“AWAK
terima cinta saya?” soal Zafira,
inginkan kepastian.
Lelaki itu
tidak menjawab. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Saya dah lama
suka kat awak. Saya selalu perhatikan awak,” beritahu Zafira pula.
Lelaki itu
masih berfikir. Wajah Zafira ditatap curiga.
“Awak tak
percaya ke?” tanya Zafira melihatkan riak di wajah lelaki itu.
“Kau suka kat
aku? Kenapa kau suka kat aku?” soal lelaki itu pula.
“Sebab…
sebab…” Zafira mematikan ayat. Malu untuk berterus-terang.
“Sebab apa?”
desak lelaki itu.
“Sebab mata
awak,” ujar Zafira, malu-malu.
Lelaki itu
berkerut dahi. Pelik mendengar jawapan Zafira.
“Mata awak tu
macam mata Hitrik Roshan. Cantik!” puji Zafira, ikhlas.
Lelaki itu
mengawal senyuman agar tidak terbit di bibir. Kembang tatkala dipuji sebegitu.
“Saya suka
mata awak. Jadi, saya nak mata awak saja. Yang lain-lain saya tak nak,”
beritahu Zafira lalu tersengih.
Lelaki itu
terkedu. Apa maksud Zafira?
“Boleh tak
bagi mata tu pada saya? Dah lama saya cari mata ala-ala Hitrik Roshan,” sambung
Zafira. Kakinya menguis-nguis daun kering yang berada di situ.
“Gila!” luah
lelaki itu, sepatah.
Seminit
kemudian, dia beredar dari situ. Belum pernah lagi dia berjumpa dengan gadis
seperti Zafira.
“Eh… awak!
Nanti dulu!” laung Zafira.
Langkahnya
mengekori langkah lelaki itu. Semakin laju langkah lelaki itu, semakin laju
langkahnya juga. Tak terkejar Zafira dibuatnya.
“Oh mak kau
menari joget!” latah Zafira kemudian. Tersemban dia jatuh daripada sofa.
“Aduh!
Sakitnya punggung aku!” rengek Zafira pula. Diusap punggungnya yang terasa
sakit. Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
“Hahahaha!”
gelak Izreen, tiba-tiba.
Zafira
menoleh. Terkejut mendengar suara ketawa Izreen. Tajam matanya ke wajah
kawannya itu.
“Tidur lagi time tengah hari kembang macam ni. Kan
dah terjatuh macam nangka busuk,” kutuk Izreen, selamba. Dilabuhkan duduk di
sofa berhadapan dengan Zafira.
Zafira bingkas
bangun daripada jatuhan. Punggungnya yang terasa sakit diusap lembut.
“Kau mimpikan
siapa pulak kali ni?” soal Izreen, ingin tahu.
“Haaa… baru
sedap sikit telinga aku mendengarnya,” balas Zafira sambil tersengih.
Izreen
mencebik meluat. Itulah Zafira yang sebenarnya. Suka bermimpi dan berkhayal.
“Kau nak tahu
ke?” ujar Zafira sambil mengangkat kening.
“Kalau kau nak
beritahu.”
“Hitrik
Roshan!”
“Hitrik
Roshan?”
Zafira
mengangguk perlahan. Masih lagi tersengih.
Izreen yang
melihat anggukan Zafira melepaskan ketawa. Geli hati mendengarnya.
“Kau apasal?
Nak makan selipar ke?” Zafira geram lalu mendengus kasar.
“Okey…
okey.... sorry. Tak sengaja,” kata
Izreen dan mematikan ketawa.
Zafira
merengus. Sakit hatinya mendengar suara ketawa Izreen.
“Aku ingatkan
Rajnikhan,” gelak Izreen, galak.
“Mak cik!”
tegur Zafira pantas berdiri.
“Opps! Sorry!” ucap Izreen sambil menekup
mulut.
Zafira
merengus. Tajam matanya ke riak selamba Izreen. Ikutkan hati, mahu dihempuk
kawan baiknya itu. Suka hati sahaja nak ketawa.
“Aku masuk
bilik dulu. Malas aku nak layan kau,” ujar Zafira dan memulakan langkah.
“Kau jangan
lupa dinner malam ni kat rumah Abang
Aqil. Tadi Abang Aqil call aku suruh
aku ingatkan kau,” beritahu Izreen bingkas bangun.
Terhenti
langkah Zafira mendengarnya. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Kau dah lama
tak balik. Kalau kau nak aku temankan, aku temankan kau balik.”
“Tengoklah
nanti!” balas Zafira dan beredar dari situ.
Izreen
menghela nafas ringan. Kepalanya menggeleng kecil tatkala memikirkan Zafira.
Sudah lama kawannya itu tidak pulang ke rumah Aqil. Tatkala disuarakan tentang
itu, Zafira pasti akan mengelak.
“BOLEH
tak kau jangan timbulkan masalah, Iqwan?” Lantang Khairil bersuara.
“Masalah? Aku
tak pernah timbulkan masalah apa-apa,” tukas Iqwan, selamba.
“Tak pernah?
Tak pernah kau kata?”
“Yalah! Mana
pernah aku timbulkan masalah pada kau.”
“Yang kau lari
daripada meeting tu, apa? Bukan
masalah ke?”
“Alah!
Biasalah tu. Kau pun pernah buat, kan?”
Khairil
melepaskan nafas berat. Wajah Iqwan di hadapan ditatap berserta gelengan di
kepala. Bagaimana untuk menyedarkan Iqwan ketika ini?
“Kau dah
banyak timbulkan masalah, Iqwan. Kalau berterusan begini, tak mustahil syarikat
peninggalan keluarga kau ni akan bankrap.”
“Biarlah kalau
syarikat ni nak bankrap. Aku dah penat nak uruskannya.” Selamba Iqwan menjawab.
Seperti orang tidak berperasaan lagaknya.
Menggeleng
Khairil mendengar jawapan Iqwan. Kenapa Iqwan berkata begitu? Adakah Iqwan
sudah berputus asa?
“Aku nak balik
dulu. Kalau kau tak ada masalah, kau tolong handle
mesyuarat petang nanti,” sambung Iqwan lalu bangun dari duduk.
“Wan, kau tak
boleh…”
“Aku
percayakan kau,” pintas Iqwan seraya memegang lembut bahu Khairil.
Dia melangkah
keluar dari bilik. Sempat dia melemparkan senyuman kepada kawan baiknya itu.
“Iqwan! Iqwan
Hafiz!” panggil Khairil.
Namun,
panggilannya itu tidak diendahkan oleh Iqwan. Kawannya itu sudah pun beredar
dari bilik. Nafas berat dilepaskan. Bagaimana untuk menyedarkan Iqwan?
“Aku tetap
akan tolong kau, Wan,” bisik Khairil kepada dirinya sendiri.
“BALIK-balik
meeting. Balik-balik meeting. Bosan betul!” rungut Iqwan
sendirian.
Dengusan kasar
terlepas daripada bibir. Dibiarkan sahaja kakinya melangkah. Tidak berniat
untuk berhenti. Tatkala ternampak sebuah tin kosong, disepak tin itu sekuat
hati.
“Aduh!” rengek
seseorang.
Tersentak
Iqwan buat seketika. Bulat matanya memandang seorang gadis yang sedang mengusap
kepala. Adakah tin kosong yang disepaknya tadi mengenai kepala gadis itu?
“Hisy, mana
datang tin ni?” soal Zafira kepada dirinya sendiri. Meliar matanya memerhati
sekeliling. Mencari punca dari mana datangnya tin kosong itu.
“Takkan kena
daulat kut?” tanya Zafira lagi. Diusap kepalanya yang terasa sakit.
Iqwan hanya
memerhati. Tidak berniat untuk menegur.
“Jangan-jangan…
ada HR ikut aku tak?” duga Zafira masih melilaukan mata.
Berkerut dahi
Iqwan mendengar. HR? Hati Iqwan bertanya.
Zafira masih
lagi melilaukan mata. Perasaan berdebar di saat ini. Risau kalau-kalau
dugaannya itu betul memandangkan kawasan yang dilaluinya agak sunyi.
“Mak!” jerit
Zafira, terkejut. Ditekup mukanya dengan kedua-dua belah tangan.
Iqwan mengurut
dada. Terkejut mendengar jeritan gadis itu.
“Kau siapa?”
soal Zafira, bergetar. Diintai wajah lelaki dari celahan jemarinya itu.
Iqwan tidak
menjawab. Berkerut dahinya melihat tingkah laku gadis di hadapannya itu.
“Kau siapa?
HR, kan?” tanya Zafira lagi.
“HR?” ulang
Iqwan, berkerut.
“Bismillahirrahmanirrahim.
Puh kanan puh kiri, pergi engkau dari sini,” jampi Zafira, bergetar. Botol
mineral yang dipegang dibuka lalu menjirusnya ke arah lelaki di hadapannya itu.
“Syuh… syuh…
pergi kau dari sini. Pergi!” halau Zafira bernada serius.
Tersentak
Iqwan dek kerana tingkah laku Zafira. Tidak menyangka dia akan dijirus dengan
air. Dia merengus kasar.
“Pergi! Pergi!
Kalau kau tak pergi aku panggil ustaz datang halau kau,” kata Zafira lagi.
Dijirus air mineral ke muka Iqwan.
“Woi, minah!
Kau ingat aku ni apa? Hantu ke?” marah Iqwan, keras.
Sakit hatinya
dengan tingkah laku Zafira. Habis bajunya basah dek kerana air mineral yang
dijirus oleh gadis itu.
Terhenti
tingkah laku Zafira mendengarkan kemarahan lelaki itu. Wajah di hadapannya
dipandang berserta kerutan di dahi.
“Kau ni gila
ke? Baru keluar dari Tanjung Rambutan?” marah Iqwan lagi. Sapu tangan dari
dalam poket seluar dikeluarkan lalu dilap wajahnya yang basah.
Zafira hanya
memandang. Otaknya masih lagi ligat berfikir. Seminit kemudian, ditundukkan
tubuh dan memandang ke arah Iqwan. Memeriksa sama ada lelaki di hadapannya itu
manusia ataupun hantu.
Berkerut dahi
Iqwan melihat tingkah laku Zafira. Apa yang sedang dibuat oleh gadis itu?
“Manusia
rupanya. Ingatkan hantu raya tadi.” Zafira menarik nafas lega.
“What? Kau ingat aku ni hantu ke?” Iqwan
terkejut.
Zafira
tersengih. Kepala yang bertudung digaru sekali. Matanya memandang wajah tegang
lelaki di hadapannya itu.
“Encik ni handsome la. Macam Hitrik Roshan,” puji
Zafira kemudian.
“Kau dah
basahkan aku, kau nak ambil hati aku pulak? Puji aku bagai? Banyak cantik muka
kau,” cebik Iqwan, meluat.
“Muka saya
memang cantik, encik. Cuba encik tengok. Satu jerawat pun tak ada, kan?” balas
Zafira tidak berperasaan. Disuakan mukanya di hadapan mata Iqwan agar lelaki
itu dapat menilik wajahnya.
“Gila!” kutuk
Iqwan sambil menjauhi Zafira.
Tergelak
Zafira mendengarnya. Dia segera beredar dari situ. Malas hendak melayan lelaki
itu lagi.
Iqwan yang
melihat sedikit terkejut. Pelik melihat tingkah laku gadis itu.
“Sengal! Harap
muka saja cantik, tapi perangai macam orang tak betul,” kutuk Iqwan.
Dibawa langkah
beredar dari kawasan itu. Dikerling jam di pergelangan tangan buat seketika.
Masa sudah merangkak ke pukul enam petang. Namun, langkahnya terhenti tatkala
teringatkan sesuatu.
“Aku baru puji
dia cantik tadi, kan?” soal Iqwan pula.
“LAMA
along tak jumpa Fira,” adu Aqil sambil melabuhkan duduk di sofa.
“Hurm…” balas
Zafira, sepatah.
“Kenapa tak
ajak Izreen sekali datang?” tanya Amylia turut sama melabuhkan duduk.
“Reen sibuk!”
jawab Zafira, acuh tak acuh.
Aqil menghela
nafas ringan. Wajah adik bongsunya itu ditatap mesra. Semenjak ayah mereka
meninggal, dia dipertanggungjawabkan dalam menjaga Nur Zafira Sofea. Apa yang
berlaku pada dua tahun yang lepas begitu meninggalkan kesan di hati adiknya
itu.
“Fira tidur
sini ke?” tanya Amylia, ramah.
“Malas!” jawab
Zafira masih sepatah. Matanya ralit menatap telefon bimbit di tangan.
“Fira tidurlah
sini. Along ada perkara nak bincang dengan Fira,” ujar Aqil, lembut.
“Perkara apa?”
tanya Zafira.
“Perkahwinan
Fira!” suara Amylia mewakili Aqil.
Terhenti
tingkah laku Zafira yang sedang bermain permainan di telefon bimbit. Dihalakan
mata ke wajah Aqil dan Amylia di hadapan silih berganti.
“Along nak
kenalkan….”
“SMART! Kalau lelaki tu tak cukup SMART, Fira tak nak,” pintas Zafira,
laju.
“SMART?” Serentak Aqil dan Amylia
bersuara.
Zafira
mengangguk. Dia menyambung bermain permainannya itu.
“Sudah
tentulah smart macam along. Takkan
along nak cari yang kurang smart
untuk adik along ni?” balas Aqil, tersenyum. Nafas lega dilepaskan.
“Okey!
Sama-sama kita tengok SMART ke tidak
calon along tu,” kata Zafira bingkas bangun dari duduk. Ditatap kasih wajah
abang dan kakak iparnya.
“InsyaAllah, smart macam along.” Aqil memberi
jaminan. Senyuman diberikan kepada adik bongsunya itu.
Zafira
mengangguk. Tanpa membalas, dia beredar dari situ menuju ke tingkat atas.
Kepenatan amat dirasai ketika ini.
Aqil dan
Amylia sekadar memandang. Masing-masing melepaskan nafas lega. Lega mendengar
keputusan Zafira. Jika dulu, tatkala mereka menyuarakan hasrat untuk
memperkenalkan Zafira dengan kenalan mereka, pasti Zafira akan menolak. Tetapi
tidak pada kali ini. Zafira bersetuju dengan rancangan mereka.
“Macam tak
percaya saja Fira terima rancangan kita, abang,” ujar Amylia, lembut.
“Hurm… abang
pun macam tak percaya saja. Tapi, tak apalah Amy. Sekurang-kurangnya, Fira tak
menolak macam yang lepas,” balas Aqil sambil mengangguk perlahan.
“Amy harap
kali ni Fira tak menolak. Kawan abang tu pun boleh tahan juga orangnya.”
“Mudah-mudahan.
Abang nak Fira bahagia. Itu janji abang pada arwah ayah.”
“Insya-Allah,
abang. Fira akan bahagia. Amy janji akan bantu abang membahagiakan Fira.” Janji
Amylia di hadapan Aqil. Wajah suaminya itu ditatap kasih. Bersyukur kerana
memiliki Aqil sebagai suami.
Aqil sekadar
mengangguk. Ditarik tangan Amylia lalu digenggamnya erat. Menyalurkan rasa
kasih dan cinta terhadap isterinya itu.
“HAHAHA…
kau ingat aku senang-senang nak terima ke? Aku nak tengok lelaki yang along nak
kenalkan tu cukup SMART ke tidak?”
Zafira mencebik.
“Kalau dia
cukup SMART macam mana? Kau akan
terima dia?” tanya Izreen sekadar rmenduga perasaan Zafira.
Zafira
membisu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Izreen?
“Aku pasti dia
tak memenuhi kriteria-kriteria yang aku nak,” tukas Zafira penuh yakin.
“Belum kenal
belum tahu, Fira. Dibuatnya dia memenuhi kriteria-kriteria suami idaman kau,
macam mana?”
Zafira tidak
membalas. Otaknya cuba mencari jawapan kepada setiap pertanyaan Izreen.
“Tak apa. Kita
tengok dulu macam mana.”
“Bila along
nak kenalkan kau dengan dia?”
“Entah! Aku
tak tanya tadi. Biarlah! Malas aku nak pikir.”
Izreen
mengangguk perlahan. Ada baiknya dia tidak terus bertanya. Jika ditanya, pasti
akan mendatangkan kemarahan kepada Zafira.
“Esok aku nak
tengok wayang. Kau nak ikut tak?” beritahu Zafira dari hujung talian.
“Haa..
wayang?” soal Izreen sedikit terpinga-pinga.
“Yalah! Kau
nak ikut tak?”
“Hurm.. boleh
juga.”
“Aku tunggu
kau kat tempat biasa. Okeylah, aku dah mengantuk. Esok kita jumpa dalam pukul
2.00 petang.”
“Insya-Allah,
baiklah! Mimpikan yang indah-indah,” ucap Izreen dan mematikan talian.
Zafira
tersenyum. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Beg sandang yang terletak di
birai katil ditarik lalu mengeluarkan sebuah diari berwarna hitam. Diari yang
mencoret segala memori dan peristiwa yang terjadi selama dua tahun ini.
“Perlukah aku
berlagak tabah di hadapan mereka semua sedangkan kelukaan di hati masih lagi
bersisa?” suara Zafira, sendirian. Ditatap diari hitam miliknya itu.
“Yang lepas,
biarlah lepas. Aku harus teruskan kehidupan. Apa yang pasti, aku tak nak along
dan kak long kecewa dengan aku. Selama ini, aku banyak menyusahkan mereka
berdua.”
Dibaringkan
tubuh dan memandang siling putih biliknya itu. Diari di tangan dipeluk erat.
“My dream husband! Aku pasti akan
berjumpa dengannya suatu hari nanti,” bisik Zafira lalu memejamkan mata. Cuba
untuk menidurkan diri.
“Hitrik
Roshan!”
Meluncur laju
nama itu daripada bibirnya. Serta-merta wajah lelaki itu meniti di tubir mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan