Isnin, 5 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 8


BAB 8

Permintaan Puan Suhaila benar-benar membuatkan Aisya rasa bersalah. Seperti diluah mati mak, ditelan mati bapak. Tidak menyangka bahawa Puan Suhaila sanggup membuat permintaan sebegitu kepadanya. Disebabkan ingin membalas jasa lelaki itu yang telah dibudikan kepada keluarganya, dia dipaksa menerima lamaran lelaki itu. Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Pepatah melayu yang dahulunya tidak dipedulikan kini benar-benar diguna pakai semula. Ingin rasanya dia menjerit, agar dapat membuang segala bebanan masalah yang dihadapi ketika itu.
“Tidak mak. Aisya tak setuju!” bangkangnya sekuat hati akan permintaan Puan Suhaila itu.
Puan Suhaila termati akal untuk berkata-kata lagi. Dia tahu, hati Aisya sekeras kerikil sama sepertinya sewaktu dia berkeras ingin mengahwini Ahmad Nordin, ayah Aisya. Mana tertumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Aisya mengikut jejak langkahnya sekarang.
“Aisya, mak faham keadaan Aisya. Tapi, kali ini saja permintaan mak. Mak harap Aisya faham,” rayu Puan Suhaila sambil mengusap lembut bahu Aisya. Dia mahu melihat kebahagiaan Aisya sebelum dia menutup mata mengadap ILLAHI.
“Mak, jangan jadikan Aisya mangsa semata-mata untuk membalas semua jasa baik yang telah dia berikan kepada kita sekeluarga. Aisya rayu dan pohon pada mak… tolong fahami Aisya.” Dan kali ini Aisya merayu kepada Puan Suhaila agar mengerti akan permintaannya itu.
“Aisya, mak….” Tak terluah dengan kata-kata apabila Aisya melentokkan kepala di bahu Puan Suhaila. Sebak dan sayu Puan Suhaila rasakannya.
“Mak, Aisya faham kesulitan yang mak hadapi ketika ini. Tapi, Aisya nak mak faham juga kesulitan yang Aisya alami selama ini. Perkahwinan Aisya yang lepas membuatkan Aisya takut untuk menghadapinya lagi. Kenangan-kenangan lepas membuatkan Aisya benar-benar terluka dan sekali gus menutup pintu hati Aisya agar tiada sesiapa pun boleh menerokai dan menodainya lagi. Mak…” luah Aisya sambil menatap wajah Puan Suhaila dan mengelus-elus pipi Puan Suhaila dengan penuh kasih sayang.
Puan Suhaila membalas tatapan anaknya itu dengan perasaan yang sebak dan sayu. Hatinya sedih tatkala mengingati semula kejadian yang pernah ditempuhi oleh Aisya enam tahun yang lepas. Puan Suhaila mengangguk faham dan segera memeluk erat Aisya yang masih lagi menanti jawapan darinya. Aisya hanya mampu tersenyum hambar.
“Aisya!” panggil seseorang membawa Aisya ke alam realiti. Di halau jauh-jauh akan lamunannya sebentar tadi.
“Awak ni pekak ke apa. Berkali-kali saya panggil, awak buat tak tahu aje. Kalau nak kerja buat cara nak kerja. Kalau tak nak, awak boleh berhenti!” tegur Tengku Hariz dengan nada yang marah. Aisya hanya menundukkan kepala sahaja. “Mana fail yang saya minta awak semak hari tu?” sambung Tengku Hariz sambil tangannya dihulurkan kepada Aisya seperti meminta sesuatu.
Aisya mengangkat muka. Kemudian dia menepuk dahinya sendiri, seolah-olah sedang mengingati sesuatu.
“Ya ALLAH! Maafkan saya Tengku, fail tu tertinggal kat rumah. Saya terlupa nak bawanya sekali pagi tadi.” Lancar sahaja Aisya menjelaskannya tanpa memikirkan habuan yang bakal diterima sebentar lagi.
“What? Are you crazy? Awak tahu tak yang saya nak gunakan fail tu dalam mesyuarat petang nanti. Siapa yang beri kebenaran pada awak untuk membawanya balik ke rumah. Private and Confidential!!” tengking Tengku Hariz sambil melemparkan fail yang dipegangnya tadi di hadapan Aisya.
Aisya tersentak dan hanya tunduk mendengar. Bunyi nafas Tengku Hariz yang berombak-ombak akibat menahan kemarahan menerpa halwa telinganya.
“Ma… afkan sa… ya Tengku. Saya tak sengaja,” tersekat-sekat Aisya meluahkannya.
“Shit!!” sambung Tengku Hariz dan segera menuju ke bilik dengan perasaan marah yang meluap-luap. Aisya hanya memerhati kelibat Tengku Hariz hilang dari pandangan mata.
“Kenapa dengan Aisya ni? Aisya tahukan segala benda yang berkenaan dengan company tidak dibenarkan dibawa keluar dari pejabat. Kenapa Aisya degil sangat ni?” tegur Nurul dengan nada sinis selepas kelibat Tengku Hariz hilang di sebalik pintu. Aisya tidak pasti sama ada Nurul bersimpati ataupun sengaja untuk menyakitkan hatinya.
“Kan bos dah ma… rah. Hey Aisya, nak ke mana tu?” tersekat-sekat Nurul melontarkan kata-kata. Matanya tertumpu ke arah Aisya yang sudah berlalu pergi meninggalkan pejabat membawa diri entah ke mana.
