Selasa, 13 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 6

BAB 6

“Macam nilah, aku cadangkan kita buat pamphlet dan edarkan pada beberapa pasaraya dan mini mart. Dalam pamphlet tu, kita mention yang Cahaya ada menerima tempahan dan mengedar barangan runcit serta barang keperluan yang lain. Mungkin dari situ kita dapat tarik beberapa customer untuk mengikat kontrak dengan Cahaya,” terang Izzuddin jelas dan nyata.
Hazrel mengangguk faham. Matanya masih lagi menatap kertas kerja yang disediakan oleh Izzuddin. Kertas kerja bagaimana untuk menarik customer untuk memborong di Cahaya Sdn Bhd. Terangguk-angguk Hazrel cuba untuk memahamkannya.
“Selain itu, jika ada mana-mana syarikat yang membuka tender berkaitan dengan business kita ni, kita boleh juga memohonnya. Dari situ kita dapat keuntungannya dan juga nama Cahaya Sdn Bhd akan terkenal,” sambung Izzuddin lagi.
“Bagus juga cadangan kau ni Izz. So, aku nak kau siapkan kertas cadangan ni semula berserta beberapa olahan yang dah aku tandakan. Aku akan bentangkan kertas cadangan ni pada papa aku bila aku balik ke sana nanti,” sahut Hazrel dan menyerahkan semula kertas kerja tersebut kepada Izzuddin. Kemudian dihalakan matanya ke muka Izzuddin.
“Baiklah, aku akan betulkan apa yang dah kau tandakan ni. Lepas tu, aku serahkan pada kau semula,” balas Izzuddin dan mencapai kertas kerja tersebut. “Aku dengar Nur Ain cedera di lengan disebabkan kau, betul ke?” tanyanya pula.
Berkerut dahi Hazrel mendengarnya. Bagaimana Izzuddin mengetahui akan perkara itu? Mungkinkah Nur Ain yang memberitahunya ataupun Eddie?
“Mana kau tahu?” tanya Hazrel mematikan pertanyaan Izzuddin.
“Aku tahu dari Ain. Aku call Ain malam tadi,” jawab Izzuddin.
“Kau call dia? Macam mana kau call dia?”
“Aku call maksu dia.”
Hazrel mengangguk faham. Dia menyandarkan badan ke belakang. Matanya menatap wajah kawan baiknya itu.
“Aku ingat nak pergi lawat Ain petang nanti. Kau nak ikut tak?”
“Huh! Tak nak aku. Mesti rumah dia lebih kurang rumah kau. Lagipun aku nak balik rumah parents aku petang ni.”
Izzuddin menggeleng. Hazrel tidak pernah nak berubah. Entah bilalah Hazrel akan berubah, dia sendiri tidak pasti. Mungkin bila Hazrel berkahwin, baru kawannya itu berubah. Itu pun kalau berubah.
“Kau sebagai bos, kenalah ambil berat pasal pekerja. Kalau kau tak nak orang label kau sebagai ketua atau bos tak berperikemanusiaan, ada baiknya kau melawat Ain,” nasihat Izzuddin.
“Aku tak heranlah kalau diorang nak gelarkan aku macam tu. Lagipun bukan disebabkan aku dia jadi macam tu. Dia sendiri yang cuai, tak pandai nak jaga dirinya sendiri,” bidas Hazrel keras. Dengusan kasar keluar dari bibirnya juga.
“Haz… Haz… sampai bila kau nak bersikap macam ni? Ego tak bertempat. Kalau kau tak nak pergi melawat Ain, tak apalah. Aku pergi dengan Fauziah dan Encik Latif saja,” balas Izzuddin seraya bangun. “Aku balik bilik dulu. Banyak kerja yang nak diuruskan. Sebelum itu, kau jangan lupa perjumpaan kita malam ni,” sambung Izzuddin dan menapak jalan ke muka pintu bilik. Tangannya sudah pun memegang tombol pintu dan hanya menunggu masa untuk memulaskannya sahaja.
“Perjumpaan apa Izz?” tanya Hazrel kurang mengerti.
“Kau ni Haz, macam orang tualah. Perjumpaan kawan-kawan universiti kita dulu kat restoran tepi tasik tu,” jawab Izzuddin mengingatkan Hazrel.
“Oh, sorry. Aku memang tak ingat. Nasib baik kau ingatkan aku. Tengoklah, kalau aku tak jadi balik rumah parents aku petang ni, aku datanglah,” balas Hazrel.
“Tak apalah. Tapi kalau boleh, joinlah malam ni. Bukan senang kita nak jumpa kawan-kawan kita balik,” ujar Izzuddin dan berlalu pergi dari bilik itu.
