BAB
1
“SUDIKAH
awak menjadi isteri saya?” ucap suara itu penuh romantis.
Nur Edleen tersipu-sipu
malu. Dia menundukkan muka sambil menguis-nguis kaki di lantai. Jantungnya
berdegup dengan kencang. Bagaikan nak meletup jantungnya itu. Mana tidaknya
Lelaki Idaman Malaya sedang melamar dirinya.
“Sudikah awak menjadi
isteri saya?” ucap suara itu lagi.
Nur Edleen mengangguk
laju. Mana mungkin dia menolak lamaran lelaki yang menjadi pujaan hatinya
selama bertahun-tahun. Semenjak dia jatuh cinta dengan lelaki itu, seluruh jiwa
dan raganya sudah diserahkan sepenuhnya pada lelaki itu. Sungguh dia bertuah
kerana berjaya menambat hati lelaki itu.
“Kalau saya jadi bulan,
awak nak jadi apa?”
“Jadi bintangnya!”
“Kalau saya jadi
kumbang?”
“Saya jadi bunganya!”
“Kalau aku jadi kuali,
kau nak jadi apa?” tanya satu suara sedikit menekan.
“Tentulah jadi sudipnya,”
jawab Nur Edleen dan tersengih.
“Kalau kau jadi hantu,
aku nak jadi apa pulak kali ni?” tekan suara itu.
Nur Edleen mengerutkan
dahi. Kalau aku jadi hantu, dia nak jadi apa ya? Soal hati Nur Edleen sambil
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Erm, nak jadi apa ya?” soalnya pada
diri sendiri.
“Jadi mak hantulah!”
jerit kecil Hajah Norhayati meninggi ke telinga Nur Edleen.
Tersentak Nur Edleen
mendengar jeritan itu. Serta merta dia terjatuh tergolek dari atas katil.
“Aduh!” rengek Nur Edleen
sambil meraba-raba punggungnya yang terasa sakit. “Apa ummi ni? Jerit-jerit kat
Leen, sakit telinga Leen dah ni. Tak pasal-pasal pekak telinga Leen dibuatkan ummi,”
rungutnya sambil menggosok lembut telinga.
“Habis tu, yang kamu
tersengih-sengih sambil bercakap-cakap tu, kenapa? Dah buang tebiat ke? Kamu tu
anak dara, tak baik tidur meninggi hari,” bebel Hajah Norhayati keras.
Nur Edleen melabuhkan
duduk di birai katil. Patung beruang ditarik dan dipeluk erat. Bebelan umminya
buat antara dengar ataupun tidak sahaja.
“Tengok tu, boleh pulak
dia peluk binatang tu lagi. Hisy, budak ni, tak pernah nak berubah. Perangai
mengalahkan budak-budak. Umur dah dua puluh lima tahun, tapi perangai
mengalahkan umur lima tahun. Ummi kahwinkan dengan anak Haji Mahmud tu baru tahu,”
bebel Hajah Norhayati lagi.
Membuntang mata Nur
Edleen mendengar bebelan umminya. Kahwin? Hisy, ummi ni. Asyik-asyik ugut
kahwin, asyik-asyik ugut kahwin. Cubalah ugut tang lain pulak. Hadiah aku
kereta ke, laptop ke, rumah ke tak
pun paling mewah, lelaki handsome
macam Brad Pitt tu ke, monolog Nur
Edleen sendirian dan tersengih.
“Ya Allah, tengok tu,
tersengih pulak dah. Tadi tersenyum kambing, sekarang tersengih macam kerang
busuk pulak. Tak faham ummi dengan perangai kamu ni, Leen,” geram Hajah Norhayati
pula.
“Sengih pun tak boleh ke
ummi? Bukan kena bayar pun,” balas Nur Edleen seraya membaringkan tubuh di atas
katil. Terasa mengantuk matanya itu.
“Amboi, dah pandai
menjawab anak ummi ni. Leen jangan ingat yang Leen tu budak-budak lagi. Kalau
ikutkan umur Leen ni, dah layak sangat kahwin,” tegur Hajah Norhayati. “Masak
pun tak berapa nak pandai, kemas rumah lagilah. Tengok ni, bilik mengalahkan
tongkang pecah. Kalau orang lain tengoknya, reject
terus jadi menantu,” bebelnya pula.
“Siapa yang nak kahwin ummi?
Kak long ke?” tanya Nur Edleen perlahan.
“Leen ni dah buang tebiat
ke? Kak long kamu tu kan dah kahwin, dah ada dua orang anak,” jawab Hajah
Norhayati. Dipusingkan badan dan alangkah terkejutnya melihat Nur Edleen yang
berbaring semula di atas katil. “Ya Allah, apa nak jadi dengan anak aku ni,”
luahnya dan menggeleng kecil.
Tanpa membuang masa,
segera dia menapak keluar dari bilik. Lebih lama dia di dalam bilik itu, lebih
geram dengan Nur Edleen dibuatkannya. Belum sempat tangannya memulas tombol
pintu bilik, telinganya menangkap suara Nur Edleen.
“I love you, Brad Pitt!” luah Nur Edleen dan tersengih.
Terjegil mata Hajah
Norhayati mendengarnya. Dia menggeleng kecil sebelum beredar dari situ. Entah
bilalah Nur Edleen akan berubah perangai, dia sendiri kurang pasti. Jauh di
sudut hati, Hajah Norhayati berharap agar Nur Edleen menjadi seorang perempuan
yang bertanggungjawab dan matang.
NUR
EDLEEN mengerling jam di tangan. Sudah hampir sepuluh minit
dia terlewat untuk berjumpa dengan kawan-kawannya. Jika tidak memikirkan
perasaan mereka, mahu sahaja dia membatalkan pertemuan tersebut dan menyambung
tidurnya. Alangkah seronoknya berguling-guling di atas katil sambil memeluk ‘Mr. Bear’. Gelaran yang diberi untuk
patung beruangnya.
“Ummi lah ni, bukannya
nak kejutkan Leen. Leen ada temujanji dengan kawan-kawan,” rungut Nur Edleen
sambil menyarung kasut ke kaki.
“Ummi pulak yang salah.
Kan ummi dah kejutkan Leen tadi, Leen yang malas nak bangun,” bidas Hajah
Norhayati.
“Erk, ummi ada kejutkan
Leen ke?” tanya Nur Edleen sambil menggaru kepala.
Hajah Norhayati menepuk
dahi. Dia menggeleng kecil melihat tingkah Nur Edleen.
“Ummi kejutkan main-main
ke betul-betul?” tanya Nur Edleen lagi.
“Hai, kejut pun ada
main-main dengan betul-betul ke?” tanya Hajah Norhayati berkerut.
“Mestilah ada ummi. Nanti
Leen ajar ummi ya. Leen dah lambat ni. Assalamualaikum ummi,” balas Nur Edleen
dan berlalu pergi.
“Leen.. nanti dulu,”
laung Hajah Norhayati dari muka pintu. Seakan ada sesuatu yang tidak kena pada
anaknya itu.
“Leen dah lambat.
Assalamualaikum,” ulang Nur Edleen pada ayatnya yang tadi.
“Waalaikumussalam,” sahut
Hajah Norhayati dan menggeleng. Matanya menghantar pemergian Nur Edleen. Tanpa
berlengah, segera dia menuju ke dapur menyambung kerja yang tertangguh sedari
tadi.
“Oi mak kau gelak
tergolek,” jerit kecil Nur Edleen tatkala dirinya tergelincir jatuh terduduk di
atas lantai. “Aduh! Sakitnya punggung aku,” rengeknya pula.
“Mak cik tak ada
apa-apa?” tanya seseorang dari arah belakang.
Nur Edleen mengerutkan
dahi. Mak cik? Mak cik dia panggil aku. Aku punya cun-melecun boleh dia panggil
aku mak cik. Marah tahap gaban ni. Tak pasal-pasal kena fire dengan aku nanti, monolog Nur Edleen sendirian.
“Mak cik okey ke tidak
ni?” tanya suara itu lagi.
“Saya okeylah! Punya
sikit cun awak boleh panggil saya mak cik,” geram Nur Edleen, seraya bangun.
Diusap lembut punggungnya yang terasa sakit.
“Oh, bukan mak ciklah.
Kalau bukan mak cik, apa ya?” tanya suara itu sambil menggaru-garu kepalanya
yang tidak gatal.
Nur Edleen mengangkat
muka. Tajam matanya ke wajah lelaki itu. “Saya muda lagi dan belum kahwin. So, awak kena panggil saya cik. Muka
saya ni ada rupa mak cik ke?”
Edzuary Safuan hanya
membisu. Matanya menjamah wajah Nur Edleen.
“Hello!” panggil Nur Edleen sambil tangannya di awang-awangkan di
hadapan mata Edzuary. Gila ke mamat ni. Macam tak pernah tengok orang aje. Cun
sangat kut aku ni sampai terbeliak mata dia menengoknya, kata hati Nur Edleen.
“Saya ni cun sangat ya, sampai
nak terkeluar bijik mata encik tu
tengok saya, betul, kan?” kata Nur Edleen dan tersenyum malu. Dicuit lengan
lelaki tersebut dan tersengih-sengih.
