“MANA dia ni?”
keluh Zafira, sendirian.
Jam
di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Peluh dingin yang membasahi dahi
diseka dengan sehelai tisu. Hampir satu jam dia menanti Iqwan di situ. Namun,
bayang Iqwan tidak juga muncul-muncul.
“Dia
ni datang ke tidak?” soal Zafira kepada dirinya sendiri.
Beg
kertas yang dipegang ditatap berserta senyuman di bibir. Beg berisi makanan
yang dimasak sendiri khas buat Iqwan. Bersungguh dia memasak dan belum pernah
lagi dia berbuat begitu kepada seorang lelaki. Keluhan berat terlepas daripada
bibir. Adakah Iqwan tidak jadi datang ke Tasik Shah Alam ini?
“Baik
aku call dia. Mana la tahukan dia
terlupa ke apa.” Zafira berkata sekadar untuk menyedapkan hati sendiri.
Lantas,
telefon bimbit dikeluarkan dari dalam beg tangan. Nombor Iqwan dicari lalu
mendailnya. Menanti panggilan berjawab.
“Awak….”
Zafira mematikan ayat tatkala talian diputuskan.
Dia
mendail sekali lagi. Namun hampa tatkala suara operator yang menyapa gegendang
telinga. Keluhan dilepaskan untuk kesekian kali. Kenapa Iqwan tidak menjawab
panggilannya? Adakah Iqwan sibuk ketika ini?
“Hurm,
baik aku ke office dia,” cadang
Zafira pula.
Ada
baiknya dia menelefon Aqil dan bertanyakan di mana pejabat Iqwan. Setelah
beberapa minit berbual, laju dibawa langkahnya menuju ke kereta. Tidak sabar
untuk berjumpa dan memberi makanan itu kepada Iqwan.
“SIAPA?” tanya
Khairil, berminat.
“Minah
sengal!” jawab Iqwan sambil mendengus kasar.
“Zafira?”
“Siapa
lagi kalau bukan dia?”
“Dia
nak apa?”
“Ajak
jumpa kat tasik.”
“Habis
tu? Kenapa kau tak pergi?”
“Yang
kau macam polis pencen ni, kenapa?”
Khairil
tergelak. Wajah ketat Iqwan ditatap.
“Macam
mana la aku boleh berjumpa dengan makhluk macam minah sengal tu,” rungut Iqwan
pula. Dilabuhkan duduk di sofa dan berpeluk tubuh di situ.
“Dah
takdir kau nak berjumpa dengan dia. Kau tak boleh nak menolak takdir.”
Iqwan
merengus lagi. Kata-kata Khairil menyakitkan hati.
“Tak
baik kau buat macam ni, Wan. Cuba kau letakkan diri kau di tempat dia, macam
mana? Mesti kau akan rasa macam mana dia rasa. Tak salah kalau kau cuba
berkenalan dan berkawan dengan dia.”
“Aku
tak suka perempuan gedik macam dia.”
“Bila
masa pulak dia gedik? Aku tengok okey saja. Cara dia tu bukannya gedik tapi
manja,” jelas Khairil lalu menggeleng kecil.
“Ah!
Aku tetap tak suka. Tak malu. Perigi cari timba,” cebik Iqwan pula.
Khairil
menghela nafas ringan. Wajah cebikan Iqwan ditatap. Kenapa begitu sekali Iqwan
membenci Zafira? Apa yang tidak kena tentang Zafira di mata Iqwan? Adakah
disebabkan perangai Zafira maka Iqwan membencinya?
“Cik…
cik tak boleh masuk!” tegur Haniza sambil menahan Zafira.
Tersentak
Iqwan dan Khairil mendengarnya. Dihalakan mata masing-masing ke wajah Haniza
dan Zafira.
“Maaf,
Encik Iqwan. Saya tak sempat nak tahan….”
“It’s okey, Haniza. Awak boleh keluar,”
pintas Khairil, tersenyum.
Haniza
mengangguk faham. Dia beredar dari bilik itu. Nafas lega dilepaskan.
“Kau
buat apa kat sini?” tanya Iqwan, keras.
Zafira
tersenyum. Dihampiri Iqwan yang sedang duduk di sofa.
“Untuk
awak!” hulur Zafira kemudian.
Berkerut
dahi Iqwan melihatnya. Beg kertas apa yang dihulurkan oleh Zafira?
“Aku
keluar dulu. Apa-apa nanti, beritahu aku,” sampuk Khairil, tiba-tiba.
Rasa
kurang elok berada di situ. Biarlah Iqwan menyelesaikan masalahnya sendiri.
