BAB
7
“Ada apa Tengku?” soal Aisya setibanya
di dalam bilik Tengku Hariz.
Tengku Hariz menyelak helaian kertas
satu persatu laporan yang disediakan oleh Aisya tanpa mempedulikan persoalan
dan kehadiran Aisya di dalam bilik itu.
“Tengku panggil saya kenapa?” ulang
Aisya semula apabila menyedari tiada tindak balas dari Tengku Hariz. Eee…
geramnya aku! Bentaknya di dalam hati.
Tengku Hariz mengangkat muka apabila
terdengar dengusan kecil dari arah Aisya. Ternyata Aisya sedang cuba menahan
kemarahan. Seperti dirinya juga, turut sama menahan kemarahan selepas apa yang
dilihatnya di restoran seminggu yang lalu. Aisya bersama dengan seorang lelaki!
Kenyataan yang tidak dapat diterima. Ah! Kenapa aku tiba-tiba cemburu dengan
lelaki itu? Kenapa aku berperasaan begini sedangkan baru sebulan dia bekerja di
sini? Aku baru saja mengenalinya, tetapi seolah-olah aku sudah lama mengenalinya.
Aduh! Adakah aku sudah jatuh cinta padanya? Teka Tengku Hariz. Ah! Tak mungkin
aku boleh jatuh cinta pada perempuan seperti dia, tepis hatinya keras. Cuba
menafikan dengan apa yang dirasakannya terhadap Aisya.
“Tengku panggil saya kenapa? Jika tiada
apa-apa, saya minta diri dulu,” geram Aisya sekali gus menepis lamunan Tengku
Hariz. Terkebil-kebil dia melihat Aisya. Seketika tadi hatinya sedang berbunga
riang tatkala memikirkan tentang Aisya.
Aisya memulakan langkah untuk segera
keluar dari bilik itu. Bilik yang amat menyesakkan nafasnya selama dia bekerja
di situ.
“Nanti dulu!” panggil Tengku Hariz
mematikan langkah Aisya.
Aisya melepaskan keluhan kecil sambil
memandang Tengku Hariz yang masih berlegar-legar jalan di hadapannya itu. Dia
kurang selesa tatkala Tengku Hariz memandang tajam ke arahnya serta
memerhatikannya dari atas ke bawah.
“Apa masalah dengan awak ni Aisya? Awak
marahkan saya?” suara Tengku Hariz ingin mengungkai sikap dingin Aisya
terhadapnya selama ini.
Huh! Aku yang bermasalah atau dia yang
bermasalah, kutuk Aisya di dalam hati.
“Masalah? Masalah apa?” Aisya
memulangkan soalan kepada Tengku Hariz semula.
Tengku Hariz cuba berlagak tenang di
hadapan Aisya. Dia tidak mahu di anggap lemah apabila berhadapan dengan
perempuan yang telah berjaya mencuri hatinya yang selama ini dipagari kemas
olehnya.
“Awak…..” tersekat-sekat Tengku Hariz
meluahkannya.
“Tengku, saya ada banyak kerja yang
perlu saya siapkan. Saya juga yang akan dimarahi oleh Tengku jika saya tak
menyiapkannya dengan cepat,” potong Aisya dan segera berlalu pergi meninggalkan
Tengku Hariz yang masih lagi termati kata-kata.
Tengku Hariz tergamam dengan tindakan
Aisya. Matanya mengekori kelibat Aisya hingga hilang di sebalik pintu bilik
itu.
“Ish!! Menyusahkan betullah dengan dia
tu. Buang masa betul pergi jumpa dia. Meluat betul aku. Nasib baik kau bos aku,
kalau tak… nahas kau aku marahkan!” kutuk Aisya dari dalam benak hati yang dari
tadi ditahan-tahan.
“Aisya, apa yang Aisya bebelkan tu?”
sapa Nurul dengan tiba-tiba apabila terlihat mulut Aisya terkumat-kamit seperti menyumpahkan
seseorang.
“Eh, mana ada kak,” bidas Aisya
spontan.