Tersentak Edzuary dengan
cuitan Nur Edleen. Senyuman nipis diberikan buat Nur Edleen. Tanpa membalas
kata-kata Nur Edleen, segera dia beredar dari situ. Jika berlama, hatinya akan
menjadi tidak tenteram.
“Sah! Memang gila mamat
tu,” komen Nur Edleen dan mengerling jam di tangan. “Aduh! Lambat dah ni.
Mengamuklah diorang dengan aku nanti,” rungutnya pula dan beredar dari situ.
Punggungnya yang terasa sakit dibiarkan sahaja. Kemarahan kawan-kawan lagi
merisaukannya dari kesakitan tersebut.
EDZUARY
menyandarkan tubuh ke kusyen kereta. Mata dipejam dan cuba mententeramkan jiwa
dan perasaan yang sedang berkocak hebat. Pertemuannya dengan gadis tadi
membuatkan degupan jantungnya tidak stabil. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu
jawapan apa yang harus diberikan. Apa yang pasti, wajah gadis itu mengingatkan
dirinya pada seseorang. Seseorang yang pernah membuatkan jantungnya berdegup
pantas sehingga ke saat ini wajah gadis itu sentiasa mengisi ruangan mata.
Sukar untuknya menghapus bayangan gadis itu. Adakah gadis itu yang dicarinya
selama ini?
Deringan telefon
menyentak lamunan Edzuary. Segera tangannya menyeluk poket seluar dan
mengeluarkan telefon bimbit. Butang hijau ditekan dan dilekapkan ke telinga.
Menanti sapaan dari hujung talian.
“Ya mama, kenapa?” tanya
Eduzary lemah. Sudah pastilah Puan Jaslina ingin mengingatkan dia tentang temu
janji dengan Datin Zainab. Sungguh Edzuary tidak menyukai pertemuan tersebut.
Kemudian dilirikkan mata ke jam di tangan, masa sudah menginjak ke satu petang.
“Ary kat mana? Dah lama
mama tunggu Ary kat restoran ni,” rungut Puan Jaslina.
“Sorry mama, Ary terlupa. Ary baru balik dari klinik, tak sihat
sikit,” bohong Edzuary. Sengaja mengelak dari berjumpa dengan Puan Jaslina.
Pasti mamanya ingin menemukannya dengan anak Datin Zainab.
“Ary tak sihat? Kenapa
tak bagitau mama awal-awal. Itulah, degil sangat. Mama suruh duduk dengan mama,
Ary tak nak. Sakit, demam Ary, ada juga orang tengokkan. Kalau dah duduk
sorang-sorang, siapa yang nak tengok-tengokkan Ary,” bebel Puan Jaslina pula.
“Ary demam sikit aje ni.
Mama tak perlulah risau. Ary nak tidur mama. Nanti Ary call mama balik,” beritahu Edzuary dan mematikan talian. Jika tidak
berbuat begitu, entah apa lagi yang akan dibebelkan oleh mamanya itu.
Edzuary menghela nafas
berat. Ingatannya masih lagi ligat memutarkan pertemuannya dengan gadis
sebentar tadi. Siapa gadis itu? Seakan pernah dilihatnya dahulu, tetapi di
mana? Hatinya tertanya-tanya. Kenapa jantung aku berdegup kencang bila
berhadapan dengan dia? Adakah dia yang aku cari selama ini? Soal hatinya pula.
Tanpa menunggu, segera
dia menghidupkan enjin kereta dan menggerakkan kereta keluar dari parking kereta tersebut. Dia perlu
berjumpa dengan kawan baiknya, Aimanuddin memandangkan dia sudah pun berjanji
dengan kawannya itu. Hanya Aimanuddin tempat untuk meluahkan segala apa yang
terbuku di dalam hatinya selama ini.
“ZURA,
kau kata Leen nak datang, mana dia?” tanya Eka Farisha. Matanya melilau melihat
kelibat manusia yang berada di dalam pasaraya Giant itu. Tangannya mencapai gelas minuman dan meneguk air di
dalamnya.
“Memang dia kata nak
datang. Kau ni macam la tak kenal dengan Leen tu. Kita kata pukul satu, dia
kata pukul dua. Nak tak nak, tunggu ajelah,” terang Ezzura dan mengeluh ringan.
Tangannya mengacau jus tembikai di dalam gelas.
“Kau call la dia. Nanti lambat pulak kita nak tengok wayang,” arah Eka
Farisha, tegas.
“Ala, kau la call. Credit aku tak cukuplah, tinggal seringgit aje,” balas Ezzura dan
tersengih.
Eka Farisha mencebik.
Setiap kali bab telefon keluar, Ezzuralah orang pertama yang mengelak.
“Azie ni mana? Dari tadi
pergi tandas, tak balik-balik lagi. Takkan tolong mak cik cleaner cuci tandas kut,” bebel Ezzura sambil mengerling jam di
tangan.
Eka Farisha tertawa kecil
mendengar bebelan Ezzura. Gelengan kecil diberikan sambil tangannya ligat
mencari nombor telefon Nur Edleen. “Ha Leen, kau kat mana? Lama dah kitorang
tunggu kau,” sergahnya sebaik sahaja talian disambung.
“Hello, mau perkhidmatan apa?” balas suara di hujung talian.
“Aik, kau jangan nak
main-main Leen. Bila masa pulak kau offer
perkhidmatan ni?” geram Eka Farisha dan mendengus ringan.
“Hello, mau perkhidmatan apa?” ulang suara itu lagi.
“Leen!” jerit kecil Eka
Farisha, panas.
“Kau ni kenapa Eka?
Meroyan tiba-tiba pulak,” tegur Ezzura, berkerut.
“Leen ni main-main kan
aku. Ada ke dia tanya aku, mau perkhidmatan apa? Tak ke hangin aku dibuatnya,”
ulang Eka Farisha, geram.
“Bak sini telefon kau tu.
Telefon punyalah canggih mengalahkan tok imam kat kampung aku. Takkan call pun tak betul,” bebel Ezzura seraya
mengambil telefon dari tangan Eka Farisha.
“Amboi, sedapnya mulut
mengutuk telefon aku. Tok imam kau tu pakai apa? Ipad? Iphone? Samsung Galaxy?”
marah Eka Farisha dan menggigit bibir, geram.
“Erk, tok imam tu pakai
Nokia 3310 aje,” ujar Ezzura dan tersengih. “Aduh! Sakitlah!” rengeknya tatkala Eka Farisha mencubit lengannya.
“Padan muka kau. Azie ni
mana? Takkan dari tadi tak habis cuci tandas kut,” tanya Eka Farisha pula dan melilaukan mata mencari
kelibat Azie.
“Patutlah tak dapat, yang
kau pergi call rumah urut ni, kenapa?”
kata Ezzura dan tertawa kecil. “Kau pergi rumah urut ya,” tebaknya dan
mengangkat kening.
“Rumah urut?” ulang Eka
Farisha berkerut.
Ezzura mengangguk.
Telefon dilekapkan ke telinga dan menanti panggilan berjawab.
“Bila masa pulak aku save nombor rumah urut ni?” tanya Eka
Farisha sambil menggaru kepala.
Ezzura hanya
menjungkitkan bahu. Masih menanti panggilan dijawab.
“Ni mesti adik aku punya
kerja. Tak pun nombor tu lebih kurang sama dengan nombor Leen,” duga Eka
Farisha dan mendengus geram. “Ha.. yang kau ni lama sangat ke tandas tu kenapa?
Kau jadi cleaner ke kat tandas tu?”
tegurnya tatkala terlihat kelibat Azie.
“Cleaner?” ulang Azie berkerut.
Eka Farisha sekadar mengangguk.
“Muka punya cun-melecun,
kau kata aku cleaner. Nak kena fire ke?” geram Azie seraya menunjukkan
penumbuk ke arah Eka Farisha. Marah sungguh dia di waktu itu.
“Aku main-main ajelah.
Gurau pun tak boleh ke?” kata Eka Farisha dan tersengih. “Macam mana Zura?
Dapat contact Leen tak?”
“Tak dapat. Handphone dia off. Aku rasa minah ni tidur lagi. Kejap aku telefon ummi,” jawab
Ezzura dan mendail nombor telefon Hajah Norhayati.
“Kirim salam kat ummi
sekali,” pesan Eka Farisha dan Azie serentak.
Ezzura hanya mengangguk.
Telefon dilekapkan ke telinga dan menanti panggilan berjawab. Berkerut- kerut
dahinya tatkala matanya menangkap kelibat seseorang yang sedang berjalan ke
arah mereka bertiga.
“Tu ha… cik adik kita dah
sampai,” ujar Ezzura seraya mengunjuk ke arah Nur Edleen.
Azie dan Eka Farisha yang
mendengar segera menoleh. Berkerut dahi mereka melihat gaya jalan Nur Edleen.
“Kenapa dengan kawan kita
tu? Lain macam aje jalannya,” kata Eka Farisha.
“Adalah tu yang terjadi,”
sambung Azie.
“Huh! Gila punya mamat.
