“MAAF kalau saya
mengganggu Encik Iqwan,” mulai Aqil bernada kesal.
“It’s okey. Kebetulan saya ada meeting dekat dengan kawasan ni,” balas
Iqwan, serius.
Aqil
menarik nafas dan melepaskannya ringan. Wajah Iqwan ditatap mesra. Jelas riak
tidak puas hati di wajah itu.
“So, ada apa Encik Aqil nak berjumpa
dengan saya?” tanya Iqwan tidak sabar.
“Mengenai
adik saya,” jawab Aqil, cermat.
“Saya
pun nak bercakap tentang adik Encik Aqil.”
Aqil
berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh
Iqwan itu?
“Boleh
tak tolong nasihatkan adik Encik Aqil tu supaya jangan ganggu saya lagi?”
“Maafkan
adik saya. Dia….”
“Kenapa
dia kata saya ni bakal suami dia?”
Aqil
menghela nafas berat. Perlukah dia berterus-terang kepada Iqwan ketika ini?
“Tolong
beritahu pada dia yang saya tak sukakan dia. Saya bukan bakal suami dia.” Tegas
Iqwan bersuara. Berharap, Aqil faham akan kehendaknya itu.
“Maafkan
saya. Dalam hal ni, adik saya tak bersalah. Tapi, saya yang bersalah.”
Iqwan
memandang ke wajah Aqil. Apa yang dimaksudkan oleh Aqil itu?
“Sebenarnya,
saya nak kenalkan Zafira dengan seseorang. Entah macam mana, saya terpaksa
berbohong pada dia yang encik adalah lelaki yang ingin saya kenalkan,” jelas
Aqil penuh cermat.
“What?” Iqwan terkejut mendengarnya.
“Maafkan
saya, Encik Iqwan. Saya terpaksa,” ujar Aqil, kesal.
“Encik
Aqil tak boleh libatkan saya demi kepentingan sendiri,” geram Iqwan.
Sakit
hatinya mendengar kenyataan yang keluar daripada mulut Aqil. Kenapa dia
dijadikan mangsa dalam kes ini? Kenapa dia yang dipilih oleh Aqil? Rasa sesak
nafas mengetahui perkara itu.
“Maafkan
saya, Encik Iqwan. Saya tak berniat nak libatkan Encik Iqwan. Zafira sukakan
Encik Iqwan. Saya tak sampai hati nak tengok dia kecewa buat kali yang kedua.
Zafira satu-satunya adik yang saya ada. Saya takut kehilangannya,” luah Aqil,
sebak.
“Semua
tu tak ada kena-mengena dengan saya.”
Aqil
menundukkan kepala. Takut untuk menatap wajah tegang Iqwan.
“Saya
nak Encik Aqil perbetulkan keadaan. Encik Aqil berterus-terang pada dia.
Beritahu dia yang saya bukan bakal suami dia,” beritahu Iqwan bernada amaran.
Aqil
masih lagi menunduk.
“Terus-terang
saya cakap, saya tak suka perangai adik Encik Aqil. Dahlah gedik, mengada-ngada
dan merimaskan. Perempuan macam dia tu tak layak untuk saya,” jelas Iqwan
bingkas bangun dari duduk.
Terangkat
wajah Aqil tatkala mendengarnya. Tajam matanya ke wajah Iqwan. Sakit hatinya
mendengar kutukan Iqwan sebentar tadi. Ikutkan hati, mahu sahaja dilayang
sebiji penumbuk ke muka Iqwan ketika itu juga. Namun, disabarkan hati agar
tidak berbuat begitu demi kepentingan dan kebahagiaan Zafira.
“Ini
amaran daripada saya, Encik Aqil. Kalau dia ganggu saya lagi, saya tak
teragak-agak tarik balik kontrak kerjasama antara syarikat kita nanti,” amaran
Iqwan dan beredar dari situ.
Sesak
nafasnya mendengar kenyataan yang keluar daripada mulut Aqil. Kenapa dia perlu
menghadapi situasi sebegitu? Menyesal kerana bertemu dengan Zafira. Menyesal
kerana bekerjasama dengan Cempaka Sdn Bhd.
“Huh!
