BAB
4
“ASSALAMUALAIKUM
encik!” tegur Nur Edleen dan tersenyum.
Terhenti tingkah Edzuary
dek kerana teguran itu. Diangkat wajahnya dan menatap wajah tersenyum Nur
Edleen. Kemudian, dijatuhkan semula wajahnya dan menatap fail di hadapan. Serta
merta peristiwa semalam bermain-main di tubir mata. Dapat dirasakan panas
wajahnya ketika ini.
“Awak nak apa?” tanya
Edzuary sedikit bergetar. Dapat dirasakan degupan jantungnya berlari dengan
laju. Mengalahkan pelari sukan olimpik lagaknya. Entah mengapa setiap kali
berhadapan dengan Nur Edleen, dia akan berkeadaan begitu, tidak tenteram.
Adakah Nur Edleen mempunyai kaitan yang kuat dengannya?
“Tak jawab salam
berdosa,” ujar Nur Edleen, selamba.
“Waalaikumussalam. Awak
nak apa?” balas Edzuary, geram.
Nur Edleen tersengih.
Matanya menatap wajah tegang Edzuary. Sepintas lalu peristiwa semalam
menari-nari di tubir mata. Dia tertawa kecil tatkala mengingatinya.
“Yang awak ketawa
tiba-tiba ni, kenapa? Awak nak apa sebenarnya ni?” tanya Edzuary dan mengangkat
wajah. Sakit telinganya mendengar suara ketawa Nur Edleen itu.
Nur Edleen menekup
mulutnya. Menyesali dengan tingkahnya sebentar tadi.
“Awak nak apa? Kalau tak
ada apa-apa, baik awak keluar sekarang sebelum saya mengamuk,” marah Edzuary
tidak tertahan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia mengheret Nur Edleen
keluar dari biliknya.
“Erk… encik dah sarapan?”
tanya Nur Edleen, berbasa-basi.
Bertambah panas dirasakan
Edzuary. Pantas, dia berdiri dan memandang tajam ke arah Nur Edleen yang sedang
tersenyum. Seketika itu, dia menarik nafas dan melepaskannya lembut.
“Wahai Cik Nur Edleen
Haji Marwan yang cantik molek lagi menawan, tujuan apa Cik Nur Edleen Haji
Marwan datang berjumpa dengan saya?” tanya Edzuary, lembut dan ramah. Skema
sungguh bunyi ayatnya itu. Jauh di sudut hati, rasa nak termuntah dia
menuturkannya.
Nur Edleen menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Sengihan diberikan pada Edzuary. Bukannya dia
sengaja mengganggu ketenteraman Edzuary. Disebabkan pesanan yang ditinggalkan
oleh seseorang membawa langkahnya masuk ke dalam pejabat Edzuary. Jika
diikutkan hati, tak ingin dia mengadap wajah tegang bos besarnya itu.
“Erk… Mak Ita kirim salam
pada encik. Dia pesan, minta encik pulangkan peralatannya sebab dia nak
jalankan tugas pembersihan pukul sembilan pagi ni,” beritahu Nur Edleen dan
tersenyum.
Edzuary memicit
kepala. Terasa pening di waktu itu.
“Kenapa encik? Pening
ke?” tanya Nur Edleen, lurus.
Edzuary hanya mengangguk.
“Ada muntah-muntah tak?”
tanya Nur Edleen lagi.
Berkerut dahi Edzuary
mendengar pertanyaan Nur Edleen itu. Dihalakan matanya ke wajah selamba Nur
Edleen.
“Kalau encik pening-pening
dan muntah-muntah, saya sarankan encik ke hospital atau klinik. Takut penyakit
encik melarat nanti,” nasihat Nur Edleen, lembut. Entah hantu mana yang merasuk
dirinya berkata begitu. Dilihat bos besarnya memicit-micit kepala. Wajah
berkerut bos besarnya juga ditatap. Kasihan Nur Edleen melihatnya.
“Siapa ibunya?” tanya Nur
Edleen sedikit teruja.
Semakin berkerut dahi
Edzuary. Tajam matanya menikam wajah Nur Edleen. Sengaja mencari nahas minah
ni, marahnya di dalam hati.
“Dah berapa bulan?” tanya
Nur Edleen lagi.
“Apa yang awak merepek
kan ni? Ibu siapa? Bulan apa?” marah Edzuary tidak tertahan.
Terkejut Nur Edleen
mendengar amarah Edzuary. Matanya membalas pandangan Edzuary. Kecut perut pula
dirasakan Nur Edleen melihatnya.
“Kan encik pening-pening,
muntah-muntah. Itu kan tanda orang mengandung. Jadi saya tanyalah siapa ibunya
dan berapa bulan. Kut-kut, encik mabuk disebabkan isteri encik pregnant. Salah ke pertanyaan saya tu?”
balas Nur Edleen sambil cuba menahan ketawa. Dia sedar apa yang dilakukannya
itu. Sengaja mengusik bos besarnya.
“Get out!!” lantang Edzuary seraya jarinya mengunjuk ke pintu bilik.
“Okey.. okey… pagi-pagi
tak boleh marah, rezeki tak masuk tau, encik,” beritahu Nur Edleen dan menapak
jalan menuju ke muka pintu bilik. “Tak handsomelah
kalau encik marah-marah macam tu,” komennya dan tersenyum.
Edzuary menyinsing lengan
bajunya. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Sakit hatinya mendengar kata-kata
Nur Edleen. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan makhluk seperti Nur Edleen?
Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menghapuskan Nur Edleen dari pandangan
mata. Baru dua hari Nur Edleen bekerja, Edzuary sudah tidak tahan. Bagaimana
dengan sebulan dan seterusnya? Sanggupkah dia berhadapan dengan Nur Edleen.
“Erk… encik!” panggil Nur
Edleen dari muka pintu.
“Nak apa?” Meninggi
Edzuary bertanya.
“Jangan lupa hantarkan
peralatan Mak Ita tu tau. Nanti Mak Ita kena pecat pulak sebab tak jalankan
tugas membersih,” beritahu Nur Edleen dan tersengih.
“Nur Edleen!” panggil
Edzuary masih meninggi.
“Okey, bye!” balas Nur Edleen dan beredar dari
situ. Ketawa yang ditahan sedari tadi dilepaskannya. Sungguh, tidak menyangka
begitu mudah Edzuary dipermain-mainkan. Ternyata Edzuary bukanlah seorang yang
tegas dan matang.
“AKU
tabik spring kat kaulah Leen. Macam
mana kau boleh kenakan bos kau tu?” puji Ezzura sambil mengangkat kening.
“Aku pun tak tau Zura.
Kecut perut juga aku tengok muka dia tu tadi. Macam singa lapar pun ada,”
beritahu Nur Edleen.
“Tapi, berani betul kau
cari pasal dengan dia. Kau tak takut kena pecat ke?”
“Nak takutkan apa. Kalau
dia nak pecat aku, pecatlah! Aku peduli apa. Lagipun aku tak suka la dapat
bos macam dia tu. Ikut hangin sendiri aje. Hangin aku dia tak tahu lagi.”
Ezzura hanya tertawa
mendengarnya. Kagum Ezzura melihat Nur Edleen. Selama ini, belum pernah lagi
Edzuary dipermain-mainkan oleh sesiapa. Jika Ezzura tidak silap, Edzuary
merupakan seorang ketua yang tegas. Sesiapa pun tidak berani melawan katanya.
Mementingkan masa, kesempurnaan dan kekemasan.
“Mana diaorang berdua ni?
Lama dah tunggu, tapi tak muncul-muncul. Rehat kita bukannya panjang mana pun.
Satu jam aje, kan?” rungut Nur Edleen sambil mengerling jam di tangan.
“Sekejap lagi sampailah
mereka berdua tu,” kata Ezzura turut sama melihat jam di tangan.
Nur Edleen mengeluh
berat. Bingkas, dia bangun dari duduk dan ingin ke ladies room. Badannya juga rasa sakit tatkala bersandar di kerusi.
Semenjak dua menjak ini, badannya cepat merasa letih. Entah kenapa, dia sendiri
tidak tahu.
“Aku ke ladies sekejap,” pinta Nur Edleen dan
berlalu pergi.
Ezzura hanya mengangguk.
Matanya menghantar langkah Nur Edleen hingga hilang dari pandangan. Terlihat
juga kelibat Azie dan Eka Farisha sedang melangkah jalan menghampiri meja.
Senyuman dilemparkan buat Azie dan Eka Farisha.
“Leen mana?” tanya Azie, seraya
duduk.
“Dia ke ladies sekejap. Yang korang berdua ni
lewat, kenapa?” balas Ezzura.
“Sorrylah beb. Cari parking
punya pasal, itu yang lambat,” terang Eka Farisha, seraya duduk. Dicapai gelas
minuman milik Ezzura dan meneguk rakus air di dalamnya. Tekak yang terasa
kering sudah pun dibasahkan.
“So, apa cerita?” tanya Ezzura, tidak sabar. Tidak mahu membuang
masa memandangkan masa mencemburui dia dan Nur Edleen.
“Tunggu Leen lah!” jawab
Azie.
“Nanti aku bagitau pada
dia. Masa dah suntuk ni. Kitaorang rehat satu jam, tidak lebih dan tidak
kurang. So, daripada korang tunggu
Leen, baik korang ceritakan pada aku dulu,” jelas Ezzura bernada tegas.
Azie dan Eka Farisha
mengangguk faham. Ada benarnya kata-kata Ezzura. Disebabkan mencari parking, mereka terlewat hampir setengah
jam untuk berjumpa dengan Nur Edleen dan Ezzura.
“Okey.. begini…” mulai
Azie.
“OPOCOT,
kau terjatuh lantai,” latah Nur Edleen, tiba-tiba.
“Hati-hati cik,” ujar
seseorang seraya menarik lengan Nur Edleen dari jatuh tersungkur ke lantai.
Tarikan itu juga membuatkan Nur Edleen terdorong ke belakang.
“Kush semangat. Nasib
baik tak jatuh, kalau jatuh, mau patah tulang aku dibuatnya,” kata Nur Edleen
dan mengurut dada. “Terima kasih!” ucapnya pula.
“Sama-sama. Lain kali
jalan hati-hati sikit. Kawasan ni memang licin,” beritahu suara itu.
Nur Edleen mengangguk
sambil cuba menstabilkan kedudukan dirinya. Namun sukar, kerana pegangan lelaki
itu kuat mencengkam lengannya. Dia menoleh ke belakang. Alangkah terkejut
tatkala melihat wajah lelaki di belakangnya itu.
“Erk… Encik Edzuary. Buat
apa kat sini?” tanya Nur Edleen.
Edzuary sedikit terkejut. Serta-merta dia melepaskan
pegangan. Lepasan itu telah membuatkan Nur Edleen terjatuh. Sungguh, dia terkejut
melihat Nur Edleen yang sudah pun terduduk di lantai.
“Maaf, tak sengaja,” ujar
Edzuary, selamba. Seminit kemudian, dia tertawa melihat keadaan Nur Edleen itu.
Nur Edleen mendengus
geram. Bingkas, dia bangun dan mengusap punggungnya yang terasa sakit. Tajam
matanya ke wajah selamba Edzuary. Kemudian, secara tidak sengaja dia
terpandangkan sesuatu. Terasa malu Nur Edleen rasakan ketika ini.
“Tak apa, saya terima,”
balas Nur Edleen turut selamba.
Edzuary tersenyum sinis.
Memang dia sengaja melepaskan pegangannya tadi. Sengaja untuk mengenakan Nur
Edleen. Jika orang lain, tidak mungkin dia akan berbuat begitu. Rasa sakit hati
dipermain-mainkan Nur Edleen pagi tadi, masih lagi bersisa. Ingin sahaja dia mengenakan
Nur Edleen ketika ini.
“Sakit?” tanya Edzuary,
sinis.
“Eh, taklah. Sedap!”
jawab Nur Edleen turut sama sinis. “Apa-apa pun terima kasih atas bantuan encik
tadi,” ucapnya pula dan berkira-kira untuk beredar dari situ. Namun, ditahan
oleh Edzuary. Seakan Edzuary masih tidak berpuas hati dengan Nur Edleen.
“Ala, kalau sakit… cakap
ajelah sakit, tak payahlah nak berlagak sombong depan saya,” sindir Edzuary,
pedas.
Nur Edleen menghela nafas
geram. Tangan dikepal erat sambil cuba menahan rasa di hati. Jika diikutkan
hati, mahu sahaja dia menumbuk muka Edzuary ketika itu.
“So what? Kalau saya nak sombong pun, bukannya ada kena-mengena
dengan encik. Sebelum encik nak tegur saya, baik encik tegur diri encik dulu,”
luah Nur Edleen, geram.
“Marah nampak,” kata
Edzuary tatkala melihat wajah memerah Nur Edleen. Pasti Nur Edleen sedang
menahan kemarahan di hati.
“Macam ni lah Encik
Edzuary Safuan Erizal Hanif, saya cuma nak bagi nasihat pada encik. Lepas ke
tandas, pastikan seluar tu dizip semula. Nasib baik saya yang tegur, kalau
orang lain yang tegur, entahlah!” kata Nur Edleen, selamba dengan wajah yang
tidak berperasaan.
Tersentak Edzuary
mendengar kata-kata Nur Edleen. Dengan pantas dia melihat zip seluarnya.
Ternyata benar apa yang diperkatakan oleh Nur Edleen. Ya Allah, terasa malunya
dia di saat ini. Mahu sahaja dia menyorokkan muka di dalam poket baju agar Nur
Edleen tidak melihat riak malunya itu.
“It’s okey Encik Edzuary. Saya tak bagitau pada sesiapa pun, jangan
risau ya. Saya simpannya dalam kocek baju saya ni,” beritahu Nur Edleen, seraya
menepuk lembut kocek blazernya.
“Tapi, ada syaratnya,” sambungnya lagi dan tersenyum nakal.
Edzuary hanya memandang.
Sakit matanya melihat senyuman nakal Nur Edleen. Rasa nak tampar sahaja wajah
itu. Namun, disabarkan hati supaya tidak berbuat begitu. Khuatir Nur Edleen
akan menghebahkan hal sebentar tadi kepada orang lain.
“Awak ingat saya takut
ke?” kata Edzuary sambil cuba mengawal suara.
“Well! It’s up to you.
Okeylah, saya jalan dulu. Bye Encik
Edzuary sayang,” balas Nur Edleen, selamba dan berkira-kira untuk beredar dari
situ.
“Wait!” tahan Edzuary, perlahan.
“ARY,
kenapa dah lama tak balik rumah? Rindu benar mama dengan Ary,” tegur Puan
Jaslina, seraya memeluk anak terunanya itu.
“Ary sibuk sikit la
mama,” balas Edzuary dan meleraikan pelukan. Langkah diatur menuju ke sofa dan
melabuhkan duduk di situ.
“Ary sibukkan apa? Sibuk
dengan kenangan Ary tu?” tegur Puan Jaslina, tidak berpuas hati. Dilabuhkan
duduk di sisi Edzuary.
“Banyak kerja la ma,”
bidas Edzuary.
“Ary jangan nak bohong
dengan mama. Mama tahu, Ary masih lagi teringatkan kisah lima tahun yang lepas.
Sudahlah Ary, yang lepas, biarlah lepas. Jangan diingatkan kisah yang lalu,”
nasihat Puan Jaslina, lembut.
Edzuary menarik nafas
dalam-dalam dan melepaskannya lembut. Bingkas, dia bangun dari duduk dan
menapak jalan menuju ke tangga rumah. Tidak mahu berbicara tentang itu lagi.
Jika berbicara juga, dikhuatiri hatinya tidak akan tenteram dan menjadi sebak.
“Mama minta Ary lupakan
kisah lama dan mulakan hidup baru. Lima tahun Ary. Lima tahun Ary hidup dalam
kenangannya. Mama minta Ary pertimbangkan permintaan mama ini,” nasihat Puan
Jaslina, lembut.
Edzuary hanya membisu.
Tanpa membalas kata-kata mamanya, segera dia mendaki anak tangga menuju ke
bilik di tingkat atas. Terasa letih badannya ketika ini. Otaknya juga turut
sama letih bersama fikiran yang berserabut. Syarat Nur Edleen tadi bermain-main
di mindanya kini. Perlukah dia mengikut syarat Nur Edleen itu?
“MACAM
mana dengan kerja Leen, okey?” tanya Haji Marwan.
“So far so good abah. Leen seronok kerja kat situ,” jawab Nur Edleen,
ceria.
“Lain macam aje bunyi
seronoknya tu. Ada apa-apa ke?” sampuk Norziana dan tersenyum.
“Mesti ada sebab yang
buatkan angah seronok bekerja kat situ. Jangan-jangan bosnya, tak?” tebak Khazizul
pula.
“Mana ada la kak long,
abang long. Memang seronok kerja kat Pelangi Holding tu. Kan Zura pun kerja kat
situ,” bidas Nur Edleen dan masih tersenyum. Mustahil, dia akan mengakui
kata-kata abang iparnya itu. Walaupun baru dua hari dia bekerja di Pelangi
Holding, keseronokan dapat dirasakan Nur Edleen. Tambahan pula mendapat bos
seperti Edzuary, menambahkan lagi keseronokannya.
“Ha.. tu senyum-senyum,
mesti betul kata abang long, kan?” kata Khazizul dan tertawa kecil. Matanya
memandang wajah tersenyum Nur Edleen.
Nur Edleen hanya
tersengih. Malu, tatkala abang iparnya dapat menangkap senyumannya tadi. Dengan
pantas dia menyuapkan sesudu nasi ke dalam mulut. Tidak mahu berlama di meja
makan. Khuatir, keluarganya dapat menangkap tingkahnya nanti.
“Handsome tak angah?” tanya Norziana, cuba mengorek.
“Handsome? Siapa? Abang long ke?” tanya Nur Edleen, pura-pura.
“Hai, kura-kura dalam
perahu, pura-pura tak tahu pulak,” sindir Norziana dan tergelak.
Nur Edleen masih
tersengih. Matanya dihalakan ke arah Haji Marwan yang sedari tadi menjadi
pendengar. Kemudian, dijatuhkan pandangan ke wajah Hajah Norhayati yang sedang
ralit menjamu selera. Umminya memang begitu ketika di meja makan. Tidak sedar
apa yang berlaku jika makanan sudah berada di hadapannya.
“Bos angahlah!” kata
Norziana dan tersenyum.
“Bos angah?” ulang Nur
Edleen, berkerut.
“Ummi pun nak tahu juga,
bos Leen tu macam mana orangnya,” sampuk Hajah Norhayati, tiba-tiba.
Tersentak Nur Edleen
mendengar pertanyaan Hajah Norhayati itu. Tidak menyangka umminya boleh
menyampuk dalam perbualan mereka.
“Erk, bos Leen tak handsome dan tua. Dahlah gemuk, perut
boroi pulak tu. Misai dia kalau abah, ummi, kak long dan abang long nak tahu,
macam misai pelakon A.Galak tu. Kalau dia usap misai dia, itu tandanya dia
tengah marah. So, time tu, janganlah nak cari pasal dengan
dia. Meletup satu pejabat dibuatkannya,” cerita Nur Edleen, bersungguh. Otaknya
ligat membayangkan Edzuary yang berbadan gemuk, perut boroi dan bermisai.
Tersengih-sengih dia membayangkannya. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Tidak
sanggup untuk membayangkannya lagi.
“Ish, biar betul angah.
Takkan macam tu sekali rupa bos angah,” kata Norziana seakan tidak percaya.
“Abang long pun susah nak
percaya, angah,” sokong Khazizul akan kata-kata isterinya.
“Kalau tak percaya, nanti
angah snap picture buat tatapan kak
long dan abang long,” cadang Nur Edleen mengukuhkan kata-katanya sebentar tadi.
Janganlah diaorang nak. Kalau tidak, naya aku nanti, doanya di dalam hati.
“Okey, Leen snap picture dia, bagi abah tengok.
Manalah tahu kan boleh dijadikan menantu,” sokong Haji Marwan, tiba-tiba
sekadar mengusik.
“Erk, menantu? Tak
payahlah abah. Leen tak nak orang macam Edzuary Safuan tu. Macam tak matang.
Senang diperbodoh-bodohkan,” kutuk Nur Edleen, selamba. Entah kenapa jantungnya
berdegup pantas tatkala nama Edzuary meniti di bibir.
“Oh, Edzuary Safuan.
Sedap namanya, mesti orangnya pun handsome,”
puji Hajah Norhayati yang sedari tadi membisu.
Nur Edleen hanya membisu.
Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Jauh di sudut hati, dia mengakui yang
Edzuary seorang yang kacak dan berketrampilan.
“Leen, abah ada perkara
nak bincangkan dengan Leen. Lepas makan nanti, Leen jumpa abah dekat bilik
bacaan,” beritahu Haji Marwan bernada arahan.
Terhenti tingkah Nur
Edleen yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut. Entah kenapa dapat dirasakan
degupan jantungnya berlari laju. Perkara apa yang ingin dibincangkan oleh Haji
Marwan? Tidak keruan hatinya ketika ini.
adesss... apesal la SE asyik terrkantoi ngan NE hehe.. ade je modal Ne nk kenakan SE.. teringat zaman sekolah.. cikgu terlupa nk zip seluar.. seminggu x masuk kelas..hahaaha
BalasPadamhehehe.. nakal, kan NE tu.. lps ni ada lg perkara yg NE wat kat ES.. smpe ES x leh nk lawan...
PadamHahahhhhb...
BalasPadamKiut NE ni mengenakan si ES...
Sini likeeee, musti pok n mok meke ni nk menjodohkan meke..
Huhuhuu x sabo nk tau
Hehe.. comey, kan.. minggu dpn kita smbg ya..
Padambest ada jer bab yg NE npk prkra mlucukn (^______^)
BalasPadamx sbaq nk taw ES jatuh cinta dgn NE..dlm bb brp akk ros..
hurm, jauh lg tu klu ES nk jth cinta ngan NE..
Padamfist time baca cerita, assistant buli boss.....
BalasPadamBEST pulak..... :)
terima kasih kerana sudi singgah dan membaca SC.. (^__^)
PadamBest!!haha.sluar x brzip..malu beb!!...:)
BalasPadamhahaha.. 2lah psl.. malu, kan klu org npk seluar x berzip..
PadamBest2... Kak nk lgi... Hehehe....
BalasPadamtq my dear Ieysha coz sudi membaca SC.. rindu nk bc komen adik.. (^__*)
Padam