BAB
5
“KAU
biar betul, Leen?” tanya Azie, kurang percaya.
“Apa yang tak betulnya?
Betullah!” tegas Nur Edleen.
“Takkan kau nak ajak dia
tu join sama dengan kita. Kau tak
rasa pelik ke?” kata Azie, terkejut. Dimuncungkan mulut ke arah Edzuary. Sesampainya
tadi, terkejut dia melihat seorang lelaki sedang ralit membuat kerja.
“Yalah, join sekali. Kenapa? Kau tak suka ke?”
balas Nur Edleen lagi.
“Eh… tak. Bila masa aku
tak suka, suka apa. Tambah-tambah dia handsome,
lagilah aku suka,” bidas Azie dan tersengih. Matanya dihalakan ke arah Edzuary
yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman. Hari ini, mereka ke sebuah
rumah orang tua menjalankan aktiviti amal. Sudah menjadi kebiasaan mereka
setiap awal bulan menjalankan kerja-kerja amal. Pada mulanya ianya hanyalah
suka-suka, dan akhirnya sudah menjadi amalan setiap bulan bagi mereka berempat.
Urusan mencari diserahkan kepada Azie kerana Azie bekerja di Jabatan Kebajikan
Masyarakat.
“Mana Zura dengan Eka,
tak sampai-sampai lagi ni? Kan dah janji pukul lapan pagi,” rungut Nur Edleen.
Jam di tangan dikerling buat seketika.
“Kau ni, macamlah tak
kenal dengan diaorang berdua. Eh, bukan ke kau satu rumah dengan Zura? Macam
mana kau boleh datang dulu dari dia?”
“Aku dari Shah Alam. Kan,
Jumaat lepas aku ada family gathering.”
Azie mengangguk faham.
Hampir, dia terlupa akan family gathering
Nur Edleen. Setiap awal bulan Nur Edleen akan pulang ke Shah Alam untuk bertemu
dengan keluarganya.
“Rajin betul aku tengok
bos kau tu buat kerja. Mesti kat office
dia seorang yang tegas,” komen Azie dan tersenyum sumbing. Matanya masih lagi
ralit melihat tingkah Edzuary.
“Yang kau tersenyum
kambing ni, kenapa? Kau berkenan kat dia ke?” usik Nur Edleen sambil mengangkat
kening.
“Handsome beb, siapa yang tak berkenan,” sahut Azie turut sama
mengangkat kening.
“Banyaklah kau punya handsome. Macam tak cukup sifat aje aku
tengoknya,” kutuk Nur Edleen tidak berperasaan. “Aku nak kenakan dia kejap,”
ujarnya pula dan melangkah jalan menghampiri
Edzuary.
“Eh Leen… tunggulah aku,”
pinta Azie.
“Kau pergilah layan Mak
Zainab tu sementara nak tunggu Eka dengan Zura. Aku ada urusan penting dengan
dia kejap,” kata Nur Edleen bernada arahan.
Azie mendengus ringan.
Niatnya ditolak ke tepi Nur Edleen. Adakah Nur Edleen punya hubungan dengan
lelaki merangkap bosnya itu? Bukan itu sahaja, kisah di Giant dan di restoran
sudah diceritakan Nur Edleen kepada mereka bertiga. Tidak menyangka begitu
kecilnya dunia dirasakan mereka ketika ini.
Nur Edleen melangkah
perlahan menghampiri Edzuary yang sedang menyapu daun-daun kering. Sungguh
kasihan Nur Edleen melihat Edzuary. Bukannya dia sengaja untuk mendera Edzuary.
Disebabkan syarat yang ditetapkan olehnya kelmarin, membawa Edzuary ke rumah
Mak Zainab pada pagi Ahad ini.
“Ehem… ehem…” dehem Nur
Edleen sebaik sahaja tiba di hadapan Edzuary.
Edzuary yang sedang ralit
menyapu daun-daun kering mengangkat muka. Sakit matanya melihat senyuman di
bibir Nur Edleen. Jika bukan kerana zip seluarnya kelmarin, tidak mungkin dia
akan mengikut syarat Nur Edleen dan berada di sini pada pagi Ahad begini.
“Assalamualaikum Encik Edzuary
Safuan Erizal Hanif,” tegur Nur Edleen, ramah.
“Waalaikumussalam,” balas
Edzuary, pantas dan keras.
Mai ai! Kerasnya nada
suara. Muka pun masam mencuka aje aku tengoknya. Mesti dia marah sakan dengan
aku, kata hati Nur Edleen.
“Dah sarapan ke? Kalau
belum, jomlah kita ke sana, sarapan,” ajak Nur Edleen, berbasa-basi. Senyuman
manis terukir di bibir.
“Saya tak lapar,” balas
Edzuary dan masih keras.
“Eh, janganlah macam tu.
Kalau encik pengsan, pening-pening, muntah-muntah, siapa yang susah, saya juga,
kan. Macam mana saya nak terangkan pada isteri encik nanti. Lagipun encik kan
ada morning sickness,” terang Nur
Edleen panjang lebar.
Terhenti tingkah Edzuary
yang sedang menyapu daun-daun kering. Tajam matanya ke wajah Nur Edleen yang
sedang tersengih. Rasa nak tarik mulut Nur Edleen, Edzuary rasakan ketika ini.
Berani sungguh Nur Edleen berkata begitu di hadapannya.
“Erk… encik!” seru Nur
Edleen sambil menguis-nguis kakinya.
“Nak apa?” tanya Edzuary
sedikit meninggi.
“Encik marah ke?” tanya
Nur Edleen pula. Kakinya menguis-nguis daun kering yang ada di sekelilingnya
itu. Dia tersenyum melihat wajah mencuka Edzuary. Pastinya Edzuary sedang
menahan rasa kemarahan di hati. Dapat dirasakan bahang kemarahan Edzuary itu.
“Tak!” jawab Edzuary,
perlahan.
“Encik marah ke? Yalah,
saya kan suruh encik datang ke mari pagi-pagi buta lagi. Kalau tidak, mesti
encik tengah diulit intan sekarang ni, kan?” kata Nur Edleen dan masih menguis
daun-daun kering di situ.
Semakin panas hati
Edzuary rasakan ketika ini. Bukan panas disebabkan kata-kata Nur Edleen, tetapi
disebabkan perbuatan Nur Edleen yang sedang menguis-nguis daun kering yang baru
dikumpulkannya sebentar tadi.
“Encik jangan marah ya.
Lepas ni saya belanja encik makan dan minum. Saya janji, lepas ni saya tak
kacau encik. Rahsia encik tetap akan saya simpan sekemas yang mungkin,” jelas
Nur Edleen sekadar menyedapkan hati Edzuary.
“Dah habis cakap ke?”
tanya Edzuary, keras.
“Apa dia encik?” tanya
Nur Edleen. Kurang jelas dengan pertanyaan Edzuary.
“Dah habis cakap ke?”
tekan Edzuary.
“Oh, dah… dah habis
cakap. Kenapa ya?” tanya Nur Edleen dan mengangguk.
“Kalau dah habis, boleh
tak blah dari sini.”
“Erk, kenapa pulak nak blah. Saya nak tolong encik kat sini.”
Edzuary mendengus geram.
Semakin panas hatinya melihat wajah tidak berperasaan Nur Edleen. Mahu sahaja
dia menghalau Nur Edleen dengan batang penyapu yang dipegangnya sekarang.
Sakitnya hati aku. Kalau ikutkan hati aku yang tengah panas ni, nak aje aku
hambat dia dengan penyapu ni, marahnya di dalam hati.
“Saya tolong ya,” pelawa
Nur Edleen.
“Tak payah! Kau pergi
dari sini. Sakit mata aku tengok kau kuis-kuis daun kering tu sampai berselerak
balik. Kau tahu tak penat aku nak menyapunya tadi,” marah Edzuary tidak
tertahan. Merah matanya menikam wajah sengihan Nur Edleen.
“Alamak! Maafkan saya
encik. Saya tak perasan yang encik dah sapu daun-daun kering ni,” pohon Nur
Edleen sambil menggaru kepalanya yang bertudung. “Hisy, apalah kau ni kaki.
Yang kau pergi selerakkan balik daun-daun kering tu, kenapa?” marahnya pula dan
tersengih.
Edzuary mendengus geram.
Semakin sakit hatinya melihat sengihan Nur Edleen. Kenapalah dia boleh berjumpa
dengan makhluk seperti Nur Edleen.
“Maaf ya encik. Saya tak
perasan pun yang encik dah kumpulkan daun-daun kering ni,” ujar Nur Edleen
dengan wajah bersalah. “Jomlah kita sarapan, Mak Zainab masak sedap hari ni.
Rugi kalau encik tak makan,” ajaknya pula.
“Saya tak lapar, awak
pergilah!” balas Edzuary tetap keras. Dia membongkokkan badan mengumpul semula
daun-daun kering yang telah diselerakkan oleh Nur Edleen sebentar tadi. Peluh
sudah pun memercik di dahi. Bajunya juga sudah dibasahi peluh. Jika diikutkan
hati, mahu sahaja dia meninggalkan tempat itu dan pulang ke rumah. Tetapi untuk
menjaga muka dan tidak mahu dianggap pengecut oleh Nur Edleen dan rakan-rakan
Nur Edleen, mahu tidak mahu, terpaksalah dia meneruskan tugasnya itu.
“Kesian encik, saya
tolong ya,” kata Nur Edleen, prihatin. Lantas dibongkokkan badan dan membantu
Edzuary mengutip daun-daun kering yang diselerakkan olehnya sebentar tadi.
Kasihan melihat Edzuary. “Isteri encik dah berapa bulan?” tanyanya berbasa-basi.
Edzuary mengerutkan dahi.
Sejak bila pulak aku berkahwin? Hatinya bertanya.
“Anak sulung ke?” tanya
Nur Edleen lagi. Tangannya lincah membuat kerja. “Mesti encik nervous, kan? Yalah dah nak jadi bapa.
Tanggungjawab pun makin berat dan...” Belum sempat Nur Edleen menyudahkan ayat,
Edzuary sudah pun bangun dari kedudukan membongkok. Panas hatinya mendengar
bebelan Nur Edleen. Lebih lama dia di situ, makin sakit hatinya melihat wajah
sengihan Nur Edleen.
“Lor, apasal dengan dia
tu. Orang dah cakap elok-elok dah ni. Takkan itu pun salah,” omel Nur Edleen
sendirian. Matanya memandang kelibat Edzuary yang berlalu dari situ. Tanpa
membuang masa, bingkas dia bangun dari membongkok dan menapak jalan menuju ke
arah Azie dan Mak Zainab yang sedang berbual.
“Leen!” panggil Ezzura
dari arah belakang.
Nur Edleen menoleh.
Sebuah senyuman dihadiahkan buat Ezzura dan Eka Farisha yang sedang menapak
menghampirinya.
“Dah lama sampai ke?”
tanya Ezzura, berbasa-basi.
“Baru aje, dalam pukul
sepuluh tadi,” jawab Nur Edleen bernada sindiran.
“Ala, sorry la beb. Eka ni yang lambat sangat,
mekap tak habis-habis. Aku tunggu dia sampai setengah jam kau tau,” balas
Ezzura, serba salah.
“Dahlah, jom kita ke
sana. Tak payahlah nak ungkit semua tu lagi,” kata Nur Edleen dan melangkah
laju meninggalkan Ezzura dan Eka Farisha di situ.
Ezzura dan Eka Farisha
hanya memandang. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Bukannya
mereka tidak kenal dengan Nur Edleen. Sekali Nur Edleen dapat marah, mahu satu
dunia meletup jadinya.
