disukai Nadia ketika di universiti
dahulu ditolaknya keras-keras kerana dikhuatiri akan kecewa sepertimana
kecewanya Aisya terhadap insan bernama ‘lelaki’. Adham Ikmal seorang lelaki
yang dalam diam menyimpan perasaan terhadap Nadia begitu juga dengan Nadia.
Adham Ikmal merupakan rakan karib Tengku Azizul. Disebabkan itu jugalah Nadia
menolak keras Adham Ikmal kerana dia beranggapan Adham Ikmal bersubahat dengan
Tengku Azizul untuk menghancurkan hidup Aisya. Namun, Adham Ikmal tiada
kena-mengena dengan insiden yang terjadi di antara Aisya dan Tengku Azizul.
Adham Ikmal sekeras-keras menafikannya agar Nadia beranggapan baik terhadapnya.
Benarlah kata orang, hati wanita ini sekeras batu kelikir. Begitu juga kerasnya
hati Nadia untuk menerima Adham Ikmal. Akhirnya Adham Ikmal membawa diri ke
luar negara kerana kecewa dengan sikap Nadia.
“Eh Aisya, mana Aisya pergi? Dua minggu
tak datang kerja,” tegur Nurul tatkala terlihat Aisya melintas di hadapan
mejanya. Aisya hanya tersenyum manis. “Orang tanya betul-betul dia senyum
pulak,” geram Nurul dan bingkas bangun menuju ke meja Aisya.
“Maafkan Aisya kak, bos ada?” suara
Aisya tatkala menyedari perubahan di wajah Nurul.
Nurul hanya menganggukkan kepala. Dia
menuju ke mejanya semula apabila tidak dilayan oleh Aisya.
Aisya menarik nafas dan melepaskannya
perlahan. Sebentar lagi dia perlu berhadapan dengan seorang lelaki yang egois
dan bongkak serta sombong dengan gelaran, pangkat dan darjat yang dimiliki. Ah!
Apa la sangat dengan gelaran dan pangkat, bukannya boleh dibawa mati pun, tanam
pun tak boleh, ngomelnya sambil tersenyum sinis. Dia segera masuk apabila
diberi arahan berbuat begitu.
“Ada apa Nurul? Kan saya dah bagitau
tadi yang saya tak nak diganggu,” geram Tengku Hariz yang sedang khusyuk
menyemak laporan tanpa mengetahui siapa di hadapannya itu.
“Maafkan saya jika saya mengganggu
Tengku ketika ini. Saya datang sini cuma nak serahkan surat perletakan jawatan
saya seperti yang saya janjikan sebelum ini,” jawab Aisya dengan yakin sambil
menghulurkan surat perletakan jawatan di hadapan mata Tengku Hariz.
Tengku Hariz terkedu seketika. Suara
inilah yang aku rindukan. Wangian inilah yang aku dambakan. Aisya!! jeritnya di
dalam hati. Dia mengangkat muka dan terlihat susuk tubuh Aisya sedang berdiri
di hadapannya. Hatinya berbunga riang seperti meraikan satu kemenangan selepas
dia menderita selama dua minggu akibat pemergian Aisya. Kali ini dia tidak akan
melepaskan Aisya pergi lagi.
“Saya minta diri dulu,” pinta Aisya dan
segera melangkah jalan untuk keluar dari bilik yang amat menyesakkan nafasnya
selama ini.
“Nanti dulu!” panggil Tengku Hariz
mematikan langkah Aisya.
Tengku Hariz bangun dan berjalan
menghampiri Aisya. Aisya cuba mengawal perasaannya. Jantungnya berdegup dengan
kencang tatkala Tengku Hariz merenung tajam ke arahnya. Apa lagi yang dia nak
ni. Kan aku dah bagi surat, tak cukup lagi ke. Geram betul aku dengan mamat
nilah, gerutunya sambil mulutnya tidak henti-henti terkumat-kamit menyebutnya.
“Awak ingat sesuka hati awak aje nak
berhenti dari syarikat ni. Awak tak baca ke surat yang awak sign sebelum awak bersetuju menerima
jawatan ni dulu,” sambung Tengku Hariz diikuti dengan ketawa sinisnya.
Ketawa ni yang buat aku menyampah dengan kau
Tengku Hariz, balas Aisya di dalam hati. Dia cuba mengingati setiap inci
syarat-syarat yang tertulis di surat persetujuan menerima jawatan semula.
