BAB
8
Permintaan Puan Suhaila benar-benar
membuatkan Aisya rasa bersalah. Seperti diluah mati mak, ditelan mati bapak.
Tidak menyangka bahawa Puan Suhaila sanggup membuat permintaan sebegitu
kepadanya. Disebabkan ingin membalas jasa lelaki itu yang telah dibudikan
kepada keluarganya, dia dipaksa menerima lamaran lelaki itu. Orang memberi kita
merasa, orang berbudi kita berbahasa. Pepatah melayu yang dahulunya tidak
dipedulikan kini benar-benar diguna pakai semula. Ingin rasanya dia menjerit,
agar dapat membuang segala bebanan masalah yang dihadapi ketika itu.
“Tidak mak. Aisya tak setuju!”
bangkangnya sekuat hati akan permintaan Puan Suhaila itu.
Puan Suhaila termati akal untuk
berkata-kata lagi. Dia tahu, hati Aisya sekeras kerikil sama sepertinya sewaktu
dia berkeras ingin mengahwini Ahmad Nordin, ayah Aisya. Mana tertumpahnya kuah
jika tidak ke nasi. Aisya mengikut jejak langkahnya sekarang.
“Aisya, mak faham keadaan Aisya. Tapi,
kali ini saja permintaan mak. Mak harap Aisya faham,” rayu Puan Suhaila sambil
mengusap lembut bahu Aisya. Dia mahu melihat kebahagiaan Aisya sebelum dia menutup
mata mengadap ILLAHI.
“Mak, jangan jadikan Aisya mangsa
semata-mata untuk membalas semua jasa baik yang telah dia berikan kepada kita
sekeluarga. Aisya rayu dan pohon pada mak… tolong fahami Aisya.” Dan kali ini
Aisya merayu kepada Puan Suhaila agar mengerti akan permintaannya itu.
“Aisya, mak….” Tak terluah dengan
kata-kata apabila Aisya melentokkan kepala di bahu Puan Suhaila. Sebak dan sayu
Puan Suhaila rasakannya.
“Mak, Aisya faham kesulitan yang mak
hadapi ketika ini. Tapi, Aisya nak mak faham juga kesulitan yang Aisya alami
selama ini. Perkahwinan Aisya yang lepas membuatkan Aisya takut untuk
menghadapinya lagi. Kenangan-kenangan lepas membuatkan Aisya benar-benar
terluka dan sekali gus menutup pintu hati Aisya agar tiada sesiapa pun boleh
menerokai dan menodainya lagi. Mak…” luah Aisya sambil menatap wajah Puan
Suhaila dan mengelus-elus pipi Puan Suhaila dengan penuh kasih sayang.
Puan Suhaila membalas tatapan anaknya
itu dengan perasaan yang sebak dan sayu. Hatinya sedih tatkala mengingati semula
kejadian yang pernah ditempuhi oleh Aisya enam tahun yang lepas. Puan Suhaila
mengangguk faham dan segera memeluk erat Aisya yang masih lagi menanti jawapan
darinya. Aisya hanya mampu tersenyum hambar.
“Aisya!” panggil seseorang membawa
Aisya ke alam realiti. Di halau jauh-jauh akan lamunannya sebentar tadi.
“Awak ni pekak ke apa. Berkali-kali
saya panggil, awak buat tak tahu aje. Kalau nak kerja buat cara nak kerja.
Kalau tak nak, awak boleh berhenti!” tegur Tengku Hariz dengan nada yang marah.
Aisya hanya menundukkan kepala sahaja. “Mana fail yang saya minta awak semak
hari tu?” sambung Tengku Hariz sambil tangannya dihulurkan kepada Aisya seperti
meminta sesuatu.
Aisya mengangkat muka. Kemudian dia
menepuk dahinya sendiri, seolah-olah sedang mengingati sesuatu.
“Ya ALLAH! Maafkan saya Tengku, fail tu
tertinggal kat rumah. Saya terlupa nak bawanya sekali pagi tadi.” Lancar sahaja
Aisya menjelaskannya tanpa memikirkan habuan yang bakal diterima sebentar lagi.
“What?
Are you crazy?
Awak tahu tak yang saya nak gunakan fail tu dalam mesyuarat petang nanti. Siapa
yang beri kebenaran pada awak untuk membawanya balik ke rumah. Private and Confidential!!” tengking
Tengku Hariz sambil melemparkan fail yang dipegangnya tadi di hadapan Aisya.
Aisya tersentak dan hanya tunduk
mendengar. Bunyi nafas Tengku Hariz yang berombak-ombak akibat menahan
kemarahan menerpa halwa telinganya.
“Ma… afkan sa… ya Tengku. Saya tak
sengaja,” tersekat-sekat Aisya meluahkannya.
“Shit!!” sambung Tengku Hariz dan segera menuju
ke bilik dengan perasaan marah yang meluap-luap. Aisya hanya memerhati kelibat
Tengku Hariz hilang dari pandangan mata.
“Kenapa dengan Aisya ni? Aisya tahukan
segala benda yang berkenaan dengan company
tidak dibenarkan dibawa keluar dari pejabat. Kenapa Aisya degil sangat ni?”
tegur Nurul dengan nada sinis selepas kelibat Tengku Hariz hilang di sebalik
pintu. Aisya tidak pasti sama ada Nurul bersimpati ataupun sengaja untuk
menyakitkan hatinya.
“Kan bos dah ma… rah. Hey Aisya, nak ke
mana tu?” tersekat-sekat Nurul melontarkan kata-kata. Matanya tertumpu ke arah
Aisya yang sudah berlalu pergi meninggalkan pejabat membawa diri entah ke mana.