Tak pasal-pasal aku jadi mangsa,” rengus Iqwan, sendirian.
“KAU nak makan
apa?” tanya Khairil.
Iqwan
tidak membalas. Otaknya ligat berfikir. Entah apa yang sedang difikirkannya,
dia sendiri tidak tahu. Adakah tentang pertemuannya dengan Aqil beberapa jam
yang lepas?
“Wan,
kau nak makan apa?” soal Khairil sedikit menekan.
“Haa..
apa dia Khai?” soal Iqwan pula.
“Apasal
dengan kau ni? Kau ada masalah ke?”
“Masalah?
Siapa?”
“Ya
Allah!” ucap Khairil, menggeleng.
Buku
menu diserahkan kepada pelayan. Setelah memberi pesanan, dihalakan mata ke
wajah Iqwan. Memberi sepenuh perhatian kepada kawan baiknya itu.
“Kau
dah order ke?” tanya Iqwan sedikit terpinga-pinga.
“Kau
ni kenapa? Ada masalah lagi ke? Zafira?”
“Tak
ada apa-apa la. Aku tengah fikirkan pasal meeting
kita minggu hadapan tu.”
“Buat
apa nak fikir? Kan semuanya dah settle.”
Iqwan
hanya mendengar. Otaknya masih lagi dikerah berfikir.
“Terima
kasih!” ucap Khairil sebaik sahaja pelayan meletakkan makanan.
Tanpa
menunggu, dia segera menjamah nasi goreng ayam. Tidak diendahkan Iqwan yang
sedang termenung di hadapannya itu.
“Aku
nak bertunang!” ujar Iqwan, perlahan.
Tersedak
Khairil mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Iqwan. Biar betul?
“Aku
nak bertunang!” ulang Iqwan, serius.
“Kau
biar betul?”
“Aku
serius!”
“Tak
ada angin, tiba-tiba nak bertunang. Dengan siapa?”
“Nur
Zafira Sofea!”
Terkejut
Khairil mendengarnya. Nasi yang berada di dalam mulut ditelan. Pantas, gelas
minuman dicapai lalu meneguk rakus air dari dalamnya.
“Aku
nak bertunang dengan dia. Aku nak minta tolong kau uruskan untuk aku,” jelas
Iqwan seraya memandang ke wajah Khairil.
“Sekejap!
Kau biar betul?”
“Betul
dan aku tak main-main.”
“Macam
mana kau…”
“Aku
dah jatuh cinta dengan dia,” pintas Iqwan, laju. Pasti soalan itu yang hendak
ditanya oleh Khairil.
Bulat
mata Khairil mendengarnya. Biar betul Iqwan jatuh cinta dengan Zafira? Selama
ini, hanya reaksi kurang senang yang terpamer di wajah Iqwan. Bagaimana Iqwan
boleh jatuh cinta dengan Zafira dalam masa beberapa hari sahaja?
“Aku
nak kau wakilkan aku meminang Zafira. Segala perbelanjaan aku tanggung,” kata
Iqwan bernada arahan.
“Sekejap!
Aku masih tak faham dengan kenyataan kau ni,” ujar Khairil, berkerut.
“Apa
yang kau tak faham? Dah jelaskan apa yang aku cakap. Aku nak bertunang dengan
Nur Zafira Sofea dan aku wakilkan kau pergi meminang dia,” jelas Iqwan bernada
serius.
“Aku
tak yakin kau sukakan dia. Mesti ada sebab. Cuba kau berterus-terang pada aku
perkara yang sebenar?”
Iqwan
tersenyum nipis. Wajah curiga Khairil ditatap.
“Aku
suka kat dia. So, apa salahnya aku
meminang dia. Lagipun, kau juga yang cakap, aku patut bangga sebab ada
perempuan tergila-gilakan aku.”
“Memang
betul apa yang kau cakapkan tu. Cuma aku nak tahu, niat kau tu ikhlas atau
terpaksa? Jangan-jangan, kau ada niat lain tak?”
“Ikhlas
la. Dahlah! Kau ni banyak bunyi pulak. Kau nak tolong aku ke tidak ni?”