“Ala, macamlah akak tak nampak. Bos nak
ngorat Aisya kan,” gurau Nurul sambil menyiku lengan Aisya. Aisya mengerling ke
arah Nurul. “Apa salahnya Aisya. Bos tukan kaya, handsome, baik dan lain-lain lagi menjadi idaman semua wanita di
Kuala Lumpur ni termasuklah akak. Kalau akak belum kahwin, dah lama dah akak
ngorat bos tu tau,” sambung Nurul diselangi dengan gelak tawanya yang
bersahaja.
What? Handsome?
Baik? Kaya? Wuekk!! Nak termuntah aku mendengarnya. Aku tak pandang la semua
tu. Lagipun dia bukan taste aku, nafi
Aisya untuk cuba menidakkan kenyataan Nurul sebentar tadi.
“Woit!! Menung pulak budak ni. Jom kita
kuar makan!” sergah Nurul mematikan penafian Aisya. Dia mengerling jam di
tangan, ternyata jarum sudah pun menghampiri ke angka satu petang.
“Tak pelah kak, saya ada bawa bekal,”
tolak Aisya lembut. Nurul hanya mengangguk dan meninggalkan Aisya yang masih
lagi mengadap komputer menaip sesuatu.
Aisya khusyuk menikmati makanan yang
dimasaknya pagi tadi. Dia juga membekalkan Nadia bekalan yang sama walaupun
dikutuk hebat oleh rakan baiknya itu. Dia tersenyum sendiri mengingati
peristiwa pagi tadi. Semahu-mahunya Nadia cuba menolak kerana menganggap
perbuatan itu seperti kebudak-budakkan dan memalukan. Tetapi setelah dipujuk
dan dirayu, barulah Nadia bersetuju untuk membawa bekalan itu.
“Kenapa tak keluar makan?” tegur
seseorang menghalau lamunan Aisya. Riak di wajah berubah serta merta apabila
terpandangkan Tengku Hariz. Selera makannya terhenti dengan tiba-tiba.
“Malas.” Hanya sepatah ayat yang keluar
dari mulut Aisya.
Tengku Hariz mengangkat kening, tidak
suka dengan layanan Aisya terhadapnya.
“Erm… awak masak ke? Boleh saya rasa?”
ujar Tengku Hariz lagi. Sekadar mengambil hati Aisya. Matanya tertancap ke
bekas makanan Aisya.
Eh mamat ni, asal baik sangat ngan aku
ni. Buang tebiat apa. Suka hati mak bapak dia aje nak rasa masakan aku, bebel
Aisya di dalam hati sambil matanya memandang ke arah lain.
Tengku Hariz menyedari akan kedinginan
Aisya. Dia tergelak kecil kerana tidak tahan melihat gelagat Aisya yang cuba
melarikan pandangan dari memandang ke arahnya sedari tadi lagi.
Aisya mengerutkan dahi apabila
terdengar ketawa kecil Tengku Hariz. Pandangannya dikalihkan ke wajah Tengku
Hariz. Seminit kemudian, dia melarikan pandangan apabila secara tidak sengaja
bertemu mata dengan Tengku Hariz. Jantungnya berdegup kencang disebabkan
situasi sebentar tadi.
“Hai Aisya!” tegur seseorang mematikan
tingkah mereka berdua.
“Eh Amirul, Amirul buat apa kat sini?”
tanya Aisya terkejut seraya bangun dan melangkah menghampiri Amirul yang sedang
berdiri berhampiran pintu utama.
Tengku Hariz terkejut dengan kehadiran
lelaki itu. Dia cuba untuk mengingati wajah lelaki itu. Jika dia tidak silap,
dia pernah terserempak dengan lelaki itu sebelum ini.
“Kebetulan Amirul ada meeting berhampiran dengan bangunan ni
tadi, so Amirul singgah la kejap kat
sini. Nasib baik Aisya ada, takut jugak tadi kalau-kalau Aisya keluar pergi
makan. Aisya dah makan ya, Amirul baru nak ajak Aisya lunch,” jelas Amirul sambil matanya tertancap ke bekas makanan
Aisya yang masih berbaki.
