BAB
2
NUR
EDLEEN melangkah jalan dengan penuh berani. Hari ini
bermulalah tugasnya sebagai Eksekutif Akaun di Pelangi Holding. Haji Marwan ada
menawarkan dia bekerja di Indah Holding, tetapi disebabkan keinginan untuk
berdikari membuatkan dia menolak tawaran tersebut. Ada baiknya dia menimba
pengalaman di tempat lain sebelum bersedia menguruskan Indah Holding.
“Ini bilik Cik Nur
Edleen. Kalau ada apa-apa masalah, Cik Nur Edleen boleh berjumpa dengan saya,”
beritahu Karmila merangkap setiausaha pengurus besar syarikat.
“Terima kasih Cik
Karmila. Panggil saya Leen sahaja. Mesti tergeliat lidah Cik Karmila nak sebut
nama saya, kan?” kata Nur Edleen dan tersenyum.
“Nama Cik Leen masih
boleh saya terima lagi. Tapi, kalau nama bos besar, memang tergeliat habis
lidah saya nak sebutnya,” balas Karmila dan turut sama tersenyum.
Nur Edleen mengerutkan
dahi. Bos besar? Siapa bos besar? Hatinya diasak untuk tahu. “Bos besar?”
Karmila mengangguk.
Langkah diatur menuju ke meja kerja Nur Edleen. Fail kewangan syarikat
diletakkan di atas meja. Arahan pengurus besar meminta Nur Edleen mengkaji
kewangan syarikat perlu dikhabarkan. Jika tidak, mahu bergegar satu pejabat
nanti.
“Siapa nama bos besar?”
tanya Nur Edleen sekadar ingin tahu. Dilabuhkan duduk di kerusi yang dikhaskan
buat dirinya. Matanya melilau melihat keadaan bilik itu. Cantik dan teratur
perhiasan yang menghiasi ruang bilik tersebut. Pandai orang yang mereka bilik
ini, pujinya di dalam hati.
“Encik Edzuary Safuan Bin
Erizal Hanif,” jawab Karmila dan menggeleng. “Tergeliat lidah saya ni Cik
Leen,” adunya pula.
Nur Edleen tertawa kecil.
Ada benarnya kata-kata Karmila. Memang tergeliat lidah menyebut nama bos
besarnya itu.
“Petang nanti dalam pukul
tiga, Cik Leen ada meeting dengan bos
besar tentang pengurusan syarikat. Satu pesanan dari saya, Cik Leen jangan
lewat. Bos besar tak suka stafnya lambat dan tidak menepati masa,” beritahu
Karmila dan menapak keluar dari bilik Nur Edleen.
“Baiklah Cik Karmila.
Patik yang menurut perintah,” kata Nur Edleen dan tertawa.
Karmila turut sama
tertawa. Senyuman dilemparkan kepada Nur Edleen. Senang hatinya berkenalan
dengan Nur Edleen. Ternyata Nur Edleen bukan seorang yang sombong. Tidak
seperti Pengurus Pemasaran mereka. Berlagak sombong dan menganggap dirinya
cantik di syarikat tersebut. Semoga Nur Edleen bertahan lama bekerja di bawah
pengurusan Encik Edzuary, bisik Karmila sendirian.
Nur Edleen menarik nafas
lega. Senyuman menghiasi bibir. Rasa teruja melihat biliknya sendiri. Sungguh
tidak menyangka jawatan yang dipegang melayakkan dia memiliki bilik pejabat
sendiri. Itulah yang menjadi idamannya selama ini. Walaupun dia boleh
mendapatnya dengan bekerja di Indah Holding, tapi bagi Nur Edleen, biarlah
ianya datang dengan usahanya sendiri. Kini sudah terbukti bahawa dia layak
memiliki semua itu.
Deringan telefon bimbit
menyentakkan Nur Edleen. Segera tangannya menggagau beg tangan mencari telefon
bimbit. Setelah berjumpa, dilekapkan ke telinga sebaik sahaja butang hijau
ditekan. Menanti sapaan dari hujung talian.
“Of course la, dapat bilik sendiri. Gempak, kau tau tak,” kata Nur
Edleen, teruja sebaik sahaja salam berjawab.
“Serius? Aku tak
percayalah,” bidas Ezzura.
“Betullah. Kalau kau tak
percaya, kau datanglah ke sini.”
“Hurm, okey. Nanti-nantilah aku ke sana. Kau dah jumpa dengan bos
kau ke Leen?”
“Belum lagilah Zura.
Petang nanti ada meeting pengurusan,
baru aku jumpa dengan dia. Yang kau sibuk tanya pasal bos aku tu, kenapa?”
“Eh, tak salahkan aku
ambil tahu tentang kau.”
“Ya, tak salah kalau
ambil tahu tentang aku. Tapi, yang menjadi salahnya, kau ambil tahu tentang bos
aku, itu yang aku curiga sangat-sangat ni,” bidas Nur Edleen sambil mengangkat
kening. Terdengar gelak ketawa Ezzura di hujung talian. Dia turut sama tertawa.
“Nanti kau inform aku tau.”
“Inform apa?” tanya Nur Edleen, pura-pura.
“Sudah gaharu cendana
pula, sudah tahu bertanya pula. ”
Nur Edleen tertawa
mendengarnya. Ezzura tidak akan puas selagi tidak diberi jawapan yang tepat.
Dia kenal benar dengan kawan baiknya itu. Sudah bertahun-tahun dia berkawan
dengan Ezzura. Segala masalah dikongsi bersama. Malah Ezzura merupakan anak angkat
ummi dan abahnya.
“Kau nak lunch dengan aku, tak?” tanya Ezzura
sekadar mencuba.
“Lunch?” ulang Nur Edleen, berkerut.
“Yalah! Lunch dengan aku.”
“Kau buang tebiat ke
Zura? Bukan ke jarak office kau
dengan aku jauh. Mana sempat nak lunch sama
ngan kau.”
“Apasal pulak buang
tebiatnya? Kau ingat jauh sangat ke office
kita ni,” bidas Ezzura.
Nur Edleen menggaru
kepalanya yang bertudung. Bingkas dia bangun dari duduk dan menghampiri
jendela. Dapat dilihat bangunan pencakar langit menghiasi Kuala Lumpur. Indah
dari pandangan mata. Rasa teruja turut menumpang di dalam hati.
“Sebab jauhlah aku cakap
macam tu. Apasal kau ni bengap sangat,” bentak Nur Edleen.
“Kau tu yang bengap.
Kalau dah satu office, mestilah tak
jauh,” balas Ezzura dan mendengus geram. Tangannya sudah memulas tombol pintu
bilik Nur Edleen.
“Eh… lupa pulak yang kita
satu office,” ujar Nur Edleen dan
tersengih. Dipusingkan badan dan wajah Ezzura menyapa mata. “Aku tak tahu pulak
yang kau kerja kat sini juga,” sambungnya sekadar mengusik. Kemudian dia
tertawa kecil melihat riak di wajah Ezzura.
Ezzura mencebik. Langkah
dibawa masuk ke dalam bilik dan melabuhkan duduk di situ. Matanya menjamah
wajah tenang Nur Edleen.
“Sorry beb, aku terlebih makan semut dalam gula, itu yang aku
terlupa,” kata Nur Edleen, kesal. Dilabuhkan duduk di kerusi dan menatap wajah
Ezzura.
“Banyaklah kau punya
semut. Wah! Cantik betul bilik kau ni. Mengalahkan jawatan CEO lagaknya,” puji
Ezzura, seraya duduk.
“Well! Jawatan aku kan lebih besar dari kau. Sebab itulah aku boleh
dapat bilik macam ni,” bangga Nur Edleen.
“Tekan lift naik
sendirilah beb. Eh, jomlah kita lunch.
Perut aku dah menyanyi lagu ‘Babe’ KRU ni,” ajak Ezzura, seraya bangun.
“Kau ni merepek ajelah.
Kan pagi lagi, takkan nak lunch kut,”
tegah Nur Edleen turut sama bangun.