Tengku Hariz melemparkan blazer ke arah kerusi. Dia menarik tali leher agar sedikit longgar sambil mendengus kasar. Hatinya benar-benar marah di atas tindakan Aisya yang membawa balik fail penting ke rumah. Dia memerlukan fail itu untuk membuat persediaan mesyuarat pada petang ini. Ya, memang dia ada mengarahkan Aisya supaya memperbetulkan beberapa kesilapan yang terdapat di dalam fail itu, tapi itu tidak bermakna dia dibenarkan membawa fail tersebut balik ke rumah. Ah! Sengaja nak cari pasal betullah pompuan tu, marah Tengku Hariz di dalam hati.
“Aisya!” jerit Tengku Hariz dari dalam bilik. Nurul yang terdengar akan jeritan Tengku Hariz segera menerpa masuk ke dalam bilik itu.
“Aisya mana?” soal Tengku Hariz terkejut dengan kemunculan Nurul.
“Maaf Tengku, saya tak pasti Aisya ke mana. Tapi, selepas Tengku menegurnya… Aisya segera keluar dari pejabat,” jelas Nurul terketar-ketar seperti menahan ketakutan.
“Keluar? Apa maksud awak keluar? Dia ingat office ni mak bapak dia yang punya ke, sesuka hati dia nak masuk dan keluar,” marah Tengku Hariz. Dia mencapai blazernya semula dan beredar keluar dari situ. Bertujuan untuk mengejar Aisya.
Nurul hanya tunduk membisu. Matanya melilau memerhati keadaan sekeliling bilik itu. Bersepahnya! Terdetik ayat itu dari lubuk hati. Dia menekan intercom dan memanggil tukang cleaner untuk membersihkan bilik Tengku Hariz.


Aisya kalut sambil matanya melirik jam di tangan. Lagi dua jam untuk bermesyuarat. Sempat ke aku nak ambil fail tu balik. Ah! Harap-harap sempatlah hendaknya, mana teksi ni, keluhnya sendirian. Perasaannya disaluti rasa bersalah. Dia memarahi dirinya sendiri akibat kealpaan dan kecuaiannya hari ini. Kemarahan Tengku Hariz merupakan jawapan yang terbaik bagi setiap kesilapan dan kesalahannya itu.
“Awak nak ke mana?” tegur Tengku Hariz dengan tiba-tiba membuatkan Aisya terkejut.
Kush semangat! Nasib baiklah aku tak ada penyakit jantung, kalau ada masuk IJNlah aku. Tak reti bagi salam apa mamat ni, marahnya di dalam hati. Aisya tidak mempedulikan akan kehadiran Tengku Hariz, malah dia menumpukan sepenuh perhatian untuk mencari sebuah teksi. Tengku Hariz memerhatikan sahaja gelagat Aisya.
“Mari!!” arah Tengku Hariz keras.
Aisya membatu. Tidak ada selera untuk memandang Tengku Hariz. Arahan Tengku Hariz dibiarkan sepi. Tak kuasa aku nak layannya, cebik Aisya.
Tengku Hariz rasa tercabar dengan sikap Aisya yang degil dan keras hati. Lantas dia menarik tangan dan membawa Aisya ke parking kereta yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
“Apa masalah Tengku ni?” Marah Aisya sambil matanya bulat memandang Tengku Hariz. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu oleh Tengku Hariz. Dia menarik tangannya dari pegangan Tengku Hariz.
Tengku Hariz memberhentikan langkahnya. Dia cuba bersabar dengan perangai dan sikap dingin Aisya. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menampar Aisya. Tetapi apakan dayanya untuk berbuat begitu. Aisya telah berjaya mencuri hatinya. Mungkin Aisya pemilik kunci hatinya itu.
“Boleh tak awak jangan bersikap dingin dengan saya Aisya,” geram Tengku Hariz sambil menggenggam erat tangannya.
Eh! Bila masa pulak aku dingin dengan dia ni. Dia yang dingin and suka marah-marahkan aku disebabkan perkara kecil. Siapa dingin siapa ni, kutuk Aisya.
“Awak nak ambil balik fail tu kan? Mari saya hantarkan awak, jangan berdegil!” tegas Tengku Hariz. Dia membuka pintu kereta, memberi isyarat masuk kepada Aisya. Gentleman juga Tengku Hariz ni walaupun masih dalam keadaan yang marah.
Aisya terpaksa akur. Ada benarnya kata-kata Tengku Hariz sebentar tadi. Jika dia masih menunggu teksi, entah bila dia akan sampai ke rumah memandangkan masa berbaki 1 jam 45 minit.
Tengku Hariz menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduan. Sesekali dia melirik ke arah Aisya yang masih tunduk membisu sejak mereka berdua bersama di dalam kereta. Bagaikan terkunci mulut Aisya untuk berkata-kata. Sesekali dilemparkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak mahu bertentang mata mahupun berbual-bual dengan Tengku Hariz. Hanya bunyian dari corong radio sahaja peneman kesunyian mereka berdua.


Aisya menghulurkan fail yang di ambilnya dari rumah kepada Tengku Hariz. Tengku Hariz mencapainya lalu diletakkan di belakang tempat duduk yang tidak berpenghuni. Sepanjang perjalanan pergi dan balik, Aisya banyak membisu dari berkata-kata. Panjang yang ditanya oleh Tengku Hariz, sepatah yang dijawab oleh Aisya. Tengku Hariz menyedari akan kedinginan sikap Aisya terhadapnya.
“Sorry!” ucap Tengku Hariz tiba-tiba mematikan kesunyian di antara mereka berdua.
Aisya masih lagi membisu. Kata-kata Tengku Hariz tidak diendahkan. Bagi Aisya, kata-kata Tengku Hariz hanya sekadar untuk menyembunyikan perlakuannya yang sebenar. Mana mungkin lelaki seego Tengku Hariz akan melafazkan kata-kata maaf kepada orang yang tidak sama taraf dengannya. Jangan percaya sangat Aisya! Aisya mengingatkan dirinya sendiri.
“Saya juga nak minta maaf dengan apa yang telah saya lakukan pada awak malam tu,” sambung Tengku Hariz lagi.
Aisya memandang tepat ke wajah Tengku Hariz yang masih lagi khusyuk dengan pemanduaan. Betul ke ikhlas, atau saja aje nak ambil hati aku. Blahlah! soal Aisya di ikuti dengan kerutan di dahi.
“Awak ragui keikhlasan saya ke, Aisya?” soal Tengku Hariz apabila menyedari akan kerutan di dahi Aisya.
Aisya tergamam. Alamak! Macam mana dia boleh baca fikiran aku ni. Mesti dia pasang bomoh, kalau tak… takkan dia boleh baca apa yang aku fikirkan. Entah-entah, benda tu ikut dia sekali kot. Aisya, jangan pandang belakang! Jeritnya di dalam hati.
“Aisya!” panggil Tengku Hariz apabila tiada tindak balas dari gadis itu.
Aisya tersentak dari lamunan.
“It’s okey, Tengku. Saya dah lali dengan semua tu. Tengku tak perlu risau. Selepas ni, hidup Tengku akan aman dan damai tanpa gangguan emosi disebabkan saya lagi,” ulas Aisya berbasa-basi.
Tengku Hariz memberhentikan keretanya dengan tiba-tiba. Tindakannya itu membuatkan kereta yang berada di belakang turut sama menekan brek secara emergency.
Astaghafirullahalazim!! Kush semangat! Bawa kereta elok-elok tak boleh ke, nasib baik tak accident,” marah Aisya sambil mengurut-urut dadanya yang terasa kencang dengan tiba-tiba. “Saya tak cukup amalan lagi nak bawa ke sana,” sambung Aisya sambil menjeling tajam ke arah Tengku Hariz yang masih lagi berlagak selamba.
“What do you mean, Aisya?” soal Tengku Hariz dan membalas jelingan Aisya.
Jantung Aisya berdegup kencang melihatkan jelingan Tengku Hariz. Dia berpura-pura tidak mendengar akan pertanyaan Tengku Hariz walaupun dia sudah menyediakan jawapannya.
“Apa Tengku dah lupa notis berhenti saya. Hari nikan hari terakhir saya bekerja dengan Tengku,”  jawab Aisya dan membetulkan kedudukan rambutnya yang agak berserabut.
Tengku Hariz menyambung semula pemanduannya. Lidah bagaikan terasa kelu untuk berkata-kata. Dia hampir terlupa dengan notis perletakan jawatan Aisya. Dia juga terlupa dengan niatnya yang sebenar terhadap Aisya. Tiba-tiba datang akal bijaknya ke dalam kotak fikiran. Akal yang membolehkan Aisya terus-terusan bekerja di syarikatnya. Dia mengerling jam di tangan dan tersenyum lebar.
“Eh Tengku, kita nak ke mana ni?” soal Aisya apabila menyedari Tengku Hariz tidak membelok ke arah jalan menuju ke Menara Holding.
“Saya nak bawa awak ke suatu tempat. Awak duduk diam dan jangan banyak tanya, faham!” arah Tengku Hariz spontan sambil menoleh ke arah Aisya. Dia tersenyum melihat gelagat Aisya yang berasa cemas dan gelisah.
Aisya mengerutkan dahi. Terasa titik-titik peluh mulai membasahi ubun-ubun rambutnya.
“Don’t worry Aisya. Saya bukan seperti yang awak fikirkan,” sambung Tengku Hariz seperti mengerti dengan apa yang difikirkan oleh Aisya waktu itu.
Aduh! Dia tahu aje apa yang aku fikirkan. Malu aku. Oh! Lupa la pulak yang dia pakai benda. Hish! Jangan tegur Aisya, jangan tegur, ngomel Aisya sendirian sambil membetulkan posisi duduknya. Tengku Hariz sekadar tersenyum. Dia berharap rancangannya berjaya untuk membuatkan Aisya bekerja lebih lama di syarikatnya itu.


“Tahniah Cik Aisya! Saya tugaskan awak kendalikan projek ini,” ucap Tengku Razlan sambil menghulurkan tangan untuk berjabat. Aisya membalasnya berserta dengan sebuah senyuman manis.
“Kenapa Tengku tak bentangkan sendiri proposal tu, kenapa saya?” bisik Aisya ke telinga Tengku Hariz. Rasa gementar masih lagi bersisa.
“Awak yang betulkan proposal tu, sudah tentulah awak tahu akan isi kandungannya. Saya kan tak sempat nak membacanya. Kalau saya yang terangkan, dibuatnya tunggang terbalik, siapa yang susah… saya juga sebab tak dapat projek tu. Lagipun, siapa suruh awak bawa balik fail tu, kan dah kena paksa dengan saya,” bebel Tengku Hariz diikuti dengan gelak tawanya yang kecil.