Aku punya cun-melecun, boleh pulak dia panggil aku mak cik. Memang nak kena sekeh betullah,” bebel Nur Edleen dan
mendengus geram.
Berkerut dahi Ezzura,
Azie dan Eka Farisha mendengarnya. Mata mereka menjamah wajah tegang Nur
Edleen.
“Kau ni kenapa Leen?
Marahkan siapa?” tanya Ezzura prihatin.
“Ada la sorang mamat ni,
dia langgar aku. Pastu, boleh pulak dia panggil aku mak cik. Apa muka aku ni
ada rupa mak cik ke?” cerita Nur Edleen bersungguh.
“Memang rupa kau macam
mak cik pun,” kutuk Azie selamba.
“Mulut kau jaga sikit
Azie, aku cili baru kau tahu,” marah Nur Edleen.
Tersentak Azie mendengar
kemarahan Nur Edleen. Seminit kemudian, dia tertawa dan menggeleng. Ezzura dan
Eka Farisha turut sama tertawa. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka melihat
kemarahan Nur Edleen. Mereka tahu Nur Edleen sekadar marah-marah manja dan
tidak serius. Selama mereka berkawan, jarang sekali mereka melihat kemarahan
Nur Edleen. Jika ada pun, ketika di universiti dahulu sewaktu seorang lelaki
cuba mengambil kesempatan terhadap Nur Edleen. Tak pasal-pasal makan penampar
dari Nur Edleen.
“Leen, cuba kau tengok
diri kau tu dulu. Manalah mamat tu tak panggil kau mak cik, baju yang kau pakai
ni, adui, mengalahkan mak cik,” terang Ezzura dan masih ketawa.
Nur Edleen mengerutkan
dahi. Matanya dihalakan pada baju dan seluar yang dipakainya. Ditepuk dahinya
sendiri dan tertawa. Blouse warna
kuning cair tersarung di tubuh manakala seluar berwarna merah cantik dipakai. Tudung berwarna hijau, elok tersarung di kepala. Dah macam traffic light Nur Edleen rasakannya.
“Ya Allah, macam mana
boleh jadi macam ni? Patutlah ummi aku tahan tadi sebelum aku keluar,
rupa-rupanya ummi aku nak tegur pakaian aku la tadi tu,” beritahu Nur Edleen
tatkala mengingati tingkah umminya tadi. “Korang punya pasallah ni. Nak juga
jumpa hari ni. Esok-esok tak boleh ke?” geramnya pula.
“Aik! Kitaorang pulak yang
salah,” kata Azie kurang mengerti.
“Sudahlah, benda nak
jadi. Jomlah kita pergi tengok wayang. Ada cerita baru tayang ni,” tegah Eka
Farisha, lembut.
Nur Edleen hanya
mengangguk. Senyuman terbias di wajah. Ingatannya ligat memikirkan peristiwa
tadi. Kenapa pandangan lelaki itu terhadapnya tadi seperti menceritakan sesuatu
padanya? Seakan sudah lama mengenali lelaki itu. Tetapi di mana? Nur Edleen
kurang pasti. Siapa dia? Hatinya berbisik.
flash back ke nie??
BalasPadamkiranya prolog tu belum berlaku la kan..
Padamprolog tu yg dh berlaku.. bab ke atas nti ada cetekan blk ttg prolog tu..
Padamkak Ros , adessss , lucu larrr , apalar Leen nieeee , ahhahahah , baju dah macam trafic light dah , alahaiiiii , kak sambung yer :D , best sesangat ^_^ , Chaiyokkk kak Ros , Muuaachhhh
BalasPadam~Fae~
Fae
Padamx nk cuba pakai mcm tu ke?? mesti comey.. hehe..
thanks dear utk sokongannya.. nti akak smbg ya.. (^__^)
hahahahaaaaaa.....
BalasPadamEp Sukerrrrr
Eka a.k.a tu eppy yerrrr
hahahaaa....
"traffic light".. kahkahkahhh
hahaha.. amik nama ep la tu..
PadamLucu la.... Traffic light.... Hahahahaha.... Kak cepat2 smbung ya... X sbar nk bc next chapter... Best sngt2....
BalasPadamhehehe.. nti akak mskkan bab strsnya ya my dear Ieysha...
Padamakk Ros....Edzuary Safuan dan Nur Edleen pnah bercinta ke ke prnh brhubungn?? (^______________^)
BalasPadamhurm, entah la.. diorg tu pernah bercinta ke?? hehehe...
PadamAla nk brahsia plak huhu.... xpa3 nnti adk akn thu jgk....he3
Padamhaha.. ntikn bab seterusnya dan seterusnya..
Padam