Ezzura menepuk dahinya
sendiri. Bila datang bengap Nur Edleen, beginilah jadinya. Matanya
mengisyaratkan ke arah jam di dinding. Nur Edleen yang melihat, segera
melorotkan mata ke arah tersebut. Membuntang matanya melihat jarum jam yang
sedang berdetik perlahan. Masa sudah pun menginjak ke angka satu tengahari.
Barulah dia sedar, terlalu lama masa diambil oleh Karmila untuk menerangkan
padanya tentang selok belok Pelangi Holding.
“Apa lagi, jomlah. Pukul
tiga kau ada meeting, kan?” ajak
Ezzura tatkala Nur Edleen tidak berganjak dari tempat berdirinya itu.
“Yes boss!” sahut Nur Edleen dan memberi tabik hormat pada Ezzura.
Seminit kemudian, dia tertawa dengan tingkahnya itu.
Ezzura hanya tertawa
kecil. Nur Edleen memang pandai bergurau dengannya. Kalau sehari tidak
bergurau, tidak sah jadinya. Seakan tidak lengkap dalam hidup Nur Edleen jika
tidak bergurau. Namun, sampai bila Nur Edleen akan bersikap sebegitu? Adakah
Nur Edleen akan mengingati kisah hidupnya yang lalu? Hanya dia dan keluarga
Haji Marwan mengetahui siapa Nur Edleen yang sebenarnya.
“KAU
nak makan apa?” tanya Ezzura setibanya mereka di restoran yang menyajikan
masakan melayu.
“Kambing golek ada tak?”
tanya Nur Edleen.
Ezzura mengerutkan dahi.
Kambing golek? Biar betul minah ni. Buang tebiat apa cari kambing golek
tengahari buta macam ni, bebelnya di dalam hati.
“Ada tak?” tanya Nur
Edleen lagi.
“Kau ni buang tebiat ke
Leen. Manalah ada kambing golek kat sini,” geram Ezzura.
“Erk, tak ada ya,” ulang
Nur Edleen sambil menggaru kepalanya yang bertudung. “Kalau macam tu, aku nak
makan laksa ajelah. Nampak sedap aje laksa tu aku tengoknya sebab tinggal satu
aje lagi tu. Aku pergi sambar laksa tu dulu. Takut orang lain sambarnya pula,”
sambungnya dan menapak jalan menuju ke tempat laksa terhidang.
“Leen… Leen…” omel Ezzura
dan menggeleng. Matanya menghantar langkah Nur Edleen menuju ke tempat laksa.
Kemudian, tangannya lincah menceduk nasi dan lauk ke dalam pinggan sendiri.
Nur Edleen melangkah
dengan riang. Teringin sungguh dia dengan laksa. Kalau kambing golek tak dapat,
laksa pun laksa lah. Lama aku tak makan ni, bisik Nur Edleen sendirian dan
tersenyum ceria. Belum sempat tangannya mencapai mangkuk laksa, seseorang sudah
pun menarik mangkuk laksa tersebut. Maka terjadilah adegan tarik-menarik di
antara Nur Edleen dengan seseorang di restoran itu semata-mata kerana semangkuk
laksa.
“Saya punyalah!” kata Nur
Edleen.
“Hello! Saya punya! Saya yang pegang dulu,” bentak Edzuary, keras.
“Hello! Please! Saya punya
okey!” balas Nur Edleen tidak mahu mengalah. Geram sungguh dia ketika ini.
Semakin kuat tangannya menarik mangkuk laksa itu, semakin kasar lelaki di
hadapannya menarik. Hampir dia terdorong ke hadapan disebabkan tarikan itu.
“Saya yang pegang dulu.
Awak ni buat-buat tak tahu ke?” beritahu Nur Edleen masih tidak mengaku kalah.
“Saya yang tarik dulu.
Awak yang sibuk-sibuk tarik dari saya ni, kenapa?” balas Edzuary turut tidak
mahu mengalah.
“Awak pergilah makan
benda lain. Saya nak laksa ni juga,” geram Nur Edleen. Tajam matanya ke muka
Edzuary. Tidak mahu mengalah. Jika dia mengaku kalah, bukan Nur Edleen namanya.
Main kasar betul mamat ni, bentak hatinya.
“Awaklah pergi makan
benda lain. Saya tetap nak laksa ni,” tegas Edzuary. Matanya membalas tatapan
Nur Edleen. Tangannya masih lagi mempertahankan mangkuk laksa tersebut. Dia
ingat aku ni mudah mengaku kalah apa. Ini Edzuary Safuan la, bisik Edzuary di
dalam hati.
“Okey… okey… macam ni lah. Apa kata encik beli makanan
lain dan saya beli makanan yang lain juga. So,
baru fair and square. Encik tak dapat, saya pun tak dapat juga,” cadang Nur
Edleen sambil mengangkat kening. Berharap lelaki itu setuju dengan cadangannya
itu.
“Awak pergilah beli
makanan yang lain. Saya tetap nak laksa ni,” kata Edzuary, selamba dan
mencebik.
Nur Edleen menarik nafas
dalam-dalam. Matanya menjamah wajah selamba lelaki di hadapannya itu. Tanpa
berlengah, segera dia memanggil pelayan di situ. Sementara menanti kelibat
pelayan itu sampai, Nur Edleen memandang tepat ke wajah lelaki itu. Kenapa dapat
dirasakan sesuatu ketika melihat lelaki tersebut? Seakan jantungnya berdegup
dengan kencang tatkala melihat wajah lelaki itu.
“Ada apa, cik?” tanya
seorang pelayan di situ.
“Ada lagi tak laksa ni?”
tanya Nur Edleen.
“Maaf cik, tak ada lagi,”
jawab pelayan tersebut. “Ada apa lagi, cik?” tanyanya pula.
“Erk, tak ada dah,” ulang
Nur Edleen, berkerut.
Pelayan itu sekadar
mengangguk. Tanpa menunggu, segera dia beredar dari situ.
“So?” tanya Edzuary dan mengangkat kening.
“So apa? Kalau nak cari Ah So bukan kat sini. Kat kedai apek sana,”
geram Nur Edleen.
Edzuary yang mendengar
tertawa kecil. Ternyata gadis di hadapannya itu seorang yang tidak berputus
asa, tegas dan ego. “Awak nak bagi laksa ni pada saya atau tak?” tanyanya lagi.
Kemenangan sudah berpihak padanya.
Oh, kau cabar aku ya. Tak
apa.. tak apa.. hari ni hari kau, esok mesti hari aku. Undur diri bukan bererti
kalah. Tahulah kau apa aku nak buat selepas ini, geram Nur Edleen di dalam
hati. Senyuman nakal terbias di wajahnya.
“Okey, saya mengaku
kalah. Lagipun bukan sedap mana pun laksa ni. Awak ajelah yang ambil,” kata Nur
Edleen, mengaku kalah. Tangannya melepaskan mangkuk laksa yang dipegangnya
sedari tadi.
Edzuary tersenyum puas.
Kemenangan berpihak padanya. Bangga dirasakannya ketika itu. “Terima kasih cik
adik. Cik adik nak makan apa, ambil ajelah, cik abang belanja.”
Nur Edleen tersenyum
paksa. Otaknya ligat memikirkan sesuatu untuk mengenakan lelaki itu. Sungguh, dia
bukanlah seorang yang mudah kalah. Menyerah dahulu bukan bererti kalah. Kau
tunggu dan lihat ajelah, bisik hatinya. Senyuman paksa masih terukir di bibir.
“Encik nak saya tolong
tuangkan kuah ke dalam mangkuk ni ke?” pelawa Nur Edleen penuh sopan dan
tersenyum manis.
“Boleh juga kalau cik
sudi nak tolongnya,” balas Edzuary turut tersenyum. Dihulurkan mangkuk berisi
laksa ke arah Nur Edleen. Menanti Nur Edleen menuangkan kuah laksa ke dalam
mangkuk tersebut. Erm, boleh tahan cun minah ni, pujinya di dalam hati.
Nur Edleen mengangguk
perlahan. Tangannya menyentuh lembut periuk berisi kuah laksa itu. Fuh! Nasib
baik sejuk. Kalau panas tadi, mahu kena saman aku nanti. Tunggulah kau mamat.
Aku kerjakan kau cukup-cukup, azamnya di dalam hati. Lantas dicapai senduk dari
dalam periuk yang berisi kuah laksa. Dia mengacau-ngacau kuah laksa tersebut
dan tersenyum. Dengan perlahan, Nur Edleen menceduk kuah laksa itu dan
dijirusnya ke baju lelaki itu. Setelah puas, segera dia beredar dari situ.
“Padan muka!” ejek Nur
Edleen sebelum meninggalkan tempat itu.
Edzuary tergamam. Dapat
dirasakan darah merah menyerbu ke muka ketika itu. Dengusan kasar terlepas dari
bibir. Sungguh tidak menyangka perempuan itu sanggup memperlakukannya sebegitu
rupa. Hidungnya mencium bauan kuah laksa tersebut. Rasa nak termuntah Edzuary
rasakan ketika ini. Tanpa berlengah, segera dia menuju ke bilik air untuk
membersihkan kekotoran di baju. Pasang-pasang mata yang melihat keadaannya itu
tidak diendahkan. Kau jangan ingat akan terlepas. Kalau aku jumpa dengan kau
lagi, taulah macam mana aku nak kerjakan kau, azam Edzuary di dalam hati.
“CIK
NUR EDLEEN,” perkenal Karmila dan tersenyum.
Nur Edleen turut sama
tersenyum. Tangannya membalas jabatan tangan setiap pegawai di dalam bilik
mesyuarat itu. Gerun pula dia melihat setiap wajah di hadapannya ketika ini.
Kesemuanya sudah pun kelihatan berumur. Hanya seorang dua sahaja yang seakan
nampak muda dari yang lain-lain. Mungkin juga sebaya dengannya.
“Bos mana Mila?” tanya Encik
Hamid tidak sabar. Jam di tangan dikerling buat seketika. Belum pernah lagi bos
besarnya itu terlewat menghadiri mesyuarat memandangkan bosnya itu seorang yang
menepati masa.
“Bos tukar baju sekejap
Encik Hamid. Ada orang tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya,” terang Karmila, seraya
duduk bersebelahan Nur Edleen.
Berderau darah Nur Edleen
mendengarnya. Bos tukar baju? Ada orang tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya?
Ulang Nur Edleen di dalam hati. Serta merta mukanya pucat tidak berdarah.
Adakah bos yang dimaksudkan oleh Karmila adalah lelaki yang sama di restoran
tadi?
“Maaf semua, saya
terlambat,” suara Edzuary, kesal.
Tersentak Nur Edleen
mendengar suara itu. Dikerling buat seketika dan menatap wajah bos besarnya.
Alangkah terkejutnya dia tatkala melihat bos besarnya itu. Lelaki yang sama di
restoran tadi. Dengan pantas Nur Edleen menundukkan muka. Tidak mahu lelaki itu
mengesaninya di dalam bilik tersebut.
“Bau laksa lagilah bos,”
usik Encik Hamid dan tertawa kecil.
Terhenti tingkah Edzuary
dari duduk di kerusi. Hidungnya mencium baju dan tubuhnya sendiri.
Berkerut-kerut dia cuba mencium dirinya sendiri. Aku dah spray banyak kali minyak wangi aku tu. Takkan ada bau laksa lagi,
rungut Edzuary di dalam hati.
“Saya gurau aje bos. Tak
ada dah bau laksa,” kata Encik Hamid serba salah tatkala melihat riak berkerut
bosnya.
“Mila, you dah bagitau
staf baru kita suruh dia masuk meeting
sekali?” tanya Edzuary, seraya duduk.
“Ada bos. Orangnya pun
ada kat sini, kat sebelah saya ni,” jawab Karmila dan tersenyum.
Edzuary mengangguk.
Tangannya membuka fail syarikat dan meneliti butiran di dalam fail tersebut.
“Boleh perkenalkan diri? Maaf saya tak sempat nak baca biodata awak. Kalau tak
menjadi keberatan, boleh perkenalkan diri awak pada kami semua?” pintanya dan
masih ralit membaca.
Semakin tidak keruan Nur
Edleen rasakan. Seram sejuk pun ada juga. Perlukah dia menurut kemahuan bos
besarnya atau memandang sepi terhadap permintaan itu. Masak aku kali ini.
Itulah kau Leen, lain kali tengok orang dulu siapa yang kau nak lawan, kutuknya
sendirian.
“Please introduce yourself,” ulang Edzuary.
Nur Edleen tidak ada
pilihan lain. Nak tak nak, bingkas dia bangun dari duduk. Rimas pulak tatkala
pasang-pasang mata yang berada di dalam bilik itu memandang tepat ke arahnya.
“Assalamualaikum, saya Nur
Edleen Haji Marwan. Berasal dari Selangor dan menetap di Shah Alam. Pemegang
Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dari UiTM. Anak bongsu dari dua
beradik. Pengalaman…”
“Umur? Dah kahwin ke
belum?” pintas Edzuary dan masih menunduk.
“Erk, perlu ke bagitau?”
tanya Nur Edleen, berkerut.
“Of course! Kalau tak bagitau, orang lain mudah ambil kesempatan
pada awak,” jawab Edzuary, selamba.
Nur Edleen menggaru
kepalanya yang bertudung. Matanya menjamah satu persatu wajah sengihan di dalam
bilik itu. Naik menyampah Nur Edleen lihatnya. Pasti kesemuanya sudah berkahwin
termasuklah bos besarnya, duga hati Nur Edleen.
“Umur dua puluh lima
tahun dan belum berkahwin. Walaupun saya belum berkahwin dan masih single,
tapi saya not available,”
beritahu Nur Edleen sambil cuba mengawal nada suara.
Terangkat wajah Edzuary
mendengar kata-kata Nur Edleen. Tergamam dia buat seketika. Begitu juga dengan
Nur Edleen, turut sama terkejut dengan pandangan mata Edzuary. Seakan ada
sesuatu yang cuba diceritakan dari sinar anak mata itu. Tapi apa? Hatinya bertanya.
Seminit kemudian, Edzuary melarikan pandangan. Tidak sanggup untuk bertentang
mata dengan Nur Edleen. Jika di restoran tadi, dia cuba mengingati di mana dia
bertemu dengan gadis itu, tapi tidak pada waktu dan ketika ini. Ternyata gadis
inilah yang ditemuinya di Pasaraya Giant sebulan yang lalu.
“Baiklah! Terima kasih!”
ucap Edzuary, serius.
Nur Edleen bingkas duduk. Diusap lembut
dadanya yang berombak kencang dan cuba untuk meredakan degupan jantung yang
sedang berlari laju. Sukar untuknya mengawal jantungnya ketika itu.
Usai bermesyuarat, Nur
Edleen segera menuju ke bilik. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu,
namanya sudah pun di panggil oleh Edzuary. Bagaikan terkena kejutan eletrik Nur
Edleen rasakan ketika itu. Jika tadi dia merasa seram sejuknya, tapi tidak pada
kali ini. Menggigil tubuhnya dirasakan Nur Edleen dan sukar juga untuk dia
mengawal degupan jantungnya juga.
“Masuk bilik saya!” arah
Edzuary dan berlalu dari situ.
Nur Edleen sekadar
mengangguk. Mahu tidak mahu, terpaksalah juga dia mengekori Edzuary dari
belakang dan masuk ke dalam bilik. Pasti dia akan dihukum disebabkan tingkahnya
di restoran tengahari tadi.
Edzuary menghempas lembut
tubuhnya ke kerusi empuk. Matanya masih lagi menjamah wajah menunduk Nur
Edleen. Tadi bukan main berani, sekarang mana keberanian kau tu, kutuknya di
dalam hati.
“Saya minta maaf atas
kelakuan saya tadi. Memang saya sengaja lakukannya sebab saya marah dan geram
dengan encik,” akui Nur Edleen perlahan.
Edzuary hanya mendengar.
Deheman kecil terlepas dari bibir. Bingkas dia bangun dari duduk dan menapak
menghampiri Nur Edleen. Diperhatikan Nur Edleen dengan penuh minat.
“Kalau encik nak hukum
saya, hukumlah. Saya akan terimanya seikhlas hati saya,” beritahu Nur Edleen
lagi.
“Well! Memang saya nak menghukum awak. Disebabkan tingkah awak tadi,
saya yang mendapat malu. Disebabkan awak, habis satu badan saya berbau kuah laksa.
Sebotol minyak wangi yang saya guna pun belum tentu lagi dapat menghilangkan
bauan laksa tu,” jelas Edzuary sambil berpeluk tubuh dan bersandar di meja
kerja. Matanya menjamah wajah menunduk Nur Edleen.
“Saya tahu dan saya akui
kesalahan saya. Apa yang encik nak saya lakukan asalkan encik dapat maafkan
saya,” tegas Nur Edleen. Diangkat wajahnya dan memandang tepat ke wajah
Edzuary. Seminit kemudian, dia menjatuhkan wajah. Tidak sanggup menatap wajah
serius bos besarnya itu.
“Mana keberanian awak
tadi? Dah hilang? Atau awak memang berlagak berani depan saya sahaja.” Sinis
Edzuary berkata.
“Saya…” Sukar untuk Nur
Edleen bersuara. Bukannya dia tidak berani. Jika diikutkan hati, mahu sahaja
dia membidas kata-kata bos besarnya. Tetapi disebabkan hari ini hari pertama
dia bekerja, terpaksalah dia menahan rasa di hati.
“Saya apa?” ulang Edzuary
dan masih sinis.
“Kalau tak ada apa-apa,
saya minta diri dulu,” pinta Nur Edleen.
Daripada aku dengar bebelan dia, baik aku blah
dari sini. Buat sakit hati aje aku tengok muka dia tu, omelnya di dalam hati.
“Saya tak suruh pun awak
pergi. Kesalahan awak tadi masih belum saya maafkan,” tegas Edzuary dan masih
bersandar di meja.
Aduh! Dia nak apa lagi
dari aku ni. Kan aku dah minta maaf pada dia, rungut Nur Edleen. “Kan saya dah
minta maaf,” bentaknya, keras. Masih cuba mengawal suara.
“Maaf awak saya tak
terima,” balas Edzuary, selamba. Matanya terarah ke daun pintu bilik yang
terkuak perlahan. Pasti cleaner yang
ingin masuk ke dalam biliknya. Sudah menjadi kebiasaan dalam waktu-waktu
begini, cleaner akan datang
menjalankan tugas membersih. Dengan tiba-tiba, senyuman nakal terbit di bibir.
Otaknya ligat memikirkan rancangan untuk mengenakan Nur Edleen.
“Mak Ita!” panggil
Edzuary.
Tersentak Mak Ita dengan
panggilan Edzuary. Segera dilajukan langkah menuju ke arah Edzuary. Senyuman
manis dihadiahkan buat Edzuary.
“Ada apa Ary?” tanya Mak
Ita. Mulanya dia segan untuk memanggil Edzuary hanya dengan panggilan ‘Ary’.
Tetapi atas arahan Edzuary sendiri, mahu tidak mahu, terpaksalah dia memanggil
dengan nama itu.
“Mak Ita nak bersihkan
pejabat ke?” tanya Edzuary, prihatin.
“Macam biasalah Ary. Kan,
masa ni tugas Mak Ita bersihkan bilik Ary,” jawab Mak Ita dan masih tersenyum.
Nur Edleen yang berada di
situ hanya mendengar. Berkerut-kerut dahinya cuba menafsirkan akan tujuan
bosnya memanggil cleaner tersebut.
“Hari ni Mak Ita tak
payah bersihkan bilik saya. Mak Ita berehat sahaja,” arah Edzuary.
“Mana boleh Ary. Nanti
Mak Ita kena marah dengan supervisor,”
balas Mak Ita. Sungguh dia tidak mahu dimarahi oleh supervisor yang dipanggil ‘harimau’ itu.
“Tak apa Mak Ita. Mak Ita
jangan risau, tahulah saya menguruskannya,” beritahu Edzuary, cuba menghalau
kerisauan di hati perempuan tua itu.
“Baiklah kalau dah macam
tu. Mak Ita minta diri dulu,” pinta Mak Ita, mengalah.
“Mak Ita tinggalkan barang-barang
tu semua kat sini. Nanti saya suruh orang hantarkan ke bawah,” arah Edzuary.
Berkerut Mak Ita
mendengar arahan Edzuary. Seminit kemudian, dia mengangguk dan berlalu pergi
dari bilik itu.
“So,” kata Edzuary sepatah sebaik sahaja kelibat Mak Ita menghilang.
“So apa?” ulang Nur Edleen, berkerut. Kurang faham.
“Tu ha…” kata Edzuary
sambil memuncungkan mulut ke arah kelengkapan Mak Ita.
Nur Edleen menoleh ke
arah yang ditunjukkan. Berkerut-kerut dia cuba menafsir dengan arahan Edzuary.
Seminit kemudian, barulah otaknya dapat menafsirkannya.
“Saya?” tanya Nur Edleen
sambil jari telunjuk menghala ke arah diri sendiri. “Itu!” tanyanya lagi. Jari
telunjuknya dihalakan pula ke arah peralatan Mak Ita.
Edzuary sekadar
mengangguk. Langkah diatur menuju ke sofa dan dilabuhkan duduk di situ.
Senyuman kemenangan menghiasi bibir ketika ini.
Nur Edleen mendengus
geram. Tangannya dikepal menahan marah. Mentang-mentang dia bos, sesuka hati
aje nak suruh aku buat kerja cleaner.
Hangin aku dah ni, geramnya.
“Apa lagi yang
dimenungkan tu, cepat buat kerja. Awak nak saya pecat awak pada hari pertama
awak kerja ke?” arah Edzuary bernada ugutan. “Cipta sejarah awak nanti.
‘Seorang pekerja dipecat pada hari pertama dia bekerja’. Wah! Gempak!” sambungnya,
teruja.
Nur Edleen mencebik.
Sakit telinganya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut bosnya itu. Tanpa
berlengah, segera dia mencapai peralatan Mak Ita dan dibawa menghampiri sofa.
Ditarik pembersih hampagas dan dipasang suis ke soket. Tunggu kau, taulah macam
mana aku nak kerjakan kau nanti, azam Nur Edleen di dalam hati dan tersenyum
nakal. Otak jahatnya sedang ligat merencanakan sesuatu.
Terima kasih kerana membaca SC.
(^____^)
Nk lg sista...lg dan lg..dan lg.....hoho
BalasPadam~~> nana jamil
minggu dpn akak smbg lg ya... ^^
PadamNakal ES ep ni kn...
BalasPadamHahahaaa syiokkk
lg plzzzz
hahaha.. nakal x nakal la ES tu.. minggu dpn akak smbg...
Padamkak Ros...bekerja di Pelangi Holding, tpi belajar ttg selok belok Indah Holding... bukan sue dah highlight ke kak..huhuhu..
BalasPadamhuhu.. x perasan la
PadamBest..bestt..bestt..
BalasPadamNak lg... Hehe
Hehe.. minggu dpn kita smbg ya.. terima kasih kerana membaca SC.. (^__^)
Padamkak Ros , best Sesangat , nk smbunganyerrr , eheheheh , nakal gak yer ES nieee , alahaiiii
BalasPadam~Fae~
hehe.. minggu dpn akak smbg lg ya..
Padamhihi.... cpt3.nk mintA smbgnnya best....
BalasPadamnti2 akak smbg..
Padamgood writer ,teruskan lg :)
BalasPadamterima kasih kerana sudi membaca.. :)
Padam