Aisya tertunduk malu. Memang diakui akan kesalahannya itu, tetapi itu tidak bermakna dia punya hak untuk bersuara di dalam mesyuarat itu tadi. Kecut perut apabila Tengku Hariz memintanya membentangkan proposal yang dibaiki semalam di hadapan kesemua Ahli Lembaga Tunjang Holding.
“Kalau ya pun nak suruh saya bentangkan, bagitaulah awal-awal… bolehlah saya pakai elok-elok sikit. Tengoklah keadaan saya ni, serabutkan!” geram Aisya lagi sambil membelek dirinya di hadapan Tengku Hariz tanpa segan silu.
Tengku Hariz memerhatikan penampilan Aisya dari atas ke bawah. Hatinya tercuit seketika dengan tingkah laku manja Aisya. Bagi Tengku Hariz tidak ada cacat celanya Aisya di matanya. Walau apa sekali pun yang dipakaikan oleh Aisya, ianya masih lagi tampak cantik dan manis.
“Awak pakai macam ni pun dah cantik Aisya, saya suka,” puji Tengku Hariz sambil tersenyum memandang Aisya. Senyuman yang menggetarkan hati Aisya waktu itu, manis dan menggoda.
Dengan tiba-tiba dada Aisya berdegup kencang, mukanya terasa panas. Alamak! Apasal pulak dengan jantung aku ni, tetiba pantas aje degupnya. Takkanlah dia baru senyum, aku dah cair kot. Ah sudah, kena pergi check jantung ni. Manalah taukan ada wayar yang tercabut dalam jantung aku ni. Silap hari bulan masuk IJN pulak aku, Aisya bermonolog dan tersenyum sendiri.
Tengku Hariz yang sedari tadi leka memerhatikan Aisya, tergelak kecil melihat rona merah yang jelas terpamer di pipi Aisya. Entah mengapa begitu spontan dia mengeluarkan kata-kata itu sebentar tadi. Ah! Sudah, kacau ni. Jeritnya di dalam hati.
“Hariz… Aisya…” panggil Tengku Razlan dari arah belakang. Tengku Hariz dan Aisya seraya menoleh.
“Kenalkan Project Manager saya… Amirul Haqeem Bin Zulkifli. Amirul akan bekerjasama dengan Cik Aisya mengendalikan projek di Sabak Bernam tu. So, saya harap kamu berdua dapat bekerjasama dengan baik,” jelas Tengku Razlan.
Amirul melemparkan senyuman kepada Aisya. Tidak disangka sama sekali yang dia bakal bekerjasama dengan Aisya, rakan baiknya semasa di UK dahulu. Hatinya berbunga mekar. Mungkin dengan cara ini, dia berpeluang mendekati Aisya dengan lebih dekat dan rapat lagi. Tidak bagi Tengku Hariz, ini merupakan cabaran baginya untuk merebut hati Aisya.
“Berbuallah ya, saya minta diri dulu,” sambung Tengku Razlan dan melangkah pergi menghilang di sebalik pintu. Aisya hanya tersenyum, begitu juga Tengku Hariz dan Amirul.
Nice meeting you Cik Aisya. Hope kita dapat bekerjasama dengan baik,” kata Amirul sambil menghulurkan tangan untuk berjabat dan di balas oleh Aisya. Tengku Hariz yang berada di sisi Aisya di kerlingnya. Mamat ni, macam pernah aku nampak. Tapi, kat mana ya? Soal Amirul di dalam hati sambil dahinya berkerut cuba mengingati wajah lelaki yang berada di sebelah Aisya.
“Ni…” suara Amirul sambil memberi isyarat kepada Aisya.
“Oh ya, lupa Aisya nak kenalkan. Amirul, kenalkan ni…..” terhenti apabila Tengku Hariz memotong kata-katanya.
“Tengku Hariz Iskandar Tengku Azman, bos merangkap boyfriend Aisya,” pintas Tengku Hariz selamba sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
Aisya terkejut dan mengangkat kening. Matanya melirik tajam ke arah Tengku Hariz yang bermuka selamba. Terpamer riak terkejut di wajah Amirul selepas Tengku Hariz memperkenalkan diri di hadapannya. Aisya semakin tidak selesa. Eh, sejak bila pulak mamat sengal ni jadi boyfriend aku. Angin tak ada, ribut tak ada, sesuka hati mak bapak dia aje nak kata dia tu boyfriend aku. Jatuhlah saham aku depan Amirul ni, gerutu Aisya sambil mencebik ke arah Tengku Hariz.
Tengku Hariz yang menyedari akan perubahan di wajah Aisya, sengaja merapatkan badannya agar bersentuhan bahu dengan Aisya. Tangan Aisya digenggam erat. Hampir terjerit Aisya dibuatnya dengan tindakan berani Tengku Hariz itu. Ni dah lebih ni. Kang ada yang makan penampar aku ni, marahnya pula.
“Err… Amirul, jom kita ke sana! Aisya ada benda nak tanya Amirul.” Aisya melepaskan genggaman Tengku Hariz dan menarik tangan Amirul untuk beredar dari situ. Amirul hanya menuruti langkah Aisya yang membawanya ke suatu sudut yang agak jauh dari pandangan orang.
Sorry Amirul. Tengku Hariz tu bos Aisya dan bukannya boyfriend Aisya. Suka hati dia aje nak kata dia tu boyfriend kita. Buang tebiat apa, perasan betul!” marah Aisya sambil menjeling tajam ke arah Tengku Hariz yang sedang berbual bersama beberapa kenalan. Tengku Hariz yang menyedari akan jelingan Aisya, hanya mengenyitkan mata dan menghadiahkan senyuman yang manis kepadanya.
“Ee… geramnya. Perasaan betul la dia tu,” gerutu Aisya geram dan marah.
Amirul tersenyum melihat Aisya. Dia hairan dan pelik, kenapa Aisya perlu menjelaskan perkara itu sedangkan mereka berdua hanyalah bersahabat baik.
“Hey Aisya, come on la. Amirul tak kata apa-apa pun kan!” ulas Amirul sambil menepuk-nepuk perlahan tangan Aisya. Cuba mententeramkan perasaan Aisya yang masih berkocak akibat menahan kemarahan terhadap Tengku Hariz.
“Aisya cuma tak nak Amirul fikir yang bukan-bukan, itu aje.” Aisya menarik tangannya yang sedari tadi dipegang oleh Amirul. Eh kejap. Asal pulak aku nak jelaskannya pada Amirul. Bukannya aku ada apa-apa dengan dia pun. Kalutlah kau ni Aisya! Desisnya di dalam hati.
It’s okey Aisya! Don’t worry about it,” pujuk Amirul dengan sebuah senyuman terukir di bibir.
Aisya mengangguk tanda faham. Hatinya lega mendengar penjelasan Amirul. Dia tak nak Amirul salah faham. Sebentar tadi dia rasa bersalah yang amat sangat melihat dari cara pandangan Amirul. Tidak menyangka Tengku Hariz akan memperkenalkan diri sebagai bos merangkap boyfriend di hadapan Amirul. Bagi Amirul, sudah tentulah dia terkejut. Dengan tiba-tiba sahaja Aisya sudah mempunyai boyfriend sedangkan selama dia mengenali Aisya, Aisya sukar didekati dan hati Aisya bagai tertutup rapat untuk menerima cinta seorang lelaki.
Seketika itu, Amirul teringat di mana dia berjumpa dengan Tengku Hariz. Ya, di pejabat Aisya sewaktu dia singgah di pejabat itu untuk mengajak Aisya makan tengahari bersama. Ketika itu, Aisya cuba melarikan diri daripada Tengku Hariz yang seakan mengganggu emosinya dan jelas juga di wajah Aisya akan ketidaksenangan apabila berhadapan dengan Tengku Hariz. Tetapi, hari ini amat berbeza. Aisya tersenyum manis apabila berdiri bersebelahan dengan Tengku Hariz. Mungkinkah Aisya sudah jatuh cinta dengan Tengku Hariz? Kemungkinan yang harus ditepis oleh Amirul ketika ini.
“Tak pasti Uncle. Abang tak bagitau pun pada Riz bila dia nak balik ke Malaysia. Mungkin dia dah selesa tinggal kat sana,” tutur Tengku Hariz. Sesekali matanya melirik ke arah Aisya dan Amirul yang masih lagi berbual mesra di hujung sudut bilik itu. Ada perasaan cemburu di benaknya.
“Tak mengapalah Riz. Nanti Uncle bincangkan dengan papa Riz,” jawab Tengku Razlan sebak.
Entah mengapa dengan tiba-tiba Tengku Razlan bertanyakan pada Tengku Hariz soal abangnya. Mungkin Tengku Razlan ingin membincangkan soal perkahwinan abangnya dengan Tengku Hanis Suraya. Kalau diikutkan sudah hampir setahun setengah abangnya bertunang dengan Tengku Hanis Suraya. Sudah tentulah Tengku Hanis Suraya ingin mempercepatkan perkahwinan mereka. Siapa yang tidak bosan kalau ditunangkan lama-lama. Aku sendiri pun bosan, getusnya di dalam hati.
“Kalau macam tu, Riz balik dulu Uncle. Thanks sebab bagi projek tu pada company Riz. Insya-ALLAH, Riz akan buat yang terbaik untuk projek ini.” Azamnya di hadapan Tengku Razlan.
Tengku Razlan mengangguk sambil menepuk bahu anak rakan businessnya itu, Tengku Hariz.


“Mari Aisya, saya hantarkan awak balik!” suara Tengku Hariz tiba-tiba mematikan perbualan Aisya dan Amirul.
“Eh, tak mengapalah Tengku. Nanti I hantarkan Aisya balik,” pelawa Amirul. Pandangannya beralih kepada Aisya yang masih lagi diam membisu.
“I datang dengan dia tadi, jadi I lah yang kena hantar dia balik.” bentak Tengku Hariz keras dan tegas. Aisya yang sudah tidak senang duduk memandang sekilas ke wajah bosnya, tegang menahan kemarahan. Seminit kemudian, Tengku Hariz berlalu pergi dari situ.
“Tak mengapalah Amirul. Tadi Aisya datang dengan bos, so ada baiknya Aisya balik dengan bos. Maafkan Aisya, Aisya balik dulu.” Aisya bingkas bangun dan berlari anak mengejar Tengku Hariz yang sudah pun berjalan meninggalkannya di belakang. Terkocoh-kocoh Aisya mengejar langkah Tengku Hariz kerana dikhuatiri akan dimarahi oleh Tengku Hariz kelak.
Amirul memerhati dari jauh sehingga kelibat Aisya hilang dari pandangan mata. Hatinya marah dengan tindakan Tengku Hariz yang memaksa Aisya. Apa hak dia untuk memaksa Aisya pada perkara yang Aisya sendiri tidak suka dan benci.
“Cepat sikit!” jerit Tengku Hariz dari tempat letak kereta.