Tengku Hariz melemparkan blazer ke arah kerusi. Dia menarik tali
leher agar sedikit longgar sambil mendengus kasar. Hatinya benar-benar marah di
atas tindakan Aisya yang membawa balik fail penting ke rumah. Dia memerlukan
fail itu untuk membuat persediaan mesyuarat pada petang ini. Ya, memang dia ada
mengarahkan Aisya supaya memperbetulkan beberapa kesilapan yang terdapat di dalam
fail itu, tapi itu tidak bermakna dia dibenarkan membawa fail tersebut balik ke
rumah. Ah! Sengaja nak cari pasal betullah pompuan tu, marah Tengku Hariz di
dalam hati.
“Aisya!” jerit Tengku Hariz dari dalam
bilik. Nurul yang terdengar akan jeritan Tengku Hariz segera menerpa masuk ke
dalam bilik itu.
“Aisya mana?” soal Tengku Hariz
terkejut dengan kemunculan Nurul.
“Maaf Tengku, saya tak pasti Aisya ke
mana. Tapi, selepas Tengku menegurnya… Aisya segera keluar dari pejabat,” jelas
Nurul terketar-ketar seperti menahan ketakutan.
“Keluar? Apa maksud awak keluar? Dia
ingat office ni mak bapak dia yang
punya ke, sesuka hati dia nak masuk dan keluar,” marah Tengku Hariz. Dia
mencapai blazernya semula dan beredar
keluar dari situ. Bertujuan untuk mengejar Aisya.
Nurul hanya tunduk membisu. Matanya
melilau memerhati keadaan sekeliling bilik itu. Bersepahnya! Terdetik ayat itu
dari lubuk hati. Dia menekan intercom
dan memanggil tukang cleaner untuk
membersihkan bilik Tengku Hariz.
Aisya kalut sambil matanya melirik jam
di tangan. Lagi dua jam untuk bermesyuarat. Sempat ke aku nak ambil fail tu
balik. Ah! Harap-harap sempatlah hendaknya, mana teksi ni, keluhnya sendirian.
Perasaannya disaluti rasa bersalah. Dia memarahi dirinya sendiri akibat
kealpaan dan kecuaiannya hari ini. Kemarahan Tengku Hariz merupakan jawapan
yang terbaik bagi setiap kesilapan dan kesalahannya itu.
“Awak nak ke mana?” tegur Tengku Hariz
dengan tiba-tiba membuatkan Aisya terkejut.
Kush semangat! Nasib baiklah aku tak
ada penyakit jantung, kalau ada masuk IJNlah aku. Tak reti bagi salam apa mamat
ni, marahnya di dalam hati. Aisya tidak mempedulikan akan kehadiran Tengku
Hariz, malah dia menumpukan sepenuh perhatian untuk mencari sebuah teksi.
Tengku Hariz memerhatikan sahaja gelagat Aisya.
“Mari!!” arah Tengku Hariz keras.
Aisya membatu. Tidak ada selera untuk
memandang Tengku Hariz. Arahan Tengku Hariz dibiarkan sepi. Tak kuasa aku nak
layannya, cebik Aisya.
Tengku Hariz rasa tercabar dengan sikap
Aisya yang degil dan keras hati. Lantas dia menarik tangan dan membawa Aisya ke
parking kereta yang berada tidak jauh
dari tempat mereka berdiri.
“Apa masalah Tengku ni?” Marah Aisya
sambil matanya bulat memandang Tengku Hariz. Sakit hatinya diperlakukan
sebegitu oleh Tengku Hariz. Dia menarik tangannya dari pegangan Tengku Hariz.
Tengku Hariz memberhentikan langkahnya.
Dia cuba bersabar dengan perangai dan sikap dingin Aisya. Kalau diikutkan hati,
mahu saja dia menampar Aisya. Tetapi apakan dayanya untuk berbuat begitu. Aisya
telah berjaya mencuri hatinya. Mungkin Aisya pemilik kunci hatinya itu.
“Boleh tak awak jangan bersikap dingin
dengan saya Aisya,” geram Tengku Hariz sambil menggenggam erat tangannya.
Eh! Bila masa pulak aku dingin dengan
dia ni. Dia yang dingin and suka
marah-marahkan aku disebabkan perkara kecil. Siapa dingin siapa ni, kutuk
Aisya.
“Awak nak ambil balik fail tu kan? Mari
saya hantarkan awak, jangan berdegil!” tegas Tengku Hariz. Dia membuka pintu
kereta, memberi isyarat masuk kepada Aisya. Gentleman
juga Tengku Hariz ni walaupun masih dalam keadaan yang marah.
Aisya terpaksa akur. Ada benarnya
kata-kata Tengku Hariz sebentar tadi. Jika dia masih menunggu teksi, entah bila
dia akan sampai ke rumah memandangkan masa berbaki 1 jam 45 minit.
Tengku Hariz menumpukan sepenuh perhatian
kepada pemanduan. Sesekali dia melirik ke arah Aisya yang masih tunduk membisu
sejak mereka berdua bersama di dalam kereta. Bagaikan terkunci mulut Aisya
untuk berkata-kata. Sesekali dilemparkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak
mahu bertentang mata mahupun berbual-bual dengan Tengku Hariz. Hanya bunyian
dari corong radio sahaja peneman kesunyian mereka berdua.
Aisya menghulurkan fail yang di
ambilnya dari rumah kepada Tengku Hariz. Tengku Hariz mencapainya lalu
diletakkan di belakang tempat duduk yang tidak berpenghuni. Sepanjang
perjalanan pergi dan balik, Aisya banyak membisu dari berkata-kata. Panjang
yang ditanya oleh Tengku Hariz, sepatah yang dijawab oleh Aisya. Tengku Hariz
menyedari akan kedinginan sikap Aisya terhadapnya.
“Sorry!” ucap Tengku Hariz tiba-tiba mematikan
kesunyian di antara mereka berdua.
Aisya masih lagi membisu. Kata-kata
Tengku Hariz tidak diendahkan. Bagi Aisya, kata-kata Tengku Hariz hanya sekadar
untuk menyembunyikan perlakuannya yang sebenar. Mana mungkin lelaki seego
Tengku Hariz akan melafazkan kata-kata maaf kepada orang yang tidak sama taraf
dengannya. Jangan percaya sangat Aisya! Aisya mengingatkan dirinya sendiri.
“Saya juga nak minta maaf dengan apa
yang telah saya lakukan pada awak malam tu,” sambung Tengku Hariz lagi.
Aisya memandang tepat ke wajah Tengku
Hariz yang masih lagi khusyuk dengan pemanduaan. Betul ke ikhlas, atau saja aje
nak ambil hati aku. Blahlah! soal
Aisya di ikuti dengan kerutan di dahi.
“Awak ragui keikhlasan saya ke, Aisya?”
soal Tengku Hariz apabila menyedari akan kerutan di dahi Aisya.
Aisya tergamam. Alamak! Macam mana dia
boleh baca fikiran aku ni. Mesti dia pasang bomoh, kalau tak… takkan dia boleh
baca apa yang aku fikirkan. Entah-entah, benda tu ikut dia sekali kot. Aisya,
jangan pandang belakang! Jeritnya di dalam hati.
“Aisya!” panggil Tengku Hariz apabila
tiada tindak balas dari gadis itu.
Aisya tersentak dari lamunan.
“It’s
okey, Tengku. Saya dah lali dengan semua
tu. Tengku tak perlu risau. Selepas ni, hidup Tengku akan aman dan damai tanpa
gangguan emosi disebabkan saya lagi,” ulas Aisya berbasa-basi.
Tengku Hariz memberhentikan keretanya
dengan tiba-tiba. Tindakannya itu membuatkan kereta yang berada di belakang
turut sama menekan brek secara emergency.
“Astaghafirullahalazim!!
Kush semangat! Bawa kereta
elok-elok tak boleh ke, nasib baik tak accident,” marah Aisya sambil mengurut-urut
dadanya yang terasa kencang dengan tiba-tiba. “Saya tak cukup amalan lagi nak
bawa ke sana,” sambung Aisya sambil menjeling tajam ke arah Tengku Hariz yang
masih lagi berlagak selamba.
“What
do you mean, Aisya?”
soal Tengku Hariz dan membalas jelingan Aisya.
Jantung Aisya berdegup kencang melihatkan
jelingan Tengku Hariz. Dia berpura-pura tidak mendengar akan pertanyaan Tengku
Hariz walaupun dia sudah menyediakan jawapannya.
“Apa Tengku dah lupa notis berhenti
saya. Hari nikan hari terakhir saya bekerja dengan Tengku,” jawab Aisya dan membetulkan kedudukan
rambutnya yang agak berserabut.
Tengku Hariz menyambung semula
pemanduannya. Lidah bagaikan terasa kelu untuk berkata-kata. Dia hampir terlupa
dengan notis perletakan jawatan Aisya. Dia juga terlupa dengan niatnya yang
sebenar terhadap Aisya. Tiba-tiba datang akal bijaknya ke dalam kotak fikiran.
Akal yang membolehkan Aisya terus-terusan bekerja di syarikatnya. Dia
mengerling jam di tangan dan tersenyum lebar.
“Eh Tengku, kita nak ke mana ni?” soal
Aisya apabila menyedari Tengku Hariz tidak membelok ke arah jalan menuju ke
Menara Holding.
“Saya nak bawa awak ke suatu tempat.
Awak duduk diam dan jangan banyak tanya, faham!” arah Tengku Hariz spontan
sambil menoleh ke arah Aisya. Dia tersenyum melihat gelagat Aisya yang berasa
cemas dan gelisah.
Aisya mengerutkan dahi. Terasa
titik-titik peluh mulai membasahi ubun-ubun rambutnya.
“Don’t
worry Aisya.
Saya bukan seperti yang awak fikirkan,” sambung Tengku Hariz seperti mengerti
dengan apa yang difikirkan oleh Aisya waktu itu.
Aduh! Dia tahu aje apa yang aku
fikirkan. Malu aku. Oh! Lupa la pulak yang dia pakai benda. Hish! Jangan tegur
Aisya, jangan tegur, ngomel Aisya sendirian sambil membetulkan posisi duduknya.
Tengku Hariz sekadar tersenyum. Dia berharap rancangannya berjaya untuk membuatkan
Aisya bekerja lebih lama di syarikatnya itu.
“Tahniah Cik Aisya! Saya tugaskan awak
kendalikan projek ini,” ucap Tengku Razlan sambil menghulurkan tangan untuk
berjabat. Aisya membalasnya berserta dengan sebuah senyuman manis.
“Kenapa Tengku tak bentangkan sendiri
proposal tu, kenapa saya?” bisik Aisya ke telinga Tengku Hariz. Rasa gementar
masih lagi bersisa.
“Awak yang betulkan proposal tu, sudah
tentulah awak tahu akan isi kandungannya. Saya kan tak sempat nak membacanya.
Kalau saya yang terangkan, dibuatnya tunggang terbalik, siapa yang susah… saya
juga sebab tak dapat projek tu. Lagipun, siapa suruh awak bawa balik fail tu,
kan dah kena paksa dengan saya,” bebel Tengku Hariz diikuti dengan gelak
tawanya yang kecil.
Aisya tertunduk malu. Memang diakui
akan kesalahannya itu, tetapi itu tidak bermakna dia punya hak untuk bersuara
di dalam mesyuarat itu tadi. Kecut perut apabila Tengku Hariz memintanya
membentangkan proposal yang dibaiki
semalam di hadapan kesemua Ahli Lembaga Tunjang Holding.
“Kalau ya pun nak suruh saya
bentangkan, bagitaulah awal-awal… bolehlah saya pakai elok-elok sikit.
Tengoklah keadaan saya ni, serabutkan!” geram Aisya lagi sambil membelek
dirinya di hadapan Tengku Hariz tanpa segan silu.
Tengku Hariz memerhatikan penampilan
Aisya dari atas ke bawah. Hatinya tercuit seketika dengan tingkah laku manja
Aisya. Bagi Tengku Hariz tidak ada cacat celanya Aisya di matanya. Walau apa
sekali pun yang dipakaikan oleh Aisya, ianya masih lagi tampak cantik dan
manis.
“Awak pakai macam ni pun dah cantik
Aisya, saya suka,” puji Tengku Hariz sambil tersenyum memandang Aisya. Senyuman
yang menggetarkan hati Aisya waktu itu, manis dan menggoda.
Dengan tiba-tiba dada Aisya berdegup
kencang, mukanya terasa panas. Alamak! Apasal pulak dengan jantung aku ni,
tetiba pantas aje degupnya. Takkanlah dia baru senyum, aku dah cair kot. Ah
sudah, kena pergi check jantung ni.
Manalah taukan ada wayar yang tercabut dalam jantung aku ni. Silap hari bulan
masuk IJN pulak aku, Aisya bermonolog dan tersenyum sendiri.
Tengku Hariz yang sedari tadi leka
memerhatikan Aisya, tergelak kecil melihat rona merah yang jelas terpamer di
pipi Aisya. Entah mengapa begitu spontan dia mengeluarkan kata-kata itu
sebentar tadi. Ah! Sudah, kacau ni. Jeritnya di dalam hati.
“Hariz… Aisya…” panggil Tengku Razlan
dari arah belakang. Tengku Hariz dan Aisya seraya menoleh.
“Kenalkan Project Manager saya… Amirul Haqeem Bin Zulkifli. Amirul akan
bekerjasama dengan Cik Aisya mengendalikan projek di Sabak Bernam tu. So, saya harap kamu berdua dapat
bekerjasama dengan baik,” jelas Tengku Razlan.
Amirul melemparkan senyuman kepada
Aisya. Tidak disangka sama sekali yang dia bakal bekerjasama dengan Aisya,
rakan baiknya semasa di UK dahulu. Hatinya berbunga mekar. Mungkin dengan cara
ini, dia berpeluang mendekati Aisya dengan lebih dekat dan rapat lagi. Tidak
bagi Tengku Hariz, ini merupakan cabaran baginya untuk merebut hati Aisya.
“Berbuallah ya, saya minta diri dulu,”
sambung Tengku Razlan dan melangkah pergi menghilang di sebalik pintu. Aisya
hanya tersenyum, begitu juga Tengku Hariz dan Amirul.
“Nice
meeting you Cik Aisya. Hope kita
dapat bekerjasama dengan baik,” kata Amirul sambil menghulurkan tangan untuk
berjabat dan di balas oleh Aisya. Tengku Hariz yang berada di sisi Aisya di
kerlingnya. Mamat ni, macam pernah aku nampak. Tapi, kat mana ya? Soal Amirul
di dalam hati sambil dahinya berkerut cuba mengingati wajah lelaki yang berada
di sebelah Aisya.
“Ni…” suara Amirul sambil memberi
isyarat kepada Aisya.
“Oh ya, lupa Aisya nak kenalkan.
Amirul, kenalkan ni…..” terhenti apabila Tengku Hariz memotong kata-katanya.
“Tengku Hariz Iskandar Tengku Azman,
bos merangkap boyfriend Aisya,”
pintas Tengku Hariz selamba sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
Aisya terkejut dan mengangkat kening.
Matanya melirik tajam ke arah Tengku Hariz yang bermuka selamba. Terpamer riak
terkejut di wajah Amirul selepas Tengku Hariz memperkenalkan diri di
hadapannya. Aisya semakin tidak selesa. Eh, sejak bila pulak mamat sengal ni
jadi boyfriend aku. Angin tak ada,
ribut tak ada, sesuka hati mak bapak dia aje nak kata dia tu boyfriend aku. Jatuhlah saham aku depan
Amirul ni, gerutu Aisya sambil mencebik ke arah Tengku Hariz.
Tengku Hariz yang menyedari akan
perubahan di wajah Aisya, sengaja merapatkan badannya agar bersentuhan bahu
dengan Aisya. Tangan Aisya digenggam erat. Hampir terjerit Aisya dibuatnya
dengan tindakan berani Tengku Hariz itu. Ni dah lebih ni. Kang ada yang makan
penampar aku ni, marahnya pula.
“Err… Amirul, jom kita ke sana! Aisya
ada benda nak tanya Amirul.” Aisya melepaskan genggaman Tengku Hariz dan
menarik tangan Amirul untuk beredar dari situ. Amirul hanya menuruti langkah
Aisya yang membawanya ke suatu sudut yang agak jauh dari pandangan orang.
“Sorry
Amirul. Tengku Hariz tu bos Aisya dan bukannya boyfriend Aisya. Suka hati dia aje nak kata dia tu boyfriend kita. Buang tebiat apa,
perasan betul!” marah Aisya sambil menjeling tajam ke arah Tengku Hariz yang
sedang berbual bersama beberapa kenalan. Tengku Hariz yang menyedari akan
jelingan Aisya, hanya mengenyitkan mata dan menghadiahkan senyuman yang manis
kepadanya.
“Ee… geramnya. Perasaan betul la dia
tu,” gerutu Aisya geram dan marah.
Amirul tersenyum melihat Aisya. Dia
hairan dan pelik, kenapa Aisya perlu menjelaskan perkara itu sedangkan mereka
berdua hanyalah bersahabat baik.
“Hey Aisya, come on la. Amirul tak kata apa-apa pun kan!” ulas Amirul sambil
menepuk-nepuk perlahan tangan Aisya. Cuba mententeramkan perasaan Aisya yang
masih berkocak akibat menahan kemarahan terhadap Tengku Hariz.
“Aisya cuma tak nak Amirul fikir yang
bukan-bukan, itu aje.” Aisya menarik tangannya yang sedari tadi dipegang oleh
Amirul. Eh kejap. Asal pulak aku nak jelaskannya pada Amirul. Bukannya aku ada
apa-apa dengan dia pun. Kalutlah kau ni Aisya! Desisnya di dalam hati.
“It’s
okey Aisya! Don’t worry about it,” pujuk Amirul dengan sebuah senyuman
terukir di bibir.
Aisya mengangguk tanda faham. Hatinya
lega mendengar penjelasan Amirul. Dia tak nak Amirul salah faham. Sebentar tadi
dia rasa bersalah yang amat sangat melihat dari cara pandangan Amirul. Tidak
menyangka Tengku Hariz akan memperkenalkan diri sebagai bos merangkap boyfriend di hadapan Amirul. Bagi
Amirul, sudah tentulah dia terkejut. Dengan tiba-tiba sahaja Aisya sudah
mempunyai boyfriend sedangkan selama
dia mengenali Aisya, Aisya sukar didekati dan hati Aisya bagai tertutup rapat
untuk menerima cinta seorang lelaki.
Seketika itu, Amirul teringat di mana
dia berjumpa dengan Tengku Hariz. Ya, di pejabat Aisya sewaktu dia singgah di
pejabat itu untuk mengajak Aisya makan tengahari bersama. Ketika itu, Aisya
cuba melarikan diri daripada Tengku Hariz yang seakan mengganggu emosinya dan
jelas juga di wajah Aisya akan ketidaksenangan apabila berhadapan dengan Tengku
Hariz. Tetapi, hari ini amat berbeza. Aisya tersenyum manis apabila berdiri
bersebelahan dengan Tengku Hariz. Mungkinkah Aisya sudah jatuh cinta dengan
Tengku Hariz? Kemungkinan yang harus ditepis oleh Amirul ketika ini.
“Tak pasti Uncle. Abang tak bagitau pun pada Riz bila dia nak balik ke
Malaysia. Mungkin dia dah selesa tinggal kat sana,” tutur Tengku Hariz.
Sesekali matanya melirik ke arah Aisya dan Amirul yang masih lagi berbual mesra
di hujung sudut bilik itu. Ada perasaan cemburu di benaknya.
“Tak mengapalah Riz. Nanti Uncle bincangkan dengan papa Riz,” jawab
Tengku Razlan sebak.
Entah mengapa dengan tiba-tiba Tengku
Razlan bertanyakan pada Tengku Hariz soal abangnya. Mungkin Tengku Razlan ingin
membincangkan soal perkahwinan abangnya dengan Tengku Hanis Suraya. Kalau
diikutkan sudah hampir setahun setengah abangnya bertunang dengan Tengku Hanis
Suraya. Sudah tentulah Tengku Hanis Suraya ingin mempercepatkan perkahwinan
mereka. Siapa yang tidak bosan kalau ditunangkan lama-lama. Aku sendiri pun
bosan, getusnya di dalam hati.
“Kalau macam tu, Riz balik dulu Uncle. Thanks sebab bagi projek tu pada company Riz. Insya-ALLAH, Riz akan buat yang terbaik untuk projek
ini.” Azamnya di hadapan Tengku Razlan.
Tengku Razlan mengangguk sambil menepuk
bahu anak rakan businessnya itu,
Tengku Hariz.
“Mari Aisya, saya hantarkan awak
balik!” suara Tengku Hariz tiba-tiba mematikan perbualan Aisya dan Amirul.
“Eh, tak mengapalah Tengku. Nanti I
hantarkan Aisya balik,” pelawa Amirul. Pandangannya beralih kepada Aisya yang
masih lagi diam membisu.
“I datang dengan dia tadi, jadi I lah
yang kena hantar dia balik.” bentak Tengku Hariz keras dan tegas. Aisya yang
sudah tidak senang duduk memandang sekilas ke wajah bosnya, tegang menahan
kemarahan. Seminit kemudian, Tengku Hariz berlalu pergi dari situ.
“Tak mengapalah Amirul. Tadi Aisya
datang dengan bos, so ada baiknya
Aisya balik dengan bos. Maafkan Aisya, Aisya balik dulu.” Aisya bingkas bangun
dan berlari anak mengejar Tengku Hariz yang sudah pun berjalan meninggalkannya
di belakang. Terkocoh-kocoh Aisya mengejar langkah Tengku Hariz kerana
dikhuatiri akan dimarahi oleh Tengku Hariz kelak.
Amirul memerhati dari jauh sehingga
kelibat Aisya hilang dari pandangan mata. Hatinya marah dengan tindakan Tengku
Hariz yang memaksa Aisya. Apa hak dia untuk memaksa Aisya pada perkara yang
Aisya sendiri tidak suka dan benci.
“Cepat sikit!” jerit Tengku Hariz dari
tempat letak kereta.
Aisya mempercepatkan langkahnya. Tengku
Hariz yang memerhatikan Aisya dari jauh mendengus keras. Dia menghidupkan enjin
dan menunggu Aisya dari dalam kereta. Aisya segera memboloskan diri masuk ke
dalam kereta. Seminit kemudian, kereta meluncur laju membelah jalan raya yang
penuh sesak setiap hari.
Aisya melemparkan pandangan ke luar
tingkap. Masing-masing melayan perasaan yang terbuku di dalam hati. Entah
mengapa berat mulut Aisya untuk berkata-kata sewaktu dia bersama Tengku Hariz,
tidak seperti dia bersama Amirul, ada saja perkara yang hendak dibualkan. Ya,
ya… aku tahu Amirul tu dah lama kenal sedangkan bos, baru 2 bulan kenal.
Mestilah ada perbezaannya. Apalah kau ni Aisya, benda simple pun kau nak fikirkan, monolognya di dalam hati.
“Mesra nampak,” ujar Tengku Hariz
tiba-tiba memecahkan kesunyian.
“Mesra?” ulang Aisya sambil matanya
dikecilkan. “Oh! Saya dengan Encik Amirul, begitu?” sambung Aisya sambil
menoleh ke arah Tengku Hariz. Wajah Tengku Hariz diperhatikan. Erm… handsome jugak mamat perasan ni. Cukup
sempurna di mata sesiapa yang memandangnya, bisik Aisya.
Tengku Hariz tidak selesa di perhatikan
begitu. Pantas jari telunjuknya menukar siaran di radio. Gugup!!
“Saya dengan Encik Amirul dah lama
kenal, sejak kami belajar bersama di UK lagi. Dia banyak bantu saya dalam assignment dan belajar. Bila saya ada
masalah, dialah tempat untuk saya meluahkan perasaan. Dia seorang yang baik,
kacak, segak, bijak dan beriman. Kalau nak dijadikan calon suami, memang layak
sangatlah sebab serba-serbinya dia tahu.” Lancar betul mulut Aisya bercerita
mengenai Amirul kepada Tengku Hariz, namun Tengku Hariz amat tidak menyenanginya.
Baik? Kacak? Segak? Bijak? Eh, semua tu
aku adalah, malah aku lagi bagus dari dia tu. Tapi cuma satu aje yang aku tak
setanding dia, iman. Ya, Iman… sejak dari kecil lagi, papa dan mama aku tidak
pernah mengajar aku soal agama. Mujurlah ada Mak Kiah yang tidak putus-putus
mengajar aku mengaji dan bersholat, suara Tengku Hariz di dalam hati sambil
pandangannya dilepaskan terus ke hadapan.
“Lagi satukan Tengku, Encik Amirul tu
dah lama sukakan saya, entah sebab apa ntah dia boleh suka kat saya, pelikkan!”
sambung Aisya sambil meletakkan jarinya di bawah bibir seperti orang yang
sedang berfikir. Comel!
“Nak kata saya ni cantik, tak adalah la
pulak, cantik lagi kucing parsi saya
yang kat rumah tu. Kaya, lagilah… apalah yang ada kat saya… yang ada basikal
buruk kat kampung tu, satu-satunya harta peninggalan arwah abah saya. Dan yang
ni saya memang sure gilalah, semua
lelaki takut mendengarnya malah ada yang akan kata ‘selisih malaikat 44’… saya
nikan, jan….” Kata-katanya terhenti apabila terdengar gelak kecil dari arah
Tengku Hariz.
Alamak! Asal aku ni jujur sangat ngan
dia ni. Tak pasal-pasal nanti dia tahu siapa aku, parah ni, gerutu Aisya geram
sambil menepuk dahinya sendiri. Tengku Hariz tergelak kecil dengan perlakuan
Aisya sebentar tadi.
“Awak apa?” suara Tengku Hariz ingin
tahu sambil mengerling sekilas ke arah Aisya.
Aisya diam membisu seketika. Mulutnya
terasa terkunci untuk berkata-kata. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu akan
statusnya itu, ‘janda’. Ya, janda. Status yang sudah enam tahun dipegangnya.
Dia bukan malu untuk mengakuinya, cuma dia tidak suka orang memandang rendah
kepadanya disebabkan status itu. Eh, ok apa janda… bukan senang nak dapat
gelaran janda meletup, glamour gitu,
bisiknya dan tersenyum panjang.
“Awak apa, Aisya?” soal Tengku Hariz
lagi mematikan lamunan Aisya.
Aisya tersengih.
“Eh, tak ada apa-apalah Tengku. Lama
lagi ke nak sampai?” soal Aisya pula. Ingin mengelak dari menjawab soalan yang
diajukan oleh Tengku Hariz itu.
“Kita balik office dulu, lepas tu saya hantar awak balik,” putus Tengku Hariz
sambil membelok kereta di simpang masuk ke bangunan Menara Holding.
Aisya mengangguk dan hanya mampu
tersenyum.
Aisya melepaskan keluhan kecil sambil
langkahnya dihala ke tempat lif. Entah mengapa dia boleh bersikap jujur di
hadapan Tengku Hariz tetapi tidak di depan Amirul. Entah mengapa juga dia
dengan selamba bercerita mengenai Amirul dan juga dirinya. Entah mengapa
jugalah dia excited sangat nak
bercerita panjang lebar dengan si ‘mamat perasan bagus’ yang dipanggilnya sejak
mula dia bekerja di syarikat Menara Holding. Aduh! Kenapalah aku ni jujur
sangat? Nasib baik aku pandai cover line
bila dia tanya tadi, kalau tak… macam mana aku nak mengelak dari jawab soalan
dia tu, bisik Aisya dengan nada yang kesal. Kenapa dengan aku ni? Rintihnya
lagi.
Tengku Hariz mengekori Aisya dari
belakang. Dia menyedari akan perubahan wajah Aisya sedari turun kereta
sehinggalah memasuki lif. Riak gelisah jelas terpamer di wajah Aisya. Dahi
Aisya sentiasa berkerut seperti ada perkara yang sedang mengganggu fikirannya
ketika itu. Adakah semua itu disebabkan Amirul? Benarkah apa yang dikatakan
oleh Aisya sebentar tadi mengenai Amirul, perasaan Amirul terhadap Aisya. Jika
benar, kenapa Aisya tidak menerima cinta Amirul? Bukankah tadi dia memuji-muji
lelaki itu. Baik la, kacak la, segak la dan bla… bla… bla… geli isi perut aku
mendengarnya, ejek Tengku Hariz di dalam hati. Hisy!! Sejak bila pulak aku
pandai melawak ni, gerutunya pula. Aisya… Aisya, apa yang kau cuba rahsiakan
dari aku. Cuba kau luahkan, aku sedia mendengarnya. Fuyoo, jiwang karat pulak
aku ni, bisik Tengku Hariz sambil tersenyum.
“Shit!! Time nilah dia
nak rosak!” marah Tengku Hariz sekali gus mematikan lamunannya sedari tadi.
Pantas dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar slacknya. Dengan berpandukan cahaya
lampu dari telefon bimbit, Tengku Hariz menghala ke sudut tepi lif untuk
menekan butang loceng kecemasan.
“Abah, Aisya takut! Aisya takut!”
Terkumat-kamit mulut Aisya menyebutnya sambil memeluk kedua-dua belah kakinya.
Air mata tidak sempat diseka, lalu membasahi pipi akibat ketakutan yang amat
sangat. Badannya menggigil kesejukan, menahan ketakutan sepertimana sewaktu dia
terkurung di dalam bilik stor semalaman di sekolah suatu ketika dulu. Mujurlah
kawan baiknya Jamilah memberitahu arwah Ahmad Nordin akan kehilangannya di
sekolah. Arwah segera datang ke sekolah mencarinya. Ketika ditemui, dia hampir
pengsan akibat kekurangan udara bernafas dan arwah juga yang membawanya ke
hospital. Tidak putus-putus arwah memanggil dan menyebut namanya sambil
mengusap-usap pipinya ketika itu. Pelukan erat arwah menggamit kerinduannya
ketika ini.
“Aisya!!” panggil Tengku Hariz. Telefon
bimbit dihalakan ke arah Aisya yang sudah terduduk sambil memeluk kedua-dua
belah kakinya. Pipinya lencun disebabkan air mata yang tidak putus-putus
mengalir. Tengku Hariz segera mendapatkan Aisya.
“Jangan tinggalkan Aisya, Aisya takut!”
rayu Aisya sambil memeluk Tengku Hariz.
Tengku Hariz tergamam seketika. Dengan
perlahan-lahan dia membalas pelukan Aisya sambil tangannya mengusap-usap pipi
Aisya yang sudah lencun akibat menangis.
“Tidak Aisya, Hariz takkan tinggalkan
Aisya buat selama-lamanya. Percayalah!” suara Tengku Hariz lembut cuba memujuk
Aisya yang masih lagi dalam ketakutan. Aisya mengemaskan lagi pelukannya. Dia
dapat merasakan seolah-olah arwah abahnya berada di dalam dakapan itu. Selesa
dan tenang. Semangatnya pulih, segala ketakutan di buang jauh-jauh.
“Ya ALLAH! Maafkan saya Tengku. Saya
tak sengaja,” ujar Aisya teketar-ketar. Dia melepaskan pelukan dari tubuh sasa
Tengku Hariz apabila menyedari lampu lif sudah berfungsi. Bingkas dia bangun
dan membetulkan keadaannya yang sedikit kusut. Air mata yang tertinggal di
kelopak mata diseka dengan hujung jari
sahaja.
Tengku Hariz segera bangun. Dia
memasukkan semula telefon bimbit ke dalam poket seluar slacknya. Dia cuba untuk berlagak biasa tetapi matanya tidak dapat
mengelak dari memandang wajah Aisya yang redup dan tenang.
“Saya….” Terhenti.
Terasa merona merah mukanya waktu itu.
Aduh! Macam mana aku nak cakap ni. Apasal la aku boleh terpeluk dia pulak tadi
tu. Nasib baik tak ada orang, kalau ada… malu aku dibuatnya, gerutu Aisya di
dalam hati sambil cuba melemparkan senyuman kepada Tengku Hariz. Senyuman yang
dipaksa-paksa.
“It’s
okey Aisya. I don't mind if you want to hug me again!” bisik Tengku Hariz ke telinga Aisya
dan melangkah keluar dari dalam perut lif selepas pintu lif terbuka.
Bagaikan halilintar sedang memanah
telinga Aisya waktu itu. Eh! Bukan panah jantung ke? Ahh!! Gasaklah. Jantung ke
telinga ke, sama aje bagi aku di waktu darurat ni. Asal pulak dengan jantung
aku ni. Memang kena masuk IJN ni. Mesti ada yang dah longgar dalam jantung aku
ni. Asyik berdegup kencang aje, guraunya di dalam hati.
“Aleeya!” Terpacul nama itu sebaik
sahaja Tengku Hariz menguak pintu biliknya. “You buat apa kat sini?” soal
Tengku Hariz seraya membuka blazer dan
dihumbankan ke atas sofa. Dia melabuhkan duduk ke kerusi empuknya.
“You tak suka ke I datang sini?” soal
Sharifah Aleeya sambil menjeling ke arah Tengku Hariz.