Khairil
menghela nafas ringan. Anggukan diberikan sebagai tanda jawapan kepada
pertanyaan Iqwan. Jauh di sudut hati, dia berharap agar Iqwan benar-benar
ikhlas dengan Zafira.
“CIK ZAFIRA!”
tegur Sarimah dari arah muka pintu bilik.
Zafira
mengangkat wajah. Dihalakan mata ke arah Sarimah di muka pintu bilik.
“Encik
Aqil panggil cik ke bilik,” beritahu Sarimah, ramah.
“Encik
Aqil?” tanya Zafira inginkan kepastian.
Sarimah
sekadar mengangguk.
“Baiklah!
Nanti saya datang,” balas Zafira, tersenyum.
Sarimah
turut sama tersenyum. Dia beredar dari situ.
Zafira
bingkas bangun dari duduk. Berkerut dahinya ketika ini. Kenapa Aqil ingin
berjumpa dengannya? Kenapa Aqil tidak menelefon sahaja? Adakah sesuatu telah
berlaku kepada syarikat? Perasaan risau menujah ke dalam hati.
“Kenapa
along nak jumpa? Ada yang tak kena dengan draf tu ke?” soal Zafira kepada
dirinya sendiri. Langkah dibawa menuju ke bilik Aqil.
Pintu
bilik diketuk. Dia segera masuk ke dalam bilik sebaik sahaja arahan diterima.
“Duduk
Fira!” arah Aqil, ramah.
Zafira
melabuhkan duduk di kerusi. Matanya memandang tingkah laku Aqil yang sedang
membaca draf yang dibuatnya itu. Berkerut dahi Aqil dilihatnya. Adakah drafnya
tidak menepati kehendak Aqil?
“Along
dah baca draf Fira. Ada beberapa part
yang Fira kena betulkan. Dah betulkan nanti, pulang balik pada along,” beritahu
Aqil seraya menutup fail.
“Along
dah tandakan ke kat dalam draf tu?”
“Dah!
Along dah buat note sekali.”
Zafira
mengangguk faham. Senyuman terbias di bibir.
“Along
ada perkara nak beritahu pada Fira.”
“Perkara
apa? Kerja Fira tak memuaskan ke?”
“Tak.
Pasal Iqwan!”
“Iqwan?
Kenapa dengan dia?” tanya Zafira, berkerut.
Berdebar-debar
dirasai ketika ini. Berita apa yang ingin dikhabarkan oleh Aqil itu?
“Minggu
depan, Iqwan datang nak meminang Fira. Iqwan…”
“Meminang?
Maksud along?” pintas Zafira, laju.
“Iqwan
nak meminang Fira sekali gus bertunang. Lepas tiga bulan, Fira dan Iqwan
bernikah,” beritahu Aqil, tenang.
Terkejut
Zafira mendengarnya. Biar betul Iqwan ingin meminangnya? Kenapa dengan
tiba-tiba sahaja Iqwan ingin bertunang dengannya?
“Fira
setuju tak?” soal Aqil sambil memandang ke wajah Zafira.
“Along
tipu Fira, kan?” soal Zafira pula. Masih tidak percaya.
“Along
tak tipu. Memang Iqwan nak masuk meminang Fira.”
“Tapi,
takkan dengan tiba-tiba saja? Dia pun bukannya sukakan Fira.”
“Perasaan
tu akan datang dengan sendirinya. Yang pasti, dia ikhlas nak bertunang dengan
Fira,” jelas Aqil. Cuba menghalau rasa curiga di hati Zafira.
Zafira
membisu. Otaknya cuba merencana penjelasan Aqil.
“Fira
setuju tak?” ulang Aqil pada pertanyaannya tadi.
“Along
serius, kan? Tak main-mainkan Fira?”
“Tak!
Along tak main-mainkan Fira. Iqwan memang nak bertunang dengan Fira,” jelas
Aqil lagi. Wajah adiknya ditatap kasih.
Zafira
berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia bingkas bangun dari duduk.
“Fira
balik bilik dulu,” pamit Zafira dan beredar dari situ.
“Fira
tak jawab soalan along lagi. Setuju ke tidak?” tanya Aqil sebelum kelibat
adiknya itu menghilang di sebalik pintu bilik.