Aisya mempercepatkan langkahnya. Tengku Hariz yang memerhatikan Aisya dari jauh mendengus keras. Dia menghidupkan enjin dan menunggu Aisya dari dalam kereta. Aisya segera memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Seminit kemudian, kereta meluncur laju membelah jalan raya yang penuh sesak setiap hari.


Aisya melemparkan pandangan ke luar tingkap. Masing-masing melayan perasaan yang terbuku di dalam hati. Entah mengapa berat mulut Aisya untuk berkata-kata sewaktu dia bersama Tengku Hariz, tidak seperti dia bersama Amirul, ada saja perkara yang hendak dibualkan. Ya, ya… aku tahu Amirul tu dah lama kenal sedangkan bos, baru 2 bulan kenal. Mestilah ada perbezaannya. Apalah kau ni Aisya, benda simple pun kau nak fikirkan, monolognya di dalam hati.
“Mesra nampak,” ujar Tengku Hariz tiba-tiba memecahkan kesunyian.
“Mesra?” ulang Aisya sambil matanya dikecilkan. “Oh! Saya dengan Encik Amirul, begitu?” sambung Aisya sambil menoleh ke arah Tengku Hariz. Wajah Tengku Hariz diperhatikan. Erm… handsome jugak mamat perasan ni. Cukup sempurna di mata sesiapa yang memandangnya, bisik Aisya.
Tengku Hariz tidak selesa di perhatikan begitu. Pantas jari telunjuknya menukar siaran di radio. Gugup!!
“Saya dengan Encik Amirul dah lama kenal, sejak kami belajar bersama di UK lagi. Dia banyak bantu saya dalam assignment dan belajar. Bila saya ada masalah, dialah tempat untuk saya meluahkan perasaan. Dia seorang yang baik, kacak, segak, bijak dan beriman. Kalau nak dijadikan calon suami, memang layak sangatlah sebab serba-serbinya dia tahu.” Lancar betul mulut Aisya bercerita mengenai Amirul kepada Tengku Hariz, namun Tengku Hariz amat tidak menyenanginya.
Baik? Kacak? Segak? Bijak? Eh, semua tu aku adalah, malah aku lagi bagus dari dia tu. Tapi cuma satu aje yang aku tak setanding dia, iman. Ya, Iman… sejak dari kecil lagi, papa dan mama aku tidak pernah mengajar aku soal agama. Mujurlah ada Mak Kiah yang tidak putus-putus mengajar aku mengaji dan bersholat, suara Tengku Hariz di dalam hati sambil pandangannya dilepaskan terus ke hadapan.
“Lagi satukan Tengku, Encik Amirul tu dah lama sukakan saya, entah sebab apa ntah dia boleh suka kat saya, pelikkan!” sambung Aisya sambil meletakkan jarinya di bawah bibir seperti orang yang sedang berfikir. Comel!
“Nak kata saya ni cantik, tak adalah la pulak, cantik lagi kucing parsi saya yang kat rumah tu. Kaya, lagilah… apalah yang ada kat saya… yang ada basikal buruk kat kampung tu, satu-satunya harta peninggalan arwah abah saya. Dan yang ni saya memang sure gilalah, semua lelaki takut mendengarnya malah ada yang akan kata ‘selisih malaikat 44’… saya nikan, jan….” Kata-katanya terhenti apabila terdengar gelak kecil dari arah Tengku Hariz.
Alamak! Asal aku ni jujur sangat ngan dia ni. Tak pasal-pasal nanti dia tahu siapa aku, parah ni, gerutu Aisya geram sambil menepuk dahinya sendiri. Tengku Hariz tergelak kecil dengan perlakuan Aisya sebentar tadi.
“Awak apa?” suara Tengku Hariz ingin tahu sambil mengerling sekilas ke arah Aisya.
Aisya diam membisu seketika. Mulutnya terasa terkunci untuk berkata-kata. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu akan statusnya itu, ‘janda’. Ya, janda. Status yang sudah enam tahun dipegangnya. Dia bukan malu untuk mengakuinya, cuma dia tidak suka orang memandang rendah kepadanya disebabkan status itu. Eh, ok apa janda… bukan senang nak dapat gelaran janda meletup, glamour gitu, bisiknya dan tersenyum panjang.
“Awak apa, Aisya?” soal Tengku Hariz lagi mematikan lamunan Aisya.
Aisya tersengih.
“Eh, tak ada apa-apalah Tengku. Lama lagi ke nak sampai?” soal Aisya pula. Ingin mengelak dari menjawab soalan yang diajukan oleh Tengku Hariz itu.
“Kita balik office dulu, lepas tu saya hantar awak balik,” putus Tengku Hariz sambil membelok kereta di simpang masuk ke bangunan Menara Holding.
Aisya mengangguk dan hanya mampu tersenyum.


Aisya melepaskan keluhan kecil sambil langkahnya dihala ke tempat lif. Entah mengapa dia boleh bersikap jujur di hadapan Tengku Hariz tetapi tidak di depan Amirul. Entah mengapa juga dia dengan selamba bercerita mengenai Amirul dan juga dirinya. Entah mengapa jugalah dia excited sangat nak bercerita panjang lebar dengan si ‘mamat perasan bagus’ yang dipanggilnya sejak mula dia bekerja di syarikat Menara Holding. Aduh! Kenapalah aku ni jujur sangat? Nasib baik aku pandai cover line bila dia tanya tadi, kalau tak… macam mana aku nak mengelak dari jawab soalan dia tu, bisik Aisya dengan nada yang kesal. Kenapa dengan aku ni? Rintihnya lagi.