“Eh, mana ada. Bila masa pulak I tak
suka you datang sini, suka apa. Cuma, apa sebab you datang ke sini, itu soalan
I sebenarnya,” dalih Tengku Hariz. Dia menyandarkan kepala ke kerusi. Cuba
menghilangkan rasa keletihan sedari pagi tadi. Matanya dipejamkan buat seketika
waktu.
Sharifah Aleeya melangkah menghampiri
kerusi Tengku Hariz. Majalah yang dibaca sedari tadi, diletakkan di atas meja
Tengku Hariz.
“Riz, papa ajak you sekeluarga makan
kat rumah malam ni. Dia nak bincangkan hal pertunangan kita,” ujar Sharifah
Aleeya sambil tangannya memainkan peranan memicit kepala Tengku Hariz.
Tengku Hariz segera membuka matanya,
terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh Sharifah Aleeya. Dengan pantas dia
menepis tangan Sharifah Aleeya dan bingkas bangun menuju ke sofa. Sharifah
Aleeya tersentak dengan perlakuan Tengku Hariz. Namun dia tetap mengekori
Tengku Hariz menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ.
“Riz, you dengar tak apa yang I katakan
tadi,” rengek Sharifah Aleeya manja sambil tangannya memaut erat lengan Tengku
Hariz.
Tengku Hariz diam membatu. Otaknya
ketika itu tidak dapat berfungsi dengan betul, mati dengan tiba-tiba. Jika
boleh di belah, mahu saja dia membelah otaknya. Dibuang segala isi dalam
mengenai Sharifah Aleeya dan digantikan dengan Aisya Lyana Sofea, insan yang
semakin mendapat tempat di hatinya.
“Ehem…” deheman Sharifah Aleeya
membawanya ke alam realiti. Sekilas itu dia menoleh ke arah Sharifah Aleeya
yang setia menanti jawapan darinya.
“Insya-ALLAH, I akan bagitau papa,”
jawab Tengku Hariz dan memejamkan matanya semula. Dia membiarkan lengannya
dipaut erat oleh Sharifah Aleeya. Tidak ada mood
untuk bergaduh mahupun berbalah dengan Sharifah Aleeya.
“Masuk!” Arah Tengku Hariz tatkala
terdengar pintu biliknya diketuk seseorang.
“Maafkan saya kalau mengganggu. Saya
nak serahkan briefcase Tengku yang
tertinggal di luar tadi. Kalau tidak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.”
Teratur sekali ayat yang dikeluarkan dari mulut Aisya. Dia cuba menahan diri
agar tidak cepat melatah dengan apa yang dilihatnya itu.
Tengku Hariz membuka mata. Wajah Aisya
terbias di ruangan mata. Lantas dia melepaskan pegangan Sharifah Aleeya dan
bangun menuju ke arah Aisya yang sedang menantikan arahan darinya. Sharifah
Aleeya tersentak lagi dengan perlakuan Tengku Hariz. Malu apabila diperlakukan
sebegitu, lebih-lebih lagi di hadapan pekerja bawahan Tengku Hariz. Terasa
tegang di wajahnya menahan marah dan geram. Malunya beb!!
“Thanks. Awak balik dengan apa?” tanya Tengku
Hariz sambil menyambut briefcase dari
tangan Aisya. Briefcase bertukar
tangan.
“Naik teksi.” Spontan saja Aisya
menjawabnya. Dia cuba untuk berlagak tenang walaupun ketika itu dia dapat
merasakan ada sesuatu perasaan yang berlainan dari lubuk hatinya. Cemburu!! Ah,
tak mungkin aku cemburu. Bukan ada perasaan apa-apa pun kat mamat ni, Aisya
berperang dengan hatinya sendiri.
“Saya hantarkan,” pelawa Tengku Hariz
sekali gus mengejutkan Sharifah Aleeya. Sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati
di antara Tengku Hariz dan pekerja bawahan itu. Mukanya merah menahan kemarahan
yang amat sangat.
“Eh, tak mengapalah Tengku. Saya boleh
balik sendiri. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” tutur Aisya
dan segera beredar dari bilik yang menyesakkan nafasnya sedari dulu lagi.
Tengku Hariz memerhati Aisya
sehinggalah kelibat itu hilang di sebalik pintu bilik. Dia melepaskan keluhan
kecil dan meraup muka berkali-kali. Ingatannya ligat memikirkan Aisya.
“Sejak bila pulak you baik sangat
dengan pekerja ni, siap nak tolong hantarkan balik lagi tu,” perli Sharifah
Aleeya diikuti dengan jelingan tajam ke arah Tengku Hariz.
“Dah lah, jom kita balik!” putus Tengku
Hariz. Malas untuk bertekak dengan Sharifah Aleeya dalam keadaan yang resah dan
gelisah memikirkan perasaannya terhadap Aisya.
Sharifah Aleeya mencebikkan bibir
sahaja. Dia menuruti langkah Tengku Hariz yang sudah pun jauh meninggalkannya.
Dalam masa yang sama, Sharifah Aleeya cuba mengingati wajah pekerja bawahan
Tengku Hariz. Seolah-olah dia mengenali wajah gadis itu. Ah! Buat apa aku
fikirkan minah tu, buat sakit kepala aje, desis Sharifah Aleeya.
urm igt jadi dah berhenti kerja, er kesian gan amirul klo aisya tak terima dia. huhuhu
BalasPadamhuhu..mmg kesian..tp nanti ada bahagianya buat Amirul.. :)
BalasPadambestla...sweet
BalasPadamthanks di atas komennya... sy pn tersenyum sendiri bila baca bab ni... ;)
BalasPadam