BAB
3
“HAHAHA… baru
padan muka dia. Dia belum kenal siapa aku lagi,” tawa Nur Edleen.
Ezzura yang berada di
sebelah, sudah mengerutkan dahi. Entah apa yang sedang merasuk Nur Edleen, dia
sendiri tidak tahu. Adakah meeting
petang tadi membuatkan kawan baiknya jadi begitu? Apa yang terjadi semasa meeting tadi? Hatinya tertanya-tanya.
Walaupun mereka satu pejabat, tetapi dia di bahagian lain. Nur Edleen di
bahagian pengurusan manakala dia di bahagian operasi. Nur Edleen di level tiga manakala dia di level dua. Satu bangunan, satu pejabat
berlainan department.
“Yang kau termenung ni kenapa,
Zura? Teringatkan boyfriend kau yang
jauh tu ke?” tegur Nur Edleen tatkala menyedari kebisuan Ezzura. Matanya masih
diluruskan pada pemanduan.
“Eh… mana ada. Aku tengah
fikirkan kau lah Leen,” bidas Ezzura, laju.
“Aku? Pasal aku? Apa yang
tak kena dengan aku? Aku okey aje.”
“Yang kau gelak macam
hantu pontianak tu tadi, kenapa? Jin mana yang merasuk badan kau tu?” tanya
Ezzura.
“Jin tanah, jin api, jin
air, jin angin dan segala macam jinlah yang merasuk aku sekarang ni Zura. Itu
yang terlebih ketawa mengalahkan mak bapak pontianak,” jawab Nur Edleen, selamba
dan tersengih. “Aduh! Sakitlah. Kau ni Zura, aku kan tengah memandu,” geramnya.
“Orang tanya elok-elok,
yang kau pergi jawab merapu tu, kenapa? Sendiri cari pasal,” balas Ezzura
bernada geram.
Nur Edleen hanya tertawa.
Hatinya berbunga riang. Mana tidaknya, sudah dikerah otaknya merencana
rancangan jahat dan akhirnya dia berjaya mengenakan bos besarnya.
“Tengok tu, ketawa lagi.
Apa yang kau ketawakan tu, Leen? Kongsilah dengan aku. Aku pun nak tahu juga,” paksa
Ezzura.
“Alah, tak payah tahulah
Zura. Bukan best mana pun cerita ni.”
“Best tak best, aku nak
tahu juga.”
Nur Edleen berfikir
sejenak. Berkira-kira untuk berkongsi cerita dengan Ezzura. “Aku takut jantung
kau tak tahan dengarnya. Kang tak pasal-pasal kena tampal jantung kau tu. Susah
aku nanti nak jahitnya, Zura,” katanya, selamba.
“Kau ni kan Leen!” geram
Ezzura tatkala dirinya dipermain-mainkan oleh Nur Edleen.
“Okey.. okey… sorry. Aku tak main-main. Kau
betul-betul nak tahu?” kata Nur Edleen, mengalah. Gerun pula dia melihat wajah
tegang Ezzura. Ezzura kalau dah dapat marah, mahu terbalik dunia dibuatkannya. “Kalau
kau nak tahu, hari ni aku kenakan bos kau,” mulainya dan tersengih. Otaknya
ligat mengimbas semula peristiwa yang berlaku di dalam bilik Edzuary, bos
besarnya.
“Bos aku? Encik Hairudin
ke?” tanya Ezzura, berkerut.
“Erk, bos kau Hairudin ke
namanya, bukan Edzuary Safuan?” tanya Nur Edleen pula. “Hisy, tergeliat lidah aku
nak sebut nama dia tu. Dah tak ada nama lain lagi ke nak pakai,” rungutnya
pula.
“Oh, Encik Edzuary tu
bukan bos aku, dia pengurus besar Pelangi Holding dan bos kau. Bos aku
Hairudin. Kau dan aku kan tak sama department,”
terang Ezzura, jelas dan nyata.