Berkerut-kerut dahinya. Sumpah dia tidak mengingati langsung akan syarat-syarat
tersebut.
“Lupa?” soal Tengku Hariz seolah-olah
dapat membaca fikiran Aisya ketika itu.
“Dalam tempoh percubaan dalam jawatan,
mana-mana pihak boleh menamatkan perkhidmatan selepas memberi tiga puluh (30)
hari notis ataupun membayar pampasan gaji bersamaannya sebagai ganti notis
kepada pihak yang satu lagi. Jika gagal, pihak syarikat berhak mengambil
tindakan undang-undang ke atas pekerja tersebut.”
Kecut perut Aisya mendengar setiap
butir yang dilemparkan oleh Tengku Hariz itu. Air liur berkali-kali ditelan.
Tidak terfikir dek akal segala kemungkinan yang bakal dihadapi sekiranya dia
meletakkan jawatan tanpa sebarang notis ataupun cukup sebulan notis. Matilah
aku kalau dia ambil tindakan undang-undang. Mana aku nak cari duit bayar kos
peguam dan lain-lain, fikirnya sendirian.
Tengku Hariz hanya memerhati gelagat
Aisya yang sedang gelabah dan gelisah. Hatinya benar-benar terusik dengan
keadaan itu. Huh! Yang last tu aku tokok tambah aje. Saja nak uji minah ni,
takut ke tak? Bisik hati kecil Tengku Hariz sambil tersenyum sinis.
“Baiklah Tengku Hariz. Saya akan beri
notis sebulan kepada Tengku. Maaf kerana tidak menghadirkan diri selama dua
minggu ke pejabat kerana ada urusan keluarga di kampung,” jelas Aisya. Dia
mencapai semula surat perletakan jawatan di atas meja dan beredar keluar dari
bilik itu. Tengku Hariz yang tersentak dengan penjelasan Aisya hanya
memerhatikan kelibat itu hilang dari pandangan mata.
Tengku Hariz merebahkan diri ke kerusi.
Fikirannya terus memikirkan Aisya. Bagaimana cara untuk menghalang Aisya dari
meletakkan jawatan? Bagaimana cara untuk menyakinkan Aisya agar setia bekerja
di syarikatnya? Dia amat memerlukan orang seperti Aisya. Tidak dinafikan
laporan yang disediakan oleh Aisya lebih baik dari laporan yang disediakan
olehnya. Laporan yang lengkap mengikut format kementerian yang disediakan oleh
Aisya itu membuatkan egonya tercabar dan tidak dapat diterima olehnya. Maka
disebabkan oleh itu jugalah dia berkasar dan menengking Aisya ketika itu dan
meminta Aisya membuat semula laporan tersebut walaupun pada dasarnya laporan
itu layak diajukan kepada kementerian. Tengku Hariz membetulkan kedudukan
apabila terlihat kelibat Aisya masuk semula ke dalam biliknya.
“Maaf Tengku. Ini notis sebulan saya
dan ini laporan yang Tengku minta saya siapkan hari tu. Maaf saya lupa nak
berpesan pada Nurul agar berikan laporan ini kepada Tengku,” jelas Aisya dan
segera beredar dari situ selepas meletakkan surat dan laporan di atas meja
Tengku Hariz.
“Baiklah. Saya akan go through notis dan laporan awak
kemudian,” suara Tengku Hariz dalam nada yang sebak. Aduh! Bukan ini yang nak
aku katakan padanya. Jangan berhenti Aisya! Aku akan merinduimu, rontanya di
dalam hati.
Bukankah ini yang aku nakkan? Bukankah
ini matlamat aku yang sebenarnya? Matlamat membuatkan Aisya berhenti. Tetapi
kenapa aku terasa sedih? Sedih memikirkan dia akan meninggalkan syarikat ini.
Sedih memikirkan dia akan meninggalkanku. Aku amat memerlukannya. Aku akan
merinduinya kelak. Kenapa dengan perasaanku ini? Apakah aku sudah jatuh cinta
dengannya? Tengku Hariz bermonolog dengan dirinya sendiri. Keluhan berat
terlepas dari bibirnya.
“Hey Aisya!” tegur seseorang dari arah
belakang memberhentikan suapan nasi ke dalam mulut Aisya. Aisya menoleh dan
terlihat kelibat Amirul sedang berdiri sambil tersenyum di belakangnya.
“Hey Amirul! Amirul buat apa kat sini?
Bila Amirul balik dari UK?” tanya Aisya dengan riak terkejut. Dia menyambung
semula suapan tanpa menghiraukan kehadiran Amirul. Perutnya yang terasa lapar
membuatkan dirinya alpa buat sementara.
Amirul melabuhkan duduk berhadapan
Aisya. Wajah Aisya ditatap mesra. Betapa rindunya dia pada wajah itu.
“Sorang aje ke?” tanya Amirul tanpa
menghiraukan pertanyaan Aisya sebentar tadi. Aisya hanya menganggukkan kepala. “Husband or boyfriend?” sambung Amirul
seakan-akan tidak percaya dengan anggukan Aisya. Mana mungkin gadis secantik
Aisya tidak mempunyai teman untuk menemaninya makan ketika ini.
“Bila balik Malaysia?” tanya Aisya
mematikan soalan Amirul. Sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan Amirul kerana
Amirul tidak ada hak untuk mengetahuinya.
Amirul Haqeem Bin Zulkifli, rakan
sekuliah Aisya ketika di United Kingdom dahulu.
Aisya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah, manakala Amirul
menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Kepulangan Aisya ke Malaysia
benar-benar memberi kesan yang mendalam ke atas Amirul kerana sudah lama Amirul
memendam perasaan terhadap Aisya. Namun, kedinginan Aisya membuatkan dia tidak
berani untuk meluahkan perasaannya ketika di UK dahulu walaupun dia yakin yang
Aisya sudah mengetahui akan perasaannya itu.
“Hey… mengelamun pulak,” tegur Aisya
mematikan lamunan Amirul. “Bila balik Malaysia?” ulang Aisya kepada soalan yang
sama. Aisya membersihkan tangan dan mencapai sehelai tisu lalu mengesat
mulutnya. Setia menunggu jawapan daripada Amirul.
“Minggu lepas. Aisya sihat? Aisya kerja
kat mana sekarang?” jawab dan soal Amirul pula.
“Aisya sihat Alhamdulillah. Sekarang Aisya bekerja sebagai Project Executive kat Menara Holding,” balas Aisya. Matanya melilau
melihat keadaan restoran itu. Takut untuk bertentang mata dengan Amirul.
Selama ini, Amirul memendam perasaan
terhadapnya. Secara tidak sengaja dia telah terbaca diary milik Amirul ketika diary
itu tertinggal sewaktu mereka sama-sama mentelaah buku di perpustakaan. Amirul
telah meluahkan perasaannya di dalam diary
itu. Sejak Aisya mengetahuinya, Aisya cuba mengelakkan diri dari berjumpa
dengan Amirul terlalu kerap. Dia tidak mahu memberi apa-apa harapan kepada
Amirul. Tidak mahu mengecewakan hati dan perasaan insan sebaik Amirul.
“Wow! Menara Holding! Syarikat besar
dan terkenal di Kuala Lumpur. Untung Aisya dapat bekerja di syarikat sebesar
itu.” Kagum Amirul berserta ketawa kecil.
Untung? Untungkah aku bekerja di
syarikat itu? Untungkah aku bekerja di bawah seorang bos yang egois, bongkak
dan berlagak seperti Tengku Hariz itu. Untungkah aku? Ulang Aisya di dalam
hati. Aisya tersenyum melihat gelagat Amirul yang masih lagi berbicara mengenai
Syarikat Menara Holding. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan
Amirul yang masih mengagumi kredibiliti Tengku Hariz menguruskan syarikat
sebesar itu. Sakit hatinya apabila mendengar nama Tengku Hariz di julang-julang
oleh Amirul. Uwekk!!! Naik meluat aku mendengarnya, kutuk Aisya.
“Tengku nak minum apa?” tanya seorang
pelayan. Dia menyerahkan buku menu kepada Tengku Hariz. Tengku Hariz mencapai
buku menu itu dan melihatnya sepintas lalu.
“Macam biasalah,” jawab Tengku Hariz.
Dia memulangkan buku menu kepada pelayan tersebut. Malas untuk memikirkan
makanan apa yang hendak dimakannya ketika itu.
Pelayan itu mengangguk. Mengerti
permintaan Tengku Hariz dan segera beredar dari situ setelah meletakkan segelas
air kosong di hadapan Tengku Hariz.
Tengku Hariz melilau melihat sekeliling
restoran. Dia gemar makan di restoran itu kerana suasana di situ begitu
mendamaikan. Hiasan dalaman yang unik dan antik di dalam restoran itu
membuatkan seseorang terasa tenang apabila menikmati setiap hidangan di
restoran itu. Ditambah dengan pancutan air terjun mini di hadapan pintu masuk,
menarik minat sesiapa untuk berkunjung ke restoran itu.
Sedang asyik dia memerhatikan
sekeliling restoran, matanya tertumpu ke arah sebuah meja yang terletak tidak
jauh dari meja yang sedang didudukinya. Dia mengamati dari jauh susuk tubuh
yang sedang leka berbicara dengan seorang lelaki. Bergelak ketawa dan bertepuk
tampar di antara satu sama lain membuatkan dia merasa cemburi dengan situasi
itu. Kenapa aku dan Sharifah Aleeya tidak seperti pasangan itu? Asal berjumpa
sahaja, bergaduh. Asal berjumpa sahaja, bergaduh. Huh! Bosan! Keluhnya sambil
meneguk air dari dalam gelas.
“Aisya!” terpacul nama itu dari
mulutnya apabila terlihat pasangan itu berdiri menuju ke kaunter untuk membuat
pembayaran. Hampir tersedak dia menyebut nama Aisya. Siapa lelaki itu? Suami
dia ke? Kekasih dia ke? Soalnya di dalam hati inginkan kepastian. Hatinya tidak
tenteram ketika itu selagi dia tidak mendapat jawapan dari setiap persoalan
yang terbuku di dalam hati.
“Hariz!” panggil Puan Sharifah Rohana
mematikan ingatan Tengku Hariz terhadap peristiwa tengahari tadi.
“Ada apa ma?” tanya Tengku Hariz
terkejut. Dia mencapai buku di atas meja dan menyelak helaian demi helaian buku
tersebut.
Puan Sharifah Rohana menghampiri Tengku
Hariz yang sedang berpura-pura membaca. Seperti ada perkara yang sedang
mengusutkan fikiran anaknya itu.
“Riz ada telefon abang?” soal Puan
Sharifah Rohana seraya duduk di birai katil.
“Ada ma, semalam. Abang kirim salam
pada mama dan papa,” jawab Tengku Hariz dan segera bangun dan duduk
bersebelahan dengan Puan Sharifah Rohana di birai katil. “Kenapa ni ma, ada
yang tak kena ke?” sambung Tengku Hariz apabila menyedari perubahan di wajah
Puan Sharifah Rohana.
Puan Sharifah Rohana hanya menggeleng.
“Habis tu apa dia ma.” Kali ini suara
Tengku Hariz agak keras. Mendesak Puan Sharifah Rohana supaya bersuara dan meluahkan
apa yang terpendam di dalam hati.
“Riz boleh tolong mama?” suara Puan
Sharifah Rohana terketar-ketar.
“Tolong? Tolong apa?” Tengku Hariz
mengulangi kata-kata mamanya.
Puan Sharifah Rohana bingkas bangun dan
menuju ke jendela. Pandangannya di halakan ke luar jendela sambil melepaskan
keluhan panjang. Tengku Hariz kehairanan melihat gelagat Puan Sharifah Rohana.
Bingkas dia bangun dan menuju ke arah Puan Sharifah Rohana yang masih
termenung. Seakan ada sesuatu yang sedang mengganggu fikiran Puan Sharifah
Rohana ketika ini. Tengku Hariz setia menanti Puan Sharifah Rohana meluahkan
isi hati yang terpendam.
“Mama bersalah pada abang. Mama dah
musnahkan kebahagiaan abang,” luah Puan Sharifah Rohana diikuti dengan keluhan
panjang untuk ke sekian kalinya. Tengku Hariz mengangkat kening. Tidak memahami
luahan isi hati Puan Sharifah Rohana.
“Ma, mama cakap apa ni?” soal Tengku
Hariz sambil memeluk erat Puan Sharifah Rohana. Cuba mententeramkan jiwa
mamanya yang sedang berserabut ketika ini.
“Tak ada apa-apalah Riz. Mama keluar
dulu,” dalih Puan Sharifah Rohana dan segera beredar dari situ. Belum masanya
untuk menceritakan perkara sebenar kepada Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengekori kelibat Puan
Sharifah Rohana dengan ekor matanya sahaja. Sesekali terlihat kerutan di dahi
Puan Sharifah Rohana. Wajah Puan Sharifah Rohana terlayar di ruangan mata.
Jarang sekali mamanya bersikap seperti tadi. Mesti ada perkara yang sedang
mengganggu fikiran mama, ulasnya. Dia mencapai laptop dan menyambung kerjanya yang sedikit tertangguh di pejabat
siang tadi.
Puan Sharifah Rohana berteleku di atas
sejadah. Sudah lama sungguh dia tidak mengadap ALLAH, memohon keampunan dan
keberkatan dariNYA. Tanggungjawabnya sebagai seorang Islam diabaikan begitu
sahaja semenjak dia berkahwin dengan Tengku Azman. Dia semakin menjauhi tikar
sejadah dan juga telekung selepas dia melibatkan diri dalam dunia perniagaan
kosmetik. Kekangan masa membuatkan dia hidup seperti orang yang tiada pegangan
hidup, malah Tengku Azman juga tidak pernah menegur dan mengajarnya tentang
ilmu agama kerana Tengku Azman sepertinya juga. Ya ALLAH! Terlalu keldil
hambaMU ini memohon keampunan dariMU. Tidaklah layak hambaMU ini untuk meminta
dan memohon kerana sudah lama hamba tidak memohon dan mengadap padaMU.
Sesungguhnya hambaMU ini terasa hina dan menyesal dengan apa yang pernah hamba
lakukan selama ini, pinta dan rayu Puan Sharifah Rohana di hadapan ALLAH.
Sejurus kemudian air matanya mengalir deras membasahi pipi, menginsafi dan
menyesali akan perbuatannya selama ini.
Seusai sholat, Puan Sharifah Rohana
mencapai sebungkus beg plastik yang diletakkan di atas meja solek. Dia
mengeluarkan isi yang terdapat di dalam beg plastik dan membaca setiap inci
ayat yang tertera di atas paket plastik kecil yang berada di tapak tangan, 5
bungkus paket kesemuanya. Sebiji selepas
makan! Bisiknya diikuti dengan keluhan kecil. Pertemuan dengan Dr. Borhan
petang tadi terimbau di ingatan semula.
“Ana, I dah periksa rekod perubatan you
dan I juga sudah membuat pemeriksaan lanjut ke atas tubuh you,” jelas Dr.
Borhan serius membuatkan Puan Sharifah Rohana tidak senang duduk dan gelisah.
Dr. Borhan merupakan doktor peribadi keluarga Tengku Azman dan setiap masalah
kesihatan keluarganya diajukan kepada Dr. Borhan.
“I harap you sedia mendengarnya Ana.”
Dr. Borhan menarik nafas dan melepaskannya. Puan Sharifah Rohana setia
mendengar. “You menghidap barah otak tahap ke 3. I cadangkan you jalani
pembedahan kecil untuk mengeluarkan sebahagian ketumbuhan yang ada dalam otak
you,” sambung Dr. Borhan sayu dan sebak. Matanya tepat ke muka Puan Sharifah
Rohana.
Puan Sharifah Rohana tergamam
mendengarnya. Bagaikan hendak tercabut tangkai jantungnya apabila mendengar
baris-baris ayat yang diluahkan oleh Dr. Borhan sebentar tadi. Air mata tidak
dapat diseka lagi lalu gugur membasahi pipi. Dr. Borhan bangun dan menghampiri
Puan Sharifah Rohana. Dia cuba mententeramkan Puan Sharifah Rohana dari
terus-terusan menangis. Nurse yang
berada di dalam bilik itu turut sama mengusap lembut bahu Puan Sharifah Rohana.
“Han, kalau I tak jalani pembedahan tu,
chances untuk I hidup berapa lama
Han?” soal Puan Sharifah Rohana terketar-ketar sambil cuba menahan esakan
tangisannya.
Dr. Borhan kembali duduk dan mencapai
fail peribadi Puan Sharifah Rohana.
“Ana, you jangan mudah berputus asa.
You ada harapan untuk sembuh asalkan you jalani pembedahan tu,” nasihat Dr.
Borhan sambil menulis sesuatu di dalam fail tersebut.
Puan Sharifah Rohana membisu seketika.
Tiada apa lagi yang boleh dikatakan ketika itu hanyalah melepaskan keluhan mengenangkan
hari-hari yang bakal mendatang.
“Han, I minta pada you, tolong
rahsiakannya dari family I,
terutamanya Azman,” pinta Puan Sharifah Rohana sebelum meninggalkan ruangan
itu. Selepas itu, dia diminta untuk mengambil ubat di farmasi. Dr. Borhan mengangguk
tanda faham.
Puan Sharifah Rohana mengesat air mata
yang sudah pun gugur membasahi pipi. Hatinya kini redha dan ikhlas menerima
segala ketentuan yang telah ditakdirkan buat dirinya. Tiada apa yang boleh
dilakukannya lagi hanyalah sujud mengadap ILLAHI, memohon keampunan di atas
kesilapannya dahulu. Di mana aku nak
cari dia? Aku banyak bersalah pada dia. Ya ALLAH, berilah aku kesempatan untuk
memohon ampun dan maaf daripada dia sebelum aku menutup mata mengadapMU
selama-lamanya. Sayu dan sebak di dalam dada memohon doa kepada ALLAH.
“Kau biar
betul Aisya? Kau masih ada selera lagi nak mengadap bos kau tu selepas apa yang
dia buat pada kau,” tanya Nadia inginkan kepastian. Berkerut-kerut dia
memandang Aisya.
Aisya bingkas duduk bersebelahan Nadia yang
sedang khusyuk menonton drama di televisyen.
“Ya, betul
juga. Kalau kau berhenti tiba-tiba tanpa sebarang notis… kau boleh di dakwa
tau, semua company macam tu,” sambung
Nadia sambil menguatkan volume televisyen.
Eh! Betul ke? Aku rasa company aku tak
ada pulak macam tu sampai kena tindakan undang-undang, Nadia berteka-teki.
Pedulikanlah!!
“Aku tahu Nadia. Kau janganlah risau.
Tahulah aku macam mana nak uruskannya. Kau ni risau sangatlah,” kata Aisya
sambil mencapai remote dan menukar
siaran lain.
“Hey, jangan tukarlah. Aku tengah
khusyuk tengok cerita tu,” marah Nadia dan merampas semula remote dari tangan Aisya.
“Lepas sebulan, aku jadi isteri kaulah
ya Nadia,” perli Aisya dan tersengih-sengih. Sengaja mengganggu tumpuan Nadia
yang sedari tadi khusyuk mengadap televisyen. “Yalah… lepas sebulan aku kan
jadi penganggur terhormat merangkap isteri kau. Kau kenalah sara aku, bagi duit
kat aku tiap-tiap bulan… betul tak?” gurau Aisya dan bingkas bangun menuju ke
biliknya sambil ketawa.
Ish! Aisya ni memang nak kena. Ada ke
nak suruh aku sara dia… eee… geli aku, gerutu Nadia sendirian sambil matanya
memandang tepat ke arah Aisya yang sudah mulai hilang di sebalik pintu bilik.
Aisya duduk termangu di birai katil.
Fikirannya tertumpu kepada Amirul. Pertemuan dengan Amirul di restoran
tengahari tadi membuatkan dia mengingati semula akan kisah suka duka ketika
berada di UK enam tahun yang lepas. Dia mengimbau semula bagaimana pertemuan
pertamanya dengan Amirul. Terbayang di ingatan bagaimana Amirul hampir di pukul
kerana cuba mempertahankannya daripada di kacau oleh sekumpulan Negro. Dia yang berjalan pulang ke
hostel lewat malam selepas membeli makanan, telah terlanggar seorang lelaki
berbangsa Negro di sebuah kafe. Dia
memohon maaf tetapi tidak diendahkan oleh lelaki Negro tersebut. Maka dari itu, dia hampir dipukul oleh lelaki
tersebut dan mujur ketika itu Amirul datang membantunya.
Tidak dapat menahan kemarahan, lelaki Negro itu mengajak rakan-rakannya datang
membantu untuk membelasah Amirul. Nasib mereka baik ketika itu kerana sebuah
kereta peronda polis secara kebetulan melalui kawasan itu dan dengan langkah
seribu, dia dan Amirul berlari sekuat hati untuk melepaskan diri dari kumpulan Negro tersebut. Amirul yang hanya
berselipar ketika itu, terpaksa berlari berkaki ayam kerana seliparnya
tiba-tiba terputus sewaktu berlari.
“Awak kena belanja saya selipar ni,”
lawak Amirul sambil meletakkan seliparnya di atas telapak tangan Aisya.
Aisya mengerutkan dahi. Seminit
kemudian, ketawanya pecah melihatkan keadaan Amirul. Amirul melemparkan
senyuman. Kemudian, dia turut sama melepaskan ketawanya.
Sejak dari itu, perhubungan
persahabatan mereka menjadi akrab. Kemana saja bersama bagaikan sepasang
kekasih sehinggakan rakan serumah Aisya, Monica bertanyakan tentang perhubungannya
dengan Amirul. Dia menafikan sekeras-kerasnya yang dia tidak mempunyai hubungan
apa-apa dengan Amirul. Hatinya masih lagi tertutup buat insan yang bernama
lelaki. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Disebabkan lelaki, dia merantau
ke negara orang. Membawa hatinya yang terluka dan masih berdarah di atas
kenangan lalu. Disebabkan itu jugalah, dia tidak mahu mempunyai perasaan
apa-apa terhadap Amirul. Baginya, Amirul adalah sahabat dunia dan akhirat.
“Maafkan Aisya,” ucapnya pada suatu
hari sambil menghulurkan semula diary milik
Amirul yang tertinggal.
Amirul terkejut, namun dia cuba untuk
menyembunyikan riak terkejutnya di hadapan Aisya. Alamak! Macam mana aku boleh
tertinggal ni. Mesti Aisya dah tahu luahan isi hati aku padanya, bicara Amirul
sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aisya tersenyum melihat
keadaan Amirul yang gelabah dan kerisauan. Dia dapat membaca dengan apa yang
sedang Amirul fikirkan.
“Errr… Ai… sya….” ada getaran di
sebalik suara Amirul. “Amirul….”
“It’s
okey Amirul.
Aisya tak baca diary Amirul. Lagipun
berdosakan kalau kita baca hak orang tanpa kebenaran tuannya.” Aisya sengaja
memotong kata-kata Amirul.
Aisya dapat mengagak akan apa yang
bakal diluahkan oleh Amirul nanti. Dia khuatir jawapan yang bakal diberikan
kepada Amirul akan mengecewakan Amirul dan meretakkan persahabatan mereka yang
telah lama terjalin.
Amirul mengangguk tanda faham. Dia
mengerti akan jawapan Aisya itu walaupun dia belum berkesempatan untuk
meluahkannya.
Bermula dari itu, Aisya cuba sedaya
upaya untuk tidak terlalu rapat dengan Amirul dan tindakannya itu disedari oleh
Amirul. Dia tidak mahu memberi harapan tinggi kepada Amirul kerana hatinya
belum bersedia untuk mencintai dan dicintai. Biarlah masa yang menentukan
segala-galanya kerana dia yakin suatu hari nanti, akan ada insan yang bernama
lelaki yang bisa menggetarkan tangkai hatinya itu. Dia sentiasa berdoa dan
memohon kepada ALLAH agar tidak membenci mahupun menjauhkan diri daripada insan
yang bernama lelaki.
Sedang khusyuk Aisya berkhayal, tanpa
disedari, Nadia sedang tercegat di sisi pintu bilik sambil berpeluk tubuh dan
tersenyum. Tersenyum melihat gelagat Aisya yang berguling ke kiri dan ke kanan
sambil fikiran Aisya melayang entah ke mana. Dia juga dapat melihat ada riak gembira
di wajah Aisya yang selama ini dirindui selepas peristiwa hitam itu. Aku harap
kau akan sentiasa tersenyum dan gembira Aisya! Doanya di dalam hati dan selepas
itu menutup semula pintu bilik Aisya dan melangkah longlai menuju ke biliknya
untuk beradu. Hanya pada ALLAH sahaja Nadia bermohon agar Aisya yang
dikenalinya suatu ketika dulu akan kembali kuat dan tabah dalam menghadapi
dugaan hidup.
bet, abg tengku hariz tu la bekas suami aisya kan?
BalasPadamoh better pilih amirul.
nantikan bab seterusnya...
BalasPadamsegala persoalan akan terjawab... (^_^)
xsabar baca
BalasPadamthanks shuhada.. ;)
BalasPadam