“Khai!”
panggil Iqwan.
Namun,
panggilannya tidak diendahkan oleh Khairil. Kawannya itu sudah pun keluar dari
bilik. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Satu
jam saya tunggu awak kat tasik. Kenapa awak tak datang? Awak sibuk ya?” ujar
Zafira sambil melabuhkan duduk. Beg kertas yang tidak bersambut diletakkan di
atas meja.
Iqwan
tidak membalas. Matanya memerhati tingkah laku Zafira.
“Tapi
tak apalah kalau awak sibuk. Saya faham,” sambung Zafira. Wajah Iqwan ditatap
mesra. Senyuman masih terukir di bibir.
“Kau
nak apa sebenarnya ni?” tanya Iqwan, laju. Malas untuk melayan Zafira.
“Nak
bagi tu saja. Nanti awak makan ya. Saya masak sendiri khas untuk awak,”
beritahu Zafira sambil menolak beg kertas berisi bekas makanan menghampiri
Iqwan.
Iqwan
sekadar berdehem. Rasa rimas berada di dalam bilik bersama Zafira.
“Kau
nak apa lagi?” tanya Iqwan, serius.
Zafira
tidak membalas. Wajah Iqwan diperhati penuh minat. Sejuk matanya memandang
wajah itu. Walaupun riak kelat yang sering terlukis di wajah Iqwan, dia tidak
peduli itu semua. Apa yang pasti, Iqwan bakal suaminya dan dia perlu melayan
Iqwan sebaik mungkin.
“Hujung
minggu ni awak free tak? Saya nak
ajak awak datang ke rumah. Makan malam bersama,” beritahu Zafira, tersenyum.
“Aku
tak senang,” balas Iqwan, beralasan.
“Ala…
boleh la. Hujung minggu ni datang ke rumah saya.”
“Aku
tak senang. Kau tak faham bahasa ke?”
“Please… please… please… hujung
minggu ni saja. Lepas tu saya tak ajak awak dah,” pujuk Zafira penuh mengharap.
Dia mempamerkan wajah simpati.
Iqwan
merengus. Wajah Zafira ditatap benci. Permintaan Zafira sungguh menyesakkan
fikiran. Perlukah dia bersetuju dengan permintaan Zafira itu?
“Please…” rayu Zafira pula.
“Nanti
aku beritahu kau. Kalau kau tak ada apa-apa lagi, kau boleh balik tak? Aku ada
kerja nak buat,” arah Iqwan bingkas bangun.
“Baiklah!
Saya balik dulu. Maaf sebab ganggu awak. Tapi, saya harap awak setuju dengan
permintaan saya tadi,” balas Zafira turut sama bangun.
Iqwan
menarik nafas lega. Nasib baik kau nak blah.
Kalau tidak, aku yang blah, bisik
hati Iqwan. Matanya memandang wajah Zafira.
“Jangan
lupa makan tau. Saya masak untuk awak,” pesan Zafira sebelum beredar dari bilik
itu. Senyuman diberikan kepada Iqwan.
Iqwan
hanya memandang. Beg kertas yang terletak di atas meja dicapai lalu mengintai
isi di dalamnya. Dikeluarkan lalu menatap bekas makanan tersebut.
“Dia
ingat aku terharu la dengan apa yang dia buat ni. Tak ada maknanya,” cebik
Iqwan.
Dibawa
langkah keluar dari bilik menuju ke tempat Haniza. Beg kertas berisi bekas
makanan diserahkan kepada setiausahanya itu.
Ikutkan
hati, mahu sahaja dia membuang makanan itu ke dalam tong sampah. Tetapi dia
masih ada sifat kemanusiaan dan mustahil dia akan melakukannya jika melibatkan
makanan.
AQIL mengeluh
untuk kesekian kali. Masalah di kepala semakin memberat. Bagaimana untuk
menyelesaikan masalah itu? Rasa kasihan menyerbu di hati. Risau dan khuatir
turut menumpang sama. Perlukah dia berterus-terang kepada Zafira perkara yang
sebenar? Jika dia berterus-terang, adakah Zafira akan menerima?
“Abang!”
tegur Amylia, tiba-tiba.
Aqil
tersentak. Dihalakan mata ke arah Amylia yang sedang menapak masuk ke dalam
bilik. Senyuman diberikan kepada isterinya itu.
“Termenung
saja Amy tengok dari tadi, kenapa?” tanya Amylia, prihatin.
“Zafira!”
sebut Iqwan, sepatah.
“Zafira?
Kenapa dengan Fira?”