“MANA
Ary?” tanya Encik Erizal, seraya duduk.
“Abang ni buat-buat tak kenal
dengan anak kita pulak. Anak kita tu bukannya senang duduk kat rumah ni.
Pagi-pagi buta lagi dah balik. Panas punggung agaknya duduk kat rumah ni
lama-lama,” bebel Puan Jaslina.
Encik Erizal menghela
nafas ringan. Matanya menjamah wajah tegang Puan Jaslina. Pasti isterinya itu
tidak senang dengan tindakan Edzuary. Selepas apa yang berlaku lima tahun yang
lepas, Edzuary seakan cuba mengelak untuk tinggal di rumahnya. Mungkin
disebabkan tidak mahu mengingati semua kenangan lepas membuatkan anaknya itu bertindak
keluar dari rumah dan hidup berdikari di luar sana.
“Biarlah Jas. Jangan
dipaksa budak tu. Kalau dipaksa lain pulak jadinya nanti,” nasihat Encik Erizal,
lembut.
“Tapi bang, takkan
selama-lamanya Ary nak hidup macam tu. Bila Jas nak kenalkan dengan perempuan
lain, banyak sangat alasan yang Ary bagi. Jas kenalkan pun bukannya dengan orang
sebarangan, semuanya ada pangkat dan ternama. Tapi, semuanya Ary tolak. Jas pun
tak tahu perempuan yang macam mana lagi Ary nak,” jelas Puan Jaslina. Meluahkan
ketidakpuasannya selama ini terhadap Edzuary.
“Abang tahu Jas dan abang
pun risau tengok Ary tu. Tapi, kita nak buat macam mana. Kalau dipaksa, takut
lain pulak jadinya. Mungkin kenangan lima tahun lepas masih berbekas di hati
Ary. Kita bagi Ary masa, Insya-Allah, Ary akan sedar dan keluar dari
kenangannya,” kata Encik Erizal sekadar menghalau perasaan risau di hati
isterinya.
“Mama… papa…” tegur
Edzuary tiba-tiba.
Terkejut Encik Erizal dan
Puan Jaslina mendengar teguran itu. Serentak mereka menoleh ke belakang dan
terlihat kelibat Edzuary sedang berdiri di muka pintu depan. Apa yang
menambahkan lagi rasa terkejut mereka, tatkala melihat pakaian Edzuary yang
berlumpur.
“Ary dari mana? Kenapa
berlumpur ni?” tanya Puan Jaslina, seraya bangun.
“Dari buat kerja amal
ma,” jawab Edzuary, perlahan.
“Kerja amal? Kerja amal
apa?” tanya Puan Jaslina lagi.
“Ary…”
“Biarlah budak tu
bersihkan diri dulu. Lepas tu baru kita tanya apa yang dah jadi,” celah Encik
Erizal dari arah ruang makan. Kesian melihat anaknya yang di soal oleh Puan
Jaslina.
Edzuary mengangguk dan
berlalu dari situ. Otaknya tidak mampu untuk berfikir ketika ini. Dia perlu
membersihkan diri terlebih dahulu. Rasa melekit badannya waktu itu.
“Lepas mandi, Ary turun
makan. Mama dan papa tunggu Ary,” arah Puan Jaslina sebelum kelibat anaknya
menghilang di sebalik tangga.
Edzuary hanya mendengar.
Langkah dilajukan menuju ke bilik di tingkat atas. Keletihan turut sama
dirasainya waktu ini. Pagi-pagi lagi dia sudah dikerahkan ke Shah Alam untuk
membuat kerja-kerja amal. Nur Edleen! Terdetik nama itu di benak hati. Semakin
sakit hatinya dengan Nur Edleen. Apa yang dilakukan oleh Nur Edleen tadi turut
menambahkan kesakitannya itu. Otaknya ligat memutarkan peristiwa tadi.
“AWAK gila ke Nur Edleen. Manalah saya
pernah buat kerja ni,” kata Edzuary, tidak berpuas hati.
“Ala… tolonglah encik.
Kali ni saja saya minta. Lepas ni saya tak minta dah,” pujuk Nur Edleen, manja.
Edzuary mendengus kasar.
Sakit hatinya melihat tingkah manja Nur Edleen. Semakin bertambah tahap
kebenciannya terhadap gadis itu.
“Please… encik tak kesian ke dengan Mak Zainab. Dibuatnya pendek
umur Mak Zainab mana kita nak tahu, kan. Kempunan Mak Zainab nak makan kangkung
masak belacan tu,” kata Nur Edleen bernada pujukan. Bersungguh-sungguh!
“Baiklah! Saya buat demi
Mak Zainab dan bukan sebab pujukan awak,” kata Edzuary, mengalah.
Nur Edleen tersenyum.
Sungguh tidak meyangka Edzuary sanggup melakukan kerja itu. Difikirkan Nur
Edleen, orang seperti Edzuary tidak akan melakukan kerja-kerja seperti itu.
Ternyata anggapannya meleset dan semakin kagum Nur Edleen terhadap Edzuary di
saat ini.
Huh! Kalau tak diikutkan,
nanti dia kata aku pengecut dan tak sanggup nak berkubang dalam ni cari
kangkung. Sebelum dia bercerita dengan orang lain, baik aku buat, gerutu
Edzuary di dalam hati.
“Hati-hati ya encik.
Licin tu,” pesan Nur Edleen, prihatin. Matanya memerhatikan tingkah Edzuary
yang sedang turun ke dalam parit. Berkerut-kerut dia melihatnya seakan risau
Edzuary akan terjatuh akibat licin.
“Leen!” jerit Azie dari
arah rumah.
Nur Edleen menoleh. Dia
mengangkat muka sebagai tanda isyarat pertanyaan pada Azie.
“Lama lagi ke nak ambil
kangkung tu. Zura nak masak ni,” tanya Azie.
“Kejap! Nak petiklah ni,”
balas Nur Edleen.
“Aduh!” rengek Edzuary.
Nur Edleen menoleh.
Membuntang matanya melihat Edzuary yang sudah pun terduduk di dalam parit.
Hampir terburai ketawa melihat Edzuary itu.
“Macam mana boleh jatuh
ni, encik. Kan saya dah pesan tadi suruh berhati-hati, tempat ni kan licin,”
kata Nur Edleen masih cuba menahan ketawa.
“Mana la tau kan nak
jatuh. Boleh ditahan-tahan ke jatuh ni?” geram Edzuary sambil cuba bangun.
Namun disebabkan tanah yang licin membuatkan Edzuary sukar untuk bangun.
“Eh.. ya tak ya juga.
Maaf ya encik. Saya ni lambat sikit pick
up bab-bab ni,” ujar Nur Edleen dan tersengih. “Nak saya tolong ke?”
“Hisy, ada yang nak kena
hambur dengan aku betullah. Boleh pulak dia tanya nak tolong ke tidak. Dah
nampak aku macam ni, tolonglah,” bisik Edzuary pada dirinya sendiri.
“Encik ngomel apa tu?”
tanya Nur Edleen tatkala menyedari seakan mulut Edzuary terkumat-kamit.
“Tak ada apa. Awak nak
tolong ke tidak ni?” tanya Edzuary.
“Err.. sebenarnya encik,
saya ni takut pacat dan lintah. Mesti dalam parit ni ada dua binatang tu. Encik
tunggu ya, saya panggilkan kawan-kawan saya tolong encik keluar dari parit ni.
Sementara tunggu, encik tolong petikkan kangkung tu ya,” terang Nur Edleen dan
tersengih. Tanpa menunggu balasan dari Edzuary, segera dia beredar dari situ
menuju ke rumah Mak Zainab. Terhambur juga ketawanya yang sedari tadi
ditahan-tahan.
Edzuary mendengus geram.
Sakit telinganya mendengar ketawa Nur Edleen. Sudah pastilah Nur Edleen sedang
mentertawakannya. Aduh! Malu dirasakan Edzuary ketika ini. Mana nak diletakkan
muka kalau kawan-kawan Nur Edleen melihatnya berkubang di dalam parit ini.
Tanpa membuang masa, segera dipetik kangkung yang tumbuh meliar berhampiran
dengannya sambil cuba menahan kemarahan di hati.
“HAHAHA…
aku
tak tahan tengok dia kat dalam parit tu, kesian betul,” cerita Nur Edleen, bersungguh
tanpa rasa bersalah.
“Kau ni Leen, tak baiklah
buat bos kau macam tu. Kesian aku tengok dia. Dari mula dia datang kat sini,
sampai sekarang, muka dia monyok aje.
Apa yang buatkan dia ke sini?” tegur Azie kurang senang dengan tindakan Nur
Edleen.
“Ala, buat apa nak
kasihankan dengan dia. Orang kaya macam dia kena diajar dengan kerja-kerja
kampung. So, lepas ni kalau dia ke
kampung mana-mana, tak adalah dia kekok,” bidas Nur Edleen menegakkan
tindakannya itu.
“Kalau kau nak ajar pun, mestilah
kena dengan tempatnya. Ini tidak, Mak Zainab tu tak suruh pun kau petik
kangkung, yang kau beria-ria sangat nak kangkung tu, kenapa?” kata Ezzura
bernada nasihat.
“Aku yang teringin nak
makan. Dah lama sangat tak makan,” ujar Nur Edleen, perlahan.
Ezzura hanya menggeleng.
Nur Edleen memang terkenal dengan sikap nakalnya. Tetapi perlulah ada hadnya
kalau hendak bergurau atau mengusik.
“Kalau kau teringin nak
makan, kenapa kau sendiri yang tak petiknya?” sampuk Eka Farisha dari arah
dapur. Tangannya sibuk menumbuk sambal belacan.
“Betul kata-kata kawan
Leen. Kenapa nak susahkan dia. Orang bandar, mana biasa buat kerja-kerja
kampung ni semua,” sokong Mak Zainab, tiba-tiba.
“Leen… Leen… Leen cuma
nak bergurau dengan dia aje. Salah ke perbuatan Leen tu,” ujar Nur Edleen dan
menunduk.
“Bergurau tu boleh, tapi
kena ada batasnya,” jawab Ezzura, lembut.
Edzuary mengepal tangan.
Sakit hatinya mendengar kata-kata Nur Edleen itu. Apa yang menambah rasa sakit
di hati, Nur Edleen memang berniat untuk mengenakannya. Jika bukan kerana isu
zip seluarnya kelmarin, tidak ingin dia mengikut arahan Nur Edleen. Bila
diikut, begini pula jadinya.
“Leen kena minta maaf
dengan dia. Kalau dia dapat tahu, apa perasaan dia nanti,” nasihat Mak Zainab.
“Tapi Leen…”
“Nah! Kangkung yang awak
teringinkan sangat tu. Terima kasih kerana mengajar saya kerja-kerja kampung,”
pintas Edzuary, seraya meletakkan kangkung di atas meja berhadapan Nur Edleen.
Tersentak mereka yang
berada di situ. Lebih-lebih lagi Nur Edleen yang terkebil-kebil melihat
Edzuary. Adakah Edzuary mendengar perbualan mereka sebentar tadi?
“Saya minta diri dulu.
Terima kasih untuk hari ini,” pamit Edzuary dan beredar dari situ.
“Encik!” panggil Nur
Edleen, seraya bangun.
Edzuary tidak menghiraukan
panggilan Nur Edleen. Hatinya sakit dipermain-mainkan oleh Nur Edleen. Begitu
mudah dia dipermain-mainkan dan diperbodoh-bodohkan oleh pekerja bawahannya.
KETUKAN
di pintu mematikan lamunan Edzuary yang panjang. Segera dihalakan mata ke arah Puan Jaslina yang sedang menapak
masuk ke dalam bilik.
“Kenapa tak turun? Papa
tunggu Ary kat bawah,” tanya Puan Jaslina, seraya duduk di birai katil. Wajah
anak terunanya ditatap kasih.
“Ary tak laparlah ma.
Mama dan papa makanlah!” jawab Edzuary.
Puan Jaslina menghela
nafas ringan. Gelengan kecil diberikan pada Edzuary. Entah bilalah anaknya itu
akan berubah, dia sendiri tidak pasti. Selagi kenangan lima tahun terpahat
kemas di dalam hati anaknya itu, sampai bila-bila pun anaknya akan bersikap
begitu. Menyendiri dan tidak mahu bergaul mesra dengan orang lain.
“Mama…”
“Ma, Ary penat, nak
berehat. Maafkan Ary, ma. Mama dan papa makanlah dulu. Mama jangan risau
tentang Ary,” potong Edzuary, seraya membaringkan tubuhnya. Terasa penat
badannya di kala itu.
“Baiklah, Ary berehatlah
dulu. Kalau Ary lapar, Ary minta Mak Ani siapkan makanan untuk Ary,” kata Puan
Jaslina berserta keluhan ringan.
“Kalau Ary lapar, Ary
boleh ambil sendiri mama. Tak perlulah nak susahkan Mak Ani,” beritahu Edzuary.
Tidak suka menyusahkan orang lain. Jika dia boleh melakukannya sendiri, dia
akan melakukannya.
“Suka hati Ary lah. Yang
penting Ary makan, jangan biarkan perut tu kosong. Ary kan ada gastrik,”
nasihat Puan Jaslina, seraya bangun. “Mama rindukan Edzuary Safuan Erizal Hanif
lima tahun yang lepas. Bila mama akan berjumpa dengan Ary yang dulu,”
sambungnya dan menghilang di sebalik pintu bilik.
Edzuary hanya mendengar.
Kata-kata Puan Jaslina menusuk terus ke tangkai hati. Ada benarnya kata-kata
Puan Jaslina. Selama lima tahun, dia hidup dalam dunianya sendiri. Dia lebih
suka menyendiri daripada bergaul dengan orang ramai. Jika difikirkan, dia
bukanlah orang sebegitu sebelum ini. Selepas apa yang berlaku lima tahun dulu,
telah mengubah keseluruhan hidupnya. Peristiwa yang berlaku benar-benar membawa
kesan terhadap dirinya sekarang. Maafkan Ary mama, papa, rintihnya sendirian.
lagiii...plzzzzz
BalasPadamMinggu dpn akak smbg..
PadamAkk ros ..knp x der bab yg kwn ES nk berjumpa dgn ES tu? aduh3 panasaran btol lh Akk ros.... ap kh rhsia tu ar?? nk kena tggu lma lgi lh akk noo....
BalasPadambab yg mana?? Aimanuddin jmpe ngan ES ke?? part NE npk ES x zip seluar.. time tu dia kuar ngan Aimanuddin..
Padamhaah lah..knp x de part aimanuddin jmp dgn Es..nk tw ap yg mereka borak tu?? he3....
Padamowh.. yg tu, dlm bab ke atas..
Padamorait akk...akn setia menanti ea hehehe n___n tq
BalasPadamhuhu.. thank you coz setia menanti..
Padamsalam dik...teringin nak tahu ..apa yg berlaku 5 tahun dahulu ? Kenapa mamat poyo tu nampak macam menderita ..adakah antara minah dan mamat tu ada perhubungan yg begitu intim..dan sekiranya ada..kenapakah mamat tu tak dapat mengenali minah tu..peliks kan...harap dapat meleraikan rasa ingin tahu dan teruja yg amat terhadap kisah mereka sekiranya mereka pernah satu ketika mengenali antara satu sama lain.
BalasPadamWslm.. terima kasih Kak Ida coz sudi singgah dan membaca SC.. hurm, byknya persoalan akak.. InsyaAllah, semua tu akn terjwb dlm bab2 ke atas..
Padam