Tengku Hariz mengekori Aisya dari belakang. Dia menyedari akan perubahan wajah Aisya sedari turun kereta sehinggalah memasuki lif. Riak gelisah jelas terpamer di wajah Aisya. Dahi Aisya sentiasa berkerut seperti ada perkara yang sedang mengganggu fikirannya ketika itu. Adakah semua itu disebabkan Amirul? Benarkah apa yang dikatakan oleh Aisya sebentar tadi mengenai Amirul, perasaan Amirul terhadap Aisya. Jika benar, kenapa Aisya tidak menerima cinta Amirul? Bukankah tadi dia memuji-muji lelaki itu. Baik la, kacak la, segak la dan bla… bla… bla… geli isi perut aku mendengarnya, ejek Tengku Hariz di dalam hati. Hisy!! Sejak bila pulak aku pandai melawak ni, gerutunya pula. Aisya… Aisya, apa yang kau cuba rahsiakan dari aku. Cuba kau luahkan, aku sedia mendengarnya. Fuyoo, jiwang karat pulak aku ni, bisik Tengku Hariz sambil tersenyum.
 “Shit!! Time nilah dia nak rosak!” marah Tengku Hariz sekali gus mematikan lamunannya sedari tadi. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar slacknya. Dengan berpandukan cahaya lampu dari telefon bimbit, Tengku Hariz menghala ke sudut tepi lif untuk menekan butang loceng kecemasan.
“Abah, Aisya takut! Aisya takut!” Terkumat-kamit mulut Aisya menyebutnya sambil memeluk kedua-dua belah kakinya. Air mata tidak sempat diseka, lalu membasahi pipi akibat ketakutan yang amat sangat. Badannya menggigil kesejukan, menahan ketakutan sepertimana sewaktu dia terkurung di dalam bilik stor semalaman di sekolah suatu ketika dulu. Mujurlah kawan baiknya Jamilah memberitahu arwah Ahmad Nordin akan kehilangannya di sekolah. Arwah segera datang ke sekolah mencarinya. Ketika ditemui, dia hampir pengsan akibat kekurangan udara bernafas dan arwah juga yang membawanya ke hospital. Tidak putus-putus arwah memanggil dan menyebut namanya sambil mengusap-usap pipinya ketika itu. Pelukan erat arwah menggamit kerinduannya ketika ini.
“Aisya!!” panggil Tengku Hariz. Telefon bimbit dihalakan ke arah Aisya yang sudah terduduk sambil memeluk kedua-dua belah kakinya. Pipinya lencun disebabkan air mata yang tidak putus-putus mengalir. Tengku Hariz segera mendapatkan Aisya.
“Jangan tinggalkan Aisya, Aisya takut!” rayu Aisya sambil memeluk Tengku Hariz.
Tengku Hariz tergamam seketika. Dengan perlahan-lahan dia membalas pelukan Aisya sambil tangannya mengusap-usap pipi Aisya yang sudah lencun akibat menangis.
“Tidak Aisya, Hariz takkan tinggalkan Aisya buat selama-lamanya. Percayalah!” suara Tengku Hariz lembut cuba memujuk Aisya yang masih lagi dalam ketakutan. Aisya mengemaskan lagi pelukannya. Dia dapat merasakan seolah-olah arwah abahnya berada di dalam dakapan itu. Selesa dan tenang. Semangatnya pulih, segala ketakutan di buang jauh-jauh.
“Ya ALLAH! Maafkan saya Tengku. Saya tak sengaja,” ujar Aisya teketar-ketar. Dia melepaskan pelukan dari tubuh sasa Tengku Hariz apabila menyedari lampu lif sudah berfungsi. Bingkas dia bangun dan membetulkan keadaannya yang sedikit kusut. Air mata yang tertinggal di kelopak mata  diseka dengan hujung jari sahaja.
Tengku Hariz segera bangun. Dia memasukkan semula telefon bimbit ke dalam poket seluar slacknya. Dia cuba untuk berlagak biasa tetapi matanya tidak dapat mengelak dari memandang wajah Aisya yang redup dan tenang.
“Saya….” Terhenti.
Terasa merona merah mukanya waktu itu. Aduh! Macam mana aku nak cakap ni. Apasal la aku boleh terpeluk dia pulak tadi tu. Nasib baik tak ada orang, kalau ada… malu aku dibuatnya, gerutu Aisya di dalam hati sambil cuba melemparkan senyuman kepada Tengku Hariz. Senyuman yang dipaksa-paksa.
“It’s okey Aisya. I don't mind if you want to hug me again!” bisik Tengku Hariz ke telinga Aisya dan melangkah keluar dari dalam perut lif selepas pintu lif terbuka.
Bagaikan halilintar sedang memanah telinga Aisya waktu itu. Eh! Bukan panah jantung ke? Ahh!! Gasaklah. Jantung ke telinga ke, sama aje bagi aku di waktu darurat ni. Asal pulak dengan jantung aku ni. Memang kena masuk IJN ni. Mesti ada yang dah longgar dalam jantung aku ni. Asyik berdegup kencang aje, guraunya di dalam hati.


“Aleeya!” Terpacul nama itu sebaik sahaja Tengku Hariz menguak pintu biliknya. “You buat apa kat sini?” soal Tengku Hariz seraya membuka blazer dan dihumbankan ke atas sofa. Dia melabuhkan duduk ke kerusi empuknya.
“You tak suka ke I datang sini?” soal Sharifah Aleeya sambil menjeling ke arah Tengku Hariz.
“Eh, mana ada. Bila masa pulak I tak suka you datang sini, suka apa. Cuma, apa sebab you datang ke sini, itu soalan I sebenarnya,” dalih Tengku Hariz. Dia menyandarkan kepala ke kerusi. Cuba menghilangkan rasa keletihan sedari pagi tadi. Matanya dipejamkan buat seketika waktu.
Sharifah Aleeya melangkah menghampiri kerusi Tengku Hariz. Majalah yang dibaca sedari tadi, diletakkan di atas meja Tengku Hariz.
“Riz, papa ajak you sekeluarga makan kat rumah malam ni. Dia nak bincangkan hal pertunangan kita,” ujar Sharifah Aleeya sambil tangannya memainkan peranan memicit kepala Tengku Hariz.
Tengku Hariz segera membuka matanya, terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh Sharifah Aleeya. Dengan pantas dia menepis tangan Sharifah Aleeya dan bingkas bangun menuju ke sofa. Sharifah Aleeya tersentak dengan perlakuan Tengku Hariz. Namun dia tetap mengekori Tengku Hariz menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ.
“Riz, you dengar tak apa yang I katakan tadi,” rengek Sharifah Aleeya manja sambil tangannya memaut erat lengan Tengku Hariz.
Tengku Hariz diam membatu. Otaknya ketika itu tidak dapat berfungsi dengan betul, mati dengan tiba-tiba. Jika boleh di belah, mahu saja dia membelah otaknya. Dibuang segala isi dalam mengenai Sharifah Aleeya dan digantikan dengan Aisya Lyana Sofea, insan yang semakin mendapat tempat di hatinya.
“Ehem…” deheman Sharifah Aleeya membawanya ke alam realiti. Sekilas itu dia menoleh ke arah Sharifah Aleeya yang setia menanti jawapan darinya.
“Insya-ALLAH, I akan bagitau papa,” jawab Tengku Hariz dan memejamkan matanya semula. Dia membiarkan lengannya dipaut erat oleh Sharifah Aleeya. Tidak ada mood untuk bergaduh mahupun berbalah dengan Sharifah Aleeya. 
“Masuk!” Arah Tengku Hariz tatkala terdengar pintu biliknya diketuk seseorang.
“Maafkan saya kalau mengganggu. Saya nak serahkan briefcase Tengku yang tertinggal di luar tadi. Kalau tidak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.” Teratur sekali ayat yang dikeluarkan dari mulut Aisya. Dia cuba menahan diri agar tidak cepat melatah dengan apa yang dilihatnya itu.
Tengku Hariz membuka mata. Wajah Aisya terbias di ruangan mata. Lantas dia melepaskan pegangan Sharifah Aleeya dan bangun menuju ke arah Aisya yang sedang menantikan arahan darinya. Sharifah Aleeya tersentak lagi dengan perlakuan Tengku Hariz. Malu apabila diperlakukan sebegitu, lebih-lebih lagi di hadapan pekerja bawahan Tengku Hariz. Terasa tegang di wajahnya menahan marah dan geram. Malunya beb!!
“Thanks. Awak balik dengan apa?” tanya Tengku Hariz sambil menyambut briefcase dari tangan Aisya. Briefcase bertukar tangan.
“Naik teksi.” Spontan saja Aisya menjawabnya. Dia cuba untuk berlagak tenang walaupun ketika itu dia dapat merasakan ada sesuatu perasaan yang berlainan dari lubuk hatinya. Cemburu!! Ah, tak mungkin aku cemburu. Bukan ada perasaan apa-apa pun kat mamat ni, Aisya berperang dengan hatinya sendiri.
“Saya hantarkan,” pelawa Tengku Hariz sekali gus mengejutkan Sharifah Aleeya. Sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati di antara Tengku Hariz dan pekerja bawahan itu. Mukanya merah menahan kemarahan yang amat sangat.
“Eh, tak mengapalah Tengku. Saya boleh balik sendiri. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” tutur Aisya dan segera beredar dari bilik yang menyesakkan nafasnya sedari dulu lagi.
Tengku Hariz memerhati Aisya sehinggalah kelibat itu hilang di sebalik pintu bilik. Dia melepaskan keluhan kecil dan meraup muka berkali-kali. Ingatannya ligat memikirkan Aisya.
“Sejak bila pulak you baik sangat dengan pekerja ni, siap nak tolong hantarkan balik lagi tu,” perli Sharifah Aleeya diikuti dengan jelingan tajam ke arah Tengku Hariz.
“Dah lah, jom kita balik!” putus Tengku Hariz. Malas untuk bertekak dengan Sharifah Aleeya dalam keadaan yang resah dan gelisah memikirkan perasaannya terhadap Aisya.
Sharifah Aleeya mencebikkan bibir sahaja. Dia menuruti langkah Tengku Hariz yang sudah pun jauh meninggalkannya. Dalam masa yang sama, Sharifah Aleeya cuba mengingati wajah pekerja bawahan Tengku Hariz. Seolah-olah dia mengenali wajah gadis itu. Ah! Buat apa aku fikirkan minah tu, buat sakit kepala aje, desis Sharifah Aleeya.


4 ulasan:

  1. urm igt jadi dah berhenti kerja, er kesian gan amirul klo aisya tak terima dia. huhuhu

    BalasPadam
  2. huhu..mmg kesian..tp nanti ada bahagianya buat Amirul.. :)

    BalasPadam
  3. thanks di atas komennya... sy pn tersenyum sendiri bila baca bab ni... ;)

    BalasPadam