Zafira
sekadar tersenyum. Laju dibawa langkah menuju ke bilik. Jantungnya berdegup
dengan kencang. Rasa terkejut mendengar berita itu. Kenapa dengan tiba-tiba
Iqwan ingin bertunang dengannya? Adakah Iqwan sudah jatuh cinta dengannya?
“Yes! Yes!
Yes! Dia sukakan aku! Dia nak
bertunang dengan aku!” girang Zafira setibanya di bilik. Senyuman ceria terbias
di wajah.
“Ya
Allah! Adakah aku sedang bermimpi?” soal Zafira seraya mencubit pipinya
sendiri.
“Ouch!”
rengek Zafira kemudian.
Ternyata
dia bukan bermimpi ketika ini. Rasa riang di hati sebaik sahaja menyedarinya.
Dia menari-nari kegembiraan. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya itu.
Deringan
telefon mematikan tingkah lakunya yang sedang menari. Dicapai telefon bimbit
dari atas meja dan menatap nama di skrin. Encik suami! Bisik hati Zafira.
Senyuman terbias di wajah.
“Nak
jumpa?” soal Zafira sebaik sahaja salam bersambut.
“Kalau
kau free la. Kalau tak free, lain kali saja,” balas Iqwan,
tenang.
“Free… free… saya free. Bila?”
tanya Zafira, teruja.
“Nanti
aku text kau,” kata Iqwan dan
mematikan talian.
Zafira
sedikit tersentak. Digaru kepalanya yang bertudung.
“Eee…
tak sabarnya nak bertunang!” luah Zafira, tersenyum malu.
“SO, macam
mana?” tanya Izreen, berminat.
“Macam
mana apa?”
“Kau
kan pergi jumpa dengan dia siang tadi. So?”
“So?”
“Ya
Allah!” ucap Izreen sambil menepuk dahi. Dia melangkah masuk ke dalam bilik dan
melabuhkan duduk di birai katil.
“Kau
dah makan ke?” tanya Zafira, berbasa-basi.
“Dah!”
jawab Izreen, sepatah.
Zafira
mengangguk faham. Dibaringkan tubuh ke atas katil dan memandang ke arah siling
bilik. Otaknya ligat memikirkan pertemuan dengan Iqwan beberapa jam yang lepas.
“Jadilah
kau bertunang dengan dia?” mulai Izreen turut sama berbaring.
Zafira
sekadar mengangguk. Senyuman terbias di wajah.
“Dia
ikhlas ke?”
“Kenapa
kau tanya?”
“Tak
ada. Aku cuma curiga saja. Kenapa dengan tiba-tiba, dia nak bertunang dengan
kau? Bukan ke dia tak sukakan kau?”
“Bila
masa pulak dia tak sukakan aku?”
“Dari
riak wajah dia pun aku dah boleh baca, Fira. Dia tak sukakan kau.”
“Along
kata, perasaan itu boleh dipupuk kemudian. Aku percaya cakap along. Ada baiknya
macam tu daripada bercinta dan akhirnya mengecewakan.”
Terkedu
Izreen mendengarnya. Mengerti akan maksud kata-kata Zafira itu.
“Aku
tahu, dia memang tak sukakan aku. Tapi, aku akan cuba buat dia sukakan aku.”
“Aku
bukannya apa, Fira. Aku takut kau yang makan hati nanti. Tak guna kalau sebelah
pihak saja yang berusaha sedangkan sebelah pihak lagi tidak.”
“Insya-Allah.
Semuanya baik-baik sahaja. Kau doakan kebahagiaan aku. Doakan semoga suatu hari
nanti dia terima aku,”
“Aku
sentiasa mendoakan kebahagiaan kau, Fira.”
Zafira
mengangguk dan tersenyum. Kata-kata Iqwan terngiang-ngiang di minda ketika ini.
Walau apa pun yang bakal berlaku, dia akan tetap menghadapinya. Semoga dia
tabah menghadapi dugaan hidup.
Ape motif iqwan???
BalasPadamAda la tu motifnya.
PadamApe motif iqwan???
BalasPadamPelik.. iqwan nk apa sebenarnya? Erm.. suspennya..
BalasPadamNanti kita tahu apa motif Iqwan.
Padam