Hazrel hanya memandang. Dia melepaskan keluhan ringan. Bukannya dia tidak mahu untuk menyertai perjumpaan tersebut. Disebabkan janjinya dengan Datin Salina untuk balik ke rumah pada petang ini membuatkan dia terpaksa melupakan niatnya untuk turut serta pada perjumpaan itu. Mungkin suatu hari nanti dia akan berjumpa dengan kawan-kawannya semula.
“Encik Hazrel!” tegur Fauziah dari arah pintu bilik.
Hazrel mengangkat wajah. Matanya tepat ke wajah Fauziah.
“Ada apa Fauziah?” tanya Hazrel.
“Ada orang nak berjumpa dengan Encik Hazrel. Dia tunggu kat bilik mesyuarat,” beritahu Fauziah.
“Kenapa tak suruh aje dia ke sini?”
“Saya dah suruh, tapi dia berdegil. Dia nak bincangkan perkara serius dengan Encik Hazrel di dalam bilik mesyuarat tu.”
Hazrel mendengus kasar. Siapa yang cuba untuk mengarahnya sebegitu?
“Baiklah. Dalam lima minit lagi saya ke sana,” arah Hazrel mengalah.
Fauziah mengangguk faham. Lantas dia beredar dari situ menuju ke tempat duduknya semula. Sengaja dia tidak memberitahu Hazrel akan kehadiran Eddie. Mana mungkin dia tidak mengenali Eddie. Atas permintaan Eddie sendiri agar tidak memberitahu Hazrel akan kehadiran Eddie di situ. Khuatir Hazrel akan mengelak untuk berjumpa dengan Eddie.
Hazrel mengatur langkah menuju ke bilik mesyuarat. Sepanjang perjalanannya itu, dia merungut sendirian. Suka hati sahaja mengarahnya ke bilik mesyuarat. Belum kenal lagi aku ni siapa, cebik Hazrel di dalam hati.
“Ya nak apa?” tanya Hazrel sebaik sahaja tiba di dalam bilik mesyuarat itu.
Eddie menoleh. Sebuah senyuman pahit dihadiahkan buat Hazrel.
“Huh! Kau ke, aku ingatkan siapa. Kenapa tak ke bilik aku aje? Kenapa di sini pulak?” tanya Hazrel tidak berpuas hati. Dia melabuhkan duduk di kerusi yang terdapat di dalam bilik mesyuarat itu. Matanya menjamah wajah Eddie.
“Aku tak nak orang tahu perbualan kita. Sebab itulah aku suruh kau ke sini,” terang Eddie turut sama melabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Hazrel.
So, apa masalahnya?” sinis Hazrel bertanya. Dia berpeluk tubuh mengadap Eddie.
“Aku yang bermasalah atau kau yang bermasalah Haz?” tanya Eddie memulangkan pertanyaan Hazrel tadi.
“Aku? Aku bermasalah? Aku tak pernah ada masalah. Hidup aku tenteram dan damai selama ini. Tapi, sejak aku kenal dengan minah kampung tu, hidup aku jadi kucar-kacir dan tak tenteram. Ke mana aje aku pergi, mesti ada masalah yang aku hadapi. Sebelum ini tak pernah aku alami apa-apa masalah,” bidas Hazrel tegas.
Eddie melepaskan keluhan ringan. Matanya tajam ke muka Hazrel yang beriak selamba. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia melayangkan sebijik penumbuk ke muka Hazrel.
“Kau yang cari masalah kau sendiri Haz. Ain tak salah apa-apa. Tapi, kau yang menciptakan kesalahan Ain,” bidas Eddie tegas.
Hazrel mencebik. Kata-kata Eddie antara dengar ataupun tidak. Malas untuk mendengar kata-kata Eddie itu. Malas untuk mendengar ceramah free dari Eddie. Eddie tak ubah sama dengan Izzuddin.
“Yang kau bela sangat dia tu kenapa? Disebabkan perempuan tu, kita berdua bergaduh. Cuba kau fikir, pernah tak kita bergaduh sebelum ni? Pernah tak kita bertekak sebelum ni? Pernah tak kita berselisihan faham sebelum ni?” jerkah Hazrel meninggi pantas berdiri. Nafasnya berombak menahan kemarahan. Tangannya sudah mengepal penumbuk.
“Aku bukan bela dia Haz. Aku tak sampai hati tengok Ain dibuli oleh kau. Ain dah banyak menderita sebelum ini dan aku tak nak kau menambahkan penderitaan Ain!” suara Eddie meninggi, turut sama berdiri.
Hazrel merenung tajam Eddie. Bertambah panas hatinya ketika itu. Mahu sahaja dia melayangkan penumbuk ke arah Eddie.
“Suka hati kaulah Die. Malas aku nak bertekak dengan kau,” ujar Hazrel mengalah dan berkira-kira untuk keluar dari bilik itu.
“Berapa yang Ain perlu bayarkan pada kau?” tanya Eddie sebelum Hazrel berlalu pergi dari dalam bilik itu. “Aku bayarkan untuk Ain,” ujarnya pula.
Hazrel memberhentikan langkahnya. Wajah Eddie di hadapan dipandang geram.
“Huh! Kenapa kau perlu bersusah payah kerana budak tu. Aku akan bagitau pada kau berapa jumlahnya lepas aku selesaikan masalah aku dengan dia.”
“Apa maksud kau Haz? Masalah apa yang Ain timbulkan lagi?”
“Aku nak dia sendiri yang bayar dan aku tak nak duit dari kau!”
“Kau dah melampau Haz!” marah Eddie seraya memegang kolar baju Hazrel.
“Aku yang melampau atau kau yang melampau. Kalau kau nak bayarnya, aku akan kenakan dua kali ganda bayaran yang dia perlu bayar pada aku,” balas Hazrel tinggi sambil menolak tangan Eddie dari memegang kolar bajunya.
“Kau sebut aje berapa dan aku akan bayarnya.”
“Okey… kau jangan menyesal bila aku sebut berapa jumlah yang kau perlu bayar pada aku nanti,” sindir Hazrel pedas.
“Aku takkan menyesal, tapi kau yang akan menyesal,” bidas Eddie keras. “Aku akan bayarnya berapa juga jumlah yang kau mintak asalkan kau tak ganggu dan buli Ain lagi,” sambung Eddie dan beredar dari situ.
Hazrel mendengus kasar. Matanya memandang ke arah Eddie yang menapak keluar dari bilik mesyuarat itu. Panas hatinya mendengar ceramah Eddie itu. Bertambah benci Hazrel dengan Nur Ain. Bertambah menyampah Hazrel dengan Nur Ain. Jika Nur Ain berada di hadapannya, mahu dihamburkan segala kemarahannya di hadapan perempuan itu.


“Jemputlah duduk Wan. Apa mimpi datang ke office aku ni?” pelawa Haji Khairul ramah sambil berjabat tangan.
“Maaflah Khai kalau aku mengganggu kau. Sal yang suruh aku datang ke sini,” beritahu Dato’ Ridzuan dan melabuhkan duduk di kerusi.
“Tak ada ganggunya Wan. Cuma aku terkejut aje kau datang ke sini. Mesti ada perkara serius yang nak kau bincangkan dengan aku.”
Dato’ Ridzuan mengeluh berat. Jika bukan atas desakan Datin Salina, tidak mungkin dia akan datang ke pejabat Haji Khairul sekali gus mengganggu lelaki itu.
“Aku bukannya apa Khai. Sal suruh aku ke sini bincangkan dengan kau tentang Hazrel dan Qistina.”
“Pasal Hazrel dan Qistina?” ulang Haji Khairul berserta kerutan di dahi.
“Sal minta aku bincangkan tentang anak-anak kita. Sal nak meminang Qistina untuk Hazrel,” jelas Dato’ Ridzuan.
“Meminang Qistina? Kau biar betul Wan. Qistina tak pernah bagitau aku tentang ni pun,” ujar Haji Khairul sedikit terkejut.
“Aku pun baru tahu tentang ni Khai. Salina yang buat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan Hazrel.”
“Maknanya Hazrel tak tahu tentang ni lagilah,” duga Haji Khairul.
Dato’ Ridzuan mengangguk lemah. Sungguh dia tidak bersetuju dengan cadangan Datin Salina. Dia mahu Datin Salina berbincang dengan Hazrel tentang perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Aku tak tahu nak cakap apa Wan. Aku kena bincangkan perkara ini dengan Qis dulu. Aku tahu dia memandai buat keputusan. Memang aku ada bertanya dengan Qis tentang hubungannya Hazrel, itu tidak bermakna Qis boleh buat keputusan sesuka hati tanpa berbincang dengan aku dulu,” terang Haji Khairul tegas.
“Itulah Khai, diorang pandai-pandai buat keputusan sendiri. Aku pun dah letih nak nasihatkan Sal tu. Ikut kepala angin dia aje. Kepala angin aku, dia belum tahu lagi,” balas Dato’ Ridzuan dan tertawa kecil. Geli hati dengan kata-katanya itu.
Haji Khairul turut sama tertawa.
“Habis tu, kau tak bantah ke dengan keputusan Sal tu?” tanya Haji Khairul ingin tahu.
“Kalau aku bantah pun Khai, bukannya masuk dalam kepala otak dia. Apa yang penting bagi dia, rancangan dia berjaya dan sebab itulah dipaksa budak Hazrel tu terima rancangan dia,” jawab Dato’ Ridzuan bernada kutukan.
“Janganlah sampai macam tu sekali Wan. Aku tak paksa Hazrel terima Qis. Aku tahu anak aku tu bukannya baik sangat. Perangai mengalahkan budak-budak. Cakap dia aje yang kita nak dengarnya. Tapi harapan untuk Hazrel jadi menantu aku tu, adalah. Lepas arwah Hazrul menolak Qis, aku harap Hazrel tak menolak juga. Aku yakin Hazrel boleh ubahkan perangai Qis tu,” jelas Haji Khairul panjang lebar.
“Soal jodoh ni aku tak boleh nak tekankan sangat Khai. Semuanya terletak di tangan ALLAH. Jodoh kan rahsia ALLAH. Jadi aku serahkan pada-NYA. Andai kata Qistina jodoh Hazrel, aku terimanya seikhlas hati aku dan andai kata jodoh Hazrel bukan Qistina, aku tetap akan doakan kebahagiaan anak aku. Dia sahaja permata yang tinggal untuk aku dan Sal selepas Hazrul meninggalkan kami tiga tahun yang lepas,” jelas Dato’ Ridzuan dan mengeluh ringan. Terasa sebak tatkala mengingati Hazrul.
“Insya-ALLAH Wan. Aku takkan salahkan kau kalau Qistina bukan jodoh Hazrel. Lagipun anak aku tu belum layak lagi untuk berumah tangga. Diri sendiri pun tak terurus. Lepas Hanum meninggal, hanya aku ajelah tempat dia bermanja selain daripada Salina. Aku ucapkan terima kasih pada kau dan Salina kerana menjaga Qistina selepas mamanya meninggal dua tahun yang lepas,” luah Haji Khairul ikhlas.
“Tak ada apa yang perlu diterima kasihkan Khai. Aku dan Sal dah anggap Qis macam anak kami juga. Mana yang tak elok, kami tegurnya,” balas Dato’ Ridzuan ikhlas.
Haji Khairul hanya tersenyum. Ada benarnya kata-kata Dato’ Ridzuan itu. Qistina sudah dianggap seperti anak mereka. Begitu juga dengan Hazrul dan Hazrel, sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
“Aku minta diri dululah Khai. Lama sangat aku kat office kau ni. Aku dah janji dengan Sal nak ke rumah Dato’ Mirza, ada jamuan kecil sikit. Insya-ALLAH, perkara ni aku akan bincangkan dengan Hazrel dulu,” ujar Dato’ Ridzuan seraya bangun.
“Elok juga kau bincangkan dengan Hazrel dulu. Aku pun tak boleh nak bagi keputusan yang tepat tentang ni. Apa-apa hal, kau bagitau akulah Wan,” balas Haji Khairul turut sama bangun berserta senyuman di bibir.
Dato’ Ridzuan mengangguk. Setelah berjabat tangan, segera dia membawa langkahnya keluar dari dalam bilik itu. Seminit kemudian, kelibatnya hilang dari pandangan Haji Khairul.


“Datang dengan siapa Gie?” tanya Humaira berbasa-basi.
“Dengan Encik Izzuddin Mai. Encik Latif kata nak datang, tapi ada hal pulak. Dia kirim salam aje kat Mai dan Ain,” terang Fauziah. “Teruk ke luka kat tangan Ain tu?” tanyanya pula prihatin.
Humaira melepaskan keluhan ringan. Dulang air yang ditatangnya sebentar tadi diletakkan di atas meja di ruang tamu. Dituangkan air ke dalam gelas yang tersedia dan diserahkan kepada Fauziah.
“Tak adalah teruk sangat. Cuma luka kecil aje.”
“Luka kecil pun Mai, boleh merebak jadi besar.”
“Itulah, Mai dah tegur Ain tu, tapi dia tu degil sangat. Ikut aje cakap Hazrel tanpa berfikir dulu,” rungut Humaira tidak berpuas hati.
Fauziah meletakkan semula gelas di atas meja selepas meneguk air di dalamnya. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain yang sedang berbual di halaman rumah bersama Izzuddin. Ada sesuatu yang menarik dilihatnya terhadap Izzuddin.
“Apa yang Hazrel dah buat dengan Ain, Mai?”
“Ain tu lurus sangat. Ikut aje cakap Hazrel tu sampai membahayakan diri sendiri. Tak pasal-pasal luka lengan tu disebabkan Hazrel. Benci betul Mai dengan Hazrel tu,” bebel Humaira keras. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain dan Izzuddin.
“Hazrel memang jenis orang yang macam tu Mai. Gie pernah juga kena marah dengan Hazrel. Siap kutuk lagi pun ada. Sakit juga hati dengar kata-kata pedas dia tu. Mulut memang tak ada insuran,” luah Fauziah geram.
“Biarkan ajelah Gie. Suatu hari nanti ALLAH akan balas semua kejahatan dia. Mai doakan biarlah dia berkahwin dengan orang yang setaraf dengan kita Gie. Biar dia tahu langit tu tinggi atau rendah,” ucap Humaira geram tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.
“Kau jangan Mai. Dibuatnya anak saudara kau terkahwin dengan Hazrel macam mana? Tak ke termakan sendiri doa kau tu. Aku sekadar mengingatkannya sahaja,” bidas Fauziah lembut. Khuatir kalau-kalau perkara itu berlaku.
“Kalau dah jodoh, nak buat macam mana Gie. Terima dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Redha dengan ketentuan dari-NYA,” balas Humaira pula berserta keluhan ringan.
“Kalau betul pun apa salahnya Mai. Bolehlah Ain ubahkan Hazrel tu. Gie tengok sesuai sangat Ain dengan Hazrel. Orang macam Hazrel tu lawannya Ain. Sekurang-kurangnya Hazrel akan lebih bersikap penyabar dan tenang bila berhadapan dengan Ain. Dapat mengawal sikap pemarah dia juga,” jelas Fauziah sekadar memberi pendapat.
Humaira mengangguk. Mungkin ada benarnya dengan kata-kata Fauziah itu. Namun jauh di sudut hati, dia tak mahu mengorbankan masa depan Nur Ain. Dia lebih rela Nur Ain tidak berkahwin asalkan bukan dengan orang seperti Hazrel itu.


“Lengan Ain dah elok ke?” tanya Izzuddin prihatin.
“Dah kurang sikit Encik Izz. Terima kasih kerana melawat saya,” ucap Nur Ain ikhlas.
“Tak perlulah berterima kasih dengan saya. Dah menjadi tanggungjawab saya untuk melawat orang yang sakit. Lagipun kitakan rakan sekerja, perlulah saling mengambil berat antara satu sama lain,” bidas Izzuddin lembut. Matanya menjamah wajah bersih Nur Ain.
“Saya dah susahkan Encik Hazrel. Sebab saya barang-barang milik Encik Hazrel hilang. Saya yang terlalu cuai masa tu,” ujar Nur Ain lemah.
Rasa bersalah masih lagi bersisa di dalam dirinya itu dan tidak mungkin akan lenyap dengan cepatnya. Kemaafan perlu dipinta daripada Hazrel dan dia akan melakukannya sebaik sahaja dia pulih dari kecederaannya itu.
“Kenapa Ain nak rasa bersalah? Semua yang berlaku bukan atas kehendak Ain. Sudah tertulis dalam hidup Ain yang Ain akan alami peristiwa itu semalam,” pujuk Izzuddin lembut.
“Kalau bukan kerana kecuaian saya, barang Encik Hazrel takkan kena curi dengan pencuri tu. Saya memang tak berguna dan membawa malang pada sesiapa yang dekat dengan saya,” luah Nur Ain perlahan. Masih lagi rasa bersalah.
“Ain, kenapa cakap macam tu?” bidas Izzuddin keras.
“Encik Izz tak kenal siapa saya lagi? Kalau Encik Izz dah kenal dengan saya, pasti Encik Izz akan beranggapan yang sama seperti orang lain juga,” jelas Nur Ain pula.
Matanya dikalihkan ke wajah Izzuddin. Ada riak kurang mengerti di wajah itu. Namun dia tidak ambil peduli itu semua. Apa yang bersarang di kepalanya, bagaimana untuk membayar ganti rugi kepada Hazrel? Perlukah dia mengeluarkan wang simpanannya yang dikhaskan untuk melanjutkan pelajaran itu?
“Encik Izz dari mana tadi? Office ke?” tanya Nur Ain cuba untuk mengembalikan Izzuddin ke alam realiti. Sepertinya Izzuddin sedang mengelamunkan sesuatu.
“A’ah, saya dari office. Encik Latif nak datang, tapi tiba-tiba aje dia ada hal. Dia kirim salam kat Ain,” beritahu Izzuddin.
Nur Ain mengangguk. Matanya dibuang ke arah pokok-pokok bunga yang sedang terliang-liuk di tiup angin petang. Terasa damai dan tenang ketika itu. Tidak setenang hatinya. Entah kenapa fikirannya memikirkan tentang hutangnya dengan Hazrel. Bagaimana untuk membayar hutang tersebut?
“Encik Hazrel tak datang?” tanya Nur Ain berbasa-basi.
Entah kenapa mulutnya terasa ringan untuk bertanyakan tentang lelaki itu.
“Sebelum datang sini tadi, saya ada ajak Encik Hazrel, tapi dia tak nak. Katanya nak balik ke rumah keluarganya petang ni,” jawab Izzuddin.
“Tak mengapalah Encik Izz. Saya tahu mustahil Encik Hazrel nak melawat saya. Lagipun Encik Hazrel tak sukakan saya. Saya ni banyak menyusahkan dan mendatangkan masalah pada Encik Hazrel,” jelas Nur Ain tanpa dipinta.
“Jangan cakap macam tu Ain. Hazrel tu memang perangainya macam tu. Sejak dari universiti lagi, ramai yang tak sukakan sikap bongkak dan sombong dia. Awak jangan salahkan diri awak sendiri,” bidas Izzuddin tegas. Matanya menjamah wajah Nur Ain yang menunduk.
“Saya memang pembawa malang,” ujar Nur Ain lemah. “Jomlah kita masuk Encik Izz. Mungkin maksu saya dah siapkan minum petang untuk kita,” pelawa Nur Ain seraya bangun. Dia mengatur langkah menuju ke dalam rumah. Sengaja untuk mengelak dari berbual tentang Hazrel lagi.
Izzuddin turut sama bangun. Dia membuntuti Nur Ain masuk ke dalam rumah. Hatinya tertanya-tanya akan kenyataan dari mulut Nur Ain itu. Apa yang dimaksudkan oleh Nur Ain? Kenapa Nur Ain berkata begitu? Sungguh hatinya didesak untuk mengetahuinya. Namun disabarkan hati untuk tidak bertanya lanjut. Khuatir akan melukakan hati Nur Ain.


Hazrel menghumbankan tubuhnya ke katil. Terasa penat badannya di waktu itu. Dia meletakkan tangan di atas dahi sambil matanya tertancap ke siling bilik. Niat untuk balik ke rumah parentsnya dibatalkan begitu sahaja. Entah kenapa hatinya terasa sakit dengan tiba-tiba. Dia juga tidak tahu apa yang terjadi padanya hari ini. Sebaik sahaja keluar dari pejabatnya, dia memandu kereta tanpa tujuan. Dan akhirnya dia tersadai tidak jauh dari rumah Nur Ain. Apa yang tak kena dengan aku ni? Macam mana aku boleh pandu sampai ke rumah dia? Macam mana aku tahu rumah dia? tanya Hazrel sendirian. Yalah, aku kan check biodata dia tadi. Bodoh betullah kau ni Hazrel, kutuk Hazrel pada dirinya sendiri. Nafas berat terlepas dari bibirnya.
Hazrel mengiringkan badan ke kanan. Matanya tertancap ke bingkai gambar yang elok terletak di atas meja di sisi katil. Terasa rindu terhadap insan yang berada di dalam gambar tersebut. Terasa baru semalam dia bergurau senda bersama Hazrul. Terasa baru semalam mereka berdua berjumpa. Sungguh dia merasa rindu tatkala mereka bersama.
“Haz, kalau suatu hari nanti Haz jatuh cinta dengan perempuan yang abang cintai, Haz nak buat apa?” tanya Hazrul sekadar ingin menduga perasaan adiknya itu.
Hazrel tertawa mendengar pertanyaan abangnya itu. Matanya dikalihkan ke wajah Hazrul yang sedang beriak tenang. Setenang dengan sikap dan perangai Hazrul. Berbeza dengan sikap dan perangainya. Dia lebih suka bersikap memprotes dan memberontak.
“Haz, abang tanya betul-betul ni. Apa yang Haz akan buat kalau Haz jatuh cinta dengan perempuan yang abang cintai,” ulang Hazrul sedikit menekan. Geram dengan perangai acuh tak acuh Hazrel.
“Kalau Haz jatuh cinta dengan perempuan yang abang cintai? Maksudnya, girlfriend abang?” ulang Hazrel dan masih tergelak.
Hazrul mengangguk. Matanya menjamah wajah Hazrel.
“Haz takkan rampas hak abang. Walau bagaimana sekali pun, tidak sesekali Haz akan merampasnya. Haz sayangkan abang. Haz nak abang bahagia,” beritahu Hazrel berserta senyum di bibir.
“Kalau abang tak ada, dan dalam masa yang sama Haz jatuh cinta dengan girlfriend abang, Haz masih nak teruskan tackle girlfriend abang tu ke atau Haz nak lupakannya sahaja?” tanya  Hazrul ingin tahu.
“Kalau abang tak ada?” ulang Hazrel berkerut. “Mestilah Haz akan tackle girlfriend abang tu. Haz takkan lepaskan kalau girlfriend abang tu cantik. Mesti cantik girlfriend abang tu kan?” sambung Hazrel serius.
“Dia cantik di mata abang Haz,” ujar Hazrul perlahan. Wajah Nur Ain bermain di tubir matanya ketika itu. Senyuman bahagia terbias di bibirnya.
Hazrel mencebik. Raut wajah Hazrul diperhatikan. Geli geleman melihat Hazrul yang berjiwang karat dengan tiba-tiba di hadapannya itu.
“Ada macam Erra Fazira tak abang?” tanya Hazrel sekadar mengusik.
Seminit kemudian dia tertawa dengan pertanyaannya itu. Hazrul turut sama melepaskan ketawanya. Dia menggeleng kecil dengan pertanyaan Hazrel.
“Haz boleh janji dengan abang?” ujar Hazrul sebaik sahaja ketawanya reda.
Berkerut dahi Hazrel mendengarnya. Janji? Janji apa yang Hazrul mahukan darinya.
“Janji? Janji apa?”
“Andai suatu hari nanti, ALLAH menjemput abang terlebih dahulu dari Haz. Andai suatu hari nanti ALLAH termukan Haz dengannya sekali gus jatuh cinta dengannya. Janji dengan abang yang Haz akan jaga dia sepertimana Haz menjaga nyawa Haz sendiri. Sayangi dan cintainya sehingga nafas terakhir Haz nanti. Abang yakin hanya Haz yang boleh memenuhi permintaan abang ini,” pinta Hazrul seraya menarik nafas lembut dan dilepaskannya perlahan.
Bertambah berkerut di dahi Hazrel mendengar permintaan Hazrul itu. Dah buang tebiat ke abang aku ni? Boleh pulak dia suruh aku jaga girlfriend dia? Gila apa, bisik Hazrel di dalam hati.
“Apa abang merepek ni? Abang deman ya?” suara Hazrel sambil meletakkan tangannya di dahi Hazrul. Memeriksa kalau-kalau Hazrul demam ataupun tidak.
“Abang tak demam dik dan abang tak merepek. Abang serius dan abang nak Haz janji dengan abang yang Haz akan jaga girlfriend abang tu baik-baik seandainya Haz jatuh cinta dengannya,” bidas Hazrul tegas. Dia menolak lembut tangan Hazrel dari memegang dahinya itu.
Hazrel menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jawapan apa yang harus diberikan pada Hazrul. Jika dia bersetuju, bermakna dia mengorbankan masa depannya sendiri dan jika dia tidak bersetuju, siapa yang akan memenuhi permintaan Hazrul itu. Sungguh Hazrel buntu memikirkannya.
“Haz…” seru Hazrul. Menanti jawapan daripada adik kembarnya itu.
“Jomlah bang. Dah lewat ni. Nanti mama cari pulak,” dalih Hazrel seraya bangun. Langkah di atur untuk beredar dari situ. Lebih lama di situ, entah apa lagi permintaan Hazrul itu.
Getaran telefon menyentak lamunan Hazrel yang panjang. Segera tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya.
“Hazrul Hardy!” jerkah suara dari hujung talian.
Kush semangat. Nasib tak gugur jantung aku dibuatkannya, rungut Hazrel sambil mengusap lembut dadanya yang berombak kencang.
“Kenapa tak balik?” tanya suara itu lantang.
Hazrel mengerutkan dahi. Mama ni kalau tak jerkah aku, tak sah gamaknya, bebel Hazrel.
“Ma… Haz…” tergagap-gagap Hazrel menuturkannya. Cuba untuk menyusun ayat memberi alasan kepada Datin Salina.
“Yang tergagap-gagap tu kenapa? Haz dah janji dengan mama yang Haz nak balik petang ni. Kenapa tak sampai lagi?” jerit Datin Salina pula.
Mak ai!! Mama aku ni kalau tak jerit-jerit tak sah gamaknya. Dia ingat ini pertandingan menjerit ke? gurau Hazrel sendirian dan tertawa kecil.
“Kereta Haz masuk bengkellah mama. Itu yang Haz tak boleh nak balik petang ni,” bohong Hazrel. Harap mama terima alasan bodoh aku ni, bisiknya pula.
“Haz jangan nak bohong dengan mama. Haz tu bukannya betul sangat. Ada aje alasan yang nak diberikan pada mama,” bidas Datin Salina tegas.
“Ma, Haz tak bohong. Kereta Haz masuk bengkel. Ini pun Haz minta tolong Izz hantarkan Haz balik rumah. Kalau mama tak percaya, mama boleh call Izz,” jelas Hazrel bernada serius. Berharap Datin Salina percaya dengan penjelasannya itu.
Datin Salina mengeluh berat. Sakit hatinya apabila anak yang ditunggu tidak kunjung tiba. Bagaimana untuk menjelaskan akan rancangannya untuk meminang Qistina pada Hazrel? Mustahil dia akan memberitahu pada Hazrel di talian telefon. Pasti Hazrel akan mematikan talian jika dia membangkitkan tentang Qistina.
“Haz kan dah janji dengan mama nak balik hari ni. Dah dua kali Haz buat mama macam ni,” keluh Datin Salina pula.
Hazrel menelan liur. Bukan niatnya untuk berbohong tetapi entah kenapa dia dapat merasakan sesuatu dari desakan Datin Salina itu. Sudah pastilah ada kena-mengena dengan Qistina dan jika tekaannya tepat, betapa seronoknya dia kerana berjaya mengelak dari perkara itu berlaku. Bukan niatnya berbohong atau menjadi anak yang derhaka. Berharap pembohongannya itu tidak dapat dikesan oleh Datin Salina.
“Haz dengar tak apa yang mama cakapkan ni?” jerkah Datin Salina tatkala menyedari kebisuan Hazrel.
“Ya… ya ma… Haz dengar. Okeylah mama, Haz nak mandi ni. Kalau tak ada apa-apa, dalam minggu depan Haz balik. Bye mama dan I love you!” balas Hazrel dan segera mematikan talian telefon. Jika berlama, boleh mati terkejut dibuatkan jerkahan mamanya itu.
“Kush semangat, nasib baik lepas,” suara Hazrel lega.
Hazrel bingkas bangun dari pembaringan. Dia menuju ke jendela dan membuang pandang di situ. Nafasnya dihela pendek. Kata-kata Eddie pagi tadi menyesakkan nafasnya ketika ini. Malah kata-kata Izzuddin turut sama memanaskan hatinya. Kenapa dua rakan baiknya itu membela perempuan seperti Nur Ain? Jika diikutkan, Nur Ain tidak layak mendapat pembelaan malah berdampingan dengan kedua-dua rakan baiknya itu. Tetapi kenapa kedua-dua rakan baiknya itu juga yang megambil berat akan Nur Ain? Sungguh Hazrel kurang menyenangi akan sikap kedua-dua rakan baiknya itu. Apa yang harus dilakukan demi membalas kata-kata Eddie dan Izzuddin itu?
Hazrel tersenyum seketika. Otaknya ligat berfungsi. Berfikir bagaimana untuk menyentap hati Eddie ataupun Izzuddin. Dia akan menggunakan Nur Ain untuk memberi amaran kepada kedua-dua rakan baiknya itu terutama Eddie. Senyuman jahat terbias di wajahnya. Aku nak ajar kau erti hidup yang sebenarnya Nur Ain. Aku nak tengok sejauh mana kekampungan kau tu, bisik hati jahat Hazrel dan tersenyum sinis. Semoga rancangannya berjaya.

8 ulasan:

  1. "snyman jht terbias di wajahnya"....uisshhhh,seram ni....:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. ada lah 2 rancangan HH nk kenakan NAZ..

      Padam
  2. adoyai HH...napelah kau mcm ni?
    *sigh*

    BalasPadam
  3. bila la dak2 nak insaf...........ek......cian kat nur ain x pasai2 asyik kena buli jer.....

    BalasPadam
  4. Tlangkau bab plak..
    Ni datin tu mmg suka test sora ka? Gila ckp ngn anak jerit2 bagaiii!!
    Yg c haz ni.. Billa nak berubah perangai xsemenggah dia ni? Lm lg ka dia nakk jjd jahat ni kkak? Tp p jjugak umah ain.. Huh! Ckp x srupe bikin

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. xdelah lama dia nk jd jahat, kejap aje..
      pastu dia bertukar jd Amirul dlm GB pulak.. haha..
      err, yeke jd mcm Amirul GB.. huhu..
      dh mamanya mcm tu, sbb itulah HH tu terikut test2 suara dekat NAZ..
      kan dlm hati HH tu dh ada taman utk NAZ, coz 2 leh tersadai dekat rumah NAZ tu.. huhu.. :)

      Padam