“Abang
rasa, kita dah buat keputusan yang salah. Abang tak sepatutnya mengiyakan
kenyataan Zafira hari tu.”
Amylia
melabuhkan duduk di birai katil. Gelengan kecil diberikan kepada suaminya itu.
“Ada
baiknya kita berterus-terang. Abang takut…”
“Apa
kata abang berbincang dengan Iqwan dulu macam mana.”
“Bincang?
Maksud Amy?”
“Pasal
Fira. Lamar Iqwan untuk Fira.”
“Lamar
Iqwan? Dah terbalik agaknya dunia ni. Manalah boleh perempuan melamar lelaki?”
Aqil menafikan. Kepala menggeleng laju.
“Bukan
itu maksud Amy. Abang berbincang dengan Iqwan tentang Zafira. Abang beritahu
dia kesemuanya tentang Zafira. Then,
apa kata Iqwan tentang Zafira?” cadang Amylia.
Aqil
berfikir sejenak. Otaknya cuba merencanakan cadangan Amylia.
“Kita
nak rapatkan hubungan mereka berdua. Fira dah sukakan Iqwan. So, kita kena buat Iqwan sukakan Fira,”
sambung Amylia. Wajah suaminya ditatap.
“Abang
tak rasa yang Iqwan berminat nak tahu tentang Fira. Abang dapat rasa yang Iqwan
tak sukakan Fira. Pandangan Iqwan pada Fira hanya pandangan benci,” jelas Aqil
berserta keluhan ringan. Diraup sekali wajahnya itu.
“Tak
salah kalau kita mencuba. Amy tengok, Fira sukakan Iqwan dan Fira akan berusaha
untuk mendapatkan cinta Iqwan. Abang dah lupa dengan apa yang Fira pernah
lakukan dahulu?”
“Abang
tak pernah lupa Amy dan abang takkan lupakannya. Abang tak sampai hati nak tengok Fira kecewa dan terluka lagi,” keluh
Aqil.
Itulah
yang dirisaukannya selama ini. Kecewa. Ya, kecewa. Disebabkan kecewa, Zafira
berubah sikap. Adiknya suka menyendiri. Kurang bergaul dengan kenalan. Malah,
Zafira mengalami kemurungan akibat pemergian ayah mereka. Perubahan Zafira
ketika itu sedikit sebanyak menjentik tangkai hatinya.
Pelbagai
usaha dilakukan demi mengembalikan Zafira. Berkat usaha dan sokongan, adiknya
itu kembali ceria dan gembira. Dia tidak mahu Zafira kecewa sekali lagi.
Kebahagiaan Zafira adalah segala-galanya. Maka dari itu, dia sanggup melakukan
apa-apa sahaja demi Zafira.
“Kalau
abang tak boleh nak bincang dengan Iqwan, biar Amy saja yang bincang dengan
dia,” ujar Amylia, tersengih.
Bulat
mata Aqil mendengarnya. Wajah sengihan isterinya ditatap.
“Amy
gurau saja,” sambung Amylia tatkala menyedari riak di wajah Aqil.
Aqil
ketawa kecil. Sengaja Amylia menduga perasaannya.
“Nanti
abang cuba bincang dengan Iqwan. Abang harap, Iqwan dapat terima permintaan
kita nanti,” kata Aqil kemudian.
Amylia
sekadar mengangguk dan tersenyum. Tangan suaminya ditarik lalu menggenggamnya
erat. Semoga Allah permudahkan urusan mereka, doa Amylia dalam hati.
“KAU buat apa?”
tegur Izreen sambil tertinjau-tinjau.
“Hisy…
apa ni? Masuk bilik orang tak ketuk dulu,” bentak Zafira, keras. Tangannya
menutup kertas putih yang ditulis sebentar tadi.
“Aku
dah ketuk. Kau tu yang pekak.”
“Iya
ke? Kenapa aku tak dengar?”
“Telinga
kau tu ada masalah. Baik kau pergi check.”
Zafira
tersengih. Matanya memerhati tingkah laku Izreen yang sedang melabuhkan duduk
di birai katil.
“Macam
mana?” mulai Izreen.
“Macam
mana apa?” ulang Zafira, berkerut.
“Misi
memikat kau tu la.”
“Oh!
Eh, mana boleh beritahu. Tak surprise
la nanti.”
“Ala,
takkan dengan aku pun kau nak berahsia? Kita kan kawan.”
Zafira
membetulkan duduk. Gelengan diberikan buat kawan baiknya itu.
“Yalah,
kalau dah dasar kedekut tu… kedekut la juga, kan?” cebik Izreen, meluat.