“Err… memang Aisya dah makan. Tapi, tak
mengapalah… Aisya temankan Amirul makan. Jom!” balas Aisya dan menarik lengan
Amirul agar segera beredar dari ruangan itu. Amirul menuruti langkah Aisya,
sempat juga dia melemparkan sebuah senyuman buat Tengku Hariz yang dari tadi
diam membisu.
Tengku Hariz mengetap bibir, menahan
marah dan geram dengan tindakan Aisya. Kenapa Aisya begitu mesra dengan lelaki
itu? Kenapa Aisya bersikap dingin dengannya? Apa hubungan mereka berdua?
Kesemua soalan itu dihalakan ke dalam kotak fikirannya yang masih memerlukan
jawapan dari Aisya.
“Thanks!” ucap Aisya sambil meneguk segelas
limau ais.
“Thanks?
For what?” ulang
Amirul kehairanan.
Aisya hanya tersenyum.
“Aisya!!” desak Amirul.
“Sebab Amirul larikan Aisya dari orang
gila tu tadi,” ujar Aisya spontan disertai dengan ketawa kecil. Geli hati
melihat raut wajah Tengku Hariz sebentar tadi. Kelat!!
“Orang gila?” ulang Amirul kurang
faham. Dia memandang tepat ke wajah Aisya dan menginginkan jawapan. Siapa yang
Aisya maksudkan?
“Dahlah… tak payah difikirkan sangat.
Anggap aje perkara tadi tak pernah terjadi, okey!”
sambung Aisya. Cuba menghilangkan rasa sangsi Amirul.
Amirul semakin tidak mengerti dan faham
akan sikap dan perangai Aisya, berubah-ubah mengikut musim. Sekejap sejuk…
sekejap tu panas… sekejap musim bunga pula dan sekejap musim luruh sama seperti
hatinya juga. Ya, memang tidak dinafikan Aisya sebegitu orangnya. Tetapi, cuma certain-certain part sahaja Aisya akan
berkelakuan sebegitu. Amirul masih ingat lagi ketika di UK dulu, Aisya
berperangai seperti tadi apabila seorang junior
cuba meluahkan perasaan kepada Aisya. Aisya yang ingin lari dari situasi itu
telah meminta Amirul menyamar menjadi teman lelaki Aisya. Berharap junior itu kecewa dan tidak mengganggu
Aisya lagi.
Tapi, siapa lelaki tadi? Yang sama-sama
berada di sisi Aisya. Bos dia atau kekasihnya? Persoalan itu dimatikan oleh
Amirul begitu saja dan menumpukan semula perhatian kepada pemanduan. Dia ingin
menepis segala kemungkinan terhadap lelaki itu tadi. Untuk menyedapkan hati
sendiri, dia beranggapan lelaki tadi adalah bos Aisya. Ah! Mustahil Aisya tidak
akan terpikat dengan ketampanan lelaki itu tadi. Pandangan dan lirikan mata
lelaki itu terhadap Aisya, sudah pun memberitahu bahawa lelaki itu punya
perasaan terhadap Aisya. Aisya cuba untuk menafikannya. Aisya! Kenapa hatimu
sekeras batu kelikir. Lembutkanlah hatinya Ya ALLAH, bisik Amirul di dalam hati
diikuti dengan sebuah keluhan berat.
“Aisya cepat, bos cari tu,” kalut Nurul
tatkala melihat kelibat Aisya masuk ke dalam pejabat. Aisya memandang jam di
tangan, masih berbaki 10 minit waktu rehatnya.
“Aduh! Apa masalah dengan dia tu. Tak
habis-habislah nak menyusahkan orang,” rungut Aisya sambil mengurut kecil bahu
yang terasa sakit.
“Ish! Tak baik tau cakap macam tu,
diakan bos kita,” tegur Nurul keras.
Aisya mencebikkan bibir. Tidak
bersetuju dengan kata-kata Nurul. Lantas dia duduk dan mengemas mejanya yang
agak berselerak.
“Eh budak ni, boskan panggil Aisya...
kenapa tak pergi lagi?” tekan Nurul berupa arahan.
Aisya bermuka selamba. Tidak
mengendahkan arahan Nurul. Malah dia meneruskan kerja mengemasnya. Nurul di
sisi buat pandang tak pandang sahaja.
Nurul mengerutkan dahi. Semakin
mengenali Aisya, semakin pelik dia melihat perangai Aisya. Arahan Tengku Hariz
tidak diendahkan. Belum pernah ada sesiapa pun yang berani membantah perintah
atau arahan Tengku Hariz melainkan Aisya. Berani betul budak Aisya ni, kagum
Nurul sendirian.
“Dah pukul 2 kan!” suara Aisya tiba-tiba.
Nurul mengangguk.
“Masa untuk bekerja, baru boleh jumpa
bos,” perli Aisya dan melangkah jalan menuju ke bilik Tengku Hariz.
Nurul tertawa kecil. Barulah dia faham
kenapa Aisya tidak berganjak dari meja sedari tadi. Betul juga tindakan Aisya,
hanya satu jam sahaja waktu rehat mereka dan semolek-moleknya dipergunakan
waktu itu dengan betul dan bijak. Aku pun harus setegas Aisya, bisik Nurul dan
menyambung semula kerja yang tertangguh sebelum waktu rehat tadi.
Perasaan marahnya bagaikan gunung
berapi yang menunggu masa untuk meledakkan lavanya. Entah mengapa dia terasa
cemburu dengan kemesraan yang ditunjukkan Aisya terhadap lelaki itu. Dia
mundar-mandir di dalam bilik sejak tadi. Segala yang dilakukan menjadi serba
tak kena disebabkan Aisya. Dia melirik jam di tangan, 2.05 petang, namun
kelibat Aisya tidak juga muncul-muncul. Apakah Nurul tidak menyampaikan
pesanannya? Adakah Aisya masih belum pulang dari berjumpa dengan lelaki tadi?
Arghhh!!! Kenapa dengan aku ni? Jeritnya di dalam hati. Cuba menghalau
perasaannya terhadap Aisya.
“Ada apa Tengku panggil saya?” suara
Aisya tiba-tiba.
Tengku Hariz terkejut. Malah teguran
Aisya itu telah membuatkan dia hampir terjatuh akibat terlanggar kaki sofa yang
berada di situ. Terbeliak mata Aisya melihat keadaan Tengku Hariz itu. Dia
hampir tergelak namun di tahannya agar tidak terkeluar.
“Kenapa lambat?” soal Tengku Hariz
keras. Cuba berlagak selamba dengan kejadian yang hampir memalukan dirinya
sebentar tadi. Mukanya terasa merah disebabkan insiden yang tidak sengaja itu
tadi.
“Lambat? Maksud Tengku?” ulang Aisya
semula. Tidak mengerti akan soalan Tengku Hariz itu.
Tengku Hariz menarik nafas dan
melepaskannya. Dia membetulkan keadaan dirinya dan berjalan menghampiri Aisya.
Aisya setia menunggu. Dia memandang tepat
ke wajah Tengku Hariz yang masih lagi menahan malu. Jelas kelihatan rona merah
di pipi Tengku Hariz.
“Oh! Maksud Tengku, pesanan yang Tengku
tinggalkan pada Nurul sebentar tadi, begitu?” sambung Aisya pura-pura. Pada
dasarnya, dia sudah mengagak pertanyaan Tengku Hariz tadi.
Tengku Hariz mengangguk seraya
bersuara.
“Saya pantang kalau staf saya ingkar
dengan arahan saya. Awak melampaui batasan awak sebagai staf saya.” Ada nada
tegas dari suara Tengku Hariz.
Aisya hanya mendengar tanpa berkata
apa-apa. Dia hanya menunggu masa untuk membalas kata-kata Tengku Hariz. Macam
bagus sangat, cebik Aisya di dalam hati.
“Awak faham Aisya!” sambung Tengku
Hariz lagi melihatkan reaksi bersahaja Aisya.
“Tengku dah habis?” tanya Aisya
seakan-akan mengejek.
Tengku Hariz mengangkat kening, hairan
dengan pertanyaan Aisya. Belum ada mana-mana pekerja bawahan yang berani
menentang dan melawan arahannya melainkan Aisya.
“Kalau Tengku dah habis, saya keluar
dulu. Bila hati Tengku dah sejuk, baru panggil saya semula, okey!” sambung Aisya selamba dan membawa
tapak kakinya menuju ke muka pintu bilik.
Aisya malas nak bertekak dengan Tengku
Hariz disebabkan perkara yang tidak masuk dek akal. Bagi Aisya tidak seberapa
penting untuk dia menjelaskan akan kelewatannya itu. Malah tidak sedikit pun
dia melawan arahan Tengku Hariz. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu,
lengannya sudah direntap oleh Tengku Hariz dari arah belakang.
“Kalau awak nak bermesra dengan lelaki
lain, bukan dalam waktu kerja awak. Awak boleh buatnya selepas waktu kerja,”
lontar Tengku Hariz dari dalam hati yang sekian lama ditahan-tahan.
Berkerut dahi Aisya mendengarnya. Wajah
Tengku Hariz di tatap curiga.
“Excuse
me Tengku Hariz. For your information, saya lewat bukan disebabkan bermesra dengan
lelaki, berdating dengan lelaki, saya
sengaja lewat kerana waktu kerja saya bermula dari pukul 2. Jangan pandai
persoalkan waktu kerja orang lain jika diri sendiri pun tak betul. Kenapa
perkara kecil saja Tengku nak perbesar-besarkan? Be professional Tengku! Jangan campur adukkan urusan peribadi
dengan kerja. Kalau Tengku masih tak berpuas hati dengan saya, saya boleh letak
jawatan sekarang,” marah Aisya. Dia perlu membawa dirinya keluar dari bilik
yang semakin menyesakkan nafasnya. Sakit hatinya apabila Tengku Hariz
mempersoalkan waktu kerjanya. Dia juga tidak suka orang lain mencampuri urusan
peribadinya. Aisya menoleh semula ke arah Tengku Hariz yang masih membisu
seribu kata sebelum memulas tombol pintu.
“Ha lagi satu Tengku, suka hati sayalah
nak bermesra ke, nak berdating ke,
nak bercium ke atau apa-apa aje. Lagipun apa hak Tengku nak menegur saya.
Tengku bukan siapa-siapa dengan saya. Jadi tolong jangan campuri urusan
peribadi saya!” tegas Aisya dan keluar dari bilik itu dengan senyuman sinis
buat Tengku Hariz. Seminit kemudian, kelibat Aisya hilang di sebalik pintu
bilik.
Tengku Hariz menyandarkan kepala sambil
kedua-dua belah tangan diletakkan di belakang kerusi. Matanya tertancap ke
siling di dalam bilik itu. Dia benar-benar terasa dengan kata-kata Aisya sebentar
tadi. Salah dia juga kerana mencampur adukkan hal kerja dan juga peribadi.
Silap dia juga kerana mempersoalkannya. Wajah Aisya datang silih berganti di
ruangan mata. Dia diselubungi rasa bersalah dengan tuduhan melulunya terhadap
Aisya. Entah mengapa dia tidak dapat menahan kemarahan apabila mengingati
semula akan kemesraan Aisya bersama lelaki tersebut. Ah! Kenapa dengan aku ni?
Peduli apa aku kalau dia nak bermesra ke apa ke, bukan ada kena-mengena dengan
aku pun, marahnya di dalam hati.
Apa masalah dengan dia tu? Suka sangat
cari pasal dan menyusahkan aku. Tanya yang bukan-bukan. Apa dia fikir dia bos,
dia boleh buat sesuka hati dengan aku, marah Aisya di dalam hati pada malam
itu. Dia tidak mengerti dengan sikap Tengku Hariz. Ada ketika Tengku Hariz
terlalu baik dengannya dan ada ketika Tengku Hariz bersikap dingin dan
marah-marah dengannya. Nak menopause
kot mamat sengal tu. Ketawanya tiba-tiba.
“Apa yang kau gelakkan tu?” soal Nadia
dengan tiba-tiba. Aisya mematikan ketawanya. Nadia berjalan menghampiri Aisya
yang masih lagi khusyuk mengadap laptop. “Kau
ingatkan pakwe kau ya,” sambung Nadia lagi sambil mengangkat-ngangkat keningnya
menunggu jawapan dari Aisya.
“Pakwe? Siapa? Mana ada?” dalih Aisya.
Nadia tertawa kecil mendengar jawapan
Aisya.
“Aku teka aje. Eh Aisya, malam tu dia
buat apa kat kau ha?” Aisya terkejut dengan pertanyaan Nadia. Sekilas itu dia
berpaling ke arah Nadia yang sudah pun duduk di birai katil.
“Oppsss… soalan maut. Tertanya la
pulak, aduh!” jerit kecil Nadia sambil menutup mulutnya dengan kedua-dua belah
tangan. Macam mana pulak aku boleh tertanya ni, habislah aku, bisik Nadia.
Bingkas dia bangun dan cuba berjalan keluar dari bilik itu.
“Nadia!” panggil Aisya mematikan
langkahnya. Aisya bangun dan menghampiri Nadia yang masih lagi dengan riak
cemas.
“Kau nampak?” agak Aisya dengan nada
terketar-ketar.
“Nampak? Nampak apa Aisya? Aku tak
paham,” ulang Nadia sengaja mengelak dari menjawab pertanyaan Aisya.
“Kau jangan nak dalih la Nadia. Aku
tahu kau nampak apa yang berlaku pada malam tu kan,” sangkal Aisya dengan dalih
yang dibuat-buat oleh Nadia.
“Aku…. aku….” terhenti apabila telefon
bimbit Aisya berbunyi. Aisya mencari-cari telefon bimbitnya. Setelah berjumpa,
lantas menjawab panggilan tersebut.
Melihatkan Aisya yang sedang khusyuk
menjawab panggilan, Nadia cuba memboloskan diri dari dalam bilik Aisya dengan
melangkah perlahan-lahan agar tidak disedari oleh Aisya.
“Kush semangat! Hampir terkantoi tadi,”
luah Nadia sambil mengurut-urut dada supaya bertenang. Dia sengaja tidak mahu
mengungkit peristiwa malam itu di depan Aisya kerana dikhuatiri menambahkan
kelukaan dan kesakitan di hati Aisya.
“Tapikan, handsome jugak Tengku Hariz tu. Kalau aku, tak payah dipaksa-paksa,
aku rela kalau dia nak kiss aku. Kih…
kih… kih…” ketawa Nadia sambil tersenyum-senyum mengimbas kembali peristiwa
malam itu.
“Tak, belum tidur lagi mak. Kenapa
mak?” soal Aisya kepada Puan Suhaila yang berada di hujung talian.
“Aisya boleh balik kampung tak? Mak ada
hal nak bincangkan dengan Aisya,” jawab Puan Suhaila mengharap.
“Ada apa ni mak, serius aje bunyinya.
Mak ada masalah ke?” soal Aisya kembali apabila mendengar suara Puan Suhaila
yang serak-serak basah seakan-akan menahan esakan tangisan.
“Aisya balik ya nak, mak tunggu,” balas
Puan Suhaila dan mematikan talian telefon.
Aisya kelihatan kalut. Hatinya
berdebar-debar dan tidak keruan dengan permintaan Puan Suhaila yang memintanya
pulang ke kampung dengan segera. Mungkinkah Puan Suhaila akan mendesak dia
berkahwin seperti yang terjadi sebulan yang lepas. Ah! Tidak mungkin. Siapa
lagi yang mak nak jodohkan dengan aku ni, fikirnya sendiri.
gamak2nya mak tengku azizul datang nak mintak maaf tak?
BalasPadamoh bila nak berenti kerja? elok gak dia kerja kat tempat nadia tu, kedian baru jumpa balik gan tg ego tu.
Persoalan samada Aisya berhenti kerja akan terjawab dlm bab 8... nantikannya.. ;)
BalasPadamwokez tak sabar2 nak baca next. hehe. thanks. wink.
BalasPadamthanks 4 the support.. hope enjoy!! :D
BalasPadambest! best!
BalasPadamcpt sambung!
Thanks.. Insya-ALLAH bab seterusnya akan di upload tdk lama lg.. terima kasih di atas support anda.. ;)
BalasPadambestnyer....
BalasPadamthanks shuhada.. ;)
BalasPadam