Nur Edleen mengangguk
faham. Barulah dia tahu kenapa Ezzura tidak hadir sama di dalam mesyuarat tadi
sedangkan jawatan yang dipegang oleh Ezzura lebih kurang sama dengannya, Eksekutif
Operasi. Ezzura juga yang merekomenkan dia bekerja di Pelangi Holding pada Encik
Hamid selaku Pengurus Sumber Manusia. Alhamdulillah, temuduganya berjaya dan
kini dia bekerja di bawah satu bumbung dengan Ezzura.
“So, apa cerita?” tanya Ezzura menyentakkan lamunan pendek Nur
Edleen.
Nur Edleen tersenyum.
Ingatannya kembali memutarkan peristiwa di bilik Edzuary. Serta merta ketawanya
pecah dek ingatannya itu.
“Dia buat balik dah,”
keluh Ezzura dan menggeleng kecil.
“Okey.. okey.. sorry. Aku tak gelak dah. Tapi, aku
memang tak tahan bila teringat kes kat office
dia tadi,” balas Nur Edleen dan masih ketawa.
“Kes apa?”
Nur Edleen masih lagi
ketawa. Dibiarkan sahaja Ezzura terteka-teki sendiri. Jika Ezzura tahu akan
kisah sebenar, pasti Ezzura turut sama ketawa. Tidak semena-mena, wajah Edzuary
yang merah menahan malu menyapa tubir mata. Dia tersenyum tatkala mengingati
wajah itu.
EDZUARY
menghumbankan dirinya di atas katil. Terasa penat badannya itu. Seharian
bekerja, begitu memenatkan. Bukan sahaja dari segi fizikal, mental dan emosi
juga turut merasa penat. Jika bukan kerana tuntutan keluarga, tidak ingin dia
menguruskan Indah Holding. Abangnya lebih layak untuk menguruskan syarikat
tersebut berbanding dirinya yang masih muda. Dia juga perlu banyak belajar dari
orang-orang yang berpengalaman seperti abangnya.
“Nur Edleen,” bisiknya,
lembut. Entah kenapa nama itu boleh terpacul keluar dari bibirnya. Adakah
disebabkan peristiwa siang tadi membuatkan hatinya terdetik dengan nama itu?
Peristiwa yang tidak mungkin akan dilupakan seumur hidupnya.
“Encik ke tepi!” pinta
Nur Edleen, lembut.
Bunyi dari arah pembersih
hampagas menyukarkan Edzuary mendengar permintaan Nur Edleen. Dikerutkan dahi
sambil cuba memahami kata-kata Nur Edleen.
Hisy, pekak betullah
mamat ni. Aku kata ke tepi, tepilah. Ini tidak, boleh pulak buat muka bodoh kat
situ, geram hati Nur Edleen.
Kau ni pun satu Leen,
manalah dia nak dengar suara kau kalau dah bunyi pembersih hampagas tu
mengalahkan suara kau, kata akalnya pula.
Ya tak ya juga. Apalah
kau ni Leen, bodoh sangat, kutuknya di dalam hati.
“Encik, ke tepi!” ulang
Nur Edleen sedikit meninggi. Namun, masih tiada tindak balas dari Edzuary.
“Awak kata apa Nur
Edleen?” tanya Edzuary sedikit meninggi.
“Aku kata tepilah!” geram
Nur Edleen.
“Apa?” ulang Edzuary, sengaja.
Bukannya dia tidak dengar, tapi pura-pura tidak dengar sebaik sahaja Nur Edleen
meninggikan suaranya tadi. Padan muka, cebiknya di dalam hati.
Oh, sengaja cari pasal
dengan aku ya. Dahlah aku buat kerja free,
dia pulak duduk selamba badak kat sofa tu. Siap kau aku kerjakan sekejap lagi,
bebel Nur Edleen di dalam hati. Senyuman manis dihadiahkan buat Edzuary.
“Saya ke sana ya Encik
Edzuary Safuan Erizal Hanif,” pinta Nur Edleen dan masih lagi tersenyum manis.
Edzuary sekadar
mengangguk. Matanya mengekori tingkah Nur Edleen yang sedang menarik wayar
pembersih hampagas. Tersenyum kecil dia melihat gelagat Nur Edleen. Dalam
kedegilan, ada kelembutan pada gadis itu.
Nur Edleen menyandarkan
pembersih hampagas ke sofa. Tepat ke arah Edzuary. Sengaja dia membiarkan
pembersih hampagas itu berbunyi. Senyuman nakal sudah terbias di wajah. Dengan
perlahan, dia menarik hos anjal yang menyambungkan kepada pembersih dan
dihalakan ke arah Edzuary. Tersentak Edzuary dengan tingkah Nur Edleen. Bingkas
dia bangun dari duduk dan cuba mengelak dari mengenai hos anjal tersebut.
Nasibnya malang tatkala kakinya tersadung di wayar pembersih hampagas itu dan
jatuh tersembam ke lantai.
Nur Edleen yang melihat
sudah tersentak. Serta merta hos anjal itu dilepaskan. Apa yang membuatkan
matanya membuntang, baju kemeja Edzuary. Terhambur ketawanya melihat baju
kemeja Edzuary itu. Malah, keadaan Edzuary yang sudah pun terduduk di atas
lantai menambahkan rasa geli di hati.
“Nur Edleen!!” jerit
Edzuary, meninggi.
Terhenjut tubuh Nur
Edleen mendengar jeritan Edzuary. Terhenti tawanya dek kerana jeritan itu.
Lantas, dimatikan suis pembersih hampagas tersebut dan mendiamkan diri di situ.
Matanya menjamah wajah tegang Edzuary.
Edzuary bingkas bangun
dari jatuhnya. Dibetulkan kedudukan diri dan memperkemaskan baju kemeja serta
rambutnya yang sedikit kusut.
“Erk… encik…” seru Nur
Edleen, lembut.
“What?!” tanya Edzuary dan masih meninggi.
Nur Edleen menggaru
kepalanya yang bertudung. Lagak seperti orang tidak bersalah sahaja. Dia
tersengih buat seketika tatkala terlihat baju kemeja Edzuary yang terkoyak
sehingga menampakkan tubuh Edzuary. Malu dirasakan Nur Edleen ketika ini.
“Encik…” seru Nur Edleen
dan masih lembut. Kakinya menguis-nguis permaidani dan menunduk. Malu untuk
menyatakan hasrat di hati.
“Apa encik… encik… Awak
nak buat apa lagi kat saya?” marah Edzuary tidak tertahan.
“Itu… itu….” kata Nur
Edleen sambil mengunjuk ke arah baju Edzuary yang terkoyak. Dia sudah pun
tersipu-sipu malu. Dapat dirasakan pipinya berbahang juga.
“Itu
apa? Yang awak ni tergagap-gagap nak cakap, kenapa?” jerkah Edzuary pula.
Hisy
mamat ni. Nak tengking-tengking aku ni, kenapa? Kira baik jugalah aku ni nak
bagitau kat dia tentang baju dia tu, kalau tidak, lantak dialah malu sendiri,
kutuk Nur Edleen di dalalm hati. Tapi, seksi juga tubuh dia tu, pujinya.
Sengihan terbias di wajah.
“Yang
awak tersengih macam kerang busuk tu, kenapa? Awak gelakkan saya lagi, kan?”
geram Edzuary dan mengepal tangan. Gadis di hadapannya itu bukan calang-calang
orang dan dia perlu berhati-hati dengan gadis itu.
“Eh…
tak ada. Saya sengih sebab sengih tu kan satu sedekah,” balas Nur Edleen, selamba.
“Jap.. jap.. sengih tu satu sedekah juga, kan?” tanyanya sambil menggaru
kepalanya yang bertudung. Sengihan masih lagi terukir di bibir.
“Nur
Edleen Haji Marwan!” panggil Edzuary tidak tertahan. Geram dirasakan Edzuary
ketika ini. Hidup-hidup dia dipermainkan oleh Nur Edleen.
Gulp!!
Nur Edleen menelan liur. Kelat! Dipahatkan mata ke wajah tegang Edzuary.
Kelihatan merah wajah itu menahan kemarahan. Sudah pastilah Edzuary geram dan
marah terhadapnya ketika ini.
“Awak
boleh keluar sekarang!” arah Edzuary, lantang. Jika berlama, makin geram dia
terhadap Nur Edleen. Rasa malu semakin menebal dalam diri. Malu apabila
terjatuh di hadapan Nur Edleen. Cukuplah pertama dan terakhir dia jatuh di
hadapan perempuan. Malunya usahlah nak dikata. Hanya Allah sahaja yang tahu
perasaan malunya ketika ini.
Nur
Edleen mengangguk lemah. Dia sedar, yang dia sudah melampaui batas. Dengan
langkah yang lemah, dia menapak keluar dari bilik. Sungguh, dia rasa berdosa
kerana memperlakukan Edzuary sebegitu. Seminit kemudian, langkahnya terhenti.
Dia menoleh ke arah Edzuary yang sedang memandang tajam ke arahnya.
“Nak
apa lagi?” tanya Edzuary, keras.
Nur
Edleen tersenyum manis.
“Apa?”
ulang Edzuary sedikit menekan.
“Erk…
saya nak puji, boleh?” pohon Nur Edleen penuh berhati-hati.
Edzuary
mengerutkan dahi.
“Tubuh
encik tu seksi lah. Kalau perempuan lain, dah lama tergoda. Tapi, nasib baik
saya ni kuat iman orangnya, encik. Kalau encik nak tahu, saya ni ada ilmu
kebal. Segala macam hantu, jin dan syaitan, tak boleh tembus dalam badan saya.
Disebabkan itulah saya tak tergoda dengan tubuh encik yang seksi tu,” jelas Nur
Edleen dan tersenyum.
Semakin
bertambah kerutan di dahi Eduary. Kurang mengerti akan maksud kata-kata Nur
Edleen itu.
“Baju
encik tu koyak,” beritahu Nur Edleen, perlahan.
“Koyak?”
ulang Edzuary, terkejut.
Nur
Edleen mengangguk. Dia tersenyum simpul memandang wajah kalut Edzuary.
Edzuary
memerhatikan segenap inci bajunya. Alangkah terkejutnya dia melihat koyakan di
baju kemejanya itu. Serta merta wajahnya memerah. Malu tatkala ditegur Nur
Edleen.
“Jangan
seksi-seksi ya encik, tergoda saya,” pesan Nur Edleen berwajah serius sambil
cuba menahan ketawa. Sungguh, tidak tertanggung rasanya akibat menahan ketawa
yang amat sangat. Tanpa berlengah, segera dia keluar dari bilik Edzuary. Di
luar bilik, dia menghamburkan ketawa yang sedari tadi ditahan-tahan. Tidak
menyangka dia akan dihidangkan dengan peristiwa ini pada hari pertama dia
bekerja di Pelangi Holding. Pengalaman yang cukup manis di dalam kamus hidupnya.
Edzuary
masih menahan malu. Ingin saja dia menyorokkan muka dari dipandang Nur Edleen.
Betapa malu dirasakannya ketika ini. Silap dia juga kerana terambil baju
tersebut. Jika memorinya masih kuat, ada sehelai baju yang memang koyak dan
menunggu masa untuk dibuang. Sehingga ke hari ini dia tidak membuangnya dan
disebabkan keengganannya juga, maka dia terpaksa menahan malu di hadapan Nur
Edleen.
Edzuary
mengeluh ringan. Mujurlah dia memakai blazer
ketika bermesyuarat tadi dan menanggalkannya di dalam bilik. Jika tidak,
bertambah malu Edzuary jika pekerja bawahan menegur bajunya itu. Jika bukan
kerana kuah laksa, mustahil juga dia akan mengalami situasi hari ini. Hisy,
buat malu ajelah kau ni Ary. Mana kau nak letak muka kau tu depan Nur Edleen,
kutuk Edzuary pada dirinya sendiri.
Getaran telefon menyentak
lamunan panjang Edzuary. Diseluk poket seluar dan mengeluarkan telefon
bimbitnya. Nafas dihela ringan tatkala nama Aimanuddin tertera di screen telefon.
“Kenapa Aiman?” tanya
Edzuary sebaik sahaja salam berjawab.
“Ary, esok lunch hour aku nak jumpa dengan kau. Ada
perkara yang nak aku bincangkan dengan kau,” beritahu Aimanuddin.
“Perkara apa?”
“Esok aku bagitau pada
kau. Tempat biasa. Kau jangan lambat pula,” pesan Aimanuddin.
“Insya-Allah, aku cuba,”
balas Edzuary.
“Thanks!” ucap Aimanuddin dan mematikan talian.
Edzuary tersentak. Tanpa
memikirkan apa-apa, bingkas dia bangun dari pembaringan dan menapak ke almari.
Tuala dicapai lalu ke bilik air. Terasa melekit badannya ketika ini seharian
bekerja. Dia perlu menyegarkan badan sebelum mengadap Ilahi. Semoga hari esok
lebih baik dari hari ini.
“HAHAHAHA…
kau biar betul Leen. Kau tak tipu aku, kan?” kata Ezzura dan tertawa besar. Geli
hati mendengar cerita dari Nur Edleen tentang Edzuary. Sungguh, tidak menyangka
begitu sekali Edzuary dikenakan oleh Nur Edleen. Kalau dia di tempat Edzuary,
sudah pastilah dia tidak akan bertemu pandang dengan Nur Edleen lagi. Tapi, nak
buat macam mana. Edzuary sepejabat dengan Nur Edleen dan Nur Edleen adalah
orang bawahan Edzuary.
“Muka aku ada macam
penipu ke?” tanya Nur Edleen tidak berpuas hati.
“Eh… mana ada. Tapi,
iras-iras tu adalah,” jawab Ezzura dan tersengih. “Aduh! Macam ketamlah kau
ni,” rungutnya pula.
“Tau pun sakit,” cebik
Nur Edleen.
“Lepas tu apa dia buat?”
tanya Ezzura seakan berminat dengan cerita Nur Edleen itu.
“Aku ni kan gadis melayu
terakhir, so kenalah tunggu kemarahan
dia reda. Kasi kenyit mata aje, terus cair,” cerita Nur Edleen, bersungguh.
Ezzura yang sedikit
teruja sudah menegakkan badan. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Nur Edleen
itu? “Yalah tu. Kasi kenyit mata aje, terus cair,” ulangnya, mengejek. “Gadis
melayu terakhir konon. Nak termuntah aku dengarnya.”
“Betul apa. Aku ni kan
perempuan melayu terakhir. Kalau tidak, tak adalah mamat tu boleh terkejut
tengok aku masa kami jumpa kat Giant sebulan yang lepas,” beritahu Nur Edleen.
“Maksud kau Leen?”
“Dialah yang aku
terserempak dekat Giant hari tu, yang panggil aku mak cik?”
“Oh, dia ke? Tak sangka
kan, dia yang jadi bos kau sekarang. Jangan kau tergoda dengan kekacakan dia, sudahlah,”
kata Ezzura.
Nur Edleen mencebik. Tak
kuasa nak tergoda dengan lelaki seperti Eduzary. Kacak ke dia tu? Soal hatinya.
“Yang kau termenung ni, kenapa?
Kau teringat kat dia ke?”
“Hisy, tak ada maknanya
aku nak teringat kat dia. Aku sendiri pun tak terurus, ini kan pula nak uruskan
orang lain,” bidas Nur Edleen, laju. Tidak mungkin dia akan jatuh cinta pada
lelaki itu. Ini kerana hatinya sudah diserahkan pada seseorang. Seseorang yang
belum pernah berjumpa. Seseorang yang pernah membuat hatinya berdegup kencang
sehinggakan sukar untuk dia mengawal degupan itu. Siapa orang itu? Nur Edleen
masih lagi mencari-cari bayangan orang tersebut.
Tetapi, kenapa setiap
kali dia berhadapan dengan Edzuary, jantungnya berdegup kencang. Pandangan mata
Edzuary yang redup menceritakan sesuatu padanya. Seakan dia punya kaitan yang
kuat dengan Edzuary. Mungkinkah dia sudah lama mengenali Edzuary atau
perasaannya sahaja.
“Termenung lagi,” keluh
Ezzura menyentakkan Nur Edleen.
“Sorry.. aku teringatkan sesuatu tadi,” pohon Nur Edleen.
“Apa yang kau ingatkan?”
“Tentang seseorang yang
pernah hadir dalam hidup aku dulu.”
“Siapa?” tanya Ezzura
ingin tahu.
Nur Edleen menjungkitkan
bahu. Dia sendiri tidak tahu siapa yang pernah hadir dalam hidupnya dahulu. Apa
yang dia tahu, dia mengalami kemalangan ngeri lima tahun yang lepas sehingga
memaksa dia menjalani beberapa pembedahan. Pembedahan apa? Nur Edleen sendiri
tidak tahu. Kata abahnya, pembedahan membuang darah beku yang terdapat di
kepalanya akibat kemalangan tersebut. Untuk tidak bertanya lebih, dibiarkan
sahaja peristiwa itu berlalu pergi. Hidupnya kini bebas dari sebarang masalah.
Dia bersyukur dengan kehidupannya sekarang.
“Aku dah mengantuklah
Leen. Aku masuk tidur dulu. Kau jangan lupa lunch
hour kita esok,” suara Ezzura, seraya bangun.
“Lunch hour? Maksud?” tanya Nur Edleen kurang mengerti.
“Kau ni bengap sangat,
kenapa? Kan kita nak jumpa Eka dengan Azie lunch
hour esok,” tekan Ezzura sedikit geram.
Nur Edleen menepuk dahi.
Hampir, dia terlupa dengan perjumpaan itu. Hampir juga dia terlupa dengan
perjumpaan keluarga yang diadakan setiap hari Jumaat. Semenjak dia mengambil
keputusan untuk duduk di rumah sewa Ezzura, jarang sekali dia pulang ke rumah parentsnya. Jika ada pun, pertemuan
keluarga yang diadakan setiap dua kali sebulan.
“Ya, aku ingat. Aku pun
ingat yang aku ada family gathering malam
esok. Kau nak join sekali tak?”
beritahu Nur Edleen.
“Aku rasa tak kut.
Sampaikan salam aku pada abah dan ummi ajelah,” balas Ezzura.
“Insya-Allah.”
“Aku masuk bilik dululah.
Dah mengantuk sangat-sangat ni,” pamit Ezzura dan berlalu dari situ sebelum
sempat Nur Edleen membalas.
“Nite Zura,” ucap Nur Edleen.
Seminit kemudian, bingkas
dia bangun dari duduk dan melangkah menuju ke bilik. Otaknya penuh dengan
pelbagai persoalan. Siapa yang berada di dalam hatinya itu? Kenapa setiap kali
berada di sisi Edzuary, terasa selamat dan tenang yang belum pernah dirasakan
olehnya sebelum ini. Adakah Edzuary punya hubungan kuat dengannya? Pelbagai
persoalan bersarang di kepalanya ketika ini. Untuk tidak menyesakkan nafas,
segera dia berbaring di atas katil dan cuba melelapkan mata. Semoga tidur
malamnya ini dapat mengusir segala keresahan di hati.
nk lg..hehehe
BalasPadamterima kasih coz sudi membaca SC
Padammesti Edzuary Safuan dan Nur Edleen pernh bhubungn, nUR edleen hilang ingtn kan4....he3
BalasPadamhurm, mgkn la kut..
PadamNak kembangkn citer yg masih samar... so kiter tggu next yer....
BalasPadamye.. tggu utk next dan next..
Padam