Tergelak
Zafira mendengarnya. Diserahkan kertas putih yang ditulis sebentar tadi kepada
Izreen. Tidak ada rahsia di antara mereka berdua.
Izreen
tersenyum. Itulah Zafira yang dikenalinya dari dulu sehingga ke hari ini. Tidak
berahsia dan mudah simpati.
“Kau
jangan gelakkan aku. Baca saja!” amaran Zafira, keras.
Izreen
tidak membalas. Matanya meneliti bait-bait tulisan di dalam kertas itu. Seminit
kemudian, terhambur ketawa daripada bibir.
“Reen!”
tegur Zafira, keras.
“Okey…
okey… sorry. Aku terkejut dengan apa
yang kau tulis ni,” kesal Izreen seraya menghulurkan kertas sehabis sahaja
membacanya.
“Ini
saja yang aku terfikir. Kalau esok lusa aku terfikir lagi aku tambahlah kat
bawah ni,” beritahu Zafira, tersenyum.
“Soalan
aku sekarang ni, kau nak buat semua tu ke?” soal Izreen, ingin tahu.
Zafira
membaringkan tubuh ke atas katil. Senyuman terbias di wajah.
“Fira,
aku tanya ni. Kau nak buat semua tu ke?” ulang Izreen pada pertanyaannya tadi.
Dia segera naik ke atas katil dan berbaring di sisi Zafira.
“Aku
akan cuba buat. Aku dah tanya pada pak cik google. Bagaimana cara nak pikat
lelaki?” beritahu Zafira masih tersenyum.
“Boleh
percaya ke kat pak cik google kau tu?”
“100%!”
“Kalau
semua tu tak menjadi, macam mana?” Izreen bertanya. Sekadar menduga perasaan
Zafira. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Aku
guna cara lain pulak.” Selamba Zafira menjawab. Dia yakin akan firasat di hati.
Izreen
mengeluh ringan. Matanya menatap wajah tersenyum Zafira.
“Kau
tahu tak, apa yang buatkan aku suka kat dia?” ujar Zafira kemudian.
“Apa
dia?” tanya Izreen, berminat.
“Mata
dia. Aku suka tengok mata dia. Sebab mata dialah aku jatuh cinta,” jujur
Zafira.
“Hitrik
Roshan!”
Zafira
mengangguk. Mengiyakan kata-kata Izreen.
“Sebab
yang sama?”
“Dia
lain dan Iqwan lain.”
Izreen
menghela nafas ringan. Ingatannya memutarkan semula pada peristiwa dua tahun
yang lepas. Wajah lelaki yang dicintai Zafira dahulu meniti di tubir mata.
“Apa
khabar dia sekarang?” tanya Zafira, perlahan.
Izreen
tersentak. Dihalakan mata ke wajah Zafira.
“Mesti
dia dah kahwin, kan Reen. Pasti isteri dia lebih cantik daripada aku. Pasti
isteri dia lebih sempurna daripada aku,” luah Zafira, sebak.
“Fira…”
“Aku
okey. Kau janganlah risau. Tiba-tiba saja nama lelaki tu meniti di benak hati
aku.”
“Sebab
itu aku kurang setuju dengan rancangan kau ni. Aku tak nak kau alami peristiwa
yang sama,” bisik Izreen kepada dirinya sendiri.
“Apa
kau cakap?” tanya Zafira tatkala mendengar bisikan Izreen.
“Eh,
tak ada apa-apa. Aku balik bilik dululah. Dah mengantuk!” ujar Izreen bingkas
bangun dari pembaringan.
Zafira
sekadar mengangguk. Matanya menghantar pemergian Izreen. Kemudian, dia bangun
dari pembaringan lalu mencapai diari dari atas meja. Dipeluk diari itu buat
seketika dan tersenyum.
“Aku
tahu dia tak sukakan aku, Reen. Tapi, aku akan cuba buat dia sukakan aku,” kata
Zafira kepada dirinya sendiri.
Dicapai
pen dan membuka muka surat bertarikh hari ini. Kertas putih yang ditulisnya
sebentar tadi ditatap.
“Walau
apa pun, aku akan cuba pikat dia sehinggalah aku berputus asa,” sambung Zafira.
Dear My Dream Husband,
Saya tahu awak tak
sukakan saya. Tapi, saya akan cuba buat awak jatuh cinta dengan saya. Itu janji
saya selepas saya jatuh cinta kepada awak.
Your
future wife - NZS
Selesai
mencoret, Zafira meletakkan diari di atas meja semula. Dipejamkan mata sambil
cuba menidurkan diri sendiri. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini, doa
Zafira dalam hati.
Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan